INFORMASI

MAKLUMAN

Blog ini adalah hak milik Pintu Ilmu Resources (00159443-D) - PUSAT RAWATAN HOMEOPAYHY- yang beralamat di: Pusat Perubatan Holistik dan Alternatif 4932, Traffic Light Tok Jiring, Jalan Kelantan 21060 Kuala Terengganu, Darul Iman. Untuk lokasi klinik sila klik di sini

Pada 08/11/2015 klinik ditutup kerana doktor bertugas outstation. Harap maklum.

TESTIMONIAL TERKINI i

TAJAAN

Khamis, 3 Mei 2012

BIOGRAFI SAIDINA HASAN


       
Pada hari Khamis 15 haribulan Ramadan tahun ketiga Hijrah, Rasulullah s.a.w. telah mengumumkan kelahiran keturunannya yang sulung. Kegembiraan memancar dalam diri Rasulullah s.a.w. lalu Baginda pun bergegas ke rumah Fatimah az-Zahra’ untuk menyampaikan rasa gembira. Bayi lelaki yang penuh berkat itu dihulurkan kepada Baginda oleh Ummu Salamah. Rasulullah s.a.w. mencium bayi tersebut dengan perasaan gembira dan mendakap ke dadanya seraya membaca azan di telinga kanan dan iqamat di telinga kiri bayi tersebut. Kemudian Baginda berpaling kepada Saidina Ali k.wh. dan bertanya,
       “Apakah nama yang akan anda berikan kepada puteramu ini?”
       “Bagaimana saya berani mendahulukan darimu wahai Rasulullah.” Jawab Saidina Ali k.wh..
       “Bagaimana pula daku berani mendahului Tuhanku?” Tambah Rasulullah s.a.w.. Tidak lama kemudian setelah mereka berbincang-bincang, akhirnya, turunlah wahyu daripada Allah s.w.t. kepada Rasulullah s.a.w. memberitahu bahawa Allah s.w.t. telah menamakan putera tersebut dengan nama Hasan.

       Pada hari ketujuh kelahiran Saidina Hasan, Rasulullah s.a.w. sekali lagi datang ke rumah Fatimah az-Zahra’ untuk menyempurnakan upacara akikah. Baginda meminta supaya dicarikan seekor kambing besar yang kemudian dibeli Rasulullah s.a.w.. Baginda kemudian mencukur rambut cucundanya dan mengeluarkan sedekah berupa perak seberat timbangan rambutnya.

       Upacara yang dilakukan terhadap Saidina Hasan oleh Rasulullah s.a.w. kemudiannya menjadi sunnah yang diteruskan kaum muslimin hingga ke hari ini.
       Di dalam Kitab Taurat nama Saidina Hasan dikenali sebagai ‘Syabar’ yang bermaksud baik.

       Nama sebenar beliau ialah Saidina Hasan bin Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib bin Abdul Muthalib bin Hasyim bin Abdul Manaf bin Qushai bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Lu’i bin Ghalib bin Fahr bin Malik bin Nadar bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilias bin Mudhar bin Nizar bin Ma’ad bin Adnan bin ‘Add bin Humaisi’ bin Salamam bin Auz bin Buz bin Qamwal bin Ubai bin ‘Awwam bin Nasyid bin Haza bin Bildas bin Yadlaf bin Tabikh bin Jahim bin Nahisy bin Makhi bin Aid bin ‘Abqar bin ‘Ubaid bin Ad-Da’a bin Hamdan bin Sanbir bin Yathrabi bin Yahzin bin Yalhan bin Ar’awi bin Aid bin Desyan bin Aisar bin Afnad bin Aiham bin Muksar bin Nahits bin Zarih bin Sami bin Wazzi bin ‘Adwa bin Aram bin Haidir bin Nabi Ismail a.s. bin Nabi Ibrahim a.s. bin Azar bin Nahur bin Saru’ bin Ra’u bin Falikh bin Abir bin Syalikh bin Arfakhsyad bin Sam bin Nabi Nuh a.s. bin Lamik bin Matul Syalakh bin Nabi Idris a.s. bin Yarid bin Mahlail bin Qinan bin Anwas bin Syits bin Nabi Adam a.s..

AHLI PIDATO

       Semasa dewasa Saidina Hasan telah mewarisi kepintaran bapanya dalam berpidato. Beliau mempunyai fikiran yang luas serta fasih berbicara. Suatu hari Saidina Hasan telah berpidato di khalayak ramai.

       “Wahai manusia sekelian! Sesungguhnya barangsiapa yang memberikan nasihat kerana Allah s.w.t. dan menjadikan firmannya sebagai dalil bagi petunjuk menuju kebenaran, maka sesungguhnya orang yang berada di sisi Allah s.w.t. seperti itu akan selalu tenteram dan terpelihara. Sedangkan musuhnya menjadi takut dan hina. Oleh itu peliharalah hubunganmu dengan Allah s.w.t. dengan banyak berzikir, takut kepadaNya dengan bertakwa dan menghampiri dengan taat kepadaNya. Kerana sesungguhnya Allah s.w.t.  itu Maha Hampir dan Maha Memperkenankan doa.”
       “Allah s.w.t. berfirman:
       “……Dan apabila hambaku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang diriku, maka (katakanlah) Aku adalah sangat hampir. Aku memperkenankan permohonan seseorang yang memohon ketika dia berdoa kepadaku. Kerana itu hendaknya mereka beriman kepadaku agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”[1]

       “Sebab itu penuhilah segala perintahnya dan berimanlah kepadanya, sebab tidaklah patut bagi seseorang yang mengetahui keagungan Allah s.w.t. untuk berlaku sombong. Kerana ketinggian darjjat orang yang mengetahui keagungan Allah s.w.t. itu terletak kepada ketawadukannya. Adalah kemestian bagi mereka yang mengetahui kemuliannya untuk merendahkan diri di hadapannya. Keselamatan orang yang mengetahui tentang Maha Kuasa Allah s.w.t., terletak pada penyerahan diri kepadanya. Janganlah kamu ingkar sesudah kamu mengetahui kebenaran dan sesat sesudah memperolehi petunjuk. Ketahuilah kamu tidak akan mengetahui dengan seyakin-yakinnya tentang bagaimana harus menerima perintah Allah s.w.t. kecuali sesudah kamu mengetahui sifat petunjuknya dan tidak pula kamu boleh berpegang teguh pada Kitabullah sebelum kamu mengetahui isinya serta tidak pula boleh membacanya dengan sebaik-baiknya sebelum kamu mengetahui siapa yang menciptanya. Apabila kamu telah mengetahui semua itu, maka kamu akan dapat membezakan yang bidaah (yang dibuat-buat), yang melakukan kebohongan kepada Allah s.w.t., yang menyimpang dan mengetahui pula bagaimana seseorang melakukan sesuatu berdasarkan hawa nafsu. Hendaklah kamu tidak dibodohkan orang yang tidak mengetahui apa-apa dan berpeganglah kepada petunjuk yang diberikan kepada orang yang mahir dalam hal ini. Sebab mereka itu adalah orang yang khusus menerima ilmu yang menyinari diri mereka dan para imam yang dijadikan petunjuk. Mereka adalah orang yang menyampaikan berita kepada kamu tentang kewajipan kamu melawan kebodohan dan menentukan logik yang sihat serta menetapkan yang zahir dari yang batin. Mereka tidak pernah menyimpang dari kebenaran dan meninggalkannya. Telah berlalu ke atas mereka sunnatullah dan telah pula berlaku ketentuan Allah s.w.t. ke atas mereka. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat pelajaran bagi mereka yang mahu mengingatinya. Fahamilah semuanya ini dengan akal yang waras (dengan perlaksanaan), jangan dengan akal yang hanya sekadar akan menyampaikannya kepada orang lain dan amat sedikitlah yang mahu memeliharanya (dengan perlaksanaannya) serta kepada Allah s.w.t.  jua kita memohon pertolongan.”[2]

       Begitulah untaian kata mutiara yang keluar dari cahaya dan zuriat kerasulan. Bukan hanya wajah tampan beliau mirip Rasulullah s.a.w. bahkan akhlak dan tingkah langkunya juga mengambarkan keperibadian Rasulullah s.a.w..

