Pada 1 haribulan
Rejab tahun 57 Hijrah, keluarga Rasulullah s.a.w. memancarkan kegembiraan
kerana lahirnya seorang bayi lelaki yang sangat comel sekali. Bayi lelaki
tersebut disambut Imam Ali Zainal Abidin lalu diazankan di telinga kanan dan
diiqamatkan di telinga kiri. Imam Ali Zainal Abidin bersyukur ke hadrat Ilahi
kerana anak beliau telah lahir dengan selamat. Malahan beliau sendiri
menyaksikan anak beliau lahir dalam keadaan suci tanpa ada setitik pun darah
nifas dan bayi tersebut juga telah pun dikhatankan.
Imam
Ali Zainal Abidin menamakan anak beliau dengan nama Muhammad sempena mengambil
berkat nama Rasulullah s.a.w.. Semenjak kecil Imam Muhammad Baqir dididik
dengan asuhan Al-Quran dan hadis. Beliau dikenali sebagai ‘Baqir’ kerana sangat mendalam dalam ilmu pengetahuan.
Nama sebenar beliau ialah Imam Muhammad Baqir
bin Imam Ali Zainal Abidin bin Saidina Husain Bin Saidina Ali k.wh. bin Abi
Thalib bin Abdul Muthalib bin Hasyim bin Abdul Manaf bin Qushai bin Kilab bin
Murrah bin Ka’ab bin Lu’i bin Ghalib bin Fahr bin Malik bin Nadar bin Kinanah
bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilias bin Mudhar bin Nizar bin Ma’ad bin Adnan
bin ‘Add bin Humaisi’ bin Salamam bin Auz bin Buz bin Qamwal bin Ubai bin ‘Awwam
bin Nasyid bin Haza bin Bildas bin Yadlaf bin Tabikh bin Jahim bin Nahisy bin
Makhi bin Aid bin ‘Abqar bin ‘Ubaid bin Ad-Da’a bin Hamdan bin Sanbir bin
Yathrabi bin Yahzin bin Yalhan bin Ar’awi bin Aid bin Desyan bin Aisar bin
Afnad bin Aiham bin Muksar bin Nahits bin Zarih bin Sami bin Wazzi bin ‘Adwa
bin Aram bin Haidir bin Nabi Ismail a.s. bin Nabi Ibrahim a.s. bin Azar bin
Nahur bin Saru’ bin Ra’u bin Falikh bin Abir bin Syalikh bin Arfakhsyad bin Sam
bin Nabi Nuh a.s. bin Lamik bin Matul Syalakh bin Nabi Idris a.s. bin Yarid bin
Mahlail bin Qinan bin Anwas bin Syits bin Nabi Adam a.s..
Semasa
di Madinah al-Munawwarah Imam Muhammad Baqir tinggal bersama datuk beliau iaitu
Saidina Husain selama tiga tahun. Sepanjang tiga tahun tersebut beliau
mempelajari pelbagai ilmu yang belum diajarkan Saidina Husain kepada orang
lain.
Abdullah
bin Umar pernah menyuruh seseorang bertanya kepada Imam Muhammad Baqir yang
ketika itu masih kanak-kanak.
“Tanyalah
kepada budak ini. Aku akan mengikut segala jawapannya.” Perintah Abdullah bin
Umar. Lelaki tersebut pun bertanya beberapa soalan kepada Imam Muhammad Baqir.
Dengan lancar beliau menjawab segala persoalan tersebut dan setelah selesai
Abdullah bin Umar berkata,
“Beliau adalah orang yang berpengetahuan tinggi
yang telah dikurniakan pelbagai ilmu oleh Allah s.w.t..”
Abu Basyir berkata,
“Suatu hari aku bersama Imam Muhammad Baqir
memasuki Masjid Madinah al-Munawwarah. Ketika itu kelihatan ramai orang keluar
masuk. Kemudian beliau berkata,
“Tanyalah kepada orang ramai, adakah mereka
melihat saya masuk ke dalam Masjid Madinah?” Setiap orang yang aku tanya,
mereka menjawab tidak. Sedangkan Imam Muhammad Baqir berada di sisiku.
Kebetulan ketika itu datang pengikut beliau yang buta bernama Abu Harun. Imam
Muhammad Baqir mengarahkan aku supaya bertanya kepadanya.
“Adakah
anda melihat Imam Muhammad Baqir?” Tanyaku. Dengan pantas. Abu Harun berkata,
“Sudah tentu, beliaukan ada di sebelah anda.”
“Dari
mana anda mengetahui semua ini? Tanyaku. Abu Harun menjawab,
“Aku
mengetahui melalui cahaya nurani yang ada di wajahnya.”
AHLI
IBADAH
Pada suatu hari Imam Muhammad Baqir
menunaikan haji bersama pembantunya yang bernama Aflah. Ketika beliau memasuki
Masjidil Haram, beliau menatap Baitullah dan kemudian menangis sehingga suara
tangisan terdengar kuat. Aflah segera membisikkan sesuatu ke telinga beliau,
“Wahai Tuan, di sini Tuan menjadi pandangan
orang ramai. Seeloknya perlahankanlah sedikit suara tangisan Tuan itu.” Imam
Muhammad Baqir menjawab, “Wahai Aflah, mengapa saya tidak boleh menangis.
Padahal saya berharap agar Allah s.w.t. melihat saya dengan penuh kasih sayang
sehingga saya berasa beruntung bila saya berhadapan denganNya di akhirat
kelak.”
Ibnu al-Imad al-Hambali berkata,
“Imam
Muhammad Baqir adalah salah seorang dari ahli fikah Madinah al-Munawwarah.
Beliau disebut Baqir kerana mempunyai ilmu yang mendalam. Beliau adalah pemecah
rahsia segala ilmu, sangat mendalami asal-usul ilmu dan luas wawasannya.
Muhammad bin Talhah al-Syafie pula berkata,
“Imam Muhammad Baqir adalah penyelam ilmu,
penghimpun dan sekaligus orang yang sangat termasyur dari segi ilmu,
berkedudukan dan sangat luas wawasan. Beliau berjiwa suci, jernih kalbu, bersih
amalan dan berakhlak mulia. Beliau mengisi ke seluruhan waktunya dengan
ketaatan kepada Allah s.w.t.. Teguh pendirian dan sangat bertakwa kepada Allah
s.w.t.. Dari diri beliau terpancar sifat-sifat terpuji dan perilaku suci.
Puji-pujian diberikan kepadanya dan sifat-sifat terpuji sentiasa memancar dari
dirinya.
