Fatimah binti Asad adalah seorang wanita
yang sangat mulia dan sentiasa mengabdikan diri kepada Allah s.w.t.. Beliau
sering kelihatan bertawaf di Ka’bah sambil berzikir dan bermunajat. Beliau
berharap supaya dikurniakan zuriat yang baik dan menjadi pemimpin umat,
sebagaimana Allah s.w.t. telah mengurniakan Nabi Ibrahim a.s zuriat yang baik
dan menjadikannya pemimpin umat.
Ketika Fatimah binti Asad sedang sarat
mengandung beliau telah menuju ke Ka’bah untuk bermunajat. Sedang beliau asyik
bertawaf sambil bermunajat, tiba-tiba perutnya terasa sakit lantaran saat
kehamilan hampir tiba. Kemudian Fatimah binti Asad menghampiri Ka’bah lalu
berdoa semoga Allah s.w.t. memudahkan kelahiran bayi yang dikandung selama ini.
Baru sahaja Fatimah binti Asad mengangkat
kepala dari sujud, tiba-tiba dinding Ka’bah retak dan terbelah oleh sesuatu
kekuatan yang ghaib. Lalu seperti ada suara yang mengarahkan supaya beliau
masuk ke dalam Ka’bah dan bahagian dinding tersebut kembali seperti sediakala.
Abbas
bin Abdul Muthalib yang menyaksikan kejadian tersebut merasa sangat kagum lalu
memanggil orang ramai dan meminta supaya membuka kunci pintu Ka’bah. Setelah
dicuba beberapa kali namun, pintu Ka’bah seolah-olah tidak menerima sesiapa
melainkan Fatimah binti Asad sahaja. Berita tentang peristiwa yang menakjubkan
tersebut telah tersebar luas di seluruh Makkah al-Mukarramah.
Fatimah binti Asad telah melahirkan seorang
bayi lelaki yang sangat comel dengan mata bayi tersebut masih tertutup dan
tubuhnya dalam keadaan sujud merendahkan diri kepada Yang Maha Esa.
Sebenarnya Fatimah binti Asad tinggal di dalam
Ka’bah selama tiga hari dan pada hari keempat, Rasulullah s.a.w datang untuk
melihat bayi yang baru dilahirkan. Baginda mendukung bayi tersebut lalu pulang
bersama Fatimah binti Asad dan Abu Thalib.
Bayi yang masih suci ini lahir pada hari
Jumaat 13 haribulan Rejab tahun 30, tahun Gajah iaitu sepuluh tahun sebelum
Rasulullah s.a.w. diutuskan.
Walaupun bayi tersebut merupakan putera
keempat, namun, ayahnya memandang sebagai kurniaan besar yang dilimpahkan oleh
Allah s.w.t.. Kegembiraan Abu Thalib terserlah dari perintah Rasulullah s.a.w.
yang menyuruhnya menyegerakan kenduri kesyukuran. Keesokan hari beberapa ekor
kambing telah disembelih. Pembesar-pembesar Quraisy telah diundang untuk
menjayakan kenduri kesyukuran itu. Pada kesempatan itu Abu Thalib mengumumkan
pemberian nama Ali kepada anaknya yang baru lahir. ‘Ali’ bermaksud luhur dan tinggi, manakala Fatimah binti Asad telah
menggelarnya ‘Haidar’ yang bermaksud
singa. Ianya satu nama yang diambil persamaannya dari nama Asad iaitu nama
datuk dari pihak ibunya yang juga bermaksud singa.
Nama sebenar beliau ialah Saidina Ali k.wh.
bin Abi Thalib bin Abdul Muthalib bin Hasyim bin Abdul Manaf bin Qusai bin
Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Lu’i bin Ghalib bin Fahr bin Malik bin An-Nadr
bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilias bin Mudar bin Nizar bin Ma’ad
bin Adnan bin Add bin Humaisi’ bin Salaman bin Aus bin Buz bin Qamwal bin Ubai
bin ‘Awwam bin Nasyid bin Haza bin Bildas bin Yadlaf bin Tabikh bin Jahim bin
Nahisy bin Makhi bin Aid bin ‘Abqar bin ‘Ubaid bin Ad-Da’a bin Hamdan bin
Sanbir bin Yathrabi bin Yahzin bin Yalhan bin Ar’awi bin Aid bin Disyan bin
Aisar bin Afnad bin Aiham bin Muksar bin Nahits bin Zarih bin Sami bin Wazzi
bin ‘Adwa bin Aram bin Haidir bin Nabi Ismail a.s. bin Nabi Ibrahim a.s. bin
Azar bin Nahur bin Saru’ bin Ra’u bin Falikh bin Abir bin Syalikh bin Arfakhsyad
bin Sam bin Nabi Nuh a.s. bin Lamik bin Matusalakh bin Idris bin Yarid bin
Mahlail bin Qinan bin Anwas bin Syits bin Nabi Adam a.s..
Saidina Ali k.wh. membesar di bawah
naungan Rasulullah s.a.w.. Beliau pernah diberi julukan ‘Abu Turab’ bermaksud bapa tanah. Pemberian julukan tersebut ada
kaitan dengan peristiwa di mana suatu hari Saidina Ali k.wh. ditemui sedang
tidur di atas tanah. Rasulullah s.a.w. telah bertemu dan melihat Saidina Ali
k.wh. sedang tidur terbaring di atas tanah. Baginda menghampiri Saidina Ali
k.wh. dan membersihkan debu yang melekat di badannya. Kemudian Baginda pun
bersabda,
“Duduklah anda wahai Abu Turab.”
MENJADI
PEMBANTU RASULULLAH S.A.W
Ketika Rasulullah s.a.w. menerima
perintah Allah s.w.t. supaya melakukan dakwah secara terbuka, Saidina Ali k.wh.
turut serta mengambil bahagian sebagai pembantu. Beliau berkata ,
“Setelah
turun ayat ke 214 Surah Asyura iaitu perintah Allah s.w.t. kepada RasulNya
supaya memperingati kaum kerabat yang terdekat, Baginda telah memanggilku
seraya berkata, “Wahai Ali, Allah s.w.t. telah memerintahkan supaya daku
memberi peringatan kepada kaum keluargaku yang terdekat. Daku merasa agak sedih
sebab daku tahu jika daku berdakwah kepada mereka untuk melaksanakan perintah
itu daku akan mengalami sesuatu yang tidak daku gemari. Oleh itu daku hanya
berdiam diri sahaja sehingga datanglah Jibrail dan berkata kepadaku, “Wahai Muhammad,
jika engkau tidak melakukan seperti yang diperintahkan kepadamu, Tuhan akan
menjatuhkan azab kepadamu.”
“Oleh itu wahai Ali, siapkanlah makanan. Masaklah
peha kambing dan sediakan untuk kita di dalam mangkuk besar. Setelah itu
kumpulkan keluarga Bani Muthalib. Mereka hendak daku ajak berbincang dan akan
daku sampaikan apa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. kepadaku.”
