Pada tanggal 11 haribulan Zulkaedah
tahun 153 Hijrah, Kota Madinah al-Munawwarah disinari cahaya dengan lahirnya
salah seorang zuriat Rasulullah s.a.w. yang mulia. Bayi lelaki tersebut adalah
anak kepada Imam Musa Kazim.
Imam Musa Kazim lahir lima
tahun setelah kewafatan datuknya iaitu Imam Ja’far Shadiq kerana diracun dalam
salah sebuah penjara Baghdad
di bawah naungan as-Sindi bin Shahiq.
Nama sebenar beliau ialah Imam Ali Redha bin
Imam Musa Kazim bin Imam Ja’far Shadiq bin Imam Muhammad Baqir bin Imam Ali
Zainal Abidin bin Saidina Husain Bin Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib bin Abdul
Muthalib bin Hasyim bin Abdul Manaf bin Qushai bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab
bin Lu’i bin Ghalib bin Fahr bin Malik bin Nadar bin Kinanah bin Khuzaimah bin
Mudrikah bin Ilias bin Mudhar bin Nizar bin Ma’ad bin Adnan bin ‘Add bin Humaisi’
bin Salamam bin Auz bin Buz bin Qamwal bin Ubai bin ‘Awwam bin Nasyid bin Haza
bin Bildas bin Yadlaf bin Tabikh bin Jahim bin Nahisy bin Makhi bin Aid bin
‘Abqar bin ‘Ubaid bin Ad-Da’a bin Hamdan bin Sanbir bin Yathrabi bin Yahzin bin
Yalhan bin Ar’awi bin Aid bin Desyan bin Aisar bin Afnad bin Aiham bin Muksar
bin Nahits bin Zarih bin Sami bin Wazzi bin ‘Adwa bin Aram bin Haidir bin Nabi
Ismail a.s. bin Nabi Ibrahim a.s. bin Azar bin Nahur bin Saru’ bin Ra’u bin
Falikh bin Abir bin Syalikh bin Arfakhsyad bin Sam bin Nabi Nuh a.s. bin Lamik
bin Matul Syalakh bin Nabi Idris a.s. bin Yarid bin Mahlail bin Qinan bin Anwas
bin Syits bin Nabi Adam a.s..
Ibu
Imam Ali Redha adalah seorang hamba sahaya yang bernama Taktam, kepunyaan
Hamidah al-Mushaffah iaitu ibu kepada Imam Musa Kazim. Hamidah merasa takjub
melihat akhlak hamba sahayanya yang sungguh mulia lagi taat kepada agama.
Akhirnya, hamba tersebut dikahwinkan dengan anaknya iaitu Imam Musa Kazim. Dia
berharap Allah s.w.t. akan menganugerahkannya seorang anak lelaki yang mulia.
Hamidah
al-Mushaffah termasuk wanita Bukan Arab yang paling mulia. Dia telah membeli
seorang hamba sahaya yang bernama Taktam. Hamba sahaya yang dibelinya termasuk
antara wanita yang paling taat agama dan sentiasa memuliakan tuannya. Semenjak
menjadi hamba kepada Hamidah al-Mushaffah, dia tidak pernah duduk di depan
tuannya kecuali kerana hormat kepadanya. Tidak lama kemudian berkatalah Hamidah
kepada puteranya iaitu Imam Musa Kazim,
“Wahai anakku, sesungguhnya ibu tidak
pernah melihat seorang hamba sahaya wanita yang lebih utama daripada Taktam ini
dan ibu tidak merasa khuatir Allah s.w.t. akan mengurniakan keturunan yang
mulia darinya.”
Ketika
Imam Ali Redha dilahirkan, bapa beliau terasa amat gembira lalu membelai bayi
tersebut sambil mengazankan di telinga kanan dan mengiqamatkan di telinga kiri.
Imam
Ali Redha membesar di bawah bimbingan ayahnya iaitu Imam Musa Kazim yang
terkenal dengan kealiman dan kewarakan. Semenjak kecil lagi Imam Ali Redha
telah melihat pengorbanan dan kesabaran yang dilalui bapanya. Walaupun bapa
Imam Ali Redha dipenjarakan namun, beliau tetap bersabar menempuh pelbagai
dugaan dan rintangan. Ketika dewasa beliau sangat disanjung tinggi penduduk
setempat sehingga beliau telah dilantik untuk memimpin dan mengajar ajaran
Islam di kampung halamannya.
Ibrahim bin Abbas
ash-Shauli menceritakan tentang Imam Ali Redha dengan berkata,
“Aku
tidak pernah melihat Imam Ali Redha mengucapkan kata yang kasar kepada
seseorang pun. Aku juga tidak pernah melihat beliau memotong percakapan orang
lain. Beliau tidak pernah menolak permintaan pertolongan seseorang jika beliau
mampu memenuhinya. Beliau tidak pernah melunjurkan kaki di depan teman duduk atau
menyandarkan punggung di depan orang ramai. Beliau tidak pernah mencaci seorang
pun antara pembantu dan hambanya. Aku juga tidak pernah melihat beliau ketawa
terbahak. Ketawanya hanyalah sekadar senyum sahaja.”
Suatu hari ketika Imam Ali Redha dalam
perjalanan menuju Khurasan, beliau mengadakan jamuan makanan untuk orang ramai.
Dalam jamuan tersebut terpancarlah rasa kasih, rendah hati dan kebaikan budi
beliau terhadap orang ramai. Seorang lelaki yang menyertai beliau ketika itu menceritakan,
“Kami berada bersama Imam Ali Redha dalam
perjalanan menuju Khurasan. Maka pada satu hari beliau menyuruh disiapkan
makanan. Lalu dipanggillah semua pelayan dari bangsa Sudan dan lainnya. Aku menyarankan
kepada beliau, alangkah baiknya jika beliau memisahkan diri daripada mereka
itu. Kemudian beliau pun bertanya kembali, mengapa beliau perlu memisahkan
diri. Kerana Allah s.w.t. itu Maha Esa. Ibu Umat manusia itu asalnya dari
seorang sahaja. Bapa mereka pun asalnya dari seorang. Manakala pembalasan di
hari akhirat tergantung kepada amalan perbuatan.”
Imam Ali Redha sangat menghormti pembantunya.
Pernah ketua pembantu beliau mengatakan,
“Apabila
salah seorang antara kami sedang makan maka Imam Ali Redha tidak menyuruhnya
mengerjakan sesuatu sehingga selesai.” Seorang pembantu beliau yang bernama
Yasir bersama seorang ketua pembantu menuturkan sifat beliau yang mulia seperti
berikut,
“Apabila anda menegakkan kepala ketika anda
sedang makan, maka janganlah anda berdiri sehingga anda selesai makan.” Apabila
beliau memanggil salah seorang dari kami dan dikatakan kepada beliau orang yang
dipanggilnya itu sedang makan maka beliau akan mengatakan,
“Biarkanlah dia makan sehingga selesai.”