Suatu
hari Jabir bin Abdullah al-Anshari pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w.,
“Wahai Rasulullah, siapakah Imam yang akan lahir daripada zuriat Saidina
Ali k.wh. bin Abi Thalib?” Rasulullah s.a.w. menjawab,
“Al-Hasan
dan al-Husain yang mana mereka berdua adalah junjungan para pemuda ahli syurga.
Kemudian junjungan orang yang sabar pada zamannya iaitu Ali (Zainal Abidin) bin
Husain, kemudian Muhammad Baqir bin Ali (Zainal Abidin) yang kelak masih anda
ketahui kelahirannya. Wahai Jabir, oleh itu bila anda bertemu dengannya
sampaikanlah salamku kepadanya.”[1]
Jabir bin Yazid al-Ja’fi telah mendengar
Jabir bin Abdullah al-Anshari berkata,
“Ketika Allah Azza Wajalla menurunkan wahyu
kepada NabiNya yang berbunyi:
“Wahai orang yang beriman! Taatilah Allah
s.w.t., taatilah Rasulullah s.a.w. dan Ulil Amri antara kamu.”
Maka aku pun bertanya kepada Rasulullah
s.a.w.,
“Wahai
Rasulullah, mengenai Allah s.w.t. dan Rasulnya kami sudah jelas mengetahui.
Tetapi siapakah yang dimaksudkan dengan Ulil Amri yang diwajibkan mentaati
mereka sebagaimana sejajar dengan ketaatan kepada Tuan?” Rasulullah s.a.w.
menjawab,
“Mereka
itu adalah para khalifahku wahai Jabir, yang juga Imam bagi kaum muslimin
sesudahku. Orang yang pertama adalah Ali bin Abi Thalib, kemudian Hasan dan
Husain, seterusnya Ali bin Husain, kemudian Muhammad bin Ali.”[2]
Imam Ja’far Shadiq meriwayatkan daripada
ayahnya iaitu Imam Muhammad Baqir berkata,
“Saya
menemui Jabir bin Abdullah dengan menyampaikan salam kepadanya dan dia membalas
salamku. Dia bertanya, “Siapakah anda?” Dia bertanya begitu kerana kedua
matanya telah buta.
“Muhammad Baqir bin Imam Ali Zainal Abidin bin
Saidina Husain.” Jawabku.
“Wahai
anakku, marilah ke sini.” Katanya pula. Saya pun menghampirinya dan kemudian
dia pun mencium tanganku lalu berkata,
“Rasulullah s.a.w. telah menyampaikan
salam kepadamu.”
“Semoga salam dan sejahtera dilimpahkan
juga kepada Baginda. Bagaimana perkara ini boleh terjadi wahai Jabir?” Tanyaku
pula. Jabir berkata, “Suatu hari aku bersama Rasulullah s.a.w., kemudian Baginda
bersabda kepadaku, “Wahai Jabir, barangkali engkau kelak masih hidup ketika
lahir keturunanku yang bernama Muhammad Baqir bin Imam Ali Zainal Abidin bin Saidina
Husain. Allah s.w.t. melimpahkan nur dan hikmah kepadanya. Oleh itu sampaikan
salamku kepadanya.”[3]
DERMAWAN
Suatu hari Husain bin Katsir berkata,
“Aku mengadukan keperluan beberapa orang
kawan kepada Imam Muhammad Baqir bin Ali. Lalu beliau berkata, “Seburuk-buruk
manusia adalah orang yang bersamamu ketika engkau berharta dan meninggalkanmu
ketika engkau miskin. Kemudian beliau memerintahkan pembantu beliau mengambil
satu pundi wang berjumlah 700 Dirham seraya berkata, “Belanjakanlah wang ini
dan kalau sudah habis beritahulah saya.”[4]
Seorang
hamba sahaya Imam Muhammad Baqir yang bernama Salma berkata,
“Setiap
kali kawan beliau datang ke rumah, maka beliau tidak membenarkan mereka pergi
sebelum mereka makan makanan yang lazat, menghadiahkan pakaian yang baik dan
memberikan mereka sejumlah wang. Melihat keadaan tersebut aku pun menyarankan
supaya beliau jangan terlalu banyak mengeluarkan hadiah. Namun, beliau berkata
kepadaku, “Wahai Salma, apa yang disebut kebaikan dunia itu tidak lain hanyalah
menghubungkan tali persaudaraan dengan teman kita dan melakukan amar makruf.”
Beliau sering mengeluarkan hadiah sebanyak 500 hingga 600 Dirham. Beliau tidak
pernah meninggalkan kawannya dari sesuatu majlis.
LAKSANA
AL-QURAN YANG BERKATA
Dari segi penafsiran Al-Quran, Imam
Muhammad Baqir memang terkenal dan sangat mendalam ilmunya. Beliau juga laksana
sebuah Al-Quran Yang berkata-kata.
Amru bin Abid, salah seorang pemikir dan ulama
Mu’tazilah telah menghadap Imam Muhammad Baqir untuk menguji beliau dengan
beberapa pertanyaan. Amru bertanya kepada beliau,
“Dalam
firman Allah s.w.t. yang berbunyi:
“Tidakkah
orang kafir itu melihat langit dan
bumi itu pada mulanya adalah sesuatu yang padu. Kemudian kami pisahkan keduanya.”[5]
“Apakah
yang dimaksudkan dengan padu dan pisah tersebut?” Imam Muhammad Baqir menjawab,
“Yang dimaksudkan dengan langit itu padu
adalah tidak menurunkan hujan dan bumi itu terpisah adalah yang tidak
mengeluarkan tanam-tanaman. Kemudian Allah s.w.t. membelah langit dengan hujan
dan membelah bumi dengan munculnya tanam-tanaman.” Setelah mendapat jawapan
tersebut, Amru bin Abid terdiam dan tidak memberikan komentar apa pun. Pada
hari yang lain Amru bin Abid datang lagi dan bertanya,
“Sila
terangkan kepada saya tentang maksud firman Allah s.w.t. yang berbunyi:
“Dan barangsiapa ditimpa kemurkaanku, maka
binasalah dia.”[6]
“Yang
dimaksudkan adalah azab wahai Amru, sebab Allah s.w.t. murka kepada makhluknya
dengan mendatangkan sesuatu yang menimpanya, lalu sesuatu itu mengubah dari
kedudukannya semula dengan kedudukan yang lain. Barangsiapa menganggap Allah
s.w.t. boleh berubah kerana marah ataupun suka dan berpendapat seperti itu
bererti dia telah memberikan sifat kepada Allah s.w.t. dengan sifat makhluk.”[7]
Muhammad bin al-Munkadar, seorang tokoh sufi
berkata,
“Aku tidak pernah melihat orang seperti Imam
Ali Zainal Abidin bin Saidina Husain itu boleh mengatakan beliau telah
meninggalkan seseorang yang menyerupai dirinya dalam hal keutamaannya,
sehinggalah kemudian aku melihat anaknya Imam Muhammad Baqir bin Imam Ali
Zainal Abidin. Oleh itu satu hari aku menasihati beliau tetapi malahan beliau
telah menasihatiku pula. Para sahabat Muhammad
bin al-Munkadar bertanya kepadanya, “Nasihat apa yang beliau berikan kepadamu?”
