INFORMASI

MAKLUMAN

Blog ini adalah hak milik Pintu Ilmu Resources (00159443-D) - PUSAT RAWATAN HOMEOPAYHY- yang beralamat di: Pusat Perubatan Holistik dan Alternatif 4932, Traffic Light Tok Jiring, Jalan Kelantan 21060 Kuala Terengganu, Darul Iman. Untuk lokasi klinik sila klik di sini

Pada 08/11/2015 klinik ditutup kerana doktor bertugas outstation. Harap maklum.

TESTIMONIAL TERKINI i

TAJAAN

Isnin, 26 September 2011

BIOGRAFI IMAM JA'FAR SHADIQ


Pada 17 haribulan Rabiul Awal tahun ke-80 Hijrah, isteri Imam Muhammad Baqir yang bernama Ummu Farwah telah melahirkan seorang bayi lelaki yang sangat comel. Nama sebenar Ummu Farwah ialah Fatimah binti Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar. 

Imam Muhammad Baqir menyambut bayi yang penuh berkat tersebut lalu mengazankan di telinga kanan dan mengiqamatkan di telinga kiri. Beliau telah menamakan anak yang baru lahir itu dengan nama Ja’far Shadiq.

Semenjak kecil lagi Imam Ja’far Shadiq telah dididik dengan pelbagai ilmu. Beliau sering mengikut bapanya iaitu Imam Muhammad Baqir ketika memberi ceramah kepada masyarakat setempat. Walaupun usianya masih muda, namun, beliau telah pun menghafal Al-Quran dan memahami isi kandungannya. Setiap kali Imam Ja’far Shadiq berucap pasti orang ramai memuji beliau kerana kefasihannya dalam Sastera Arab. Sehinggalah Kota Madinah al-Munawwarah sering dikunjungi oleh orang ramai dari seluruh pelusuk negeri kerana ingin melihat dan mempelajari ilmu yang dimiliki oleh Imam Ja’far Shadiq secara lebih dekat. 

Nama sebenar beliau ialah Imam Ja’far Shadiq bin Imam Muhammad Baqir bin Imam Ali Zainal Abidin bin Saidina Husain Bin Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib bin Abdul Muthalib bin Hasyim bin Abdul Manaf bin Qushai bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Lu’i bin Ghalib bin Fahr bin Malik bin Nadar bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilias bin Mudhar bin Nizar bin Ma’ad bin Adnan bin ‘Add bin Humaisi’ bin Salamam bin Auz bin Buz bin Qamwal bin Ubai bin ‘Awwam bin Nasyid bin Haza bin Bildas bin Yadlaf bin Tabikh bin Jahim bin Nahisy bin Makhi bin Aid bin ‘Abqar bin ‘Ubaid bin Ad-Da’a bin Hamdan bin Sanbir bin Yathrabi bin Yahzin bin Yalhan bin Ar’awi bin Aid bin Desyan bin Aisar bin Afnad bin Aiham bin Muksar bin Nahits bin Zarih bin Sami bin Wazzi bin ‘Adwa bin Aram bin Haidir bin Nabi Ismail a.s. bin Nabi Ibrahim a.s. bin Azar bin Nahur bin Saru’ bin Ra’u bin Falikh bin Abir bin Syalikh bin Arfakhsyad bin Sam bin Nabi Nuh a.s. bin Lamik bin Matul Syalakh bin Nabi Idris a.s. bin Yarid bin Mahlail bin Qinan bin Anwas bin Syits bin Nabi Adam a.s..


ASH-SHADIQ


 Imam Ja’far Shadiq memiliki ilmu yang luar biasa. Beliau telah dianugerahkan ilmu ladunni sehingga beliau mencapai puncak ketinggian dan keagungan yang tiada taranya. Beliau telah memancarkan mata air makrifat, melimpahkan pelbagai ilmu kepada para ulama serta guru di zamannya.

