INFORMASI

MAKLUMAN

Blog ini adalah hak milik Pintu Ilmu Resources (00159443-D) - PUSAT RAWATAN HOMEOPAYHY- yang beralamat di: Pusat Perubatan Holistik dan Alternatif 4932, Traffic Light Tok Jiring, Jalan Kelantan 21060 Kuala Terengganu, Darul Iman. Untuk lokasi klinik sila klik di sini

Pada 08/11/2015 klinik ditutup kerana doktor bertugas outstation. Harap maklum.

TESTIMONIAL TERKINI i

TAJAAN

Selasa, 7 Ogos 2012

BIOGRAFI SAIDINA ALI



Fatimah binti Asad adalah seorang wanita yang sangat mulia dan sentiasa mengabdikan diri kepada Allah s.w.t.. Beliau sering kelihatan bertawaf di Ka’bah sambil berzikir dan bermunajat. Beliau berharap supaya dikurniakan zuriat yang baik dan menjadi pemimpin umat, sebagaimana Allah s.w.t. telah mengurniakan Nabi Ibrahim a.s zuriat yang baik dan menjadikannya pemimpin umat.

       Ketika Fatimah binti Asad sedang sarat mengandung beliau telah menuju ke Ka’bah untuk bermunajat. Sedang beliau asyik bertawaf sambil bermunajat, tiba-tiba perutnya terasa sakit lantaran saat kehamilan hampir tiba. Kemudian Fatimah binti Asad menghampiri Ka’bah lalu berdoa semoga Allah s.w.t. memudahkan kelahiran bayi yang dikandung selama ini.

       Baru sahaja Fatimah binti Asad mengangkat kepala dari sujud, tiba-tiba dinding Ka’bah retak dan terbelah oleh sesuatu kekuatan yang ghaib. Lalu seperti ada suara yang mengarahkan supaya beliau masuk ke dalam Ka’bah dan bahagian dinding tersebut kembali seperti sediakala.

       Abbas bin Abdul Muthalib yang menyaksikan kejadian tersebut merasa sangat kagum lalu memanggil orang ramai dan meminta supaya membuka kunci pintu Ka’bah. Setelah dicuba beberapa kali namun, pintu Ka’bah seolah-olah tidak menerima sesiapa melainkan Fatimah binti Asad sahaja. Berita tentang peristiwa yang menakjubkan tersebut telah tersebar luas di seluruh Makkah al-Mukarramah.

       Fatimah binti Asad telah melahirkan seorang bayi lelaki yang sangat comel dengan mata bayi tersebut masih tertutup dan tubuhnya dalam keadaan sujud merendahkan diri kepada Yang Maha Esa.

       Sebenarnya Fatimah binti Asad tinggal di dalam Ka’bah selama tiga hari dan pada hari keempat, Rasulullah s.a.w datang untuk melihat bayi yang baru dilahirkan. Baginda mendukung bayi tersebut lalu pulang bersama Fatimah binti Asad dan Abu Thalib.

       Bayi yang masih suci ini lahir pada hari Jumaat 13 haribulan Rejab tahun 30, tahun Gajah iaitu sepuluh tahun sebelum Rasulullah s.a.w. diutuskan.

       Walaupun bayi tersebut merupakan putera keempat, namun, ayahnya memandang sebagai kurniaan besar yang dilimpahkan oleh Allah s.w.t.. Kegembiraan Abu Thalib terserlah dari perintah Rasulullah s.a.w. yang menyuruhnya menyegerakan kenduri kesyukuran. Keesokan hari beberapa ekor kambing telah disembelih. Pembesar-pembesar Quraisy telah diundang untuk menjayakan kenduri kesyukuran itu. Pada kesempatan itu Abu Thalib mengumumkan pemberian nama Ali kepada anaknya yang baru lahir. ‘Ali’ bermaksud luhur dan tinggi, manakala Fatimah binti Asad telah menggelarnya ‘Haidar’ yang bermaksud singa. Ianya satu nama yang diambil persamaannya dari nama Asad iaitu nama datuk dari pihak ibunya yang juga bermaksud singa.

       Nama sebenar beliau ialah Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib bin Abdul Muthalib bin Hasyim bin Abdul Manaf bin Qusai bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Lu’i bin Ghalib bin Fahr bin Malik bin An-Nadr bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilias bin Mudar bin Nizar bin Ma’ad bin Adnan bin Add bin Humaisi’ bin Salaman bin Aus bin Buz bin Qamwal bin Ubai bin ‘Awwam bin Nasyid bin Haza bin Bildas bin Yadlaf bin Tabikh bin Jahim bin Nahisy bin Makhi bin Aid bin ‘Abqar bin ‘Ubaid bin Ad-Da’a bin Hamdan bin Sanbir bin Yathrabi bin Yahzin bin Yalhan bin Ar’awi bin Aid bin Disyan bin Aisar bin Afnad bin Aiham bin Muksar bin Nahits bin Zarih bin Sami bin Wazzi bin ‘Adwa bin Aram bin Haidir bin Nabi Ismail a.s. bin Nabi Ibrahim a.s. bin Azar bin Nahur bin Saru’ bin Ra’u bin Falikh bin Abir bin Syalikh bin Arfakhsyad bin Sam bin Nabi Nuh a.s. bin Lamik bin Matusalakh bin Idris bin Yarid bin Mahlail bin Qinan bin Anwas bin Syits bin Nabi Adam a.s..

       Saidina Ali k.wh. membesar di bawah naungan Rasulullah s.a.w.. Beliau pernah diberi julukan ‘Abu Turab’ bermaksud bapa tanah. Pemberian julukan tersebut ada kaitan dengan peristiwa di mana suatu hari Saidina Ali k.wh. ditemui sedang tidur di atas tanah. Rasulullah s.a.w. telah bertemu dan melihat Saidina Ali k.wh. sedang tidur terbaring di atas tanah. Baginda menghampiri Saidina Ali k.wh. dan membersihkan debu yang melekat di badannya. Kemudian Baginda pun bersabda,
  “Duduklah anda wahai Abu Turab.”

MENJADI PEMBANTU RASULULLAH S.A.W

       Ketika Rasulullah s.a.w. menerima perintah Allah s.w.t. supaya melakukan dakwah secara terbuka, Saidina Ali k.wh. turut serta mengambil bahagian sebagai pembantu. Beliau berkata ,
       “Setelah turun ayat ke 214 Surah Asyura iaitu perintah Allah s.w.t. kepada RasulNya supaya memperingati kaum kerabat yang terdekat, Baginda telah memanggilku seraya berkata, “Wahai Ali, Allah s.w.t. telah memerintahkan supaya daku memberi peringatan kepada kaum keluargaku yang terdekat. Daku merasa agak sedih sebab daku tahu jika daku berdakwah kepada mereka untuk melaksanakan perintah itu daku akan mengalami sesuatu yang tidak daku gemari. Oleh itu daku hanya berdiam diri sahaja sehingga datanglah Jibrail dan berkata kepadaku, “Wahai Muhammad, jika engkau tidak melakukan seperti yang diperintahkan kepadamu, Tuhan akan menjatuhkan azab kepadamu.”