PEMUDA PENGHUNI SYURGA

       Suatu ketika Saidina Hasan sedang duduk di suatu tempat. Ketika beliau ingin melangkah pergi, tiba-tiba datanglah seorang peminta sedekah. Cucunda Rasulullah s.a.w. menyambutnya dan mengajak berbicara dengan lemah lembut. Beberapa saat kemudian beliau bertanya kepada orang tersebut,
       “Tadi saudara datang ketika saya ingin melangkah pergi. Sekarang bolehkah saya pergi meninggalkan saudara?” Lelaki tersebut menjawab,
       “Silakan wahai cucunda Rasulullah.”

       Di dalam riwayat juga banyak terdapat hadis tentang Rasulullah s.a.w. memuji keperibadian Saidina Hasan serta mewajibkan umat Islam mencintai cucunda Baginda. Suatu ketika Rasulullah s.a.w. sedang melakukan solat berjamaah. Ketika Baginda sedang sujud, tiba-tiba Saidina Hasan yang ketika itu masih kecil datang lalu memanjat punggung Rasulullah s.a.w.. Baginda bangkit dari sujud secara perlahan-lahan. Kadang-kala Saidina Hasan duduk di riba Rasulullah s.a.w.. Setelah selesai solat, para sahabat pun bertanya,
       “Wahai Rasulullah, Tuan telah melakukan sesuatu kepada budak ini yang belum pernah Tuan lakukan terhadap sesiapa pun.” Baginda menjawab,
       “Hasan adalah buah hatiku. Dia adalah sebahagian daripadaku. Sesiapa yang menyakitinya bererti dia telah menyakitiku.”

       Aisyah pernah berkata,
       “Suatu ketika Rasulullah s.a.w. pernah memegang Saidina Hasan lalu memeluknya dan berkata,
       “Ya Allah, dia bagaikan anakku dan daku sangat menyintainya. Oleh itu cintailah dia dan cintailah pula orang yang mencintainya.”

       Di waktu yang lain Anas bin Malik pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w.,
       “Siapakah anggota keluarga Tuan yang paling Tuan cintai?” Baginda menjawab,
       “Hasan dan Husain.”
       Jabir bin Abdullah pula pernah berkata,
       “Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, “Barangsiapa ingin melihat pemuda penghuni syurga lihatlah keperibadian Hasan bin Ali.”

       Ya’la bin Murrah pula berkata,
       “Kami telah pergi bersama Rasulullah s.a.w. untuk majlis jemputan. Tiba-tiba Baginda melihat Saidina Hasan yang masih kecil bermain-main di jalan. Kemudian Baginda pun menghampirinya. Baginda membukakan kedua belah tangannya seakan-akan menghalang Saidina Hasan yang kemudiannya berlari ke sana ke mari. Lalu Rasulullah s.a.w. berlari anak untuk mengejar cucundanya. Kemudiannya Baginda dapat menangkap dan mendukung sambil membelai erat kepala cucunda kesayangannya. Setelah itu Rasulullah s.a.w. mendakap dan mencium Saidina Hasan seraya bersabda,
       “Hasan merupakan sebahagian daripadaku. Daku merupakan sebahagian daripada Hasan. Allah s.w.t. akan mencintai orang yang menyintainya.”

       Abu Zar meriwayatkan:
       “Rasulullah s.a.w. telah mengarahkanku supaya menyintai Hasan dan Husain. Oleh itu saya sangat menyintai mereka berdua. saya juga mencintai sesiapa yang mencintai mereka berdua.”

       Ibnu Mas’ud berkata,
       “Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang mencintaiku maka cintailah Hasan dan Husain. Kerana Allah s.w.t. telah memerintahkanku supaya menyintai mereka berdua.”

       Imam Ali Redha bin Imam Musa Kazim berkata,
       “Suatu hari ketika hampir Hari Raya menjelang tiba, Saidina Hasan dan Saidina Husain tidak mempunyai pakaian. Mereka berdua pun berjumpa ibu mereka dan mengatakan kepada ibunya bahawa semua kanak-kanak di bandar ini mempunyai baju baru di Hari Raya ini. Kenapa mereka berdua tidak memakai pakaian yang cantik? Fatimah az-Zahra’ menjawab bahawa pakaian mereka berdua belum disiapkan lagi oleh tukang jahit. Nanti bila tukang jahit hantar, mereka berdua bolehlah pakai baju baru tersebut. Ketika malam raya menjelma sekali lagi Saidina Hasan dan Saidina Husain berjumpa ibu mereka untuk menanyakan baju raya mereka. Dengan linangan air mata Fatimah az-Zahra’ masih mengulangi ucapannya, bahawa baju mereka berdua masih belum siap lagi. 

Tiba-tiba di malam raya tersebut pintu rumah Fatimah az-Zahra’ diketuk seseorang. Lalu puteri Rasulullah s.a.w.pun bertanya, siapakah gerangannya. Orang tersebut menjawab bahawa dia adalah tukang jahit yang mahu  menyerahkan baju anaknya yang telah ditempah tempohari. Kemudian Fatimah az-Zahra’ membuka pintu. Beliau melihat seorang lelaki yang berpakaian kemas lagi mulia telah menyerahkan satu bungkusan kepadanya. Puteri Rasulullah s.a.w. mengambil bungkusan tersebut lalu membukanya. Di dalam bungkusan itu terdapat dua helai baju, dua helai jubah, dua helai serban dan dua pasang kasut. Kemudian Fatimah az-Zahra’ membangunkan kedua anaknya lalu memakaikan baju yang baru diterimanya. 

Tidak lama kemudian Rasulullah s.a.w. pun tiba dan melihat kedua cucundanya memakai pakaian yang cantik. Baginda mendakap kedua cucundanya dan mencium kedua-duanya. Kemudian Baginda berpaling ke arah puteri kesayangannya seraya bertanya adakah puterinya ada melihat seorang tukang jahit. Fatimah az-Zahra’ mengatakan bahawa sebentar tadi datang seorang tukang jahit lalu menyerahkan kepadanya satu bungkusan. Rasulullah s.a.w. mengatakan bahawa orang tadi sebenarnya bukan seorang tukang jahit yang Fatimah az-Zahra’ sangkakan. Dia adalah Malaikat Redhuan, penjaga syurga. 

Fatimah az-Zahra’ bertambah hairan lalu menanyakan kepada Rasulullah s.a.w., bagaimana Baginda mengetahuinya. Dalam jawapannya, Baginda mengatakan bahawa Malaikat Redhuan telah menemuinya terlebih dahulu dan menceritakan segalanya sebelum ia naik ke langit.” [3]

       Sulaiman Hasyimi berkata,
       “Suatu hari aku berada dalam majlis keramaian yang diadakan oleh Harun ar-Rasyid. Ketika mereka sedang membahaskan tentang keperibadian Saidina Hasan, Harun ar-Rasyid pun berkata, “Orang ramai menyangka aku memusuhi Saidina Ali k.wh., Saidina Hasan dan Saidina Husain. Itu adalah anggapan yang salah. Sesungguhnya bapaku telah meriwayatkan daripada datukku yang sampai ke Abdullah bin Abbas yang berkata, “Suatu hari kami sedang duduk bersama Rasulullah s.a.w.. Tiba-tiba Fatimah az-Zahra’ datang dalam keadaan menangis. Rasulullah s.a.w. pun bertanya, “Wahai Fatimah, apa yang menyebabkan anda menangis?” Puteri kesayangan Rasulullah s.a.w. menjawab, “Hasan dan Husain sudah tiada di rumah. Saya tidak tahu ke mana mereka menghilang. Rasulullah s.a.w. menenangkan puterinya dengan bersabda, “Usahlah menangis, daku menjaminmu. Usah bimbang.” Kemudian Rasulullah s.a.w. berdoa, “Wahai Tuhanku, jika mereka berdua berada di hutan maka selamatkanlah mereka berdua. Jika mereka berada di Padang Pasir, selamatkanlah mereka berdua.”