Ramai para perawi hadis telah mengutip hadis daripada Imam Ja’far Shadiq. Mereka datang dari pelbagai mazhab sehinggalah jumlah mereka seramai 4,000 orang.[1]
 Allamah Syed Muhsain al-Amin mengatakan,
       “Al-Hafiz Ibnu Aqd az-Zaidi di dalam kitabnya telah mengumpulkan para perawi hadis sebanyak 4,000 perawi yang siqah (dipercayai) yang telah meriwayatkan hadis daripada Imam Ja’far Shadiq.”[2]

 Al-Ya’qubi telah mengambarkan keperibadian Imam Ja’far Shadiq dengan katanya,
       “Beliau adalah manusia utama dan sangat mengetahui tentang agama Allah s.w.t.. Setiap para ilmuan yang mendengar hadis daripadanya akan mengatakan, telah mengkhabarkan (sebuah hadis) kepada kami orang yang berilmu (Imam Ja’far Shadiq)”[3]

Ustaz Muhammad Farid Wajhi iaitu penyusun Dairatu al-Ma’rifah al-Qarn al-Isyrin (Ensiklopedia Abad Kedua Puluh) mengatakan,
       “Imam Ja’far Shadiq iaitu Abu Abdullah Ja’far Shadiq bin Muhammad Baqir bin Ali Zainal Abidin bin Husain bin Ali k.wh. bin Abi Thalib adalah salah seorang daripada dua belas Imam menurut mazhab Imamiyah. Beliau termasuk juga pemimpin Ahlul Bait. Digelar ‘Ash-Shadiq’ kerana kebenaran kata-katanya. Beliau termasuk manusia yang paling utama dan beliau juga telah menulis artikel tentang kimia.”[4]

Abul Fath asy-Syahristani menulis di dalam kitabnya al-Milal Wa an-Nihal tentang Imam Ja’far Shadiq sebagai berikut,
       “Beliau adalah seorang yang memiliki ilmu yang melimpah tentang agama, adab yang sempurna dalam hikmah, zuhud yang mendalam terhadap dunia dan warak. Dikatakan juga beliau menetap di Madinah al-Munawwarah, mencurahkan ilmu pengetahuan kepada para pengikut yang belajar dengannya dan mencurahkan segala rahsia ilmu kepada mereka yang ada di sekitar Kota Madinah al-Munawwarah. Kemudian beliau ke Iraq dan tinggal di sana kerana beliau dihadapkan kepada penguasa pemerintah. Beliau tidak bersengketa dengan seorang pun tentang kekhalifahan. Beliau berkata, “Barang siapa yang telah tenggelam dalam lautan makrifah, dia tidak akan mengharapkan tepinya dan barang siapa yang telah mencapai kemuncak hakikat, tidak akan takut merosot.”

Setelah bapa Imam Ja’far Shadiq iaitu Imam Muhammad Baqir meninggal dunia, beliau telah ditugaskan untuk mengambil alih tugas bapanya sebagai pemimpin manusia sejagat. Beliau telah berusaha untuk meneruskan perjuangan menentang kezaliman dan menyeru kebaikan. Madrasah dan method beliau merupakan sambungan dari sunnah Nabi dan sentiasa menurut kandungan wahyu Ilahi.


KERJA HARIAN


Walaupun Imam Ja’far Shadiq mempunyai ilmu yang begitu tinggi, namun, beliau sendiri masih melakukan kerja harian sebagaimana manusia biasa. Abu al-A’la menceritakan,
       “Suatu hari di musim panas yang sangat terik, aku melihat Imam Ja’far Shadiq sedang berjalan menuju ke sebuah kebun yang berhampiran Kota Madinah al-Munawwarah. Aku menghampirinya lalu bertanya mengapa Imam Ja’far Shadiq, dengan kedudukannya yang mulia dan dengan ilmunya yang tinggi, begitu susah payah sanggup bekerja di bawah terik mentari? Dengan rendah hati Imam Ja’far Shadiq mengatakan bahawa untuk mencari nafkah, beliau bekerja sendiri sehingga beliau tidak mengharapkan bantuan daripada seseorang walaupun daripada diriku sekalipun.”