       “Oleh itu wahai Ali, siapkanlah makanan. Masaklah peha kambing dan sediakan untuk kita di dalam mangkuk besar. Setelah itu kumpulkan keluarga Bani Muthalib. Mereka hendak daku ajak berbincang dan akan daku sampaikan apa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. kepadaku.”

       Saidina Ali k.wh. meriwayatkan,
       “Semua yang diperintahkan Baginda, saya kerjakan segera. Kemudian keluarga Bani Abdul Muthalib saya panggil supaya hadir. Mereka semua berjumlah 40 orang. Antara mereka terdapat bapa saudara Rasulullah s.a.w. seperti Hamzah, Abbas dan Abu Thalib. Setelah semuanya berkumpul, Rasulullah s.a.w. memanggilku dan memerintahkan supaya makanan segera dihidangkan. Hidangan itu saya sajikan. Rasulullah s.a.w. mengambil sepotong daging lalu diletakkan ke tepi. Baginda mempersilakan mereka menikmati hidangan.”
       “Silakanlah makan, Bismillah.”

       “Mereka semua makan dan minum sekenyang-kenyangnya. Demi Allah, mereka semua makan dan minum sebanyak yang saya hidangkan. Ketika Rasulullah s.a.w. ingin memulakan perbicaraan, Baginda telah didahului oleh Abu Lahab dengan berkata secara sinis kepada para hadirin, “Anda semua benar-benar telah disihir oleh saudara anda sendiri.” Ramai yang terpengaruh dengan ucapan Abu Lahab lalu meninggalkan tempat tersebut.”

       “Keesokan hari saya diperintahkan lagi oleh Rasulullah s.a.w. supaya menyediakan sesuatu seperti semalam. Setelah mereka makan dan minum secukupnya, Rasulullah s.a.w. bersabda kepada mereka, “Wahai Bani Abdul Muthalib, demi Allah, daku tidak pernah mengetahui ada seorang pemuda dari kalangan Orang Arab yang datang kepada kaumnya membawa sesuatu yang lebih mulia daripada yang daku bawa kepada anda semua. Untuk anda semua, daku membawa kebajikan dunia dan akhirat. Allah s.w.t. memerintahkan daku supaya mengajak anda semua ke arah itu. Sekarang, siapakah antara anda semua yang mahu membantuku dan bersedia menjadi saudaraku, penerima wasiatku dan kekhalifahanku?”

       “Semua yang hadir mendiamkan diri. Hanya saya sendiri yang menjawab, “Saya.” Waktu itu saya katakan lagi, “Wahai Rasulullah, sayalah yang akan menjadi pembantu anda.” Baginda mengulangi ucapan tersebut dan saya pun mengulangi kembali kenyataan saya. Kemudian Rasulullah s.a.w. memegang bahu saya seraya berseru kepada semua yang hadir, “Inilah saudaraku, penerima wasiatku dan kekhalifahanku kepada anda semua.” Semua yang hadir berdiri sambil ketawa terbahak-bahak. Mereka berkata hampir serentak kepada Abu Thalib, “Dia (Muhammad) menyuruhmu supaya taat kepada anakmu?”[1]

KARRAMALLAHU WAJHAH

       Semenjak kecil Saidina Ali k.wh. tidak pernah menyembah dan sujud melainkankan kepada Allah s.w.t.. Sebab itulah beliau digelar ‘Karramallahu Wajhah’ iaitu wajah yang telah dimuliakan Allah s.w.t.. Saidina Ali k.wh. juga memiliki empat sifat yang tidak dimiliki oleh sesiapa pun di dunia ini, iaitu:

Pertama, beliau merupakan orang pertama antara orang Arab dan bukan Arab yang bersembahyang bersama Rasulullah s.a.w..

Kedua, pembawa bendera pasukan Rasulullah s.a.w. dalam setiap peperangan.

Ketiga, bersabar bersama Rasulullah s.a.w. ketika orang lain melarikan diri.

Keempat, orang yang mengkafan dan menguburkan jenazah Rasulullah s.a.w..

       Saidina Ali k.wh. diberi gelaran Abu Hasan, Abu Husain, Abu Nurain dan Abu Turab. Beliau juga diberi julukan al-Murtadha, Haidarah dan Amirul Mukminin. Beliau diberi keistimewaan dari gelaran khalifah sehingga dengan sebutan Imam, terutama keluasan ilmu pengetahuan telah dipenuhi olehnya.

ANCAMAN BUNUH

       Ketika orang kafir Quraisy bersiap sedia untuk membunuh Rasulullah s.a.w., penduduk Madinah al-Munawwarah memang telah bersedia menerima kedatangan Baginda. Rasulullah s.a.w. telah meninggalkan Kota Makkah al-Mukarramah secara senyap di tengah kegelapan malam. Baginda bersama Abu Bakar meninggalkan kampung halaman, keluarga tercinta dan sanak saudara.

       Baginda berhijrah seperti yang pernah dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Musa a.s.. Antara orang yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. termasuk puteri kesayangannya, Fatimah az-Zahra’ dan anak bapa saudaranya yang diasuh dari kecil iaitu Saidina Ali k.wh. yang selama ini menjadi pembantu yang dipercayai.

       Saidina Ali k.wh. sengaja ditinggalkan Rasulullah s.a.w. untuk melaksanakan tugas khusus iaitu berbaring di tempat tidur Baginda bagi mengelabui mata orang Quraisy yang sudah bersedia untuk membunuh Rasulullah s.a.w.. Baginda berpesan supaya Saidina Ali k.wh. mengembalikan barang yang dipinjam kepada pemiliknya. Kemudian barulah bersama keluarga Rasulullah s.a.w. untuk segera berhijrah ke Madinah al-Munawwarah.

       Saidina Ali k.wh. membeli seekor unta untuk ditunggangi oleh wanita yang akan berangkat berhijrah. Rombongan hijrah yang menyusul perjalanan Rasulullah s.a.w. terdiri dari keluarga Bani Hasyim yang dipimpin oleh Saidina Ali k.wh.. Dalam rombongan ini termasuklah:

·        Fatimah az-Zahra’ binti Rasulullah s.a.w.;
·        Fatimah binti Asad bin Hasyim (ibu Saidina Ali k.wh.);
·        Fatimah binti Zubair bin Abdul Muthalib; dan
·        Aiman Abu Waqid al-Laitsi.

       Rombongan Saidina Ali k.wh. berangkat dalam keadaan terburu-buru. Abu Waqid berjalan agak cepat memimpin unta yang ditunggangi para wanita agar jangan dikejar orang Quraisy. Melihat keadaan itu Saidina Ali k.wh. mengingatkan Abu Waqid supaya rombongan berjalan perlahan-lahan kerana semua penunggang adalah para wanita.