Saidina Ali k.wh. meriwayatkan,
“Semua yang diperintahkan Baginda, saya
kerjakan segera. Kemudian keluarga Bani Abdul Muthalib saya panggil supaya
hadir. Mereka semua berjumlah 40 orang. Antara mereka terdapat bapa saudara
Rasulullah s.a.w. seperti Hamzah, Abbas dan Abu Thalib. Setelah semuanya
berkumpul, Rasulullah s.a.w. memanggilku dan memerintahkan supaya makanan
segera dihidangkan. Hidangan itu saya sajikan. Rasulullah s.a.w. mengambil
sepotong daging lalu diletakkan ke tepi. Baginda mempersilakan mereka menikmati
hidangan.”
“Silakanlah makan, Bismillah.”
“Mereka semua makan dan minum
sekenyang-kenyangnya. Demi Allah, mereka semua makan dan minum sebanyak yang saya
hidangkan. Ketika Rasulullah s.a.w. ingin memulakan perbicaraan, Baginda telah
didahului oleh Abu Lahab dengan berkata secara sinis kepada para hadirin, “Anda
semua benar-benar telah disihir oleh saudara anda sendiri.” Ramai yang
terpengaruh dengan ucapan Abu Lahab lalu meninggalkan tempat tersebut.”
“Keesokan
hari saya diperintahkan lagi oleh Rasulullah s.a.w. supaya menyediakan sesuatu
seperti semalam. Setelah mereka makan dan minum secukupnya, Rasulullah s.a.w.
bersabda kepada mereka, “Wahai Bani Abdul Muthalib, demi Allah, daku tidak
pernah mengetahui ada seorang pemuda dari kalangan Orang Arab yang datang
kepada kaumnya membawa sesuatu yang lebih mulia daripada yang daku bawa kepada
anda semua. Untuk anda semua, daku membawa kebajikan dunia dan akhirat. Allah
s.w.t. memerintahkan daku supaya mengajak anda semua ke arah itu. Sekarang,
siapakah antara anda semua yang mahu membantuku dan bersedia menjadi saudaraku,
penerima wasiatku dan kekhalifahanku?”
“Semua yang hadir mendiamkan diri. Hanya saya
sendiri yang menjawab, “Saya.” Waktu itu saya katakan lagi, “Wahai Rasulullah,
sayalah yang akan menjadi pembantu anda.” Baginda mengulangi ucapan tersebut
dan saya pun mengulangi kembali kenyataan saya. Kemudian Rasulullah s.a.w.
memegang bahu saya seraya berseru kepada semua yang hadir, “Inilah saudaraku,
penerima wasiatku dan kekhalifahanku kepada anda semua.” Semua yang hadir
berdiri sambil ketawa terbahak-bahak. Mereka berkata hampir serentak kepada Abu
Thalib, “Dia (Muhammad) menyuruhmu supaya taat kepada anakmu?”[1]
KARRAMALLAHU
WAJHAH
Semenjak kecil Saidina Ali k.wh. tidak
pernah menyembah dan sujud melainkankan kepada Allah s.w.t.. Sebab itulah
beliau digelar ‘Karramallahu Wajhah’ iaitu wajah yang telah
dimuliakan Allah s.w.t.. Saidina Ali k.wh. juga memiliki empat sifat yang tidak
dimiliki oleh sesiapa pun di dunia ini, iaitu:
Pertama, beliau
merupakan orang pertama antara orang Arab dan bukan Arab yang bersembahyang
bersama Rasulullah s.a.w..
Kedua, pembawa bendera
pasukan Rasulullah s.a.w. dalam setiap peperangan.
Ketiga, bersabar
bersama Rasulullah s.a.w. ketika orang lain melarikan diri.
Keempat, orang yang
mengkafan dan menguburkan jenazah Rasulullah s.a.w..
Saidina Ali k.wh. diberi gelaran Abu Hasan,
Abu Husain, Abu Nurain dan Abu Turab. Beliau juga diberi julukan al-Murtadha,
Haidarah dan Amirul Mukminin. Beliau diberi keistimewaan dari gelaran khalifah
sehingga dengan sebutan Imam, terutama keluasan ilmu pengetahuan telah dipenuhi
olehnya.
ANCAMAN
BUNUH
Ketika orang kafir Quraisy bersiap sedia
untuk membunuh Rasulullah s.a.w., penduduk Madinah al-Munawwarah memang telah
bersedia menerima kedatangan Baginda. Rasulullah s.a.w. telah meninggalkan Kota
Makkah al-Mukarramah secara senyap di tengah kegelapan malam. Baginda bersama
Abu Bakar meninggalkan kampung halaman, keluarga tercinta dan sanak saudara.
Baginda berhijrah seperti yang pernah
dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Musa a.s.. Antara orang yang ditinggalkan
oleh Rasulullah s.a.w. termasuk puteri kesayangannya, Fatimah az-Zahra’ dan
anak bapa saudaranya yang diasuh dari kecil iaitu Saidina Ali k.wh. yang selama
ini menjadi pembantu yang dipercayai.
Saidina Ali k.wh. sengaja ditinggalkan
Rasulullah s.a.w. untuk melaksanakan tugas khusus iaitu berbaring di tempat
tidur Baginda bagi mengelabui mata orang Quraisy yang sudah bersedia untuk
membunuh Rasulullah s.a.w.. Baginda berpesan supaya Saidina Ali k.wh.
mengembalikan barang yang dipinjam kepada pemiliknya. Kemudian barulah bersama
keluarga Rasulullah s.a.w. untuk segera berhijrah ke Madinah al-Munawwarah.
Saidina Ali k.wh. membeli seekor unta
untuk ditunggangi oleh wanita yang akan berangkat berhijrah. Rombongan hijrah
yang menyusul perjalanan Rasulullah s.a.w. terdiri dari keluarga Bani Hasyim
yang dipimpin oleh Saidina Ali k.wh.. Dalam rombongan ini termasuklah:
·
Fatimah az-Zahra’
binti Rasulullah s.a.w.;
·
Fatimah
binti Asad bin Hasyim (ibu Saidina Ali k.wh.);
·
Fatimah
binti Zubair bin Abdul Muthalib; dan
·
Aiman Abu
Waqid al-Laitsi.
Rombongan Saidina Ali k.wh. berangkat dalam
keadaan terburu-buru. Abu Waqid berjalan agak cepat memimpin unta yang
ditunggangi para wanita agar jangan dikejar orang Quraisy. Melihat keadaan itu
Saidina Ali k.wh. mengingatkan Abu Waqid supaya rombongan berjalan
perlahan-lahan kerana semua penunggang adalah para wanita.
Saidina Ali k.wh. yang dilantik sebagai ketua
rombongan berangkat dengan penuh semangat yang tinggi. Beliau sentiasa bersedia
menghadapi pelbagai kemungkinan.