Abi Amru Syaibani berkata,
       Suatu hari aku melihat Imam Ja’far Shadiq berpakaian kasar dan berbekalkan cangkul sedang bercucuk tanam di kebun sambil badan beliau dibasahi peluh. Lalu aku pun berkata, “Kuserahkan jiwa dan ragaku untukmu, berikanlah cangkul itu kepadaku. Semoga saya dapat menggantikan tempat anda.” Imam Ja’far Shadiq menjawab, “Saya lebih suka dan bersabar menempuh kehidupan dan bekerja di bawah terik matahari.”

Hafash bin Abi Aisyah menceritakan,
       “Suatu ketika Imam Ja’far Shadiq memanggil pekerja beliau untuk melaksanakan sesuatu. Oleh kerana pekerja tersebut lambat sampai akhirnya, beliau sendiri melaksanakan pekerjaan tersebut. Tidak lama kemudian Imam Ja’far Shadiq melihat pekerjanya sedang nyenyak tidur di suatu sudut. Lalu beliau duduk di sisi pekerjanya sehingga dia terjaga. Kemudian beliau menasihatinya supaya tidak elok anda tidur di malam hari dan di siang hari. Sesungguhnya hanya di malam hari sahaja pekerjanya boleh tidur. Manakala di siang hari dia harus bekerja dengannya”

Ma’la bin Khanis berkata,
       “Suatu malam sewaktu hujan turun, Imam Ja’far Shadiq menuju ke perkarangan Bani Sa’adah iaitu tempat orang miskin berteduh. Di pertengahan jalan beberapa barangan yang dibawanya telah tercicir. Lantas beliau berdoa, “Dengan nama Allah, semoga barang yang tercicir dapat ditemukan semula.” 

“Aku menghampiri beliau dan memberi salam. Imam Ja’far Shadiq berkata, “Rupanya anda wahai Ma’la.” Aku menjawab, “Benar wahai Imam.” Beliau berkata, “Tolong carikan barangku yang tercicir dan setelah itu kembalikan semula.” 

“Aku mula mencari barang yang dimaksudkan. Tidak lama kemudian aku menemui beberapa keping roti kering dan aku pun lalu menyerahkan roti tersebut kepada Imam Ja’far Shadiq. Aku dapati beliau membawa bekas yang dipenuhi roti dan aku pun berkata, “Biarlah saya bawakan barang Tuan.” Beliau menjawab, “Saya masih mampu untuk membawanya. Marilah ikut serta bersamaku.” Lalu aku mengiringi beliau menuju ke perkarangan Bani Sa’adah. Di sana aku lihat beberapa orang miskin sedang nyenyak tidur. Tanpa pengetahuan mereka, beliau telah meletakkan roti yang di bawa ke dalam jubah mereka satu persatu tanpa seorang pun tertinggal.” Ketika pulang aku mengajukan pertanyaan kepada Imam Ja’far Shadiq, “Adakah mereka semua pengikut anda?” Beliau menjawab, “Jika mereka pengikutku lebih dari ini akan saya bantu.”

Hisyam bin Salim menceritakan,
       “Antara kerja amal yang dilakukan Imam Ja’far Shadiq ialah hampir disetiap malam beliau akan membawa beberapa buku roti, daging dan wang untuk dibahagikan kepada penduduk miskin di sekitar Madinah al-Munawwarah tanpa disedari oleh sipenerima. Setelah kematian beliau barulah mereka mengetahui selama ini makanan dan wang yang mereka terima adalah hasil pemberian Imam Ja’far Shadiq.”


