INFORMASI

MAKLUMAN

Blog ini adalah hak milik Pintu Ilmu Resources (00159443-D) - PUSAT RAWATAN HOMEOPAYHY- yang beralamat di: Pusat Perubatan Holistik dan Alternatif 4932, Traffic Light Tok Jiring, Jalan Kelantan 21060 Kuala Terengganu, Darul Iman. Untuk lokasi klinik sila klik di sini

Pada 08/11/2015 klinik ditutup kerana doktor bertugas outstation. Harap maklum.

TESTIMONIAL TERKINI i

TAJAAN

Selasa, 8 November 2011

BIOGRAFI IMAM ALI HADI

       Pada tahun 212 Hijrah, seorang pemimpin daripada keturunan pohon cahaya Rasulullah s.a.w. telah dilahirkan. Pemimpin ulung tersebut ialah Imam Ali Hadi. Beliau dilahirkan pada 15 haribulan Zulhijjah tahun 212 Hijrah. Bapa Imam Ali Hadi adalah seorang imam dan ibu beliau pula bernama Samanah yang digelar ‘Ummu Walad’. Ketika bapa Imam Ali Hadi menyambut kelahiran anak lelaki kesayangannya lantas beliau mengazankan di telinga kanan dan mengiqamatkan di sebelah telinga kiri. Pada hari ketujuh pula bapa Imam Ali Hadi, iaitu Imam Muhammad Jawad telah mencukur rambut anaknya lalu menimbangnya dan menggantikan berat timbangan rambut tersebut dengan perak lalu dijual dan wang tersebut dibahagikan kepada fakir miskin. Pada hari tersebut juga bapa Imam Ali Hadi telah mengakikahkan Imam Ali Hadi dengan seekor kambing gurun.

       Imam Ali Hadi membesar di bawah naungan bapanya yang juga seorang tokoh pemimpin yang ulung. Ketika Imam Ali Hadi berusia enam tahun beliau sudah menghafal Al-Quran dan mempelajari pelbagai cabang ilmu daripada bapanya. Pada tahun 220 Hijrah bapa Imam Ali Hadi diundang Khalifah al-Mu’tashim ke Istana Bagdad. Ketika bapa Imam Ali Hadi iaitu Imam Muhammad Jawad bersiap sedia untuk berangkat dari Madinah al-Munawwarah menuju Baghdad, seorang pengikut beliau yang bernama Ismail bin Mahran berkata,

       “Sesungguhnya saya sangat khuatir jika akan terjadi sesuatu perkara yang buruk terhadap anda. Jika hal yang tidak diingini berlaku, kepada siapakah urusan akan diserahkan setelah pemergian anda?” Maka Imam Muhammad Jawad tiba-tiba sebak dan mengalirkan air mata sucinya sehingga membasahi janggut. Kemudian beliau berpaling kepada Ismail bin Mahran seraya berkata,

       “Urusan sepeninggalanku diserahkan kepada anakku Imam Ali Hadi”

       Nama sebenar beliau ialah Imam Ali Hadi bin Imam Muhammad Jawad bin Imam Ali Redha bin Imam Musa Kazim bin Imam Ja’far Shadiq bin Imam Muhammad Baqir bin Imam Ali Zainal Abidin bin Saidina Husain Bin Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib bin Abdul Muthalib bin Hasyim bin Abdul Manaf bin Qushai bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Lu’i bin Ghalib bin Fahr bin Malik bin Nadar bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilias bin Mudhar bin Nizar bin Ma’ad bin Adnan bin ‘Add bin Humaisi’ bin Salamam bin Auz bin Buz bin Qamwal bin Ubai bin ‘Awwam bin Nasyid bin Haza bin Bildas bin Yadlaf bin Tabikh bin Jahim bin Nahisy bin Makhi bin Aid bin ‘Abqar bin ‘Ubaid bin Ad-Da’a bin Hamdan bin Sanbir bin Yathrabi bin Yahzin bin Yalhan bin Ar’awi bin Aid bin Desyan bin Aisar bin Afnad bin Aiham bin Muksar bin Nahits bin Zarih bin Sami bin Wazzi bin ‘Adwa bin Aram bin Haidir bin Nabi Ismail a.s. bin Nabi Ibrahim a.s. bin Azar bin Nahur bin Saru’ bin Ra’u bin Falikh bin Abir bin Syalikh bin Arfakhsyad bin Sam bin Nabi Nuh a.s bin Lamik bin Matul Syalakh bin Nabi Idris a.s. bin Yarid bin Mahlail bin Qinan bin Anwas bin Syits bin Nabi Adam a.s..

ILMU LADUNNI

       Setelah Khalifah al-Mu’tashim mengundang bapa Imam Muhammad Jawad ke istana dan setelah bapa beliau diracun, Imam Ali Hadi ketika itu baru berusia enam tahun. Khalifah al-Mu’tashim lalu mengirim utusan yang bernama Umar bin Faraj ke Madinah al-Munawwarah untuk mencarikan Imam Ali Hadi seorang tenaga pengajar pro kerajaan, bertujuan supaya Imam Ali Hadi tunduk di bawah pemerintahan Khalifah al-Mu’tashim. Ketika utusan sampai di Madinah al-Munawwarah lantas dia pun menyampaikan hasrat Khalifah al-Mu’tashim kepada Gabenor Madinah al-Munawwarah. Gabenor Madinah al-Munawwarah telah memilih seorang alim pilihannya yang bernama Junaidi. Ketika Junaidi mengajar Imam Ali Hadi, dia dapati Imam Ali Hadi seorang yang sangat pintar dan mempunyai ilmu luar biasa.