Imam
Ali Redha pernah mengatakan,
“Saya telah bersumpah untuk membebaskan
seorang hamba sahaya dan jika saya bersumpah untuk memerdekakan seorang hamba, saya
melaksanakannya dan sesudah itu saya akan membebaskan semua hamba yang saya miliki
dengan syarat jika mereka melakukan perkara lebih baik dari ini (dan beliau
menunjuk kepada seorang hamba hitam antara pembantu beliau) terhadap
kekerabatanku dan keturunan Rasulullah s.a.w..”
AHLI
IBADAH
Imam Ali Redha sangat mendalami makna
Al-Quran. Ayat suci Al-Quran bagaikan sudah sebati dalam jiwanya. Bahkan setiap
ucapan, jawapan dan perumpamaan yang beliau kemukakan semuanya bersumber dari
Al-Quran. Beliau sering menamatkan pembacaan Al-Quran setiap tiga hari. Dalam
hal ini beliau berkata,
“Seandainya
saya mahu mengkhatamkannya dalam masa kurang tiga hari, nescaya saya dapat
melakukannya, tetapi setiap kali saya bertemu dengan satu ayat, saya selalu
memikirkannya tentang kenapa ia diturunkan dan bila diturunkan. Oleh itu saya akan
mengkhatamkannya setiap tiga hari.”
Raja’ bin Abi ad-Dahha’ yang menyertai
Imam Ali Redha sepanjang perjalanan beliau dari Madinah al-Munawwarah menuju ke
Merva menceritakan ibadah dan ketakwaan beliau sebagai berikut:
“Aku menyertai beliau dari Madinah al-Munawwarah
menuju ke Merva. Demi Allah, aku tidak pernah melihat seorang lelaki yang lebih
bertakwa kepada Allah s.w.t. daripada beliau atau yang lebih banyak berzikir
kepada Allah s.w.t. dalam setiap masa. Jika waktu Subuh tiba beliau
bersembahyang dan setelah mengucapkan salam beliau duduk di tempat solat beliau
untuk bertasbih, bertahmid, bertakbir dan bertahlil kepada Allah s.w.t. serta
mengucapkan selawat kepada Nabi dan keluarganya sehinggalah matahari terbit.
Kemudian beliau bersujud yang agak lama sehingga matahari naik tinggi. Setelah
itu beliau menemui orang ramai untuk berbicara dan memberi nasihat kepada
mereka sehingga tergelincir matahari (waktu Zuhur)”
Seorang pengikut Imam Ali Redha iaitu Ibrahim
bin al-Abbas as-Sha’ali mengambarkan beliau sebagai berikut:
“Beliau sedikit sekali tidur di malam hari dan
sering bertahajud malam. Beliau juga sering berpuasa tiga hari setiap bulan.
Beliau pernah berkata,
“Puasa tiga hari di setiap bulan itu sama
pahalanya dengan puasa sepanjang masa. Beliau sering membuat kebajikan dan
bersedekah secara rahsia. Perkara tersebut kebanyakannya beliau lakukan di
malam hari yang gelap. Maka barangsiapa yang beranggapan dia pernah melihat
orang yang keutamaannya seperti beliau janganlah anda percaya.”
Allamah al-Majlisi meriwayatkan,
“Dalam kesempatan yang lain beliau sedang
berada di mihrab ibadahnya untuk memohon kepada Allah s.w.t. dan bermunajat di
saat semua orang sedang tidur. Maka apabila sepertiga malam yang terakhir telah
tiba, beliau bangkit dari tidur dan mengucapkan Tasbih, Tahmid, Takbir, Tahlil
dan Istighfar. Kemudian beliau berwuduk dan mengerjakan solat malam. Beliau
solat lapan rakaat dan mengucapkan salam di setiap dua rakaat. Pada rakaat yang
pertama dari setiap dua rakat itu beliau membaca surah ‘Al-Fatihah’ sekali, ‘Qul
Huallahu Ahad’ 30 kali dan beliau melakukan solat seperti solat Ja’far
ath-Thayar bin Abi Thalib sebanyak empat rakaat dengan mengucapkan salam di
setiap dua rakat dan membaca Qunut pada rakaat yang kedua dari setiap dua
rakaat tersebut sebelum rukuk. Sesudah bertasbih, cukuplah itu bagi beliau
sebagai solat malam. Seterusnya beliau membaca ‘Al-Fatihah’ dan surah ‘Al-Mulk’.
Pada rakaat yang kedua pula beliau membaca surah ‘Al-Fatihah’ dan surah ‘Ad-Dahr’.
Setelah itu beliau berdiri dan solat dua rakaat yang disetiap rakaat beliau
membaca ‘Al-Fatihah’ sekali, ‘Qul Huallahu Ahad’ tiga kali dan membaca Qunut di rakaat yang kedua.
Kemudian beliau berdiri melakukan solat witir satu rakaat dengan membaca surah ‘Al-Fatihah’ dan ‘Qul Huallahu Ahad’ tiga kali, ‘Qul
A’udzubirabbil Falaq’ sekali dan ‘Qul A’udzubirabbin Nas’ sekali serta
membaca Qunut sebelum rukuk. Dalam Qunut tersebut beliau membaca,
“Allahumma Shalli ‘Ala Muhammad Wa Ali
Muhammad, Allahummahdina Fiman Hadait, Wa ‘Afina Fiman ‘Afait, Watawallana
Fiman Tawalait, Wabarik Lana Fiman A’thait, Wa Qina Syarra Ma Qadhait, Fainnaka
Taqdhi Wala Yuqdha A’laik, Innahu La Yazillu Man Walait, Wala Yaizzu Man
A’dait, Tabarakta Rabbana Wa Ta’alait.”
(Ya Allah, limpahkanlah selawat kepada
Muhammad dan keluarga Muhammad. Ya Allah, berilah kami petunjuk. Berilah kami
kesihatan sebagaimana orang yang telah Engkau berikan kesihatan. Lindungilah
kami sebagaimana orang yang telah Engkau lindungi. Berkatilah kami apa yang
telah Engkau anugerahkan kepada kami. Jagalah kami dari keburukan apa yang
telah engkau tetapkan. Kerana sesungguhnya Engkaulah yang menetapkan kepada
kami. Jagalah kami dari keburukan apa yang telah Engkau tetapkan. Kerana
sesunguhnya Engkaulah yang menetapkan dan tidak dikenakan ketetapan.
Sesungguhnya tidak akan hina orang yang setia kepadaMu dan tidak akan mulia
orang yang memusuhiMu. Sesungguhnya Engkau Maha Pemberi Berkat, wahai Tuhan
kami dan Maha Tinggi Engkau.)
