INFORMASI

MAKLUMAN

Blog ini adalah hak milik Pintu Ilmu Resources (00159443-D) - PUSAT RAWATAN HOMEOPAYHY- yang beralamat di: Pusat Perubatan Holistik dan Alternatif 4932, Traffic Light Tok Jiring, Jalan Kelantan 21060 Kuala Terengganu, Darul Iman. Untuk lokasi klinik sila klik di sini

Pada 08/11/2015 klinik ditutup kerana doktor bertugas outstation. Harap maklum.

TESTIMONIAL TERKINI i

TAJAAN

Rabu, 23 Disember 2009

10 MUHARAM, SAIDINA HUSAIN SYAHID DI KARBALA

SYAIR SAIDINA HUSAIN DI KARBALA

“Aku bertekad terus maju ke depan
Walau maut menghalang di jalanan
Mati bukanlah noda yang mencernakan
Bagi seorang berdarah pahlawan
Bila disertai niat ikhlas berkorban
Untuk berjuang membela kebenaran”

“Ku serahkan segenap jiwa dan raga
Dalam perang suci membela agama
Lebih baik mati daripada hidup hina
Jika masih hidup aku tidak kecewa
Dan jika mati aku tidak akan tercela
Alangkah hina hidup di bawah kaki penderhaka.”

MENUJU KUFFAH

Para penduduk Makkah al-Mukarramah menyarankan kepada Saidina Husain supaya beliau tidak berangkat menuju Kuffah kerana dikhuatiri akan dibunuh di sana. Bagi Saidina Husain, perjuangan menentang kezaliman memang sudah menjadi darah dagingnya. Walaupun ramai yang melarang beliau ke Iraq, namun, beliau berpendirian bahawa walau di mana beliau berada, beliau pasti akan diburu serta dipaksa untuk membaiat (menyokong) Yazid bin Muawiyah. Saidina Husain sudah mengetahui Yazid bin Muawiyah sedang mengupah seseorang untuk membunuhnya. Ketika Ibnu Abbas melarang Saidina Huain menuju Kuffah, beliau berkata,

“Demi Allah, mereka tidak akan membiarkanku selagi jantungku berdenyut.”

Di waktu yang lain Saidina Husain telah menziarahi adiknya, Muhammad Hanafiah dan dalam ziarah itu beliau berkata,

“Saya telah bermimpi berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. dan dalam mimpi tersebut Baginda bersabda, “Wahai Husain, berangkatlah. Sebab memang Allah s.w.t. menghendakimu syahid terbunuh.” Kepada Abdullah bin Zubir pula Saidina Husain berkata,

“Demi Allah, seandainya saya bersembunyi di dalam lubang mana sekalipun, mereka pasti akan memaksaku keluar sehingga mereka berhasil melaksanakan niat jahat mereka. Mereka sanggup melakukan pelanggaran terhadapku sebagaimana orang Yahudi sanggup melakukan pelanggaran pada hari Sabtu.”

Rombongan Saidina Husain mula bergerak dari Makkah al-Mukarramah menuju Kuffah bersama kaum keluarganya. Walaupun umat Islam hampir menunaikan fardu haji, Namun, Saidina Husain tetap dengan pendiriannya untuk ke Kuffah. Apabila ditanya beliau menjawab,

“Bani Umayyah sedang memburuku untuk membunuhku. Saya khuatir mereka akan menumpahkan darahku di kota yang suci ini. Saya juga khuatir mereka akan melanggar kehormatan Makkah al-Mukarramah dan kehormatan bulan yang suci ini.”

Saidina Husain meneruskan perjalanan ke kuffah tanpa dipengaruhi oleh sesiapa. Beliau ke Kuffah kerana ingin menegakkan agama suci datuknya, Rasulullah s.a.w.. Di pertengahan jalan, di suatu perhentian yang bernama Shaffah, beliau telah bertemu dengan Farazdaq iaitu seorang penyair yang sangat mencintai Ahlul-Bait. Saidina Husain bertanya kepadanya tentang pengkhabaran dari Kuffah. Farazdaq menjawab,

“Sesungguhnya hati mereka bersama anda tetapi pedang-pedang mereka bersama Bani Umayyah.” Mendengar penjelasan Farazdaq, Saidina Husain menjawab,

“Memang benar katamu. Di tangan Allah s.w.t.lah segala urusan. Dia melakukan apa yang dikehendaki dan kepadaNya kita memohon pertolongan.” Kemudian Saidina Husain melanjutkan perjalanan menuju Kuffah. Ketika Ubaidillah bin Ziyad mengetahui tujuan beliau, dia segera mengatur siasat untuk menumpaskan gerakan Saidina Husain dan memadamkan api revolusinya yang suci. Orang ramai dilarang keluar masuk kota. Jalan-jalan diadakan sekatan. Ini dilakukan supaya tiada seorang pun yang dapat bertemu dengan Saidina Husain kelak.

Rombongan Saidina Husain terus melanjutkan perjalanan sehinggalah mereka sampai ke suatu tempat yang bernama Zabalah. Di sana beliau dikejutkan dengan berita kematian Muslim bin Aqil dan Hani bin Urwah. Oleh itu beliau mengumpulkan pengikut beliau lalu berpidato,

“Sesungguhnya pengikut kita telah mengkhianati kita. Barang siapa yang ingin meninggalkan saya dipersilakan. Saya merelakan anda pergi.” Tidak lama kemudian beberapa orang pengikut Saidina Husain telah meninggalkannya. Hanya pengikut yang setia sahaja menyertainya semenjak berangkat bersama dari Makkah al-Mukarramah.

Ketika rombongan Saidina Husain sampai di satu tempat yang bernama Zu Husam, beliau memerintahkan rombongan berhenti untuk berehat. Khemah didirikan untuk berteduh, terutama bagi rombongan wanita dan kanak-kanak yang sangat penat berjam-jam duduk di atas unta. Beberapa jam kemudian mereka berangkat untuk meneruskan perjalanan. Semua rombongan masih berharap semoga bayang yang dilihat di depan mereka adalah sebuah lembah subur dan pokok yang menghijau. Alangkah terkejut mereka terutama kaum wanita serta kanak-kanak, ketika tinggal beberapa kilometer lagi untuk sampai di Kuffah, tiba-tiba muncullah 1,000 orang pasukan berkuda yang bertombak panjang serta pedang terhunus. Rupanya mereka adalah pasukan berkuda Ubaidillah bin Ziyad yang datang dari Kuffah bertujuan untuk menghalang rombongan Saidina Husain. Pasukan berkuda tersebut diketuai Hur bin Yazid at-Tamini. Melihat pandangan yang menyeramkan itu, Saidina Husain memerintahkan supaya rombongan berhenti. Beliau ingin mengetahui dengan pasti apa yang dimaksudkan pasukan berkuda yang semakin lama semakin dekat.

Sekarang Hur telah berada di depan Saidina Husain. Mereka berdua dipisahkan dengan jarak beberapa meter sahaja. Suasana tegang meliputi semua anggota rombongan. Hur tetap di atas kuda manakala Saidina Husain berada di atas unta. Hur mengucapkan salam dan dijawab cucunda Rasulullah s.a.w.. Setelah itu Saidina Husain bertanya kepada Hur tentang maksud kedatangan dan tujuan pasukan berkuda yang dipimpinnya. Kemudian dengan tenang Saidina Husain berkata,

“Wahai saudara-saudara, sesungguhnya saya tidak akan datang ke tempat ini jikalau tidak kerana surat yang kamu kirimkan kepadaku di Makkah al-Mukarramah. Perutusan kamulah yang datang kepadaku dan mendesakku supaya segera datang ke Kuffah. Mereka mengatakan kamu memerlukan seorang pemimpin yang layak dibaiat sebagai khalifah untuk memimpin umat Islam. Saya berharap mudah-mudahan Allah s.w.t. mempersatukan kita semua atas dasar kebenaran dan hidayahNya. Sekarang saya telah datang kepada kamu. Jika anda ingin memberikan kepadaku apa yang kamu janjikan saya akan masuk ke Kota Kuffah. Akan tetapi jika kamu tidak bersedia, maka kami akan kembali ke kota kami semula.”
.
Hur sama sekali tidak menduga Saidina Husain akan setenang itu menghadapi pasukan berkuda yang dipimpinnya. Kemudian dia menjawab,

“Demi Allah, aku tidak pernah mengetahui semua ini. Aku sama sekali tidak tahu menahu tentang surat dan perutusan yang pernah datang kepada anda. Aku hanya menerima perintah dari Abdullah bin Ziyad supaya menghalang anda bersama rombongan. Aku juga diperintahkan supaya menawan anda. Sesungguhnya aku telah menyatakan sumpah setia kepada penguasa Bani Umayyah.”

Mendengar jawapan Hur, Saidina Husain memerintahkan salah seorang sahabat dalam rombongannya iaitu Uqbah bin Sam’an supaya mengeluarkan beberapa pucuk surat yang dahulu dikirimkan para pembesar masyarakat Kuffah kepadanya di Makkah al-Mukarramah. Surat tersebut kemudiannnya diberikan kepada Hur dan dipersilakan untuk membacanya sendiri. Akan tetapi setelah membaca beberapa pucuk surat tersebut, Hur menjawab sambil mengembalikan surat yang ada di tangannya,

“Aku tidak termasuk orang yang menulis surat kepada anda. Aku hanya melaksanakan perintah untuk menawan anda serta membawa anda masuk ke Kuffah.”

Suasana menjadi bertambah tegang ketika Saidina Husain mendengar jawapan dari mulut Hur yang beliau akan ditawan dan dibawa masuk ke Kuffah atas perintah Ubaidillah bin Ziyad. Saidina Husain datang ke Kuffah bukan atas kemahuannya sendiri, melainkan atas permintaan para pembesar masyarakat kota itu yang hendak membaiat (menyokong) nya sebagai khalifah. Jika Yazid merasa akan ditandingi kekuasaannya, itu adalah urusan Yazid. Jika waktu itu beliau melawan Hur pun beliau tidak menyesal kerana jika Saidina Husain diheret ke depan Ubaidillah bin Ziyad, bererti kepala beliau akan dipancung.