       Suatu hari Muhammad bin Ja’far menemui Junaidi dan bertanya tentang perkembangan Imam Ali Hadi. Junaidi lalu menjawab,

       “Engkau menyangka beliau seorang kanak-kanak, tetapi sebenarnya beliau adalah seorang yang mempunyai ilmu ladunni. Ketika aku membahaskan satu bab ilmu, beliau telah menambahnya dengan ilmu yang belum aku dengar sehingga aku pula yang belajar daripadanya. Orang Madinah al-Munawwarah menganggap aku mengajar Imam Ali Hadi, tetapi sebenarnya akulah yang belajar pelbagai ilmu daripadanya.”
       Di waktu yang lain Muhammad bin Ja’far bertemu Junaidi dan menanyakan lagi hal Imam Ali Hadi. Junaidi menjawab,

       “Aku berharap janganlah engkau bertanya perihal Imam Ali Hadi lagi. Sesungguhnya beliau adalah seorang yang alim dan yang terbaik antara penduduk Madinah al-Munawwarah. Suatu ketika sebelum Imam Al Hadi memasuki biliknya, aku menyuruhnya membaca beberapa surah Al-Quran terlebih dahulu lalu beliau membaca surah yang aku suruh dan ketika itu beliau membaca dengan bacaan yang fasih dan suaranya sungguh merdu sekali. Belum pernah aku mendengar orang membaca Al-Quran semerdu Imam Ali Hadi. Walaupun usianya masih kanak-kanak tetapi beliau telah pun menghafal ke seluruhannya berserta ‘Asbabun Nuzul’ (sebab turunnya ayat) dan tafsirannya sekali. Maha Suci Tuhan yang telah menurunkan ilmu ladunni kepada Imam Ali Hadi.”

AL-HADI

       Semenjak itu, Imam Ali Hadi mulai dikenali ramai kerana ilmu yang dianugerahkan Allah s.w.t. kepadanya. Dari hari ke hari orang ramai mulai datang berduyun-duyun ingin mempelajari ilmu yang dimilikinya. Semenjak itu juga beliau digelar ‘Al Hadi’, bermaksud orang yang memberi petunjuk kebenaran kepada masyarakat setempat khususnya mahupun di seluruh dunia amnya.

Walaupun Imam Ali Hadi seorang pemimpin Islam yang mulia, namun, beliau sering kelihatan melakukan kerja harian seperti berkebun dan sebagainya.

       Suatu ketika Ali bin Hamzah meriwayatkan,
.
       “Pada satu hari saya melihat Imam Ali Hadi sedang menyangkul di kebunnya yang ketika itu cuaca begitu panas sekali sehingga peluh membasahi tubuhnya. Lalu saya menghampirinya dan bertanya, kenapa beliau bersusah-payah dan ke manakah pekerja-pekerjanya? Imam Ali Hadi hanya menjawab, bahawa itu adalah pekerjaan mulia yang telah dilaksanakan bapa dan nenek moyangnya.”

       “Siapakah mereka itu?” Tanyaku. Imam Ali Hadi lalu menjawab, “Bapaku, Imam Muhammad Jawad, Saidina Husain, Saidina Ali k.wh. dan Rasulullah s.a.w.. Mereka menggunakan tangan mereka yang suci untuk melakukan kerja di kebun dan ini adalah sunnah Rasul dan pekerjaan orang yang soleh.”
PEMERINTAHAN BANI ABBASIAH
.
       Akhlak dan ilmu yang dimiliki Imam Ali Hadi bukan sahaja dikenali penduduk Madinah al-Munawwarah, malahan ianya tersebar luas sehingga ke seluruh pelusuk dunia yang akhirnya, Khalifah al-Mutawakil yang memerintah ketika itu terpaksa mengakui keilmuan yang dimiliki Imam Ali Hadi.

Ketika Gabenor Madinah al-Munawwarah iaitu Abdullah bin Muhammad menyampaikan berita kepada Khalifah al-Mutawakil bahawa perlu berhati-hati terhadap Imam Ali Hadi kerana kegiatan dakwahnya, Imam Ali Hadi lalu mengutus surat kepada Khalifah al-Mutawakil yang mengungkapkan ketidakbenaran tuduhan yang dilontarkan kepada dirinya itu. Al-Mutawakil lalu membalas surat Imam Ali Hadi yang berisi pujian dan meminta beliau hadir di Samarra’ iaitu kem tentera milik Khalifah Abbasiah supaya mudah diawasi. Di dalam surat tersebut al-Mutawakil menyebutkan,

       “Bismillahirrahmanirrahim. Amma Ba’du. Sesungguhnya khalifah telah mengetahui kedudukan anda dan takut kerana anda adalah golongan Ahlul Bait yang menyuruh melaksanakan hak anda kerana kebaikan anda dan kebaikan Ahlul Bait Rasulullah s.a.w.."

"Dengan tindakannya yang demikian, khalifah ingin memperolehi keredaan daripada Allah s.w.t. dan menunaikan kewajipannya terhadap anda dan terhadap Ahlul Bait Rasul. Khalifah telah pun melihat perlaksanaan yang dilakukan Abdullah bin Muhammad mengenai segala yang diperintahkan khalifah dalam urusan solat mahupun urusan peperangan di Kota Madinah al-Munawwarah. Beliau sendiri memang telah mengetahui beliau jahil terhadap hak anda kerana tindakannya meremehkan kedudukan anda. "

"Khalifah telah pun menggantikan Abdullah bin Muhammad dengan Muhammad bin Fadhil dan diperintahkannya pula supaya memuliakan anda, meminta keputusan dan pendapat daripada anda. Juga tidak menentang anda yang demikian akan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. dan kepada khalifah.”