Kemudian
beliau mengucapkan, “Astaghfirullah Wa
Asaluhut Taubah.” (Aku memohon ampun kepada Allah s.w.t. dan
aku meminta taubat kepadanya)
sebanyak 70 kali. Setelah mengucapkan salam beliau duduk serta melanjutkan
zikir sebanyak yang dikehendaki Allah s.w.t.. Apabila fajar tiba beliau bangkit
lalu solat fajar dua rakaat dengan membaca di rakaat pertama surah ‘al-Fatihah’ dan ‘Qul Ya Aiyuhal Kafirun’,
manakala di rakaat kedua membaca surah ‘al-Fatihah’
dan ‘Qul Huallahu Ahad’. Apabila fajar terbit beliau melaungkan azan dan
melakukan solat pagi dua rakaat. Manakala setelah selesai mengucapkan salam,
beliau membaca zikir sehingga matahari terbit. Kemudian beliau melakukan sujud
dua kali iaitu sujud syukur sehingga matahari naik tinggi.”
Imam
Musa Kazim (bapa Imam Ali Redha) pernah berkata,
“Inilah
saudaramu Ali Redha, ulamanya keluarga Muhammad. Tanyalah kepadanya mengenai
urusan agamamu dan peliharalah apa yang dikatakannya kepadamu.”
Antara sifat Imam Ali Redha adalah memiliki
ilmu dan makrifat, ilmu tentang Allah s.w.t., sifat dan perbuatannya dan
makrifah tentang akidah tauhid serta apa-apa yang berkaitan dengannya. Imam Ali
Redha menjelaskan tentang kepimpinan dan perkara yang harus dimiliki seorang pemimpin
di mana beliau berkata,
“Pemimpin
itu menghalalkan apa yang telah dihalalkan oleh Allah s.w.t., menegakkan hukum
Allah s.w.t., mempertahankan agama Allah s.w.t., mengajak ke jalan Allah s.w.t.
dengan kebijaksanaan dan nasihat yang baik. Seorang pemimpin itu adalah seorang
yang berilmu, bukan orang yang bodoh, seorang pegembara dan bukan seorang yang
melakukan kejahatan. Seorang pemimpin itu haruslah mempunyai ilmu yang tinggi,
sempurna sifat lemah lembut, tegas dalam memerintah, mengetahui tentang politik
dan mempunyai hak untuk menjadi pemimpin. Sesungguhnya pemimpin itu haruslah
pandai mengendalikan agama dan sistem bagi kaum muslimin. Pemimpin itu laksana
akar Islam yang kukuh, manakala rantingnya menjulang tinggi. Dengan adanya
pemimpin (imam) solat, zakat, puasa, haji dan jihad akan menjadi lengkap.”
Imam Musa Kazim telah menunjukkan tentang
kedudukan anak beliau sebagai pengganti. Salah seorang sahabat Imam Musa Kazim
meriwayatkan,
“Imam Musa Kazim pernah berkata, “Inilah
anakku yang teralim sekali. (Beliau menunjukkan dengan tangan kepada Imam Ali
Redha).”[1]
Ibnu as-Sibagh mengutip dari al-Maliki, telah
berkata Ibrahim bin al-Abbas,
“Aku mendengar al-Abbas berkata, “Tidak pernah Imam Ali Redha ditanya
tentang sesuatu kecuali beliau mengetahui jawapannya. Aku juga tidak pernah
melihat orang yang lebih mengetahui dari beliau tentang apa yang ada dalam
zaman hidupnya.”[2]
Allamah
Sibth bin al-Jauzi mengambarkan keperibadian Imam Ali Redha dengan mengutip daripada
al-Waqidi dengan katanya,
“Beliau adalah seorang yang dipercayai
yang memberi fatwa di Masjid Madinah al-Munawwarah ketika usianya baru sahaja
mencapai dua puluh tahun.”[3]
Seterusnya al-Jauzi berkata dengan mengutip
dari al-Waqidi,
“Ketika Imam Ali Redha sampai di Nisyabur
(Iran) dalam perjalanan pindah dari Madinah al-Munawwarah ke Khurasan pada
tahun 200 Hijrah, maka datanglah ulama kota tersebut seperti Yahya bin Yahya,
Ishaq bin Harb dan lain-lain untuk menemui beliau meminta hadis dan riwayat
serta mengambil berkat daripadanya.”[4]
Dalam
kurun kedua Hijrah ini telah lahir para pembangun mazhab fikah seperti Imam
as-Syafie, Imam Malik bin Anas dan Imam Ahmad bin Hambal. Para fukaha seperti
Abu Yusuf al-Qadhi, Sufian at-Tsauri, Za’far, Muhammad bin al-Hasan,
as-Syaibani, Syarik al-Qadhi, Abdullah bin al-Mubarak, Yahya bin Aktsam dan
lain.
Di zaman kepimpinan Imam Ali Redha juga
terdapat ramai ulama terkenal seperti al-Kisaie, al-Farahidi, al-Mu’tazili
an-Nassham Ibrahim al-Mu’tazili, Tabib terkenal Jibrail bin Bakhtasyiu’ dan
pelbagai tokoh ilmuan pengetahuan, syariat, mantik dan kemasyarakatan. Madrasah
ilmiah, fikah, hadis dan sirah pula berkembang subur sehingga muncul pelbagai
mazhab, falfasah serta ilmu kalam.
Imam Ali Redha merupakan tumpuan untuk
bertanya bagi para pemikir dan ahli makrifah. Beliau sering berdiskusi dengan
para ulama tafsir, ahli falsafah dan ilmu kalam serta menolak pendapat kaum
Zindiq dan Ghulat.
Muhammad bin Isa al-Yaqthini telah
mengumpulkan 15,000 pertanyaan mengenai pelbagai masalah yang telah dijawab
Imam Ali Redha. Dalam hal ini Imam Ali Redha sendiri telah mengungkapkan,
“Saya pernah duduk bersama para ulama di
Raudhah (satu tempat di Masjid Nabawi). Maka ketika salah seorang daripada
mereka tidak mampu menjawab satu persoalan, mereka lalu menunjukkan ke arahku.
Mereka mengajukan pertanyaan kepadaku dan saya pun menjawab kesemua pertanyaan
tersebut.” Beliau juga pernah berkata,
“Orang yang mempunyai kekayaan wajib
memberikan kelapangan kepada anggota keluarga yang menjadi tanggungannya.”
“Ibadah
itu bukanlah hanya sering berpuasa dan solat sahaja. Ibadah yang sebenarnya
adalah bertafakur tentang urusan Allah s.w.t..”
PEMERINTAHAN
BANI ABBASIAH
Di zaman pemerintahan Khalifah Harun
ar-Rasyid iaitu pada tahun 170 hingga 193 Hijrah, Negeri Baghdad telah menjadi
sebuah kota yang dipenuhi dengan bangunan yang indah dan istana mewah milik
pembesar Khalifah Harun ar-Rasyid. Al-jahsyiari meriwayatkan khalifah Harun
ar-Rasyid sangat sayang kepada isterinya yang juga sepupunya iaitu Zubaidah.