Kaum
Quraisy sangat marah bila mengetahui rombongan Saidina Ali k.wh. berangkat
menuju ke Madinah al-Munawwarah, lebih-lebih lagi bila rombongan Saidina Ali
k.wh. berani meninggalkan Makkah al-Mukarramah secara terang-terangan di siang
hari.
Mereka telah mengutuskan lapan orang anggota
pasukan berkuda untuk mengejar rombongan Saidina Ali k.wh.. Pasukan tersebut
ditugaskan menangkapnya hidup-hidup atau mati. Lapan orang Quraisy itu berjaya
menghampiri rombongan Saidina Ali k.wh. di sebuah tempat yang bernama Dhajnan.
Setelah Saidina Ali k.wh. mengetahui mereka diekori, beliau segera memerintahkan
dua orang lelaki anggota rombongan supaya menjauhkan unta dan menambatnya.
Beliau sendiri menghampiri para wanita untuk membantu menurunkan mereka dari
atas unta. Seterusnya beliau bergerak ke depan seorang diri menghadapi musuh
dengan pedang terhunus.
Ketika pasukan Quraisy melihat Saidina Ali
k.wh. datang menghampiri mereka, salah seorang daripada mereka berteriak dengan
lantang,
“Wahai
penipu! Apakah engkau kira engkau dapat menyelamatkan perempuan-perempuan itu? Mari
baliklah, engkau sudah tidak berayah lag.” Saidina Ali k.wh. dengan tenang
menjawab,
“Jika saya tidak menuruti katamu?”
“Mahu tidak mahu engkau mesti balik semula.”
Sahut pasukan Quraisy. Lalu mereka berusaha untuk mendekati rombongan wanita,
tetapi Saidina Ali k.wh. menghalang usaha mereka.
Jenah,
seorang hamba sahaya milik Harb bin Umayyah cuba menyerang Saidina Ali k.wh.
dari atas kuda, namun, belum sempat ayunan pedangnya sampai, hentaman pedang
Saidina Ali k.wh. telah mendahului tiba di atas bahunya. Tubuhnya terbelah
menjadi dua sehingga pedang Saidina Ali k.wh. terpacak pada punggung kuda.
Serangan balas secepat kilat itu sangat menggerunkan teman-teman Jenah. Dengan
suara lantang Saidina Ali k.wh. berkata,
“Lepaskan
orang yang hendak pergi berjuang. Saya tidak akan kembali dan saya tidak akan
menyembah selain Allah s.w.t. Yang Maha Esa.”
Pasukan Quraisy berundur ke belakang. Mereka
meminta Saidina Ali k.wh. supaya menyarungkan pedangnya kembali. Saidina Ali
k.wh. dengan tegas menjawab,
“Saya
ingin pergi menemui sepupu saya, Rasulullah s.a.w.. Siapakah yang ingin saya
siat-siat dagingnya dan saya tumpahkan darahnya. Jika berani cubalah hampir
kepadaku.” Tanpa memberi jawapan, pasukan Quraisy pun segera meninggalkan
tempat tersebut.
Di Dhajnan, rombongan Saidina Ali k.wh.
beristirehat semalaman. Ketika itu tiba pula Ummu Aiman, iaitu ibu Aiman yang
mengekori anaknya yang telah pergi terlebih dahulu bersama rombongan Saidina
Ali k.wh..
Keesokan hari rombongan Saidina Ali k.wh.
berserta rombongan Ummu Aiman melanjutkan perjalanan. Saidina Ali k.wh. merasa
amat rindu sekali untuk bertemu Rasulullah s.a.w.. Waktu itu Baginda bersama
Abu Bakar sudah tiba di perkarangan Madinah al-Munawwarah.
Untuk beberapa waktu Baginda tinggal di
Quba. Baginda sedang menanti kedatangan rombongan Saidina Ali k.wh. dengan
penuh kesabaran.
Sepanjang
perjalanan itu, Saidina Ali k.wh. tidak menunggang kenderaan sama sekali. Beliau
berjalan tanpa memakai kasut mengharungi perjalanan sejauh 450 kilometer
sehingga menyebabkan kaki beliau pecah-pecah dan membengkak. Akhirnya, tibalah
semua anggota rombongan dengan selamat di Quba. Betapa gembiranya Rasulullah
s.a.w. menyambut kedatangan orang yang disayangi. Ketika Baginda melihat
Saidina Ali k.wh. tidak berdaya lagi berjalan kerana kakinya bengkak, Baginda
merangkul dan memeluknya seraya mengalirkan air mata, sebak kerana sangat
terharu. Baginda kemudian meludah di atas tapak tangan, lalu disapukan pada
kaki Saidina Ali k.wh. sehingga bengkaknya kembali sembuh.
Peristiwa yang sangat mengharukan itu berkesan
sekali dalam sanubari Rasulullah s.a.w. dan tidak dapat dilupakan buat
selama-lamanya, sehingga turunlah wahyu yang memberi penilaian tinggi kepada
kaum Muhajirin[2]
sebagaimana Allah s.w.t. berfirman:
“Lalu Tuhan mereka memperkenankan
permintaannya, (seraya berkata) Sesungguhnya tidak mensia-siakan (pahala)
amalan orang yang beramal antara kamu baik lelaki mahupun perempuan, setengah
kamu dari yang lain. Maka orang yang berhijrah dan diusir dari negerinya, lagi
disakiti dalam jalanku dan mereka berperang serta terbunuh, sesungguhnya Aku
hapuskan segala kesalahannya dan Aku masukkan mereka ke dalam syurga yang
mengalir air sungai di bawahnya sebagai pahala di sisi Allah s.w.t. serta di
sisinya pahala yang baik. [3]”
PERNIKAHAN
Fatimah az-Zahra’ adalah puteri
kesayangan Rasulullah s.a.w.. Beliau membesar di bawah didikan Rasulullah
s.a.w.. Mentari kecantikan Fatimah az-Zahra’ bersinar di langit risalah kerasulan.
Cahaya kemuliaannya terserlah sehingga menyebabkan pasangan mata memandang
kepadanya dengan penuh harapan. Para sahabat
juga mengetahui kedudukan Fatimah az-Zahra’. Mereka mengakui puteri Rasulullah
s.a.w. itu telah mencapai darjat kemuliaan yang tiada tolok bandingannya.
Kerana itu, mereka berlumba-lumba untuk melamar puteri kesayangan Rasulullah
s.a.w..
“Daku sedang menunggu ketentuan Allah s.w.t.
dalam masalah ini.”
Ketika
Abu Bakar datang untuk melamar Fatimah az-Zahra’, Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Wahai
Abu Bakar, ketentuan dalam masalah ini belum turun lagi.” Perkataan ini
diketahui oleh Umar al-Khatab. Kemudian dia datang sebagaimana yang dilakukan
oleh Abu Bakar namun, dia mendapat jawapan yang sama. Mereka berdua kemudian
menemui Abdul Rahman bin Auf. Keduanya meminta Abdul Rahman agar melamar
Fatimah az-Zahra’.