       Tidak lama kemudian turunlah Malaikat Jirail lalu berkata, “Wahai Muhammad, janganlah berduka. Mereka berdua mempunyai kelebihan di dunia mahupun di akhirat. Bapa mereka lebih baik dari mereka. Mereka berdua sedang tidur di dalam taman Bani an-Najjar. Allah s.w.t. telah menghantar malaikat untuk menjaga mereka berdua.” Tidak lama kemudian Rasulullah s.a.w. dan para sahabat pun bergegas menuju ke taman Bani an-Najjar. Kami menyaksikan tangan Saidina Hasan berada di bawah tengkuk Saidina Husain dan mereka berdua sedang tidur nyenyak. Manakala malaikat membentangkan sayapnya ke atas badan mereka berdua sebagai selimut. Kemudian Rasulullah s.a.w. mengangkat Saidina Hasan manakala Malaikat pula mengangkat Saidina Husain. 

Para sahabat yang tidak dapat melihat malaikat menyangka Rasulullah s.a.w. yang mengangkat Saidina Hasan dan Saidina Husain. Abu Bakar dan Ayub Ansari yang berada di sisi Baginda menawarkan khidmatnya, “Wahai Rasulullah, serahkanlah salah seorang cucunda Tuan kepada kami supaya ianya mengurangkan beban Tuan.” Pinta mereka berdua. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Biarkanlah, mereka berdua mempunyai kelebihan yang tinggi di dunia mahupun di akhirat. Bapa mereka lebih mulia dari mereka berdua. Hari ini kita telah memuliakan mereka sebagaimana Allah s.w.t. telah memuliakan mereka berdua.”

       Seterusnya Rasulullah s.a.w. pun memulakan pidatonya,
       “Wahai manusia, adakah kamu mahu daku beritahu kamu tentang sebaik-baik manusia dari segi keturunan nenek dan datuknya?” Mereka menjawab,
       “Sudah tentu wahai Rasulullah.” Rasulullah s.a.w. bersabda,
       “Mereka adalah Hasan dan Husain yang mana datuknya adalah Rasulullah s.a.w manakala neneknya adalah Siti Khadijah binti Khuwalid.”
       “Wahai manusia, adakah kamu mahu daku beritahu tentang sebaik-baik manusia dari segi keturunan bapa dan ibunya?” Sambung Baginda.
       “Sudah tentu wahai Rasulullah.” Jawab mereka. Rasulullah s.a.w. bersabda,
       “Mereka adalah Hasan dan Husain, yang mana bapa mereka adalah Ali bin Abi Thalib dan ibu mereka pula adalah Fatimah binti Rasulullah s.a.w..”
       “Wahai manusia, adakah kamu mahu daku beritahu tentang sebaik-baik manusia dari segi keturunan bapa saudara dan ibu saudara sebelah ayah?” Sabda Rasulullah s.a.w..
       “Sudah tentu wahai Rasulullah.” Jawab mereka. Baginda bersabda,
       “Mereka adalah Hasan dan Husain, yang mana bapa saudara mereka adalah Ja’far at-Thaiyar bin Abi Thalib dan ibu saudara mereka adalah Ummu Hani binti Abi Thalib.”
       “Wahai manusia, adakah kamu mahu daku beritahu tentang sebaik-baik manusia dari segi bapa saudara dan ibu saudara dari sebelah ibu?” Tanya Rasulullah s.a.w..
       Tentu wahai Rasulullah.” Jawab mereka.
       “Mereka adalah Hasan dan Husain yang mana bapa saudara mereka adalah Qasim bin Rasulullah dan ibu saudara mereka adalah Zainab binti Rasulullah s.a.w..”
       “Ketahuilah, bapa mereka berdua akan dimasukkan syurga, ibu mereka akan dimasukkan ke dalam syurga, datuk mereka akan dimasukkan ke dalam syurga, nenek mereka akan dimasukkkan ke dalam syurga. Bapa saudara sebelah ayah mereka akan dimasukkan ke dalam syurga, ibu saudara sebelah ayah mereka akan dimasukkan ke dalam syurga. Bapa saudara sebelah ibu mereka akan dimasukkan ke dalam syurga. Ibu saudara sebelah ibu mereka akan dimasukkan ke dalam syurga. Pencinta mereka berdua dan pencinta teman mereka berdua akan dimasukkan ke dalam syurga.”[4]

AHLI IBADAH

       Saidina Hasan adalah seorang yang sering beribadah terutama bertahajud di tengah malam. Beliau mempunyai akhlak yang mulia lagi terpuji. Beliau sering berjalan kaki bila menunaikan ibadah haji. Malahan kadangkala tidak memakai kasut ketika berjalan menuju Kota Makkah al-Mukarramah. Beliau sering menangis mengingati mati dan sering mengalirkan air mata bila terpandang kubur. Setiap kali beliau mendengar tentang hari akhirat pasti akan merasa sebak. Ketika ingin mendirikan solat, badan beliau sering menggigil kerana takut kepada Allah s.w.t.. Saidina Hasan sering berzikir untuk mengingati Allah s.w.t.. Walaupun di mana berada beliau tidak lupa untuk membaca ayat suci Al-Quran. Beliau adalah seorang qari yang sangat fasih lagi bersuara merdu.

       Di dalam kitab ‘Raudhatul Waizin’ menyebutkan setiap kali Saidina Hasan ingin berwuduk, badannya akan menggeletar dan mukanya kelihatan pucat. Apabila ditanya beliau menjawab,
       “Memang layaklah bagi seseorang yang ingin menghampiri Tuhannya dalam keadaan menggeletar ketakutan dan pucat kelesuan.”

       Ketika Saidina Hasan ingin memasuki masjid, beliau berdiri di pintu masjid seraya berkata,
  “Tuhanku, tetamuMu berdiri di pintu masjidMu. Wahai yang mempunyai kebaikan. HambaMu yang berdosa menghampiriMu. Segala keburukan berada di sisiku dan segala kebaikan sentiasa berada di sisiMu. Wahai Tuhan yang Maha Mulia.”[5]

       Di dalam kitab ‘Adadul Qawiyah’, Khuzaifah telah meriwayatkan, suatu hari Rasulullah s.a.w. berada di Gua Hirak. Saidina Ali k.wh., Abu Bakar, Umar, Othman dan beberapa para sahabat daripada kaum Ansar dan Muhajirin juga berada di samping Rasulullah s.a.w.. Tiba-tiba Saidina Hasan yang masih kecil datang menghampiri Rasulullah s.a.w.. Ketika Baginda melihat kehadiran Saidina Hasan, Baginda pun bersabda,
       “Malaikat Jibrail sering memberi petunjuk kepadanya manakala Malaikat Mikail sangat menyintainya. Hasan umpama anakku sendiri. Dia sebahagian daripada jiwaku. Dia laksana tulang rusukku. Dia juga adalah cahaya penglihatanku.” Kemudian Rasulullah s.a.w. berdiri dan kami pun berdiri menyambut kedatangan Saidina Hasan. Tidak lama kemudian Baginda bersabda,
       “Dikau laksana buah epal dalam kebunku. Dikau adalah kekasih dan jiwa ragaku.” Kemudian Rasulullah s.a.w. memimpin tangan Saidina Hasan lalu mendudukkannya di sisi kami. Baginda kembali duduk seraya bersabda,
       “Keturunanku ini akan memberi petunjuk selepas kematianku. Dia adalah hadiah dari sisi Allah s.w.t. yang dikurniakan untukku. Kesan bayangan kebaikanku akan sebati di tubuhnya. Dia akan menghidupkan sunnahku. Dia akan menjadikan aku sebagai pemimpinnya. Di sisinya terdapat ilmu Ilahi. Semoga Allah s.w.t. merahmati sesiapa yang mengetahui kemampuannya, sesiapa yang mengetahui haknya dan hakku akan diberi kebaikan serta sesiapa yang memuliakannya laksana dia telah memuliakanku.” 

