INFORMASI

MAKLUMAN

Blog ini adalah hak milik Pintu Ilmu Resources (00159443-D) - PUSAT RAWATAN HOMEOPAYHY- yang beralamat di: Pusat Perubatan Holistik dan Alternatif 4932, Traffic Light Tok Jiring, Jalan Kelantan 21060 Kuala Terengganu, Darul Iman. Untuk lokasi klinik sila klik di sini

Pada 08/11/2015 klinik ditutup kerana doktor bertugas outstation. Harap maklum.

TESTIMONIAL TERKINI i

TAJAAN

Selasa, 27 Mac 2012

BIOGRAFI IMAM ALI ZAINAL ABIDIN


       Pada suatu hari yang cerah, di zaman pemerintahan Khalifah Umar bin Khatab, Farsi telah berjaya ditawan. Tentera Islam telah membawa tiga orang tawanan puteri Raja Yazdajird bin Syah Riar beserta harta benda mereka di depan Khalifah Umar bin Khatab. Tujuan mereka ialah untuk ditawarkan kepada sesiapa sahaja yang bersedia membeli seperti yang sudah menjadi kelaziman ketika itu. Orang ramai datang berkumpul untuk menyaksikan kecantikan puteri raja terakhir Qisra tersebut. Khalifah Umar memerintahkan supaya purdah mereka dibuka agar dengan demikian bakal pembeli akan dapat meninggikan harga, namun, puteri tersebut menolak sambil menangis. Khalifah Umar menjadi marah dan hampir-hampir saja memukul mereka. Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib yang hadir ketika itu berkata,

       “Sabar wahai Umar, saya pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda kasihanilah bangsawan suatu kaum yang menjadi hina dan hartawan suatu kaum yang jatuh miskin. Puteri raja tidak sepatutnya diperlakukan seperti wanita biasa.”

       “Jika begitu, apa yang sebaiknya kita lakukan?” Tanya Khalifah Umar.

       “Kita minta seseorang menaksir harga mereka dan berapa pun harganya serahkan puteri tersebut kepada orang yang sanggup memelihara mereka dengan sebaiknya.” Jawab Saidina Ali k.wh.. Setelah ditaksir, Saidina Ali k.wh. membeli ketiga-tiga puteri tersebut. Seorang daripada mereka diserahkan kepada Abdullah bin Umar yang kemudian melahirkan Salim bin Abdullah. Seorang lagi diserahkan kepada Muhammad bin Abu Bakar yang kemudian melahirkan Qasim bin Muhammad dan yang ketiga diserahkan kepada Saidina Husain untuk dinikahkan.

       Saidina Ali k.wh. yang memang memahami bahasa Farsi bertanya kepada puteri yang ingin dinikahkan kepada anak beliau,

       “Siapakah namamu?”

       “Syah Zanan” Jawab puteri tersebut. Syah Zanan bermaksud penghulu para wanita. Dengan berbahasa Farsi Saidina Ali k.wh. berkata lagi,

       “Mulai hari ini saya namakan dirimu dengan nama Syahr Banu.” Shah Zanan menjawab,

       “Itu adalah nama gelaran kakakku.”

       “Memang benar.” Jawab Saidina Ali k.wh. dengan bahasa Farsi. Kemudian beliau menghadap Saidina Husain dan berkata,

       “Jagalah puteri ini sebaik mungkin. Berbuat baiklah terhadapnya kerana puteri ini akan melahirkan seorang anak lelaki yang bila dewasa kelak akan menjadi manusia yang disegani dan pemimpin agung.”

       Saidina Ali k.wh. menggantikan nama Syah Zanan dengan Syahr Banu supaya tidak menyerupai julukan Fatimah az-Zahra’ binti Rasulullah s.a.w. iaitu ‘Saidatun Nisa’ al-Alamin’ (penghulu para wanita). Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepada Fatimah az-Zahra’,

       “Wahai anakku, tidakkah engkau gembira bahawa engkau adalah Saidatun Nisa’ al-Alamin.” Fatimah az-Zahra’ bertanya,

       Jika begitu di manakah kedudukan Maryam?” Rasulullah s.a.w. menjawab,

       “Dia adalah penghulu wanita di zamannya.”

       Sebelum Syahr Banu di tawan oleh tentera Islam, dia tinggal di sebuah istana Qisra milik bapanya iaitu Raja Yazdajird bin Syah Riar, raja terakhir kekuasaan Qisra. Suatu malam Syah Banu telah bermimpi berjumpa dengan Rasulullah s.a.w.. Baginda memasuki istana Syahr Banu bersama cucunda Baginda iaitu Saidina Husain. Kemudian dalam mimpi tersebut Rasulullah s.a.w. berhasrat untuk menikahkan cucunda Raja Syah Riar dengan cucunda Baginda, Saidina Husain. Ketika terjaga dari tidur Syahr Banu agak kehairanan dan sering terbayang wajah bakal suaminya yang bercahaya serta masih belum dikenalinya itu.

       Pada malam berikutnya, sekali lagi puteri Raja Yazdajird telah bermimpi. Kali ini dia telah bertemu dengan Fatimah az-zahra’. Dalam mimpi tersebut dia telah memeluk Islam dan mengucapkan dua kalimah Syahadah di depan puteri Rasulullah s.a.w.. Fatimah az-Zahra’ menghampiri Syahr Banu lalu berkata,

       Tidak lama lagi tentera Islam akan mengalahkan tahta kerajaan Qisra dan anda akan dijadikan tawanan. Ketika itulah anda akan dapat berjumpa dengan Saidina Husain. Memang Allah s.w.t. tidak mahu seseorang berkahwin dengan anda kecuali anda dikhususkan hanya untuk anakku”

       Setelah Syahr Banu menanti dengan sabar, akhirnya, mimpi puteri Raja Yazdajird menjadi kenyataan. Dia yang dikenali di Farsi sebagai penghulu wanita dunia telah pun dinikahkan dengan penghulu para pemuda di syurga. Tidak lama setelah bernikah dengan Saidina Husain akhirnya, Syahr Banu telah mengandung anak sulung. Keluarga Saidina Husain sangat gembira dan apabila saat kelahiran tiba, Syahr Banu telah melahirkan seorang bayi lelaki yang comel. Namun, Syahr Banu telah meninggal dunia setelah melahirkan anak sulungnya. Saidina Husain menerima takdir Ilahi ini dengan penuh sabar dan mendoakan semoga jasad isterinya dicucuri rahmat.