Ketika
di zaman pemerintahan Khalifah al-Hadi dia telah menawarkan Khalifah Harun
ar-Rasyid mentadbir sebuah daerah yang besar dengan syarat dia melucutkan
gelaran sebagai putera mahkota. Khalifah Harun ar-Rasyid telah menerima tawaran
tersebut dengan berkata,
“Apabila
aku berada di sisi Haniyi dan Mariyi serta berduaan dengan sepupuku itu, tiada
apa lagi yang aku mahu.” Demikianlah ternyata kedudukan Zubaidah adalah
setanding dengan jawatan khalifah di sisi Khalifah Harun ar-Rasyid. Oleh itu
sudah tentu Zubaidah memainkan peranan yang penting dalam perlantikan anaknya,
Muhammad al-Amin sebagai putera mahkota.
Muhammad al-Amin ialah anak lelaki kesayangan
Zubaidah. Sebab utama al-Amin dilantik menjadi putera mahkota ialah bapa
saudaranya, Isa bin Ja’far bin al-Mansur telah pergi menemui al-Falah bin Yahya
bin Khalid dan menanyakan tentang hal tersebut. Al-Fadhil menjawab,
“Putera Mahkota ialah anakmu dan jawatan
khalifah menjadi kepunyaanmu.” Kemudian dia berjanji akan berusaha sehingga
rakyat memberikan taat setia kepada al-Amin sebagai Putera Mahkota.[5] Mereka
telah menghantar rombongan yang diketuai al-Fadhil bin Yahya menghadap Khalifah
Harun ar-Rasyid menggesa supaya melantik Muhammad al-Amin sebagai bakal
penggantinya. Khalifah Harun ar-Rasyid telah tunduk kepada permintaan ini dan
lantas melantik Muhammad sebagai putera mahkota pada tahun 175 Hijrah dan
memberinya gelaran al-Amin.
Suyuthi
di dalam kitabnya Tarikh al-Khulafa’ menulis,
“Suatu
ketika Khalifah Harun ar-Rasyid menghadiahkan Sufian bin Uyainah 100,000 Dinar,
memberi seorang penyanyi termasyur bernama Ishaq al-Maushuli 200,000 Dinar
untuk sebuah lagu. Suatu ketika Khalid bin Yahya al-Barnaki, seorang yang
dipercayai Khalifah Harun ar-Rasyid telah berkata kepadanya,
“Imam
Ali Redha telah mengemukakan dan mendakwa dirinya sebagai orang yang berhak
memegang tampuk pemerintahan. Lalu Khalifah Harun ar-Rasyid berkata,
“Cukuplah bagi kami apa yang telah kami
lakukan terhadap bapanya. Apakah engkau mahu kami membunuh mereka semua?”[6]
Walaupun Imam Ali Redha menjauhkan diri dari
perjuangan Kaum Alawiyin melawan penguasa Abbasiah namun, beliau tetap menerima
gangguan, dugaan dan penindasan. Khalifah Harun ar-Rasyid telah mengarahkan
panglimanya al-Jaludi untuk menghukum keluarga Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib
dan membunuh Imam Musa Kazim jika tertangkap. Al-Jaludi melaksanakan perintah
Khalifah Harun ar-Rasyid dan menyerbu rumah keluarga Abu Thalib dan Kaum
Alawiyin yang mulia. Salah seorang terkemuka yang menjadi mangsa ialah Imam Ali
Redha. Al-Jaludi menghampiri pintu rumah Imam Ali Redha dan menendang pintu
tersebut sambil menunggang kudanya. Ketika Imam Ali Redha melihat, beliau lalu
mengumpulkan kesemua kaum wanita manakala beliau sendiri menjaga pintu.
Al-Jaludi berkata,
“Walau bagaimana sekalipun saya akan masuk dan
merampas kesemua wanita sebagaimana perintah Khalifah Harun ar-Rasyid.” Imam
Ali Redha menjawab,
“Sayalah yang akan mengambil kesemua
perhiasaan wanita itu untukmu dan saya bersumpah tidak akan tinggalkan mereka
sesuatu pun.” Akhirnya, Imam Ali Redha mengambil kesemua perhiasan wanita
sehingga tiada sedikit pun yang tinggal.
Suatu ketika Khalifah Harun ar-Rasyid telah
terpaksa pergi sendiri ke Khurasan untuk menumpaskan pemberontakan yang
dilancarkan Rafi’ bin Laits. Dia telah melantik al-Amin sebagai penggantinya di
Baghdad dan
dibantu Yahya bin Sulaim untuk menjalankan urusan pentadbiran. Dalam perjalanan
ke Khurasan itu dia telah ditemani anaknya al-Ma’mun, menterinya al-Fadhil bin
ar-Rabi’, Ismail bin Sabih, sejumlah besar panglima-panglima tentera dan
pasukan tentera yang besar. Tetapi dipertengahan jalan Khalifah Harun ar-Rasyid
telah ditimpa penyakit dan terpaksa berhenti bersama rombongannya di suatu
tempat yang bernama Thus. Kemudian apabila terasa akan ajalnya, dia lantas
berpesan kepada menterinya, al-Fadhil bin ar-Rabi’ supaya mengikuti al-Ma’mun
andainya dia meninggal dunia kelak. Tidak lama kemudian Khalifah Harun
ar-Rasyid pun menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dia meninggal dunia pada
tahun 193 Hijrah ketika berusia lebih kurang 44 tahun.
Di
zaman pemerintahan Khalifah Harun ar-Rasyid, dia telah melantik ketiga orang
anaknya iaitu al-Amin, al-Ma’mun dan al-Qasim sebagai putera mahkota. Lebih
dari itu dia telah membahagikan pula sempadan kerajaannya di kalangan mereka.
Wilayah Khurasan diserahkan kepada al-Ma’mun, al-Jazirah (Semenanjung Arab)
diserahkan kepada al-Qasim sementara Iraq kepada al-Amin.
Setelah Khalifah Harun ar-Rasyid meninggal
dunia, al-Amin telah dilantik sebagai khalifah. Ketika Khalifah al-Amin naik
takhta, al-Ma’mun telah memberikan baiatnya. Maka mulalah dia mengumpulkan
orang ramai dan membeli mereka secara besar-besaran. Mereka ditugaskan untuk
menjaganya siang dan malam, menyediakan makanan dan minuman. Malahan ramai para
penyair yang menulis syair untuk dirinya. Khalifah al-Amin juga memerintahkan
supaya dibina lima buah kapal perang di Sungai
Dajlah (Tigris ) yang berbentuk singa, burung
gagak, burung helang, ular dan kuda. Untuk itu semua dia telah membelanjakan
wang yang sangat besar.[7]
Pada suatu ketika Khalifah al-Amin
memerintahkan supaya di tamannya dibentangkan permaidani. Maka dibentangkanlah
permaidani yang menarik. Khalifah al-Amin juga dilayan dengan bekas minuman
yang diperbuat daripada emas dan perak. Ketua dayang pula diperintahkan untuk
menyediakan 100 orang hamba abdi wanita yang mahir dalam kesenian. Mereka
menari dalam barisan sepuluh-sepuluh orang dengan memetik dawai dan menyanyi
dengan serentak.[8]
Pada tahun 198 Hijrah, tentera al-Ma’mun telah
mara dari Khurasan menuju Baghdad
di bawah pimpinan Tahir bin al-Husain dan Hartsamah bin A’yan. Ketika mereka
sampai di luar tembok Kota Baghdad dan mula bertindak untuk meruntuhkan
gerbangnya, lalu kebanyakan pengikut Khalifah al-Amin pun mula meninggalkannya.
