INFORMASI

MAKLUMAN

Blog ini adalah hak milik Pintu Ilmu Resources (00159443-D) - PUSAT RAWATAN HOMEOPAYHY- yang beralamat di: Pusat Perubatan Holistik dan Alternatif 4932, Traffic Light Tok Jiring, Jalan Kelantan 21060 Kuala Terengganu, Darul Iman. Untuk lokasi klinik sila klik di sini

Pada 08/11/2015 klinik ditutup kerana doktor bertugas outstation. Harap maklum.

TESTIMONIAL TERKINI i

TAJAAN

Jumaat, 25 Mac 2011

BIOGRAFI IMAM MUHAMMAD MAHDI

Ketika Imam Hasan Askari (bapa Imam Muhammad Mahdi) menjadi pemimpin umat, pemerintah di zaman beliau sungguh zalim sekali. Imam Hasan Askari terpaksa dipenjarakan dan ditahan dalam rumahnya sendiri yang terletak di tengah kem tentera Abbasiah.
.
Beliau dikawal rapi kerana para pemerintah mendapat maklumat isteri Imam Hasan Askari akan melahirkan seorang bayi lelaki yang bila dewasa kelak akan menjadi Imam Muhammad Mahdi sebagaimana yang telah diriwayatkan Rasulullah s.a.w.. Justeru itu pemerintah telah menghantar wakilnya dari golongagn wanita untuk sering memeriksa isteri Imam Hasan Askari sama ada telah mengandung ataupun belum.
.
Namun, Allah s.w.t. lebih Maha Berkuasa dan memang Allah s.w.t. menghendaki Imam Muhammad Mahdi lahir daripada sulbi isteri seorang suci dan dari keturunan zuriat Ahlul Bait Rasulullah s.a.w.. Imam Hasan Askari mendapat ilham daripada Ilahi, isteri beliau yang juga seorang puteri daripada keturunan Raja Rom akan dikurniakan seorang putera yang akan memerintah dunia dengan penuh saksama dan keadilan. Beliau merasa yakin kerana bapa beliau telah meriwayatkan sabda Rasulullah s.a.w. yang berbunyi,
.
“Daku adalah junjungan para Nabi dan Ali adalah junjungan para penerima wasiat dan jumlah penerima wasiatku sesudahku adalah dua belas orang. Yang pertama adalah Ali dan yang terakhir adalah Muhammad Mahdi.”[1]
.
Suatu ketika Imam Hasan Askari memanggil ibu saudaranya yang bernama Hakimah.
.
“Jagalah Narjis ini sebaik mungkin kerana dia akan melahirkan seorang putera yang akan memerintah dunia secara adil dan saksama.”
.
“Tetapi aku tidak melihat pun dia mengandung?” Tanya Hakimah kehairanan. Imam Hasan Askari menjawab,
.
“Ini adalah antara kebesaran Ilahi. Kelahirannya adalah serupa sebagaimana kelahiran Nabi Musa a.s.. Sesungguhnya keturunan kami dilahirkan bukan dari rahim ibu kami. Keturunan kami dilahirkan melalui ‘Sulbi’ (tulang punggung) ibu kami.”
.
Pada malam 15 Sya’ban tahun 255 Hijrah, Imam Hasan Askari sekali lagi memanggil Hakimah dan berkata,
.
“Malam ini datanglah ke rumahku untuk berbuka puasa. Malam ini Imam yang selama ini ditunggu-tunggu akan lahir.”
.
Hakimah merasa sangat gembira dan setelah mengemas diri dia pun menuju ke rumah Imam Hasan Askari. Kemudian dia menemui Narjis untuk mengucapkan tahniah atas berita gembira yang baru didengarnya.
