INFORMASI

MAKLUMAN

Blog ini adalah hak milik Pintu Ilmu Resources (00159443-D) - PUSAT RAWATAN HOMEOPAYHY- yang beralamat di: Pusat Perubatan Holistik dan Alternatif 4932, Traffic Light Tok Jiring, Jalan Kelantan 21060 Kuala Terengganu, Darul Iman. Untuk lokasi klinik sila klik di sini

Pada 08/11/2015 klinik ditutup kerana doktor bertugas outstation. Harap maklum.

TESTIMONIAL TERKINI i

TAJAAN

Selasa, 22 November 2011

BIOGRAFI IMAM MUHAMMAD JAWAD

       Pada 10 haribulan Rejab tahun 195 Hijrah, Kota Madinah al-Munawwarah disinari cahaya yang bergemerlapan kerana salah seorang keturunan keluarga Rasulullah s.a.w. telah dilahirkan. Bayi yang comel tersebut disambut bapanya yang bernama Imam Ali Redha. Beliau terus membacakan azan di telinga kanan dan mengiqamatkan di telinga kiri. Kemudian Imam Ali Redha menamakan bayi lelaki tersebut sebagai Muhammad, sempena nama Rasulullah s.a.w.. Penduduk Madinah al-Munawwarah sangat gembira dan pada hari ketujuh mereka beramai-ramai mengunjungi rumah Imam Ali Redha kerana majlis akikah telah diadakan. Di majlis tersebut Imam Ali Redha turut mencukur rambut anaknya untuk ditimbang dan berat rambut tersebut digantikan dengan harga perak lalu wang tersebut dibahagikan kepada fakir miskin.
.
  Imam Muhammad Jawad dilahirkan di Madinah al-Munawwarah pada hari Jumaat. Ibu beliau adalah seorang Ummu Walad iaitu jariah (hamba perempuan) milik bapanya yang bernama Sabikah. Ibu beliau adalah berketurunan keluarga Mariah Qibtiah. Setelah bernikah dengan Imam Ali Redha, beliau menamakannya Khaizuran. Ibu Imam Muhammad Jawad berasal dari negeri Naubah.
.
       Nama sebenar beliau ialah Imam Muhammad Jawad bin Imam Ali Redha bin Imam Musa Kazim bin Imam Ja’far Shadiq bin Imam Muhammad Baqir bin Imam Ali Zainal Abidin bin Saidina Husain Bin Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib bin Abdul Muthalib bin Hasyim bin Abdul Manaf bin Qushai bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Lu’i bin Ghalib bin Fahr bin Malik bin Nadar bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilias bin Mudhar bin Nizar bin Ma’ad bin Adnan bin ‘Add bin Humaisi’ bin Salamam bin Auz bin Buz bin Qamwal bin Ubai bin ‘Awwam bin Nasyid bin Haza bin Bildas bin Yadlaf bin Tabikh bin Jahim bin Nahisy bin Makhi bin Aid bin ‘Abqar bin ‘Ubaid bin Ad-Da’a bin Hamdan bin Sanbir bin Yathrabi bin Yahzin bin Yalhan bin Ar’awi bin Aid bin Desyan bin Aisar bin Afnad bin Aiham bin Muksar bin Nahits bin Zarih bin Sami bin Wazzi bin ‘Adwa bin Aram bin Haidir bin Nabi Ismail a.s. bin Nabi Ibrahim a.s. bin Azar bin Nahur bin Saru’ bin Ra’u bin Falikh bin Abir bin Syalikh bin Arfakhsyad bin Sam bin Nabi Nuh a.s. bin Lamik bin Matul Syalakh bin Nabi Idris a.s. bin Yarid bin Mahlail bin Qinan bin Anwas bin Syits bin Nabi Adam a.s..
.
       Imam Muhammad Jawad membesar di bawah naungan bapanya yang juga seorang imam yang bernama Imam Ali Redha. Bapa beliau sangat dihormati penduduk Madinah al-Munawwarah dan seluruh pelusuk negeri kerana keilmuan, warak, berilmu pengetahuan yang luas dan memiliki kedudukan yang tinggi. Imam Muhammad Jawad membesar dengan melalui pelbagai peristiwa politik yang kacau bilau dan silih bergantinya kekuasaan kekhalifahan antara Khalifah al-Amin dan Khalifah al-Ma’mun iaitu dua putera khalifah Harun ar-Rasyid.
.
       Di saat Imam Jawad dilahirkan, ketika itulah Khalifah al-Ma’mun dibaiat menjadi khalifah, manakala adik kandungnya bekas Khalifah al-Amin dilucutkan jawatan namun, tetap memegang sebahagian dari kekuasaan tertentu.
.
