INFORMASI

MAKLUMAN

Blog ini adalah hak milik Pintu Ilmu Resources (00159443-D) - PUSAT RAWATAN HOMEOPAYHY- yang beralamat di: Pusat Perubatan Holistik dan Alternatif 4932, Traffic Light Tok Jiring, Jalan Kelantan 21060 Kuala Terengganu, Darul Iman. Untuk lokasi klinik sila klik di sini

Pada 08/11/2015 klinik ditutup kerana doktor bertugas outstation. Harap maklum.

TESTIMONIAL TERKINI i

TAJAAN

Isnin, 5 Disember 2011

BIOGRAFI SAIDINA HUSAIN

Setelah setahun kelahiran Saidina Hasan, Rasulullah s.a.w. menerima khabar gembira tentang kelahiran cucunda Baginda yang kedua. Cucunda Baginda yang comel tersebut dilahirkan pada 3 haribulan Sya’ban tahun keempat Hijrah. Lantas Rasulullah s.a.w. bergegas ke rumah Saidina Ali k.wh. dan Fatimah az-Zahra’ seraya bersabda kepada Asma binti Umais,
       “Wahai Asma, berikanlah bayi itu kepadaku.” Asma binti Umais membawa bayi comel yang masih dibungkus dengan kain putih itu lalu diberikan kepada Rasulullah s.a.w.. Baginda begitu gembira lalu dibacakan azan di telinga kanan dan iqamat di telinga kiri bayi tersebut. Kemudian Baginda menidurkan cucundanya sambil menangis tersedu-sedu. Melihat kejadian tersebut, Asma binti Umais kehairanan lalu bertanya,
       “Wahai Rasulullah, mengapa Tuan menangis?” Rasulullah s.a.w. memandang Asma binti Umais sambil bersabda,
       “Wahai Asma, bayi ini kelak akan dibunuh oleh sekelompok pembangkang sesudah peninggalanku yang mana syafaatku tidak akan sampai kepada mereka. Wahai Asma, janganlah anda memberitahu kepada Fatimah az-Zahra’ kerana dia baru sahaja bersalin.” Kemudian Rasulullah s.a.w. menghadap Saidina Ali k.wh. seraya bersabda,
       “Siapakah nama bayi ini?” Saidina Ali k.wh. menjawab,
       “Saya tidak berani mendahului Tuan, wahai Rasulullah.” Tidak lama kemudian Allah s.w.t. menurunkan wahyu kepada Rasulullah s.a.w. yang memberitahu tentang nama bayi tersebut. Lalu Baginda menghadap Saidina Ali k.wh. dan bersabda,
       “Namakanlah bayi tersebut dengan nama Husain.”
       Pada hari ketujuh Rasulullah s.a.w. telah menyembelih seekor kambing sebagai akikah untuk Saidina Husain. Baginda mencukur rambut Saidina Husain dan bersedekah berupa perak seberat timbangan rambut tersebut.
       Safiah binti Abdul Muthalib meriwayatkan,
       “Ketika Saidina Husain lahir, Rasulullah s.a.w. datang dan bersabda, “Wahai ibu saudaraku, berikan kepadaku cucundaku itu.” Aku berkata, “Wahai Rasulullah, bayi tersebut belum dibersihkan lagi.”
      “Adakah anda akan membersihkan bayi tersebut? Sesungguhnya Allah s.w.t. akan membersihkan dan mensucikan bayi tersebut.” Jawab Rasulullah s.a.w.. Lalu aku pun memberikan bayi tersebut kepada Rasulullah s.a.w.. Baginda mendakapnya dan memasukkan lidah Baginda ke dalam mulut Saidina Husain seolah-olah Baginda memberikan susu. Kemudian Baginda mencium dahi Saidina Husain sambil menangis. Tidak lama kemudian Baginda pun bersabda, “Semoga Allah s.w.t. melaknat golongan yang akan membunuh cucundaku.” Rasulullah s.a.w. mengucapkannya sebanyak tiga kali. Aku berkata, “Demi bapa dan ibuku, adakah dia akan syahid dibunuh?” Rasulullah s.a.w. menjawab, “Dia akan dibunuh oleh satu golongan dari keturunan Bani Umayyah.”
       Semenjak kecil lagi wajah Saidina Husain mirip Rasulullah s.a.w., manakala wajah Saidina Hasan pula mirip bapa beliau iaitu Saidina Ali k.wh.. Di dalam kitab Taurat nama Saidina Husain dikenali sebagai Syabir yang bermaksud baik. Rasulullah s.a.w. sering memuji-muji cucunda kesayangannya dan sering membawa Saidina Husain bersiar-siar.
       Nama sebenar beliau ialah Saidina Husain Bin Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib bin Abdul Muthalib bin Hasyim bin Abdul Manaf bin Qushai bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Lu’i bin Ghalib bin Fahr bin Malik bin Nadar bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilias bin Mudhar bin Nizar bin Ma’ad bin Adnan bin ‘Add bin Humaisi’ bin Salamam bin Auz bin Buz bin Qamwal bin Ubai bin ‘Awwam bin Nasyid bin Haza bin Bildas bin Yadlaf bin Tabikh bin Jahim bin Nahisy bin Makhi bin Aid bin ‘Abqar bin ‘Ubaid bin Ad-Da’a bin Hamdan bin Sanbir bin Yathrabi bin Yahzin bin Yalhan bin Ar’awi bin Aid bin Desyan bin Aisar bin Afnad bin Aiham bin Muksar bin Nahits bin Zarih bin Sami bin Wazzi bin ‘Adwa bin Aram bin Haidir bin Nabi Ismail a.s. bin Nabi Ibrahim a.s. bin Azar bin Nahur bin Saru’ bin Ra’u bin Falikh bin Abir bin Syalikh bin Arfakhsyad bin Sam bin Nabi Nuh a.s. bin Lamik bin Matul Syalakh bin Nabi Idris a.s. bin Yarid bin Mahlail bin Qinan bin Anwas bin Syits bin Nabi Adam a.s..
       Abu Hurairah meriwayatkan,
       “Suatu hari Rasulullah s.a.w. telah mendukung Saidina Hasan dan Saidina Husain. Kemudian Baginda mencium kedua cucunda kesayangannya. Setibanya di tempat kami, sambil menunjuk kepada Saidina Hasan dan Saidina Husain Baginda bersabda, “Ketahuilah, barangsiapa menyintai kedua budak ini bererti dia mencintaiku dan barangsiapa membenci kedua budak ini bererti dia membenciku.”
       Jabir bin Abdullah meriwayatkan, aku mendengar sendiri Rasulullah s.a.w. bersabda, “Barangsiapa ingin melihat pemuda pemimpin penghuni syurga lihatlah al-Husain ini.”