       “Khalifah merasa rindu kepada anda dan ingin memperbaharui ikatan kekeluargaan dengan anda dan bertemu muka dengan anda. Maka jika anda berkenan, sudilah kiranya anda mengunjunginya dan tinggal di sana. Jika anda berkenan juga, sudilah berpindah bersama orang yang anda pilih dari keluarga anda dan wakil anda dengan keadaan aman dan tenteram. Anda boleh bertolak bila-bila masa sahaja. Berhenti bila-bila masa dan menyambung perjalanan bila-bila sahaja yang anda kehendaki. Jika anda berkenan, wakil khalifah iaitu Yahya bin Hartsamah dan pasukan pengiring akan menyertai perjalanan anda. Dalam perkara ini kekuasaan berada di tangan anda. Kami akan memerintahkan mereka supaya mentaati anda.”
       “Beristikharahlah kepada Allah s.w.t. sehingga anda memperolehi kesepakatan dengan khalifah. Tiada seorang pun daripada saudara khalifah, anaknya atau keluarga dan orang kepercayaannya yang lebih mulia kedudukannya daripada anda. Wassalamualaikum Warahmatullah.”

       Ditulis oleh Ibrahim bin al-Abbas pada bulan Jamadil Akhir tahun 240 Hijrah.

       Sebenarnya surat ini hanyalah helah Khalifah al-Mutawakil untuk memerangkap Imam Ali Hadi, kerana menurut catatan sejarah Khalifah al-Mutawakil sangat membenci keturunan Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib dan Ahlul Bait Rasul.

       Nama sebenar Khalifah al-Mutawakil ialah al-Mutawakil Ja’far bin al-Mu’tashim. Dia memegang jawatan khalifah setelah kematian Khalifah al-Watsiq pada tahun 232 Hijrah.

 Khalifah al-Mutawakil sangat menaruh dendam dan benci terhadap keturunan Fatimah az-Zahra’ binti Rasulullah s.a.w.. Khalifah al-Mutawakil memperlakukan mereka dengan begitu kejam sehinggakan bantuan metarial telah disekat. Orang ramai juga ditegah memberi bantuan dan meringankan beban mereka. Inilah tradisi yang telah dilakukan nenek moyang Khalifah al-Mutawakil semenjak pemerintahan Abbasiah berkuasa. Antara kekejaman Khalifah al-Mutawakil terhadap Ahlul Bait Rasulullah s.a.w. boleh digambarkan seperti berikut:
1.     Kebencian Khalifah al-Mutawakil kepada keturunan Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib dan sentiasa bertindak untuk mencela dan menghinanya;
2.     Khalifah al-Mutawakil telah memerintahkan supaya makam dan tempat ibadah di sekitarnya dirobohkan serta menghukum sesiapa yang menzirahi makam tersebut;

3.     Melakukan sekatan ekonomi terhadap keturunan Ahlul Bait atau Alawiyin dan menegah orang ramai menolong mereka sehingga ada yang kelaparan; dan

4.     Mempersulit kehidupan para Imam Ahlul Bait, khususnya Imam Ali Hadi dan memaksanya berpindah dari Madinah al-Munawwarah untuk ditempatkan di kem Samarra’ supaya mudah diawasi.

       Khalifah al-Mutawakil berniat untuk membunuh Imam Ali Hadi kerana rakyat mulai berpihak kepadanya.

Khalifah al-Mutawakil berusaha untuk menangkap sesiapa sahaja yang berpihak kepada Imam Ali Hadi.

      Ibnu Atsir menyebutkan, Khalifah al-Mutawakil sangat membenci keturunan Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib. Ketika beliau mendengar ada sesiapa yang berpihak kepada keturunan Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib, maka diperintahkan supaya ditangkap dan hartanya dirampas. Khalifah al-Mutawakil juga sangat membenci para khalifah terdahulu iaitu bekas Khalifah al-Ma’mun, Khalifah al-Mu’tashim dan Khalifah al-Watsiq kerana mereka berpihak kepada Ahlul Bait Rasul.

       Suatu ketika, seorang Ahli Nahu terkenal bernama Ya’qub bin Ishaq telah dihadapkan ke istana lantas Khalifah al-Mutawakil pun bertanya,

       “Manakah yang engkau lebih cintai? Di antara Al-Mu’taz dan al-Muaiyad (keduanya adalah anak Khalifah al-Mutawakil) atau Saidina Hasan dan Saidina Husain?” Ya’qub bin Ishaq menyebut kekurangan kedua putera al-Mutawakil dan menyebut kemuliaan yang dimiliki oleh Saidina Hasan dan Saidina Husain. Khalifah al-Mutawakil menjadi marah lalu memerintahkan Orang Turki yang ada di situ supaya memijak perut Ya’qub bin Ishaq dan setelah dia kembali ke rumah, tidak lama kemudian dia pun meninggal dunia.
       Ibnu Atsir juga menyebutkan, pada tahun 236 Hijrah, Khalifah al-Mutawakil telah memerintahkan supaya makam Saidina Husain di Karbala dirobohkan. Malahan rumah dan bangunan yang ada di sekitarnya juga diarahkan supaya diroboh dan diratakan.

Khalifah al-Mutawakil memerintahkan supaya anak sungai digali dan pokok ditanam di atas perkuburan Saidina Husain. Dia juga melarang orang ramai menziarahi makam tersebut.