       Khalifah al-Amin telah dilahirkan pada tahun 170 Hijrah, enam bulan sesudah kelahiran abangnya, al-Ma’mun. Ibunya pula bernama Zubaidah binti Ja’far bin al-Mansur, manakala bapanya, khalifah Harun ar-Rasyid telah melantik ketiga-tiga orang anaknya iaitu al-Amin, al-Ma’mun dan al-Qasim sebagai Putera Mahkota. Khalifah Harun ar-Rasyid juga telah membahagikan sempadan kerajaannya di kalangan mereka. Wilayah Khurasan diserahkan kepada al-Ma’mun. Semenanjung Tanah Arab diserahkan kepada al-Qasim, sementara Iraq diserahkan kepada al-Amin. Setelah Khalifah Harun ar-Rasyid meninggal dunia, al-Amin telah dilantik sebagai khalifah. Sebaik sahaja menyandang jawatan khalifah, dia merancang untuk melucutkan gelaran Putera Mahkota daripada abangnya al-Ma’mun dan adiknya al-Qasim. Kemudian dia melantik anaknya bernama Musa sebagai penggantinya kelak.
.
       Perdana Menteri Khalifah al-Amin iaitu Fadhil bin ar-Rabi’ telah mengarahkan salah seorang pengawalnya supaya mengambil kedua-dua surat yang digantungkan di Ka’bah oleh Khalifah Harun ar-Rasyid. Surat tersebut sebelum ini mengandungi perlantikan al-Ma’mun dan al-Amin sebagai Putera Mahkota. Pengawal tersebut telah menjalankan tugasnya dan mencuri kedua-dua surat tersebut serta menyerahkan kepada Perdana Menteri Fadhil yang telah menyerahkannya pula kepada khalifah al-Amin lalu terus mengoyaknya.
.
       Menurut Imam as-Suyuthi dalam kitabnya yang bernama Tarikh al-Khulafa’ mencatatkan di kemuncak kekuatan dan kegagahannya Khalifah al-Amin dikatakan pada satu hari telah berjaya membunuh seekor singa yang ganas. Beliau seorang yang petah berbicara dan bersastera tetapi amat buruk dari segi pentadbiran. Fikirannya agak lemah, sering tergopoh dan tidak layak menjadi seorang pemimpin.
.
      Pada tahun 198 Hijrah, tentera al-Ma’mun telah mara dari Khurasan di bawah pimpinan Tahir bin Husain dan Hartsamah bin A’yan tiba di luar Kota Baghdad dan mula bertindak untuk meruntuhkan gerbangnya. Khalifah al-Amin sendiri berusaha menyerah diri kepada Hartsamah tetapi beberapa orang tentera telah menerkam dan membunuhnya. Dengan itu, berakhirlah sudah zaman pemerintahan Khalifah al-Amin.
.
       Setelah Khalifah al-Amin meninggal dunia, tampuk pemerintahan digantikan abangnya putera al-Ma’mun. Di zaman pemerintahan Khalifah al-Ma’mun, beliau telah berusaha membuat baik kepada keturunan Rasulullah s.a.w.. Maka tidak hairanlah ketika pusat pemerintahan berpindah ke Baghdad, Khalifah al-Ma’mun telah menjemput bapa Imam Muhammad Jawad iaitu Imam Ali Redha berpindah ke Istana Baghdad untuk dijadikan mahkota.
.
       Justeru itu pada tahun 200 Hijrah Imam Ali Redha terpaksa meninggalkan Madinah al-Munawwarah serta anak kesayangannya, Imam Muhammad Jawad untuk menuju ke Merva kerana menerima tawaran Khalifah al-Ma’mun.
..
Sebelum berangkat menuju ke Istana Khalifah al-Ma’mun, Imam Ali Redha bersama putera kesayangannya yang ketika itu baru berusia 4 tahun telah ke Makkah al-Mukarramah untuk menziarahi Baitullah. Setibanya di Makkah Mukarramah Imam Ali Redha melakukan tawaf di sekeliling Ka’bah diikuti oleh puteranya, Imam Muhammad Jawad yang didukung pembantunya. Ketika Imam Ali Redha selesai melakukan tawaf, beliau berdiri di tepi Ka’bah dan bersembahyang di situ. Manakala putera beliau memasuki pintu Ka’bah dan bertafakur di dalam Ka’bah dengan agak lama. Pembantu Imam Ali Redha yang bernama Muwaffiq masuk ke dalam Ka’bah untuk memanggil Imam Muhammad Jawad keluar. Namun, beliau masih berada di dalam Ka’bah tanpa berganjak. Kemudian Muwaffiq menemui Imam Ali Redha dan berkata,
.
      “Tuan, Muhammad Jawad masih bertafakur di dalam Ka’bah dan tidak mahu berganjak.” Mendengar ucapan pembantu beliau, Imam Ali Redha lantas masuk ke dalam Ka’bah menemui putera kesayangannya dan berkata:
.
       “Wahai anakku, bangunlah.” Pinta Imam Ali Redha. Imam Muhammad Jawad menghadap bapa beliau dan menjawab,
.