TAWADUK DAN WARAK

       Isham bin al-Mustaliq, seorang pengikut Muawiyah bin Abi Sufian adalah musuh Saidina Husain dan Saidina Ali k.wh. serta sangat membenci Ahlul-Bait telah menceritakan,
       “Ketika aku memasuki Kota Madinah al-Munawwarah, di kota itu aku pertama kali melihat Saidina Husain bin Saidina Ali k.wh.. Setelah melihat raut wajah beliau yang tampan dan segak, aku mengaku dalam hati kecilku sebenarnya mengkaguminya. Akan tetapi prasangka buruk dan kecurigaanku terhadapnya membuat aku benci dan dengki apatah lagi terhadap ayahnya. Tanpa alasan yang masuk akal, aku telah memaki hamun dengan pelbagai tohmahan terutama kepada ayahnya. Tetapi aku sendiri menjadi hairan kerana Saidina Husain tidak memperlihatkan tanda kemarahan. Beliau hanya berdiam diri dan dengan penuh perhatian mendengar semua ucapanku yang menusuk perasaan. Beliau menatap mukaku dengan pandangan mata yang mengisyaratkan kasih sayang. Dengan sabar beliau mendengar semua maki-hamun yang aku tujukan kepada ayahnya. Setelah aku berhenti memaki-hamun barulah beliau menjawab dengan membaca ayat suci Al-Quran.
       “Hendaklah engkau menjadi seorang pemaaf dan ajaklah orang menjalankan kebajikan. Janganlah engkau hiraukan (gangguan) orang yang dungu. Bila engkau menghadapi godaan syaitan mintalah perlindungan daripada Allah s.w.t.. Sesungguhnya Allah s.w.t. Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Apabila orang yang benar-benar bertakwa dihinggapi was-was (godaan) syaitan, mereka pasti akan segera mengingati Allah s.w.t. dan ketika itu juga mereka akan melihat (segala sesuatu dengar sedar).”[1]
       Selesai membaca ayat suci tersebut, dengan suara lembut beliau berkata,
       “Bertenanglah dan mohonlah ampun kepada Allah s.w.t.. Sebenarnya saya sama sekali tidak memahami maksudmu. Jika anda memerlukan sesuatu, saya akan berusaha membantumu. Jika anda memerlukan penginapan, saya akan sediakan untukmu. Jika anda memerlukan petunjuk mengenai sesuatu Insya-Allah saya akan berikan pertunjuk yang anda perlukan.”
       “Demi Allah, ketika aku mendengar ayat Al-Quran yang dibaca dan kalimah yang diungkapkan, aku merasa sangat menyesal atas semua maki hamun yang aku ucapkan. Aku merasa malu kepadanya dan kepada diriku sendiri sehingga aku berfikir alangkah baiknya jika bumi yang sedang aku pijak terbelah dan menelanku. Dengan langkah perlahan aku berganjak pergi meninggalkan beliau. Sejak peristiwa itu aku merasa seolah-olah di muka bumi ini tidak ada orang yang lebih baik kucintai selain Saidina Husain dan Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib.”
       Abu Zar, seorang sahabat Rasulullah s.a.w. telah mengakui kehebatan ilmu Saidina Husain. Abu Zar adalah seorang yang terkenal kerana keberanian dan kecekalan iman. Beliau sentiasa menentang para pemerintah yang sering melakukan penyelewengan yang merugikan negara dan umat. Beliau merasa berkewajipan untuk mengingatkan mereka supaya kembali ke jalan hidup yang luhur sebagaimana dikehendaki Allah s.w.t. dan Rasulnya. Ketika Abu Zar tinggal di daerah Syam, iaitu pusat kekuasaan Muawiyah bin Abi Sufian, beliau menyaksikan para penguasa pemerintah yang bergelumang dalam kesenangan dan kemewahan. Abu Zar memperingati mereka supaya kembali menghayati cara hidup sederhana seperti yang berlaku di zaman Rasulullah s.a.w..