Belum pun sempat Rasulullah s.w.t. menyambung ucapannya, dari jauh kelihatan bayangan seorang Badwi menuju ke arah Rasulullah s.a.w. sambil tongkatnya dicacakkan ke dalam tanah. Ketika Rasulullah s.a.w. memandangnya lantas Baginda bersabda,
       “Sebentar lagi akan datang kepada kamu seorang Badwi yang mana dia akan berbicara dengan bengis sekali sehingga menyebabkan diri kamu menggeletar. Dia akan berbicara tanpa beradab.”

       Tidak lama kemudian orang Badwi yang dimaksudkan pun menghampiri Rasulullah s.a.w.. Tanpa memberi salam dia pun berkata dengan bengis,
       “Siapakah di antara kamu yang bernama Muhammad?” Para sahabat menjawab,
       “Apa yang engkau mahu darinya?” Rasulullah s.a.w. meredakan keadaan dan meminta para sahabat jangan mengapa-apakannya. Dengan bengis orang Badwi tadi berkata,
       “Wahai Muhammad, aku sangat memusuhimu dan sehingga sekarang aku masih memusuhimu. Ketika aku melihatmu kemarahanku semakin memuncak.” Rasulullah s.a.w. hanya tersenyum, manakala para sahabat pula ingin mencederakan orang Badwi tersebut namun, Baginda menghalang. Lalu orang Badwi tersebut berkata,
       “Wahai Muhammad, engkau mendakwa dirimu Nabi, sedangkan engkau mendustai kenabianmu. Apakah dalil yang mengatakan dirimu itu Nabi?”

       “Bagaimana anda mengetahui yang aku tidak mempunyai dalil ke atas diriku?” Tanya Rasulullah s.a.w..
       “Jika begitu apakah dalil kenabiaanmu?” Sambung orang Badwi tersebut.
       “ Jika anda ingin mengetahui dalil kenabianku, anggota badanku akan menjadi dalil.” Jawab Rasulullah s.a.w..
       “Adakah anggota badan manusia boleh berbicara?” Tanya orang Badwi inginkan kepastian.
       “Sudah tentu.” jawab Rasulullah s.a.w. seraya berpaling ke arah Saidina Hasan dan bersabda,
       “Bangunlah dan berikan dalil kenabianku kepada orang Badwi ini.” Orang Badwi tadi bertambah hairan lalu berkata,
       “Adakah seorang budak kecil boleh berbicara denganku?” Rasulullah s.a.w. menyambung,
       “Dia adalah seorang yang alim sebagaimana yang anda mahukan.” 

Kemudian Saidina Hasan mulai berkhutbah,
       “Wahai orang Badwi yang jahil. Janganlah bertanya kepada orang yang lalai, sebaliknya bertanyalah kepada orang yang alim lagi berilmu.” Kemudian Saidina Hasan pun bersyair memperkenalkan dirinya dengan suara lantang lagi fasih. Seterusnya beliau menyambung,
       “Janganlah bisukan lidahmu. Janganlah jumudkan mindamu. Adapun anda tidak akan berganjak dari majlis ini sebelum anda beriman kepada Allah s.w.t..” Orang Badwi tersenyum sambil berkata,
       “Beritahuku. Apakah yang menyebabkan aku akan beriman?” Saidina Hasan berkata,
       “Ketika kaummu berada dalam satu majlis dan ketika mereka membahaskan tentang kejahilan Muhammad s.a.w., anda telah berkata, “Semua orang Arab memusuhinya dan dia juga memusuhi orang Arab. Jauhkanlah diri daripadanya. Sesiapa yang dapat membunuhnya tidak ada orang yang akan menuntut bela. Dengan niat jahat anda berjanji untuk membunuh Muhammad s.a.w.. Lalu anda membawa tongkat untuk datang ke sini. Anda merasa khuatir kalau ada orang mengetahui tujuanmu. Tetapi anda tidak mengetahui Allah s.w.t. ingin melakukan sesuatu yang baik terhadapmu. Sesungguhnya Allah s.w.t. telah mengetahui apa yang telah berlaku ketika anda berada di pertengahan jalan untuk sampai ke tempat ini.”

       “Pada malam bulan mengambang anda telah bertolak dari tempatmu menuju ke sini. Tiba-tiba angin bertiup dengan kencang. Udara menjadi agak panas manakala mendung mulai menyelubungi langit. Kemudian hujan turun dengan lebatnya. Ketika itu anda menjadi kehairanan, yang mana anda mengalami jalan buntu. Anda tidak berdaya untuk melangkah pergi mahupun untuk berpatah balik. Semasa kejadian yang mengerikan itu berlaku tiada seorang pun yang anda temui. Cahaya lampu rumah di sekitar jalan pun tidak kelihatan malahan hujan semakin lebat. Malam pula semakin gelap sehingga satu bintang di langit pun tidak kelihatan. Tiba-tiba angin bertiup sangat kencang dan menggerunkan sehingga sebatang pokok telah menimpa kakimu. Kilat pula saling sambung-menyambung. Tidak lama kemudian seketul batu telah mengenai kakimu sehingga anda mengerang kesakitan. Lalu tiba-tiba anda terlepas dari bencana dan malapetaka yang dahsyat tadi dan seterusnya anda sampai ke sini serta ternampak kami di sini. Kini tiada lagi erangan kesakitan dan ketakutan.”

Orang Badwi yang mendengar penjelasan Saidina Hasan kehairanan lalu berkata,
       “Dari mana engkau tahu semua ini? Dari mana engkau tahu tentang naluri kalbuku? Seolah-olah engkau bersamaku ketika kejadian tersebut. Seolah-olah engkau mengetahui ilmu ghaib. Jika begitu aku merasa insaf dan ingin memeluk Islam.” 

Kemudian Saidina Hasan menyambung,
       “Katakanlah, Asyhadu Alla Ilaha Illallah, Wah dahu La Syarikalah. Waasyhadu Anna Muhammadan ‘Abduhu Wa Rasuluh.” (Aku naik saksi tiada Tuhan selain Allah s.w.t., Yang Maha Esa lagi tiada sekutu bagiNya dan aku naik saksi Muhammad s.a.w. itu hambaNya dan RasulNya).