       Saidina Husain membersihkan bayi yang baru lahir, lalu mengazankan di telinga kanan dan mengiqamatkan di telinga kiri. Beliau menamakan bayi yang penuh berkat itu dengan nama Ali sempena mengambil berkat nama bapanya yang terkenal dengan keberanian dan keilmuan yang tinggi.

       Pada hari ketujuh keluarga Saidina Husain telah menjemput penduduk Madinah al-Munawwarah datang ke rumah kerana majlis akikah diadakan. Saidina Husain juga telah mencukur rambut Imam Ali Zainal Abidin dan mengeluarkan sedekah seberat timbangan rambutnya untuk disedekahkan kepada fakir miskin.

       Nama sebenar beliau ialah Imam Ali Zainal Abidin bin Saidina Husain Bin Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib bin Abdul Muthalib bin Hasyim bin Abdul Manaf bin Qushai bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Lu’i bin Ghalib bin Fahr bin Malik bin Nadar bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilias bin Mudhar bin Nizar bin Ma’ad bin Adnan bin ‘Add bin Humaisi’ bin Salamam bin Auz bin Buz bin Qamwal bin Ubai bin ‘Awwam bin Nasyid bin Haza bin Bildas bin Yadlaf bin Tabikh bin Jahim bin Nahisy bin Makhi bin Aid bin ‘Abqar bin ‘Ubaid bin Ad-Da’a bin Hamdan bin Sanbir bin Yathrabi bin Yahzin bin Yalhan bin Ar’awi bin Aid bin Desyan bin Aisar bin Afnad bin Aiham bin Muksar bin Nahits bin Zarih bin Sami bin Wazzi bin ‘Adwa bin Aram bin Haidir bin Nabi Ismail a.s. bin Nabi Ibrahim a.s. bin Azar bin Nahur bin Saru’ bin Ra’u bin Falikh bin Abir bin Syalikh bin Arfakhsyad bin Sam bin Nabi Nuh a.s. bin Lamik bin Matul Syalakh bin Nabi Idris a.s. bin Yarid bin Mahlail bin Qinan bin Anwas bin Syits bin Nabi Adam a.s..

       Imam Ali Zainal Abidin membesar di bawah naungan ilmu bapanya yang memang terkenal kerana kepahlawanan dan keilmuan yang tinggi. Banyak hadis yang meriwayatkan tentang kemulian yang dimiliki olehnya. Antara hadis Nabi yang muktabar adalah seperti Saidina Husain meriwayatkan,

       “Saya masuk menemui datuk saya Rasulullah s.a.w.. Kemudian Baginda mendudukkanku di atas pahanya dan bersabda, “Sesungguhnya Allah s.w.t. akan memilih dari sulbimu wahai Husain, sembilan orang Imam (pemimpin), yang kesembilan dari mereka akan menjadi al-Qaim (penegak) dan kesemuanya mempunyai keutamaan serta kedudukan yang sama di sisi Allah s.w.t..”

       Ibnu Abbas meriwayatkan,

       “Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda,

       “Daku, Ali, Hasan, Husain dan sembilan orang dari keturunan Husain adalah manusia yang disucikan dan ma’shum (terhindar dari dosa).”

       Abdullah bin Ja’far athThaiyar meriwayatkan,

       “Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda,

       “Sesungguhnya daku lebih berhak ke atas diri kaum muslimin daripada diri mereka, kemudian saudaraku Ali lebih berhak ke atas kaum Mukminin daripada diri mereka sendiri. Kemudian cucundaku Husain lebih berhak ke atas diri kaum Mukminin daripada diri mereka sendiri. Apabila dia meninggal maka anaknya, Ali (Zainal Abidin) lebih berhak ke atas diri kaum Mukminin daripada diri mereka sendiri…… dan seterusnya.”


KISAH KEPALA SAIDINA HUSAIN


       Ketika bapa Imam Ali Zainal Abidin iaitu Saidina Husain syahid di Karbala akibat kekejaman Yazid bin Muawiyah, beliau menyaksikan sendiri bagaimana keluarga Ahlul-Bait telah dizalimi dan dibunuh dengan begitu kejam sekali. Pada petang 10 haribulan Muharam tahun 61 Hijrah, kepala Saidina Husain telah dipenggal Syimr. Umar bin Saad selaku komandan pasukan Kuffah memerintahkan supaya kepala beliau segera dibawa ke Kuffah untuk diserahkan kepada Ubaidillah bin Ziyad. Seorang petugas yang bernama Kauli al-Ushbuhi diperintahkan untuk membawa kepala Saidina Husain. Ketika dia sampai di kediaman Ubaidillah bin Ziyad ternyata pintu istana sudah tertutup rapat. Kemudian kepala cucunda Rasulullah s.a.w. dibawa ke rumahnya untuk disimpan semalaman. Baru sahaja dia sampai di pintu rumah, perasaan gembira menjelma dijiwanya lalu memanggil isterinya supaya segera dibukakan pintu.

       “Bukalah pintu, aku pulang membawa buah tangan kekayaan besar. Lihatlah ini.” Ucap Khauli al-Ushbuhi kegembiraan. Dia ingin menerangkan kepada isterinya bahawa buah tangan yang dibawa pasti akan menghasilkan upah yang tinggi dan kedudukan yang akan diterima dari Ubaidillah bin Ziyad atau Yazid bin Muawiyah.