       Kerana peringatan yang diberikan secara baik tidak pernah dihiraukan, Abu Zar berkempen ke pelbagai pelusuk untuk memberikan pengertian dan menanamkan kewaspadaan di kalangan kaum muslimin. Dalam kempennya itu dia sering membacakan ayat Al-Quran yang berbunyi,
       “Orang yang menghimpunkan emas dan perak yang tidak mahu menginfakkannya di jalan Allah s.w.t.. Beritahulah mereka bahawa mereka itu akan mendapat seksa yang amat pedih iaitu pada hari emas dan perak yang panas itulah dahi mereka dibakar. Demikian pula rusuk dan punggung mereka. Inilah harta kekayaan yang anda semua simpan untuk diri anda. Sekarang rasakanlah apa yang anda semua simpan dulu.”[2]
       Kerana pendirian Abu Zar yang sangat tegas mengenai penafsiran dan perlaksanaan hukum Islam, dia telah tidak disukai oleh penguasa daerah Syam, iaitu Muawiyah bin Abi Sufian dan juga Khalifah Othman bin Affan sendiri. Akhirnya, Abu Zar telah dibuang daerah ke sebuah perkampungan di tengah Padang Pasir bernama Rabadzah yang terpencil jauh dari masyarakat. Ketika Abu Zar bertolak ke tempat pembuangan, Saidina Husain, Saidina Hasan dan Saidina Ali k.wh. turut menghantar hingga ke sempadan Kota Madinah al-Munawwarah. Ketika itu Saidina Husain telah berpesan kepada sahabat Rasulullah s.a.w. yang telah tua itu dengan berkata,
       “Wahai Abu Zar, sesungguhnya Allah s.w.t. mempunyai kekuasaan untuk mengubah segala apa yang anda lihat. Para pemerintah telah melarang anda daripada berada dalam lingkungan dunia mereka dan membuang anda ke tempat yang terpencil. Tetapi anda tetap berpegang teguh pada keyakinan dan pendirian anda. Pada hakikatnya anda tidak memerlukan dunia mereka atas dasar keyakinan yang anda pegang teguh itu. Sedangkan mereka sebenarnya telah memerlukan pada apa yang anda miliki. Wahai Abu Zar, mohonlah kepada Allah s.w.t. supaya anda diberi kesabaran dan juga mohonlah perlindungan kepadaNya supaya anda tidak memiliki sifat serakah, putus asa dan tidak bersabar. Kerana sebenarnya kesabaran itu adalah pati agama. Sedangkan sifat serakah itu tidak akan menambah rezeki. Ketahuilah tiada guna tidak bersifat sabar. Kerana sifat tidak bersabar itu bagaimanapun tidak akan dapat menunda ajal seseorang walau waktunya sudah tiba.”
       Dengan perasaan terharu Abu Zar mendengar pesanan Saidina Husain yang dilihat dari sudut umur sebenarnya Saidina Husain layak dipanggil cucunda. Namun, Abu Zar sangat menghormati Saidina Husain kerana beliau adalah Ahlul Bait berketurunan Rasulullah s.a.w. dan mempunyai ilmu pengetahuan yang mendalam. Abu Zar juga terharu kerana cucunda Rasulullah s.a.w. itu mengungkapkan isi hati dan perasaan beliau dengan bahasa yang indah dan mempunyai makna yang mendalam.
AKHLAK MULIA