“Lebih baik saya mati daripada anda seret saya sebagai tawanan.” Jawab Saidina Husain tegas. Menghadapi ketegasan Saidina Husain itu Hur pun berkata,

“Aku tidak diperintahkan untuk memerangi anda, tetapi hanya diperintah mengawal anda masuk ke Kuffah. Jadi jika anda tidak mahu masuk ke Kuffah, pergilah menempuh jalan lain yang tidak menuju ke Kuffah dan tidak pula pulang ke Madinah al-Munawwarah. Jika anda telah meninggalkan tempat ini kami akan sampaikan laporan kepada Ubaidillah bin Ziyad sambil menunggu arahan selanjutnya.” Saidina Husain menjawab,

“Anda tentu telah mengetahui atau mendengar Rasulullah s.a.w. telah menegaskan bila ada seorang penguasa yang zalim yang tidak mengendahkan ketentuan Allah s.w.t. dan Rasulnya kemudian orang yang melihat tidak berusaha mencegahnya dengan lisan ataupun dengan perbuatan maka orang yang membiarkannya itu sama zalim dengan peguasa tersebut.” Ucapan Saidina Husain didengari dengan begitu serius oleh rombongan beliau dan rombongan Hur sendiri. Mereka semua terdiam. Sehinggalah cucunda Rasulullah s.a.w. melanjutkan,

“Sebenarnya semua orang telah mengetahui para peguasa yang menjalankan perintah Yazid bin Muawiyah adalah menjalankan perintah syaitan dan berpaling dari ajaran Allah s.w.t.. Mereka secara serakah melanggar hak Allah s.w.t. dan kaum muslimin. Mereka menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal menurut hawa nafsu mereka sendiri. Tiada alasan sama sekali untuk menyatakan Yazid bin Muawiyah mempunyai hak untuk memimpin umat Islam. Sedangkan mengenai diriku semua orang sudah tahu saya adalah anak Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib, anak Fatimah az-Zahra’ binti Rasulullah s.a.w. yang dimuliakan dan dihormati oleh kaum muslimin. Kamu wahai penduduk Kuffah! Bukankah kamu sendiri yang mengatakan sumpah setia kepadaku? Tetapi jika sekarang ini kamu mengingkari dan mengkhianati janji, perbuatan kamu yang seperti itu sebenarnya tidak menghairankan, kerana bukan sahaja kamu telah berbuat seperti itu terhadap ayahku, Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib malahan juga terhadap abangku, Saidina Hasan. Nampaknya kamu masih belum puas untuk berbuat jahat dan kejam terhadap sepupuku Muslim bin Aqil.” Mendengar ucapan Saidina Husain, Hur pun menyahut,

“Aku hanya mengingatkan anda. Ketahuilah, anda tidak akan hidup lama jika berani melawan kami.” Saidina Husain menjawab,

“Apakah anda ingin menakut-nakutkan saya dengan ancaman maut? Ancamanmu itu saya jawab sebagaimana Aus menjawab kepada bapa saudaranya yang ketika itu menakut-nakutkannya dengan maut jika Aus masih bertekad untuk membela Rasulullah s.a.w.. Tahukah anda apa yang dikatakan Aus kepada bapa saudaranya?”
Lalu Saidina Husain pun memulakan syair,

“Aku bertekad terus maju ke depan
Walau maut menghalang di jalanan
Mati bukanlah noda yang mencernakan
Bagi seorang berdarah pahlawan
Bila disertai niat ikhlas berkorban
Untuk berjuang membela kebenaran


Ku serahkan segenap jiwa dan raga
Dalam perang suci membela agama
Lebih baik mati daripada hidup hina
Jika masih hidup aku tidak kecewa
Dan jika mati aku tidak akan tercela
Alangkah hina hidup di bawah kaki penderhaka.”

PADANG KARBALA

Pada 1 haribulan Muharam, akhirnya, rombongan Saidina Husain meneruskan perjalanan menuju satu kawasan Padang Sahara yang tidak jauh dari sungai Furat.
.
“Apakah nama tempat ini?” Tanya Saidina Husain.

“Nainawa” Jawab salah seorang pengikutnya.

“Adakah nama lain selain itu?” Tanya Saidina Husain lagi.

“Karbala” Jawab pengikutnya yang lain.
.
Saidina Husain merasa sebak lalu berkata,

“Wahai pengikutku, dirikanlah khemah di sini. Saya pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang saya akan terkorban di sini.”
Kemudian Saidina Husain dan adiknya Zainab berbincang sesuatu sambil memandang anak bulan Muharam. Air mata Saidina Husain berkaca, sebak dan membasahi pipinya yang gebu. Melihat keadaan yang menyayat hati itu lalu Zainab pun bertanya,

“Wahai abangku Husain, kenapa anda menangis?"

“Wahai Zainab adikku, berdoalah kepada Allah s.w.t. agar saya dapat menepati janji denganNya. Berdoalah agar saya dapat menyelamatkan Islam. Berdoalah supaya saya tidak teragak-agak untuk memberikan nyawa saya kepada Islam.” Jawab Saidina Husain.

Walaupun air mata membasahi pipinya namun, tangisan Saidina Husain bukan kerana beliau takut untuk mati. Apa yang diutamakan beliau ialah Agama Islam. Zainab berasa sedih dan pilu bila mendengar permintaan abangnya.

“Wahai adikku, usahlah menangis. Tabahkanlah hatimu dan berbanyaklah bersabar. Kelak anda akan menjadi pengganti sesudah kematianku. Anda akan menempuh pelbagai penderitaan yang amat dahsyat. Bersabarlah wahai Zainab.” Saidina Husain menghampiri Zainab sambil menenangkannya. Kemudian Zainab meminta izin untuk masuk ke dalam khemah. Tidak lama kemudian anak Saidina Husain yang bernama Ali Akbar keluar dari khemah untuk menemui bapa kesayangannya.

“Wahai anakku, semalam ayah bermimpi melihat sekumpulan manusia menuju ke suatu kawasan di mana kematian menanti mereka. Ayah juga melihat mereka dibunuh satu persatu.” Saidina Husain menghampiri anaknya sambil membelai rambutnya.

“Wahai ayah, saya tahu siapakah sebenarnya mereka itu. Mereka adalah kita. Adakah kita berada dipihak yang benar, wahai ayah?” Tanya Ali Akbar inginkan kepastian.

“Benar anakku, sesungguhnya kita berada dipihak yang benar.” Jawab Saidina Husain memberi keyakinan.

“Wahai ayah, jika kita berada dipihak yang benar, tiada apa yang perlu dirunsingkan. Kita akan menemui ajal dengan keredaan Allah s.w.t.. Kita juga mesti teruskan perjalanan kita dan menggamit kematian dengan senyuman.” Jawab Ali Akbar dengan penuh semangat. Saidina Husain juga merasa bangga mempunyai anak seperti Ali Akbar yang mempunyai semangat juang yang tinggi.

Kini pada 2 haribulan Muharam tahun ke-61 Hijrah Saidina Husain dan rombongannya telah pun berada di bumi Karbala. Namun, beribu-ribu tentera Yazid sudah pun menunggu kedatangan mereka. Pasukan tentera Yazid telah tiba berhari-hari lebih awal dari rombongan Saidina Husain. Ketika Saidina Husain sampai di Karbala, beliau telah bertembung dengan penduduk Karbala. Lalu beliau pun memandang ke arah kaum lelaki seraya berkata,

“Kedatangan kami bukan untuk berperang. Tentera Yazid yang akan memerangi kami dan kami juga akan dibunuh. Setelah kami terkorban, mereka tidak akan mengebumikan kami. Jasad kami akan ditinggalkan begitu sahaja. Saya meminta jasa baik kamu semoga tolonglah kuburkan jasad kami.” Kemudian Saidina Husain berpaling dan memandang kepada kaum wanita seraya berkat,

“Wahai para ibu, suami kamu mungkin takut kepada tentera Yazid untuk mengebumikan jasad kami. Bila suami kamu keluar untuk bekerja di ladang, tolonglah kuburkan jasad kami.” Seterusnya, dengan perasaan sedih dan mata berkaca sebak, Saidina Husain menoleh pula kepada kumpulan kanak-kanak seraya berkata,

“Sekiranya ayah dan ibu kamu tidak dapat menguburkan jasad kami, saya memohon kepada kamu supaya menaburkan segenggam tanah ke atas jasad kami, semasa kamu keluar untuk bermain-main, dengan itu lama kelamaan jasad kami akan tertanam jua.” Seterusnya Saidina Husain memandang kepada orang ramai lalu berkata,

“Permintaan saya yang kedua ialah supaya kamu menjaga pengunjung pusara kami selepas kematian kami. Mereka adalah tetamuku. Jagalah makan dan minum mereka selama tiga hari.”
.
Seterusnya Saidina Husain menyuruh pengikut beliau mendirikan khemah berhampiran Sungai Furat. Cuaca pada hari itu sangat panas sekali. Bekalan air mesti mencukupi untuk kegunaan harian. Abbas, panglima perang Saidina Husain mula mendirikan khemah berhampiran sungai. Komander tentera Yazid memerhatikan dari jauh Abbas mendirikan khemah. Dia mengarahkan tenteranya supaya meruntuhkan khemah rombongan Saidina Husain yang dibina di tepi sungai. Abbas menjadi marah lalu menghunuskan pedangnya untuk membunuh tentera Yazid. Abbas yang memang dikenali sebagai singa Allah, seperti juga ayahnya yang berani dan gagah. Pihak musuh sangat gementar melihat keberanian Abbas. Saidina Husain melihat apa yang berlaku dan segera bergegas ke arah Abbas. Beliau memang mengetahui tentang keberanian Abbas lalu berusaha mententeramkan Abbas. Sambil menghampirinya beliau berkata,

“Wahai Abbas, adikku. Simpanlah pedangmu, kita datang ke sini bukan untuk berperang. Nanti orang akan berkata kita berperang kerana merebut air. Bertenanglah wahai Abbas, marilah kita beredar dan dirikan khemah ke kawasan lain.”
.
Abbas menganggap abangnya sebagai pemimpin dan sentiasa mematuhi apa sahaja arahannya. Dia menyarung kembali pedangnya dan menyuruh sahabat lain mengalihkan khemah ke kawasan lain.

Kini hari demi hari tentera Yazid semakin bertambah ramai. Hampir 20,000 pasukan tentera Yazid telah mengepung khemah Saidina Husain. Walaupun mereka berjumlah sebegitu ramai, namun, mereka merasa gentar menghadapi 72 orang pengikut Saidina Husain, kerana mereka tahu pengikut Saidina Husain bukanlah calang-calang orang. Mereka taat dan berani mati. Pihak musuh tahu tentang kelebihan yang dimiliki oleh pengikut Saidina Husain. Mereka mencari jalan untuk melemahkan tenteranya.