       Isteri Khauli al-Ushbuhi yang melihat suaminya pulang dengan membawa kepala manusia merasa sangat terkejut. Setelah diberitahu bahawa kepala tersebut adalah kepala cucunda Rasulullah s.a.w., isteri Khauli memprotes dan memarahi suaminya dengan berkata,

     “Orang lain pulang membawa emas dan perak, tetapi abang pulang membawa kepala putera Fatimah az-Zahra’. Alangkah jahatnya perbuatan abang. Demi Allah, mulai hari ini aku tidak sudi bersamamu lagi.” Kemudian isteri Khauli terus lari meninggalkannya dan pulang ke rumah orang tuanya. Khauli tidak menyangka sama sekali bahawa isterinya akan bertindak sejauh itu. Keesokan hari, pagi-pagi lagi Khauli sudah menuju ke kediaman Ubaidillah bin Ziyad untuk menyerahkan kepala Saidina Husain. Kedatangannya disambut pengawal dan sebagai orang yang baru pulang dari medan perang dia diberi penghormatan untuk berjumpa terus dengan penguasa tertinggi di daerah Kuffah. Ketika itu Ubaidillah sedang duduk di atas singgahsananya, lalu kepala Saidina Husain diletakkan di depan kaki Ubaidillah bin Ziyad. Dengan perasaan gembira Ubaidillah mengambil tongkatnya lalu mencungkil-cungkil bibir Saidina Husain yang masih berlumuran darah kering.

       Zaid bin Arqam, salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w. yang duduk berhampiran Ubaidillah melihat perbuatan yang keji itu tidak dapat menahan perasaan. Dia bangkit dari tempat duduknya dan menjerit,

       “Angkat tongkatmu dari bibir suci itu! Demi Allah! Aku sering melihat sendiri Rasulullah s.a.w. sering mencium bibir yang engkau permainkan itu.” Kemudian tanpa menghiraukan orang lain Zaid bin Arqam menangis tersedu-sedu. Ubaidillah menjadi marah lalu memandang Zaid bin Arqam seraya berkata,

       “Apa katamu? Jika engkau bukan seorang yang sudah tua bangka, sudah tentu aku akan penggal lehermu.”

       Ketika Umar bin Saad bersama pasukannya membawa kepala Saidina Husain untuk diserahkan kepada Yazid dan ketika mereka berehat seketika dipertengahan jalan, kepala Saidina Husain telah diletakkan di hujung tombak dan didirikan di atas Padang Pasir. Seorang Pendeta Nasrani yang tinggal dalam pertapaannya terkejut apabila melihat sebuah kepala terpacak di atas tombak. Lalu dia menghampiri rombongan Umar bin Saad dan setelah mengetahui bahawa kepala tersebut adalah kepala Saidina Husain anak Fatimah az-Zahra’, dia menjadi marah dan berkata,

       “Alangkah kejinya perbuatan kamu semua.” Kemudian Pendeta tersebut meminta supaya kepala tersebut disemayamkan semalaman di tempat pertapaannya.

       “Aku bersedia membayar 10,000 Dinar.” Kata Pendeta tersebut. Permintaan tersebut diterima baik Umar bin Saad dan rombongannya. Kemudian kepala Saidina Husain segera dibawa ke tempat pertapaannya. Tidak lama kemudian kepala tersebut disuci sebersih-bersih dan diberi wangi-wangian. Pendeta Nasrani memangku kepala Saidina Husain semalaman sambil menangis. Tiba-tiba dia terkejut kerana di pertengahan malam kepala Saidina Husain memancarkan cahaya yang terang benderang menuju ke langit. Keesokan hari dia menyatakan memeluk Agama Islam dan meninggalkan tempat pertapaan dan sehingga akhir hidupnya dia membantu dan mencintai Ahlul-Bait Rasulullah s.a.w..
MENJADI TAWANAN

       Ketika Imam Ali Zainal Abidin berusia sekitar 23 tahun, beliau telah menyertai rombongan Saidina Husain menuju ke Kuffah kerana menyahut panggilan warga Kuffah yang berhasrat untuk menyokongnya. Ketika rombongan Saidina Husain sampai di Karbala, Imam Ali Zainal Abidin telah menyaksikan pencabulan yang dilakukan oleh tentera Yazid. Beliau terlepas dari dibunuh kerana waktu itu beliau jatuh sakit. Ibu saudara beliau yang bernama Zainab telah bermati-matian mempertahankan Imam Ali Zainal Abidin. Beliau juga nyaris-nyaris dibunuh dan dibakar. Dalam keadaan yang sangat dahaga dan tubuh yang longlai, beliau menyaksikan bapa dan kaum kerabatnya dibunuh satu persatu.

       Pada 11 Muharam tahun 61 Hijrah, Imam Ali Zainal Abidin bersama tawanan para wanita yang tidak diberi minum diikat dengan sebuah rantai yang panjang. Dengan arahan yang kasar mereka diperintahkan berjalan mengharungi Padang Pasir yang gersang menuju Kuffah dengan dikawal rapi.