       “Bagaimana saya boleh meninggalkan tempat ini jika ayah sudah mengucapkan selamat tinggal kepada rumah Allah s.w.t. ini dan tidak akan kembali lagi?” Lalu bapa Imam Muhammad Jawad menghampirinya serta mendakapnya sepuas-puas. Walaupun Imam Muhammd Jawad masih kecil namun, beliau dapat memahami akan berlaku perpisahan dan kejauhan. Imam Muhammad Jawad merasakan betapa terharu dan beratnya bila nanti beliau mesti kembali ke Madinah al-Munawwarah bersendirian dengan menanggung kerinduan seorang anak kepada bapanya. Dengan linangan air mata dan perasaan terharu serta sebak Imam Muhammad Jawad meredai pemergian bapanya ke Merva diikuti pandangan sayu seorang bapa.
.
       Walaupun Imam Ali Redha menetap di kota pemerintahan Khalifah al-Ma’mun namun, nalurinya masih tetap terpaut kepada putera kesayangannya. Untuk mengurangkan rasa rindu terhadap putera kesayanganya Imam Ali Redha sering mengutus surat bertujuan mengajak putera beliau berkomunikasi. Beliau menulis surat menggunakan bahasa yang indah dan memberi julukan kepada puteranya dengan julukan Abu Ja’far.
.
      Al-Hakim Abu al-Hasani bin Ahmad al-Baihaqi menukilkan dari Muhammad bin Abi Ibad yang pernah mengirim surat kepada Imam Ali Redha telah menuturkan,
.
      “Imam Ali Redha tidak pernah memanggil puteranya kecuali dengan nama Abu Ja’far. Imam Ali Redha sering mengirim surat kepada Imam Muhammad Jawad dan aku juga pernah mengirim surat kepadanya ketika beliau masih lagi kanak-kanak.”
.
      Imam Ali Redha sering mengirim surat kepada puteranya dengan tulisan yang tertib, penuh hormat dan menjawab surat puteranya dengan bahasa sastera yang baik sekali. Antara isi kandungan surat Imam Ali Redha kepada Imam Muhammad Jawad seperti berikut,
.
       “Bismillahirrahmanirrahim. Semoga Allah s.w.t. memanjangkan usiamu dan melindungi dirimu wahai anakku daripada musuhmu. Ayah sampaikan salam hormat buat dirimu. Saya serahkan segala kekayaanku kepadamu. Gunakanlah sebaik-baik mungkin dan sesungguhnya ayah masih dalam keadaan sihat walafiat. Ayah berdoa semoga Allah s.w.t. membantumu agar sentiasa menghubungkan tali persaudaraan antara kaum kerabat terdekat. Allah s.w.t. telah memberi kepadamu rezeki yang sangat banyak. Oleh itu wahai anakku. Janganlah dirimu menyembunyikan sesuatu di belakangku kerana kesenangan yang diperolehi, sebab jika begitu langkahmu akan menjadi keliru. Wassalam”
.
       Imam Ali Redha pernah berkata,
.
       “Abu Ja’far (Imam Muhammad Jawad) adalah penggantiku dalam keluargaku sesudah peninggalanku.”
.
       Ibnu QuLu’ih meriwayatkan daripada al-Kulani daripada al-Husain bin Muhammad daripada al-Khairani daripada ayahnya berkata,
.
       “Ketika saya bersama Imam Ali Redha di Khurasan, lalu berkatalah seseorang, jika terjadi sesuatu (Imam Ali Redha meninggal dunia) maka kepada siapa kami harus rujuk. Kemudian Imam Ali Redha menunjukkan anaknya iaitu Imam Muhammad Jawad.”
.
       Ketika Imam Ali Redha meninggal dunia akibat diracun Khalifah al-Ma’mun pada tahun 203 Hijrah, pada hari yang sama Imam Muhammad Jawad telah dilantik untuk menggantikan kepimpinan bapanya. Walaupun usia beliau masih muda namun, beliau mempunyai ilmu yang luar biasa. Pandangan beliau menjangkau pelbagai permasalahan sehingga semakin dikenali di persada dunia. Dalam usia yang masih muda Imam Muhammad Jawad sudah mampu menguasai pelbagai cabang ilmu seperti Ilmu Fikah, Ilmu hadis, Ilmu Tafsir dan sebagainya. Imam Muhammad Jawad bukan sahaja mahir dalam pelbagai ilmu bahkan sangat pandai bersastera ketika berucap. Semenjak itu rakyat mula sedar dan mengakui beliau sebagai orang yang memiliki pengetahuan Ilahi dan ilmu pengetahuan yang dimiliki adalah anugerah Allah s.w.t.
.
ULAMA BAGHDAD
  .