Pada hari ketiga dibulan Muharam ramai hamba abdi yang mengikut rombongan Saidina Husain telah terkorban. Hampir 16 orang hamba abdi telah terkorban. Kebanyakan mereka adalah dari Ethopia. Pada malam sebelumnya Saidina Husain telah memerdekakan beberapa orang hamba abdi dan menyuruh mereka melarikan diri demi keselamatan. Tetapi tiada seorang pun daripada mereka meninggalkannya. Mereka memahami motif perjuangan Saidina Husain dan bersedia untuk syahid di Karbala bersama-samanya. Mereka tahu, mereka akan mendapat balasan dan ganjaran dari Allah s.w.t..
.
Antara mereka yang syahid ialah Jaun. Dia adalah seorang hamba abdi yang dihadiahkan oleh Abu Ghifari kepada keluarga Saidina Ali k.wh. dan Fatimah az-Zahra’. Semasa bersama Saidina Ali k.wh., Jaun telah belajar tafsir Al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w.. Dia juga adalah seorang penghafal Al-Quran. Setelah kematian Saidina Ali k.wh., Jaun tinggal bersama Saidina Hasan, manakala selepas kematian Saidina Hasan dia tinggal pula dengan Saidina Husain. Jaun sungguh bertuah kerana sempat berkhidmat dengan tiga orang pemimpin sepanjang hayatnya. Di malam sebelum kematiannya, Jaun telah menghabiskan malam dengan mengasah mata pedang sambil membaca ayat suci Al-Quran. Ketika waktu fajar tiba, Ali Akbar pula telah melaungkan azan Subuh. Mereka menunaikan salat Subuh secara berjamaah. Sewaktu matahari pagi muncul di ufuk timur, cuaca sungguh panas sekali. Manakala pengikut dan ahli keluarga Saidina Husain pula akan menempuh cabaran hebat. Sudah tiga hari mereka semua berlapar dahaga.

MULA BERPERANG

Trompet sudah pun dibunyikan tanda untuk memulakan peperangan. Kini peperangan di Karbala sudah pun bermula. Seorang demi seorang sahabat Saidina Husain meminta izin untuk berjihad. Seorang demi seorang mereka turun berperang dengan bersungguh-sungguh sehingga gugur syahid. Saidina Husain bersama Abbas dan Ali Akbar mengusung mayat mereka yang gugur ke dalam khemah. Ketika selesai sembahyang Zuhur, Jaun mendekati Saidina Husain yang sedang bertafakur. Beliau memandang Jaun sambil berkata,

“Wahai Jaun sahabatku, kenapa anda bersedih?” Dengan perasaan sedih Jaun menjawab,
.
“Wahai Tuan, cukuplah dengan apa yang telah terjadi. Saya tidak sanggup lagi melihat begitu banyak penderitaan. Saya tidak sanggup melihat anak-anak Fatimah az-Zahra’ dibunuh di depan saya. Izinkanlah saya pergi berperang.” Saidina Husain memandang Jaun lalu berkata,

“Wahai Jaun, usia anda sudah lanjut. Sebenarnya jihad tidak wajib bagi orang tua seperti anda. Saya tidak membenarkan anda pergi berperang.”

“Wahai Tuan, saya tahu kenapa Tuan tidak mengizinkan saya berperang kerana saya adalah hamba abdi yang berkulit hitam. Tuan tidak mahu darah saya bercampur dengan darah keluarga Tuan yang suci.” Saidina Husain amat terperanjat mendengar kata-kata Jaun. Sambil tersenyum beliau berkata,

“Janganlah beranggapan begitu wahai Jaun. Pergilah berperang, semoga Allah s.w.t. akan bersamamu.”

Tidak lama kemudian Saidina Husain membantu Jaun mengenakan pakaian dan menyiapkannya untuk pergi berperang. Beliau juga membantu Jaun menaiki kuda. Jaun amat berbangga dapat berjihad mempertahankan Islam. Jaun masih ingat ketika bersama Rasulullah s.a.w., dia sering melihat Baginda menyayangi cucundanya. Dia juga masih ingat yang Rasulullah s.a.w. sendiri akan mengubati luka Saidina Husain semasa beliau terjatuh ketika bermain. Jaun masih ingat pada suatu hari, ketika Rasulullah s.a.w. sedang salat, di mana Saidina Husain menaiki di atas belakang Baginda. Rasulullah s.a.w. melambatkan sujudnya sehingga Saidina Husain turun dari belakang Baginda dan selepas selesai salat Baginda membelai Saidina Husain dengan manja.

Akhirnya, Jaun telah sampai di medan pertempuran dan ketika berdepan dengan tentera Yazid, dengan suara yang lantang dia berkata,

“Pandanglah kepadaku, kamu pernah melihatku sering bersama Rasulullah s.a.w.. Kamu mengaku Muhammad s.a.w. adalah pesuruh Allah s.w.t.. Kamu mengaku, kamu adalah orang Islam. Tetapi adakah kamu fikir bahawa Rasulullah s.a.w. bergembira melihat kamu membunuh cucunda kesayangan Baginda? Apakah yang telah Saidina Husain lakukan terhadap kamu? Sesungguhnya dalam hal ini Saidina Husain tidak bersalah. Selamatkanlah diri kamu dari azab api neraka jahanam.”
.
Tidak lama kemudian Jaun diserang bertubi-tubi. Anak panah menuju ke arahnya dari pelbagai arah. Walaupun usianya sudah tua namun, Jaun berlawan dengan begitu berani sekali. Ramai musuh yang kecundang di tangannya. Walau bagaimanapun tenaganya kian berkurangan. Banyak darah yang mengalir keluar dari tubuhnya. Tambahan pula sudah tiga hari Jaun tidak makan atau minum. Akhirnya, Jaun terjatuh dari kudanya.

“Tuan Husain, Biarlah saya lihat wajah Tuan buat kali terakhir.” Katanya sambil mengerang kesakitan. Saidina Husain mendengar jeritan Jaun. Lalu Abbas dan Ali Akbar bersama Saidina Husain pergi mendapatkan Jaun. Beliau melihat Jaun berada dalam kesakitan yang amat sangat. Kemudian beliau memangku kepala Jaun di atas ribanya sambil air matanya berkaca sebak dan berkata,

“Wahai Jaun, maafkanlah saya. Anda meninggalkan rumahku dalam keadaan lapar dan dahaga. Maafkanlah saya.” Saidina Husain meminta maaf kepada Jaun. Dengan suara terketar-ketar Jaun berkata,

“Lihatlah wahai Tuan, siapakah yang telah datang menyambutku? Mereka adalah Rasulullah s.a.w., Fatimah az-Zahra’, Saidina Ali k.wh. dan Saidina Hasan.” Tidak lama kemudian Jaun pun menghembuskan nafasnya yang terakhir.

TENTERA YAZID BERTAMBAH RAMAI

Hari berganti hari. Pada hari keempat di bulan Muharam, suasana di Karbala semakin meruncing. Tentera Yazid semakin bertambah ramai. Beribu-ribu tentera telah berkumpul untuk membunuh Saidina Husain. Zainab yang menyaksikan tentera Yazid bertambah ramai menjadi risau lalu menghampiri abangnya dan berkata,

“Wahai abangku Husain, beribu-ribu tentera Yazid dikerah untuk membunuhmu. Padahal kita hanya ada 72 orang sahaja. Adakah ada sesiapa yang akan membantu kita?”

Saidina Husain memandang wajah Zainab dan berkata,

“Wahai Zainab, sebelum ini, ramai yang ingin mengikutku menuju Karbala. Tetapi saya telah menolak permintaan mereka kerana niat mereka tidak baik. Setengah mereka yang ikut pula telah melarikan diri kerana takut mati. Wahai Zainab, adikku, pihak kebatilan memang mempunyai ramai pengikut dan pihak kebenaran hanya mempunyai beberapa pengikut sahaja. Mereka telah dibeli dengan harga yang murah. Mereka juga mengutamakan kesenangan dunia sahaja. Hanya pengikutku yang seramai 72 orang sahaja dengan ikhlas memilih kebahagian di akhirat dan itulah sebabnya mereka masih setia bersamaku.”

Pada malam tersebut Saidina Husain telah menulis surat kepada sahabatnya iaitu Habib bin Mazahir yang berada di Kuffah. Pada masa yang sama Bandar Kuffah telah dikepong dan tidak ada sesiapa yang dibenarkan keluar dari kota tersebut. Habib bin Mazahir tidak mengetahui kedudukan Saidina Husain sehinggalah dia menerima surat darinya. Surat tersebut diterima ketika dia sedang bersarapan pagi bersama keluarga. Dia membaca surat Saidina Husain dengan penuh teliti. Dia lantas mencium surat tersebut sambil menangis kerana mengenangkan nasib Saidina Husain dan keluarga Ahlul-Bait. Isterinya yang melihat keadaan Habib, merasa hairan lalu bertanya,

“Kenapa abang menangis bila membaca surat tersebut?”

Dengan perasaan sedih Habib menjawab,

“Aku baru sahaja mendapat berita dari Saidina Husain. Beliau mengajakku ke Karbala. Pasukan Yazid telah mengepung dan ingin membunuhnya.”
.
Isteri Habib bersetuju dan merelakan suaminya membantu Saidina Husain di Karbala. Tetapi Habib merasa khuatir hendak melepaskan diri dari kepungan tentera Yazid yang begitu ramai. Lalu menyuruh hamba sahayanya membawa kuda kepunyaannya ke sebuah ladang dan menunggu di sana sehingga dia datang. Hamba tersebut menurut perintah seperti yang disuruh. Walau bagaimana pun Habib telah terlewat sampai.

Oleh kerana telah lama menunggu, hamba abdi tersebut pun menghampiri kuda kepunyaan Habib dan berkata,

“Wahai kuda, sesungguhnya Saidina Husain berada dalam keadaan bahaya. Beliau menyuruh Tuan Habib ke Karbala. Tetapi Tuan Habib sudah terlewat. Sekiranya dia tidak dapat melepaskan diri dari Bandar Kuffah, maka aku sendiri akan menunggangmu dan pergi membantu Saidina Husain.”

Ketika waktu asar tiba, orang ramai telah memenuhi Masjid Kuffah. Ketika itulah Habib mengambil kesempatan untuk melarikan diri dan menuju ke tempat yang telah dijanjikan. Habib dengan pantas menaiki kuda dan setelah bertemu hamba sahayanya dia lantas berkata,

“Sekarang aku benarkan engkau pulang. Aku merdekakan engkau sekarang juga.” Hamba sahaya Habib menghampirinya lalu berkata,

“Kenapa Tuan tidak berlaku adil terhadap saya? Sesungguhnya saya telah berkhidmat selama beberapa tahun kepada Tuan. Sekarang saya berpeluang untuk berkhidmat kepada anak Fatimah az-Zahra’, tetapi kenapa Tuan melarang saya menuju ke Karbala? Kenapa Tuan melarang saya untuk menempah tempat di syurga?”
.
Habib tersentak mendengar jawapan hambanya. Dia merasa gembira kerana hambanya dapat membezakan antara hak dan batil. Dia juga merasa terharu kerana hambanya sanggup mengkorbankan nyawa demi kebenaran. Kemudian Habib menghulurkan tangan dan mereka berdua pun menunggang kuda bersama menuju Karbala.