       Ketika rombongan mereka yang berpakaian serba tidak terurus semakin menghampiri Kota Kuffah, semakin ramai penduduk yang datang untuk menyaksikan rombongan yang agak aneh itu. Setibanya di pintu gerbang Kuffah, kelihatan berderet-deret kaum wanita berdiri di sepanjang jalan untuk menyaksikan satu rombongan yang sangat memilukan perasaan. Pada mulanya mereka tidak mengetahui bahawa rombongan yang ditawan tersebut adalah para wanita dan anak-anak keluarga Saidina Husain. Tiba-tiba datang seorang wanita tua bertanyakan orang ramai siapakah mereka itu yang kelihatan sangat memilukan. Ketika mengetahui bahawa mereka itu adalah keluarga Saidina Husain, cucunda Rasulullah s.a.w. dia merasa amat terkejut lalu berlari pulang ke rumah untuk mengambil beberapa pakaian. Dia tidak sampai hati melihat keluarga yang mulia itu ditawan dalam keadaan pakaian yang kusut masai dan compang-camping tanpa bertudung kepala. Tanpa memperdulikan pasukan pengawal, wanita tua tadi mendekati rombongan Imam Ali Zainal Abidin lalu membahagikan pakaian yang dibawa.

       Zainab dan para tawanan wanita yang semenjak meninggalkan Karbala berjalan menundukkan kepala sambil menerima pakaian wanita tua tadi dengan hati yang terharu. Bagi Imam Ali Zainal Abidin, Kota Kuffah merupakan kenangan pahit yang sangat mengguris hati. Luka parah di hati beliau masih belum terubat akibat kehilangan seorang bapa saudara iaitu Saidina Hasan bin Saidina Ali k.wh.. Beliau masih teringat ketika bapa saudara beliau dibaiat menjadi khalifah yang tinggal di istana sebagai pusat pemerintahan. Tetapi malangnya istana tersebut kini sudah didiami seorang penguasa daerah yang telah melakukan kezaliman terhadap dirinya, terhadap ibu saudara dan kesemua kaum kerabat Saidina Husain.

       Imam Ali Zainal Abidin yang masih kelihatan lemah dan dahaga yang amat sangat masih mampu berdepan dengan penduduk Kuffah. Tanpa memperdulikan pasukan pengawal dengan suara lantang beliau berseru,

       “Wahai penduduk Kuffah! Jika antara anda semua ada yang mengenaliku, pasti anda mengetahui siapakah diriku. Tetapi bagi mereka yang tidak mengenaliku, izinkan saya memperkenalkan diri. Saya adalah Ali Zainal Abidin putera Saidina Husain bin Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib. Saya adalah putera seorang yang anda semua telah cemarkan kemuliaannya. Kemudian anda semua tawan anak, saudara-saudara dan ahli keluarganya yang terdiri dari kaum wanita serta kanak-kanak kecil. Saya adalah putera kepada seorang yang telah anda semua penggal lehernya di Karbala, manakala kepala beliau anda jadikan tontonan dan permainan.”

       “Wahai penduduk Kuffah! Demi Allah, anda tentu tahu bahawa anda sendirilah yang telah menulis surat kepada ayahku meminta kedatangannya. Tetapi akhirnya, anda yang menipunya. Anda telah bersumpah dan berjanji akan melindunginya. Tetapi apakah kenyataannya sekarang? Malahan anda sendiri yang mengkhianati dan membunuhnya. Alangkah celaka perbuatan yang telah anda lakukan. Ingatlah di hari akhirat kelak. Anda pasti akan berhadapan dengan Allah s.w.t. dan RasulNya. Baginda pasti bertanya kepada anda mengenai anak cucunda Baginda yang telah anda bunuh, tentang kemuliaan mereka yang anda remehkan dan perbuatan anda yang melampaui batas.”

       Orang ramai yang mendengar ucapan dari lidah Imam Ali Zainal Abidin terpukau dan tersentuh sanubarinya. Tiada seorang pun berani membangkang. Semuanya diam tunduk. Bahkan beberapa orang wanita ada yang sebak mengalirkan air mata.

       Kini tibalah Imam Ali Zainal Abidin di hadapkan ke pangkuan Ubaidillah bin Ziyad, penguasa Kuffah. Bukan main hairan dia melihat seorang jejaka yang berpakaian compang-camping masih hidup. Ketika diberitahu jejaka tersebut bernama Ali Zainal Abidin bin Saidina Husain, dia menjadi semakin marah. Perasaan dengki dan dendamnya kepada Saidina Husain masih membara. Tanpa berfikir panjang dia memerintahkan pengawalnya supaya melenyapkan riwayat Imam Ali Zainal Abidin.

       Mendengar perintah bunuh Ubaidillah bin Ziyad itu, Zainab yang berada di samping anak saudaranya terus memeluk Imam Ali Zainal Abidin seerat yang mungkin sambil berteriak,

        “Wahai Ibnu Ziyad! Belum cukup banyakkah darah yang telah engkau tumpahkan? Tidakkah engkau dapat meninggalkan walaupun seorang yang sedang sakit ini? Jika engkau ingin membunuhnya, bunuhlah kami semua bersama dia.”

       Ubaidillah terpegun melihat keberanian ibu saudara Imam Ali Zainal Abidin yang bertekad untuk mati bersama anak saudaranya. Dia terpaksa berfikir sejenak untuk membatalkan niatnya. Kerana dia tahu dia akan merasa sangat tercemar namanya bila bertindak membunuh seorang wanita. Dia berhenti berfikir dan kemudian tanpa memandang wanita yang sedang memeluk anak saudaranya dia berkata,

       “Apa boleh buat, biarlah dia pergi bersama anggota wanita tersebut.”

       Akhirnya, terhindarlah Imam Ali Zainal Abidin dari maut berkat kegigihan ibu saudaranya. Sebelum para tawanan dihantar ke Damsyiq, Ubaidillah mengarahkan supaya kepala para syuhada yang gugur di Karbala diletakkan di hujung tombak lalu diarak mengelilingi Kota Kuffah.

       Ketika para tawanan dihadapkan di depan Yazid bin Muawiyah, penguasa Kota Damsyiq, Imam Ali Zainal Abidin yang tangannya dibelenggu tidak dapat menahan perasaan lalu memberanikan diri dan berkata,

       “Tidakkah anda dapat bayangkan, bagaimana jika Rasulullah s.a.w. melihat kami dalam keadaan sebegini?” Nampaknya ucapan Imam Ali Zainal Abidin yang ringkas itu menyentuh perasaan Yazid. Lalu dia pun memerintahkan para pengawalnya menanggalkan belenggu yang mengikat tangan Imam Ali Zainal Abidin dan semua anggota rombongan.