“Engkau
adalah seorang bangsawan Quraisy yang kaya. Seandainya engkau menemui
Rasulullah s.a.w. untuk melamar puteri Baginda tentu Allah s.w.t. akan menambahkan
harta dan kemuliaanmu.” saran mereka berdua.
Maka
Abdul Rahman pun pergi menemui Rasulullah s.a.w. lalu berkata,
“Wahai
Rasulullah, nikahkanlah aku dengan Fatimah az-Zahra’.” Rasulullah s.a.w. hanya
berdiam diri dan berpaling daripada Abdul Rahman. Melihat hal tersebut, Abdul Rahman
pun pulang. Kemudian dia menemui Abu Bakar dan Umar. Kepada mereka berdua Abdul
Rahman berkata,
“Aku pun mengalami apa yang anda berdua
alami.”
Dari peristiwa ini dapat difahami Rasulullah
s.a.w. tidak mengharapkan harta benda, melainkan Baginda mengharapkan ilmu dan
kemuliaan. Namun, siapakah orang yang sesuai dengan keinginan Baginda? Siapakah
orang yang layak menjadi menantu Baginda? Inilah yang difikirkan oleh Abu Bakar
dan Umar. Siapakah orang yang mempunyai ketakwaan kepada Allah s.w.t. dan orang
yang paling dicintai Baginda? Akhirnya, mereka menemui Saidina Ali k.wh. bin
Abi Thalib. Menurut mereka, hanya beliau yang memenuhi dua kriteria tersebut.
Abu Bakar dan Umar berkata kepada Saidina Ali k.wh.,
“Wahai
Ali, kami tahu keakraban anda dengan Rasulullah s.a.w. dan anda adalah orang pertama
yang solat di belakang Baginda. Seandainya anda menemui Rasulullah s.a.w. untuk
melamar Fatimah az-Zahra’, tentu Allah s.w.t. akan menambah keutamaan dan
kemuliaanmu.” Tidak lama kemudian Anas bin Malik juga datang dan berkata kepada
Saidina Ali k.wh.,
“Seandainya
anda melamar Fatimah az-Zahra’ nescaya anda akan dinikahkan sendiri oleh Baginda.”
Tidak lama kemudian Saidina Ali k.wh. menemui
Rasulullah s.a.w. yang pada ketika itu sedang berada di rumah Ummu Salamah.
Beliau mengetuk pintu rumah Ummu Salamah dan tidak lama kemudian kedengaran suara
Ummu Salamah bertanya,
“Siapa
di luar?”
Rasulullah s.a.w.
kemudian bersabda,
“Bangun dan bukalah pintu. Dia adalah orang
yang dicintai oleh Allah s.w.t. dan RasulNya serta dia adalah orang yang
mencintai Allah s.w.t. dan juga RasulNya.”
Ummu Salamah meriwayatkan,
“Aku
segera berdiri untuk membuka pintu dan ternyata orang tersebut ialah Saidina
Ali k.wh.. Sebelum beliau masuk, aku bersegera masuk ke dalam bilikku. Saidina
Ali k.wh. masuk sambil mengucapkan salam. Rasulullah s.a.w. menjawab salamnya
dan mempersilakan beliau duduk. Saidina Ali k.wh. duduk di depan Baginda di
atas lantai kerana malu untuk menyampaikan maksud kedatangannya.”
“Wahai Ali, nampaknya anda ingin menyampaikan
sesuatu. Sampaikanlah apa yang anda hajatkan. Pasti daku penuhi.” Saidina Ali
k.wh. menjawab,
“Demi ayah dan ibuku sebagai tebusanmu
wahai Rasulullah, sesungguhnya anda mengetahui anda telah mengambilku daripada
bapa saudara anda, Abu Thalib dan dari Fatimah binti Asad. Ketika itu saya hanyalah
seorang kanak-kanak yang masih mentah. Kemudian anda mendidik dan membimbingku
melebihi kasih sayang yang diberikan kedua orang tuaku. Allah s.w.t. telah
memberi petunjuk kepadaku melalui perantaraanmu. Anda telah menyelamatkanku
dari jurang kemusyrikan. Wahai Rasulullah, andalah pujaan dan perantaraanku
untuk memperolehi kebahagiaan di dunia mahupun di akhirat. Mudah-mudahan saya
memperolehi tempat tinggal dan seorang isteri tempatku berlabuh mencari
ketenangan. Saya sengaja datang ke mari untuk melamar puteri kesayanganmu,
Fatimah az-Zahra’. Adakah anda bersedia menikahkanku wahai Rasulullah?” Rasulullah
s.a.w. menampakkan kegembiraan luar biasa lalu bersabda,
“Wahai Ali, adakah anda mempunyai
sesuatu untuk dijadikan mahar?” Saidina Ali k.wh. menjawab,
“Demi Allah, tidak ada sesuatu pun yang
tersembunyi darimu mengenai keadaanku. Saya tidak mempunyai apa-apa pun kecuali
baju besi, pedang dan cerek air.” Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Wahai Ali, pedang sangat anda perlukan
untuk berjihad di jalan Allah s.w.t.. Cerek air sangat berguna untuk keluargamu
dan ketika anda bermusafir. Daku akan menikahkan anda dengan mahar baju besimu.
Daku rela kepadamu. Daku menyampaikan khabar gembira kepadamu bahawa Allah
s.w.t. telah menikahkanmu dengan Fatimah az-Zahra’ di langit sebelum daku
menikahkanmu di bumi.”
Pernikahan Saidina Ali k.wh. dan Fatimah az-Zahra’ dilaksanakan dengan
cara yang paling sederhana. Mahar Saidina Ali k.wh. adalah hasil dari baju besi
yang dijual dengan harga 480 Dirham. Baginda kemudian membahagi-bahagikan wang
tersebut untuk dibelanjakan. 66 Dirham untuk membeli perkakas rumahtangga, 160
Dirham untuk membeli minyak wangi, 160 Dirham untuk membeli pakaian dan 96 Dirham
lagi diserahkan kepada Ummu Salamah untuk membeli keperluan lain.