Habib dan hambanya sampai di Karbala pada waktu petang. Rombongan Saidina Husain menyambut kedatangan Habib dengan begitu mesra. Apabila Zainab mendengar berita tentang kedatangan Habib, lantas dia memanggil pembantunya yang bernama Fizza untuk menyampaikan salam kepada Habib. Ketika dia mendengar Zainab menyampaikan salam kepadanya, dia merasa terkejut sehingga menyampakkan serbannya ke tanah. Air matanya sebak dan membasahi pipi. Dengan suara yang terharu dia berkata,

“Hari ini adalah hari kedukaan. Hari dukacita bagi ahli keluarga Fatimah az-Zahra’, putera keluarga Rasulullah s.a.w. dan anak Saidina Ali k.wh.. Namun, Zainab dari keluarga yang mulia telah menyampaikan salam buat orang biasa lagi hina sepertiku. Celakalah Yazid, memang sesungguhnya engkau penguasa yang zalim. Apa yang telah engkau lakukan terhadap keluarga Fatimah az-Zahra?” Kemudian Habib meminta izin untuk bergabung dengan rombongan Saidina Husain.

Pada pagi lima haribulan Muharam, Ali Akbar melaungkan azan memandakan waktu Subuh sudah tiba. Setelah selesai salat Subuh secara berjamaah, seorang demi seorang sahabat Saidina Husain keluar berperang dengan sungguh berani dan sanggup berkorban untuk menyelamatkan Islam. Semenjak Subuh lagi Saidina Husain, Abbas dan Ali Akbar sibuk menguruskan mayat yang telah gugur syahid.

Setelah selesai menunaikan salat Zuhur, Habib bin Mazahir telah menemui Saidina Husain lalu berkata,

“Wahai Saidina Husin, izinkanlah saya turut keluar berperang. Izinkanlah saya korbankan nyawa untuk Islam.” Saidina Husain menghampiri Habib dan menjawab,

“Wahai Habib, semenjak kecil lagi kita sudah bersahabat. Tunggulah bersamaku kerana kedatangan anda dapat menenangkan perasaanku, wahai sahabat setiaku.”
.
Habib berkeras untuk pergi berjuang. Akhirnya, Saidina Husain dengan rela hati telah mengizinkan Habib untuk berjuang. Beliau sendiri telah menaikkan Habib ke atas kuda dan mengucapkan selamat jalan. Kemudian Habib menunggang kuda dan terus menuju ke medan pertempuran. Dia berperang dengan gagah sekali tetapi akhirnya, pihak musuh berjaya menumpaskannya sehingga dia jatuh tersungkur di atas tanah. Semasa dia jatuh ke tanah, pihak musuh telah menghampiri dan memancung kepalanya. Kemudian pihak musuh telah mengikat kepala Habib di atas seekor kuda lalu ditontonkan kepada khalayak ramai di sekitar Bandar Karbala.

Kini ramailah sahabat setia Saidina Husain telah syahid. Para bapa telah merelakan anak mereka berjuang menentang kemungkaran. Para ibu memberikan kata perangsang supaya anak mereka bersemangat untuk melawan musuh. Mereka juga mengetahui bahawa pengorbanan mereka akan menyelamatkan Islam. Ummi Laila menghampiri anaknya, Ali Akbar lalu berkata,
.
“Wahai anakku, esok adalah hari pertempuran. Ingatlah nyawa ayahmu lebih berharga dari nyawamu sendiri. Sesungguhnya nyawa ayahmu berada dalam bahaya. Dari itu, janganlah teragak-agak untuk mengorbankan nyawamu demi mempertahankan nyawa ayahmu.” Ummi Rubab pula membelai anak kecilnya, Ali Asghar sambil berkata,

“Wahai anak kecilku Ali Asghar, alangkah baiknya jika engkau adalah seorang pemuda yang gagah berani. Ibu akan menggadaikan nyawamu demi untuk menyelamatkan nyawa Saidina Husain.” Manakala Ummi Kalthum iaitu adik kepada Saidina Husain pula kelihatan duduk bersendirian sambil menangis. Abbas yang berada tidak jauh dari situ mendengar suara tangisan itu lalu memasuki khemah dan berkata,

“Wahai Ummi Kaltsum, kenapa engkau menangis? Apakah sebabnya?”

“Wahai Abbas, esok adalah hari pengorbanan. Aku tidak mempunyai anak untuk dikorbankan.”

“Wahai adikku Ummi Kaltsum, janganlah menangis. Sesungguhnya aku masih hidup. Aku akan korbankan nyawaku bagi pihakmu.” Jawab Abbas mententeramkan adiknya.

Di satu sudut yang lain Zainab pula sedang sibuk memberi perangsang kepada dua orang anak lelakinya.

“Wahai anakku Aun dan Muhammad, esok kamu berdua akan berperang. Sesungguhnya nyawa bapa saudaramu berada dalam bahaya. Sekiranya berlaku sesuatu ke atas Saidina Husain dan ketika itu kamu berdua masih hidup, ibu akan berasa sangat malu. Wahai Aun dan Muhammad, ibu malu untuk bersemuka dengan nenek kamu iaitu Fatimah az-Zahra’ di hari kiamat kelak. Janganlah hampakan harapan ibu. Biarlah kamu berdua menjadi orang pertama yang menggadaikan nyawa.”

Keesokan hari, iaitu pada hari keenam Muharam, beberapa pengikut Saidina Husain telah bersiap sedia untuk berperang. Walaupun waktu masih awal pagi tetapi cuaca begitu panas sekali. Tidak lama kemudian peperangan pun bermula. Seorang demi seorang ahli pasukan Saidina Husain syahid terkorban.

Semenjak Subuh lagi Zainab melihat mayat yang bergelimpangan telah dibawa masuk ke dalam khemah. Tidak lama kemudian dia pun memanggil kedua orang anaknya Aun dan Muhammad.
“Wahai anakku, apa yang kamu berdua tunggu lagi? Kenapa kamu berdua masih belum pergi ke medan peperangan? Pergilah berlawan dengan musuh-musuh Islam.”

“Semenjak Subuh lagi kami berdua telah meminta izin untuk mendapatkan kebenaran daripada Saidina Husain supaya keluar berperang. Tetapi Saidina Husain tidak membenarkan. Bolehkah ibu minta kebenaran dari Saidina Husain bagi pihak kami? Kami ingin berjihad di jalan Allah s.w.t. sekarang juga.”
.
Pinta Aun dan Muhammad. Tanpa berlengah lagi Zainab pun menemui Saidina Husain untuk menyampaikan hasrat kedua orang anaknya. Dalam jawapannya, Saidina Husain berkata,

“Wahai Zainab adikku, jihad tidak diwajibkan ke atas kanak-kanak. Bagaimana dapatku biarkan anak-anak saudaraku terbunuh sedangkan saya masih hidup? Ianya tidak mungkin.” Kemudian Zainab pula berkata,

“Wahai abangku Husain, sekiranya dikau terkorban sebelum Aun dan Muhammad, bagaimana dapat saya bertemu dengan ibu kita, Fatimah az-Zahra’ di hari Kiamat kelak. Oleh itu perkenankanlah mereka berdua pergi.”
.
Saidina Husain tidak sampai hati melihat air mata Zainab membasahi pipinya. Akhirnya, beliau mengizinkan Aun dan Muhammad pergi berperang.

Saidina Husain memanggil Aun dan Muhammad lalu memeluk mereka berdua. Beliau juga menaikkan mereka ke atas kuda.”

“Pergilah berjuang, tunjukkanlah kepada manusia kejam itu yang anda berdua mewarisi darah dari keturunan Ja’far dan Ali k.wh..” Kata Saidina Husain memberi perangsang. Aun dan Muhammad menoleh ke arah ibu mereka dan berkata,

“Selamat tinggal ibu, doakanlah kami berdua.”

Mereka berdua menunggang kuda dan menuju ke medan pertempuran. Mereka bertempur dengan begitu gagah sekali. Mereka berdua adalah cucunda kepada Ja’far ath-Thayyar bin Abi Thalib dan cucunda kepada Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib. Mereka berdua juga berjuang habis-habisan. Ratusan tentera Yazid telah terbunuh. Walaupun mereka berdua sudah beberapa hari tidak memperolehi air minuman tetapi gerakan mereka berdua sangat ditakuti oleh pihak musuh.

Amar Saad, ketua pasukan tentera Yazid berasa cemas melihat ketangkasan dua beradik tersebut. Dia menyuruh pasukannya memisahkan mereka berdua serta menyerang mereka dari segenap arah. Tidak lama kemudian Aun dan Muhammad berjaya dipisahkan. Setiap seorang terpaksa menghadapi serangan tentera Yazid. Mereka berdua diserang dengan ratusan anak panah, pedang, lembing dan pisau dari segenap arah. Tubuh kecil mereka berdua sudah tidak dapat bertahan lagi apatah lagi dalam keadaan kehausan dan kelaparan yang amat sangat. Akhirnya, kedua mereka pun terjatuh. Dengan suara yang lemah mereka melaungkan nama Saidina Husain.

“Wahai bapa saudaraku Husain, tolonglah kami berdua.” Saidina Husain dan Abbas yang mendengar laungan mereka berdua bergegas ke arah Aun dan Muhammad.

“Wahai bapa saudaraku Husain, sampaikan salam kami kepada ibu. Katakan kepadanya, kami telah melakukan apa yang diperintahkan.”
.
Pinta Aun dan Muhammad dengan suara yang tersekat-sekat. Tidak lama kemudian mereka berdua menghembuskan nafas yang terakhir. Saidina Husain dan Abbas membawa kedua-dua jasad tersebut ke dalam khemah. Ali Akbar yang menyaksikan kejadian tersebut lalu menjerit,

“Abangku Aun dan Muhammad telah terbunuh.”

Zainab hanya mampu memerhatikan jasad kedua orang anaknya. Dengan linangan air mata dia menghamparkan sejadah lalu melakukan sujud syukur.

“Ya Allah, aku bersyukur kerana engkau telah menerima korbanku. Ya Allah, aku berbangga dengan anak-anakku yang telah menggadaikan nyawa mereka untuk Islam.”
.
Kemudian mayat mereka berdua dibaringkan di atas tanah. Para wanita pula berkumpul lalu meratapi jasad Aun dan Muhammad. Setelah itu mereka mengebumikan jasad kedua mayat tersebut.

Pada hari ketujuh bekalan air telah disekat supaya tidak sampai ke khemah Saidina Husain. Cuaca sangat panas ketika itu. Kanak-kanak pula kehausan dan ada yang menjerit-jerit kelaparan. Setelah salat Zuhur secara berjamaah, mereka yang tinggal bersama Saidina Husain hanya ahli keluarganya yang terdekat sahaja. Sahabat setia beliau tidak membenarkan Saidina Husain dan keluarganya keluar berperang selagi mereka masih hidup.