.
Malam itu setelah berbuka puasa serta menunaikan fardu Maghrib dan Isyak, Hakimah pun masuk tidur. Di pertengahan malam dia terjaga lalu mengambil wuduk untuk sembahyang malam dan witir. Tidak lama kemudian Narjis pula bangun dan turut mengambil wuduk lalu bersembahyang malam dan witir. Tiba-tiba Imam Hasan Askari bersuara,
.
“Wahai Hakimah, bersedialah kerana Narjis sedang melahirkan Imam Muhammad Mahdi.” Hakimah menghampiri Narjis dan menyambut putera tersebut. Dia menyaksikan ketika Imam Muhammad Mahdi lahir tiada setitik darah pun keluar daripada Narjis. Malahan Hakimah menyaksikan ketika Imam Muhammad Mahdi lahir, beliau terus sujud serta mengucapkan,
.
“Asyhadu An Lailahaillallah Wa Asyhadu Anna Muhammada Rasulullah” Kemudian Imam Hasan Askari menghampiri Hakimah lalu berkata,
.
“Wahai ibu saudaraku, berikanlah bayi tersebut kepadaku.” Hakimah mengambil bayi yang baru lahir tersebut lalu diberikan kepada Imam Hasan Askari. Beliau mengambil putera kesayangannya lalu menghulurkan lidah beliau ke dalam mulut puteranya sambil berkata,
.
“Wahai anakku, dengan kekuasaan Allah s.w.t. berkatalah sesuatu.” Tiba-tiba dengan kuasa Allah s.w.t. Imam Muhammad Mahdi yang baru lahir pun berkata,
.
“’Auzubillahi Minasy Syaithanir Rajim. Bismillahir Rahmanir Rahim” kemudian Imam Muhammad Mahdi membaca beberapa potong ayat Al-Quran yang berbunyi:
.
“Dan kami hendak memberikan kenikmatan kepada orang yang dizalimi di muka bumi. Kami jadikan mereka sebagai Imam. Juga kami jadikan mereka sebagai pewaris. Kami tetapkan mereka di muka bumi. Juga kami perlihatkan kepada Firaun dan Haman serta tenteranya dengan apa yang mereka takuti.”[2]
.
Pada hari ketiga Hakimah datang semula ke rumah Imam Hasan Askari untuk melihat puteranya yang bernama Imam Muhammad Mahdi. Ketika dia masuk ke dalam bilik Narjis, dia tidak melihat Imam Muhammad Mahdi. Dia merasa hairan lalu bertanya tentang keadaan Imam Muhammad Mahdi. Imam Hasan Askari yang ketika itu ada di dalam rumah tersebut menjawab,
.
“Dia saya hantar kepada seseorang untuk menjaganya sebagaimana ibu Nabi Musa menghantar kepada seseorang untuk menjaga anaknya.”
.
Pada hari keempat puluh kelahiran Imam Muhammad Mahdi, Hakimah pergi lagi ke rumah Imam Hasan Askari. Tiba-tiba dia ternampak seorang kanak-kanak yang comel lagi bercahaya mukanya sedang berjalan di halaman rumah Narjis. Kemudian Imam Hasan Askari berkata,
.
“Inilah dia puteraku, Imam Muhammad Mahdi yang selama ini diperlihara oleh Allah s.w.t..” Kemudian Hakimah bertanya,
.
“Tak kan baru 40 hari sudah sebesar ini?” Imam Hasan Askari tersenyum dan berkata,
.