       Setelah itu para pengawal yang membawa tawanan dari Kota Kuffah mempersembahkan beberapa kepala yang gugur di Padang Karbala. Manakala kepala Saidina Husain sengaja diletakkan di depan Yazid tepat di depan hujung kakinya. Melihat kepala Saidina Husain yang dipenuhi debu dan berlumuran darah yang kering itu, Zainab tidak dapat mengawal perasaan lalu berteriak,

       “Wahai Husin, kekasih Rasulullah s.a.w., putera terbaik Makkah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawwarah. Putera Fatimah az-Zahra’.” Kemudian disusuli pula suara tangisan yang sangat memilukan semua orang, sehingga ada pula antara mereka yang tidak dapat menahan air mata. Setelah keadaan kembali reda, Yazid pun berkata kepada Imam Ali Zainal Abidin,

       “Wahai putera Husain, ketahuilah ayahmu telah memutuskan hubungan kekeluargaan denganku. Dia menentang kekuasaanku. Sekarang lihatlah apa yang Allah s.w.t. telah lakukan terhadap dirinya?” Imam Ali Zainal Abidin mendengar ucapan Yazid sambil menunduk. Beliau tidak sanggup melihat kepala ayahnya dihina sedemikian rupa. Dengan memusatkan seluruh fikiran dan perasaan, Imam Ali Zainal Abidin tiba-tiba menatap muka Yazid sambil mengungkapkan dua ayat suci Al-Quran:

       “Tiada musibah apa pun yang menimpa di bumi dan tiada musibah yang menimpa dirimu, kecuali yang sudah tertulis di dalam kitab Allah s.w.t. (Luh Mahfuz) sebelum Allah s.w.t. menciptakannya. Hal yang sedemikian itu sungguh mudah bagi Allah s.w.t..”

       “Hal itu kami jelaskan agar anda semua tidak berduka cita terhadap apa yang luput dari anda semua (iaitu apa yang tidak dapat anda perolehi) dan supaya anda semua jangan terlalu gembira dengan apa yang Allah s.w.t. berikan kepada anda semua. Allah s.w.t. tidak menyukai orang yang sombong dan membangga diri.”[1]

       “Wahai anak Muawiyah! Tahukah engkau bahawa dalam peperangan Badar, Uhud dan perang Ahzab bendera Rasulullah s.a.w. berada dalam genggaman datukku, Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib. Beliaulah yang membawa bendera Rasulullah s.a.w. sambil melawan Kaum Musyrikin. Sedangkan ayahmu, Muawiyah dan datukmu, Abu Sufian kedua-duanya membawa bendera Kaum Musyrikin.” Apa yang dikatakan Imam Ali Zainal Abidin memang merupakan fakta sejarah yang tidak dapat disangkal. Ucapan tersebut mengenai lubuk hati orang yang mendengarnya termasuk Yazid. Kerana itu dia terpaku diam. Tidak seorang pun yang dapat menemukan kata-kata untuk menjawab ungkapan beliau, apatah lagi membantah. Imam Ali Zainal Abidin meneruskan,

       “Oleh itu jika engkau menyedari perbuatanmu terhadap ayahku, terhadap saudara-saudaraku dan semua anggota keluargaku, seharusnya engkau merasa takut menghadap di hari pembalasan kelak.” Kata-kata Imam Ali Zainal Abidin menusuk jiwa Yazid. Dia merasa malu terhadap agamanya dan lebih malu lagi terhadap Allah s.w.t. Yang Maha Esa. Akhirnya, dia mengarahkan supaya rombongan Imam Ali Zainal Abidin dihantar pulang ke Madinah al-Munawwarah.”

PERJALANAN PULANG KE MADINAH AL-MUNAWWARAH

       Jiwa Imam Ali Zainal Abidin dan rombongannya agak terhibur bila menyaksikan penduduk Damsyiq berduyun-duyun untuk mengalukan dan mengucapkan selamat tinggal kepada rombongan keluarga Rasulullah s.a.w. itu. Ketika rombongan Imam Ali Zainal Abidin sampai di satu tempat kawasan perkebunan anggur dan gandum, mereka berasa agak gembira kerana kawasan tersebut dikelilingi dengan tumbuh-tumbuhan hijau sejauh mata memandang. Kelihatan juga para petani sedang sibuk bercucuk tanam. Ketika mereka dimaklumkan bahawa rombongan Ali Zainal Abidin lalu di kawasan tersebut, mereka berlari berduyun-duyun meninggalkan kerja masing-masing. Kesemua mereka menghampiri barisan unta, kuda dan keldai untuk mengambil kesempatan yang hanya sekali seumur hidup itu untuk melihat wajah keluarga Rasulullah s.a.w. sambil mengucapkan selamat jalan.

       Akhirnya, setelah mengharungi pelbagai rintangan seperti merentasi gurun Padang Pasir yang hanya ditemani kepanasan terik matahari di siang hari dan kedinginan embun di malam hari, rombongan keluarga Rasulullah s.a.w. pun sampai di Madinah al-Munawwarah. Semenjak berada di Kota Madinah al-Munawwarah dari perjalanan jauh yang begitu memenatkan dan hati yang telah luka, Imam Ali Zainal Abidin lebih suka menyendiri dan memusatkan hidupnya untuk beribadah serta mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. sehingga seluruh anggota keluarga dan pengikut setia Ahlul-Bait Rasulullah s.a.w. merasa khuatir akan kesihatan dan keselamatannya. Mereka melihat betapa beliau seakan-akan melumatkan dirinya dalam solat sehingga kulit dahi beliau menjadi kasar kehitam-hitaman kerana terlalu lama dalam sujud. Manakala kedua belah kakinya menjadi bengkak lantaran terlalu lama berdiri. Oleh sebab itulah beliau mendapat gelaran ‘As-Sajjad’ yang bermaksud yang sangat banyak sujudnya.