Rasulullah s.a.w. memerintahkan Bilal
untuk membeli minyak wangi manakala untuk membeli dan memilih pakaian
ditugaskan kepada Abu Bakar dan Ammar bin Yasir. Dibeli jubah dengan harga 7
Dirham, tudung dengan harga 4 Dirham, baldu hitam buatan khaibar, katil yang
dibuat dari daun kurma, dua buah tilam buatan Mesir, bantal yang dibuat dari
kulit, langsir nipis yang dibuat dari bulu binatang, penggiling gandum, bekas
dari tembaga untuk memcuci pakaian, bekas air kecil, kotak kayu tempat
mendinginkan air, besen untuk berwuduk dan tikar dari kulit.[4]
Pada malam pernikahan mereka berdua,
Rasulullah s.a.w memberikan baldu kepada Fatimah az-Zahra’ seraya bersabda
kepada puteri kesayangannya,
“Pakailah,” Fatimah az-Zahra’ pun memakainya. Rasulullah s.a.w.
memerintahkan Salman untuk berjalan di depan manakala Baginda sendiri berjalan
di belakang Fatimah az-Zahra’. Ketika itu Baginda ditemani Hamzah, Aqil dan
beberapa orang daripada Bani Hasyim dengan pedang terhunus. Rasulullah s.a.w.
memerintahkan kaum wanita Abdul Muthalib, kaum wanita Muhajirin dan Ansar untuk
berjalan menemani Fatimah az-Zahra’. Rasulullah s.a.w. memerintahkan mereka
untuk bergembira dengan bernasyid yang memuji kebesaran Ilahi.
Di bawah pengawasan Rasulullah s.a.w., Saidina
Ali k.wh. dan Fatimah az-Zahra’ mula hidup berumahtangga. Mereka saling
membantu dalam mengerjakan pekerjaan rumah.
Kerana miskin, Saidina Ali k.wh. belum
mampu mengupah seorang pembantu untuk membantu isteri kesayanganya. Mereka
mengharungi setiap malam dengan tidur di atas tilam yang kasar. Mereka tidak
pernah tidur nyenyak kerana diseliputi kedinginan malam yang menusuk hingga ke
tulang. Rasulullah s.a.w. pernah melihat mereka berdua berada dalam satu
selimut yang dipakai untuk menutup kepala, kaki mereka berdua kelihatan, jika
kaki mereka berdua ditutup, kepala pula terbuka. Kemudian Baginda menasihatkan
mereka dengan bersabda,
“Jibrail
telah mengajarkan kalimah yang harus dibaca setiap selesai solat, iaitu Tasbih,
Subhanallah 10 kali, Tahmid, Alhamdulillah 10 kali dan Takbir, Allahuakbar 10
kali. Jika anda hendak tidur, bacalah Tasbih 33 kali, Tahmid 33 kali dan Takbir
33kali”
Saidina Ali k.wh. berkata,
“Demi Allah, semenjak saat itu saya tidak
pernah lupa untuk selalu membacanya.”
Allah s.w.t. telah mengurniakan Saidina Ali k.wh. dan Fatimah az-Zahra’
putera dan puteri yang soleh, iaitu Hasan, Husain, Mohsain, Zainab, dan Ummu
Kaltsum.
Hasan,
Husain dan Mohsain adalah nama yang diberikan Rasulullah s.a.w.. Nama Zainab
dan Ummu Kaltsum adalah nama pemberian Fatimah az-Zahra’. Beliau ingin
mengenang kedua kakaknya iaitu Zainab dan Ummu Kaltsum yang telah mengasuhnya
sewaktu kecil.
SUCI
DARI DOSA
Saidina Ali k.wh. tergolong salah
seorang yang disucikan dari dosa, laksana Harun (pembantu Nabi Musa a.s.),
pintu pelbagai ilmu, yang tangannya dalam membela keadilan sama seperti tangan
Rasulullah s.a.w., yang kebenaran selalu bersamanya tanpa boleh dipisahkan
antara satu sama lain, pemisah kebenaran dari kebatilan umat Islam dan penyambung
risalah Rasulullah s.a.w..
Ketika waktu solat tiba, wajah Saidina Ali
k.wh. kelihatan pucat dan badannya akan menggigil. Ketika salah seorang sahabat
bertanya kepadanya, beliau menjawab,
“Telah datang waktu amanat yang dahulunya
pernah ditawarkan Allah s.w.t. kepada langit, bumi dan gunung-ganang namun,
mereka menolak. Kemudian diterima manusia sekalipun manusia itu lemah.”
Abu Darda’ berkata,
“Aku melihat Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib di bawah pokok kurma
bersendirian serta bernaung di bawah bayang yang rendang. Aku mengamati dari
jauh tanpa pengetahuannya. Dalam hatiku berkata, “Kebenaran berada bersamanya”.
Tiba-tiba aku terdengar suaranya yang merdu berdoa, “Tuhanku, betapa banyak
ujian dan cabaran yang telah Engkau berikan untukku dan betapa banyak pula
anugerah yang Engkau muliakan aku melalui kemulianMu. Tuhanku, apabila
kemaksiatanku begitu banyak dalam umurku dan dosa-dosaku bertambah dalam
lembaran catatanMu, maka tiada lain yangku inginkan kecuali keredaanmu.” Suara
itu begitu memukau. Aku cuba
mencari sumber suara tersebut dan ternyata orang yang mengucapkannya adalah
Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib. Aku segera bersembunyi. Kemudian aku lihat
dia solat beberapa rakaat di tengah malam yang gelap-gelita yang diiringi
dengan esak dan tangis, permohonan dan pengaduan. Antara munajat yang dipanjatkan
kepada Allah s.w.t. adalah, “Tuhanku, aku selalu memikirkan ampunanMu sehingga
terasa ringannya dosa-dosaku, dan ketika aku mengingati betapa besar nikmat
yang Engkau berikan padaku. Tuhanku, jika aku membaca dalam lembaran hidupku
dosa-dosa yang telah aku lakukan kerana kealpaanku, sedangkan Engkau tetap akan
mengiranya dan berfirman:
“Seksalah
dia, maka memang ianya satu azab yang tak mungkin seorang dapat diselamatkan
oleh keluarganya, tidak berguna pula pertolongan para kabilahnya dan tidak pula
kasih sayang dari kelompoknya. Tuhanku, lindungilah aku dari api neraka yang
membakar jantung dan seluruh tubuh. Tuhanku, lindungilah aku dari api neraka
yang menjilat serta membakar….”
Abu
Dara’ seterusnya berkata,
“Sesudah itu Saidina Ali k.wh. menangis sehingga tidak bergerak dan
bersuara. Aku menyangka dia tertidur kerana beribadah sehingga larut malam.
Akhirnya, aku mendekatinya. Badannya sudah longlai. Aku cuba membangunkannya namun, dia
tetap tidak bergerak lalu aku mengucapkan ‘Innalillah Wainna Ilaihi Rajiun’.
Demi Allah, Ali bin Abi Thalib telah meninggal dunia dan aku pun bergegas ke
rumah untuk memberitahu keluarganya. Ketika aku tiba di rumah Fatimah az-Zahra’
beliau berkata, “Wahai Abu Darda’, sebenarnya dia belum meninggal dunia lagi
tetapi hanya pengsan kerana takut kepada Allah s.w.t..” Tidak lama kemudian
keluarganya membawa air yang kemudian direnjiskan ke mukanya. Selepas itu
Saidina Ali k.wh. sedar lalu menatap diriku yang sedang menangis dan berkata,
“Wahai Abu Darda’, mengapa anda menangis?”