Aun dan Muhammad telah mendapat restu dari Saidina Husain untuk keluar berperang. Mereka berdua pergi dan tidak kembali lagi. Tidak lama kemudian Qasim menemui Ummu Farwah iaitu ibunya untuk mendapat kebenaran berperang. Setelah itu dia menemui Saidina Husain untuk meminta restu.

“Wahai Qasim, sesungguhnya anda masih muda dan anda adalah anak tunggal Ummu Farwah. Anda juga adalah anak kesayangan abangku. Wajahmu mirip wajah Saidina Hasan. Wajahmu juga mengingatkanku kembali kenanganku ketika bersama abangku. Saya tidak sanggup membiarkan dirimu terbunuh.” Kata Saidina Husain sambil mengesat air mata.

Qasim merasa sangat kecewa lalu menemui ibunya, Ummu Farwah. Ibunya menghampiri Qasim dan mengingatkannya tentang tangkal yang diikat suaminya di lengan anak kesayangannya itu. Qasim membuka tangkal tersebut dan mendapati ada sepucuk surat yang ditujukan kepada Saidina Husain. Lalu dia mendapatkan Saidina Husain dan menunjukkan surat tersebut. Beliau mengambil surat yang diberikan Qasim dan membaca dengan penuh teliti.

“Wahai adikku Husain, akan tiba suatu hari nanti di mana Islam perlu diselamatkan dengan pengorbanan yang besar. Pada hari itu saya telah tiada untuk membantumu. Tetapi anakku Qasim akan berada di situ untuk mewakiliku.” Saidina Husain terharu membaca surat tersebut lalu membelai rambut Qasim seraya berkata,

“Wahai Qasim, bagaimana dapat saya tahan kehendakmu untuk berperang. Sekarang pergilah berjuang.”

Tidak lama kemudian Saidina Husain membawa Qasim menemui Zainab dan berkata,

“Wahai Zainab, bawakanlah jubah dan serban yang dimiliki abangku.” Kemudian beliau memakaikan Qasim dengan pakaian Saidina Hasan dan seterusnya beliau memberikannya senjata.

Seorang budak yang baru berusia 13 tahun sudah bersiap sedia untuk berjuang. Pedang yang dibawanya ketika itu mencecah tanah semasa berjalan. Malahan dia sendiri tidak dapat menaiki kuda tanpa bantuan. Abbas yang berada di situ menghampirinya dan menaikkannya ke atas kuda. Qasim adalah pahlawan muda yang sedang menuju ke medan perang. Walaupun usianya masih muda, namun, dia bersemangat besar apatah lagi berjuang untuk menyelamatkan Islam.
.
Sebenarnya Qasim adalah anak bongsu Saidina Hasan. Dia adalah cucunda kepada Saidina Ali k.wh. yang telah diasuh Abbas. Kini Qasim berlawan dengan berani sekali sehingga pihak musuh menjadi gementar. Suatu ketika seorang tentera Yazid telah memukul curi dari belakang dengan sebilah pedang sehingga kepala Qasim berlumuran darah dan menyebabkan dia tersungkur jatuh. Lantas dia menjerit memanggil Saidina Husain.

“Wahai bapa saudaraku Husain, datanglah ke sini. Tolonglah saya.”

Saidina Husain dan Abbas pun bergegas untuk menghampiri Qasim, namun, mereka berdua telah menyaksikan satu kejadian yang sangat ngeri. Tentera Yazid yang menyangka Saidina Husain dan Abbas ingin menyerang, lalu mereka pun bertaburan melarikan diri sehingga debu pasir berkepulan memenuhi ruang angkasa. Kuda pula berlarian dengan pelbagai arah serta memijak tubuh Qasim yang terjatuh tadi. Saidina Husain dan Abbas masih tercari Qasim. Setelah debu yang berterbangan hilang, mereka berdua melihat badan Qasim telah hancur berkecai. Badannya yang kecil telah dipijak kuda. Tangan dan kakinya berkecai dan bertaburan di bumi Karbala. Saidina Husain menghamparkan kain di atas tanah. Beliau meletakkan cebisan mayat Qasim di atas kain tersebut. Kemudian beliau mengikat kain tersebut menjadi sebuah karung. Abbas yang berada di sisi Saidina Husain membantu membawa cebisan mayat Qasim. Ketika mereka berdua sampai di khemah, beliau memanggil Zainab.

“Wahai adikku Zainab, sesungguhnya hancur sudah hatiku. Saya sudah tidak berupaya membawa mayat Qasim. Tolong panggilkan Fizza dan bawalah mayat Qasim ke dalam khemah.”

Para wanita yang melihat Fizza membawa sekarung mayat mulai menangis terisak-isak. Mereka meratapi mayat Qasim yang telah hancur berkecai. Abbas yang melihat sendiri kejadian yang sungguh menyayat hati di tanah gersang Karbala merasa tidak sabar untuk pergi berjuang. Dia adalah seorang perwira yang sangat gagah dan berani. Dalam rombongan Saidina Husain dia adalah pemegang sepanduk Islam. Abbas adalah adik Saidina Husain yang sangat ikhlas serta taat dalam menjalankan perintah agama. Dia juga adalah bapa saudara kepada Sukainah. Pihak musuh sangat gerun terhadapnya kerana dia laksana singa keluarga Saidina Ali k.wh..

Pernah suatu ketika semasa pemerintahan Saidina Ali k.wh., beliau telah meletakkan tangan Abbas di atas tangan Saidina Husain sambil berkata,

“Wahai anakku Abbas, Husain adalah anak Fatimah az-Zahra’ dan anda juga adalah anakku. Wahai Abbas, sesungguhnya Husain adalah Imammu dan pemimpinmu. Manakala anda adalah pembantu Husain. Wahai Abbas, jagalah Husain sebaik mungkin.”

Semenjak itu Abbas telah memenuhi wasiat Saidina Ali k.wh.. Dia menganggap Saidina Husain adalah Tuannya. Dia sentiasa bersama Saidina Husain. Keperibadiannya laksana bayangan Saidina Husain. Semasa di Padang Karbala Saidina Husain pernah berkata,

”Wahai Abbas, simpanlah senjatamu. Janganlah hunuskan pedang untuk melawan musuh. Sesungguhnya kita datang ke sini hanya untuk menyelamatkan Islam. Sebenarnya kita adalah contoh Islam yang sebenar. Kita juga berdakwah bukan melalui pedang, tetapi kita berdakwah melalui budi pekerti yang luhur. Oleh itu bersabarlah wahai Abbas.”

Setiap kali Abbas membawa masuk mayat ke dalam khemah, dia mendesak supaya Saidina Husain membenarkannya keluar berperang.

“Tuan, izinkanlah saya keluar berperang. Biarlah saya bunuh mereka yang kejam lagi zalim itu.” Desak Abbas meminta izin untuk berjihad.

“Tidak wahai Abbas, bagaimana dapatku izinkan anda pergi? Anda adalah ketua pasukan perang dan anda juga adalah pembantuku. Ke mana harusku pergi jika tanpamu wahai Abbas?”
.
Saidina Husain cuba mententeramkannya. Abbas menjadi gelisah. Dia tidak tahan menahan sebak di dada dan air matanya mulai berkaca sebak. Dalam fikirannya dia mesti mendapatkan jalan untuk turun ke medan peperangan. Lalu dia pun menuju ke khemah Ummi Kaltsum dan Zainab. Namun, dia berpatah balik dan mundar mandir. Dia tahu mereka juga tidak akan membenarkannya ke medan peperangan. Dia semakin buntu. Dia ke hulu dan ke hilir sambil mencari jalan bagaimana dia dapat memujuk Saidina Husain supaya membenarkannya berperang. Tiba-tiba Sukainah datang menemuinya dengan membawa pundi air.

“Wahai bapa saudaraku Abbas, lihatlah pundi ini. Ianya sudah kering. Saya sangat dahaga.”
.
Sukainah menghampiri bapa saudaranya sambil menunjukkan pundi air yang dibawa. Abbas mendapat satu idea bagaimana untuk mendapat keizinan daripada Saidina Husain. Kemudian dia mendukung Sukainah dan pergi ke khemah Saidina Husain. Setelah sampai, Abbas duduk di depan Saidina Husain sambil meriba Sukainah. Dia tidak perlu berkata apa-apa. Saidina Husain memandang Abbas dan Sukainah dengan pundi air yang kosong. Beliau memahami hasrat Abbas.

“Wahai Abbas, saya tidak dapat menghalang anda sekarang. Anda telah membawa Sukainah ke mari. Oleh itu pergilah wahai Abbas, penuhkanlah pundi air itu. Hanya satu pintaku. Tinggalkanlah pedangmu di sini. Ingatlah wahai Abbas, anda pergi bukan untuk berperang tetapi hanya untuk mendapatkankan air buat Sukainah.” Pesan Saidina Husain bersungguh-sungguh.

Abbas mengikut perintah Saidina Husain, lalu dia menanggalkan pedangnya dan diberikan kepada Saidina Husain. Dia membelai Sukainah dengan manja dan menurunkannya dari riba lalu berkata,

“Wahai Sukainah, berdoalah kepada Allah s.w.t. supaya bapa saudaramu dapat membawa pulang air untukmu.” Tidak lama kemudian Abbas menemui Zainab dan berkata,

“Wahai kakakku Zainab, izinkanlah aku pergi.”

“Wahai adikku Abbas, aku pernah mendengar daripada Saidina Husain kesucianku akan dicemari pada suatu hari nanti. Ketika itu aku mengatakan bahawa tiada siapa yang berani berbuat demikian kerana aku mempunyai 18 orang saudara lelaki yang gagah lagi berani. Wahai adikku Abbas, jika anda pergi. Bermakna memang benar seperti apa yang telah dikatakan bahawa hijabku telah pun dicabuli.” Balas Zainab dengan nada sayu.

Kini Abbas pun menuju ke medan peperangan. Dia mengikat pundi air di hujung lembing lalu membawanya ke tepi sungai Furat. Tentera Yazid sejak tadi sentiasa memerhatikan pergerakan Abbas. Namun, sebenarnya mereka sangat gementar melihat kepantasan Abbas bermain senjata. Kerana kebanyakan mereka pernah melihat Abbas berperang dan mereka mengakui keberaniannya sama seperti keberanian Saidina Ali k.wh.. Ketika sampai di tepi sungai Furat Abbas pun mengisi pundi air Sukainah sepenuh-penuhnya. Kemudian dia memegang pundi tersebut dengan sebelah tangan manakala sebelah tangan lagi memegang sepanduk Saidina Husain. Dia berusaha untuk berpatah balik menuju khemah.