       Di suatu masa ketika musim haji tiba, para ulama dari Baghdad seramai 80 orang telah menunaikan fardhu haji. Setelah selesai menunaikan ibadah haji mereka menuju ke Madinah al-Munawwarah untuk menziarahi Imam Muhammad Jawad. Para ulama dari Baghdad dijemput masuk ke rumah beliau dan duduk di atas permaidani yang agak luas. Tidak lama kemudian muncullah Abdullah bin Musa, iaitu bapa saudara Imam Muhammad Jawad untuk menghadap para ulama. Lalu seseorang berdiri sambil mengumumkan,
.
       “Inilah putera daripada keturunan Rasulullah s.a.w.. Maka sesiapa yang ingin bertanya sesuatu dipersilakan.” Kemudian Abdullah bin Musa ditanya dengan pelbagai masalah yang dijawab dengan tidak begitu tepat malahan membingungkan para ulama yang mendengar. Para ulama yang datang dari Baghdad merasa agak gelisah dan berniat untuk meninggalkan majlis tersebut. Ada antara mereka yang berkata,
.
       “Kalaulah ada Imam Muhammad Jawad pasti beliau dapat menyelesaikan permasalahan ini dan kita pun tidak menjadi bingung seperti ini.” Tiba-tiba terbukalah pintu di satu sudut dan seseorang mengatakan,
.
       “Inilah Imam Muhammad Jawad.” Para ulama pun berdiri menyambut kedatangan seorang pemimpin yang agung. Kemudian keluarlah Imam Muhammad Jawad dengan memakai jubah dan serban. Seterusnya beliau duduk dengan muka berseri. Semua hadirin terdiam memandang wajah Imam Muhammad Jawad dengan penuh kagum. Lalu salah seorang daripada mereka bertanya beberapa persoalan. Imam Muhammad Jawad menjawab dengan penuh tertib dan tenang sehingga para hadirin merasa puas dan gembira sambil memuji kepintaran ilmunya. Salah seorang dari mereka berkata,
.
       “Wahai Imam, bapa saudara Tuan telah memberi pandangan begini dan begitu…..” Maka Imam Muhammad Jawad menjawab,
.
       “Lailahaillallah, ini akan menjadi persoalan yang lebih besar di sisi Allah s.w.t. kelak. Allah s.w.t. akan berfirman mengapa engkau mengeluarkan fatwa kepada hambaku dengan apa yang tidak engkau ketahui. Sedangkan antara umatmu ada yang lebih mengetahui daripadamu.”
.
       Muhammad bin Hasan bin Ammar pula menceritakan,
.
       “Suatu ketika aku sedang duduk bersama Ali bin Ja’far bin Muhammad (bapa saudara Imam Muhammad Jawad) di Masjid Madinah al-Munawwarah. Hampir dua tahun aku tidak menemuinya. Lalu aku pun menulis daripadanya apa yang dia dengar daripada Imam Ali Redha. Tiba-tiba Imam Muhammad Jawad masuk ke Masjid Madinah al-Munawwarah. Ali bin Ja’far bangkit berdiri tanda menghormati ketibaan anak saudaranya itu sambil mencium tangan Imam Muhammad Jawad.
.
       Kemudian Imam Muhammad Jawad mempersilakan bapa saudaranya duduk sambil mendoakan semoga Allah s.w.t. merahmatinya. Ali bin Ja’far menjawab, bagaimana dia harus duduk sedangkan Imam Muhammad Jawad masih berdiri.
.
       Semasa Ali bin Ja’far kembali duduk sahabat yang lain telah mencela dan bertanya mengapa Ali bin Ja’far perlu menghormatinya sedemikian rupa, sedangkan dia adalah bapa saudaranya. Ali bin Ja’far mengatakan bahawa walaupun Allah s.w.t. tidak memberi kemuliaan kepadanya, namun, Dia telah memberi kemuliaan dan keutamaan kepada anak saudaranya itu.”
.
       Muhammad bin Sahal Qomi pula menceritakan,
.
       “Ketika aku berada di Makkah al-Mukarramah, aku telah pergi ke Kota Madinah al-Munawwarah untuk menziarahi Imam Muhammad Jawad. Tujuan aku berjumpa Imam Muhammad Jawad adalah untuk meminta sehelai pakaian beliau supaya boleh dijadikan kenang-kenangan. Tetapi sehingga aku meminta diri untuk pulang lidahku kelu untuk berkata-kata. Namun, aku berfikir aku akan menulis surat. Lalu aku pun masuk ke dalam Masjid Nabi bersembahyang dua rakaat dan memohon kepada Allah s.w.t. supaya memberi ilham kepadaku sama ada untuk menulis surat ataupun tidak. Akhirnya, aku diberi ilham supaya tidak mengirimkan surat tersebut. Aku pun mengoyakkan suratku itu dan terus menuju ke Makkah al-Mukarramah. Ketika sampai di Makkah al-Mukarramah ada seorang dari sebuah kabilah telah menghampiriku dan menyerahkan sebungkus pakaian sambil mengatakan bahawa Imam Muhammad Jawad telah memberikan pakaian itu.”