“Wahai ibu saudaraku, sesungguhnya kami keturunan Ahlul Bait dianugerahkan pembesaran hanya 1 hari bersamaan 1 tahun berbanding orang lain.” Kemudian Hakimah mencium pipi Imam Muhammad Mahdi dan setelah itu dia tidak kelihatan lagi.
.
Nama sebenar beliau ialah Imam Muhammad Muhammad Mahdi bin Imam Hasan Askari bin Imam Ali Hadi bin Imam Muhammad Jawad bin Imam Ali Redha bin Imam Musa Kazim bin Imam Ja’far Shadiq bin Imam Muhammad Baqir bin Imam Ali Zainal Abidin bin Saidina Husain Bin Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib bin Abdul Muthalib bin Hasyim bin Abdul Manaf bin Qushai bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Lu’i bin Ghalib bin Fahr bin Malik bin Nadar bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilias bin Mudhar bin Nizar bin Ma’ad bin Adnan bin ‘Add bin Humaisi’ bin Salamam bin Auz bin Buz bin Qamwal bin Ubai bin ‘Awwam bin Nasyid bin Haza bin Bildas bin Yadlaf bin Tabikh bin Jahim bin Nahisy bin Makhi bin Aid bin ‘Abqar bin ‘Ubaid bin Ad-Da’a bin Hamdan bin Sanbir bin Yathrabi bin Yahzin bin Yalhan bin Ar’awi bin Aid bin Desyan bin Aisar bin Afnad bin Aiham bin Muksar bin Nahits bin Zarih bin Sami bin Wazzi bin ‘Adwa bin Aram bin Haidir bin Nabi Ismail a.s. bin Nabi Ibrahim a.s. bin Azar bin Nahur bin Saru’ bin Ra’u bin Falikh bin Abir bin Syalikh bin Arfakhsyad bin Sam bin Nabi Nuh a.s. bin Lamik bin Matul Syalakh bin Nabi Idris a.s. bin Yarid bin Mahlail bin Qinan bin Anwas bin Syits bin Nabi Adam a.s..
.
Ibu Imam Muhammad Mahdi bernama Narjis berketurunan Raja Rom. Sebelum memeluk Islam beliau bernama Suzan dan beragama Kristian. Narjis memeluk Islam ketika beliau bermimpi bertemu Maryam binti Imran dan Fatimah az-Zahra’ binti Rasulullah s.a.w.. Dalam mimpi tersebut beliau telah mengucapkan dua kalimah Syahadah. Di malam sebelumnya Narjis telah bermimpi bertemu dengan Nabi Isa a.s. dan Nabi Muhammad s.a.w.. Dalam mimpi tersebut Baginda telah menikahkan Narjis dengan Imam Hasan Askari yang disaksikan para ‘Hawariyyun’ (12 wakil selepas Nabi Isa a.s.) dan para Imam (12 wakil) iaitu pemimpin setelah Rasulullah s.a.w..
.
Ketika tentera Rome diserang dan Narjis menjadi tawanan perang, lalu Imam Hasan Askari telah membelinya dan terus memperisterikannya. Imam Hasan Askari menjaga dan mendidik Narjis sebaik mungkin kerana isterinya akan melahirkan seorang insan agung yang akan memerintah dunia secara adil dan saksama.
.
PEMERINTAHAN BANI ABBASIAH
.Imam Muhammad Mahdi digelar dengan beberapa gelaran seperti:
.
.· Abu Qasim, gelaran Imam Muhammad Mahdi dan julukan bagi Rasulullah
· Al-Qaim, bermaksud penegak (kebenaran).
· Al-Muntazar, bermaksud yang dinanti.
· Imam Zaman, bermaksud imam zaman ini.
· Shahibuz Zaman, bermaksud pemilik zaman ini.