Amar Saad, ketua pasukan tentera Yazid memerintahkan tenteranya supaya menghalang Abbas membawa air tersebut dan tidak lama kemudian tentera Yazid telah mengepung Abbas. Mereka telah memanah Abbas dari pelbagai arah sehingga dia menerima bayak tikaman dan mengakibatkan badannya luka parah. Tiba-tiba datang seorang tentera Yazid dari arah belakang lalu menetak bahu Abbas dengan begitu kuat sekali sehingga tangannya menjadi lemah. Namun, dia masih tidak melepaskan pundi air kepunyaan Sukainah. Dengan menggunakan giginya, dia menggigit tali pundi air tersebut. Sepanduk yang dipegang pula terjatuh ke bumi bersama tangannya yang telah terputus.

Air yang telah diambil harus dihantar kepada Sukainah. Namun, anak panah bertubi-tubi menuju ke arah Abbas. Salah satu anak panah telah menembusi pundi air milik Sukainah sehingga air mulai memancut keluar. Abbas ketika itu sudah kehabisan tenaga dan tidak lama kemudian dia terjatuh dari kuda. Abbas menangis tersedu-sedu sehingga suara tangisannya dapat didengari Saidina Husain.

“Wahai Husain, datanglah kepadaku. Biarlah aku tatap wajahmu buat kali terakhir.”
.
Abbas merayu dengan suara yang tersekat-sekat. Saidina Husain dan Ali Akbar bergegas menghampiri Abbas. Beliau melihat Abbas terlantar di atas tanah dalam keadaan berlumuran darah dan tangannya terputus. Lantas beliau memangku Abbas sambil berkata,

“Wahai adikku Abbas, akhirnya, anda juga telah meninggalkanku. Apakah yang harus saya lakukan. Bagaimana harus saya tempuh semua ini tanpamu?”
Dengan tenaga yang sangat lemah Abbas cuba menggerakkan badannya dan berkata,

“Wahai Husain, ketika aku dilahirkan, wajah pertama yang aku lihat ialah wajahmu. Sekarang aku akan pergi buat selama-lamanya. Aku ingin sekali menatap wajahmu buat kali terakhir.”
Dengan perasaan sedih Saidina Husain pun berkata,

“Wahai Abbas, saya masih berada di sisimu. Adakah anda dapat melihatku?”
Dengan suara yang agak perlahan Abbas berkata,

“Wahai Husain, bagaimana aku dapat menatap wajahmu. Mataku berlumuran darah.” Tidak lama kemudian Saidina Husain menyapu mata Abbas. Kini barulah dia dapat melihat wajah Saidina Husain dengan agak jelas.

“Wahai abangku, janganlah bawa jasadku ke dalam khemah. Sesungguhnya aku berasa malu dan aku tidak sanggup dilihat Sukainah, Zainab dan Ummi Kaltsum. Aku tidak ingin mereka menangis lagi.” Pinta Abbas dengan perasaan sayu.

Akhirnya, Abbas pun menghembuskan nafas yang terakhir di pangkuan Saidina Husain. Kemudian Saidina Husain mengambil sepanduk yang terjatuh dari tangan Abbas dan mengikat pundi air milik Sukainah di sepanduk tersebut.

Sukainah yang memerhatikan kehadiran Saidina Husain serta sepanduk yang dibawanya semakin hampir, mula berteriak,

“Wahai kawan-kawan semua! Itu dia bapa saudaraku Abbas telah pulang membawa air. Aku berjanji akan memberikan air kepada kamu.” Tetapi setelah sepanduk tersebut menghampirinya, dia merasa hampa kerana orang yang dimaksudkan bukanlah bapa saudaranya tetapi orang tersebut adalah Saidina Husain.

“Di manakah bapa saudaraku Abbas?” Tanya Sukainah inginkan kepastian.

“Bapa saudaramu Abbas tiada. Dia telah terkorban.” Jawab Saidina Husain dengan nada sedih. Beliau membelai rambut Sukainah sambil memimpinnya masuk ke dalam khemah.

Pada pagi 9 haribulan Muharam, ketua pasukan Yazid memberi arahan supaya peperangan hendaklah dimulakan. Saidina Husain pula meminta supaya peperangan ditangguhkan bukan kerana untuk menghabiskan waktu bersama keluarganya, tetapi sebenarnya beliau sedang menunggu seorang tetamu istimewa. Tetamu tersebut sebenarnya adalah Hur bin Yazid at-Tamini. Hur bermaksud merdeka dan perbuatan Hur bersesuaian dengan namanya. Dia telah memerdekakan dirinya dari api neraka. Hur juga telah memilih kebahagian di akhirat dan nikmat syurga. Ketika Hur mengetuai pasukan Yazid, dia telah mendengar kanak-kanak menangis meminta air.

“Dahaga… Dahaga…” Pinta kanak-kanak yang menyertai rombongan Saidina Husain. Hur tidak dapat berbuat apa-apa. Dia amat menyesali tindakannya memaksa rombongan Saidina Husain ke Karbala.

“Apa yang telah aku lakukan? Kenapa aku membuatkan keturunan Fatimah az-Zahra’ menjadi begini? Dapatkah Saidina Husain memaafkan aku? Adakah Allah s.w.t. akan mengampunkan dosaku? Adakah Fatimah az-Zahra’ akan memaafkanku?” Bisik hati nurani Hur.

Malam 10 Muharam, Hur tidak dapat tidur dengan nyenyak. Sepanjang malam dia menangis dan memohon keampunan daripada Allah s.w.t.. Pada siang hari keesokannya pula, cuaca sangat panas sekali. Kuda tentera Yazid berasa tidak selesa sehingga berkelakuan liar dan mula meronta-ronta. Tentera Yazid terpaksa menyiramkan air ke atas kuda tersebut bertujuan menyejukkannya. Hur melihat begitu banyak air disiram ke atas kuda. Dalam hati kecilnya dia berfikir,
.
“Begitu banyak air dibazirkan untuk binatang, sedangkan keturunan Fatimah az-Zahra’ menangis kehausan. Begitu banyak air digunakan untuk kuda tetapi tiada setitik air pun untuk cucunda Rasulullah s.a.w..”

“Dahaga… Dahaga…” Suara tersebut masih bergema di telinga Hur. Dia tidak dapat menahan lagi mendengar tangisan kanak-kanak kecil. Tidak lama kemudian dia memanggil anaknya dan berkata,

“Wahai anakku, sesungguhnya aku telah melakukan kesalahan yang sangat besar. Aku telah membawa manusia yang mulia lagi suci ke sini untuk dibunuh. Tolonglah bawakan aku berjumpa dengan Saidina Husain agar dapat aku memohon keampunan daripadanya. Dapatkah Saidina Husain memaafkan aku? Bagaimana harus aku bersemuka dengannya? Wahai anakku, sebelum engkau membawa aku bertemu Saidina Husain, ikatlah tanganku dan tutuplah mataku supaya aku tidak dapat melihat wajah beliau semasa aku memohon maaf.”
.
Lalu anak Hur pun melakukan seperti apa yang disuruh. Dia mengikat tangan dan menutup mata bapanya. Kemudian Hur dan anaknya menaiki kuda dan menuju ke khemah Saidina Husain.

Saidina Husain yang memerhatikan kedatangan mereka berdua terus menyambut Hur dan anaknya.

“Selamat datang wahai Hur, saya memang sedang menunggu kedatangan anda.” Sambut Saidina Husain sambil menghampiri Hur dan anaknya. Hur berlutut di kaki Saidina Husain sambil berkata,

“Wahai pemimpinku, wahai Imamku. Ampunilah aku, aku amat menyesal atas apa yang telah aku lakukan. Aku begitu malu sekali.” Saidina Husain memegang bahu Hur dan memeluknya sambil berkata,

“Wahai Hur sahabatku, saya maafkan dirimu. Saya pasti datukku Rasulullah s.a.w., ayahku Saidina Ali k.wh. dan ibuku Fatimah az-Zahra’ juga turut memaafkanmu. Marilah ikutku.” Kemudian Saidina Husain membawa Hur dan anaknya ke dalam khemah.

Ketika trompet ditiup tanda peperangan dimulakan, Hur meminta Saidina Husain mengizinkannya keluar berperang menentang musuh Islam. Saidina Husain menghampiri Hur dan berkata,

“Wahai Hur, anda adalah tetamuku. Anda hanya baru seketika bersamaku. Saya masih belum melayanimu secukupnya. Saya juga belum memberi apa-apa makanan ataupun minuman kepadamu. Sekurang-kurangnya tinggallah bersamaku buat seketika waktu. Saya tidak mengizinkan anda pergi berperang.”
.
Hur tidak berputus asa. Dia masih mendesak supaya Saidina Husain mengizinkannya untuk menjadi orang pertama yang keluar berperang. Setelah berfikir panjang bahawa sekiranya Hur tinggal lebih lama, dia akan menderita kehausan dan kelaparan, akhirnya, Saidina Husain pun memberi kebenaran kepada Hur untuk berperang. Saidina Husain juga membantu menaikkan Hur ke atas kuda dan setelah itu dia pun mula keluar untuk bertempur. Dia adalah seorang yang gagah dan berani. Dia berlawan dengan hebat sekali sehingga ramai tentera Yazid terkorban.

Walaupun Hur mempunyai ketangkasan bermain pedang tetapi ketangkasannya amat terhad jika dibandingkan dengan tentera Yazid yang menyerangnya bertubi-tubi seramai ribuan orang. Akhirnya, Hur pun terjatuh juga dari kudanya. Lukanya begitu parah sekali. Dengan suara yang tersekat-sekat dia memanggil nama Saidina Husain.

“Wahai Imamku, wahai pemimpinku, biarlah aku tatap wajahmu buat kali terakhir.”
Saidina Husain yang mendengar rintihan Hur lalu menghampirinya dan meletakkan kepala Hur di atas pangkuannya dan tidak lama kemudian dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Saidina Husain membelai rambut Hur sambil berkata,

“Selamat tinggal wahai Hur, datukku Rasulullah s.a.w. sedang menantimu. Ayah dan ibuku juga sedang menantimu. Semoga kita akan bertemu di syurga kelak.” Kemudian Saidina Husain membawa mayat Hur ke dalam khemah. Para wanita yang melihat mayat Hur terbujur kaku lalu meratapinya. Tidak lama kemudian mayat Hur pun disemadikan di sekitar khemah.

BEKALAN AIR TERPUTUS

Kini sudah dua hari bekalan air telah disekat tentera Yazid. Cuaca begitu panas sekali. Kanak-kanak pula sudah lama tidak dapat tidur. Mereka menangis kehausan dan kelaparan. Menjelang pagi 10 haribulan Muharam, tiba-tiba Saidina Husain terkenangkan Rasulullah s.a.w.. Lalu beliau pun memanggil Ali Akbar yang wajahnya mirip Baginda.