       Mengenai ketinggian takwa yang dimiliki oleh Saidina Husain, Anas bin Malik telah menyaksikan sendiri ketika dia mengunjungi rumah Saidina Husain. Di rumah beliau Anas melihat seorang hamba perempuan datang membawa minyak wangi untuk diberikan kepada tuan rumah. Hamba perempuan tersebut masuk sambil mengucapkan salam kepada tuannya. Saidina Husain yang mendengar ucapan salam hambanya ketika itu juga berkata,
       “saya memerdekakan anda sekarang juga.” Bukan sahaja hamba perempuan tersebut yang kehairanan malah Anas bin Malik pun turut menjadi hairan. Lalu dia bertanya,
       “Alasan apakah yang mendorong anda membebaskan hamba sahaya itu? Apakah kerana dia menghantar minyak wangi kepada anda?”
       Saidina Husain menjawab,
       “Bukankah begitu akhlak dan budi pekerti yang diajarkan Allah s.w.t. kepada kita? Bukankah Allah s.w.t. telah berfirman:
       “Apabila diberikan ucapan salam hormat oleh seseorang hendaknya anda balas ucapan itu dengan salam hormat yang lebih baik atau yang serupa.”[3]
       “Apakah ada sesuatu yang lebih baik untuk membalas ucapan salam hormat hamba sahaya ini daripada memerdekakannya dari perhambaan?” Anas bin Malik tercengang mendengar jawapan Saidina Husain.
       Demikianlah cara cucunda Rasulullah s.a.w. tunduk dan patuh kepada firman Allah s.w.t.. Betapapun kedermawan dan pemurah seorang itu bila tidak mengikut ketakwaan kepada Allah s.w.t., dia tidak mudah untuk tunduk dan patuh kepada ajaran Al-Quran. Tetapi bagi Saidina Husain, sebagai anggota Ahlul-Bait yang dibesarkan bawah naungan wahyu Ilahi tidak mengalami kesukaran untuk bersikap mulia dan pemaaf. Baginya Al-Quran bukan setakat bacaan dan hafalan, tetapi juga merupakan pedoman hidup yang dijunjung tinggi dan dihayati secara zahir dan batin.
       Peranan Saidina Husain sebagai pemimpin mulai terserlah setelah bapanya dibaiat menjadi khalifah. Ketika peperangan di Bashrah, Nahrawan dan Shiffin yang dipimpin Saidina Ali k.wh., beliau diamanahkan untuk terlibat bersama di setiap pertempuran sehingga dapat mematahkan serangan musuh.