PEMERINTAHAN BANI UMAYYAH


Pada tahun ke-105 Hijrah, Khalifah Hisyam bin Malik telah menerajui tampuk pemerintahan. Dia memerintah agak lama iaitu selama 20 tahun. Di zaman pemerintahannya dia telah berlaku zalim terhadap pengikut Imam Ja’far Shadiq. Ramai pengikut beliau telah berhijrah ke tempat lain demi untuk menyelamatkan diri. Namun, Khalifah Hisyam bin Malik masih sangat khuatir kepada pengaruh masyarakat terhadap Imam Ja’far Shadiq. Tidak lama kemudian dia telah menyerahkan surat kepada Imam Ja’far Shadiq manakala sepucuk lagi diserahkan kepada Abdullah bin Hasan, seorang bangsawan Alawiyin yang sangat berpengaruh. Seterusnya Khalifah Hisyam bin Malik memerintahkan seorang utusan pergi membawa surat tersebut kepada Imam Ja’far Shadiq. Dalam surat tersebut dia meminta supaya beliau datang ke Kuffah untuk menerima baiat kekhalifahan. Dia juga menyuruh utusannya supaya memerhati tanggapan Imam Ja’far Shadiq di atas surat yang dikirimnya. Jika beliau menyatakan setuju dengan kandungan surat tersebut, maka dia tidak perlu pergi kepada orang lain lagi kerana Imam Ja’far Shadiq adalah seorang Imam dan pemimpin umat. Tetapi jika beliau menolak maka dia perlu pergi menemui Abdullah bin Hasan. Maka bertolaklah utusan tersebut menemui Imam Ja’far Shadiq dengan membawa surat tersebut dan memberitahu kepada beliau mengenai isinya. Imam Ja’far Shadiq tidak menjawab melainkan mengambil surat itu dan membakarnya di depan utusan tersebut seraya berkata,
       “Beritahulah kepada temanmu apa yang anda lihat ini.” Kemudian beliau mengucapkan sebaris puisi yang dikutip daripada Kumait bin Zaid.

“Wahai orang yang menyalakan api
Sinar apimu hanya untuk orang lain
Wahai pengumpul kayu api
Anda kumpulkan kayu di tali orang lain”

Maka pergilah utusan tersebut meninggalkan Imam Ja’far Shadiq lalu menemui Abdullah bin Hasan dan memberikan kepadanya surat yang sama. Abdullah bin Hasan merasa gembira menerima surat tersebut namun, dia tidak boleh memutuskannya tanpa dihadapkan dulu kepada Imam Ja’far Shadiq. Dia membayangkan dia akan mendapat sokongan dari pemimpin umat Islam tesebut. Namun, Imam Ja’far Shadiq melarangnya menerima tawaran Khalifah Hisyam bin Malik dan memperingatkannya tentang perkara buruk yang bakal timbul. Imam Ja’far Shadiq memang mengetahui rahsia dan akibat buruk yang bakal berlaku. Beliau memiliki ilmu yang diwarisi daripada ayah beliau iaitu Imam Muhammad Baqir. Manakala Imam Muhammad Baqir pula memperolehi ilmu daripada ayah beliau dan daripada datuknya dan seterusnya sehingga sampai kepada Rasulullah s.a.w..[5]

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,
       “Kita Ahlul Bait, Allah s.w.t. telah menempatkan kita di akhirat daripada dunia. Sepeninggalanku, Ahlu Baitku akan menderita, diusir, dan diancam sehingga akan datang satu kaum dari arah timur yang membawa bendea hitam. Mereka meminta kebaikan namun, tidak diberi. Lalu mereka berperang dan mereka menang. Kemudin mereka diberi apa yang mereka minta. Tetapi mereka tidak mahu menerimanya sehingga mereka menyerahkannya kepada seorang lelaki daripada keturunan Ahlul Baitku. Lalu dia memenuhi bumi ini dengan keadilan sebagaimana mereka telah memenuhi bumi ini dengan kezaliman. Maka barang siapa yang berjumpa peristiwa itu hendaklah dia menuju ke arah mereka walaupun dengan merangkak atas salji sekalipun.”[6]