Muhammad al-Munkadar menceritakan, “Pada suatu hari yang sangat panas aku
menuju salah satu sudut Kota Madinah al-Munawwarah. Di situ aku bertemu dengan
Imam Muhammad Baqir. Beliau adalah orang yang berbadan besar dan ketika itu
sedang dipapah dua orang pembantunya. Lalu aku berkata dalam hati, rupanya
inilah salah seorang tokoh Quraisy masa kini yang keadaannya sudah seburuk ini
kerana memburu kekayaan. Demi Allah, aku mesti menasihatinya. Lalu aku pun
menghampirinya dan mengucapkan salam yang beliau jawab dengan ringkas. Ketika
itu beliau dalam keadaan berpeluh. Lantas aku mengatakan, semoga Allah s.w.t.
memelihara kesihatannya. Rupanya tokoh terkemuka Quraisy masa kini sudah
sedemikian keadaannya kerana memburu harta. Jika nanti maut mengundang yang
beliau dalam keadaan seperti ini, apa yang beliau boleh katakan.? Imam Muhammad
Baqir melepaskan pegangan daripada kedua pembantu beliau lalu bersandar ke
dinding dan mengatakan jika sekiranya maut menjemputnya dalam keadaan seperti
ini, maka demi Allah s.w.t., beliau tetap berada dalam ketaatan kepada Allah
s.w.t.. Beliau mengatakan bahawa beliau tidak pernah menggangguku dan mengganggu
orang lain. Yang beliau takutkan adalah bila beliau meninggal kelak beliau berada
dalam keadaan maksiat kepada Allah s.w.t.. Mendengar jawapan itu, aku lalu
berdoa, semoga Allah s.w.t. merahmatinya. Aku bermaksud ingin menasihatinya,
tetapi beliau pula yang menasihatkan aku.”[8]
Suatu hari seorang Nasrani telah mengeluarkan
kata kesat dan mengejek Imam Muhammad Baqir. Beliau tetap sabar malah mendoakan
supaya orang tersebut diampuni Allah s.w.t. serta diberi petunjuk. Melihat
akhlak Imam Muhammad Baqir yang sangat mulia itu dan menyedari beliau adalah
seorang yang berkeperibadian tinggi, maka dia terus meminta maaf dan memeluk
Agama Islam di hadapannya.
Suatu
ketika Imam Muhammad Baqir berkata,
“Tidak ada sesuatu yang boleh diungkapkan
secara tepat dengan sesuatu yang lain kecuali kesabaran dan ilmu.”
“Ada tiga perkara yang akan mendapat
kemuliaan dunia dan akhirat. Pertama, memaafkan orang yang berbuat zalim
kepadamu. Kedua, menghubungkan tali persaudaraan antara dua orang yang
bertelagah. Ketiga, bersikap sabar terhadap orang yang bertindak bodoh
terhadapmu.”
“Seseorang itu belum boleh disebut alim
kecuali dia tidak lagi dengki kepada orang yang melebihi dirinya dari apa segi
pun serta tidak merendah-rendahkan orang yang lebih rendah daripadanya.”
Kalimah dan pesanan beliau itu sering
dijadikan pedoman dan iktibar kerana kalimah tersebut mempunyai ikatan kuat
yang mengalir daripada permikiran ilmiah Imam Muhammad Baqir yang beliau
sendiri adalah pewaris keturunan Rasulullah s.a.w. yang telah disucikan dari
nista dan dosa sebagaimana fiman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran:
“Sesungguhnya
Allah s.w.t. ingin menghilangkan dosa kamu Ahlul-Bait (Keluarga Rasulullah
s.a.w.) dan mensucikan kamu sesuci-sucinya.”[9]
Bapa
Imam Muhammad Baqir iaitu Imam Ali Zainal Abidin telah meninggal dunia pada 12
haribulan Muharam tahun 95 Hijrah. Beliau syahid akibat diracun pemerintah Bani
Umayyah. Semenjak bapa Imam Muhammad Baqir meninggal dunia, beliaulah yang
menggantikan bapanya menjalankan tugas harian seperti mengajar masyarakat
setempat, menjadi Imam masjid dan sebagainya. Semenjak beliau menerajui bidang
pendakwah, Kota Madinah al-Munawwarah mulai menjadi tumpuan serta menjadi pusat
pelbagai ilmu. Murid beliau datang dari segenap penjuru.
PEMERINTAHAN
BANI UMAYYAH
Di zaman pemerintahan Khalifah Walid bin
Abdul Malik, dia seorang khalifah yang lebih cenderung kepada keduniaan yang
suka mendirikan gudang besar dan bangunan sehinga menjadi buah mulut orang
sebagai seorang yang amat cenderung kepada wanita dan makanan yang lazat.[10]
Dua
tahun kemudian iaitu pada tahun 96 Hijrah tampuk pemerintahan telah diambil
alih oleh Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik. Dia amat berhati-hati ketika
menjadi khalifah kerana dia sangat khuatir kekuasaannya direbut Imam Muhammad
Baqir. Sebab sebelum ini pun dia telah melakukan kekejaman terhadap bapa Imam
Muhammad Baqir iaitu Imam Ali Zainal Abidin. Ketika menjadi penguasa dia sibuk
memecat seluruh panglima sebelumnya yang telah diberi kepercayaan Khalifah
Walid bin Abdul Malik. Dia juga sangat membenci keluarga al-Hajjaj.
Kebenciannya berpunca dari persoalan peribadi. Suatu penganiayaan yang lebih
kejam lagi yang dilakukan Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik ialah terhadap
panglima besar Musa bin Nusair. Dengan penganiayaan itu bukan kerana masalah
putera mahkota tetapi semata-mata timbul dari ketamakan Khalifah Sulaiman bin
Abdul Malik sendiri dan kecintaannya yang berlebih-lebihan terhadap dunia.[11] Menurut
riwayat, Musa bin Nusair datang dari Andalus membawa hadiah dan barang
bungkusan untuk diserahkan kepada Khalifah Walid bin Abdul Malik. Ketika dalam
perjalanan, Khalifah Walid bin Abdul Malik sedang jatuh sakit di Damsyiq.
Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik ingin sekali supaya Khalifah Walid bin Abdul
Malik meninggal dunia dan kesemua hadiah serta barang bungkusan dari Andalus
itu jatuh ke tangannya. Maka Sulaiman bin Abdul Malik menulis surat kepada Musa
bin Nusair supaya dia berjalan secara perlahan dalam perjalanannya sehingga
Khalifah Walid bin Abdul Malik meninggal dunia. Sebab itu Khalifah Sulaiman bin
Abdul Malik menaruh dendam terhadap Musa bin Nusair. Ketika Khalifah Sulaiman
bin Abdul Malik menjadi ketua pemerintah, maka Musa bin Nusair ditangkap,
diseksa dan dipenjarakan, kemudian disita semua harta benda serta dipaksa
membayar denda yang besar jumlahnya sehingga Musa bin Nusair terpaksa meminta
pertolongan Bangsa Arab untuk membayar denda tersebut.[12]
Semasa
pemerintahannya dia telah tenggelam dalam kemewahan, wanita dan makanan yang
lazat. Istananya juga telah dibesarkan dan dihiasi dengan barang yang bernilai
dan permaidani yang mahal. Sikapnya yang boros serta menyalahgunakan kuasa dan
harta kerajaan menyebabkan berlaku penentangan ke atasnya. Rakyat tidak lagi
menyokongnya sebaliknya mereka mahukan pemerintahan yang berwibawa dan
berakhlak mulia. Akhirnya, pada tahun 96 Hijrah kekuasaan Khalifah Sulaiman bin
Abdul Malik jatuh ke tangan Umar bin Abdul Aziz. Semasa pemerintahan Khalifah
Umar bin Abdul Aziz terjadilah perubahan besar kepada Agama Islam. Walaupun dia
hanya memerintah selama dua tahun sahaja namun, sikapnya terhadap keturunan
Rasulullah s.a.w. banyak berubah. Dia berusaha menghalang serangan,
menghapuskan sebahagian daripada kezaliman dan menghapuskan kata nista terhadap
Imam Muhammad Baqir dan keturunannya.
Hisyam bin Muaz berkata,
“Suatu hari aku bersama Khalifah Umar bin
Abdul Aziz pergi ke Majlis yang diadakan untuk meraikannya ketika dia
menziarahi Madinah al-Munawwarah. Kemudian dia menyuruh petugasnya mengumumkan
sesiapa yang mempunyai tuntutan terhadap penguasa atau berasa dizalimi digesa
supaya menemui Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Tidak lama kemudian Imam Muhammad
Baqir pun menghadap dan ketika beliau sampai di istana Khalifah Umar bin Abdul
Aziz beliau, melihat khalifah sedang mengesat air matanya. Imam Muhammad Baqir
kehairanan dan berkata,
“Apa yang menyebabkan anda menangis wahai
Khalifah?” Kemudian Hisyam bin Muaz yang berada di situ pun menjawab bagi pihak
Khalifah Umar bin Abdul Aziz,
“Dia menangis kerana mengenangkan kezaliman
dan penghinaan yang dilakukan ke atasmu oleh pemerintah terdahulu, wahai waris
Rasulullah.” Maka Imam Muhammad Baqir pun menjawab,
“Wahai Khalifah, dunia ini memang tidak ubah
seperti sebuah pasar. Darinya terdapat orang yang keluar membawa barang yang
bermanfaat dan ada pula yang membawa barang yang memudaratkan. Ramai yang
terpedaya oleh perkara yang selama ini kita lihat hinggalah maut menjemput
mereka. Mereka melakukan sesuka hati mereka bila memerlukan sesuatu lalu keluar
dengan cara hina sehingga tidak membawa bekal untuk menjadi saksi di akhirat kelak.
Takutlah kepada Allah s.w.t. wahai Khalifah, bukalah pintu istana supaya mudah
orang ramai menghadap Tuan dan mengemukakan masalah. Bantulah orang yang
dizalimi. Pulangkanlah harta mereka yang dirampas.” Akhirnya, Khalifah Umar bin
Abdul Aziz menjadi insaf dan semenjak itu dia sering mengutamakan Imam Muhammad
Baqir. Ketika melihat kelakuan Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang semakin
cenderung terhadap Imam Muhammad Baqir, keluarganya datang dan berkata,
“Sesungguhnya
Bani Umayyah tidak senang melihat anda mengutamakan keturunan Fatimah az-Zahra’
binti Muhammad dan Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib.” Khalifah Umar bin Abdul
Aziz menjawab,
“Saya mengutamakan beliau kerana saya pernah mendengar
sabda Rasulullah s.a.w. yang berbunyi, “Sesungguhnya Fatimah az-Zahra’ adalah
sebahagian daripadaku. Gembiralah daku jika dia gembira dan sedihlah daku jika
dia bersedih. Saya hanya berharap Rasulullah s.a.w. bergembira dan menghindari
kesedihannya.”
Sayangnya pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul
Aziz hanya dapat bertahan selama dua tahun sahaja. Dia meninggal dunia akibat
diracun oleh keluarganya sendiri. Mereka tidak senang melihat Khalifah Umar bin
Abdul Aziz memecat beberapa orang ahli keluarganya yang berkedudukan tinggi.
Sehingalah pada tahun 101 Hijrah pemerintahan negara diambil alih pula oleh
Yazid bin Abdul Malik. Dia pula telah dididik dengan hidup yang penuh
kemewahan, selalu berfoya-foya serta banyak menghabiskan harta kerajaan demi
kepentingan peribadi.
Khalifah Yazid bin Abdul Malik sangat suka
berfoya-foya dengan wanita. Dia juga telah jatuh cinta dengan dua hamba sahayanya
yang bernama Sallamah dan Hubabah. Dia sering menghabiskan waktunya dengan
kedua wanita tersebut. Ketika Hubabah jatuh sakit, Khalifah Yazid bin Abdul
Malik sangat sedih dan dukacita dan setelah Hubabah meninggal dunia Yazid
menjadi sangat kecewa dan hampir-hampir menjadi gila.[13]
Ramai pengikut Imam Muhammad Baqir syahid
akibat kekejaman Khalifah Yazid bin Abdul Malik. Dia juga merancang untuk
membunuh Imam Muhammad Baqir. Pemerintahannya tidak ubah seperti pemerintahan
Yazid bin Muawiyah yang sebelum ini memerintah dengan zalim. Akhirnya,
kekuasaan dan pemerintahan Khalifah Yazid bin Abdul Malik telah dirampas Hisyam
bin Abdul Malik iaitu pada tahun 105 Hijrah. Di zaman pemerintahannya dia telah
mengarahkan pengawalnya supaya membunuh Jabir bin Yazid, seorang pengikut
terkemuka Imam Muhammad Baqir. Oleh kerana kebijaksanaan Imam Muhammad Baqir,
beliau berhasil menggagalkan rancangan mereka untuk membunuh anak murid
setianya. Cara yang dilakukan Imam Muhammad Baqir ialah dengan memerintahkan Jabir
bin Yazid supaya berpura-pura menjadi orang gila. Tanpa berlengah lagi Jabir
pun berpura-pura mengheret kayu dan mengalungkan tulang binatang ke lehernya
sehingga membuatkan kanak-kanak yang melihat mentertawa dan mengejek-ejeknya.