“Saya menangis kerana melihat keadaan
anda” Jawab Abu Darda’.
“Wahai
Abu Darda’, bagaimana anda boleh melihat saya berkeadaan begini, sedangkan
ketika itu saya dipanggil Tuhan untuk dikira amalan saya. Saya adalah orang
yang yakin diriku juga patut diseksa. Saya berdepan dengan malaikat yang bengis
lagi menyeramkan. Lalu saya di hadapkan kepada Tuhan Yang Maha Kuasa yang
andaikata saya boleh diterima Tuhan Yang Maha Pengasih, walaupun dibenci
seluruh penghuni dunia ini, nescaya itu merupakan rahmat yang paling besar,
ketika saya berhadapan dengan Zat yang tiada sesuatu pun tersembunyi dariNya.”
Abu Darda’ berkata,
“Demi Allah, aku tidak pernah melihat hal seperti itu dimiliki sesiapa
pun antara para sahabat Rasulullah s.a.w..”
RUMAHTANGGA
BAHAGIA
Saidina Ali k.wh. bersama Fatimah
az-Zahra’ menjalani kehidupan rumahtangga dengan kesederhanaan dan kebahagiaan.
Mereka berdua sentiasa riang dan tidak pernah mengalami pertengkaran. Fatimah
az-Zahra’ menyedari dirinya tidak hanya sebagai puteri kesayangan Rasulullah
s.a.w., tetapi juga isteri seorang pahlawan Islam yang sentiasa sanggup
berkorban. Seorang pemegang bendera perjuangan Islam yang murni lagi agung.
Fatimah az-Zahra’ mempunyai pendirian dan dirinya mesti dijadikan teladan.
Beliau melayan suaminya seperti ibunya Khadijah melayan Rasulullah s.a.w..
Dua insan sejoli, suami isteri yang mulia dan
bahagia itu selalu bekerjasama dan saling bantu membantu dalam menguruskan
keperluan rumahtangga. Walaupun Fatimah az-Zahra’ puteri kesayangan Rasulullah
s.a.w., namun, beliau menggiling dan menguli tepung dengan tangannya sendiri.
Rasulullah s.a.w. sendiri sering melihat
puterinya menguruskan rumahtangga sehingga peluhnya mengalir. Suatu hari
Rasulullah s.a.w. berkunjung ke tempat kediaman Fatimah az-Zahra’. Ketika itu
puteri Baginda sedang menguli tepung sambil melinangkan air mata. Baju yang
dipakai adalah dari kain kasar. Ketika Rasulullah s.a.w. menyaksikan puteri
kesayangannya menangis, Baginda menjadi simpati lalu mata Baginda turut berkaca
sebak dan air mata mulai membasahi pipinya. Tidak lama kemudian Baginda
menghampiri puteri kesayangannya dan bersabda,
“Wahai Fatimah, terimalah kepahitan dunia
untuk memperolehi kenikmatan di akhirat kelak.”[5]
Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. bersama
beberapa orang para sahabat berada di dalam masjid menunggu kedatangan Bilal
bin Rabah yang akan melaungkan azan sebagaimana yang dilakukannya sehari-hari. Ketika
Bilal terlambat sampai, Baginda menegur dan bertanya sebabnya. Bilal
menjelaskan,
“Saya baru sahaja pulang dari rumah Fatimah
az-Zahra’. Beliau sedang menguli tepung. Manakala Saidina Hasan, puteranya yang
masih kecil dibiarkan dalam keadaan menangis. Saya berkata kepadanya, “Manakah
yang lebih baik, saya menjaga anakmu atau saya menguli tepung?” Beliau
menjawab, “Saya kesian kepada anak saya.” Lalu saya pun menguli tepung sehingga
selesai. Sebab itulah saya terlambat.” Mendengar keterangan Bilal, Rasulullah
s.a.w. bersabda,
“Anda mengasihaninya dan Allah s.w.t. akan
mengasihanimu.”[6]
PINTU
ILMU
Saidina Ali k.wh. adalah pintu gerbang
segala ilmu. Beliau telah memperolehi pelbagai ilmu yang disampaikan Rasulullah
s.a.w. semenjak beliau kecil sehinggalah Baginda wafat. Saidina Ali k.wh.
sendiri pernah berkata,
“Rasulullah s.a.w. telah mengajarku seribu bab
ilmu dan setiap satu bab terdapat seribu cabang ilmu yang merangkumi ilmu-ilmu
terdahulu dan ilmu-ilmu yang akan datang.”
Ibnu Abbas mengatakan,
“Demi Allah, Rasulullah s.a.w. telah
memberi kepada Saidina Ali k.wh. sembilan sepersepuluh dari semua ilmu yang ada
di dunia ini dan demi Allah, Saidina Ali k.wh. masih juga mengetahui sebahagian
dari sepersepuluh ilmu bakinya yang ada pada anda semua.”
Rasulullah s.a.w. juga turut bersabda,
“Daku adalah kota ilmu dan Ali adalah pintunya. Barangsiapa
yang ingin memperolehi ilmu ambillah dari pintunya.”
“Anda
mengungguli orang lain dalam tujuh perkara dan tiada seorang Quraisy pun yang
dapat menandingimu,
Pertama, anda
adalah orang yang pertama beriman kepada Allah s.w.t..
Kedua, anda adalah
orang yang sentiasa menunaikan janji Allah s.w.t..
Ketiga, anda adalah
orang yang termampu menegakkan perintah Allah s.w.t..
Keempat, anda
adalah orang yang paling adil membahagikan harta perang
Kelima, anda adalah
orang yang paling berlaku adil terhadap rakyat.
Keenam, anda adalah
orang yang paling tinggi nilai kebaikan sifatnya di sisi Allah s.w.t..
Ketujuh, anda
adalah orang yang paling banyak mengetahui semua persoalan.”
UTUSAN
DARI ROM
Suatu ketika utusan dari Rom telah
datang ke Madinah al-Munawwarah. Antara mereka terdapat seorang paderi. Dia
menuju ke Masjid Nabi sambil membawa pundi yang berisi emas dan perak. Di dalam
masjid tersebut ada Khalifah Abu Bakar dan beberapa sahabat dari kaum Ansar dan
Muhajirin. Paderi tersebut masuk dan mengucapkan salam lalu berkata,
“Siapakah antara kalian yang menjadi Khalifah
Rasulullah?” Lalu ditunjukkan Khalifah Abu Bakar. Paderi mendekati Khalifah Abu
Bakar dan berkata,
“Wahai Tuan, siapakah namamu?”
“Atiq” Jawab Khalifah Abu Bakar.
“Selain itu?”
Paderi tersebut bertanya.
Khalifah Abu Bakar
menjawab,
“As-Shiddiq.”
Soal Paderi lagi,
“Lain lagi?”