 .
ILMU DAN AKHLAK
  .
       Keilmuan dan akhlak yang dimiliki Imam Muhammad Jawad bukan sahaja diakui masyarakat setempat bahkan Khalifah al-Ma’mun sendiri menyedari kehebatannya. Oleh sebab itu Khalifah al-Ma’mun berusaha untuk menjodohkan Imam Muhammad Jawad dengan puterinya bernama Ummu Fadhil. Suatu ketika Khalifah al-Ma’mun berkata,
.
       “Adapun mengenai Imam Muhammad Jawad, aku sangat mengkagumi dan menghormatinya kerana keutamaan yang dimiliki.” Antara hadirin ada yang berkata,
.
       “Sesungguhnya usia beliau masih muda. Sebaiknya biarlah Tuan suruh dia memperlajari ilmu makrifat dan sebagainya. Setelah itu lakukanlah apa yang Tuan kehendaki.” Khalifah al-Ma’mun menjawab,
.
       “Seolah-olah anda semua meragukan perkataanku. Jika anda semua masih sangsi, carilah alim ulama dan jemputlah ke istana untuk kita adakan majlis dialog.” Mereka berkata,
.
       Biarlah kami usahakan hal yang demikian. Lalu mereka pun meninggalkan istana dan bersepakat untuk memilih Kadi Yahya bin Aktsam sebagai orang yang akan menguji kepintaran Imam Muhammad Jawad. Mereka berjanji akan menghadiahkan hadiah yang lumayan jika Kadi Yahya bin Aktsam dapat mengalahkan dan memalukan Imam Muhammad Jawad.
.
       Setelah tarikh dan masa ditetapkan, orang ramai serta para pembesar Khalifah al-Ma’mun dijemput hadir untuk menyaksikan dialog antara dua tokoh yang terkemuka. Khalifah al-Ma’mun memerintahkan supaya disediakan permaidani yang indah buat Imam Muhammad Jawad serta disediakan dua orang juru lukis gambar. Kemudian Imam Muhammad Jawad dijemput duduk di tengah juru lukis gambar tersebut manakala kadi Yahya bin Aktsam duduk di depan beliau lalu mengajukan beberapa soalan yang telah disiapkan. Antaranya Kadi Yahya bin Aktsam berkata,
.
       “Bagaimana pendapat anda tentang seorang yang mengikut kehendaknya untuk memburu sedangkan dia sedang berihram”.  Imam Muhammad Jawad menjawab,
.
       “Pertanyaan anda tidak berapa jelas dan mengelirukan. Sepatutnya anda menyebutkan secara detail. Adakah dia memburu dalam daerah berdekatan Ka’bah atau jauh? Adakah dia seorang yang berilmu pengetahuan atau tidak? Adakah dia seorang hamba abdi atau seorang merdeka? Adakah dia seorang yang sudah akil baligh atau belum? Adakah dia baru pertama kali melakukan atau pernah melakukannya? Adakah binatang yang diburu itu berupa burung atau berupa binatang lain? Adakah binatang buruan tersebut kecil atau besar? Adakah dia memburu di siang hari atau di malam hari? Adakah dia menyesali perbuatannya atau tetap memburu? Adakah dia memburu secara bersembunyi atau secara terbuka? Dan apakah ihram yang dipakainya? Adakah untuk umrah ataupun untuk haji? Jika perkara tersebut tidak dijelaskan maka tiada jawapan khusus yang dapat diberikan untuk pertanyaan ini.”
..
Kadi Yahya bin Aktsam terkejut dan kagum mendengar jawapan Imam Muhammad Jawad. Para hadirin juga turut kagum atas kefasihan beliau berbicara sehingga Khalifah al-Ma’mun turut merasa kagum lalu berkata kepada Imam Muhammad Jawad,
.
       “Anda memang hebat wahai Abu Ja’far (gelaran Imam Muhammad Jawad). Sekarang giliran Imam Muhammad Jawad untuk mengajukan persoalan kepada Kadi Yahya bin Aktsam. Lalu Imam Muhammad Jawad pun berkata,
.
       “Sila huraikan satu masalah. Seorang lelaki berdepan dengan seorang wanita yang mana ketika awal Subuh, perempuan tersebut menjadi haram baginya, apabila waktu pagi perempuan tersebut menjadi halal baginya, apabila tiba waktu Zuhur dia menjadi haram, apabila tiba waktu Asar dia menjadi halal, apabila tiba waktu Maghrib dia menjadi haram, apabila tiba waktu Isyak dia menjadi halal, apabila tiba waktu pertengahan malam dia menjadi haram dan apabila menjelang Subuh perempuan tersebut menjadi halal semula baginya.”
.
Kadi Yahya bin Aktsam berkata,
.