 Seorang utusannya lalu menyeru kepada penduduk setempat dengan berkata,

       “Barangsiapa yang didapati berada di makam Saidina Husain setelah tiga hari nanti, kami akan tangkap dan memenjarakannya di penjara bawah tanah.”[1]
       Muhammad bin al-Husain al-Asynani menceritakan,

       “Aku berjanji untuk menziarahi makam Saidina Husain. Lalu aku persiapkan barang keperluan untukku bawa. Manakala seorang lelaki dari Atharin telah membantuku. Lalu kami pun berangkat dan kadangkala berehat seketika di siang hari serta meneruskan perjalanaan di malam hari sehinggalah kami sampai melalui dua orang penjaga makam yang sedang nyenyak tidur. Kemudian, pada malam tersebut kami pun sampai ke tempat tujuan, namun, kami tidak menemui makam Saidina Husain. Seterusnya kami pun meraba-raba hinggalah kami menemuinya. Kami dapati batu dan kotak yang mengelilingi makam Saidina Husain telah dirobohkan dan dibakar. Di atasnya pula digali anak sungai yang mengalir. Tempat letak susu juga telah terbenam ke dalam tanah dan menjadi seperti parit. Lalu kami pun angkat tempat letak susu tersebut dan ketika itu kami tercium bau wangi yang sungguh harum. Kami pun meletakkan tempat susu tersebut ke tempat asalnya. Di sekeliling makam Saidina Husain pula kami tandai. Setelah Khalifah al-Mutawakil meninggal dunia, maka kami pun beramai-ramai membina semula makam tersebut.”
       Imam Ali Hadi tidak lupa dan lalai setiap penindasan dan kezaliman yang dilakukan oleh Khalifah al-Mutawakil. Oleh itu, beliau telah memperkuatkan hubungan rohani dengan beberapa pengikut setianya. Imam Ali Hadi menyebarkan kepada pengikut setianya yang sedikit itu tentang prinsip Islam dan beliau mendidik mereka menjadi orang alim, warak, tawaduk dan sehingga menjadi perawi hadis yang dipercayai.
       Ketika pengikut Imam Ali Hadi di Madinah al-Munawwarah menjadi semakin ramai, Khalifah al-Mutawakil semakin khuatir kerana dia akan menjadi ancaman kekuasaan serta kedudukannya. Lalu banyaklah tuduhan palsu yang sedaya upaya dilakukan untuk menyerang beliau. Musuh Imam Ali Hadi  pula berusaha untuk memuaskan hati Khalifah al-Mutawakil dengan menyampaikan fitnah bahawa Imam Ali Hadi telah mengumpulkan wang dan senjata untuk bangkit menentang pemerintah.
       Tidak lama kemudian, Khalifah al-Mutawakil pun meminta supaya Imam Ali Hadi dipindahkan ke kem tentera Samarra’ supaya beliau sentiasa dalam pengawasan pihak tentera. Lalu Khalifah al-Mutawakil pun mengutuskan Yahya bin Hartsamah untuk menjemput Imam Ali Hadi. Kemudian Yahya bin Hartsamaah pun bersegera pergi ke Kota Madinah al-Munawwarah.

Ketika dia sampai di Kota Madinah al-Munawwarah, orang ramai sedang bimbang tentang keselamatan Imam Ali Hadi lalu Yahya bin Hartsamah terpaksa menerangkan kepada penduduk Madinah bahawa dia akan menjaga Imam Ali Hadi sebaik mungkin di sepanjang perjalanan menuju Samarra’. Sebelum Imam Ali berangkat, Yahya bin Hartsamah tidak menemukan apa-apa selain beberapa buah buku, kitab doa dan kitab ilmu sahaja. Yahya bin Hartsmah menjadi insaf dan memperlakukan Imam Ali Hadi dengan penuh hormat.

       Ketika Imam Ali Hadi sampai di Baghdad, orang ramai mula berkumpul untuk melihat wajah cucunda keturunan Rasulullah s.a.w. itu. Gabenor Baghdad iaitu Ishaq bin Ibrahim at-Thahiri telah menyambut beliau dan berkata kepada Yahya bin Hartsamah,

       “Wahai Yahya, sesungguhnya beliau adalah keturunan Rasul yang mulia. Tetapi sesungguhnya engkau lebih mengetahui tentang Khalifah al-Mutawakil. Jika engkau menyebabkan Khalifah marah, pasti dia akan membunuh keturunan Rasulullah s.a.w. ini. Jika ini terjadi pasti Rasulullah s.a.w. akan memurkaimu di akhirat kelak.” Yahya bin Hartsamah menjawab,

       “Demi Allah, aku tidak menemui kecacatan pada Imam Ali Hadi. Apa yang aku lihat beliau adalah seorang yang alim dan berakhlak mulia.”

       Di malam harinya, oleh kerana khuatir masyarakat setempat akan datang beduyun-duyun maka Gabenor Ishaq bin Ibrahim at-Thahiri pun mendirikan khemah untuk menahan Imam Ali Hadi semalaman.

       Ketika Yahya bin Hartsamah sampai di Samarra’ dia lantas menemui Washif at-Turki dan mengkhabarkan tentang kehadiran Imam Ali Hadi. Washif berkata,

       “Demi Allah, seandainya gugur sehelai sahaj rambut Imam Ali Hadi, engkau akan dipertanggungjawabkan”.

Yahya bin Hartsamah menjadi hairan bagaimana pandangan Washif at-Turki boleh sama dengan Ishaq bin Ibrahim at-Thahiri.

       Ketika Yahya bin Hartsamah mempersembahkan Imam Ali Hadi kepada Khalifah al-Mutawakil, dia menceritakan tentang kemuliaan Imam Ali Hadi dan kezuhudannya di sepanjang perjalanan dari Madinah al-Munawwarah menuju ke Samarra’. Khalifah al-Mutawakil menyambut kehadiran Imam Ali Hadi dengan penuh hormat dan memberikan beberapa hadiah. Kemudian Khalifah al-Mutawakil memerintahkan supaya Imam Ali Hadi dijauhkan dari pandangan orang ramai dan beliau direhatkan di sebuah rumah penginapan bagi orang miskin di sepanjang siang hari. Kemudian barulah beliau dipindahkan di sebuah rumah terasing yang lebih baik untuk beberapa hari.