Khalifah Abu Bakar
membalas,
“Aku
tidak mempunyai nama selain dari itu.” Paderi yang agak kecewa berkata,
“Anda bukan orang yang aku tuju.” Abu Bakar
lantas bertanya,
“Apakah yang anda mahu?” Paderi menjelaskan,
“Aku
datang dari negara Rom. Aku membawa pundi berisi emas dan perak. Aku ingin
bertanya kepada Penjaga Umat ini beberapa masalah. Jika dia dapat menjawab, aku
akan memeluk Agama Islam dan mentaati perintahnya serta harta yang aku bawa ini
akan aku serahkan. Tetapi jika dia tidak mampu menjawabnya, aku akan pulang dan
tidak akan memeluk Agama Islam. Khalifah Abu Bakar berkata,
“Bertanyalah sesuka hatimu.” Paderi berkata,
“Demi Allah, aku tidak akan berkata
sebelum anda menjamin keselamatanku dari kemarahanmu dan penyokongmu.” Khalifah
Abu Bakar berkata,
“Aku
menjaminmu, katakanlah apa yang anda inginkan.” Paderi berkata,
“Beritahulah
kepadaku tentang sesuatu yang tidak ada pada Allah s.w.t. dan sesuatu yang
tidak Allah s.w.t. ketahui?” Khalifah Abu Bakar terdiam dan tidak mampu
menjawab. Kemudian paderi tersebut bingkas untuk keluar. Lalu Khalifah Abu Bakar
berkata,
“Wahai musuh Allah, sekiranya tiada
jaminan tadi nescaya aku akan basahi tanah ini dengan darahmu.” Kemudian Salman
al-Farisi yang berada di situ, bangun dan terus pergi menemui Saidina Ali k.wh.
yang sedang duduk bersama Saidina Hasan dan Saidina Husain di dalam rumah.
Salman al-Farisi menceritakan kejadian yang baru terjadi. Tidak lama kemudian
Saidina Ali k.wh. bersiap pergi bersama Saidina Hasan dan Saidina Husain
sehingga sampai di perkarangan masjid. Ketika orang ramai melihat Saidina Ali
k.wh., mereka mengucapkan takbir dan tahmid. Mereka pun menghampiri Saidina Ali
k.wh.. Beliau masuk dan duduk. Lalu Khalifah Abu Bakar berkata,
“Wahai paderi, tanyalah kepadanya.
Dialah orang yang engkau cari.” Paderi tersebut menghadap Saidina Ali k.wh. dan
berkata,
“Wahai lelaki, siapakah namamu?” Saidina Ali k.wh. menjawab,
“Namaku di kalangan orang Yahudi adalah Ilyan
dan di kalangan orang Nasrani adalah Iliya. Manakala menurut ayahku namaku
adalah Ali dan menurut ibuku pula namaku adalah Haidarah.” Paderi bertanya,
“Apakah hubunganmu dengan Nabimu?” Saidina
Ali k.wh. menjawab,
“Dia
adalah saudara, mertua dan sepupuku.” Paderi berkata,
“Engkau
adalah temanku demi Tuhan Isa. Sila beritahu kepadaku tentang sesuatu yang
tidak ada pada Allah s.w.t. dan sesuatu yang tidak Allah s.w.t. ketahui?”
Dengan yakin Saidina Ali k.wh. menjawab,
“Sesungguhnya Allah s.w.t. Maha Esa dan
tidak mempunyai anak. Yang tidak ada pada Allah s.w.t.. adalah perbuatan zalim terhadap
sesiapa pun. Manakala yang tidak Allah s.w.t. ketahui adalah Allah s.w.t. tidak
mengetahui (tidak mempunyai) adanya sekutu bagiNya dan dalam kerajaanNya.”
Paderi tersebut bangkit dan memegang kepala Saidina Ali k.wh. lalu mencium
dahinya seraya berkata,
“Aku naik saksi tiada Tuhan selain Allah
s.w.t., Muhammad s.a.w. adalah utusan Allah s.w.t. dan andalah Pengganti dan
Penjaga umat ini. Anda adalah sumber agama dan hikmah. Aku telah membaca di
dalam Taurat namamu adalah Ilyan dan di dalam Injil namamu adalah Iliya. Aku
yakin anda adalah pewaris Nabi dan pemimpin umat ini. Anda lebih layak berada
di tempat ini dari orang lain. Sila beritahu kepadaku bagaimana keadaanmu dan
keadaan kaummu?” Pengganti Umat menjawab pertanyaan tersebut dengan sebuah
penjelasan. Lalu paderi tersebut bangkit dan menyerahkan pundi emas dan perak
kepada Penjaga Umat. Kemudian dia pulang ke negaranya dalam keadaan beriman
kepada Allah s.w.t. dan RasulNya.
SYAHID
Walaupun Saidina Ali k.wh. terkenal
dengan kesatriaannya, namun, ada pihak yang ingin membunuhnya terutama dari
golongan Khawarij.
Suatu
ketika sekelompok orang Khawarij berkumpul untuk membincangkan nasib keluarga
dan teman mereka yang telah terbunuh dalam peperangan. Mereka berpendapat tanggungjawab
atas terjadinya pertumpahan darah selama ini harus dipikul oleh tiga orang
iaitu Saidina Ali k.wh., Muawiyah bin Abi Sufian dan Amru bin Ash. Mereka
menganggap tiga orang ini adalah pemimpin yang sesat. Salah seorang daripada
mereka yang bernama al-Barak bin Abdullah bangun sambil berkata,
“Aku berjanji akan membunuh Muawiyah bin Abi
Sufian.” Kemudian diikuti Amru bin Bakar dengan berkata,
“Aku
berjanji akan membunuh Amru bin Ash.” Dan tidak ketinggalan Abdul Rahman bin
Muljam juga berdiri sambil berkata,
“Aku berjanji akan membunuh Ali bin Abi
Thalib.”
Tiga
orang sahabat tersebut bersepakat untuk melaksanakan pembunuhan tersebut dalam
satu malam secara serentak. Maka bergegaslah Abdul Rahman bin Muljam
meninggalkan Makkah al-Mukarramah menuju ke Kuffah. Setibanya di Kuffah dia
singgah di rumah salah seorang kawan lamanya. Di situ dia bertemu dengan
seorang gadis bernama Qitham binti al-Akhdar. Muka gadis tersebut sungguh
cantik dan menawan. Tiada gadis lain yang dapat menandingi kejelitaannya. Bapa
dan abang Qitham adalah pengikut Khawarij yang mati terbunuh dalam peperangan
Nehrawan.
Ketika melihat gadis tersebut, Abdul Rahman bin Muljam sangat
terpegun. Dengan berterus terang dia telah melamar gadis tersebut lalu berkata,
“Apakah maskahwin yang harus aku berikan
kepadamu?” Qitham tersenyum lalu berkata,
“Aku hanya inginkan empat perkara sahaja
darimu.”