MENUJU MAKKAH Al-MUKARRAMAH

       Pada 15 haribulan Rejab tahun 60 Hijrah, Khalifah Muawiyah telah meninggal dunia. Dia telah berwasiat supaya kekuasaan digantikan oleh anaknya yang bernama Yazid.
       Ketika Khalifah Muawiyah jatuh sakit, Yazid tidak berada di sampingnya kerana masih belum pulang dari kegiatannya memburu binatang di hutan di sempadan daerah Syam. Setelah Yazid memegang tampuk pemerintahan dia menggelarkan dirinya Amirul Mukminin. Kemudian dia mengutus surat kepada Gabenor Madinah al-Munawwarah supaya berbaiat dengannya. Saidina Husain yang ketika itu sedang menziarahi makam datuknya merasa amat tekejut dengan surat yang dihantar kepada penduduk Madinah al-Munawwarah. Walau bagaimana sekalipun beliau tetap dengan pendiriannya untuk tidak membaiat (menyokong) Yazid sebagai khalifah. Setelah selesai menziarahi makam Rasulullah s.a.w., Saidina Husain bercadang untuk ke Makkah al-Mukarramah demi menunaikaan fardu haji yang akan menjelang tiba. Ketika beliau ingin melangkah pergi beliau telah bertembung dengan Marwan bin Hakam. Dengan suara yang agak kasar Marwan bin Hakam memerintahkan Walid bin Uqbah untuk menahan Saidina Husain.
       “Tahan dia! Jangan biarkan dia pergi sebelum bersedia menyatakan baiat terhadapYazid. Jika dia menolak, pancung sahaja kepalanya.” Perintah Marwan.
       Walid bin Uqbah tidak sampai hati untuk menahan cucunda Rasulullah s.a.w. yang mulia itu. Dia berpaling kepada Marwan lalu berkata,
       “Wahai Marwan, demi Allah, aku tidak mahu membunuh Husain, sekalipun aku dijanjikan dengan kekayaan di dunia ini atau aku diberikan kedudukan yang tinggi sekali.”
       Hilanglah harapan Marwan untuk mempergunakan Walid bin Uqbah. Manakala pada 28 haribulan Rejab tahun 60 Hijrah, Saidina Husain bersama keluaganya telah bertolak dari Madinah al-Munawwarah menuju Makkah al-Mukarramah.
       Selama 5 hari 5 malam mereka berjalan menyelusuri Padang Sahara. Mereka disinari mentari terik di siang hari dan dibasahi embun malam yang sangat sejuk. Siang dan malam mereka berjalan tanpa henti. Hanya diselangi dengan berehat beberapa kali untuk melepaskan penat dan dahaga. Pada penghujung hari yang kelima, setelah solat Subuh secara berjamaah mereka berasa gembira kerana bayangan kota Makkah al-Mukarramah dengan menara masjid mulai kelihatan. Mereka menyuarakan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana selamat dari malapetaka sepanjang perjalanan. Rombongan mereka sampai di Makkah al-Mukarramah pada 3 haribulan Sya’ban tahun 60 Hijrah.
       Berita tentang perpindahan Saidina Husain sekeluarga dari Madinah al-Munawwarah ke Makkah al-Mukarramah telah tersebar luas di seluruh dunia Islam. Kaum muslimin Madinah al-Munawwarah pada umumnya merasa sangat sedih ditinggalkan cucunda Rasulullah s.a.w.. Tetapi disamping kesedihan, mereka juga merasa gembira kerana melihat Saidina Husain selamat dari ancaman Yazid dan telah tiba di Makkah al-Mukarramah dengan menerima sambutan baik. Belum pun lama tinggal di Makkah al-Mukarramah iaitu di pertengahan bulan Ramadan, Saidina Husain menerima 12,000 pucuk surat daripada penduduk Kuffah yang semuanya mendesak supaya beliau bersedia datang ke Kuffah. Mereka semua telah menyatakan kesetiaan kepada Saidina Husain serta akan patuh menjalankan semua petunjuk dan perintahnya.