 Tidak lama kemudian Orang Badwi tadi mengamalkan ajaran Islam dan Rasulullah s.a.w. juga telah mengajarnya tentang Al-Quran. Orang Badwi berterima kasih dan berkata,
       “Wahai Rasulullah, izinkan saya kembali menemui kaum saya untuk mengIslamkan mereka dan mengajar mereka syariat Islam.” Rasulullah s.a.w. merestui cadangan Badwi tersebut dan akhirnya, orang Badwi pun pulang ke tempat asalnya dan membawa kaumnya berjumpa Rasulullah s.a.w. untuk memeluk Islam sehingga setiap kali Saidina Hasan berjumpa Kaum Badwi tersebut pasti mereka berkata,
       “Memang benar haknya Allah s.w.t. yang telah mengurniakan darjat yang tinggi kepadanya yang tidak diberikan kepada orang lain.”[6]

AHLUL BAIT NABI

       Fatimah az-Zahra’ meriwayatkan,
       “Suatu hari Rasulullah s.a.w. masuk ke dalam rumahku dan bersabda, “Assalamualaikum wahai Fatimah.” Saya menjawab,
       “Wa Alaikum Salam.” Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya badanku terasa agak kurang sihat.” Saya berkata kepada Baginda,
       “Saya melindungimu daripada Allah s.w.t. dari terasa kurang sihat.” Rasulullah s.a.w. bersabda, “Wahai Fatimah, berikan kepadaku selimut dari Yaman dan selimutkanlah daku.” Maka saya pun memberinya kain selimut dari Yaman lalu saya selimutkan bapa saya dan saya lihat muka Baginda sangat bercahaya laksana bulan purnama.”

       Tidak lama kemudian datanglah Saidina Hasan lalu berkata,
       “Assalamualaikum wahai ibu.” Saya pun menjawab,
       “Wa ‘Alaikum Salam wahai cahaya mataku dan buah hatiku.” Saidina Hasan berkata lagi,
       “Wahai ibu, sesungguhnya saya tercium bau yang wangi seolah-olah ianya bau datuk saya, Rasulullah s.a.w..” Maka saya pun menjawab,
       “Memang benar, sesungguhnya datukmu sedang berada di dalam kain selimut.” Maka Saidina Hasan pun menghampiri kain selimut tersebut dan berkata,
   “Assalamualaikum wahai datukku, wahai Rasulullah. Adakah anda mengizinkanku untuk bersamamu berada di dalam kain selimut tersebut?” Maka Rasulullah s.a.w. menjawab,
       “Wa ‘Alaikum Salam wahai cucundaku. Wahai pemilik telagaku. Sesungguhnya daku mengizinkanmu masuk.” Kemudian Saidina Hasan pun masuk ke dalam kain selimut bersama Rasulullah s.a.w..”

       “Tidak lama kemudian datanglah Saidina Husain lalu berkata,
“Assalamualaikum wahai ibu.” Maka saya pun menjawab,
       “Wa ‘Alaikum Salam wahai anakku, wahai cahaya mataku dan buah hatiku.” Saidina Husain berkata,
       “Wahai ibu, sesungguhnya saya tercium bau wangi seolah-olah ianya bau datukku Rasulullah s.a.w.” Maka saya pun menjawab, “Memang benar, sesungguhnya datukmu dan abangmu sedang berada di dalam kain selimut. Kemudian Saidina Husain pun menghampiri selimut tersebut dan berkata, “Assalamualaikum wahai datukku, Assalamualaikum wahai manusia yang telah dipilih Allah s.w.t.. Adakah anda mengizinkanku untuk bersamamu berdua berada di dalam selimut?” Maka Rasulullah s.a.w. pun menjawab,
       “Wa ‘Alaikum Salam wahai cucundaku. Wahai pemberi syafaat bagi umatku. Daku mengizinkanmu masuk ke dalam kain selimut.” Kemudian Saidina Husain pun masuk ke dalam kain selimut bersama Rasulullah s.a.w..”

       “Tidak lama kemudian datanglah bapa Saidina Hasan, iaitu Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib lalu berkata,
       “Assalamualaikum wahai puteri Rasulullah.” Maka saya pun menjawab, “Wa ‘Alaikum Salam wahai bapa Hasan, wahai Amirul Mukminin.” Lalu Saidina Ali k.wh. berkata, “Wahai Fatimah, sesungguhnya saya tercium bau wangi seolah-olah ianya bau saudaraku dan anak bapa saudaraku Rasulullah s.a.w..” Maka saya pun menjawab, “Memang benar. Itu dia bersama dua orang anakmu sedang berada di dalam kain selimut.” Kemudian Saidina Ali k.wh. pun menuju ke arah kain selimut dan berkata,
       “Assalamualaikum wahai Rasulullah, adakah anda mengizinkanku untuk bersama kamu semua berada di dalam kain selimut.” Rasulullah s.a.w. menjawab, “Wa ‘Alaikum Salam wahai saudaraku, wahai penggantiku, wahai khalifahku, wahai pemegang benderaku. Daku mengizinkanmu masuk ke dalam kain selimut. Maka Saidina Ali k.wh. pun masuk ke dalam kain selimut.”

       “Kemudian saya pun datang menghampiri mereka dan berkata,
       “Assalamualaikum wahai ayah, wahai Rasulullah, adakah anda mengizinkanku berada di dalam kain selimut bersama kamu semua?” Rasulullah s.a.w. menjawab,
       “Wa Alaikum Salam wahai puteriku. Wahai darah dagingku. Daku mengizinkanmu masuk ke dalam kain selimut. Maka saya pun masuk ke dalam kain selimut tersebut.”

       “Ketika kami semua berada di dalam kain selimut, bapaku telah memegang hujung kain selimut dan menadahkan tangan ke langit lalu bersabda,
       “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya mereka ini adalah Ahlul Baitku dan pembelaku. Daging mereka adalah sebahagian dari dagingku. Darah mereka adalah sebahagian dari darahku. Sesiapa yang mengganggu mereka seolah-olah dia menggangguku. Siapa yang menyakiti mereka seolah-olah dia menyakitiku. Daku akan memerangi sesiapa yang memerangi mereka. Daku berdamai kepada siapa yang berdamai dengan mereka. Daku memusuhi siapa yang memusuhi mereka. Daku mencintai sesiapa yang mencintai mereka. Sesungguhnya mereka sebahagian daripadaku dan daku sebahagian daripada mereka. Maka jadikanlah selawat, keberkatan, kerahmatan, keampunan, keredaan ke atasku dan ke atas mereka. Hilangkanlah ke atas mereka segala dosa dan sucikanlah mereka sesuci-sucinya.”

       “Ketika itu Allah Azza Wajalla berfirman:
       “Wahai para Malaikatku! Wahai penduduk langit! Sesungguhnya Aku tidak menciptakan langit yang terbina, tidak menciptakan bumi yang terbentang luas, tidak menciptakan bulan yang bercahaya, tidak menciptakan matahari yang memancar, tidak menciptakan planet yang berpusing, tidak menciptakan laut yang mengalir kecuali mereka semua harus mencintai lima orang yang berada di dalam kain selimut tersebut.”

       Malaikat Jibrail (yang mendengar firman Allah s.w.t.) pun berkata,
       “Wahai Tuhanku, siapakah mereka itu yang berada di dalam kain selimut?” Allah Azza Wajalla berfirman:
       “Mereka itu adalah Ahlul Bait Nabi. Mereka itu adalah harta galian kerasulan. Mereka adalah Fatimah, bapanya, suaminya dan kedua orang anaknya.” Malaikat Jibrail berkata,
       “Wahai Tuhanku, adakah engkau mengizinkanku turun ke bumi untuk bersama mereka menjadi orang yang keenam?” Maka Allah s.w.t. berfirman:
       “Memang benar, aku mengizinkan.”