.
Di zaman kelahiran Imam Muhammad Mahdi situasi politik pada masa itu penuh dengan pergolakan. Para pemerintah dan keluarga Abbasiah hidup dalam kekurangan akhlak, moral serta penuh pertelingkahan antara anak, ayah dan saudara sesama sendiri demi merebut kekuasaan. Keadaan ini melemahkan kekuasaan pemerintah dan mendorong para panglima perang serta para pembesar untuk membuat sesuka hati dan menjadikan khalifah hanya sebagai boneka. Situasi ini terjadi khususnya pada orang Turki yang menduduki posisi penting dalam tampuk pemerintahan ketika itu.
.
Keadaan tersebut memberi peluang kepada para pemberontak Alawiyin untuk bergerak melawan penguasa Abbasiah. Tidak lama kemudian terbunuhlah Khalifah al-Mu’taz pada bulan Rejab tahun 225 Hijrah iaitu 18 hari sebelum kelahiran Imam Muhammad Mahdi. Kemudian tampuk pemerintahan diambil alih Khalifah al-Muhtadi. Dengan demikian, di zaman kelahiran Imam Muhammad Mahdi, Khalifah al-Muhtadi telah memegang tampuk pemerintahan.
.
Tidak lama kemudian terjadilah perselisihan antara Khalifah al-Muhtadi dengan orang Turki. Mereka telah berani memberontak dan akhirnya, pada tahun 257 Hijrah Khalifah al-Muhtadi telah dibunuh dan tahta kekhalifahan diduduki oleh Ahmad bin Ja’far al-Mutawakil.
.
Pada Zaman pemerintahan Khalifah al-Mutawakil, penindasan berlaku terhadap keturunan Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib dan para pengikutnya. Pada masa itu terjadilah penangkapan dan kezaliman terhadap kaum Alawiyin. Ramai antara mereka yang ditangkap, dipenjara, dibunuh dan diseksa.
.
Di dalam kitab sejarah telah tertulis yang mengatakan,
.
“Telah meninggal dunia di penjara, Isa bin Ismail bin Ja’far (daripada keturunan Saidina Hasan bin Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib.) juga telah terbunuh di Ray, Ja’far bin Muhammad bin Ja’far (daripada keturunan Imam Ali Zainal Abidin bin Saidina Husain bin Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib).”
.
Seorang penulis kitab sejarah yang bernama Abul Faraj al-Isfahani menulis,
.
“Dan antara tokoh yang berjuang memberontak ketika itu adalah Ali bin Zaid bin Saidina Husain bin Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib. Ibunya adalah puteri al-Qasim bin Aqil bin Abi Thalib. Dia telah memberontak di Kuffah. Sebahagian penduduk kota dan desa di daerah tersebut telah membaiat dan menyokongnya. Kemudian Khalifah al-Muhtadi telah mengutuskan panglimanya bernama Syah bin Mikyal dengan diiringi pasukan yang sangat besar jumlahnya.
.
Ali bin Zaid tidak berhasil memperolehi sokongan daripada orang ramai. Dia terpaksa terlibat dalam pertempuran sengit melawan pasukan Khalifah al-Muhtadi disalah satu Kota Kuffah. Jumlah tenteranya hanya 200 orang pasukan berkuda, namun, dengan keberanian dan kemahirannya menunggang kuda, dia berjaya mengalahkan tentera Abbasiah yang ramai itu.
Abu Faraj al-Isfahani seterusnya menuturkan,
.
“Selanjutnya bangkitlah an-Najim yang memberontak di Bashrah dan kemudian Ali bin Zaid bergabung dengannya bersama sekelompok keluarga Abu Thalib dan Thahir bin Ahmad bin al-Qasim bin Hasan bin Zaid bin Saidina Hasan bin Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib.
.
Al-Ya’qubi telah mencatat peristiwa dan pemberontakan sebagai berikut,
.
“Dan ditangkaplah seorang lelaki daripada kaum keluarga Abu Thalib yang dikenali dengan Ibrahim bin Muhammad daripada keturunan Umar bin Ali yang dikenali juga dengan sebutan ash-Shufi di hujung kawasan hulu Mesir. Ditangkap juga di daerah tersebut seorang lelaki yang dikenali sebagai Abdullah bin Abdul Hamid bin Abdullah bin Abdul Aziz bin Abdullah bin Umar al-Khatthab. Dia telah memerangi penguasa dan memperolehi kedudukan yang kuat di Bashrah.”