Orang ramai yang melihat Jabir berkeadaan demikian berkata,
“Kesian, Jabir sudah gila.”
Apabila Khalifah Hisyam bin Abdul Malik
memerintahkan penguasa supaya membunuhnya, maka para pembesar berkata,
“Sesungguhnya
Allah s.w.t. telah memberikan kebaikan kepada Jabir. Dia adalah seorang yang
baik dan berilmu. Namun, sayang sekali dia kini sudah gila.”
Setelah
Khalifah Hisyam bin Malik menyaksikan keadaan Jabir benar-benar gila, barulah
dia dilepaskan begitu sahaja dan dia tidak jadi membunuhnya. Semenjak Jabir
terselamat daripada ancaman bunuh oleh penguasa Bani Umayyah, dia telah
mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Imam Muhammad Baqir. Walaupun di
waktu siang dia berpura-pura menjadi gila, namun, di sepanjang malam dia akan
mengikuti pengajian yang dianjurkan Imam Muhammad Baqir. Antara wasiat Imam
Muhammad Baqir kepada Jabir bin Yazid adalah,
“Saya
berpesan kepadamu tentang lima perkara. Pertama, jika anda dizalimi janganlah
anda berlaku zalim. Kedua, jika anda dikhianati janganlah anda berkhianat.
Ketiga, jika anda didustakan janganlah marah. Keempat, jika anda dipuji
janganlah bergembira dan kelima, jika anda dicela janganlah mengeluh.
Fikirkanlah apa yang dikatakan orang mengenai dirimu. Jika anda tahu bahawa
dirimu memang seperti yang dikatakan orang maka jatuhlah air mukamu di sisi
Allah Azza Wajalla. Ketika anda marah menghadapi kebenaran yang dikatakan
kepadamu, adalah bencana yang jauh lebih hebat dibanding kekhuatiranmu tentang
kejatuhanmu di mata manusia. Tetapi bila anda memang tidak seperti yang
dikatakan itu, maka anda akan memperolehi pahala tanpa bersusah payah.”
“Ketahuilah,
anda tidak berhak menyebut kami sebagai perlindungmu, sebelum orang di daerahmu
sepakat mengenal dirimu dan mengatakan bahawa anda adalah lelaki yang jahat,
lalu anda tidak berkecil hati kerana itu. Dan seandainya mereka mengatakan anda
orang yang soleh, lalu anda tidak bergembira kerana itu. Tetapi mantapkanlah
dirimu dengan Kitabullah. Bila anda benar-benar berjalan di atas jalannya
dengan kezuhudan seperti diajarkan, menyukai sesuatu yang dianjurkan, takut
terhadap apa yang diancam, maka percayalah pada diri sendiri dan bergembiralah,
sebab apa yang dikatakan orang tentang dirimu tidak akan membahayakanmu
walaupun sedikit. Bila anda benar-benar boleh menemukan penjelasan Al-Quran,
maka tidak akan ada sesuatu pun dari perkataan orang yang akan memperdayakanmu.
Seorang Mukmin akan memperolehi bantuan dengan usahanya menakluk diri dalam
mengalahkan hawa nafsu. Sesekali dia akan berpihak kepada kemahuannya dan
menentang hawa nafsu dalam mencintai Allah s.w.t.. Dan di hari yang lain
dirinya dikalahkan hawa nafsu dan dia mengikuti hawa nafsu tersebut. Kemudian
dia memohon perlindungan kepada Allah s.w.t. dan dia melindunginya lalu
meringankan bebannya sehingga dia ingat kepada Allah s.w.t. dan bergegas untuk
bertaubat serta merasa takut kepada seksaanNya. Dengan demikian pengetahuan dan
pemahamannya semakin meningkat dengan takut kepada Allah s.w.t.. Yang demikian
itu disebabkan kerana Allah s.w.t. telah berfirman:
“Sesungguhnya orang yang bertakwa bila
mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah s.w.t., maka
ketika itu juga mereka melihat kesalahan mereka.”[14]
“Wahai Jabir, perbanyakkanlah reda
kepada Allah s.w.t. dalam mencari rezeki dan ikhlaskanlah diri dalam bersyukur.
Sedikitkanlah menurut hawa nafsu dirimu dengan cara sering taat kepada Allah
s.w.t., merenungi diri dan memohon ampun kepadaNya. Ketika menghadapi kejahatan
doronglah dirimu dengan ilmu dan laksanakanlah ilmu dengan amalan yang ikhlas.
Pertahankanlah amalan yang ikhlas dari ancaman kelalaian dengan cara
membangkitkan kesedaran dan gunakanlah kesedaranmu dengan takut yang
sebenar-benarnya. Hindarilah berpoya-poya diri dengan menghadirkan kehidupan
dan berlindunglah dari serangan hawa nafsu
dengan mengikut bimbingan akal. Bertahanlah terhadap tekanan hawa nafsu dengan
petunjuk ilmu. Cahayakanlah amalan ikhlas untuk menyusul di hari pembalasan
serta terjunlah ke medan Qanaah (berpuas hati dengan apa yang ada) dengan
menghindari ketamakan.”[15]
Ketika musim haji tiba, Khalifah Hisyam bin
Abdul Malik telah ke Makkah Mukarramah untuk bersama-sama menunaikan fardu haji.
Imam Muhammad Baqir dan anak beliau, Imam Ja’far Shadiq turut ke Makkah Mukarramah
seperti tahun sebelumnya untuk bersama jamaah haji menunaikan fardu haji. Suatu
ketika Imam Ja’far Shadiq telah berkhutbah di khalayak ramai,
“Sesungguhnya Allah s.w.t. telah
mengutuskan Muhammad s.a.w. itu sebagai pesuruhNya. Kemudian Allah s.w.t. juga
telah melantik kami untuk menjadi pemimpin selepas peninggalan Baginda.
Bergembiralah sesiapa yang mengangkat kami sebagai pemimpin selepas Allah
s.w.t. dan celakalah sesiapa yang memusuhi kami.”