  Saidina Ali k.wh. yang dilantik sebagai ketua rombongan berangkat dengan penuh semangat yang tinggi. Beliau sentiasa bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan.

       Kaum Quraisy sangat marah bila mengetahui rombongan Saidina Ali k.wh. berangkat menuju ke Madinah al-Munawwarah, lebih-lebih lagi bila rombongan Saidina Ali k.wh. berani meninggalkan Makkah al-Mukarramah secara terang-terangan di siang hari.

       Mereka telah mengutuskan lapan orang anggota pasukan berkuda untuk mengejar rombongan Saidina Ali k.wh.. Pasukan tersebut ditugaskan menangkapnya hidup-hidup atau mati. Lapan orang Quraisy itu berjaya menghampiri rombongan Saidina Ali k.wh. di sebuah tempat yang bernama Dhajnan.

       Setelah Saidina Ali k.wh. mengetahui mereka diekori, beliau segera memerintahkan dua orang lelaki anggota rombongan supaya menjauhkan unta dan menambatnya. Beliau sendiri menghampiri para wanita untuk membantu menurunkan mereka dari atas unta. Seterusnya beliau bergerak ke depan seorang diri menghadapi musuh dengan pedang terhunus.

       Ketika pasukan Quraisy melihat Saidina Ali k.wh. datang menghampiri mereka, salah seorang daripada mereka berteriak dengan lantang,
       “Wahai penipu! Apakah engkau kira engkau dapat menyelamatkan perempuan-perempuan itu? Mari baliklah, engkau sudah tidak berayah lag.” Saidina Ali k.wh. dengan tenang menjawab,
       “Jika saya tidak menuruti katamu?”

       “Mahu tidak mahu engkau mesti balik semula.” Sahut pasukan Quraisy. Lalu mereka berusaha untuk mendekati rombongan wanita, tetapi Saidina Ali k.wh. menghalang usaha mereka.

       Jenah, seorang hamba sahaya milik Harb bin Umayyah cuba menyerang Saidina Ali k.wh. dari atas kuda, namun, belum sempat ayunan pedangnya sampai, hentaman pedang Saidina Ali k.wh. telah mendahului tiba di atas bahunya. Tubuhnya terbelah menjadi dua sehingga pedang Saidina Ali k.wh. terpacak pada punggung kuda. Serangan balas secepat kilat itu sangat menggerunkan teman-teman Jenah. Dengan suara lantang Saidina Ali k.wh. berkata,
       “Lepaskan orang yang hendak pergi berjuang. Saya tidak akan kembali dan saya tidak akan menyembah selain Allah s.w.t. Yang Maha Esa.”

       Pasukan Quraisy berundur ke belakang. Mereka meminta Saidina Ali k.wh. supaya menyarungkan pedangnya kembali. Saidina Ali k.wh. dengan tegas menjawab,
       “Saya ingin pergi menemui sepupu saya, Rasulullah s.a.w.. Siapakah yang ingin saya siat-siat dagingnya dan saya tumpahkan darahnya. Jika berani cubalah hampir kepadaku.” Tanpa memberi jawapan, pasukan Quraisy pun segera meninggalkan tempat tersebut.

       Di Dhajnan, rombongan Saidina Ali k.wh. beristirehat semalaman. Ketika itu tiba pula Ummu Aiman, iaitu ibu Aiman yang mengekori anaknya yang telah pergi terlebih dahulu bersama rombongan Saidina Ali k.wh..

       Keesokan hari rombongan Saidina Ali k.wh. berserta rombongan Ummu Aiman melanjutkan perjalanan. Saidina Ali k.wh. merasa amat rindu sekali untuk bertemu Rasulullah s.a.w.. Waktu itu Baginda bersama Abu Bakar sudah tiba di perkarangan Madinah al-Munawwarah.

       Untuk beberapa waktu Baginda tinggal di Quba. Baginda sedang menanti kedatangan rombongan Saidina Ali k.wh. dengan penuh kesabaran.

       Sepanjang perjalanan itu, Saidina Ali k.wh. tidak menunggang kenderaan sama sekali. Beliau berjalan tanpa memakai kasut mengharungi perjalanan sejauh 450 kilometer sehingga menyebabkan kaki beliau pecah-pecah dan membengkak. Akhirnya, tibalah semua anggota rombongan dengan selamat di Quba. Betapa gembiranya Rasulullah s.a.w. menyambut kedatangan orang yang disayangi. Ketika Baginda melihat Saidina Ali k.wh. tidak berdaya lagi berjalan kerana kakinya bengkak, Baginda merangkul dan memeluknya seraya mengalirkan air mata, sebak kerana sangat terharu. Baginda kemudian meludah di atas tapak tangan, lalu disapukan pada kaki Saidina Ali k.wh. sehingga bengkaknya kembali sembuh.

       Peristiwa yang sangat mengharukan itu berkesan sekali dalam sanubari Rasulullah s.a.w. dan tidak dapat dilupakan buat selama-lamanya, sehingga turunlah wahyu yang memberi penilaian tinggi kepada kaum Muhajirin[2] sebagaimana Allah s.w.t. berfirman:
       “Lalu Tuhan mereka memperkenankan permintaannya, (seraya berkata) Sesungguhnya tidak mensia-siakan (pahala) amalan orang yang beramal antara kamu baik lelaki mahupun perempuan, setengah kamu dari yang lain. Maka orang yang berhijrah dan diusir dari negerinya, lagi disakiti dalam jalanku dan mereka berperang serta terbunuh, sesungguhnya Aku hapuskan segala kesalahannya dan Aku masukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir air sungai di bawahnya sebagai pahala di sisi Allah s.w.t. serta di sisinya pahala yang baik. [3] 

PERNIKAHAN

       Fatimah az-Zahra’ adalah puteri kesayangan Rasulullah s.a.w.. Beliau membesar di bawah didikan Rasulullah s.a.w.. Mentari kecantikan Fatimah az-Zahra’ bersinar di langit risalah kerasulan. Cahaya kemuliaannya terserlah sehingga menyebabkan pasangan mata memandang kepadanya dengan penuh harapan. Para sahabat juga mengetahui kedudukan Fatimah az-Zahra’. Mereka mengakui puteri Rasulullah s.a.w. itu telah mencapai darjat kemuliaan yang tiada tolok bandingannya. Kerana itu, mereka berlumba-lumba untuk melamar puteri kesayangan Rasulullah s.a.w..

       Para sahabat yang agak berusia seperti Abu Bakar, Umar al-Khatab dan lain-lain tidak ketinggalan untuk melamar puteri kesayangan Rasulullah s.a.w.. Namun, Baginda menolak secara halus setelah melihat bahawa puterinya tidak berkenan menerima sesiapa pun daripada mereka. Rasulullah s.a.w. belum memberitahu siapa yang setaraf dengan Fatimah az-Zahra’. Kepada mereka yang melamar Fatimah az-Zahra’, Baginda bersabda,
       “Daku sedang menunggu ketentuan Allah s.w.t. dalam masalah ini.”