Khalifah al-Amin sendiri cuba
menyerah diri kepada Hartsamah tetapi beberapa orang askar telah menerkam dan
membunuhnya. Dengan itu berakhirlah zaman pemerintahan Khalifah al-Amin.
Akhirnya, al-Ma’mun naik menyandang jawatan khalifah iaitu pada tahun 198
Hijrah. Khalifah al-Ma’mun telah memperolehi kemenangan dan menjadi khalifah
yang baru, tetapi pusaka peninggalan yang diterimanya adalah amat berat, penuh
pelbagai ragam, kesulitan dan peristiwa. Kemenangan Khalifah al-Ma’mun dengan
menggunakan senjata Orang Farsi telah merangsang kemarahan Orang Arab.
Pemindahannya dari Khurasan ke Baghdad
pula telah merangsang kemarahan Orang Farsi. Begitulah betapa hebatnya pelbagai
gerakan di depan Khalifah al-Ma’mun yang memerlukannya untuk berhempas pulas
dengan seberapa daya di sepanjang pemerintahannya untuk mengatasi semua ini.
Antara peristiwa yang menggugat zaman pemerintahan Khalifah al-Ma’mun ialah:
1. Pemberontakan Abu as-Saraya;
2. Pemberontakan Nasr bin Syabats;
3. Pemberontakan Baghdad;
4. Pemberontakan Zatti dan
5. Pemberontakan Orang Mesir.
Ketika Khalifah al-Ma’mun ingin melantik Imam
Ali Redha sebagai putera mahkota, dia telah menjemput ahli keluarga Saidina Ali
k.wh. bin Abi Thalib ke istananya termasuklah Imam Ali Redha. Kemudian Khalifah
al-Ma’mun memerintahkan pasukan mengawal mereka di sepanjang jalan menuju Bashrah
sehinggalah rombongan tersebut sampai ke istana Khalifah al-Ma’mun. Orang yang
bertindak mengetahui pengiring tersebut dikenali dengan nama al-Jaludi yang
berasal dari Khurasan.
Ketika sampai di Khurasan, Khalifah al-Ma’mun
menempatkan mereka di sebuah rumah manakala Imam Ali Redha ditempatkan di
sebuah rumah yang berasingan. Kemudian dia memanggil Perdana Menteri Fadhil bin
Sahl dan memberitahunya dia bermaksud ingin melantik Imam Ali Redha sebagai
putera mahkota. Dia telah memerintahkan Perdana Menteri Fadhil bin Sahl supaya
bermesyuarat dengan saudaranya Hasan bin Sahl. Kemudian mereka berdua pun
bermesyuarat di depan Khalifah al-Ma’mun. Tetapi Hasan sangat keberatan di atas
rencana Khalifah al-Ma’mun dan mengingatkannya akan kerugian mengalihkan kekuasaan
dari keluarganya sendiri kepada Imam Ali Redha. Khalifah al-Ma’mun berkata,
“Sesungguhnya
aku telah berjanji kepada Allah s.w.t. akan mengalihkan kedudukan kekhalifahan
kepada orang yang paling utama dalam keluarga Abu Thalib jika aku menang ke
atas al-Amin dan aku tidak melihat ada orang yang lebih utama dari beliau.”
Kemudian keduanya sepakat di atas nazarnya itu. Khalifah al-Ma’mun kemudiannya
mengutuskan keduanya kepada Imam Ali Redha untuk menyampaikan maksudnya itu
namun, Imam Ali Redha menolak. Namun keduanya terus mendesak dan beliau juga
terus menolak sehingga salah seorang antara mereka berkata,
“Anda terima sajalah, jika tidak kami akan melakukan sesuatu untuk
anda.” Mereka berdua mengancam beliau dan salah seorang antaranya berkata,
“Demi
Allah, Khalifah al-Ma’mun telah memerintahkan kepadaku untuk memenggal kepala
anda jika anda menentang kehendaknya.” Imam Ali Redha terpaksa menerima tawaran
Khalifah al-Ma’mun dan ketika beliau menyatakan kesediaannya menerima jawatan putera
mahkota secara simbolik dengan syarat yang beliau telah ajukan sendiri maka
Khalifah al-Ma’mun pun mengumumkan berita besar tersebut dan menyebarluaskannya
ke seluruh penjuru negeri.
AR-REDHA
Suatu ketika, pada hari Khamis Perdana
Menteri Fadhil bin Sahl telah mengumumkan kepada rakyat mengenai ketetapannya
itu dan pandangannya terhadap Imam Ali Redha serta niatnya untuk mengangkat
beliau sebagai putera mahkota yang akan menggantikan Khalifah al-Ma’mun
sepeninggalannya dan sehingga dia telah menggelar beliau sebagai ‘Ar-Redha’ iaitu kerelaan. Khalifah
al-Ma’mun juga memerintahkan Perdana Menteri Fadhil bin Sahl supaya mengumumkan
kepada rakyat bahawa dia telah menggantikan lambang daulat Abbasiah yang
berwarna hitam kepada warna hijau. Di hari kesempatan tersebut Khalifah
al-Ma’mun telah pun berpakaian serba hijau. Selain itu dia juga mengumumkan
bahawa dalam kesempatan itu juga dia akan membahagikan gaji untuk setahun
penuh. Kemudian dia meminta orang ramai untuk kembali ke istana pada Hari
Khamis yang akan datang untuk memberikan baiat kepada Imam Ali Redha.
Pada
Hari Khamis yang telah ditentukan, duduklah Khalifah al-Ma’mun berhampiran
dengan Imam Ali Redha. Kemudian menghadaplah semua panglima, pegawai dan kadi
dengan mengenakan pakaian serba hijau. Khalifah al-Ma’mun lalu memerintahkan
puteranya, al-Abbas untuk menjadi orang pertama yang memberikan baiat. Maka
berdirilah al-Abbas dan memberikan baiatnya kepada Imam Ali Redha sebagai
putera mahkota. Kemudian Imam Ali Redha pun mengangkat tangan. Telapak tangan
beliau dihadapkan ke arah orang ramai. Khalifah al-Ma’mun berkata,
“Bentangkanlah tangan anda semua untuk
menerima baiat.”
Beliau menjawab,
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. menerima
baiat dari orang ramai dengan cara begini.”