     “Demi Allah, saya tidak dapat menyelesaikan masalah ini dan saya berharap supaya Imam Muhammad Jawad dapat menjelaskannya dan semoga saya dapat belajar daripadanya.” Imam Muhammad Jawad menjawab,
.
      “Perempuan tersebut pada asalnya adalah seorang tebusan dan lelaki tersebut pula adalah bukan muhrimnya. Ketika awal Subuh tiba, perempuan tersebut masih menjadi haram bagi lelaki yang bukan muhrimnya. Apabila tiba waktu pagi lelaki tersebut telah membelinya untuk dijadikan hamba sahaya. Maka perempuan tersebut menjadi halal bagi lelaki tadi. Ketika tiba waktu Zuhur lelaki tersebut telah memerdekakannya, maka perempuan tadi menjadi haram semula baginya. Ketika tiba waktu Asar, lelaki tersebut telah bernikah dengan perempuan yang dimerdekakan menyebabkan dia menjadi halal baginya. Ketika tiba waktu Maghrib lelaki tersebut telah menyamakan isterinya (dengan salah seorang ahli keluarganya) maka isterinya menjadi haram pula. Ketika tiba waktu Isyak lelaki tersebut telah membayar kifarah (kerana menyamakan isterinya dengan salah seorang ahli kelurganya) maka dia menjadi halal semula. Ketika tiba pertengahan malam lelaki tersebut telah mentalak isterinya dengan talak satu, maka isterinya menjadi haram. Ketika menjelang waktu Subuh lelaki tersebut telah rujuk semula maka bekas isterinya menjadi halal semula.”
..
 Sekali lagi Kadi Yahya bin Aktsam serta para hadirin menjadi kagum dengan kebijaksanaan Imam Muhammad Jawad. Khalifah al-Ma’mun menghampiri Imam Muhammad Jawad lalu berkata,
.
       “Mulai hari ini saya mengisytiharkan bahawa saya akan mengkahwinkan Imam Muhammad Jawad dengan puteri Ummu Fadhil.”
..
Lalu pada hari tersebut telah diadakan majlis pernikahan Imam Muhammad Jawad dengan penuh meriah sekali. Pelbagai jamuan disajikan untuk memeriahkan lagi majlis tersebut. Orang ramai bergembira di atas pernikahan ini dan mereka berdoa semoga kedua mempelai hidup bahagia dan aman damai.
.
       Setelah setahun berumah tangga dan tinggal di Baghdad, Imam Muhammad Jawad meminta izin untuk membawa Ummu Fadhil ke Kota Madinah al-Munawwarah tempat kelahirannya. Setelah persiapan disediakan Imam Muhammad Jawad bersama isteri tercinta bergerak menuju Madinah al-Munawwarah. Ketika rombongan sampai di pintu Kota Madinah al-Munawwarah, kepulangan Imam Muhammad Jawad disambut dengan penuh riang sekali. Ketika matahari mulai tenggelam beliau pun masuk ke dalam masjid untuk menunaikan solat Maghrib. Di perkarangan masjid tersebut terdapat sepohon pokok Bidara yang agak rendang tetapi masih belum berbuah. Imam Muhammad Jawad diberikan semangkuk air lalu beliau mengambil wuduk dan air bekas wuduknya disiram ke akar pohon Bidara tersebut. Setelah itu beliau pun mengimamkan solat Maghrib. Setelah membaca Surah al-Fatihah beliau membaca Surah at-Tauhid. Selepas solat Maghrib beliau membaca beberapa zikir dan setelah selesai membaca doa beliau sujud syukur. Setelah selesai mengerjakan fardhu Maghrib beliau pun keluar dan melalui pohon Bidara yang rendang tadi. Orang ramai merasa hairan kerana pohon Bidara tersebut telah mengeluarkan buah yang masak ranum. Dengan berkat daripada Imam Muhammad Jawad mereka pun memetik buah Bidara tersebut dan makan bersama-sama.
.
       Semenjak Imam Muhammad Jawad menjadi pemimpin kepada Umat Islam, semenjak itu orang ramai mulai bertemu dengan beliau untuk mempelajari selok-belok agama Islam sebenar yang diwarisi daripada Rasulullah s.a.w..
.
       Imam Muhammad Jawad mengajar pelbagai ilmu dunia dan akhirat sehingga ramai daripada anak muridnya menjadi tokoh yang terkemuka. Antara anak murid Imam Muhammad Jawad yang terkenal adalah seperti berikut:
.
1.     Ahmad bin Muhammad bin Khalid al-Barqi yang telah menghasilkan lebih daripada 90 jenis kitab dan namanya termaktub dalam Kitab Rijal;
.
2.     Ali bin Mahziyar al-Ahwazi yang disebut oleh seorang alim iaitu Syeikh at-Thusi dengan katanya, “Ali bin Mahziyar al-Ahwazi adalah seorang yang berkedudukan tinggi, luas pandangan, luas ilmunya dan beliau telah menulis 33 buah kitab seperti Kitab al-Husain bin Said, Ziyadah Kitab Huruf Al-Quran al-Anbiya ats-Tsarat.”;
.