       Lalu Malaikat jibrail pun turun ke bumi dan berkata,
       “Assalamualaikum wahai Rasulullah. Allah s.w.t. yang Maha Agung telah menyampaikan salam kepadamu dan memberikanmu kemuliaan. Allah s.w.t. berfirman kepadamu,
       “Demi kemuliaanKu dan ketinggianKu. Sesungguhnya Aku tidak menciptakan langit yang terbina, tidak menciptakan bumi yang terbentang luas, tidak menciptakan bulan yang bercahaya, tidak menciptakan matahari yang memancar, tidak menciptakan planet yang berpusing, tidak menciptakan laut yang mengalir kecuali hanya kerana mencintai kamu berlima.”
       “Adakah anda mengizinkanku masuk ke dalam selimut bersama kamu semua? Rasulullah s.a.w. pun menjawab, “Wa ‘Alaikum Salam wahai penyampai wahyu Allah, sesungguhnya daku mengizinkan.”

       Maka Malaikat Jibrail pun masuk ke dalam kain selimut dan dia berkata kepada bapaku,
       “Sesungguhnya Allah hendak menghapuskan dosa kamu (Ahlul Bait) dan mensucikan kamu sesuci-sucinya.”[7]

       Ketika itu Saidina Ali k.wh. pun bertanya kepada bapaku, “Wahai Rasulullah, khabarkanlah kepadaku kelebihan di sisi Allah s.w.t. tentang keberadaan kami di dalam kain selimut ini?” Maka Rasulullah s.a.w. bersabda,
       “Demi yang telah mengutuskanku dengan kebenaran kenabian dan diutuskan dengan kerasulan yang berjaya, sesiapa yang memperingati pengkhabaran kami tentang perhimpunan ini daripada perhimpunan yang diadakan oleh penduduk bumi dan dalam majlis tersebut terdapat pengikut kami serta pencinta kami, maka Allah s.w.t. akan turunkan kerahmatan ke atas mereka. Malaikat akan mengelilingi mereka dan berdoa supaya dosa mereka diampunkan sehinggalah mereka bersurai.”

       Lalu Saidina Ali k.wh. pun berkata,
       “Jika begitu, demi Allah, kita telah mendapat kejayaan dan pengikut kita juga mendapat kejayaan. Demi Tuhan yang memelihara Ka’bah.” Lantas bersabdalah Rasulullah s.a.w.,
       “Wahai Ali, demi yang telah mengutuskanku dengan kebenaran kenabian dan diutuskanku dengan kerasulan yang berjaya. Sesiapa yang memperingati perkhabaran kami tentang perhimpunan ini daripada perhimpunan yang diadakan oleh penduduk bumi dan dalam majlis tersebut terdapat pengikut kami serta pencipta kami yang ditimpa kesedihan, maka Allah s.w.t. akan hilangkan kesedihan mereka. Yang ditimpa kedukaan, Allah s.w.t. akan hilangkan kedukaan mereka. Yang memohon hajat, Allah s.w.t. akan perkenankan hajat mereka.”

       Kemudian Saidina Ali k.wh. pun berkata,
       “Jika begitu, demi Allah, kita telah mendapat kejayaan dan kesenangan. Begitu juga pengikut kita akan mendapat kejayaan dan kesenangan di dunia mahupun di akhirat.”[8]

VIDEO SEJARAH HADIS KISA'

SAIDINA HASAN MEMPUNYAI KEDUDUKAN TINGGI DALAM AL-QURAN DAN SUNNAHNYA

       Saidina Hasan sangat dikenali di kalangan para sahabat kerana ilmu, kewarakan, keberanian serta ketakwaan yang tinggi di sisi Allah s.w.t.. Beliau juga mempunyai kedudukan yang tinggi di dalam Kitabullah dan Sunnahnya. Di dalam Al-Quran terdapat beberapa ayat telah turun ke atas cucunda Rasulullah s.a.w. yang mulia ini. Antaranya ialah:

1.     Ayat Tathir

       “Sesungguhnya Allah s.w.t. hendak menghapuskan dosa kamu (Ahlul Bait) dan mensucikan kamu sesuci-sucinya”[9]

       Hadis ini telah dikeluarkan oleh Muslim di dalam Sahihnya, at-Tirmizi di dalam Sahihnya, an-Nasa’i di dalam al-Khashaish dan ath-Thabari di dalam tafsirnya.

       Imam Muslim di dalam shahihnya jilid iv, hadis ke 2424 daripada Aisyah meriwayatkan bahawa suatu ketika Rasulullah s.a.w. telah memanggil orang ramai supaya berkumpul di Khaibariah lalu dengan suara yang jelas Baginda telah mendoakan Saidina Ali k.wh., Fatimah az-Zahra’, Saidina Hasan dan Saidina Husain.
       “Ya Allah, mereka ini adalah Ahlul Baitku. Oleh itu hapuskanlah dosa mereka dan sucikanlah mereka sesuci-sucinya.”[10] Kemudian turunlah ayat tathir ini yang memperkenankan doa Rasulullah s.a.w..

2.     Ayat Mubahalah

       “Sesiapa yang membantahmu tentang kisah Isa a.s. sesudah datang ilmu (yang menyakinkan kamu) maka katakanlah (kepadanya) marilah kita panggil anak kami dan anak kamu, isteri kami dan isteri kamu, diri kami dan diri kamu, kemudian marilah kita bermubahalah kepada Allah s.w.t. dan kita minta supaya laknat Allah s.w.t. ditimpakan kepada mereka yang dusta.”[11]

       Ayat ini diturunkan ketika kaum Nasrani Najran mengingkari kenabian Rasulullah s.a.w. sehingga mereka bersepakat untuk bermubahalah iaitu masing-masing bersumpah kepada Allah s.w.t.. Barangsiapa yang berada di pihak yang sesat maka bencana dan laknat Allah s.w.t. akan ditimpakan ke atas mereka.

       Saidina Hasan meriwayatkan,
       “Sebagai ganti diri kami, Rasulullah s.a.w. telah membawa bapaku, Saidina Ali k.wh.. Sebagai ganti anak kami Baginda telah membawaku dan adikku, Saidina Husain. Sebagai ganti isteri kami Baginda telah membawa ibuku, Fatimah az-Zahra’. Ketika orang Nasrani Najran itu melihat Saidina Ali k.wh., Fatimah az-Zahra’, Saidina Hasan dan Saidina Husain dibawa oleh Rasulullah s.a.w. untuk bermubahalah, akhirnya, mereka membatalkan hasrat mereka dan tunduk di bawah pemerintahan Rasulullah s.a.w. serta berjanji akan membayar jizyah.[12]

3.     Ayat Mawaddah

       “Katakanlah, aku tidak meminta kepadamu sesuatu upah pun atas seruanku kecuali kasih sayang dalam keluargaku”[13]

       Para pentafsir mengatakan ayat ini diturunkan berkenaan Saidina Ali k.wh., Fatimah az-Zahra’, Saidina Hasan dan Saidina Husain. Di dalam Shahih Bukhari dan Muslim, musnad Ahmad bin Hambal, tafsir ats-Tsalabi serta tafsir at-Thabrisi disebutkan sebuah riwayat dari Ibnu Abbas yang berkata,
       “Ketika turun ayat yang berbunyi,
       “Aku tidak meminta kepadamu sesuatu upah pun atas seruanku kecuali kasih sayang dalam keluarga Para sahabat bertanya,
       “Wahai Rasulullah, siapakah keluarga anda yang wajib kami sayangi?” Baginda menjawab,
       “Ali, Fatimah, dan kedua anaknya.”[14]

       Di dalam kitab hadis juga terdapat banyak hadis yang memuji serta menegaskan kedudukan Saidina Hasan. Rasulullah s.a.w. sering menyanjungi keperibadian cucunda Baginda yang dididik dari kecil sehingga dewasa.