Khalifah
al-Ma’mun juga telah menulis nas baiat untuk Imam Ali Redha dengan tulisan
tangannya sendiri dan Imam Ali Redha juga menulis di belakang surat baiat tersebut dengan tangan beliau
sendiri yang mengatakan beliau menerima penabalan dirinya sebagai putera
mahkota. Antara tulisan Khalifah al-Ma’mun adalah seperti berikut:
“Amma
Ba’du. Sesungguhnya Allah s.w.t. telah memilih Islam sebagai agama dan memilih
antara hamba-hambaNya, RasulNya yang menunjukkan manusia kepada agamaNya itu.
Rasul yang terdahulu menyampaikan khabar gembira mengenai Rasul yang berikutnya
dan Rasul yang kemudian membenarkan Rasul yang terdahulu hingga kenabian yang
terakhir iaitu Muhammad s.a.w.. Maka Allah s.w.t. lalu menutup rangkaian Nabi
tersebut dan menjadikannya sebagai saksi dan pengawas ke atas mereka.
Diturunkan kepadanya al-Kitab yang agung yang tidak akan datang kepadanya
kebatilan baik dari depan mahupun belakang. Maka ketika kenabian telah
terlaksana dan Allah s.w.t. telah menutupnya dengan Nabi Muhammad s.a.w. dengan
risalah.”
“Semenjak Amirul Mukminin memangku jawatan
Khalifah dan merasakan suka duka sehingga kini dia tidak boleh memejamkan mata.
Badannya lemah dan fikirannya sentiasa ditumpukan kepada masalah bagaimana
untuk menegakkan agama dan menundukkan orang kafir, menyatupadukan pandangan,
menyebarkan keadilan dan menegakkan Al-Quran dan Sunnah. Semua itu membuat
beliau tidak sempat menikmati kesenangan dan menikmati keamanan hidup.
Harapannya adalah Allah s.w.t. menganugerahkan kepadanya seorang yang akan
menasihatinya dalam bidang agama dan ibadah. Seorang yang akan dipilih untuk
memangku kedudukan putera mahkotanya dan memimpin umat setelah wafatnya seorang
yang paling utama yang ditakdirkan baginya dalam bidang agama, sifat warak,
berilmu dan berhasrat untuk menegakkan perintah Allah s.w.t.. Untuk itu beliau
telah bermunajat kepada Allah s.w.t., beristikharah meminta kepadaNya supaya
dilimpahkan keredaan dan ketaatan kepadanya sama ada di tengah malam mahupun
siang. Menggunakan fikiran dan pandangannya untuk mencari di kalangan
keluarganya dari keturunan Abdullah bin Abbas dan Saidina Ali k.wh. bin Abi
Thalib dengan membataskannya pada orang yang diketahui dalam hal-ehwal dan
mazhabnya antara mereka berdasarkan pengetahuannya.”
“Khalifah telah bersusah payah mencari orang
dan setelah beristikharah kepada Allah s.w.t. sambil berusaha sendiri
bersungguh-sungguh melaksanakan haknya terhadap rakyat, maka jatuhlah
pilihannya kepada Imam Ali Redha bin Imam Musa Kazim bin Imam Ja’far Shadiq bin
Imam Muhammad Baqir bin Imam Ali Zainal Abidin bin Saidina Husain bin Saidina
Ali k.wh. bin Abi Thalib. Disebabkan apa yang dilihatnya mengenai keutamaannya
yang banyak, ilmu yang luas, sifat yang warak, zuhud yang ikhlas, mengosongkan diri
dari dunia dan keistimewaannya antara manusia, telah jelas baginya apa yang
disepakati, telah tersebar luas khabar mengenai keutamaannya di waktu muda mahu
pun dewasa. Oleh itu Khalifah patut menetapkan kedudukan putera mahkota dan
kekhalifahan sepeninggalannya dengan mempercayai pilihan Allah s.w.t. dalam hal
ini kerana Allah s.w.t. mengetahui bahawa dia melakukan perkara tersebut kerana
mementingkan Allah s.w.t. dan agama, mementingkan Islam dan mencari keselamatan
pada hari di mana manusia berdiri menghadap Rabbul ‘Alamin. Kemudian Khalifah
pun memanggil putera dan keluarganya, orang terdekat, para panglima dan
khadamnya. Mereka lalu membaiat (menyokong) beliau dengan taat. Dengan perasaan
gembira kerana mengetahui khalifah telah mementingkan ketaatan kepada Allah
s.w.t. daripada keinginannya sendiri. Selanjutnya Khalifah memberi gelaran
ar-Redha (kerelaan) kepada Imam Ali Redha. Beliau adalah orang yang diredai
Allah s.w.t. dan dihormati manusia. Khalifah telah mementingkan ketaatan kepada
Allah s.w.t. dan pertimbangan demi kebaikannya sendiri dan kaum muslimin.
Walhamdulillahi Rabbil Alamin.”
Nas
penabalan Imam Ali Redha sebagai putera mahkota ini ditulis dengan tangan
Khalifah al-Ma’mun sendiri pada hari isnin 7 haribulan Ramadan tahun 201 Hijrah.[9]
Kemudian
Imam Ali Redha pula menulis surat di belakang surat penabalan putera
tersebut yang berbunyi,
“Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah Yang Maha Berkuasa melaksanakan kehendakNya kepada Nabi
Muhammad penutup para Nabi dan keluarganya yang suci. Saya memperkenalkan diri
bahawa saya adalah Ali Redha bin Musa Kazim bin Ja’far Shadiq bin Muhammad
Baqir bin Ali Zainal Abidin bin Husain bin Ali K.Wh bin Abi Thalib. Semoga
Khalifah mengetahui hak kami yang tidak diketahui orang lain.”
“Kemudian
beliau menghubungkan silaturrahim yang telah diputuskan dan telah ditenteramkan
hati yang goncang. Bahkan beliau telah menghidupkan kembali setelah memberikan
keamanan kepada orang yang takut. Diberikan mereka kekayaan setelah kemiskinan.
Dengan itu semuanya ingin mencari keredaan Allah s.w.t.. Tidak mengharapkan
balasan kepada orang yang bersyukur dan tidak akan mensia-siakan ganjaran orang
yang berbuat baik. Khalifah telah melantik saya sebagai putera mahkota dan hak
kekuasaan yang terbesar jika saya masih hidup setelah peninggalan beliau.”
“Saya berjanji kepada Allah s.w.t. jika
Dia melimpahkan kepadaku kekuasaan di atas urusan kaum muslimin dan
kekhalifahan ke atas mereka umumnya dan Bani Abbas bin Abdul Muthalib khususnya.
Saya akan memperlakukan mereka dengan dasar ketaatan kepada Allah s.w.t.,
ketaatan kepada Rasul dan saya tidak akan menumpahkan darah dengan cara yang
haram, tidak akan menghalalkan kehormatan wanita ataupun harta kecuali darah
yang boleh ditumpahkan berdasarkan hukum dan ketetapan Allah s.w.t.. Bahawa saya
akan mencurahkan segenap kemampuan dan kesungguhanku. Dan jika saya mengadakan
sesuatu yang baru maka saya berhak dihukum. Saya berlindung kepada Allah s.w.t.
dari kemurkaanNya dan kepadaNya saya berharap taufik untuk mentaatiNya,
dijauhkan dari membuat maksiat. Sesungguhnya kekuasaan itu hanyalah untuk Allah
s.w.t.. Akan tetapi saya akan menurut perintah khalifah, mengutamakan
kerelaannya dan semoga Allah s.w.t. menjaga saya serta beliau.
