INFORMASI

MAKLUMAN

Blog ini adalah hak milik Pintu Ilmu Resources (00159443-D) - PUSAT RAWATAN HOMEOPAYHY- yang beralamat di: Pusat Perubatan Holistik dan Alternatif 4932, Traffic Light Tok Jiring, Jalan Kelantan 21060 Kuala Terengganu, Darul Iman. Untuk lokasi klinik sila klik di sini

Pada 08/11/2015 klinik ditutup kerana doktor bertugas outstation. Harap maklum.

TESTIMONIAL TERKINI i

TAJAAN

Sabtu, 22 Ogos 2009

HAKIKAT PUASA DI BULAN RAMADHAN




As-Shaum dalam bahasa Arab bermaksud puasa, yang bererti menahan. Biasanya, orang arab menggunakan perkataan ini pada kuda supaya ia tidak lari atau tidak mahu diberi makan.

Dalam Islam kata al-shaum bererti menahan diri dengan sengaja dari apa yang membatalkan puasa.

Bagi seorang muslim berpuasa bukan sekadar menahan diri dari makan dan minum tetapi mengandung makna tambahan ibadah, kesenangan batin, moral dan hukum-ahkam.

Puasa juga mengandungi makna pembangunan atau pembentukan karakter, penguasaan atas hawa nafsu dan suatu inspirasi ke arah kreativiti individu dan sosial.

Puasa juga adalah sebahagian dari rukun Islam yang merupakan kewajiban agama bagi semua orang yang berimankan Tauhid, dan kerana itu barangsiapa yang menolaknya maka ia telah menjadi kafir.

Puasa juga merupakan tanda lahir dari ketaatan, penyerahan dan pengibadatan kepada Allah s.w.t..

Rasulullah s.a.w. bersabda, bahawa Allah s.w.t. berfirman,
“Puasa itu untukKu, kerana itu Akulah yang akan memberi ganjarannya secara langsung.” (96:255)

Dengan puasa seorang muslim mengungkapkan penyerahannya (taslim) kepada perintah Allah s.w.t., dan merupakan penolakan yang tegas atas penguasaan hawa nafsu dan hasrat peribadinya. Puasa menjadi sebuah manifestasi dari ketaatan makhlukNya kepada Kehendak Yang Maha Kuasa.

Ekspresi yang diungkapkan melalui puasa ini mewakili bentuk penguasaan diri dan usaha dalam mengatasi kesenangan dan kepelbagaian kenikmatan jasmani demi kecintaan Allah s.w.t. yang penuh berkat, bertujuan menghampirkan diri kepadaNya dan gairah untuk memperoleh keridhaanNya.

Hal ini merupakan suatu kemenangan cinta suci atas hawa nafsu dan keinginan diri. Watak seperti ini mewakili penguasaan atas kenikmatan fana untuk memperoleh kenikmatan abadi (yang telah dijanjikan Yang Maha Kuasa).

Seseorang yang berpuasa dengan senang hati berusaha menjauhkan dirinya dari kesenangan kehidupan tanpa faktor pencegah atau penghalang selain mentaati Allah s.w.t. dan menunjukkan pengabdian yang total atas segala perintahNya.

Kenyataan ini telah di sebutkan dalam khutbah Nabi s.a.w.,
“Setiap nafas anda itu adalah tasbih (penyucian kepada Allah s.w.t.) dan tidur anda itu adalah dalam ibadah.”

Dengan demikian, seluruh waktu di dalam bulan Ramadhan al-Mubarak ini akan menjadi amalan ibadah. Setiap kegiatan dan aktiviti manusia beriman yang berpuasa akan memperoleh ganjaran pahala di sisi Allah s.w.t. selagi ia tidak melakukan perbuatan tercela.

Tidurnya orang yang berpuasa, bahkan setiap hembusan nafasnya merupakan amal ibadah, kerana dari jasad orang yang berpuasa secara bersungguh-sungguh terpancar keberadaan ibadah yang terus menerus yang dikerjakan semata-mata kerana ketaatan dan menghampirkan diri kepada Allah s.w.t..

Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Orang yang berpuasa itu dalam beribadah kepada Allah s.w.t. walaupun ia tidur di katilnya selama ia tidak mengganggu orang muslim lain.”

Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib berkata,
“Tidurnya orang yang berpuasa itu adalah ibadah, diamnya adalah tasbih, doanya adalah mustajab dan amalannya diterima. Sesungguhnya bagi seorang yang berpuasa ketika berbuka doanya tidak akan ditolak.”

Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Sesungguhnya ada sebuah syurga yang pada pintunya ada penjaga yang melarang siapapun masuk kecuali hanya kepada orang yang berpuasa.”

Imam Ja’far as-Shadiq berkata,
“Bagi orang yang berpuasa itu ada dua kebahagiaan. Kebahagiaan ketika berbuka puasa dan kebahagiaan ketika berjumpa dengan Tuhannya.”

Fathimah az-Zahra, puteri Rasulullah s.a.w. pula berkata,
“Dia (Allah s.w.t.) menjadikan puasa sebagai penguat keikhlasan.”



PUASA SEBAGAI ZAKATNYA BADAN

Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Segala sesuatu itu ada zakatnya, dan zakat badan itu adalah puasa.”

Antara kata-kata pujangga,
"Jika semua harta adalah racun, maka zakatlah penawarnya. Jika seluruh umur adalah dosa, maka taubatlah ubatnya dan jika seluruh bulan adalah noda, maka Ramadhanlah pemutihnya."


PUASA SEBAGAI PERISAI DARI SEKSA API NERAKA

Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Hendaklah anda berpuasa, kerana sesungguhnya puasa itu melindungimu dari seksa api Neraka dan jika anda mampu, ketika maut datang memanggilmu, sedangkan perutmu dalam keadaan lapar, maka lakukanlah.”


JAGALAH PUASA DAN SOLAT

Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Boleh sahaja orang yang berpuasa hanya memperoleh lapar dan dahaga sahaja dari puasanya dan boleh sahaja orang yang solat malam hanya mendapatkan ketidaktidurannya itu dari solat malamnya.”

Saidina Ali k.wh. berkata,
“Hakikat puasa itu adalah menjauhkan segala yang diharamkan sebagaimana seseorang mencegah dirinya dari makan dan minum.”


HIKMAH PUASA

Ketika rasulullah s.a.w. dimi’rajkan, Baginda telah bertanya kepada Allah s.w.t.,
“Wahai Tuhan, apakah yang diwariskan dari puasa?”.

Allah SWT menjawab,
“Puasa itu mewariskan hikmah. Hikmah itu mewariskan makrifat dan makrifat itu pula mewariskan keyakinan. Maka, apabila seorang hamba telah memiliki keyakinan nescaya ia tidak lagi peduli apakah ia bangun di pagi hari dalam keadaan susah maupun dalam keadaan senang.”



PUASA SEBAGAI SARANAN PENDIDIKAN ROHANI

Semua bentuk pengibadatan yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. bukanlah semata-mata amalan agama seperti yang disalah tafsirkan sesetengah orang. Seluruh pengibadatan tersebut merupakan suatu bentuk terperinci dari pendidikan rohani, psikologi, fizik dan sosial.

Di samping itu, suatu saranan untuk menunjukkan penyerahannya yang total kepada Allah s.w.t., seluruh pengibadatan itu berfungsi dan berperanan penting dalam memperbaiki, mengembangkan jiwa dan keperibadian seseorang, yang pada gilirannya akan mempengaruhi masyarakat secara positif sebagai suatu kesatuan yang kukuh.

Puasa sahaja bukanlah sekadar menahan makan, minum dan hubungan seks sahaja, tetapi juga menahan diri dari semua perbuatan yang merugikan diri sendiri dan orang lain.

Konsep ini akan membentuk secara langsung sebuah masyarakat yang penuh kebajikan.

Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Barangsiapa yang berpuasa dalam bulan Ramadhan kerana iman dan mencari keridhaan Allah s.w.t. serta menjaga telinga, mata dan lidah dari perkara yang merugikan orang lain, nescaya Allah s.w.t. akan menerima puasanya dan mengampuni kesalahan-kesalahannya di masa lalu.”

Imam Muhammad al-Baqir (bapa Kepada Imam Ja’far as-Shadiq) berkata, bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepada sahabat Baginda iaitu Jabir bin Abdillah,
“Wahai Jabir, barangsiapa berpuasa pada bulan Ramadhan, mendirikan solat di sebelah malamnya, menjaga hawa nafsu syahwatnya, mengawal lidahnya, merendahkan pandangannya dan tidak menyakiti perasaan orang lain, nescaya akan terbebas dari dosa seperti pada saat ia baru dilahirkan.”