“Wahai anakku, laungkanlah azan. Ayah ingin sekali mendengar suara Rasulullah s.a.w.. Sesungguhnya suaramu mirip suara datukku.” Tanpa berlengah lagi Ali Akbar pun bangkit melaungkan azan Subuh. Suara azan Ali Akbar bergema di seluruh bumi Karbala. Ini adalah azan terakhir bagi Ali Akbar. Dia juga melaungkan azan dengan penuh emosi. Saidina Husain kelihatan mengalirkan air mata kerana terkenangkan Rasulullah s.a.w.. Para wanita yang berada di dalam khemah juga turut merasa sayu dan ada sebahagian dari mereka yang sebak dan mengalirkan air mata terutama Zainab. Tidak lama kemudian mereka salat Subuh secara berjamaah.

Setelah trompet ditiup tanda peperangan bermula, ramai sahabat Saidina Husain yang gugur. Seorang demi seorang sahabat beliau syahid. Ali Akbar yang membantu bapanya mengusung mayat masuk ke dalam khemah, menemui ayahnya seraya berkata,

“Wahai ayah, sekarang izinkanlah saya pergi berjihad.”
Saidina Husain tidak dapat berbuat apa-apa. Kini hanya tinggal beliau dan Ali Akbar sahaja. Sahabat-sahabat beliau yang lain telah pun gugur di medan pertempuran.

“Wahai anakku, sekarang pergilah berjuang. Ayah mengizinkan engkau pergi berjihad.”
Saran Saidina Husain. Lalu Ali Akbar yang baru berusia 18 tahun pergi menemui ibunya, Ummi Laila untuk meminta kebenaran. Kemudian dia menghampiri Zainab dan berkata,

“Wahai ibu saudaraku Zainab, izinkanlah saya pergi. Tiada siapa lagi yang mampu menyelamatkan nyawa Saidina Husain.”
.
Pinta Ali Akbar. Tidak lama kemudian Ali Akbar pun menuju ke medan pertempuran. Tiba-tiba dia terasa ada orang sedang mengekorinya dari belakang. Lantas dia pun menoleh ke belakang dan mendapati ayahnya sedang menggekorinya.

“Wahai ayah, kenapa ayah mengekori saya?” Tanya Ali Akbar. Saidina Husain menghampiri kuda Ali Akbar dan menjawab,

“Wahai anakku, ayah hanya ingin melihat wajahmu selama mungkin. Ayah akan berhenti di sini, tetapi tataplah wajah ayahmu buat seketika.”
.
Ali Akbar memperlahankan perjalanan. Dia berhenti seketika dan menoleh ke arah wajah ayahnya. Kemudian Ali Akbar meneruskan perjalanan sehingga sampai di medan pertempuran. Dia berlawan dengan berani sekali. Ramai panglima musuh telah ditewaskan. Setelah itu dia kembali pula menemui ayahnya.

“Wahai ayah, adakah ayah melihat bagaimana saya berlawan tadi? Kalaulah bapa saudara saya Abbas masih hidup Wahai ayah, berikanlah saya sedikit air. Saya sangat dahaga. Jika saya mendapat air sudah pasti saya dapat mengalahkan seluruh tentera Yazid.” Kata Ali Akbar.
.
Saidina Husain menghampiri Ali Akbar lalu berkata,

“Wahai anakku, marilah dekat padaku dan lihatlah ke dalam mulutku.” Maka Ali Akbar pun melihat ke dalam mulut ayahnya sambil berkata,

“Wahai ayah, mulut ayah lebih kering dari mulut saya. Ayah tentulah lebih dahaga daripada saya.”
.
Kemudian Ali Akbar kembali ke medan perang. Amar Saad yang melihat kehadirannya menyuruh tenteranya membunuh Ali Akbar dengan apa cara sekalipun. Lalu tentera Yazid menyerang Ali Akbar dari pelbagai arah. Manakala seorang tentera Yazid telah datang dari arah belakang lalu menikam dada Ali Akbar dengan sebilah lembing. Lembing tersebut telah menembusi tubuhnya sehingga menyebabkan hulunya patah. Hanya mata lembing sahaja yang menembusi dada Ali Akbar. Tidak lama kemudian dia rebah ke tanah dan dengan suara yang tersekat-sekat dia memanggil nama ayahnya.

“Wahai ayah, terimalah salam terakhir daripadaku.” Mendengar panggilan Ali Akbar, Saidina Husain pun bergegas menuju ke arah medan perang.

“Wahai anakku, wahai buah hatiku, di manakah dikau?” Tanya Saidina Husain mencari-cari Ali Akbar yang sedang terlentang di atas tanah sambil kedua tangan memegang dadanya. Saidina Husain segera mendapatkan Ali Akbar. Beliau memangku Ali Akbar yang sedang berada dalam kesakitan yang amat sangat seraya berkata,

“Wahai anakku, kenapa anda menutup dadamu? Adakah dadamu luka? Biarlah ayah lihat.”

“Tidak wahai ayah, janganlah alihkan tangan saya. kerana ayah tidak akan sanggup melihatnya.”
.
Jawab Ali Akbar dengan suara yang lemah. Kemudian Saidina Husain memegang tangan Ali Akbar dan mengalihkannya dengan perlahan-lahan. Beliau melihat mata lembing terbenam di dada Ali Akbar sehingga menembusi jantungnnya. Walaupun Ali Akbar mengerang kesakitan namun, Saidina Husain tetap memegang mata lembing tersebut dengan kedua belah tangannya. Sambil melaungkan Allahu Akbar, beliau menarik mata lembing tersebut sekuatnya sehingga baju beliau dibasahi dengan percikan darah. Tidak lama kemudian Ali Akbar menghembuskan nafasnya yang terakhir. Tanpa membuang masa Saidina Husain mengusung jenazah anaknya menuju ke khemah. Setibanya di khemah, lantas beliau memanggil Zainab dan Ummi Laila.

“Wahai Zainab, wahai Ummi Laila, tolonglah saya. Ambillah Ali Akbar, sesungguhnya dia sudah terkorban.”
.
Pinta Saidina Husain. Kemudian Zainab dan Ummi Laila pun membantu beliau mengusung jenazah Ali Akbar dan tidak lama kemudian mereka bersama-sama mengebumikan jasadnya.

Ketika waktu Asar tiba, kini hanya Saidina Husain bersendirian. Kesemua sahabatnya telah terkorban. Masanya sudah tiba untuk beliau pergi berjuang. Saidina Husain menemui kesemua keluarganya dan mengucapkan selamat tinggal. Beliau mengambil pedang Zulfikar lalu diikat di pinggang. Beliau menunggang Zulzana iaitu kuda yang amat disayangi. Sebelum bergerak Saidina Husain mengambil beberapa langkah lalu menghadap pihak musuh dan dengan suara yang lantang beliau berkata,

“Adakah sesiapa di kalangan kamu yang ingin membantuku? Adakah sesiapa yang ingin membantu cucunda Rasulullah s.a.w.?”
.
Sebenarnya beliau ingin memberi peluang terakhir buat tentera Yazid supaya bertaubat. Tetapi sesungguhnya mereka semua memanglah munafik. Tiada siapa yang menyahut panggilannya. Namun, tiba-tiba beliau mendengar suara dari arah khemah. Tanpa membuang masa beliau pun berpatah balik menuju khemah.

“Wahai Zainab, kenapa engkau menangis? Saya masih belum terkorban lagi. Saidina Husain menghampiri adiknya sambil memujuknya.

“Wahai abangku, semasa abang meminta bantuan tadi, adakah ada sesiapa yang ingin membantumu? Baru sebentar tadi Ali Asghar terjatuh dari peraduannya.”
.
Zainab menceritakan perihal anak kecilnya. Saidina Husain memang tahu apa yang ingin Ali Asghar katakan. Lalu beliau menemui Ummi Rubab yang sedang mendukung Ali Asghar dan mengambil Ali Asghar yang sedang menangis sambil membisikkan sesuatu ke telinganya. Tidak lama kemudian Ali Asghar berhenti menangis dan tersenyum sambil memandang wajah ayahnya.

“Wahai Ummi Rubab, izinkan saya mendapatkan sedikit air untuk Ali Asghar.”
.
Pinta Saidina Husain. Tidak lama kemudian Ummi Rubab pun menyalinkan pakaian Ali Asghar. Saidina Husain membawa Ali Asghar ke medan perang. Cuaca ketika itu sangat panas sekali. Ali Asghar pula kelihatan sangat dahaga. Saidina Husain menutup muka Ali Asghar dengan sehelai kain untuk mengelak dari pancaran cahaya matahari yang terik. Tentera Yazid memerhatikan kedatangan Saidina Husain dengan suatu bungkusan di tangan.

“Lihat! Husain datang membawa Al-Quran. Dia sudah tidak mempunyai sesiapa untuk membantunya. Dia ingin menggunakan Al-Quran untuk berdalih dan menang.”

Saidina Husain berjalan perlahan menuju ke arah tentera Yazid dan membuka bungkusan di tangannya untuk menunjukkan Ali Asghar. Beliau menjulang Ali Asghar dengan kedua belah tangan seraya berkata,

“Wahai tentera Yazid! Kamu menganggap saya yang bersalah dalam hal ini. Tetapi apakah kesalahan yang dilakukan oleh bayi kecil ini? Dia sudah lama tidak menyusu. Dia juga sudah tiga hari tidak minum. Jika dibiarkan dia akan mati kehausan. Saya merayu kepada kamu supaya berikanlah bayi yang tidak berdosa ini sedikit air.”
.
Namun, tiada seorang pun daripada tentera Yazid yang bersedia memberikan air untuk Ali Asghar. Sekali lagi Saidina Husain merayu,

“Mungkin anda semua menyangka sekiranya anda memberikan air, sayalah yang akan minum dulu. Jika begitu, saya akan letakkan bayi ini di atas tanah. Anda boleh datang dan berikan dia sedikit air.”
.
Kemudian beliau meletakkan Ali Asghar di atas tanah yang panas membakar. Namun, malang sekali, tiada seorang pun yang mengasihani dan memberi Ali Asghar air. Saidina Husain merasa kesal lalu mendukung Ali Asghar semula sambil berkata,

“Wahai anakku, engkau terlalu muda untuk memikul senjata dan berperang. Wahai mujahid kecilku, wahai cucunda Saidina Ali, wahai Ali Asghar, berjihadlah dengan lidahmu.”