Seterusnya
Imam Ja’far Shadiq menceritakan,
“Khutbah
saya di khalayak ramai, telah disampaikan kepada Khalifah Hisyam bin Abdul
Malik, tetapi dia hanya berdiam diri. Namun, setelah selesai musim haji dan dia
kembali ke Damsyiq. Khalifah Hisyam bin Abdul Malik telah memerintahkan gabenor
Madinah al-Munawwarah supaya mengarahkan Imam Muhammad Baqir dan Imam Ja’far
Shadiq datang menghadap ke istana Damsyiq. Lalu mereka berdua pun dibawa ke
istana Damsyiq dan di sana selama tiga hari mereka tidak diberi makan dan
minum. Pada hari keempat, mereka dihadapkan di depan Khalifah Hisyam bin Abdul
Malik yang ketika itu sedang duduk di atas singgahsananya dan dikelilingi
beberapa ahli pemanah yang sedang sibuk berlatih memanah. Khalifah Hisyam bin
Malik memanggil bapa saya lalu dipersilakan bermain panah dengan pembesar-pembesar.
Dalam jawapannya, bapa saya mengatakan bahawa dia sudah uzur dan tua. Bermain
panah sudah berlalu buatnya. Beliau juga meminta supaya dirinya dikecualikan.
Bagaimanapun, Khalifah Hisyam bin Abdul Malik tetap mengarahkan bapa saya
memanah untuk menguji kecekapannya. Khalifah Hisyam bin Abdul Malik memanggil
seorang tua dari Bani Umayyah lalu menyuruhnya memberikan baur dan anak panah
kepadanya. Bapa saya pun mengambil baur dan anak panah yang diberikan lalu mula
untuk memanah. Dengan izin Allah s.w.t. anak panah pertama telah mengenai
sasarannya. Kemudian sekali lagi bapa saya menarik anak panah dari baurnya lalu
dilepaskan. Kali ini anak panah yang kedua telah mengenai anak panah yang
pertama sehingga patah dan anak panah yang kedua juga terpacak di sasarannya.
Apabila anak panah ketiga dilepaskan, ianya telah mengenai anak panah kedua
lalu patah dan anak panah ketiga juga terpacak di sasarannya. Begitulah
seterusnya, sehinggalah anak panah kelapan. Para hadirin menjadi kagum dengan
kepintaran bapa saya memanah, lalu mereka berdiri dan mengucapkan tahniah.
Khalifah Hisyam bin Abdul Malik yang berada di situ turut merasa kagum lalu
mengucapkan tahniah kerana bapa saya adalah seorang ahli pemanah yang handal.
Khalifah Hisyam bin Abdul Malik merasa hairan, mengapa bapa saya mengatakan
yang beliau sudah lupa memanah. Sedangkan beliau adalah seorang yang handal
memanah jika dibandingkan Orang Arab dan yang Bukan Arab.
Khalifah Hisyam bin Abdul Malik menundukkan
kepala dan berfikir bagaimana untuk menamatkan riwayat hidup bapa saya. Dia
berfikir begitu lama sehingga bapa saya menjadi marah. Beliau memandang ke
langit sehingga menampakkan kemarahannya. Khalifah Hisyam bin Abdul Malik yang
mengetahui tentang kemarahan bapa saya turun dari singgahsananya lalu mengajak
bapa saya duduk di sebelah kanannya seraya memuji bapa saya kerana beliau
sungguh bertuah berketurunan Quraisy yang semulia-mulia kaum jika dibandingkan
Orang Arab dan orang Bukan Arab. Khalifah Hisyam bin Abdul Malik juga
mengucapkan tahniah dan bertanya dari manakah beliau belajar memanah dan berapa
lama beliau mempelajarinya. Bapa saya mengatakan bahawa penduduk Madinah memang
terkenal kerana cekap memanah. Beliau mempelajarinya semenjak beliau masih
remaja lagi. Kemudian dalam jangka masa yang lama beliau telah tinggalkan,
sehinggalah Khalifah Hisyam bin Abdul Malik memaksanya memanah.
Khalifah Hisyam bin Abdul Malik mengatakan
bahawa beliau belum pernah melihat orang yang handal memanah seperti bapa saya
dan dia juga bertanya adakah saya juga pandai memanah sebagaimana bapa saya.
Dalam jawapan, bapa saya mengatakan bahawa kami mewarisi ilmu kami dari datuk
moyang kami sebagaimana firman Allah s.w.t.:
“Pada
hari aku telah sempurnakan bagimu agamamu dan aku sempurnakan nikmatku untukmu
dan aku meredai Islam itu menjadi
agamamu.”[16]
Khalifah
Hisyam bin Abdul Malik tunduk mendengar ayat suci yang dibacakan dan kemudian
bertanya, adakah dirinya dari keturunan yang sama iaitu dari keturunan keluarga
Abdul Manaf? Dalam jawapannya, bapa saya mengatakan, memang benar, tetapi Allah
s.w.t. telah memberikan keistimewaan ke atas kami yang tidak diberikan kepada
sesiapa. Khalifah Hisyam bin Abdul Malik bertanya lagi, bukankah Rasulullah
s.a.w. itu diutuskan untuk semua umat tidak kira berkulit hitam mahupun putih?
Dari mana bapa saya mengetahui bahawa Rasulullah s.a.w. mewariskan pemimpin,
sedangkan selepas Baginda tiada lagi Nabi. Bapa saya mengatakan, Allah s.w.t.
telah berfirman kepada Rasulullah s.a.w. yang berbunyi:
“Janganlah
engkau (wahai Muhammad) menggerakkan lidahmu dengan Al-Quran supaya bersegera
membacanya (ketika dibacakan Jibrail
kepada engkau)”[17]
Rasulullah s.a.w. telah mendengar dan
membaca ayat ini dengan jelas. Baginda telah memberi keistimewaan ke atas kami
yang tidak diberikan selain keturunan kami. Baginda juga telah mewasiatkan
beberapa rahsia kepada Saidina Ali k.wh. yang tidak diwasiatkan kepada sahabat
yang lain. Dalam hal ini Allah s.w.t. telah berfirman:
Kepada
Saidina Ali k.wh., Rasulullah s.a.w. telah mengatakan bahawa Baginda telah meminta kepada Allah s.w.t. supaya telinga
yang dimaksudkan itu adalah telinga Saidina Ali k.wh.”