SURAT SAIDINA HUSAIN

       Sementara itu pada 8 haribulan Zulhijjah tahun 60 Hijrah, Muslim bin Aqil telah sampai di Kuffah untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan Saidina Husain. Dia membaca surat Saidina Husain untuk disampaikan kepada para pembesar Iraq. Di dalam surat tersebut Saidina Husain menulis,
       Surat kamu telah saya terima dengan baik. Semua maksud dan keinginan kamu sebagaimana yang kamu huraikan telah difahami. Kamu menghendaki supaya saya datang ke Kuffah untuk memenuhi permintaan kamu. Bersama ini saya hantar anak bapa saudara saya, Muslim bin Aqil. Dia saya beri kepercayaan penuh untuk mengadakan perbincangan dengan kamu. Dia kuberi kepercayaan untuk mengetahui keadaan sebenar dan bagaimana pendirian kamu tentang diriku. Jika Muslim bin Aqil boleh menyakinkan diriku dan memperkuat apa yang telah kamu sampaikan kepadaku melalui surat, maka Insya-Allah dalam waktu yang singkat saya akan segera datang ke Kuffah.”
       Tidak lama kemudian Muslim bin Aqil dapat mengumpulkan penyataan baiat kepada Saidina Husain seramai 18,000 orang. Dengan beribu penyataan baiat yang diterima daripada penduduk Kuffah itu, pada 5 haribulan Zulkaedah Muslim bin Aqil telah mengutus surat kepada Saidina Husain tentang pengkhabaran di Kuffah.
       Ketika Ubaidillah bin Ziyad memegang tampuk kekuasaan Kuffah, dia telah menerima laporan Muslim bin Aqil telah bersembunyi di rumah Hani bin Urwah. Lalu dia memerintahkan supaya Hani bin Urwah ditangkap. Mendengar sahabatnya ditangkap, Muslim bin Aqil telah mengumpulkan mereka yang masih taat setia seramai 4,000 orang. Mereka secara beramai-ramai telah datang ke rumah Ubaidillah bin Yazid dan membaling rumah penguasa Kuffah tersebut dengan batu sambil memaki-hamun. Tidak lama kemudian Ubaidillah bin Ziyad keluar lalu mengancam pasukan bersenjata dari Syam sekarang sedang bergerak menuju Kuffah. Ubaidillah bin Ziyad juga mengancam dia akan mengambil tindakan terhadap setiap orang yang mengadakan demonstrasi. Dia juga memberi janji manis kepada setiap orang Kuffah yang menyatakan kesetiaan kepada Yazid bin Muawiyah.
       Oleh kerana ancaman yang dilakukan Ubaidillah bin Ziyad sangat tegas menyebabkan ramai antara mereka yang berpecah belah. Sebahagian besar merasa takut terhadap kekejaman yang akan dilakukan pasukan Syam.
       Empat ribu orang yang melakukan tunjuk perasaan dengan membaling batu ke rumah Ubaidillah bin Ziyad, sebahagiannya pulang dan hanya tinggal beberapa ratus orang sahaja. Ada yang pulang kerana desakan anak dan para isteri. Di petang hari ketika Muslim bin Aqil mengajak mereka menunaikan solat di masjid, dari beberapa ratus orang hanya tinggal 30 orang sahaja yang mengikuti ajakannya. Lebih menyedihkan lagi selesai solat, masing-masing pulang ke rumah meninggalkan Muslim seorang diri di dalam masjid. Muslim bin Aqil ibarat sebatang pokok yang di pagi hari masih lebat daunnya manakala di petang hari telah gugur kesemua daunnya dan yang tinggal hanya batang kayu kering yang layu.
       Di bawah lindungan malam yang gelap gelita, Muslim bin Aqil pergi seorang diri meninggalkan masjid untuk bersembunyi. Namun, dia tidak tahu ke mana dia harus pergi. Tiada tempat bernaung dan tiada tempat berteduh. Tidak ada seorang pun yang mahu membuka pintu memberi tempat persembunyian. Dari lorong ke lorong dia berjalan kaki di kegelapan malam yang sunyi. Tidak menentu tujuan dan tempat yang hendak dituju.
       “Di manakah mereka yang sebelum ini berjanji menyokong Saidina Husain? Di manakah mereka yang sebelum ini mencintai Ahlul-Bait?” Bisik Muslim bin Aqil sambil ke hulu ke hilir dari lorong ke lorong. Tiba-tiba dia melihat seorang perempuan tua sedang berdiri di depan pintu di sebuah rumah. Walaupun hari sudah larut malam tetapi dia masih belum tidur. Dengan penuh hormat Muslim pun menghampiri perempuan tersebut seraya berkata,
       “Wahai ibu, kita adalah sesama hamba Allah s.w.t.. Di kota ini saya tidak mempunyai sanak saudara. Hanya budi baik ibu sangat saya harapkan. Saya adalah Muslim bin Aqil.”