.
Selanjutnya al-Ya’qubi menuturkan tentang pengingkaran Khalifah al-Muhtadi terhadap orang Turki. Dia telah menghalalkan darah, harta dan merobohkan rumah mereka sambil membunuh sebahagian daripada mereka sehingga berakhir kekhalifahan al-Muhtadi pada bulan Rejab tahun 256 Hijrah. Pada masa pemerintahan Khalifah al-Mu’tamid, Ahmad bin Thulun telah membunuh Ahmad bin Muhammad al-Alawi dipintu gerbang Kota Aswan dan kepalanya telah dihadapkan kepada Khalifah al-Mu’tamid.
.
Demikian juga Shalab at-Turki telah membunuh Hamzah bin Isa al-Alawi, Muhammad bin al-Hasan dan saudaranya Ibrahim, al-Hasan bin Muhammad al-Alawi serta Ismail bin Abdullah daripada keturunan Ja’far bin Abi Thalib dalam pertempuran antara al-Hasan dengan Ya’qub bin al-Laits ash-Shafar di daerah Thabaristan. Begitu juga Muhammad bin al-Husain al-Alawi telah ditawan di zaman pemerintahan Khalifah al-Mu’tamid. Dia kemudian meninggal dunia dalam penjara di daerah Samarra’.
.
Demikian juga Musa bin Musa al-Alawi telah meninggal dunia dalam penjara di Samarra’ pada zaman pemerintahan Khalifah al-Mu’tamid. Musa bin Musa al-Alawi telah dibawa dari Mesir di zaman pemerintahan Khalifah al-Mu’taz dan dipenjarakan di Samarra’. Dia telah dipenjara bertahun-tahun dari pemerintahan al-Mu’taz hingga pemerintahan al-Muhtadi sehinggalah meninggal dunia. Demikian juga Said al-Hajib telah menangkap Muhammad bin Ahmad bin Isa al-Alawi, kedua anaknya iaitu Ahmad dan Ali. Tidak lama kemudian Ahmad telah meninggal dunia dalam penjara manakala Ali pula dibebaskan.
.
Peristiwa tersebut di atas, mengambarkan kepada kita tentang situasi dan keadaan politik yang penuh dengan pembunuhan serta kezaliman terhadap keturunan Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib. Pada mulanya khalifah Abbasiah telah menjanjikan kedudukan khalifah kepada Saidina Husain bin Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib. Beberapa khalifah Abbasiah juga masih hidup ketika di zaman Imam Ja’far Shadiq di sekitar tahun 132 Hijrah. Pertikaian mereka dengan para Imam dari keturunan Rasulullah s.a.w. saling berterusan. Mereka terlibat dalam pertikaian dengan Imam Musa Kazim bin Imam Ja’far Shadiq bin Imam Muhammad Baqir bin Imam Zainal Abidin bin Saidina Husain bin Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib. Malahan mereka telah memenjarakan beliau hingga meninggal dunia di dalam penjara. Permusuhan mereka berhenti pada masa pemerintahan Imam Ali Redha bin Imam Musa Kazim dan anak beliau iaitu Imam Muhammad Jawad. Sesudah itu permusuhan tersebut hidup kembali dengan sengit terhadap Imam Ali Hadi bin Imam Muhammad Jawad. Kemudian permusuhan dilanjutkan khalifah al-Mu’taz, Khalifah al-Muhtadi dan Khalifah al-Mu’tamid terhadap Imam Hasan Askari iaitu bapa Imam Muhammad Mahdi.
.
Syeikh al-Mufid Muhammad bin Muhammad bin Nu’man al-Akbari al-Baghdadi telah menceritakan tentang kezaliman pihak penguasa terhadap keturunan Rasulullah s.a.w.. Oleh itu Imam Hasan Askari telah menyembunyikan tentang kelahiran puteranya kerana situasi dan keadaan ketika itu sama seperti zaman kelahiran Nabi Musa a.s..
.
Imam Hasan Askari mengetahui pihak berkuasa sedang menunggu-nunggu tentang kelahiran Imam Muhammad Mahdi. Sebab itulah Imam Hasan Askari tidak memperkenalkan puteranya kepada umum selama beliau masih hidup. Malahan ramai masyarakat umum masih tidak mengenali Imam Muhammad Mahdi sesudah Imam Hasan Askari meninggal dunia.
.
Bersambung di sini
.
.[1] Yanabi’ al-Mawaddad.
.[2] Surah al-Qashas ayat: 5 – 6.