       Ketika Abu Bakar datang untuk melamar Fatimah az-Zahra’, Rasulullah s.a.w. bersabda,
       “Wahai Abu Bakar, ketentuan dalam masalah ini belum turun lagi.” Perkataan ini diketahui oleh Umar al-Khatab. Kemudian dia datang sebagaimana yang dilakukan oleh Abu Bakar namun, dia mendapat jawapan yang sama. Mereka berdua kemudian menemui Abdul Rahman bin Auf. Keduanya meminta Abdul Rahman agar melamar Fatimah az-Zahra’.
       “Engkau adalah seorang bangsawan Quraisy yang kaya. Seandainya engkau menemui Rasulullah s.a.w. untuk melamar puteri Baginda tentu Allah s.w.t. akan menambahkan harta dan kemuliaanmu.” saran mereka berdua.

       Maka Abdul Rahman pun pergi menemui Rasulullah s.a.w. lalu berkata,
       “Wahai Rasulullah, nikahkanlah aku dengan Fatimah az-Zahra’.” Rasulullah s.a.w. hanya berdiam diri dan berpaling daripada Abdul Rahman. Melihat hal tersebut, Abdul Rahman pun pulang. Kemudian dia menemui Abu Bakar dan Umar. Kepada mereka berdua Abdul Rahman berkata,
      “Aku pun mengalami apa yang anda berdua alami.”

       Dari peristiwa ini dapat difahami Rasulullah s.a.w. tidak mengharapkan harta benda, melainkan Baginda mengharapkan ilmu dan kemuliaan. Namun, siapakah orang yang sesuai dengan keinginan Baginda? Siapakah orang yang layak menjadi menantu Baginda? Inilah yang difikirkan oleh Abu Bakar dan Umar. Siapakah orang yang mempunyai ketakwaan kepada Allah s.w.t. dan orang yang paling dicintai Baginda? Akhirnya, mereka menemui Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib. Menurut mereka, hanya beliau yang memenuhi dua kriteria tersebut. Abu Bakar dan Umar berkata kepada Saidina Ali k.wh.,

       “Wahai Ali, kami tahu keakraban anda dengan Rasulullah s.a.w. dan anda adalah orang pertama yang solat di belakang Baginda. Seandainya anda menemui Rasulullah s.a.w. untuk melamar Fatimah az-Zahra’, tentu Allah s.w.t. akan menambah keutamaan dan kemuliaanmu.” Tidak lama kemudian Anas bin Malik juga datang dan berkata kepada Saidina Ali k.wh.,
       “Seandainya anda melamar Fatimah az-Zahra’ nescaya anda akan dinikahkan sendiri oleh Baginda.”

       Para sahabat berpendapat hanya Saidina Ali k.wh. sahaja yang layak mendampingi Fatimah az-Zahra’. Mengapakah Saidina Ali k.wh.? Kerana beliau adalah sahabat terdekat Rasulullah s.a.w., orang yang sentiasa beriman dan mengamalkan sunnah, orang yang sering berkorban serta paling ikhlas berbakti kepada Allah s.w.t., Rasul dan agama. Orang yang mempunyai keperibadian seperti ini tidak lain adalah orang yang dikehendaki Al-Quran.

       Tidak lama kemudian Saidina Ali k.wh. menemui Rasulullah s.a.w. yang pada ketika itu sedang berada di rumah Ummu Salamah. Beliau mengetuk pintu rumah Ummu Salamah dan tidak lama kemudian kedengaran suara Ummu Salamah bertanya,
       “Siapa di luar?”

Rasulullah s.a.w. kemudian bersabda,
       “Bangun dan bukalah pintu. Dia adalah orang yang dicintai oleh Allah s.w.t. dan RasulNya serta dia adalah orang yang mencintai Allah s.w.t. dan juga RasulNya.”

       Ummu Salamah meriwayatkan,
       “Aku segera berdiri untuk membuka pintu dan ternyata orang tersebut ialah Saidina Ali k.wh.. Sebelum beliau masuk, aku bersegera masuk ke dalam bilikku. Saidina Ali k.wh. masuk sambil mengucapkan salam. Rasulullah s.a.w. menjawab salamnya dan mempersilakan beliau duduk. Saidina Ali k.wh. duduk di depan Baginda di atas lantai kerana malu untuk menyampaikan maksud kedatangannya.”
       “Wahai Ali, nampaknya anda ingin menyampaikan sesuatu. Sampaikanlah apa yang anda hajatkan. Pasti daku penuhi.” Saidina Ali k.wh. menjawab,

       “Demi ayah dan ibuku sebagai tebusanmu wahai Rasulullah, sesungguhnya anda mengetahui anda telah mengambilku daripada bapa saudara anda, Abu Thalib dan dari Fatimah binti Asad. Ketika itu saya hanyalah seorang kanak-kanak yang masih mentah. Kemudian anda mendidik dan membimbingku melebihi kasih sayang yang diberikan kedua orang tuaku. Allah s.w.t. telah memberi petunjuk kepadaku melalui perantaraanmu. Anda telah menyelamatkanku dari jurang kemusyrikan. Wahai Rasulullah, andalah pujaan dan perantaraanku untuk memperolehi kebahagiaan di dunia mahupun di akhirat. Mudah-mudahan saya memperolehi tempat tinggal dan seorang isteri tempatku berlabuh mencari ketenangan. Saya sengaja datang ke mari untuk melamar puteri kesayanganmu, Fatimah az-Zahra’. Adakah anda bersedia menikahkanku wahai Rasulullah?” Rasulullah s.a.w. menampakkan kegembiraan luar biasa lalu bersabda,
       “Wahai Ali, adakah anda mempunyai sesuatu untuk dijadikan mahar?” Saidina Ali k.wh. menjawab,
       “Demi Allah, tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi darimu mengenai keadaanku. Saya tidak mempunyai apa-apa pun kecuali baju besi, pedang dan cerek air.” Rasulullah s.a.w. bersabda,
       “Wahai Ali, pedang sangat anda perlukan untuk berjihad di jalan Allah s.w.t.. Cerek air sangat berguna untuk keluargamu dan ketika anda bermusafir. Daku akan menikahkan anda dengan mahar baju besimu. Daku rela kepadamu. Daku menyampaikan khabar gembira kepadamu bahawa Allah s.w.t. telah menikahkanmu dengan Fatimah az-Zahra’ di langit sebelum daku menikahkanmu di bumi.”

       Pernikahan Saidina Ali k.wh. dan Fatimah az-Zahra’ dilaksanakan dengan cara yang paling sederhana. Mahar Saidina Ali k.wh. adalah hasil dari baju besi yang dijual dengan harga 480 Dirham. Baginda kemudian membahagi-bahagikan wang tersebut untuk dibelanjakan. 66 Dirham untuk membeli perkakas rumahtangga, 160 Dirham untuk membeli minyak wangi, 160 Dirham untuk membeli pakaian dan 96 Dirham lagi diserahkan kepada Ummu Salamah untuk membeli keperluan lain.