       Khalifah al-Mutawakil dan pembesar negara berusaha untuk menjatuhkan maruah Imam Ali Hadi, namun, mereka tidak mampu menghadapi kemuliaan akhlaknya. Khalifah al-Mutawakil mengetahui kedudukan keturunan Rasulullah s.a.w. dan pengaruh masyarakat terhadap Imam Ali Hadi. Dia merasa bingung lalu berkata,

       “Celakalah anda semua, tentang perlakuan Imam Ali Hadi ini telah membingungkan diriku. Aku telah berusaha sedaya upaya supaya dia sama-sama minum dan bersukaria bersamaku, namun, dia masih enggan. Aku juga telah banyak kali berusaha untuk menjatuhkan maruahnya tetapi aku tidak menemui jalan.” Lalu berkatalah salah seorang pembesar Negara,

       “Jika anda tidak dapat menundukkan Imam Ali Hadi, maka berilah perhatian kepada saudara kandungnya iaitu Musa. Dia adalah seorang yang lemah akhlaknya dan suka berfoya-foya. Panggillah dia ke istana dan kita sanjung dia. Nanti masyarakat tidak akan dapat membezakan antaranya dengan Imam Ali Hadi.” Khalifah al-Mutawakil berkata,

      “Kalau begitu tulislah surat dan panggillah dia ke istana dengan penuh penghormatan.”

      Khalifah al-Mutawakil berjanji jika Musa sudi datang ke istana, dia akan dihadiahkan sebidang tanah yang akan dibina sebuah rumah yang cantik yang akan dikunjungi orang ramai.

      Ketika Musa datang ke Samarra’, dia telah disambut Imam Ali Hadi di daerah Shaif, iaitu suatu daerah tempat orang yang baru sampai diraikan. Imam Ali Hadi mengucapkan salam dan memberikan keperluan harian. Kemudian beliau berkata,

       “Sesungguhnya Khalifah al-Mutawakil menjemputmu datang ke istana untuk menjatuhkan maruahmu. Oleh itu janganlah engkau mengaku engkau pernah minum arak dan takutlah kepada Allah s.w.t.. Janganlah sampai engkau melakukan perkara yang dilarang oleh Allah s.w.t..”

 Musa menjawab,

       “Jika memang itu yang dikehendaki oleh Khalifah al-Mutawakil apa salahnya.”

Imam Ali Hadi berkata,

       “Sebaik-baiknya ingatlah Allah, janganlah engkau jatuhkan maruahmu sendiri. Janganlah engkau bermaksiat kepada Allah s.w.t. dan janganlah engkau merosakkan kehormatanmu.”

Namun, Musa masih dengan pendiriannya. Imam Ali Hadi masih lagi berusaha menasihati saudaranya namun, tidak dihiraukan. Ketika Musa sudah tidak mengendahkan ucapan Imam Ali Hadi, beliau berkata,

       “Saya berdoa semoga di setiap majlis khalifah yang engkau inginkan tidak akan engkau dapat bersamanya buat selama-lamanya.”

       Maka tinggallah Musa di Samarra’ selama tiga tahun. Setiap hari dia akan datang ke pintu gerbang istana khalifah untuk menemui Khalifah al-Mutawakil, namun, pengawal istana menahannya dan berkata,

       “Khalifah sedang sibuk.” Keesokan hari Musa datang lagi ke istana. Pengawal istana menahannya dan berkata,

       “Khalifah sedang mabuk” Keesokan hari Musa datang lagi ke pintu gerbang istana namun, pengawal istana berkata,

       “Khalifah sedang minum dan mabuk.” Begitulah seterusnya setiap hari pasti Musa akan ke pintu istana untuk menemui Khalifah al-Mutawakil namun, tidak diberi kesempatan. Musa melakukannya selama tiga tahun sehinggalah Khalifah al-Mutawakil meninggal dunia.

       Suatu ketika, Khalifah al-Mutawakil menghidap sejenis penyakit kulit yang menyebabkan kesakitan yang amat sangat. Beberapa tabib dipanggil untuk mengubati penyakitnya namun, masih tidak sembuh. Sehinggalah ibu Khalifah al-Mutawakil bernazar bahawa jika penyakit anaknya sembuh dia akan menghadiahkan wang kepada Imam Ali Hadi. Tidak lama kemudian Fatah bin Khaqan menziarahi Khalifah al-Mutawakil lalu berkata,

       “Bagaimana jika saya meminta penawar daripada Imam Ali Hadi. Mungkin beliau dapat merawat penyakit yang anda hadapi.” Khalifah al-Mutawakil bersetuju dengan cadangan Fatah bin Khaqan lalu dia pun menemui Imam Ali Hadi dan mengkhabarkan tentang keadaan Khalifah al-Mutawakil. Imam Ali Hadi berkata,
       “Ambillah najis kambing lalu rendam dengan air mawar dan sapukanlah di tempat sakit Khalifah al-Mutawakil.”

Kemudian Fatah bin Khaqan pulang dan memberitahu Khalifah al-Mutawakil tentang penawar penyakitnya namun, para pembesar yang mendengar mentertawakannya dan menganggap Imam Ali Hadi mahu mempermainkan Khalifah. Fatah bin Khaqan berkata,

       “Apa salahnya jika kita laksanakan perintah Imam Ali Hadi, manalah tahu penyakit Khalifah akan sembuh.”