3.     Safwan bin Yahya yang digambarkan Syeikh at-Thusi sebagai orang yang paling amanah dan siqah menurut para Ahli Hadis serta orang yang kuat beribadah. Setiap hari beliau akan mengerjakan Solat Sunat sebanyak 150 rakaat dan berpuasa selama 3 bulan di setiap tahun;
.
4.     Ahmad bin Muhammad bin Ali Nashr atau Zaid Maula as-Sukuni Abu Ja’far. Beliau juga dipanggil Abu Ali dan dikenali sebagai al-Bizanthi. Beliau adalah seorang Warga Kuffah yang pernah berguru dengan Imam Ali Redha. Antara kitab tulisannya ialah Kitab al-Jami’ dan Kitab an-Nawadir; dan
.
5.     Ali bin Imam Ja’far Shadiq bin Imam Muhammad Baqir bin Imam Ali Zainal Abidin bin Saidina Husain bin Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib iaitu bapa saudara Imam Muhammad Jawad. Beliau adalah antara sahabatnya yang termuka

.
PEMERINTAHAN BANI ABBASIAH
  .
       Ketika Khalifah al-Ma’mun meninggal dunia iaitu pada tahun 218 Hijrah, al-Mu’tashim telah dilantik menjadi khalifaah. Nama sebenar Khalifah al-Mu’tashim ialah Abu Ishak Muhammad al-Mu’tashim. Dia telah dilahirkan pada tahun 187 Hijrah dan ibunya bernama Maridah. Dia telah dibesarkan dalam suasana ketenteraan. Ini disebabkan oleh sifat berani dan minatnya menjadi pahlawan terbilang. Sebab itulah dia memang tidak berpengetahuan tinggi dan Khalifah Harun ar-Rasyid tidak melantiknya sebagai putera mahkota atau sebagai pengganti khalifah.
.
       Di zaman pemerintahan Khalifah al-Ma’mun, al-Mu’tashim merupakan orang kanan bagi menyelesaikan pelbagai masalah dan mengharungi peperangan yang dihadapi kerajaan. Khalifah al-Ma’mun telah melantik al-Mu’tashim sebagai Gabenor Syam dan Mesir. Kemudian melantiknya sebagai putera mahkota.
.
       Anak Khalifah al-Ma’mun iaitu al-Abbas juga berjawatan tinggi dalam angkatan tentera dan membolehkannya menjadi khalifah. Tetapi Khalifah al-Ma’mun mengenepikannya kerana Khalifah al-Ma’mun mendapati al-Mu’tashim lebih cekap dan berani. Setelah kematian Khalifah al-Ma’mun tampuk pemerintahan telah diambil alih oleh al-Mu’tashim. Lalu pada tahun 221 Hijrah Khalifah al-mu’tashim telah membangunkan istana di Samarra’ kira-kira 120 kilometer di sebelah utara Baghdad di tepi sungai Dajlah (Tigris) untuk dijadikan kem tentera dan pusat pemerintahan. Samarra’ adalah kependekan bagi ‘Surra Man Raa’ (bergembira sesiapa yang melihatnya). Ia terletak di timur sungai Dajlah sejauh 100 kilometer di selatan Kota Baghdad. Pihak Khalifah telah menggali sebuah sungai yang dinamakan Taqul. Kemudian Khalifah al-Mu’tashim telah membina sebuah istana di situ.
.
       Semenjak Khalifah al-Mu’tashim memerintah, Kota Baghdad menjadi semakin ramai dengan kehadiran orang Turki. Bilangan mereka berjumlah seramai 70,000 orang. Mereka juga telah mengganggu ketenteraman awam serta menimbulkan pelbagai keburukan. Rakyat telah mengadukan perkara tersebut kepada Khalifah al-Mu’tashim lalu Khalifah al-Mu’tashim mengambil keputusan meninggalkan Kota Baghdad yang sibuk dan memilih Kota Samarra’ untuk dijadikan pusat pemerintahan serta dijadikan kem tentera. Tidak lama kemudian Khalifah al-Mu’tashim telah membina istana dan sebuah masjid yang besar. Sementara askarnya telah membina rumah di sekitar istana tersebut. Setelah pembinaan kem tentera siap, Khalifah al-Mu’tashim beserta panglima dan bala tentera telah berpindah ke Kota Samarra’. Di Kota Samarra’ terdapat bebeapa buah istana yang bernama Mahligai al-Aru, Mahligai al-Mukhtar dan Mahligai al-Walid yang setiap sebuah mahligai menelan belanja sebanyak 1,000,000 Dirham.[1]
.