       Anak Imam Ali Zainal Abidin yang bernama Imam Muhammad Baqir berkata,

       “Setiap kali beliau teringat atau menyebut sesuatu nikmat Allah s.w.t. beliau akan bersujud syukur. Setiap kali beliau membaca ayat-ayat Al-Quran yang di dalamnya ada sebutan tentang sujud beliau pun bersujud. Setiap kali beliau menyelesaikan solat fardu beliau pasti akan bersujud. Setiap kali beliau berjaya mendamaikan antara dua orang beliau juga akan bersujud. Sebab itulah beliau digelar as-Sajjad. Ketika beliau berdiri dalam solat sebagaimana layaknya seorang hamba yang hina di depan raja yang agung, badan beliau menggigil kerana takut kepada Allah s.w.t.. Manakala sikap beliau dalam solat ibarat sikap solat orang yang menghadapi akhir hayatnya seolah-olah tidak berkesempatan untuk bersolat lagi untuk selama-lamanya.

       Ketika Imam Ali Zainal Abidin mengambil wuduk, wajah beliau akan berubah menjadi pucat. Ketika ditanya mengapa begitu, beliau menjawab,

       “Tidakkah anda tahu siapakah gerangannya yang saya hadap?”

       Beliau biasa mengerjakan solat sunat sebanyak seribu rakaat dalam sehari semalam dan beliau juga tidak pernah meninggalkan solat tahajud di setiap malam, baik ketika berada di rumah mahupun sedang dalam perjalanan jauh.

       Suatu ketika pernah terjadi kebakaran di rumah Imam Ali Zainal Abidin. Ketika itu beliau sedang sujud dalam solat. Orang ramai memanggil-manggil beliau,

       “Wahai putera Rasulullah, api sedang menyemarak membakar rumah anda.” Namun, beliau tetap sujud sehinggalah kebakaran berjaya dipadamkan. Setelah itu apabila ditanya kenapa dia tidak menghiraukan panggilan orang ramai, beliau menjawab,

       “Api yang lebih panas (api neraka) lebih saya takut.”

       Imam Ali Zainal Abidin adalah pewaris kedudukan ayahanda beliau iaitu Saidina Husain bin Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib. Beliau adalah tokoh Ahlul-Bait yang terkemuka dan ahli fatwa di Madinah al-Munawwarah. Di zaman generasi para tabiin, cahaya Ahlul-Bait kembali bersinar setelah sebelumnya ditutup penguasa yang zalim. Perubahan ini disebabkan terjadinya tragedi pembunuhan Saidina Husain bin Saidina Ali k.wh. di Karbala yang telah membuka pekong musuh keluarga Rasulullah s.a.w.. Bencana dahsyat ini telah memaksa kaum muslimin untuk meneliti kembali dan mencari sebab musabab sehingga akhirnya, dapat mengenali akar umbinya. Maka dengan itu bangkitlah para pejuang kebenaran antara kaum muslimin, membela dan memelihara kedudukan mulia Ahlul-Bait. Semenjak itu ramai antara kaum muslimin yang menyatakan diri sebagai pengikut dan pendukung Imam Ali Zainal Abidin.

PEMERINTAHAN BANI UMAYYAH

       Dengan kematian Muawiyah bin Yazid, runtuhlah singgahsana dinasti Abu Sufian. Sebenarnya dia bercita-cita untuk memegang tampuk pemerintahan untuk selama-lamanya. Dia juga mula melantik Yazid sebagai putera mahkota walaupun dia tidak memenuhi pensyaratan dan meskipun mendapat tentangan dari kaum muslimin. Ketika kematian Muawiyah bin Yazid bin Muawiyah bin Abu Sufian, terjadilah kekecohan di kalangan Bani Umayyah dalam menentukan siapa penggantinya. Namun, Marwan bin Hakam dengan kecerdikan dan kelicikannya segera dapat mengalahkan persaingan yang sengit sehingga dapat menduduki singgahsana yang kosong itu. Maka pada tahun 65 Hijrah beralihlah kekuasaan umat ke tangan Dinasti Marwan. Pada tahun 65 Hijrah itu pula timbulah pemberontakan penduduk Kuffah di bawah pimpinan Sulaiman bin Shord al-Khuzhaie. Mereka ini menyebut dirinya sebagai kelompok at-Tawabun iaitu golongan orang yang bertaubat. Kerana dasar perjuangan mereka ialah rasa penyesalan yang mendalam disebabkan mereka tidak ikut serta membela Saidina Husain bin Saidina Ali k.wh. dan membiarkan beliau terbunuh di Karbala. Padahal merekalah yang meminta kedatangan Saidina Husain. Mereka juga mempunyai semboyan,

       “Menebus dosa kerana kematian Saidina Husain dengan membunuh para pembunuh beliau ataupun mati di jalan tersebut.” Mereka telah memasuki Negeri Syam dan melawan pasukan pemerintah sehingga menimbulkan korban yang bukannya sedikit. Akhirnya, sebahagian besar kekuatan mereka dapat dihancurkan pasukan pemerintah yang jumlahnya jauh lima kali lebih ramai.

       Pada tahun 65 Hijrah ini juga Khalifah Marwan bin Hakam meninggal dunia. Dia telah meninggal dunia kerana dibunuh isterinya sendiri iaitu bekas isteri Muawiyah dan ibu kepada Yazid. Dia digantikan Abdul Malik iaitu anaknya dari isteri yang lain.