Imam Ja’far as-Shadiq pula meriwayatkan dari datuknya, bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,
“Apabila seseorang berpuasa menjawab ketika dicerca, sejahtera ke atas kamu, saya tidak akan mencerca seperti yang anda lakukan, nescaya Allah s.w.t. akan berfirman,
“Demi Puasa, hambaKu telah menyelamatkan dirinya dari kejahatan hambaKu yang lain, maka Aku akan menganugerahkan perlindungan dari seksa api Neraka.”


NASIHAT IMAM JA’FAR AS-SHADIQ AS KEPADA SEORANG MUSLIM YANG BERPUASA

“Bilamana anda berpuasa, jagalah pendengaran dan penglihatan anda dari yang haram. Jagalah seluruh anggota tubuh anda dari perbuatan yang buruk. Jangan mencerca atau menyakiti seorang hamba. Bersikap hormatlah sebagaimana mestinya seorang yang sedang berpuasa. Diam dan tenanglah serta selalu berzikir kepada Allah s.w.t.. Jangan menganggap hari puasa anda seperti hari biasa. Oleh itu, kawallah nafsu anda dari melakukan seks, mencium dan ketawa terbahak-bahak, kerana Allah s.w.t. tidak menyukainya.”


PERINGATAN RASULULLAH S.A.W.

“Barangsiapa yang menyakiti saudara muslimnya, maka puasanya tidak sah dan wuduknya terbatal. Apabila ia meninggal dunia dalam keadaan seperti itu, maka ia meninggal dunia dalam keadaan seperti orang yang menghalalkan apa yang diharamkan Allah s.w.t..”


KEDERMAWANAN DALAM BULAN RAMADHAN

Imam Ja’far ash-Shadiq meriwayatkan bahawa datuknya, Imam Ali Zainal Abidin bin Saidina Hussain biasanya membebaskan 20 orang hamba sahaya atau lebih pada hari terakhir bulan Ramadhan.


PUASA MEMPERSAMAKAN TARAF KEHIDUPAN

Imam Ja’far ash-Shadiq berkata,
“Allah s.w.t. mewajibkan puasa untuk mempersamakan orang kaya dengan orang miskin. Dengan puasa, orang kaya akan merasakan deritanya lapar untuk menimbulkan rasa belas kasihannya terhadap orang miskin, kerana selama ini orang kaya tidak pernah merasakannya. Allah s.w.t. menghendaki untuk menempatkan makhlukNya pada suatu taraf kehidupan yang sama dengan jalan membuat orang kaya turut merasakan deritanya lapar, sehingga ia merasa simpati dan belas kasihan terhadap orang yang lemah dan lapar.”


HARI PENTING DI BULAN RAMADHAN

Imam Ja’far as-Shadiq as berkata,

1. “Taurat diturunkan pada 6 Ramadhan, Injil pada 12 Ramadhan, Kitab Zabur pada 18 Ramadhan dan Furqan (Al-Qur’an) pada malam Lailatul Qadar.”

2. Ketika Imam Ash-Shadiq ditanya tentang Lailatul Qadar, beliau mengatakan:

“Carilah ia pada malam ke-19, ke-21 atau ke-23.”

3. Pada bulan Ramadhan, Rasulullah s.a.w. kehilangan 2 orang yang dicintainya, Khadijah, isteri tercinta dan Abu Thalib, Bapa saudaranya (yang telah banyak berjasa kepadanya).

4. Pada 2 Ramadhan tahun ke-2 Hijrah, terjadi perang Badar yang dimenangkan oleh kaum muslimin ke atas orang Kafir Quraisy, di mana tentara muslimin pada saat itu hanya berjumlah 313 orang sementara kaum kafirin berjumlah 1,000 orang.

5. Pada 15 Ramadhan tahun ke-2 Hijrah, Saidina Hasan, cucu Rasulullah s.a.w. telah dilahirkan.

6. Pada bulan Ramadhan Tahun ke-8 Hijrah, Makkah al-Mukarramah telah ditawan oleh kaum muslimin.

7. Pada 19 Ramadhan tahun ke-40 Hijrah, Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib telah ditetak kepalanya oleh pedang seorang durjana, Abdul Rahman ibnu Muljam, ketika beliau sedang mengimamkan solat subuh, lalu pada 21 Ramadhan beliau syahid.