Khalifah al-Mutawakil bersetuju lalu melakukan sebagaimana yang diarahkan Imam Ali Hadi dan tidak lama kemudian penyakitnya sembuh seperti sediakala. Ibu Khalifah al-Mutawakil yang bernazar telah menghadiahkan Imam Ali Hadi 10,000 Dinar yang dimasukkan ke dalam pundi lalu dicop dengan mohor ibunya.

       Walaupun Imam Ali Hadi ditempatkan di sebuah rumah, namun, rumah tersebut berada dalam kem tentera Khalifah al-Mutawakil dan para tentera sering mengawasi rumah tersebut. Bukan hanya pihak kerajaan sahaja yang membenci Imam Ali Hadi namun, ada beberapa kelompok yang sangat memusuhi Keturunan Rasullullah s.a.w.. Antara kelompok tersebut adalah kelompok al-Baththaie. Mereka telah membuat fitnah dan menyampaikan kepada Khalifah al-Mutawakil Imam Ali Hadi sedang mengumpulkan senjata dan bersiap sedia untuk melakukan pemberontakan. Khalifah al-Mutawakil terpedaya dengan tuduhan al-Baththaie lalu beliau mengarahkan pengawal istana supaya mengeledah rumah Imam Ali Hadi di malam hari dan membawanya ke muka pengadilan.
       Said al-Hajib pun pergi ke rumah Imam Ali Hadi bersama beberapa pengawal istana di malam hari yang ketika itu semua orang sedang tidur. Pengawal istana membawa tangga dan menaiki rumah Imam Ali Hadi sambil membawa lilin. Mereka mengeledah di semua sudut tetapi tidak menemukan sesuatu selain dua buah pundi dan sebilah pedang di dalam sarung yang agak usang tergantung di sudut dinding. Mereka dapati Imam Ali Hadi sedang mengerjakan solat di atas sehelai tikar. Beliau memakai jubah dan kupiah. Kemudian mereka telah menyerahkan kedua-dua pundi dan pedang tersebut kepada Khalifah al-Mutawakil.
       “Inilah harta dan senjata yang kami temui.” Said al-Hajib memberitahu. Khalifah al-Mutawakil memeriksa kedua pundi tersebut dan menemui cop mohor ibunya pada pundi yang masih penuh itu. Kemudian Khalifah al-Mutawakil pun mencari ibunya dan menanyakan tentang hal tersebut. Ibu Khalifah al-Mutawakil berkata,

       “Aku pernah bernazar bahawa jika engkau sembuh dari penyakitmu, aku akan hadiahkan kepada Imam Ali Hadi 10,000 Dinar dari wangku. Lalu aku pun cop pundi-pundi tersebut dengan cop mohorku.”

Tidak lama kemudian Khalifah al-Mutawakil menambah 500 Dinar dan berpaling kepada Said al-Hajib seraya berkata,

       “Kembalikan kedua-dua pundi dan pedang ini. Mintalah maaf bagi pihak kami atas apa yang kami telah lakukan.” Maka Said al-Hajib pun segera mengembalikan kedua-dua pundi dan pedang tersebut kepada Imam Ali Hadi seraya berkata,
       “Khalifah al-Mutawakil meminta maaf kepada anda atas apa yang telah dilakukannya. Dia telah menambahkan wang sebanyak 500 Dinar dan saya juga memohon maaf wahai junjunganku. Saya hanyalah seorang bawahan yang sekadar melaksanakan tugas dan saya tidak mampu untuk menentang.”

 Imam Ali Hadi berkata,

       “Wahai Said, orang yang membuat zalim akan mengetahui ke tempat mana dia akan kembali.”

       Abu Abbas Fadhil bin Ahmad bin Israil al-Katib pula menceritakan,

       “Wahai Abu Said, aku akan ceritakan kepadamu sesuatu yang telah diceritakan ayahku. Ayahku mengatakan, pada suatu hari dia bersama al-Mu’taz (putera Khalifah al-Mutawakil) masuk menghadap istana. Al-Mu’taz berdiri di depan sementara ayahku berdiri di belakangnya. Tugas ayahku adalah menyambut kedatangannya dan mempersilakannya duduk. Sidang perbincangan di istana berjalan agak lama. Para pengawal pula bersilih ganti. Ayahku melihat wajah Khalifah berubah-ubah dari masa ke semasa. Ketika Khalifah berhadapan dengan al-Fatah bin Khaqan lalu mengatakan mengapa dia masih menjadi pengikut Imam Ali Hadi, Al-Fatah bin Khaqan menghadap Khalifah lalu mengatakan bahawa mereka telah memfitnahnya. Namun, Khalifah al-Mutawakil menjadi marah lalu memerintahkan supaya orang yang menentang kerajaannya hendaklah dihukum bunuh. Tidak lama kemudian, Khalifah al-Mutawakil memerintahkan supaya dibawakan kepadanya empat orang asing. Lalu dibawa masuk empat orang asing (yang tidak tahu berbahasa arab) dan diberikan setiap seorang sebilah pedang supaya membunuh Imam Ali Hadi. Ketika itu bapaku sedang berdiri di belakang al-Mu’taz yang berselindung di sebalik langsir istana dan tiba-tiba Imam Ali Hadi pun masuk menghadap. Orang ramai berdiri tanda hormat dan menyambut kedatangannya. Bapaku melihat bibir Imam Ali Hadi bergerak-gerak membaca sesuatu dan wajahnya bercahaya tanpa kelihatan cemas. Ketika Khalifah al-Mutawakil melihat Imam Ali Hadi, lalu Khalifah pun turun dari singgahsana dan menyambut kedatangan beliau sambil mencium pipinya. Sambil memegang pedang, Khalifah al-Mutawakil berpura-pura terkejut dengan kehadiran Imam Ali Hadi lalu bertanya apa yang membuat beliau menghadap ke istana. Imam Ali Hadi mengatakan bahawa utusan khalifah datang ke rumahnya dan mengatakan, Khalifah al-Mutawakil menjemputnya ke istana. Khalifah al-Mutawakil berpura-pura terkejut lalu mengatakan yang dia tidak menyuruh sesiapa mengundang Imam Ali Hadi ke istana. Kemudian Khalifah al-Mutawakil meminta Imam Ali Hadi kembali ke rumahnya.