       Rasulullah s.a.w. memerintahkan Bilal untuk membeli minyak wangi manakala untuk membeli dan memilih pakaian ditugaskan kepada Abu Bakar dan Ammar bin Yasir. Dibeli jubah dengan harga 7 Dirham, tudung dengan harga 4 Dirham, baldu hitam buatan khaibar, katil yang dibuat dari daun kurma, dua buah tilam buatan Mesir, bantal yang dibuat dari kulit, langsir nipis yang dibuat dari bulu binatang, penggiling gandum, bekas dari tembaga untuk memcuci pakaian, bekas air kecil, kotak kayu tempat mendinginkan air, besen untuk berwuduk dan tikar dari kulit.[4]

       Pada malam pernikahan mereka berdua, Rasulullah s.a.w memberikan baldu kepada Fatimah az-Zahra’ seraya bersabda kepada puteri kesayangannya,
       “Pakailah,” Fatimah az-Zahra’ pun memakainya. Rasulullah s.a.w. memerintahkan Salman untuk berjalan di depan manakala Baginda sendiri berjalan di belakang Fatimah az-Zahra’. Ketika itu Baginda ditemani Hamzah, Aqil dan beberapa orang daripada Bani Hasyim dengan pedang terhunus. Rasulullah s.a.w. memerintahkan kaum wanita Abdul Muthalib, kaum wanita Muhajirin dan Ansar untuk berjalan menemani Fatimah az-Zahra’. Rasulullah s.a.w. memerintahkan mereka untuk bergembira dengan bernasyid yang memuji kebesaran Ilahi.

       Di bawah pengawasan Rasulullah s.a.w., Saidina Ali k.wh. dan Fatimah az-Zahra’ mula hidup berumahtangga. Mereka saling membantu dalam mengerjakan pekerjaan rumah.

       Kerana miskin, Saidina Ali k.wh. belum mampu mengupah seorang pembantu untuk membantu isteri kesayanganya. Mereka mengharungi setiap malam dengan tidur di atas tilam yang kasar. Mereka tidak pernah tidur nyenyak kerana diseliputi kedinginan malam yang menusuk hingga ke tulang. Rasulullah s.a.w. pernah melihat mereka berdua berada dalam satu selimut yang dipakai untuk menutup kepala, kaki mereka berdua kelihatan, jika kaki mereka berdua ditutup, kepala pula terbuka. Kemudian Baginda menasihatkan mereka dengan bersabda,
       “Jibrail telah mengajarkan kalimah yang harus dibaca setiap selesai solat, iaitu Tasbih, Subhanallah 10 kali, Tahmid, Alhamdulillah 10 kali dan Takbir, Allahuakbar 10 kali. Jika anda hendak tidur, bacalah Tasbih 33 kali, Tahmid 33 kali dan Takbir 33kali”

       Saidina Ali k.wh. berkata,
       “Demi Allah, semenjak saat itu saya tidak pernah lupa untuk selalu membacanya.”
       Allah s.w.t. telah mengurniakan Saidina Ali k.wh. dan Fatimah az-Zahra’ putera dan puteri yang soleh, iaitu Hasan, Husain, Mohsain, Zainab, dan Ummu Kaltsum.

       Hasan, Husain dan Mohsain adalah nama yang diberikan Rasulullah s.a.w.. Nama Zainab dan Ummu Kaltsum adalah nama pemberian Fatimah az-Zahra’. Beliau ingin mengenang kedua kakaknya iaitu Zainab dan Ummu Kaltsum yang telah mengasuhnya sewaktu kecil.

SUCI DARI DOSA

       Saidina Ali k.wh. tergolong salah seorang yang disucikan dari dosa, laksana Harun (pembantu Nabi Musa a.s.), pintu pelbagai ilmu, yang tangannya dalam membela keadilan sama seperti tangan Rasulullah s.a.w., yang kebenaran selalu bersamanya tanpa boleh dipisahkan antara satu sama lain, pemisah kebenaran dari kebatilan umat Islam dan penyambung risalah Rasulullah s.a.w..

       Ketika waktu solat tiba, wajah Saidina Ali k.wh. kelihatan pucat dan badannya akan menggigil. Ketika salah seorang sahabat bertanya kepadanya, beliau menjawab,
       “Telah datang waktu amanat yang dahulunya pernah ditawarkan Allah s.w.t. kepada langit, bumi dan gunung-ganang namun, mereka menolak. Kemudian diterima manusia sekalipun manusia itu lemah.”

       Abu Darda’ berkata,
       “Aku melihat Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib di bawah pokok kurma bersendirian serta bernaung di bawah bayang yang rendang. Aku mengamati dari jauh tanpa pengetahuannya. Dalam hatiku berkata, “Kebenaran berada bersamanya”. Tiba-tiba aku terdengar suaranya yang merdu berdoa, “Tuhanku, betapa banyak ujian dan cabaran yang telah Engkau berikan untukku dan betapa banyak pula anugerah yang Engkau muliakan aku melalui kemulianMu. Tuhanku, apabila kemaksiatanku begitu banyak dalam umurku dan dosa-dosaku bertambah dalam lembaran catatanMu, maka tiada lain yangku inginkan kecuali keredaanmu.” Suara itu begitu memukau. Aku cuba mencari sumber suara tersebut dan ternyata orang yang mengucapkannya adalah Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib. Aku segera bersembunyi. Kemudian aku lihat dia solat beberapa rakaat di tengah malam yang gelap-gelita yang diiringi dengan esak dan tangis, permohonan dan pengaduan. Antara munajat yang dipanjatkan kepada Allah s.w.t. adalah, “Tuhanku, aku selalu memikirkan ampunanMu sehingga terasa ringannya dosa-dosaku, dan ketika aku mengingati betapa besar nikmat yang Engkau berikan padaku. Tuhanku, jika aku membaca dalam lembaran hidupku dosa-dosa yang telah aku lakukan kerana kealpaanku, sedangkan Engkau tetap akan mengiranya dan berfirman:

       “Seksalah dia, maka memang ianya satu azab yang tak mungkin seorang dapat diselamatkan oleh keluarganya, tidak berguna pula pertolongan para kabilahnya dan tidak pula kasih sayang dari kelompoknya. Tuhanku, lindungilah aku dari api neraka yang membakar jantung dan seluruh tubuh. Tuhanku, lindungilah aku dari api neraka yang menjilat serta membakar….”