“Saya tulis dengan tangan saya sendiri di depan
Khalifah semoga Allah s.w.t. memanjangkan umurnya dan para hadirin yang terdiri
daripada mereka yang telah dianugerahkan pelbagai gelaran, iaitu Perdana
Menteri Fadhil bin Sahl dan Sahl bin Fadhil, Kadi Yahya bin Aktsam, Abdullah
bin Zhahir, Tsumamah bin Asy’as, Bisy bin al-Mu’tamir, Hammad bin Nu’man dan
ini terjadi pada bulan Ramadan tahun 201 Hijrah.”[10]
Setelah
pengambilan baiat selesai dan dipenuhi segala pensyaratan yang telah
ditentukan, Khalifah al-Ma’mun memerintahkan untuk membacakan naskah surat
perutusan penabalan putera mahkota dan perjanjian zahir dan batin ini di tempat
pemerintahan Rasulullah s.a.w. antara Raudhah dan Mimbar (di Masjid Madinah al-Munawwarah)
di depan saksi dan didengar oleh tokoh Bani Hashim, kesemua gabenor serta tokoh
masyarakat sehingga tertegaklah hujah terhadap ke seluruhan kaum muslimin dan
hilanglah semua keraguan yang ada pada mereka yang jahil.
Setelah baiat selesai dan diumumkan kepada
orang ramai yang hadir di majlis Khalifah al-Ma’mun yang penuh sesak itu,
kemudian dia meminta kepada Imam Ali Redha supaya berkhutbah di depan orang
ramai. Maka berdirilah Imam Ali Redha dan berbicara dengan kata yang singkat
yang mengambarkan sifat kedudukan beliau di mana beliau tidak ikut serta dalam
menjalankan pemerintahan. Setelah memuji Allah s.w.t. beliau berkata,
“Kami mempunyai hak ke atas anda semua melalui
Rasulullah s.a.w. dan anda juga mempunyai hak ke atas kami. Maka jika anda
semua memberikan hak kami ke atas anda, wajiblah bagi kami memberikan hak
anda.”[11]
Tidak lama kemudian Khalifah al-Ma’mun
memerintahkan supaya memuatkan nama Imam Ali Redha di atas mata wang yang
digunakan. Beliau juga memerintahkan ke seluruh negeri supaya nama beliau
disebut dalam khutbah disetiap penjuru masjid.
Untuk
mengeratkan lagi tali persaudaraan, Khalifah al-Ma’mun telah menikahkan
puterinya iaitu Ummul Fadhil binti al-Ma’mun dengan Imam Muhammad Jawad bin
Imam Ali Redha. Maka tidak lama kemudian disemua wilayah, orang ramai telah
mengucapkan tahniah kepada Imam Ali Redha. Beliau menerima kedudukan sebagai
putera mahkota dengan syarat tersebut. Imam Ali Redha meminta supaya beliau
tinggal di Merva dan menerima jawatan tersebut dengan syarat beliau tidak ikut
serta sedikit pun dalam urusan pemerintahan. Beliau mengetahui yang diberikan
itu hanyalah suatu perkara yang tidak akan sempurna hingga kekhalifahan
benar-benar beralih kepada Ahlul-Bait sepeninggalan Khalifah al-Ma’mun. Di
waktu yang tepat barulah beliau boleh menjalankan peranan sebagai Imam dan
khalifah yang sah menurut syariat bagi kaum muslimin. Beliau juga yakin dan
tahu bahawa beliaulah yang berhak ke atas kepimpinan dan kekhalifahan. Hanya
sahaja keyakinan ini tidak menghalang beliau untuk menerima kekuasaan dan
menjalankan politik yang semestinya beliau jalankan sesuai dengan Kitabullah
dan Sunnah Nabi, sebagaimana yang beliau isyaratkan dalam nas penerimaan beliau
terhadap kedudukan putera mahkota itu. Dengan menolak untuk bekerjasama dengan
Khalifah al-Ma’mun beliau masih akan boleh menentang sebahagian kezaliman yang
ada dan merealisasikan sebahagian dahwahnya. Kedudukan beliau memang merupakan
kedudukan politik yang sesuai untuk melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar.
Syeikh Shaduq menceritakan,
“Ketika
tiba Hari Raya Aidilfitri, Khalifah al-Ma’mun mengirimkan utusan kepada Imam
Ali Redha supaya meminta beliau menaiki kenderaan untuk menghadiri solat Hari
Raya Aidilfitri dan berkhutbah untuk menenangkan hati masyarakat agar mereka
mengetahui keutamaan beliau sehingga dengan demikian mereka akan merasa rela
terhadap pemerintah. Imam Ali Redha membalas utusan Khalifah al-Ma’mun itu
dengan mengatakan yang Khalifah al-Ma’mun telah mengetahui syarat yang ada di
antara mereka berdua berkenaan keterlibatannya dalam masalah seperti ini. Dalam
jawapanya, Khalifah al-Ma’mun mengatakan, dia hanya menginginkan supaya rakyat
merasa tenteram dan para pegawai menerima kedudukan Imam Ali Redha sehingga
hati mereka menjadi tenteram dan mereka menyaksikan keutamaan yang telah
dianugerahkan Allah s.w.t. kepada beliau. Berulang kali Khalifah al-Ma’mun dan
Imam Ali Redha saling bertelagah, yang seorang mendesak dan yang seorang lagi
menolak. Maka ketika Khalifah al-Ma’mun asyik mendesak, Imam Ali Redha
mengatakan, jika Khalifah al-Ma’mun membenarkannya supaya tidak melakukannya,
maka itu lebih beliau sukai. Tetapi jika Khalifah al-Ma’mun memaksa juga maka beliau
akan menuju ke masjid sebagaimana yang dilakukan Rasulullah s.a.w.. dan Amirul
Mukminin Ali k.wh. bin Abi Thalib. Khalifah al-Ma’mun membenarkan saranan Imam
Ali Redha. Lalu dia memerintahkan para panglima dan orang ramai untuk lebih
awal menunggu di depan pintu rumah Imam Ali Redha. Tidak lama kemudian orang
ramai pun menanti beliau di sepanjang jalan dan di atas bumbung rumah sama ada
lelaki mahupun perempuan. Para panglima
tentera pula telah menunggu di depan pintu rumah beliau. Ketika matahari mulai terbit,
maka Imam Ali Redha pun bersiap sedia untuk mandi dan setelah itu beliau
memakai serban. Kemudian beliau menghadap pembantu beliau lalu menyuruhnya
melakukan sebagaimana yang beliau lakukan. Setelah itu beliau mengambil tongkat
dan mulai keluar dari rumah sementara para pengawal berada di depan beliau.