       Empat orang asing yang berada di situ pun tidak disangka-sangka terus menghormati Imam Ali Hadi. Setelah beliau keluar dan pulang ke rumah, Khalifah al-Mutawakil meminta penterjemah supaya menanyakan kepada empat orang asing tadi mengapa mereka tidak jadi untuk membunuh Imam Ali Hadi.

Orang asing tadi menjawab bahawa mereka telah melihat di sekeliling Imam Ali Hadi terdapat 100 bilah pedang yang berjalan di kiri dan kanannya, tetapi mereka tidak nampak orang yang membawa pedang tersebut. Lantas, mereka membatalkan hasrat untuk membunuh Imam Ali Hadi kerana mereka merasa gerun.”

       Tentang kehebatan Imam Ali Hadi, Muhammad bin al-Hasan al-Asytar al-Alawi pula menceritakan,

       “Suatu hari saya bersama ayah saya berada di pintu gerbang istana al-Mutawakil. Ketika itu saya masih kanak-kanak yang berdiri di tengah sekumpulan orang Bani Abu Thalib, Bani Abbas dan keluarga Ja’far. Lalu datanglah Imam Ali Hadi dan semua orang menghormatinya sambil turun dari kenderaan sehinggalah beliau masuk ke dalam istana. Maka antara mereka ada yang bertanya, mengapa orang ramai turun dari kenderaan untuk menghormatinya, kerana beliau bukan daripada orang bangsawan atau orang berpangkat besar. Demi Allah, kami tidak akan turun dari kenderaan untuk menghormatinya.”
       Abu Hasyim al-Ja’fari menjawab, “Demi Allah, anda semua juga pasti akan turun untuk menghormatinya.” Maka tidak lama kemudian Imam Ali Hadi pun sampai dan semua orang turun dari kenderaan untuk menghormatinya. Lalu Abu Hasyim al-Ja’fari pun berkata, “Bukankah anda tadi telah bersumpah untuk tidak akan turun dan tidak akan menghormatinya?” Mereka menjawab, “Demi Allah, kami tidak dapat menguasai diri kami sehinggalah kami terpaksa turun untuk menghormatinya.”
       Suatu ketika Shaqar bin Abi Dalaf telah menuju ke Samarra’ untuk menziarahi Imam Ali Hadi yang ketika itu ditahan dalam penjara. Ketika Shaqar bin Abi Dalaf sampai di samara', Zarraqi Hajib pun bertanya,
       “Kenapa engkau datang ke sini?” Shaqar bin Abi Dalaf menjawab,

       “Hanya untuk menziarahimu semata-mata.” kemudian dia menunggu di situ hampir sejam dan ketika agak lengang Zarraqi Hajib berkata,
        “Aku mengetahui tujuan engkau datang ke sini ialah untuk melawat Imam Ali Hadi. Sebenarnya aku adalah salah seorang pengikut beliau. Adakah engkau ingin menemuinya?”
       “Sudah tentu.” Jawab Shaqar bin Abi Dalaf. Zarraqi Hajib berkata,

       “Bersabarlah, tunggu sehingga pengawal tiada.” Setelah pengawal keluar, Zarraqi Hajib mengarahkan seseorang membawa Shaqar bin Abi Dalaf menemui Imam Ali Hadi dan tidak lama kemudian dia kembali. Ketika Shaqar bin Abi Dalaf menemui Imam Ali Hadi, dia melihat imam dan juga keturunan suci Rasulullah hanya duduk di atas tikar manakala di depannya telah di gali sebuah kubur. Setelah memberi salam, Imam Ali Hadi berkata,

       “Apa tujuan anda datang ke sini? Shaqar bin Abi Dalaf menjawab,

       “Hanya untuk melihat keadaan anda.” Tiba-tiba Shaqar sebak dan mengalirkan air mata kesedihan. Imam Ali Hadi menghampiri Shaqar bin Abi Dalaf dan berkata,

       “Usahlah menangis, mereka tidak mengapa-apakanku.” Shaqar bin Abi Dalaf menyambung,
       “Syukur Alhamdulillah.” Kemudian Shaqar bin Abi Dalaf bertanyakan pelbagai masalah hukum hakam. Setelah Imam Ali Hadi menjawab dengan sempurna beliau berkata,

       “Sekarang bolehlah anda beredar. Semoga mereka tidak mengganggu anda.”

MENGUASAI ILMU LADUNNI
.
       Suatu hari yang lain salah seorang jiran Imam Ali Hadi yang mahir perihal ukir-mengukir bernama Yunus telah datang berjumpanya dalam keadaan takut dan cemas.
       “Kenapa anda kelihatan cemas dan takut wahai Yunus.” Tanya Imam Ali Hadi. Yunus menjawab,

       “Seorang teman saya yang bernama Musa bin Bagha telah menyuruh saya mengukir di atas sebuah batu miliknya. Batu miliknya juga sangat tinggi nilainya. Tiba-tiba, ketika saya sedang mengukir di atas batu tersebut, ia telah pecah dan terbelah menjadi dua. Esok dia akan datang mengambil batu tersebut. Jika dia mengetahui hal ini pasti saya akan dibunuh.”