       Ketika perempuan tua tersebut mendengar nama Muslim bin Aqil, dia teringat tentang terjadinya demonstrasi di rumah penguasa Kuffah. Dia mengetahui orang yang datang meminta pertolongan itu adalah orang yang menjadi buruan Ubaidillah bin Ziyad. Dengan rasa simpati orang tua tersebut pun memberi kesempatan untuk Muslim bin Aqil menginap di rumahnya. Betapa lega hati Muslim bin Aqil menerima sambutan baik dari seorang ibu tua yang berbudi.
       Di dalam rumah itu terdapat seorang pemuda, iaitu anak kepada ibu tua tersebut. Ketika dia mengetahui orang yang menumpang di rumahnya ialah Muslim bin Aqil, bukan main takut pemuda tersebut. Bukan takut kepada Muslim bin Aqil, tetapi dia takut pedang terhunus Ubaidillah bin Ziyad. Dia berpendapat lebih baik menyelamatkan diri daripada menyelamatkan Muslim bin Aqil. Tanpa pengetahuan ibunya dia keluar secara diam-diam lalu menuju ke rumah Ubaidillah bin Ziyad untuk melaporkan Muslim bin Aqil sedang berada di rumahnya.
       Setelah pagi menjelang, Ubaidillah bin Ziyad telah menghantar pasukan bersenjata seramai 70 orang untuk menangkap Muslim bin Aqil. Ketua pasukan bersenjata itu mengarahkan supaya Muslim bin Aqil menyerah kalah tanpa perlawanan. Muslim bin Aqil tidak mengendahkan arahan tersebut. Dia berpendirian lebih baik mati dibunuh daripada mati dalam tawanan dengan pedang yang terhunus. Dia bertekad untuk menentang pasukan musuh. Maka terjadilah perlawanan antara seorang dengan 70 orang pasukan bersenjata Ubaidillah bin Ziyad. Bagaimana gagah seorang itu sekalipun tidak mungkin dapat menewaskan 70 orang pasukan senjata yang terlatih. Malahan ada sebahagian pasukan musuh naik ke atas bumbung sambil membaling Muslim bin Aqil dengan batu sementara penduduk Kuffah hanya memerhatikan sahaja.
       Akibat luka dan darah yang banyak membasahi tubuh Muslim bin Aqil. Akhirnya, dia rebah tersungkur ke bumi lalu pengsan. Tidak berapa lama kemudian dia terjaga dari pengsan dan menangis tersedu-sedu. Ketua pasukan Ubaidillah bin Ziyad ketawa terbahak-bahak dan sambil mengejek dia berkata,
       “Inikah yang dikatakan seorang yang gagah berani? Kenapa engkau menangis? Patutkah seorang pahlawan mengalirkan air mata?” Dengan perasaan sebak Muslim bin Aqil berkata,
       “Aku tidak menangisi diriku. Aku menyesal kerana telah menulis surat kepada Saidina Husain supaya datang ke sini. Aku khuatir sesuatu yang buruk akan menimpanya.”
       Dalam luka yang parah Muslim bin Aqil telah diseret secara kasar dan dibawa ke tempat kediaman Ubaidillah bin Ziyad. Setibanya di halaman rumah penguasa Kuffah tersebut, Muslim bin Aqil melihat sebekas air. Kerana tidak tahan dan menderita kehausan dia berusaha mendekatinya untuk diminum seteguk dua. Tiba-tiba seorang penduduk Kuffah yang memerhati pergerakan Muslim bin Aqil dengan pantas mengambil air tersebut sambil mengherdik,
       “Nyah kau dari sini! Rupanya engkau inginkan air ya! Setitik air pun tidak akan aku berikan untukmu, cepat seret dia.”
       Walaupun penduduk Kuffah sekejam begitu namun, ada seorang pasukan Ubaidillah yang berasa simpati terhadap Muslim bin Aqil lalu memberikannya sedikit air. Namun, air yang diteguknya hanya dapat bertahan untuk seketika kerana darah yang keluar dari tubuh hampir membasahi muka dan pakaiannya.
       Tidak lama lagi Muslim bin Aqil pasti menderita kerana dia sekarang sedang berada dalam genggaman Ubaidillah bin Ziyad. Dia sedar hidupnya pasti akan berakhir dan oleh itu dia mengajukan permintaan kepada Ubaidillah supaya hutang-piutangnya dapat dilaksanakan.
       “Aku mempunyai hutang di Kuffah sebanyak 700 Dirham. Jualkanlah pedang dan baju besiku ini dan bayarkanlah kepada orang yang berkenaan.” Demikian pintanya.
       Setelah orang ramai tiba, Muslim bin Aqil dinaikkan di atas bumbung rumah Ubaidillah supaya orang ramai dapat menyaksikan pembunuhan yang kejam itu. Di atas bumbung itu sudah tersedia beberapa pasukan pemancung yang bersedia menjalankan tugas. Dengan tabah Muslim bin Aqil menundukkan kepalanya manakala pasukan pemancung yang diarahkan oleh Abdullah bin Ziyad menghayunkan pedang untuk memenggal lehernya. Tidak lama kemudian kepala tersebut dipersembahkan kepada penguasa Damsyik iaitu Yazid bin Muawiyah.