       Al-Barra’ berkata,
       “Saya melihat Saidina Hasan (yang masih kecil) berada di atas bahu Rasulullah s.a.w. dan Baginda bersabda, “Wahai Tuhanku, daku mencintai budak ini. Oleh itu cintailah dia.”[15]

       Ibnu Abbas berkata,
       “Ketika Rasulullah s.a.w. sedang mendukung Saidina Hasan bin Saidina Ali k.wh., lalu berkatalah seseorang kepada Saidina Hasan, “Sebaik-baik tunggangan adalah tungganganmu wahai budak.” Lalu Rasulullah s.a.w. menambah, “Sebaik-baik penunggang adalah dia (Hasan).”[16]
       Khalifah Abu Bakar berkata,
       “Rasulullah s.a.w. bersolat bersama kami. Tiba-tiba datanglah Saidina Hasan yang masih kecil. Ketika Baginda sedang sujud, lalu dia naik ke punggung Baginda. Kemudian Rasulullah s.a.w. mengangkatnya secara perlahan-lahan dan lemah lembut. Setelah solat selesai para sahabat berkata,“Wahai Rasulullah, Tuan telah melakukan sesuatu ke atas budak ini yang belum pernah Tuan lakukan terhadap sesiapa pun.” Rasulullah s.a.w. menjawab, “Dia adalah buah hatiku.”[17]

       Anas bin Malik berkata,
       “Sahabat bertanya, “Siapakah anggota Tuan yang paling Tuan cintai?” Rasulullah s.a.w. menjawab, “Hasan dan Husain.”

Aisyah berkata,
       “Rasulullah s.a.w. memegang Saidina Hasan lalu memeluknya sambil bersabda, “Wahai Tuhanku, dia laksana anakku sendiri dan daku sangat mencintainya. Oleh itu cintailah dia dan cintailah pula orang yang mencintainya.”

       Jabir bin Abdullah meriwayatkan, Rasulullah s.a.w. bersabda,
       “Barangsiapa ingin melihat junjungan pemuda penghuni syurga, lihatlah Hasan bin Ali.”

       Imam Ghazali meriwayatkan sebuah hadis bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepada Saidina Hasan,
       “Dialah junjungan diriku dan akhlakku.”[18]

MENJADI KHALIFAH

       Suatu ketika setelah kematian bapanya Saidina Hasan telah berkhutbah panjang lebar mengajak manusia kembali melaksanakan ajaran Rasulullah s.a.w. yang sebenar.

       Setelah Saidina Hasan selesai menyampaikan pidato, Abdullah bin Abbas pun mengajak kaum muslimin untuk memberi baiat kepadanya. Tidak lama kemudian Saidina Hasan pun menjawat jawatan khalifah. Walaupun tampuk pemerintahan di bawah kekuasaan Saidina Hasan, namun, ramai kaum muslimin telah termakan hasutan dan propaganda Muawiyah. Mereka mulai menolak ajakan Saidina Hasan. Mereka tidak bersedia untuk berperang dan tidak sanggup memikul tanggungjawab jihad. Tanda ketulusan hati mulai hilang di hati mereka. Saidina Hasan telah mengalami pukulan hebat ketika beliau mengetahui umat Islam yang dipimpinnya semakin lemah dan rapuh. Walaupun begitu di kalangan para pengikutnya masih terdapat orang yang memiliki keikhlasan yang tinggi terhadap kepimpinan Saidina Hasan. Antara mereka itu adalah:

·        Adi bin Hatim
·        Qais bin Sa’ad bin Ubafah
·        Ma’qal bin Qais
·        Ziyad bin Sha’sha’ah at-Tamimi

       Mereka berusaha menyedarkan umat Islam supaya bergabung dengan Saidina Hasan dan berjanji untuk mara membela kebenaran serta menentang kemungkaran. Saidina Hasan memuji sifat mereka yang benar itu lalu menyampaikan pidato di depan mereka dengan berkata,
       “Kamu telah menempuh jalan yang benar. Semoga Allah s.w.t. memberikan rahmat kepada anda. Saya mengenali anda sebagai orang yang selalu memenuhi janji dan berkata benar. Anda sentiasa bersiap sedia melaksanakan perintah dan memiliki kecintaan yang tinggi terhadap Ahlul Bait. Oleh itu mudah-mudahan Allah s.w.t. memberikan balasan yang baik kepada anda.”

       Tidak lama kemudian Saidina Hasan telah mengarahkan mereka segera berangkat dan menduduki pengkalan di al-Nakhilah. Kemudian Saidina Hasan menyusul membawa pasukan besar sehingga beliau pun sampai di al-Nakhilah sebagai pemimpin pasukan. Kemudian beliau menunjukkan anak bapa saudaranya, Ubaidillah bin Abbas untuk melaksanakan satu tugas.

       Saidina Hasan berkata,
       “Wahai anak bapa saudaraku, saya telah menempatkan 120,000 pasukan tentera di bawah jagaanmu. Antaranya terdapat pasukan kuda dari bangsa Arab dan orang dusun dari Mesir. Pimpinlah pasukan ini dan janganlah terlalu kasar terhadap mereka. Sebab mereka adalah saki-baki orang kepercayaan Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib. Bawalah mereka menuju ke sungai Furat sehingga anda dapat menemui mereka (pihak musuh). Janganlah anda menyerang mereka terlebih dahulu. Tetapi jka mereka memulakan serangan, serbulah mereka. Jika anda gugur di medan perang, maka Qais bin Sa’adlah yang akan menggantikanmu dan apabila dia gugur pula maka Said bin Qais yang akan menggantikannya.”[19]

       Seterusnya pasukan Saidina Hasan pula bergerak menuju ke Mazhlam Sabath di Madain dan berpengkalan di tempat itu. Pasukan yang dipimpin oleh Saidina Hasan semakin goncang, dikuasai kebimbangan, perpecahan dan terdapat ramai yang menjadi gunting dalam lipatan. Mereka nyaris-nyaris menyerahkan Saidina Hasan ke pihak musuh. Ada antara mereka yang berpaling tadah kerana terpedaya dengan janji manis Muawiyah. Saidina Hasan tidak dapat berbuat apa-apa sehingga beliau terpaksa menandatangani perjanjian bersama Muawiyah. Antara perkara yang penting dari dokumen yang ditandatangani oleh Saidina Hasan adalah seperti berikut:

Pertama, pemerintahan atas umat diserahkan kepada Muawiyah bin Abi Sufian dengan syarat mesti berdasarkan Al-Quran dan sunnah;
Kedua, sesudah Muawiyah, kekuasaan diserahkan kepada Saidina Hasan dan apabila beliau meninggal dunia, maka kekuasaan diserahkan kepada Saidina Husain; dan
Ketiga, rakyat harus diberi kemerdekaan dan keamanan baik mereka itu orang Arab mahupun bukan, warga Syam atau warga Iraq dan tidak diperlakukan seperti dulu ketika golongan Umawiyah berkuasa.

       Setelah menandatangani perjanjian, Saidina Hasan telah menetap di Kuffah untuk beberapa waktu lamanya. Tidak lama kemudian beliau teringatkan kota datuknya yang mulia iaitu Rasulullah s.a.w. lalu beliau bercadang untuk berhijrah ke Madinah al-Munawwarah. Ketika rombongan Saidina Hasan mulai bergerak, warga Kuffah terasa kesepian. Mereka begitu sedih dan rasa pilu telah menyelubungi sanubari setiap orang. Mereka merasa sebak kerana bakal kehilangan pemimpin agung yang sebelum ini disanjungi.
Semasa rombongan Saidina Hasan sampai di Madinah al-Munawwarah, penduduk di situ menyambut beliau dan Ahlul Baitnya dengan penuh hormat. Saidina Hasan merasa bangga kerana masih ramai warga Madinah al-Munawwarah yang menyintai keluarga Ahlul Bait. Saidina Hasan mengambil peluang ini dengan mendirikan sebuah madrasah untuk melahirkan beberapa pemikir Islam yang jitu. Madrasah yang didirikan Saidina Hasan telah menghasilkan ulama dan perawi yang terkemuka. Antara anak murid beliau ialah:

·        Al-Hasan al-Mustanna;
·        Al-Musaiyab bin Najbah;
·        Suwaid bin Shaflah;
·        As-Sya’bi;
·        Al-Ashbagh bin Nabatah;
·        Abu Yahya an-Nakhaie; dan
·        Ishaq bin Yasar.