Abdullah bin Hasan yang tidak mahu mendengar nasihat Imam Ja’far Shadiq berkata,
       “Sesungguhnya mereka menghendaki anakku Muhammad sebagai Imam Muhammad Mahdi umat ini.” Imam Ja’far Shadiq menjawab,
       “Demi Allah, dia bukanlah Imam Muhammad Mahdi umat ini. Sesungguhnya jika dia mengeluarkan pedangnya dia akan terbunuh.” Abdullah membantah Imam Ja’far Shadiq lalu berkata,
       “Demi Allah, sesungguhnya anda mempunyai sifat cemburu.” Beliau menjawab,
       “Dan demi Allah, ucapanku itu hanyalah nasihatku terhadapmu.”[7]

Pada tahun ke-125 Hijrah, al-Walid bin Yazid telah mengambil alih pemerintahan Bani Umayyah daripada Khalifah Hisyam bin Abdul Malik yang telah meninggal dunia. Semasa menaiki singgahsana khalifah, dia telah mendapat kekayaan yang melimpah ruah. Dengan serta merta dia telah menjadi orang yang terkaya. Dia menjadi lupa daratan dan tidak dapat menguasai dirinya. Dia sering mencari kelazatan dunia dan mempunyai minat yang mendalam untuk memburu, meminum minuman keras serta bergaul dengan orang yang fasik. Bahkan dia telah dituduh mengadakan hubungan sulit dengan ibu tirinya.[8]

Salah satu yang amat dikesali terhadap Khalifah al-Walid ialah dia telah melakukan balas dendam terhadap anak Khalifah Hisyam bin Abdul Malik. Mereka telah diseksa dengan pelbagai seksaan. Ada yang dipukul, ada yang dipenjarakan dan barangnya disita.[9]

Dalam suasana kefasikan yang dilakukan Khalifah al-Walid bin Yazid dan tuduhan yang dikenakan terhadapnya, maka rakyat pun bangkit dengan perasan marah. Secara diam-diam mereka telah membaiat (menyokong) Yazid bin al-Walid bin Abdul Malik menjadi khalifah. Ketika tentera Yazid bin al-Walid menjadi yakin, dia segera menyerbu Damsyiq dan mengibarkan api peperangan. Dalam beberapa pertempuran Khalifah al-Walid bin Yazid telah berjuang mati-matian, namun, dia mendapat kekalahan. Akhirnya, dia masuk ke dalam istana mengambil Al-Quran lalu membacanya dan kemudian dia berseru,
       “Suatu hari (akan menjadi) seperti hari yang pernah dialami Khalifah Osman.”[10]

Orang ramai yang memberontak terus memanjat tembok istananya. Mereka masuk lalu membunuh Khalifah al-Walid bin Yazid.[11] Dia hanya sempat memerintah selama setahun sahaja. Setelah kematian Khalifah al-Walid bin Yazid, maka pada tahun ke-126 Hijrah, Yazid bin al-Walid telah menjawat kedudukan sebagai khalifah. Namun, Khalifah Yazid bin al-Walid hanya sempat memerintah selama beberapa bulan sebelum meninggal dunia. Dia telah memberikan wasiat supaya saudaranya Ibrahim menjadi khalifah. Tetapi kedudukan Ibrahim bin al-Walid sebagai khalifah tidak dipersetujui kaum muslimin. Dia tidak mendapat baiat di segenap lapisan rakyat.