Ketika Saidina Ali k.wh. berada di Kuffah,
beliau telah berkhutbah bahawa Rasulullah s.a.w. telah mengajarnya seribu ilmu
yang mana di setiap satu ilmu mengandungi seribu bab. Baginda juga mengatakan
bahawa Baginda adalah kota ilmu dan Ali adalah pintunya. Sesiapa yang ingin
memperolehi ilmu maka datanglah ke pintunya.[19]
Khalifah Hisyam bin Abdul Malik
mengatakan bahawa Saidina Ali k.wh. mendakwa yang beliau mengetahui ilmu ghaib.
Sedangkan hanya Allah s.w.t. sahaja yang mengetahui ilmu ghaib. Dalam jawapan,
bapa sya mengatakan sesungguhnya Allah s.w.t. telah menurunkan Al-Quran kepada
Rasulnya yang mana di dalamnya terkandung pelbagai ilmu yang telah lalu mahu
pun yang mendatang. Di dalam Al-Quran Allah s.w.t. berfirman:
“Kami turunkan kepada engkau kitab
(Al-Quran) untuk menerangkan setiap sesuatu.[20]
Tiap-tiap sesuatu kami perhitungkan di dalam kitab (Al-Quran) yang terang.[21] Kami
tidak tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab (Al-Quran)”[22]
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah mengajar
kepada Saidina Ali k.wh. tentang rahsia Al-Quran. Baginda mengatakan, sesungguhnya
Saidina Ali k.wh. adalah antara orang yang paling alim di kalangan para
sahabat. Akhirnya, Khalifah Hisyam bin Abdul Malik terdiam dan mengarahkan
supaya bapa saya beredar. Kemudian setelah meminta diri, kami pun beredar.
Di
pertengahan jalan, ketika sampai di kawasan lapang kami melihat ramai orang sedang
berkumpul. Bapa saya bertanya, siapakah mereka semua itu? Seorang pembesar
Khalifah Hisyam bin Abdul Malik menjawab bahawa mereka adalah pengikut dan ahli
ibadah Kaum Nasrani. Mereka berkumpul di sini kerana di bukit ini ada seorang
Pendakwah Nasrani yang sangat alim. Setiap tahun mereka akan datang ke sini
untuk menanyakan pelbagai masalah. Kebetulan hari ini hari mereka berkumpul.
Lalu bapa saya pun menghampiri mereka
dan berkumpul bersama mereka. Bapa saya sengaja menutup kepala agar tidak
dikenali dan bersama Kaum Nasrani mendaki bukit tersebut. Mereka mendirikan
sebuah pangkin dan mempersilakan Pendakwah Nasrani tersebut duduk di atasnya.
Pendakwah tersebut sangat tua dan dimaklumkan dia pernah berjumpa beberapa
wakil Nabi Isa yang dipanggil ‘Hawariyyun’.
Manakala pandangannya pula sangat tajam. Bagaikan seekor ular tedung dia
melihat satu persatu wajah pengikutnya. Kini tibalah masanya dia merenung tajam
wajah bapaku. Kemudian dia bertanya kepada bapa saya adakah bapa saya pengikut
Nasrani atau Muhammad. Bapa saya menjawab bahawa beliau adalah pengikut
Muhammad.
Pendakwah
Nasrani bertanya lagi kepada bapa saya, adakah bapa saya seorang ulama Umat Muhammad
atau pengikutnya yang jahil. Dalam jawapannya, bapa saya mengatakan bahawa
beliau bukan daripada pengikutnya yang jahil. Ketika mendengar jawapan bapa
saya, Pendakwah Nasrani agak menggeletar lalu bertanya adakah dia perlu menyoal
bapa saya ataupun bapa saya sahaja yang bertanya. Bapa saya mengatakan, biarlah
dia sahaja yang mengajukan pertanyaan. Pendakwah Nasrani lalu mengatakan bahawa
jarang sekali Umat Muhammad memintanya bertanya sesuatu. Oleh itu dia meminta
izin untuk bertanya beberapa soalan. Dalam soalannya Pendakwah Nasrani bertanya
tentang satu keadaan yang bukan dinamakan malam ataupun siang. Bapa saya lalu menjawab,
iaitu ketika waktu Subuh sehingga
sebelum terbit matahari. Pendakwah Nasrani bertanya lagi, bilakah ianya akan
berlaku? Dalam jawapannya, bapa saya mengatakan ketika berada di dalam syurga.
Di mana, ketika itu (ketika waktu Subuh sehingga sebelum terbit matahari) orang
yang sakit akan merasa sihat walafiat. Kesakitan akan hilang. Sesiapa yang
tidak tidur dan beramal ketika itu (ketika Subuh sehingga sebelum terbit
matahari), dia akan mendapat kesenangan di hari akhirat kelak. Manakala orang
yang tidak beramal ketika itu (ketika Subuh sehingga sebelum terbit matahari)
akan mendapat balasan di hari akhirat kelak.
Pendakwah Nasrani membenarkan jawapan bapa
saya. Kemudian dia bertanya kepada bapa saya yang mendakwa bahawa penghuni
syurga makan dan minum tetapi tidak membuang air kecil dan besar. Dia juga
bertanyakan adakah perumpamaannya di dunia ini.
Bapa saya mengatakan perumpamaannya adalah
seperti seorang bayi yang berada di dalam kandungan ibunya. Dia makan dan minum
sebagaimana ibunya makan dan minum. Tetapi dia tidak membuang air kecil dan
besar.
Pendakwah
Nasrani bertanya lagi tentang dakwaan bapa saya yang mengatakan bahawa
buah-buahan di syurga tidak akan rosak walaupun dimakan beberapa kali. Dia
bertanyakan adakah perumpamaannya di dunia ini.
Bapa saya mengatakan perumpamaannya
adalah seperti lampu yang jika seratus ribu buah lampu dinyalakan, walaupun ada
sebuah dua yang rosak cahayanya tidak akan berkurangan.
Pendakwah Nasrani sangat kagum dengan
kepintaran bapa saya. Pada malam berikutnya, Pendakwah Nasrani tersebut telah
berjumpa dengan bapa saya dan menyatakan keislamannya. Khalifah Hisyam bin
Abdul Malik telah mengetahui tentang perbincangan di antara bapa saya dengan
Pendakwah Nasrani. Kemudian dia mengirimkan beberapa hadiah dan mengarahkan
beliau bersegera ke Madinah al-Munawwarah.