       Di zaman pemerintahan Khalifah al-Mu’tashim, dia mulai hilang kepercayaan terhadap pagawai tentera daripada kalangan Orang Arab. Khalifah al-Mu’tashim menyangka kebanyakan pegawai tentera dari keturunan Arab telah berpaling tadah dan memberi sokongan kepada Imam Muhammad Jawad. Oleh itu dia mulai memilih tentera daripada keturunan Turki. Keturunan Turki ini telah dibawa dari negeri mereka sama ada dari saudagar hamba atau melalui cukai kepala yang patut dibayar amir negeri tersebut. Pada mulanya Khalifah al-Mu’tashim hanya menjadikan orang Turki sebagai pengawal keselamatan peribadinya. Kemudian mereka digabungkan ke dalam angkatan tentera kerajaan. Dengan keberanian dan kegagahan mereka maka mereka dinaikkan pangkat menjadi pegawai tentera. Lama kelamaan orang keturunan Turki mulai menguasai dan menduduki tempat tertinggi dalam angkatan tentera. Manakala pahlawan Arab mula disingkirkan. Semenjak itu orang berketurunan Arab mula disingkirkan dan orang berketurunan Turki pula mulai melakukan pelbagai provokasi ke atas orang ramai. Manakala orang ramai membalas dengan tindakan yang sama. Kemudian apabila aduan orang ramai terhadap perbuatan keturunan Turki itu banyak disampaikan kepada Khalifah al-Mu’tashim, maka dia pun berusaha untuk membina pangkalan tentera yang lebih besar di Samarra’.
.
       Antara panglima Turki yang terkenal di zaman Khalifah al-Mu’tashim ialah Asyin. Nama sebenarnya ialah Haidar bin Kaus. Asyin telah memainkan peranan yang sangat penting dalam kemenangan menentang musuh di zaman pemerintahan Khalifah al-Mu’tashim. Akhirnya, dia dituduh murtad kerana cuba memerintah sendiri negerinya iaitu Turkistan di Rusia. Apabila bukti penyelewengannya terbongkar, Khalifah al-Mu’tashim menangkap dan memenjarakan Asyin sehingga meninggal dunia.
.
       Begitulah antara perilaku Khalifah al-Mu’tashim sehingga ramai pengikut Imam Muhammad Jawad ditangkap dan dipenjarakan. Manakala selebihnya terpaksa berhijrah merantau jauh sehingga ada yang ke Kepulauan Melayu supaya dapat berdakwah menyebarkan ajaran Rasulullah s.a.w. yang sebenar tanpa diganggu gugat Khalifah. Imam Muhammad Jawad sering menyampaikan amanat kepada pengikut setianya supaya amanat beliau dapat disebarluaskan kepada masyarakat setempat.
  .
DIRACUN
  .
       Seterusnya Zarqan meriwayatkan setelah tiga hari, Kadi Ibnu Abi Daud menghadap Khalifah al-Mu’tashim dan menyuarakan kebenciannya terhadap Imam Muhammad Jawad. Dia memberitahu Khalifah al-Mu’tashim bahawa berita tentang khalifah menolak pandangan ulama yang terkenal di zaman itu dan hanya menerima pandangan Imam Muhammad Jawad telah tersebar luas. Sehingga masyarakat berpendapat hanya Imam Muhammad Jawad yang layak menjadi pemimpin. Dan mereka menyangka Khalifah al-Mu’tashim telah merampas haknya. Mendengar penjelasan Kadi Ibnu Abi Daud, Khalifah al-Mu’tashim menjadi marah lalu pada hari berikutnya dia telah mengutuskan untuk memanggil Imam Muhammad Jawad ke istana dan Khalifah al-Mu’tashim juga berhasrat untuk meracunnya. Pada mulanya Imam Muhammad Jawad menolak undangan istana, namun, setelah diberitahu akan diadakan jamuan makanan yang dihadiri para ulama dan pembesar negara, akhirnya, beliau bersetuju. Ketika menghadiri majlis jamuan istana tersebut Imam Muhammad Jawad telah diracun. Bertepatan pada 29 haribulan Zulqaedah tahun 220 Hijrah, Imam Muhammad Jawad telah kembali ke rahmatullah. Beliau telah dimakamkan di permakaman datuknya, Imam Musa Kazim di sebuah bandar bernama Kazhimin di pinggir Kota Baghdad. Orang ramai berduyun mengiringi jenazahnya untuk dikebumikan. Mereka telah mendirikan sebuah masjid dipermakaman Kazhimin untuk mengenang jasa pemimpin besar mereka. Sehingga kini makam beliau masih merupakan monumen yang megah di Kota Kazhimin yang sentiasa dikunjungi orang ramai yang bersimpati dan mencintai Ahlul Bait keluarga Rasulullah s.a.w..
 

[1]  Sejarah Dan Kebudayaan Islam jilid iii oleh Prof. Dr Ahmad Shalaby, cetakan Pustaka Nasional.