       Semenjak hari pertama menggantikan ayahnya, Khalifah Abdul Malik bin Marwan mewarisi pula kekacauan dan pemberontakan dalam negeri yang berkecamuk, baik di Kuffah iaitu golongan at-Tawabun mahupun di Makkah Mukarramah di bawah pimpinan Abdullah bin Zubair yang mulai meluaskan pengaruhnya di beberapa kota lain sehingga Iraq dan Mesir. Akhirnya, Khalifah Abdul Malik bin Marwan dapat menumpaskan pemberontak tersebut.

       Imam Ali Zainal Abidin yang terkenal kerana zuhud telah menjauhkan diri dari terlibat dalam kekacauan dan pemberontakan yang bergolak di sekitarnya. Sebab beliau sedar jika beliau campur tangan dalam hal ini pasti akan menjadi korban pertama kekejaman para penguasa, dan hal ini sangat membahayakan kesinambungan kepimpinan rohani Ahlul-Bait. Oleh sebab itulah Imam Ali Zainal Abidin berhasrat untuk tinggal di Kota Madinah al-Munawwarah bersama keluarganya sambil menyampaikan ilmu Ahlul-Bait kepada mereka yang setia kepadanya sahaja. Pernah suatu ketika Mukhtar as-Tsaqafi iaitu pemimpin pemberontak di Kuffah menyatakan sokongan terhadap Imam Ali Zainal Abidin sebagai khalifah dengan mengirimkan sejumlah besar wang kepada beliau sambil menyatakan diri bersiap sedia berbaiat untuk beliau bagi mewakili penduduk Iraq. Tetapi Imam Ali Zainal Abidin menolak tawaran itu dan mengembalikan wang yang dikirimkan. Beberapa tahun kemudian ketika Hajjaj bin Yusuf berjaya menumpaskan gerakan Abdullah bin Zubair di Hijaz serta memperlakukan penduduk dengan segala kekejaman dan penyeksaan yang amat keji. Khalifah Abdul Malik bin Marwan mengirimkan sepucuk surat kepada Hajjaj. Antara lain surat tersebut berisi,

       “Jauhkan dirimu dari lumuran darah Bani Abdul Muthalib kerana aku lihat keluarga Abu Sufian, setelah bergelumang dalamnya tidak lagi mampu bertahan kecuali hanya sebentar sahaja…” Surat tersebut ditutupnya dengan gam lalu dikirimkan kepada Hajjaj dengan pesanan supaya merahsiakannya. Namun, perkara tersebut diketahui secara spiritual oleh Imam Ali Zainal Abidin yang kemudian segera menulis surat kepada Khalifah Abdul Malik yang berbunyi,

       “Bismillahirrahmanirrahim. Daripada Ali bin Husain kepada Abdul Malik bin Marwan. Amma Ba’du. Anda telah menulis surat pada hari ‘ini’ dan bulan ‘ini’ kepada Hajjaj mengenai hak (keamanan) kami, Bani Abdul Muthalib. Semoga Allah s.w.t. memberi balasan sebaik-baiknya kepada anda. Wassalam”

       Surat tersebut dikirimkan pada hari itu juga melalui seorang pembantunya yang menaiki unta dari Kota Madinah al-Munawwarah ke Negeri Syam, tempat tinggal Khalifah Abdul Malik. Ketika Khalifah Abdul Malik menerima dan membaca surat tersebut, dia mendapati tarikh pengirimnya sama seperti dengan tarikh suratnya sendiri yang ditulis kepada Hajjaj. Setelah diselidik ternyata pemergian utusan Imam Ali Zainal Abidin dari Kota Madinah al-Munawwarah bertepatan dengan jam dan hari pemergian utusannya sendiri menuju kediaman Hajjaj. Dia amat terpegun dan menyedari kebenaran serta ketulusan Imam Ali Zainal Abidin. Dia juga mengakui Allah s.w.t. telah mengilhamkan peristiwa itu kepadanya. Lalu Hajjaj pun mengirimkan hadiah, pakaian dan wang untuk Imam Ali Zainal Abidin serta sepucuk surat yang meminta supaya beliau mendoakan kesejahteraannya.

       Suatu hari Kadi Abdul Malik bin Umar sedang duduk bersama Khalifah Abdul Malik bin Marwan di dalam sebuah bangunan di kota Kuffah. Sebentar kemudian serombongan tentera Khalifah Abdul Malik bin Marwan yang ditugaskan menumpas Mus’ab bin Umair di Wilayah Iraq pulang dengan membawa sebuah dulang berisi kepala manusia yang ditutup dengan kain.

       “Wahai Khalifah Abdul Malik, inilah kepala Mus’ab bin Umair yang telah berhasil dibunuh.” Kata mereka sambil membuka kain penutup dulang. Khalifah Abdul Malik bin Marwan melihat kepala musuh politiknya itu dengan rasa terharu. Kadi Abdul Malik bin Umar juga tidak dapat mengelak dari menyaksikan kepala Mus’ab bin Umair yang sudah tidak berbadan itu. Tiba-tiba muka Kadi Abdul Malik bin Umar kelihatan pucat seperti orang ketakutan. Fikirannya melayang pada masa-masa lalu ketika sedang berada di bangunan tersebut bersama para pemimpin Islam yang kini sudah tiada.

       “Mengapa engkau tiba-tiba kelihatan takut dan pucat?” Tanya Khalifah Abdul Malik bin Marwan.

       “Aku mohon perlindungan engkau kepada Allah s.w.t., wahai Khalifah Abdul Malik.” Jawab Kadi Abdul Malik bin Umar dengan bibir gementar.

       “Mengapa engkau bercakap demikian?” Tanya Khalifah Abdul Malik bin Marwan.