 Imam Ali Hadi menjawab,
       “Sekarang pulanglah ke rumah dan tenangkan fikiranmu. Esok Insya-Allah sesuatu yang baik akan berlaku ke atas anda.”
       Keesokan hari, pagi-pagi lagi Yunus telah berjumpa dengan Imam Ali Hadi dalam keadaan khuatir kerana sebentar lagi Musa akan datang untuk mengambil batu ukiran miliknya. Imam Ali Hadi menjawab,

       “Usahlah bimbang, pergilah berjumpa dengan Musa. Dengarlah apa yang akan diperkatakannya kelak. Sesungguhnya perkataannya akan menyebabkan anda bergembira.”

 Lalu Yunus pun berlalu dan menurut kata Imam Ali Hadi dan tidak lama kemudian dia kembali menemui Imam Ali Hadi dalam keadaan gembira sambil berkata,

       “Wahai junjunganku, saya telah menemui Musa dan dia telah mengatakan bahawa  jirannya telah berselisih pendapat tentang batunya itu. oleh itu, dia memintaku membelah batu tersebut menjadi dua sehingga perselisihan antara mereka berdua terlerai."

 Mendengar itu, Imam Ali Hadi mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi dan berkata,
       “Apakah jawapan anda kepada Musa?”

Yunus menjawab, “Berilah aku masa untuk melakukan hal tersebut.”

Imam Ali Hadi memuji kepintaran Yunus.

KETURUNAN RASULULLAH S.A.W TIDAK DIMAKAN BINATANG BUAS
.
       Suatu hari seorang wanita telah menghadap istana Khalifah al-Mutawakil dan mengaku dia adalah Zainab anak Fatimah az-Zahra’ binti Rasulullah s.a.w.. Khalifah al-Mutawakil terkejut lalu berkata,

       “Sesungguhnya Zainab telah lama meninggal dunia dan engkau kelihatan masih begitu muda.” Wanita tersebut lalu menjawab,

       “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah meletakkan tangan Baginda di atas kepalaku dan berdoa bahawa setiap 40 tahun aku akan kembali muda.” Kemudian Khalifah al-Mutawakil memanggil kesemua Bani Abu Thalib dan mereka menyatakan bahawa wanita ini telah berdusta. Namun, wanita tersebut tetap dengan pendiriannya. Akhirnya, mereka mencadangkan kepada Khalifah al-Mutawakil supaya perkara ini disampaikan kepada Imam Ali Hadi, semoga beliau dapat menyelesaikan masalah yang rumit ini. Lalu Imam Ali Hadi pun dipanggil untuk berhujah dengan wanita tersebut. Setelah dipertemukan Imam Ali Hadi berkata,

       “Sesungguhnya Zainab anak Fatimah az-Zahra’ telah lama meninggal dunia. Jika benar dia daripada keturunan Fatimah az-Zahra’, sesungguhnya keturunan Fatimah  az-Zahra’ tidak takut kepada binatang buas dan binatang buas pula tidak akan makan daging keturunan Fatimah az-Zahra’. Jika benar dia daripada keturunan Fatimah az-Zahra’ sila masukkan dia ke dalam sangkar singa yang buas.”

       “Apa pendapat anda wahai wanita?” Tanya Khalifah al-Mutawakil.
       “Adakah kerana sebab ini dia ingin membunuh aku?” Sangkal wanita tersebut.

       Imam Ali Hadi menjawab,

       “Di sini terdapat ramai daripada keturunan Fatimah az-Zahra’ binti Rasulullah s.a.w.. Jika mahu kita boleh suruh salah seorang daripada mereka masuk ke dalam sangkar singa sehingga segala kebenaran terbukti.”
.
Ketika itu, wajah mereka yang berketurunan Fatimah az-Zahra’ menjadi agak cemas lalu salah seorang dari mereka berkata,

       “Wahai junjunganku, kenapa anda sendiri tidak cuba untuk masuk ke dalam sangkar singa tersebut?”
.
 Imam Ali Hadi bersetuju dengan cadangan salah seorang daripada mereka dan setelah sangkar dan singa yang buas disediakan, beliau pun masuk ke dalam sangkar tersebut.
.
 Imam Ali Hadi duduk dalam sangkar manakala singa yang amat buas  seolah-olah menjadi jinak dan menundukkan muka tanda hormat kepadanya. Imam Ali Hadi membelai kepala singa tersebut dan mengarahkannya beredar ke tepi. Tanpa disangka-sangka singa tersebut menjadi jinak dan terus menurut perintahnya. Para pembesar dan Khalifah al-Mutawakil terpegun melihat keramat yang dimiliki Imam Ali Hadi dan dengan segera mereka menyuruh Imam Ali Hadi keluar dari sangkar singa kerana khuatir akan dilihat rakyat jelata. Kemudian Imam Ali Hadi berpaling kepada orang ramai seraya berkata,

       “Siapa antara anda yang mengaku daripada keturunan Fatimah az-Zahra’ binti Rasulullah s.a.w., silalah masuk ke dalam sangkar ini.”
.
Akhirnya, wanita tersebut mengaku dia bukan dari keturunan Fatimah az-Zahra’. Dia berbuat demikian kerana kemiskinan yang dialaminya. Khalifah al-Mutawakil menjadi marah dan dia mengarahkan supaya wanita tersebut dicampakkan ke dalam sangkar singa yang buas lagi kelaparan itu.
.
Ibu Khalifah al-Mutawakil yang melihat kejadian itu meminta anaknya memaafkan wanita tersebut. Akhirnya, wanita tersebut terselamat dari dibaham singa yang buas gara-gara hanya mengaku berketurunan Fatimah az-Zahra’.





[1]  Sejarah Dan Kebudayaan Islam oleh Prof. Dr. Ahmad Shalaby, terbitan Pustaka Nasional.