Pada tahun tersebut Marwan bin Muhammad yang telah menjadi Gabernor Jazirah dan Armenia telah memimpin pasukan yang besar menuju ke Syam untuk menuntut bela ke atas kematian Khalifah al-Walid bin Yazid dan dengan pedangnya sehingga menyebabkan rakyat memberi baiat sepenuhnya kepada Marwan bin Muhammad.
       Pada tahun 127 Hijrah Marwan bin Muhammad telah merampas tahta pemerintahan. Dia sempat memerintah sehingga tahun ke-132 Hijrah kerana pada tahun tersebut dia telah tewas terbunuh di Mesir di suatu desa yang disebut Busair di daerah as-Shaid. Dengan kematian Khalifah Marwan bin Muhammad berakhirlah sudah riwayat Daulah Umawiyah. Kini tampuk pemeritahan diambil alih keturunan golongan Abbasiah. Pemerintah Abbasiah adalah keturunan daripada Abbas, bapa saudara Rasulullah s.a.w.. Pengasas kerajaan keturunan Abbas ialah Abdullah bin Abbas. Dia dilantik menjadi as-Saffah iaitu yang bermaksud penumpah darah dan pengancam sesiapa sahaja yang menderhaka.
       Abu al-Abbas as-Saffah merasa khuatir dan tidak senang dengan kehadiran Imam Ja’far Shadiq kerana dia takut kedudukan khalifah yang diterajuinya tergugat. Dia hanya sempat menjadi khalifah selama 4 tahun 9 bulan dan meninggal di Kota Anbar pada bulan Zulhijjah tahun ke-136 Hijrah. Kemudian jawatan khalifah diambil alih Abu Ja’far al-Mansur. Dia sangat sayangkan harta dan amat cekap untuk menghimpun dan mendapat sumbangan daripada rakyat. Khalifah Abu Ja’far al-Mansur juga terkenal sebagai seorang yang agak kedekut.
       Al-Wadhin bin Atha’ telah bercerita,
       “Suatu hari Khalifah Abu Ja’far al-Mansur telah mengunjungiku dan bertanya tentang diriku. Aku pun menjawab, “Keadaan saya sebagaimana yang anda lihat.” Lalu beliau bertanya pula tentang bilangan keluargaku. Aku menjawab, “Tiga orang perempuan, seorang isteri dan seorang hamba.” Lantas beliau berkata, “Empat orang di dalam rumahmu?” Beliau mengulangi sebanyak 3 kali yang membuat aku menyangka beliau akan memberi wang kepadaku. Tetapi beliau kemudian memandangku seraya berkata, “Engkau adalah seorang Arab yang kaya kerana engkau mempunyai 4 orang wanita yang melayanimu di rumah.”[12]
       Khalifah Abu Ja’far al-Mansur sangat memusuhi Imam Ja’far Shadiq dan seringkali menyakiti beliau. Khalifah Abu Ja’far al-Mansur menuduh Imam Ja’far Shadiq mengetuai gerakan untuk menjatuhkan kekuasaan Abbasiah. Oleh kerana itu dia lalu menjemput Imam Ja’far Shadiq ke istananya dan beberapa kali beliau telah dihantar ke Iraq bertujuan supaya beliau jauh daripada penduduk Madinah al-Munawwarah.

Suatu ketika Khalifah Abu Ja’far al-Mansur mengirim surat kepada Imam Ja’far Shadiq yang meminta beliau berkunjung dan berpihak kepada istana. Di dalam surat tersebut beliau mengatakan,
       “Mengapa anda tidak bersengkokol dengan kami sebagaimana yang dilakukan orang ramai?” Imam Ja’far Shadiq membalas surat tersebut dengan mengatakan,
       “Tidak ada sesuatu pun yang kami takut daripadamu dan tidak ada pula perkara akhirat yang kami harapkan daripadamu.” Khalifah Abu Ja’far al-Mansur membalas lagi surat tersebut,
       “Anda boleh bersama kami dan menjadi penasihat kami.” Imam Ja’far Shadiq menjawab,
       “Orang yang menghendaki dunia tidak akan menjadi penasihatmu dan orang yang menghendaki akhirat tidak akan menyertaimu.” Khalifah Abu Ja’far al-Mansur menjadi sangat marah terhadap Imam Ja’far Shadiq tetapi dia juga takut dengan kedudukan beliau sebagai pemimpin umat sehingga dia berkata mengenai Imam Ja’far Shadiq,
       “Dia ini merupakan duri dalam daging bagi para khalifah yang tidak boleh dilenyapkan dan tidak halal untuk dibunuh. Kalaulah tidak kerana aku dan dia termasuk dalam satu keluarga besar yang berasal dari keluarga suci, nescaya aku akan melakukan tindakan yang tidak terpuji terhadapnya.”