       Abu Dara’ seterusnya berkata,
       “Sesudah itu Saidina Ali k.wh. menangis sehingga tidak bergerak dan bersuara. Aku menyangka dia tertidur kerana beribadah sehingga larut malam. Akhirnya, aku mendekatinya. Badannya sudah longlai. Aku cuba membangunkannya namun, dia tetap tidak bergerak lalu aku mengucapkan ‘Innalillah Wainna Ilaihi Rajiun’. Demi Allah, Ali bin Abi Thalib telah meninggal dunia dan aku pun bergegas ke rumah untuk memberitahu keluarganya. Ketika aku tiba di rumah Fatimah az-Zahra’ beliau berkata, “Wahai Abu Darda’, sebenarnya dia belum meninggal dunia lagi tetapi hanya pengsan kerana takut kepada Allah s.w.t..” Tidak lama kemudian keluarganya membawa air yang kemudian direnjiskan ke mukanya. Selepas itu Saidina Ali k.wh. sedar lalu menatap diriku yang sedang menangis dan berkata, “Wahai Abu Darda’, mengapa anda menangis?”

       “Saya menangis kerana melihat keadaan anda” Jawab Abu Darda’.
       “Wahai Abu Darda’, bagaimana anda boleh melihat saya berkeadaan begini, sedangkan ketika itu saya dipanggil Tuhan untuk dikira amalan saya. Saya adalah orang yang yakin diriku juga patut diseksa. Saya berdepan dengan malaikat yang bengis lagi menyeramkan. Lalu saya di hadapkan kepada Tuhan Yang Maha Kuasa yang andaikata saya boleh diterima Tuhan Yang Maha Pengasih, walaupun dibenci seluruh penghuni dunia ini, nescaya itu merupakan rahmat yang paling besar, ketika saya berhadapan dengan Zat yang tiada sesuatu pun tersembunyi dariNya.”

       Abu Darda’ berkata,
       “Demi Allah, aku tidak pernah melihat hal seperti itu dimiliki sesiapa pun antara para sahabat Rasulullah s.a.w..”

RUMAHTANGGA BAHAGIA

       Saidina Ali k.wh. bersama Fatimah az-Zahra’ menjalani kehidupan rumahtangga dengan kesederhanaan dan kebahagiaan. Mereka berdua sentiasa riang dan tidak pernah mengalami pertengkaran. Fatimah az-Zahra’ menyedari dirinya tidak hanya sebagai puteri kesayangan Rasulullah s.a.w., tetapi juga isteri seorang pahlawan Islam yang sentiasa sanggup berkorban. Seorang pemegang bendera perjuangan Islam yang murni lagi agung. Fatimah az-Zahra’ mempunyai pendirian dan dirinya mesti dijadikan teladan. Beliau melayan suaminya seperti ibunya Khadijah melayan Rasulullah s.a.w..

       Dua insan sejoli, suami isteri yang mulia dan bahagia itu selalu bekerjasama dan saling bantu membantu dalam menguruskan keperluan rumahtangga. Walaupun Fatimah az-Zahra’ puteri kesayangan Rasulullah s.a.w., namun, beliau menggiling dan menguli tepung dengan tangannya sendiri.

       Rasulullah s.a.w. sendiri sering melihat puterinya menguruskan rumahtangga sehingga peluhnya mengalir. Suatu hari Rasulullah s.a.w. berkunjung ke tempat kediaman Fatimah az-Zahra’. Ketika itu puteri Baginda sedang menguli tepung sambil melinangkan air mata. Baju yang dipakai adalah dari kain kasar. Ketika Rasulullah s.a.w. menyaksikan puteri kesayangannya menangis, Baginda menjadi simpati lalu mata Baginda turut berkaca sebak dan air mata mulai membasahi pipinya. Tidak lama kemudian Baginda menghampiri puteri kesayangannya dan bersabda,
       “Wahai Fatimah, terimalah kepahitan dunia untuk memperolehi kenikmatan di akhirat kelak.”[5]

       Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. bersama beberapa orang para sahabat berada di dalam masjid menunggu kedatangan Bilal bin Rabah yang akan melaungkan azan sebagaimana yang dilakukannya sehari-hari. Ketika Bilal terlambat sampai, Baginda menegur dan bertanya sebabnya. Bilal menjelaskan,
       “Saya baru sahaja pulang dari rumah Fatimah az-Zahra’. Beliau sedang menguli tepung. Manakala Saidina Hasan, puteranya yang masih kecil dibiarkan dalam keadaan menangis. Saya berkata kepadanya, “Manakah yang lebih baik, saya menjaga anakmu atau saya menguli tepung?” Beliau menjawab, “Saya kesian kepada anak saya.” Lalu saya pun menguli tepung sehingga selesai. Sebab itulah saya terlambat.” Mendengar keterangan Bilal, Rasulullah s.a.w. bersabda,
       “Anda mengasihaninya dan Allah s.w.t. akan mengasihanimu.”[6]

PINTU ILMU

       Saidina Ali k.wh. adalah pintu gerbang segala ilmu. Beliau telah memperolehi pelbagai ilmu yang disampaikan Rasulullah s.a.w. semenjak beliau kecil sehinggalah Baginda wafat. Saidina Ali k.wh. sendiri pernah berkata,
       “Rasulullah s.a.w. telah mengajarku seribu bab ilmu dan setiap satu bab terdapat seribu cabang ilmu yang merangkumi ilmu-ilmu terdahulu dan ilmu-ilmu yang akan datang.”

       Ibnu Abbas mengatakan,
       “Demi Allah, Rasulullah s.a.w. telah memberi kepada Saidina Ali k.wh. sembilan sepersepuluh dari semua ilmu yang ada di dunia ini dan demi Allah, Saidina Ali k.wh. masih juga mengetahui sebahagian dari sepersepuluh ilmu bakinya yang ada pada anda semua.”
       Rasulullah s.a.w. juga turut bersabda,
       “Daku adalah kota ilmu dan Ali adalah pintunya. Barangsiapa yang ingin memperolehi ilmu ambillah dari pintunya.”

       “Anda mengungguli orang lain dalam tujuh perkara dan tiada seorang Quraisy pun yang dapat menandingimu,
Pertama, anda adalah orang yang pertama beriman kepada Allah s.w.t..
Kedua, anda adalah orang yang sentiasa menunaikan janji Allah s.w.t..
Ketiga, anda adalah orang yang termampu menegakkan perintah Allah s.w.t..
Keempat, anda adalah orang yang paling adil membahagikan harta perang
Kelima, anda adalah orang yang paling berlaku adil terhadap rakyat.
Keenam, anda adalah orang yang paling tinggi nilai kebaikan sifatnya di sisi Allah s.w.t..
Ketujuh, anda adalah orang yang paling banyak mengetahui semua persoalan.”