“Apakah
empat perkara tersebut?” Abdul Rahman menyoal tak sabar.
“Pertama, wang berjumlah 3,000 Dirham. Kedua,
seorang hamba lelaki. Ketiga, seorang hamba perempuan dan keempat,
kesanggupanmu untuk membunuh Ali bin Abi Thalib.”
“Mengenai permintaanmu berupa wang sebanyak
3,000 Dirham, seorang hamba lelaki dan seorang hamba perempuan, aku pasti dapat
memenuhinya, tetapi tentang membunuh Ali bin Abi Thalib bagaimana aku boleh
melakukannya?” Abdul Rahman bin Muljam mengeluh.
“Engkau
mesti mencari kelemahannya. Jika engkau dapat membunuhnya kita akan dapat
bersama dan hidup aman damai” Qitham memberi semangat. Akhirnya, Abdul Rahman
bin Muljam bersetuju untuk membunuh Saidina Ali k.wh..
Abdul
Rahman bin Muljam, Amru bin Bakar dan al-Barak bin Abdullah bersepakat untuk
membunuh mangsanya di waktu Subuh secara serentak. Amru bin Bakar tidak
berkesempatan untuk membunuh mangsanya kerana Amru bin Ash secara kebetulan
telah jatuh sakit. Dia tidak keluar bersembahyang Subuh di masjid. Dia telah
memerintahkan Kharijah bin Huzafah supaya mengimamkan solat Subuh sebagai
penggantinya. Amru bin Bakar menduga bahawa Kharijah itu adalah Amru bin Ash.
Kemudian Kharijah ditikam dengan pedang. Ketika itu juga dia meninggal dunia
dan Amru bin Bakar telah ditangkap lalu dibunuh.
Adapun
Muawiyah yang menjadi sasaran al-Mubarak bin Abdullah telah ditetak tetapi
tidak meninggal dunia kerana tetakannya hanya mengenai punggung sahaja.
Al-Barak ditangkap dan di hadapkan kepada Muawiyah. Ketika al-Barak di hadapkan
di depan Muawiyah dia berkata,
“Aku
membawa berita baik untukmu.”
“Berita apakah itu?” Tanya Muawiyah ingin
tahu. Al-Barak telah menceritakan apa yang telah dilakukan dua orang kawannya
pada serentak waktu Subuh tersebut.
“Malam
itu ketika tiba waktu Subuh…. Ali bin Abi Thalib akan mati dibunuh. Biarlah aku
engkau tahan dahulu. Jika benar dia terbunuh, terserahlah apa yang engkau
hendak lakukan terhadapku. Tetapi jika dia tidak dibunuh, akulah yang akan
membunuhnya. Kemudian aku akan kembali menyerah diri kepadamu. Seterusnya
terserahlah hukuman apa yang akan engkau kenakan terhadapku.”
Akhirnya, al-Barak ditahan dan setelah
terdengar berita tentang terbunuhnya Saidina Ali k.wh., al-Barak dibebaskan.
Allah s.w.t. rupanya menginginkan Saidina Ali
k.wh. tercedera pada waktu Subuh 19 haribulan Ramadan, tahun 40 Hijrah. Ketika
Saidina Ali k.wh. menuju ke masjid, sesudah mengambil wudhu untuk solat Subuh,
Abdul Rahman bin Muljam berpura-pura mengekorinya untuk bersama-sama
bersembahyang jamaah. Ketika Saidina Ali k.wh. sedang sujud dalam solat, Abdul
Rahman bin Muljam telah menetak lehernya. Dia tidak dapat melarikan diri kerana
Saidina Hasan dan Saidina Husain, kedua anak Saidina Ali k.wh. telah
menangkapnya. Beberapa sahabat Saidina Ali k.wh. memanggil beberapa orang tabib
untuk merawat lukanya yang agak parah. Seorang tabib yang bernama Atsir Ibnu
Amru bin Hani juga telah merawat luka yang dialami oleh Saidina Ali k.wh..
Setelah memeriksa luka di lehernya, dengan keadaan cemas dia berkata,
“Wahai Amirul Mukminin, katakan sajalah
apa yang anda hendak wasiatkan.
Sesungguhnya pukulan beracun orang terkutuk tersebut telah mengenai selaput
otak anda.”
Saidina Ali k.wh. tidak mengeluh. Beliau memanggil kedua orang puteranya
lalu berkata,
“Saya
berwasiat kepada anda berdua supaya bertakwalah kepada Allah s.w.t. Kerana sesungguhnya
seksaan Allah s.w.t. itu sangat berat. Semoga Allah s.w.t. sentiasa menjaga dan
memelihara anda berdua. Wahai para Ahlul-Bait, saya ucapkan selamat tinggal
sebaik-baiknya kepada anda dan saya ucapkan pula Assalamualaikum Warahmatullah….
Wahai Bani Abdul Muthalib, saya tidak ingin anda semua mengambil tindakan
pembalasan sehingga menumpahkan darah kaum muslimin dengan alasan Amirul
Mukminin meninggal dibunuh. Janganlah anda membunuh orang selain orang yang
membunuhku. Ingatlah jika saya meninggal kerana tetakan ini, bunuhlah orang
yang menetakku dengan tetakan yang sama. Janganlah sampai anda mencincang lumat
orang tersebut.”
Tidak lama kemudian dengan air mata berkaca sebak, Saidina Ali
k.wh. menoleh kepada orang sekitarnya lalu berkata,
“Semalam saya adalah sahabat anda. Hari ini saya
adalah contoh yang selalu mengingatkan anda dan esok saya akan berpisah meninggalkan
anda. Semoga Allah s.w.t. mengampuni dosaku dan dosa anda semua.”
Selama dua hari sejak terjadinya peristiwa
itu, Saidina Ali k.wh. menderita kesakitan yang beliau tahan sedemikian rupa
kuatnya tanpa mengeluh. Dengan hati yang tabah beliau berserah diri kepada
Allah s.w.t.. Akhirnya, pada hari Isnin tanggal 21 Ramadan tahun 40 Hijrah
bersamaan 664 Masihi, Saidina Ali k.wh. kembali ke rahmatullah dalam usia 63
tahun. Jasad beliau telah disemadikan di Najaf Asyraf di Iraq.
[1] At-Tarikh oleh Abu Ja’far ath-Thabari.
[2] Ibnu
Atsir di dalam al-Kamil Fi at-Tarikh, jilid ii muka surat 206.
[3] Surah Ali Imran ayat: 195.
[4] Fatimah az-Zahra’ oleh Dr. Taufiq Abu A’lam
al-Mishri, terbitan Darul Ma’arif Mesir.
[5] Tanbihul Khawatir Wa Nuzhatun Nawadir, jilid
I muka surat
230.
[6] Tanbihul Khawatir Wa Nuzhatun Nawadir muka surat 230.