Walaupun Imam Ja’far Shadiq melalui dua zaman pemerintahan, namun, beliau masih ditindas dengan zalim. Beliau menjalani kehidupan di zaman pemerintahan Abbasiah selama lebih 10 tahun. Beliau menyaksikan sendiri fitnah yang menimpa Ahlul Bait, penderitaan umat Islam, tangisan dan kegelisahan mereka, namun, beliau masih bersabar dan tidak tergesa-gesa melawan serta memberontak penguasa yang zalim ketika itu kerana beberapa faktor. Antaranya pengalaman sejarah hitam yang dialami oleh kepimpinan Ahlul Bait dalam memimpin umat melakukan gerakan pemberontakan melawan Bani Umayyah seperti yang dipimpin Saidina Ali k.wh., Saidina Hasan dan Saidina Husain. Pengalaman ini mengungkap kenyataan betapa mundurnya umat Islam dan jauhnya mereka dari kedudukan yang murni yang diharapkan serta tidak mampu melaksanakan method mulia yang digariskan oleh Ahlul Bait dalam mencapai kekuasaan khalifah.

Pemimpin Ahlul Bait senantiasa menjauhkan diri dari pengkhianatan, penipuan, rasuah dan sebagainya sedangkan pihak musuh dan para pemerintah tanpa segan silu melanggar peraturan Islam demi mempertahankan kekuasaan mereka. Akhirnya, Imam Ja’far Shadiq berusaha mendidik kelompok ulama dan pendakwah serta berusaha mendidik majoriti umat Islam yang berada di bawah kekuasaan penguasa yang zalim dengan cara menanamkan kesedaran akidah, politik dan dengan memegang teguh hukum syariat serta konsepnya.


DIRACUN


       Setelah Imam Ja’far Shadiq dikenali dari segenap lapisan masyarakat, kemahsyuran beliau semakin tiada taranya sehingga penguasa pemerintah ketika itu tidak duduk diam dan telah mengarahkan Gabenor Madinah al-Munawwarah iaitu Mansur Dawaniqi untuk menamatkan riwayat hidup Imam Ja’far Shadiq. Akhirnya, beliau telah diracun dan pada 25 haribulan Syawal tahun ke-148 Hijrah,. Beliau telah kembali ke rahmatullah dan jasadnya telah disemadikan di Madinah al-Munawwarah bersebelahan makam Imam Muhammad Baqir, Imam Ali Zainal Abidin dan Saidina Hasan. Semoga keselamatan dilimpahkan ke atas ruhnya yang suci pada hari beliau kembali ke rahmatullah dan pada hari ketika beliau dibangkitkan. Berbahagialah mereka yang mengambil petunjuk daripadanya



[1]  Syeikh Mufid di dalam al-Irsyad muka surat 270.
[2]  Syed Muhsain al-Amin.
[3]  Ahmad bin Abi Ya’qub di dalam Tarikh Ya’qub jilid iii muka surat 119.
[4]  Muhammad Farid Wajhi di dalam Dairatu al-Ma’rifah al-Qarn al-Isyrin jilid iii muka surat 109.
[5]  Al-Mas’udi di dalam Muruj az-Zahab jilid iii muka surat 254 – 255.
[6]   Sunan Ibnu Majah jilid ii muka surat 1366.
[7]  Al-Mas’udi di dalam Muruj az-Zahab jilid iii muka surat 254 - 25.
[8]  Ath-Thabari jilid v muka surat 538.
[9]  Ath-Thabari jilid v muka surat 525 – 526 dan al-Iqd al-Farid muka surat 462.
[10]  Ath-Thabari jilid v muka surat 551.
[11]   Sejarah dan kebudayaan Islam oleh Prof. Dr. Ahmad Shalaby terbita Pustaka Nasional
[12]  Ibnul Atsir di dalam al-Kamil Fi at-Tarikh jilid vi muka surat 10