Ali Asghar berjihad dengan tidak menggunakan senjata. Dia berjihad menggunakan lidahnya yang kecil lagi kering. Tentera Yazid berasa sangat terharu dengan apa yang dilihat sebentar tadi. Kerana kebanyakan mereka juga mempunyai anak kecil. Mereka berasa simpati dan sebahagian mereka ada yang mengalirkan air mata. Antara mereka ada yang berkata,

“Memang benar apa yang dikakatan oleh Husain. Apalah dosa bayi kecil itu. Kenapa kita menyeksanya begini rupa? Berikanlah bayi tersebut sedikit air.”

Manakala di sudut lain, Amar bin Saad pula tergesa-gesa memanggil ahli pemanahnya dan menyeru dengan suara lantang,

“Wahai Hurmullah! Apa yang engkau tunggu lagi? Lenyapkanlah bayi kecil itu! Tahukah engkau dia adalah cucunda Saidina Ali? Cepat! Panah dia sebelum terlambat.”
.
Lalu Hurmullah pun mengacukan panahnya ke arah Ali Asghar. Dia tidak menggunakan panah yang kecil sebaliknya dia menggunakan anak panah serampang tiga. Kini anak panah tersebut terbang merintasi Padang Karbala. Ia menuju ke arah Ali Asghar. Saidina Husain yang melihat anak panah tersebut menuju ke arah anaknya, dengan pantas melindunginya dengan menggunakan tangannya. Namun, anak panah tersebut sangat pantas lalu mengenai lengan Saidina Husain dan menembusi leher kecil Ali Asghar. Akhirnya, Ali Asghar meninggal dunia dengan serta merta. Saidina Husain merasa sangat kecewa dengan tindakan tentera Yazid lalu membawa mayat Ali Asghar ke dalam khemah dan terus menemui Ummi Rubab sambil berkata,

“Wahai Rubab, ambillah anak kita ini. Marilah kita kebumikan mayatnya.”
.
Tidak lama kemudian mereka berdua menuju ke kawasan lapang di belakang khemah. Dengan menggunakan pedang Zulfikar beliau menggali lubang sambil diperhatikan keluarga Ahlul-Bait. Akhirnya, mayat Ali Asghar selamat disemadikan. Setelah itu Saidina Husain berdiri di tepi khemah dan menghadap ahli keluarga Ahlul-Bait seraya berkata,

“Assalamualaikum wahai Zainab, Assalamualaikum wahai Ummi Kaltsum, Assalamualaikum wahai Ruqaiyah, Assalamualaikum wahai Ummi Farwah, selamat tinggal semua, selamat jalan semua.”

Kesemua wanita yang berada di situ merasa sayu dan sebak lalu mengerumuni Saidina Husain. Mereka menangis sambil mengucapkan selamat tinggal. Saidina Husain menghampiri Zainab dan berkata,

“Wahai Zainab, tolong bawa saya berjumpa anak saya. Biarlah saya ucapkan selamat tinggal kepada Ali Zainal Abidin.”
.
Tanpa berlengah lagi mereka berdua memasuki khemah Ali Zainal Abidin. Saidina Husain melihat anaknya sedang terbaring tidak sedarkan diri. Zainab menghampiri Ali Zainal Abidin sambil berkata,

“Wahai anakku Ali Zainal Abidin, ayahmu ingin berjumpa denganmu.” Tidak lama kemudian Ali Zainal Abidin menggerakkan badannya dan membuka mata. Dia melihat Saidina Husain memakai pakaian serba putih yang dipenuhi percikan darah.

“Wahai anakku, ayah datang ingin mengucapkan selamat tinggal. Ayah akan keluar untuk berperang.” Kata Saidina Husain sambil membelai rambut anaknya. Ali Zainal Abidin menoleh ke arah Saidina Husain dan dengan suara yang agak perlahan dia berkata,

“Wahai ayah, di manakah bapa saudaraku Abbas? Wahai ayah, di manakah Ali Akbar?” Dengan perasaan sayu Saidina Husain menjawab,

“Wahai anakku, janganlah ditanya lagi. Mereka semua telah terkorban, kini hanya tinggal ayah dan dirimu sahaja.” Ali Zainal Abidin cuba bangun dari pembaringan seraya berkata,

“Wahai ibu saudaraku Zainab, bawakan pedangku. Saya akan pergi berperang. Saya akan selamatkan nyawa ayah.”

“Tidak wahai anakku, engkau sedang sakit tenat dan jihad tidak wajib ke atasmu. Jihadmu akan tiba kelak. Banyak tanggungjawab yang engkau akan terpaksa pikul selepas ketiadaan ayah. Engkau juga akan menempuh kesusahan dan penderitaan. Dari itu bersabarlah wahai anakku. Hanya satu ayah pinta. Jika engkau sampai di Madinah al-Munawwarah kelak, sampaikan salam ayah buat teman dan katakan kepada mereka Saidina Husain terkorban kerana menegakkan kebenaran dan keadilan.”
.
Jawab Saidina Husain memberi pengharapan. Kemudian beliau memandang Zainab dan berkata,

“Wahai Zainab, wasiat terakhirku kepadamu adalah saya berharap supaya segala urusanku sepeninggalanku kelak adalah di tanganmu. Jagalah Ali Zainal Abidin sebaik mungkin. Kerana kuasa kepimpinan adalah dalam jagaanmu. Jagalah anak perempuanku, Sukainah. Kerana dia juga banyak menangis selepas kematianku.”
.
Selepas berucap Saidina Husain pun menuju ke kudanya. Selama ini beliau telah menolong para pengikutnya menaiki kuda. Tetapi kini beliau keseorangan. Tiada siapa yang dapat membantunya. Zainab melihat abangnya agak sukar untuk menaiki kuda. Lalu dia menghampiri Saidina Husain dan berkata,

“Wahai abangku, bawalah kuda itu berhampiran khemah. Biarlah aku membantumu.” Lantas Zainab menstabilkan kuda tersebut sambil Saidina Husain menaiki Zulzana. Kuda Saidina Husain mengambil beberapa langkah maju ke depan dan tiba-tiba ia berhenti. Saidina Husain membelai leher kuda beliau dengan manja lalu berkata,

“Wahai kudaku yang setia, saya tahu engkau sangat dahaga. Engkau juga telah membantuku membawa mayat semenjak Subuh lagi. Sekarang bawalah saya ke medan perang buat kali terakhir. Selepas ini saya tidak akan menyusahkan engkau lagi. Marilah kita pergi.”
.
Suzanna seolah-olah mengerti apa yang dikatakan Saidina Husain lalu air matanya mulai mengalir. Kemudian ia menundukkan kepalanya ke bawah. Ketika Saidina Husain melihat ke bawah, beliau ternampak anak perempuannya sedang memaut erat kaki kuda tersebut. Sukainah baru sahaja berusia empat tahun tetapi dia sangat mencintai bapanya sebagaimana Fatimah az-Zahra’ juga menyayangi Saidina Husain. Tiba-tiba Sukainah menangis teresak-esak sambil berkata,

“Wahai kuda, janganlah bawa ayahku pergi. Pastinya engkau tidak akan membawa ayahku kembali. Kerana semenjak Subuh lagi semua orang yang pergi tidak kembali. Janganlah bawa ayahku pergi. Aku tidak dapat hidup tanpa ayahku.”
Keadaan ketika itu sungguh menyayat hati. Saidina Husain merasa simpati lalu turun dari kuda dan berkata,

“Wahai Sukainah, janganlah menangis. Bukankah Sukainah telah mengizinkan ayah pergi? Pulanglah dan berdoalah bersama ibu dan ibu saudaramu. Sesungguhnya nenekmu Fatimah az-Zahra’ sedang menunggu ayah.” Sukainah menjawab,

“Wahai ayah, saya biasa tidur dalam pelukan ayah hampir setiap malam. Selepas ini bagaimana saya dapat tidur tanpa ayah? Permintaan terakhir saya ialah biarlah saya tidur di atas dada ayah buat seketika.”
.
Lalu Saidina Husain pun berbaring di atas tanah. Sukainah merebahkan kepalanya di atas dada beliau buat seketika. Kemudian dia bangun dan berkata,

“Pergilah wahai ayah, selamat tinggal ayah.” Kemudian Saidina Husain menaiki kuda dan terus menuju ke medan perang. Beliau bukan seorang yang pengecut. Malahan beliau adalah seorang yang sangat berani lagi gagah. Beliau adalah anak kepada Saidina Ali k.wh. dan justeru itu beliau berperang dengan begitu berani sekali. Seorang demi seorang panglima handalan Yazid dibunuh sehingga pihak musuh mulai berundur bila melihat ketangkasannya. Tiada seorang pun yang berani tampil ke depan.

SYAHID

Akhirnya, tentera Yazid menyerang menggunakan anak panah secara beramai-ramai. Ada juga yang melontar dengan batu dan sebahagian yang lain menyerang menggunakan pedang sehingga menyebabkan badan Saidina Husain dipenuhi luka dan darah mengalir dengan banyaknya.

Kini badan Saidina Husain dipenuhi anak panah dan beliau mulai terhoyong-hayang lalu terjatuh dari kuda. Tiba-tiba seorang hamba abdi yang berkulit hitam yang di tangannya terhunus sebilah pedang menghampiri Saidina Husain. Dengan muka yang bengis dia cuba mengangkat pedangnya untuk memenggal kepala cucu Rasulullah s.a.w..

Saidina Husain mengangkat kepalanya dan memandang hamba abdi tersebut seraya berkata,
“Wahai sahabatku, sesungguhnya wajahmu mirip Bilal, sahabat Rasulullah s.a.w.. Sudahkah anda salat Zuhur?”
.
Hamba abdi tersebut terperanjat lalu mencampakkan pedangnya dan berlari sambil menjerit ketakutan.

“Apa yang telah aku lakukan? Bagaimana aku dapat memenggal kepala manusia ini? Dia sebenarnya seorang yang mulia lagi suci. Di saat kematiannya pun dia boleh menasihatikan aku supaya mendirikan sembahyang.”

Seorang tentera Yazid bernama Syimr menghampiri Saidina Husain dengan pedang yang terhunus. Saidina Husain yang melihat kedatangan Syimr lalu berkata,

“Wahai Syimr, saya tahu tujuanmu. Berilah saya sedikit masa untuk melakukan dua sujud.” Kemudian Saidina Husain pun melakukan sujud pertama sambil berdoa,

“Ya Allah, segala puji-pujian untukMu ya Allah.” Seterusnya beliau mengangkat kepala untuk melakukan sujud yang kedua.
.
Syimr yang durjana tidak membenarkan beliau berbuat demikian dan terus memenggal lehernya. Akhirnya, Saidina Husain syahid pada 10 haribulan Muharam tahun ke-61 Hijrah. Inna Lillah, Wa Inna Ilaihi Raji'un........