       “Wahai Khalifah Abdul Malik, suatu masa dahulu aku pernah berada di dalam bangunan ini dan tempat ini juga bersama Ubaidillah bin Ziyad, tiba-tiba datang orang mempersembahkan kepala Saidina Husain bin Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib ke hadapan Ubaidillah bin Ziyad. Beberapa tahun kemudian aku duduk bersama Mukhtar bin Ubaid ats-Tsaqafi di dalam bangunan ini juga dan di tempat ini juga, dan aku melihat orang membawa kepala Ubaidillah bin Ziyad ke hadapan mata Mukhtar bin Ubaid ats-Tsaqafi. Kemudian setelah beberapa masa berlalu, aku duduk bersama Mus’ab bin Umair di dalam bangunan ini dan di tempat ini dan aku lihat kepala Mukhtar ats-Tsaqafi di depan Mus’ab bin Umair.” Kata Kadi Abdul Malik bin Umar yang masih gerun. Kemudian dengan dipaksa dan nada agak berat, dia berkata pula,

       “Sekarang aku berada bersamamu wahai Khalifah Abdul Malik, di dalam bangunan ini, di tempat ini juga, dan ini adalah kepala Mus’ab bin Umair ada di depanmu.”

       Mendengar itu, tiba-tiba nafas Khalifah Abdul Malik terhenti sebentar dan merasa takut. Dia cepat-cepat keluar dan memerintahkan agar bangunan tersebut segera diruntuhkan. Mungkin dia tidak ingin kepalanya mendapat giliran menjadi bahan hadiah di dalam bangunan tersebut.

       Tidak lama kemudian pada tahun 86 Hijrah Khalifah Abdul Malik bin Marwan telah meninggal dunia. Dia telah digantikan anaknya yang bernama Walid bin Abdul Malik. Dia merasa sangat cemas bila melihat kedudukan Imam Ali Zainal Abidin yang semakin hari semakin dicintai rakyat. Dia khuatir perkara ini merupakan ancaman bagi kekuasaannya. Sehinggalah pada tahun 96 Khalifah Walid bin Abdul Malik telah meninggal dunia dan tampuk pemerintahan telah diambil alih Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik. Dia telah menjadi khalifah selama 3 tahun iaitu dari tahun 96 Hijrah sehingga tahun 99 Hijrah.

ASH-SHAHIFAH AS-SAJJADIAH

       Ketika Imam Ali Zainal Abidin tidak diberi peluang untuk berkhutbah dimimbar masjid kaum muslimin, beliau pun berusaha mencari jalan lain demi menghidupkan semula ajaran Islam yang hampir dilupakan kekejaman penguasa ketika itu. Salah satu antaranya ialah dengan penyebaran ilmu dan menyusun doa munajat. Tujuan beliau ialah untuk mengubati penyakit rohani yang bermaharajalela sekaligus menyingkap hikmah dan etika pengabdian kepada Allah s.w.t. yang terdapat dalam setiap solat, puasa, haji dan sebagainya. Imam Ali Zainal Abidin juga mengajar bagaimana sepatutnya sikap seorang Mukmin dalam keadaan yang terhimpit ketika ujian datang menjelma atau ketika manusia merasa perlu menghampirkan diri kepada Allah s.w.t.. Itulah sebabnya maka doa beliau memiliki tujuan yang jelas. Dalam doa tersebut beliau mengajar kepada masyarakat bagaimana untuk mengagungkan Allah s.w.t., bagaimana untuk membuka pintu taubat, bagaimana berinteraksi secara spiritual dengan Rasulullah s.a.w. dan para wali Allah s.w.t..

       Seterusnya Imam Ali Zainal Abidin juga akan menunjukkan jalan kepada orang yang beriman untuk bergaul secara bijaksana dengan masyarakat. Beliau mengajar bagaimana berbakti kepada orang tua, menerangkan hak-hak orang tua terhadap anaknya, hak anak terhadap orang tua dan hak jiran serta kaum muslimin umumnya. Beliau menjelaskan segala kebaikan yang terdapat dalam pelbagai amal dan perbuatan yang mesti dilakukan seorang Muslim. Warisan doa Imam Ali Zainal Abidin yang abadi itu telah dikumpulkan dan diberi tajuk ‘Ash-Shahifah as-Sajjadiah’.

       Kesimpulannya di zaman Imam Ali Zainal Abidin doa menjadi pemangkin untuk memajukan gerakan pembaharuan Islam yang beliau pimpin. Doa tersebut memiliki kandungan makna ibadah yang luhur sebagai wadah yang beliau gunakan untuk berinteraksi dengan Tuhan Yang Maha Suci dan Maha Tinggi.

SYAHID

       Tidak lama kemudian pada tahun 95 Hijrah, dengan perantaraan Sulaiman bin Abdul Malik, dia telah menghantar seseorang untuk mendekati Imam Ali Zainal Abidin dan kemudian meracun beliau secara rahsia.

       Maka berangkatlah roh beliau yang suci ke hadrat Ilahi pada 12 haribulan Muharam tahun 95 Hijrah di dalam usia 57 tahun. Beliau meninggalkan beberapa orang putera dan puteri. Antaranya Imam Muhammad Baqir dan Zaid bin Ali Zainal Abidin. Beliau telah disemadikan di Baqi’ Madinah al-Munawwarah berhampiran makam bapa saudaranya iaitu Saidina Hasan bin  Saidina Ali K.wh bin Abi Thalib.

       Antara karya peninggalan Imam Ali Zainal Abidin yang masih terpelihara sehingga sekarang ialah ‘Risalah al-Huquq’, sebuah risalah tentang kewajipan dan hak-hak manusia dalam hubungannya dengan tuhan sesama makhluk dan ‘Ash-Shahifah as-Sajjadiah’ yang berisi kumpulan munajat serta doanya yang diajarkan kepada murid dan pengikutnya.






[1]  Surah al-Hadid ayat: 22 – 23.