Sebelum
itu Khalifah Hisyam bin Abdul Malik telah menghantar seorang utusan supaya
mengarahkan orang ramai memaki hamun kami berdua. Sesiapa yang menyambut atau
memberi salam kepada kami berdua akan diancam bunuh. Begitulah yang berlaku
ketika kami sampai di daerah Madyan. Ketika kami sampai di daerah tersebut
orang ramai memaki hamun kami dan melaknat keturunan Saidina Ali k.wh bin Abi
Thalib. Apabila kami sampai di pintu gerbang daerah Madyan, bapa saya telah
berkhutbah di khalayak ramai dan menyeru penduduk Madyan supaya takut kepada
Allah s.w.t.. Bapa saya juga menyangkal sangkaan mereka dan bapa saya
mengatakan, jika kami seperti apa yang mereka sangkakan, ibarat mereka telah berjual-beli
dengan Yahudi dan Nasrani. Mengapa mereka tidak mahu membaiat (menyokong) kami?
Dalam jawapan mereka, penduduk Madyan mengatakan kami semua lebih jahat
daripada orang Yahudi dan Nasrani. Mereka menyangka Orang Yahudi dan Nasrani
masih membayar jizyah kepada pemerintahan sedangkan kami semua tidak.
Walaupun
bapa saya mengajak mereka ke arah kebaikan dan menasihati mereka, namun, ianya
hanya sia-sia sahaja. Kemudian bapa saya berjalan menuju ke sebuah bukit lalu
mendaki dan menghadap ke arah Kaum Madyan sambil menadah tangan seraya berdoa
sebagaimana Nabi Syuib menaiki sebuah bukit dan berdoa meminta supaya Allah
s.w.t. menurunkan azab ke atas umatnya yang ingkar, sebagaimana Allah s.w.t.
berfirman:
Tidak
lama kemudian langit mulai hitam dan rebut taufan pun melanda daerah Madyan
yang bunyinya sangat menakutkan. Ketika seorang lelaki tua menyaksikan hal
tersebut dia pun berteriak kepada kaum Madyan, supaya takut kepada Allah
s.w.t.. Dia juga bersumpah jika mereka tidak mendengar nasihat bapa saya
nescaya azab Tuhan akan turun sebagaimana diturunkan ke atas pengikut Nabi
Syuib.
Tidak
lama kemudian penduduk Madyan merasa takut dan menjemput kami masuk ke rumah
mereka sambil menghidangkan kami dengan makanan. Kami juga dibenarkan menginap
di situ buat beberapa waktu.
Pemimpin Madyan yang menyaksikan kejadian
tersebut telah menulis surat kepada Khalifah Hisyam bin Abdul Malik dan memerintahkan
supaya lelaki tua tersebut dihukum bunuh.”
Walaupun Imam Muhammad Baqir baru tiba
di Kota Madinah al-Munawwarah, Khalifah Hisyam bin Abdul Malik telah
memerintahkan supaya beliau ditangkap. Tidak lama kemudian Imam Muhammad Baqir
telah dibawa ke Damsyiq dan dipenjarakan. Ketika di dalam penjara beliau tetap
menyampaikan nasihat dan ilmu kepada pengikutnya, sehingga beberapa pengawal
penjara telah menjadi akrab kepada beliau. Melihat kejadian itu seorang
pengawal penjara telah menyampaikan berita tersebut kepada Khalifah Hisyam bin
Abdul Malik bahawa Imam Muhammad Baqir masih menyebarkan Agama Islam dan
mempunyai pengaruh yang kuat.
SYAHID
Akhirnya, Khalifah Hisyam bin Abdul Malik
memerintahkan supaya Imam Muhammad Baqir di hantar pulang ke tempat asalnya.
Ketika sampai di Kota Madinah al-Munawwarah, pengikut beliau menyambutnya
dengan perasaan gembira dan keesokan harinya beliau memulakan pengajian seperti
biasa. Dari hari ke hari ramai orang mengikut pengajian Imam Muhammad Baqir.
Pengikut beliau bukanlah hanya terdiri daripada penduduk setempat sahaja
malahan penduduk dari daerah luar pun turut hadir. Melihat kejadian tersebut
Khalifah Hisyam bin Abdul Malik memerintahkan pembesarnya supaya menangkapnya.
“Tangkaplah
Imam Muhammad Baqir. Aku mahu kamu bunuh sahaja dia.” Perintah Khalifah Hisyam
bin Abdul Malik. Sekali lagi Imam Muhammad Baqir ditangkap dan dipenjarakan.
Ketika di dalam penjara beliau telah diracun. Tidak lama kemudian beliau
dibebaskan tetapi beliau telah menderita sakit akibat keracunan. Akhirnya, pada
7 haribulan Zulhijjah tahun 114 Hijrah beliau telah kembali kerahmatullah.
Jasad beliau disemadikan diperkuburan Baqi’ di Madinah al-Munawwarah. Pengikut
Imam Muhammad Baqir merasa sedih di atas kematiannya dan mereka telah berkabung
selama empat puluh hari sambil mendoakan semoga roh pemimpin mereka dicucuri
rahmat.
[1] Syeikh Shaduq di dalam Ikmaluddin Wa
Itmamunni’mah – 252.
[2] Ilzamunnashib di dalam Yanabi’ al-Mawaddah
dan Ikmaluddin Wa Itmamunni’mah.
[3] Syeikh Mufid di dalam al-Irsyad muka surat 294 dalam bab fi
Zikri Imam Muhammad Baqir.
[4] Syeikh Mufid di dalam al-Irsyad.
[5] Surah al-Anbiya’ ayat: 30.
[6] Surah Thaha ayat: 81.
[7] Al-Ihtijaj jilid ii, bab al-Baqir.
[8] Syeikh al-Mufid di dalam al-Irsyad, bab fi
Fadhail al-Baqir.
[9] Surah al-Ahzab ayat: 33.
[10] Sejarah dan Kebudayaan Islam, oleh Prof.
Ahmad Shalabi, muka surat
6.
[11] Hasan Ibrahim Hasan di dalam Tarikh al-Islam
jilid i muka surat
330 – 331.
[12] Ibnu Qutaibah di dalam al-Imamah Wa as-Siasah
muka surat 79 –
80.
[13] Tarikh al-Umam Wa al-Muluk jilid 5 muka surat
374 – 375, al-Aghani jilid 13 muka surat 157 – 158, Al-Kamil fi at-Tarikh jilid
4 muka surat 66 dan al-Fakhri fi al-Adabi as-Sulthaniah muka surat 112.
[14] Surah al-A’raf ayat: 201.
[15] Tuhaf al-Uqul, bab Ma Rawa Min Abi Ja’far.
[16] Surah al-Maidah ayat: 3.
[17] Surah al-Qiamah ayat: 16.
[18] Surah al-Haqqah ayat: 12.
[19] Al-Mustadrak
oleh al-Hakim, jilid iii muka surat
126.
[20] Surah al-Nahl ayat: 89.
[21] Surah Yasin ayat: 12.
[22] Surah al-An’am ayat: 38.
[23] Surah al-Hud ayat: 86.