UTUSAN DARI ROM

       Suatu ketika utusan dari Rom telah datang ke Madinah al-Munawwarah. Antara mereka terdapat seorang paderi. Dia menuju ke Masjid Nabi sambil membawa pundi yang berisi emas dan perak. Di dalam masjid tersebut ada Khalifah Abu Bakar dan beberapa sahabat dari kaum Ansar dan Muhajirin. Paderi tersebut masuk dan mengucapkan salam lalu berkata,
       “Siapakah antara kalian yang menjadi Khalifah Rasulullah?” Lalu ditunjukkan Khalifah Abu Bakar. Paderi mendekati Khalifah Abu Bakar dan berkata,
       “Wahai Tuan, siapakah namamu?”
       “Atiq” Jawab Khalifah Abu Bakar.
“Selain itu?” Paderi tersebut bertanya.
Khalifah Abu Bakar menjawab,
       “As-Shiddiq.”
Soal Paderi lagi,
       “Lain lagi?”
Khalifah Abu Bakar membalas,
       “Aku tidak mempunyai nama selain dari itu.” Paderi yang agak kecewa berkata,
       “Anda bukan orang yang aku tuju.” Abu Bakar lantas bertanya,
       “Apakah yang anda mahu?” Paderi menjelaskan,
       “Aku datang dari negara Rom. Aku membawa pundi berisi emas dan perak. Aku ingin bertanya kepada Penjaga Umat ini beberapa masalah. Jika dia dapat menjawab, aku akan memeluk Agama Islam dan mentaati perintahnya serta harta yang aku bawa ini akan aku serahkan. Tetapi jika dia tidak mampu menjawabnya, aku akan pulang dan tidak akan memeluk Agama Islam. Khalifah Abu Bakar berkata,
       “Bertanyalah sesuka hatimu.” Paderi berkata,
       “Demi Allah, aku tidak akan berkata sebelum anda menjamin keselamatanku dari kemarahanmu dan penyokongmu.” Khalifah Abu Bakar berkata,
       “Aku menjaminmu, katakanlah apa yang anda inginkan.” Paderi berkata,
       “Beritahulah kepadaku tentang sesuatu yang tidak ada pada Allah s.w.t. dan sesuatu yang tidak Allah s.w.t. ketahui?” Khalifah Abu Bakar terdiam dan tidak mampu menjawab. Kemudian paderi tersebut bingkas untuk keluar. Lalu Khalifah Abu Bakar berkata,
       “Wahai musuh Allah, sekiranya tiada jaminan tadi nescaya aku akan basahi tanah ini dengan darahmu.” Kemudian Salman al-Farisi yang berada di situ, bangun dan terus pergi menemui Saidina Ali k.wh. yang sedang duduk bersama Saidina Hasan dan Saidina Husain di dalam rumah. Salman al-Farisi menceritakan kejadian yang baru terjadi. Tidak lama kemudian Saidina Ali k.wh. bersiap pergi bersama Saidina Hasan dan Saidina Husain sehingga sampai di perkarangan masjid. Ketika orang ramai melihat Saidina Ali k.wh., mereka mengucapkan takbir dan tahmid. Mereka pun menghampiri Saidina Ali k.wh.. Beliau masuk dan duduk. Lalu Khalifah Abu Bakar berkata,
       “Wahai paderi, tanyalah kepadanya. Dialah orang yang engkau cari.” Paderi tersebut menghadap Saidina Ali k.wh. dan berkata,
       “Wahai lelaki, siapakah namamu?” Saidina Ali k.wh. menjawab,
       “Namaku di kalangan orang Yahudi adalah Ilyan dan di kalangan orang Nasrani adalah Iliya. Manakala menurut ayahku namaku adalah Ali dan menurut ibuku pula namaku adalah Haidarah.” Paderi bertanya,
       “Apakah hubunganmu dengan Nabimu?” Saidina Ali k.wh. menjawab,
       “Dia adalah saudara, mertua dan sepupuku.” Paderi berkata,
       “Engkau adalah temanku demi Tuhan Isa. Sila beritahu kepadaku tentang sesuatu yang tidak ada pada Allah s.w.t. dan sesuatu yang tidak Allah s.w.t. ketahui?” Dengan yakin Saidina Ali k.wh. menjawab,
       “Sesungguhnya Allah s.w.t. Maha Esa dan tidak mempunyai anak. Yang tidak ada pada Allah s.w.t.. adalah perbuatan zalim terhadap sesiapa pun. Manakala yang tidak Allah s.w.t. ketahui adalah Allah s.w.t. tidak mengetahui (tidak mempunyai) adanya sekutu bagiNya dan dalam kerajaanNya.” Paderi tersebut bangkit dan memegang kepala Saidina Ali k.wh. lalu mencium dahinya seraya berkata,
       “Aku naik saksi tiada Tuhan selain Allah s.w.t., Muhammad s.a.w. adalah utusan Allah s.w.t. dan andalah Pengganti dan Penjaga umat ini. Anda adalah sumber agama dan hikmah. Aku telah membaca di dalam Taurat namamu adalah Ilyan dan di dalam Injil namamu adalah Iliya. Aku yakin anda adalah pewaris Nabi dan pemimpin umat ini. Anda lebih layak berada di tempat ini dari orang lain. Sila beritahu kepadaku bagaimana keadaanmu dan keadaan kaummu?” Pengganti Umat menjawab pertanyaan tersebut dengan sebuah penjelasan. Lalu paderi tersebut bangkit dan menyerahkan pundi emas dan perak kepada Penjaga Umat. Kemudian dia pulang ke negaranya dalam keadaan beriman kepada Allah s.w.t. dan RasulNya.

SYAHID

       Walaupun Saidina Ali k.wh. terkenal dengan kesatriaannya, namun, ada pihak yang ingin membunuhnya terutama dari golongan Khawarij.

       Suatu ketika sekelompok orang Khawarij berkumpul untuk membincangkan nasib keluarga dan teman mereka yang telah terbunuh dalam peperangan. Mereka berpendapat tanggungjawab atas terjadinya pertumpahan darah selama ini harus dipikul oleh tiga orang iaitu Saidina Ali k.wh., Muawiyah bin Abi Sufian dan Amru bin Ash. Mereka menganggap tiga orang ini adalah pemimpin yang sesat. Salah seorang daripada mereka yang bernama al-Barak bin Abdullah bangun sambil berkata,
       “Aku berjanji akan membunuh Muawiyah bin Abi Sufian.” Kemudian diikuti Amru bin Bakar dengan berkata,
       “Aku berjanji akan membunuh Amru bin Ash.” Dan tidak ketinggalan Abdul Rahman bin Muljam juga berdiri sambil berkata,
       “Aku berjanji akan membunuh Ali bin Abi Thalib.”

       Tiga orang sahabat tersebut bersepakat untuk melaksanakan pembunuhan tersebut dalam satu malam secara serentak. Maka bergegaslah Abdul Rahman bin Muljam meninggalkan Makkah al-Mukarramah menuju ke Kuffah. Setibanya di Kuffah dia singgah di rumah salah seorang kawan lamanya. Di situ dia bertemu dengan seorang gadis bernama Qitham binti al-Akhdar. Muka gadis tersebut sungguh cantik dan menawan. Tiada gadis lain yang dapat menandingi kejelitaannya. Bapa dan abang Qitham adalah pengikut Khawarij yang mati terbunuh dalam peperangan Nehrawan. 