Ketika beliau berdiri dan kami berjalan di
depannya, Imam Ali Redha kemudian mengangkat kepala ke langit dan bertakbir
empat kali. Kami merasai seolah-olah berada di angkasa ketika menyambut
takbirnya. Orang ramai dan para panglima pula telah menunggu di pintu. Mereka
semua berpakaian serba cantik sambil menyarungkan pedang. Ketika kami sampai
berhampiran mereka, maka Imam Ali Redha pun membaca doa,
“Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar Ala Mahadana, Allahu Akbar Ala Ma Razaqana Min Bahimatil An’am. Walhamdulillah Ala
Mabtalana.”
(Allah Maha Besar. Allah Maha Besar. Allah
Maha Besar ke atas hidayah yang telah diberikanNya kepada kita. Maha Besar
Allah di atas ujian yang diberikanNya kepada kita.)
Imam Ali Redha membaca doa tersebut dengan
begitu lantang sekali dan kami pun mengikutnya bersama. Beliau membaca doa
tersebut sebanyak tiga kali. Ketika para panglima melihat penampilan Imam Ali
Redha, maka mereka pun turun dari kuda masing-masing menyertai perarakan
tersebut. Seluruh Kota Merva menjadi bising dengan riuh rendah disertai doa
orang ramai dan tidak kurang ada yang sebak, mengalirkan air mata tanda
kesyukuran yang tidak terhingga. Setiap kali sepuluh langkah berjalan, Imam Ali
Redha berhenti dan bertakbir sebanyak empat kali. Ketika itu kami merasai
seolah-olah segala bukit bukau menyahut takbirnya. Situasi ini telah diketahui
Khalifah al-Ma’mun, maka Perdana Menteri Fadhil bin Sahl lalu menyarankan
Khalifah al-Ma’mun supaya menegah perbuatan Imam Ali Redha datang ke tempat
solat dengan cara begitu kerana perbuatannya akan mempengaruhi masyarakat
supaya bersimpati kepadanya. Oleh itu Perdana Menteri meminta Khalifah
al-Ma’mun memerintahkan Imam Ali Redha kembali ke rumah. Lalu Khalifah al-Ma’mun
pun menghantar utusan kepada Imam Ali Redha dan meminta beliau pulang. Maka
Imam Ali Redha pun pulang tanpa membantah.”
DIRACUN
Antara sebab Khalifah al-Ma’mun
mengangkat Imam Ali Redha sebagai putera mahkota adalah kerana situasi politik
ketika itu yang sudah sangat kacau bilau. Antaranya juga terjadi pemberontakan
berdarah di antara bekas Khalifah al-Amin dan Khalifah al-Ma’mun, timbulnya
pemberontakan kaum Alawiyin di segenap penjuru kerajaan menentang kekuasaan
Bani Abbas, sikap anti rakyat terhadap pemerintah dan kecintaan mereka kepada
Ahlul Bait Rasul. Sebenarnya Imam Ali Redha menolak tawaran Khalifah al-Ma’mun
itu, namun, beliau tetap dipaksa untuk menerima jawatan tersebut.
Tidak lama kemudian Khalifah al-Ma’mun telah
memasukkan racun dalam makanan Imam Ali Redha iaitu di dalam buah anggur
sehinggalah menyebabkan beliau meninggal dunia. Khalifah al-Ma’mun merasa takut
untuk menanggung risiko setelah kematian Imam Ali Redha. Dia khuatir kaum
Alawiyin dan rakyatnya akan bangkit memberontak dengan menuduhnya menyebabkan
kematian Imam Ali Redha. Oleh itu Khalifah al-Ma’mun pun menyembunyikan berita
kematian Imam Ali Redha selama satu hari satu malam. Setelah itu beliau
memanggil Muhammad bin Imam Ja’far Shadiq bin Imam Muhammad Baqir iaitu bapa
saudara Imam Ali Redha bersama beberapa orang dari keluarga Abu Thalib. Setelah
mereka datang, Khalifah al-Ma’mun menunjukkan mereka jasad Imam Ali Redha
sambil menyakinkan mereka beliau telah meninggal dunia dengan cara yang wajar.
Buktinya jasad beliau masih elok sahaja dan tiada berlaku tanda penganiayaan.
Orang ramai masih mengatakan Khalifah
al-Ma’mun telah membunuh pemimpin mereka. Orang ramai pun berhimpun di luar
rumah tempat jasad Imam Ali Redha disemayamkan sambil menangis terisak-isak.
Khalifah al-Ma’mun menjadi khuatir dengan situasi ini lalu mengarahkan pakcik
Imam Ali Redha iaitu Muhammad bin Imam Ja’far Shadiq untuk mengarahkan orang
ramai bersurai. Kemudian Muhammad bin Imam Jafar Shadiq menyeru kepada orang
ramai,
“Wahai
saudara-saudara, bersurailah. Kerana jenazah Imam Ali Redha tidak akan dibawa
keluar hari ini.” Akhirnya, orang ramai pun bersurai dan di malam harinya
barulah jenazah Imam Ali Redha dimandikan, dikapankan dan dimakamkan.
Imam Ali Redha meninggal dunia pada hari
terakhir bulan Safar tahun 203 Hijrah di Kota Thus dan dimakamkan di situ juga,
di rumah Humaid bin Qathabah berhampiran kubur Harun ar-Rasyid ke arah kiblat.
Sehingga kini makam beliau sering dikunjungi jutaan penziarah dari pelbagai
pelusuk dunia. Kini Thus lebih dikenali sebagai Kota Masyhad. Ia merupakan kota terindah di Republik Islam Iran
dan letaknya disebelah utara timur dekat perbatasan dengan Rusia dan Afghanistan .
[1] Ibnu as-Shibagh al-Maliki.
[2] Ibnu as-Shibagh al-Maliki.
[3] Sibth al-Jauzi di dalam Tazkirah al-Khawash
muka surat 251.
[4] Sibth al-Jauzi di dalam Tazkirah al-Khawash.
[5] Al-Kamil Fi at-Tarikh jilid vi muka surat 40
[6] Ibnu as-Shibagh al-Maliki di dalam Fushul al
Muhimmah fi Ma’rifati Ahwal al-Aimmah.
[7] Ibnu Atsir di dalam al-Kamil Fi at-Tarikh
jilid vi muka surat
493–495.
[8] Ibnu Atsir di dalam al-Kamil Fi at-Tarikh
jilid vi muka surat
495.
[9] Ibnu as-Shibagh al-Maliki di dalam Fushul al-Muhimmah
Fi Ma’rifati Ahwal al-Aimmah muka surat 257 – 258.
[10] Syed Muhsain al-Amin di dalam Fi Rihab Ahlul
Bait jilid ii muka surat
25.
[11] Syed Mohsain al Amin di dalam Fi Rihab Ahlul
Bait jilid ii muka surat
25.