       Semakin hari gerakan Saidina Hasan semakin berkembang maju sehingga beliau berhajat untuk berangkat ke Damsyik iaitu kota pemerintahan Umawiyah bertujuan mengajak Muawiyah ke jalan yang benar. Gerakan Saidina Hasan telah sampai kepengetahuan Muawiyah yang telah lama memindahkan kekuasaan dari Kuffah ke Damsyik. Kedudukannya sebagai penguasa Damsyik mulai tergugat dan akhirnya, dia mengambil tindakan untuk menumpaskan gerakan Saidina Hasan. Antara langkah yang dilakukan untuk menumpaskan gerakan Saidina Hasan adalah seperti berikut:

1.       Memecat seluruh pemimpin Mukmin di semua panjuru negeri dan membunuh sejumlah besar orang yang berpengaruh seperti Hujur bin A’di, Rasyid al-Hijri, Amru bin al-Hamaq, an-Nakhaie dan menangkap serta membunuh pengikut Saidina Hasan di mana pun mereka berada;
2.       Mempersempitkan gerakan pengikut Saidina Hasan melalui pelbagai larangan, memutuskan sumber rezeki, membakar rumah sebahagian pengikut beliau dan sebagainya;
3.       Meminta bantuan dari para ulama yang berpihak kepada pemerintah bertujuan untuk memutar belitkan sejarah Ahlul Bait serta mengeluarkan hadis palsu;
4.       Mengeluarkan dana yang besar untuk dihadiahkan kepada ketua kabilah yang dikhuatiri memberontak. Misalnya kepada Malik bin Hubairah as-Sukuni yang sangat marah terhadap pembunuhan Hujur bin A’di dan pengikutnya. Untuk meredakan kemarahan Malik, Muawiyah telah menghadiahkannya wang sebanyak 100,000 Dirham. Dengan itu Malik bin Hubairah pun menarik kembali niatnya untuk memberontak dan[20]
5.       Membunuh Saidina Hasan dengan meracun beliau.

DIRACUN

       Imam Ja’far Shadiq bin Imam Muhammad Baqir meriwayatkan bahawa suatu ketika Saidina Hasan berkata kepada keluarganya,
       “Suatu hari kelak saya akan diracun sebagaimana Rasulullah s.a.w. juga pernah diracun. Mereka bertanya, “Siapakah yang akan melakukan perkara tersebut?” Saidina Hasan menjawab, “Isteriku iaitu Ju’dah binti Asy’ats. Dia akan memperolehi racun daripada Muawiyah.” Mereka berkata, “Kalau begitu halau sahaja isteri anda dari rumah.” Saidina Hasan menjawab, “Bagaimana saya dapat menghalaunya, sedangkan dia masih belum melakukan perbuatan tersebut? Sekiranya saya menghalau isteriku, selain isteriku tiada siapa yang berani meracuniku. Tidak lama lagi Muawiyah akan memberinya harta yang banyak serta racun. Muawiyah akan berkata kepada Ju’dah, “Jika engkau dapat meracun suamimu, aku akan menghadiahkan engkau 100,000 Dirham dan aku akan kahwinkan engkau dengan anakku Yazid.”

       Pada suatu hari iaitu pada hari Khamis, Saidina Hasan telah berpuasa seperti kebiasaannya. Hari itu cuaca sangat panas sekali dan beliau berpuasa dengan penuh keimanan. Ketika waktu berbuka puasa tiba, Saidina Hasan sangat dahaga. Isteri beliau telah menghidangkan secawan susu dan telah memasukkan racun ke dalam susu tersebut. Ketika Saidina Hasan minum susu tersebut beliau merasa sakit perut yang amat sangat. Setelah mengetahui bahawa beliau diracun, beliau pun berkata,
       “Wahai musuh Allah, sesungguhnya engkau telah membunuhku. Semoga Allah s.w.t. juga akan membunuhmu. Sesungguhnya engkau telah ditipu Muawiyah. Semoga engkau dan Muawiyah akan diseksa dengan azab yang pedih.”

       Racun yang diminum oleh Saidina Hasan telah mengenai hatinya. Hati beliau menjadi luka sehingga beliau muntah darah. Selama dua hari Saidina Hasan menderita kesakitan. Ketika itu Saidina Hasan berusia 47 tahun dan akhirnya, pada 28 haribulan Safar tahun 50 Hijrah, Saidina Hasan kembali ke Rahmatullah. Saidina Hasan mewasiatkan supaya jasad beliau disemadikan bersebelahan Rasulullah s.a.w., namun, Aisyah melarang. Saidina Husain yang menguruskan jenazah abangnya merasa sangat kecewa lalu jasad Saidina Hasan disemadikan di perkuburan Baqi’ di Madinah al-Munawwarah.


[1]  Surah al-Baqarah ayat: 186.
[2]  Tukhfatul Uqul min Alir Rasul, muka surat 163.

[3]  Manaqib Ibnu Syahri Asyub, jilid 3 muka surat 441.
[4]  Kasyful Ghimmah, jilid ii muka surat 146.
[5]  Manaqib Ibni Syahri Asyub.
[6]  Adadul Qawiyah, muka surat 42.
[7]  Surah al-Ahzab ayat: 33.
[8]  Hadis riwayat:
i.        Bukhari, Muslim, Kitab Fadhail al-Sahabah, Bab Fadhail Ahlul Bait al-Nabi jilid VII muka surat 130.
ii.     Ahmad bin Hambal, Musnad jilid i muka surat 331jilid iii muka surat 151-259 dan 285. Jilid iv muka suart 5 dan 107. Jilid vi muka surat 292, 296, 298, 304, dan 322.
iii.   Imam Tirmizi di dalam Shahihnya.
iv.   Jalaluddiin as-Suyuti, di dalam Darul Mantsur jilid v muka surat 198-199.
v.      Syeikh Abdul Haq Muhaddits Dahlawi, Asya'atal al-Lamaat jilid iv muka surat 278-379.
vi.   Abu Daud at-Tayalisi di dalam Musnadnya jilid viii muka surat 474 Hadis ke 2055.
vii. Ibn Hajar al-Makki di dalam As-Sawa'iq al-Muhriqah di bawah tajuk Barahin Qat'iah.
[9]  Surah al-Ahzab ayat: 33.
[10] Al-Fairuz Abadi, Fadhailul Khamsah, Min Shihahissittah.
[11]  Surah Ali-Imran ayat: 6.
[12]  Ar-Razi di dalam Tafsir mafatihul Ghaib, jilid ii muka surat 488.
[13]  Surah asy-Syuara’ ayat: 23.
[14]  At-Thabari di dalam Dakhairil Uqba muka surat 25.
[15]  Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.
[16]  Riwayat at-Tirmizi.
[17]  Hadis riwayat al-Hafiz Abu Naim.
[18]  Taufiq Abul-Ilm di dalam Ahlul Bait.
[19] Al-Qurasyi, Hayat al-Hasan jilid ii muka surat 72.
[20] Mahdi Syamsudin di dalam Tsauratul Husain, Beirut 1977, muka surat 127.