Ketika melihat gadis tersebut, Abdul Rahman bin Muljam sangat terpegun. Dengan berterus terang dia telah melamar gadis tersebut lalu berkata,
      “Apakah maskahwin yang harus aku berikan kepadamu?” Qitham tersenyum lalu berkata,
       “Aku hanya inginkan empat perkara sahaja darimu.”
       “Apakah empat perkara tersebut?” Abdul Rahman menyoal tak sabar.
       “Pertama, wang berjumlah 3,000 Dirham. Kedua, seorang hamba lelaki. Ketiga, seorang hamba perempuan dan keempat, kesanggupanmu untuk membunuh Ali bin Abi Thalib.”

       “Mengenai permintaanmu berupa wang sebanyak 3,000 Dirham, seorang hamba lelaki dan seorang hamba perempuan, aku pasti dapat memenuhinya, tetapi tentang membunuh Ali bin Abi Thalib bagaimana aku boleh melakukannya?” Abdul Rahman bin Muljam mengeluh.
       “Engkau mesti mencari kelemahannya. Jika engkau dapat membunuhnya kita akan dapat bersama dan hidup aman damai” Qitham memberi semangat. Akhirnya, Abdul Rahman bin Muljam bersetuju untuk membunuh Saidina Ali k.wh..

       Abdul Rahman bin Muljam, Amru bin Bakar dan al-Barak bin Abdullah bersepakat untuk membunuh mangsanya di waktu Subuh secara serentak. Amru bin Bakar tidak berkesempatan untuk membunuh mangsanya kerana Amru bin Ash secara kebetulan telah jatuh sakit. Dia tidak keluar bersembahyang Subuh di masjid. Dia telah memerintahkan Kharijah bin Huzafah supaya mengimamkan solat Subuh sebagai penggantinya. Amru bin Bakar menduga bahawa Kharijah itu adalah Amru bin Ash. Kemudian Kharijah ditikam dengan pedang. Ketika itu juga dia meninggal dunia dan Amru bin Bakar telah ditangkap lalu dibunuh.

       Adapun Muawiyah yang menjadi sasaran al-Mubarak bin Abdullah telah ditetak tetapi tidak meninggal dunia kerana tetakannya hanya mengenai punggung sahaja. Al-Barak ditangkap dan di hadapkan kepada Muawiyah. Ketika al-Barak di hadapkan di depan Muawiyah dia berkata,
       “Aku membawa berita baik untukmu.”
       “Berita apakah itu?” Tanya Muawiyah ingin tahu. Al-Barak telah menceritakan apa yang telah dilakukan dua orang kawannya pada serentak waktu Subuh tersebut.

       “Malam itu ketika tiba waktu Subuh…. Ali bin Abi Thalib akan mati dibunuh. Biarlah aku engkau tahan dahulu. Jika benar dia terbunuh, terserahlah apa yang engkau hendak lakukan terhadapku. Tetapi jika dia tidak dibunuh, akulah yang akan membunuhnya. Kemudian aku akan kembali menyerah diri kepadamu. Seterusnya terserahlah hukuman apa yang akan engkau kenakan terhadapku.”

       Akhirnya, al-Barak ditahan dan setelah terdengar berita tentang terbunuhnya Saidina Ali k.wh., al-Barak dibebaskan.

       Allah s.w.t. rupanya menginginkan Saidina Ali k.wh. tercedera pada waktu Subuh 19 haribulan Ramadan, tahun 40 Hijrah. Ketika Saidina Ali k.wh. menuju ke masjid, sesudah mengambil wudhu untuk solat Subuh, Abdul Rahman bin Muljam berpura-pura mengekorinya untuk bersama-sama bersembahyang jamaah. Ketika Saidina Ali k.wh. sedang sujud dalam solat, Abdul Rahman bin Muljam telah menetak lehernya. Dia tidak dapat melarikan diri kerana Saidina Hasan dan Saidina Husain, kedua anak Saidina Ali k.wh. telah menangkapnya. Beberapa sahabat Saidina Ali k.wh. memanggil beberapa orang tabib untuk merawat lukanya yang agak parah. Seorang tabib yang bernama Atsir Ibnu Amru bin Hani juga telah merawat luka yang dialami oleh Saidina Ali k.wh.. Setelah memeriksa luka di lehernya, dengan keadaan cemas dia berkata,
       “Wahai Amirul Mukminin, katakan sajalah  apa yang anda hendak wasiatkan. Sesungguhnya pukulan beracun orang terkutuk tersebut telah mengenai selaput otak anda.”

       Saidina Ali k.wh. tidak mengeluh. Beliau memanggil kedua orang puteranya lalu berkata,
       “Saya berwasiat kepada anda berdua supaya bertakwalah kepada Allah s.w.t. Kerana sesungguhnya seksaan Allah s.w.t. itu sangat berat. Semoga Allah s.w.t. sentiasa menjaga dan memelihara anda berdua. Wahai para Ahlul-Bait, saya ucapkan selamat tinggal sebaik-baiknya kepada anda dan saya ucapkan pula Assalamualaikum Warahmatullah…. Wahai Bani Abdul Muthalib, saya tidak ingin anda semua mengambil tindakan pembalasan sehingga menumpahkan darah kaum muslimin dengan alasan Amirul Mukminin meninggal dibunuh. Janganlah anda membunuh orang selain orang yang membunuhku. Ingatlah jika saya meninggal kerana tetakan ini, bunuhlah orang yang menetakku dengan tetakan yang sama. Janganlah sampai anda mencincang lumat orang tersebut.” 

Tidak lama kemudian dengan air mata berkaca sebak, Saidina Ali k.wh. menoleh kepada orang sekitarnya lalu berkata,
       “Semalam saya adalah sahabat anda. Hari ini saya adalah contoh yang selalu mengingatkan anda dan esok saya akan berpisah meninggalkan anda. Semoga Allah s.w.t. mengampuni dosaku dan dosa anda semua.”

  Selama dua hari sejak terjadinya peristiwa itu, Saidina Ali k.wh. menderita kesakitan yang beliau tahan sedemikian rupa kuatnya tanpa mengeluh. Dengan hati yang tabah beliau berserah diri kepada Allah s.w.t.. Akhirnya, pada hari Isnin tanggal 21 Ramadan tahun 40 Hijrah bersamaan 664 Masihi, Saidina Ali k.wh. kembali ke rahmatullah dalam usia 63 tahun. Jasad beliau telah disemadikan di Najaf Asyraf di Iraq.


[1]  At-Tarikh oleh Abu Ja’far ath-Thabari.
[2] Ibnu Atsir di dalam al-Kamil Fi at-Tarikh, jilid ii muka surat 206.
[3] Surah Ali Imran ayat: 195.
[4]  Fatimah az-Zahra’ oleh Dr. Taufiq Abu A’lam al-Mishri, terbitan Darul Ma’arif Mesir.
[5]  Tanbihul Khawatir Wa Nuzhatun Nawadir, jilid I muka surat 230.
[6]  Tanbihul Khawatir Wa Nuzhatun Nawadir muka surat 230.