MENUJU KUFFAH

       Sementara itu di Makkah al-Mukarramah, ramai orang menyarankan kepada Saidina Husain supaya beliau tidak berangkat menuju Kuffah kerana dikhuatiri akan dibunuh di sana. Bagi Saidina Husain, perjuangan menentang kezaliman memang sudah menjadi darah dagingnya. Walaupun ramai yang melarang beliau ke Iraq, namun, beliau berpendirian bahawa walau di mana beliau berada, beliau pasti akan diburu serta dipaksa untuk membaiat (menyokong) Yazid bin Muawiyah. Saidina Husain sudah mengetahui Yazid bin Muawiyah sedang mengupah seseorang untuk membunuhnya. Ketika Ibnu Abbas melarang Saidina Huain menuju Kuffah, beliau berkata,
       “Demi Allah, mereka tidak akan membiarkanku selagi jantungku berdenyut.”
       Di waktu yang lain Saidina Husain telah menziarahi adiknya, Muhammad Hanafiah dan dalam ziarah itu beliau berkata,
       “Saya telah bermimpi berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. dan dalam mimpi tersebut Baginda bersabda, “Wahai Husain, berangkatlah. Sebab memang Allah s.w.t. menghendakimu syahid terbunuh.” Kepada Abdullah bin Zubir pula Saidina Husain berkata,
       “Demi Allah, seandainya saya bersembunyi di dalam lubang mana sekalipun, mereka pasti akan memaksaku keluar sehingga mereka berhasil melaksanakan niat jahat mereka. Mereka sanggup melakukan pelanggaran terhadapku sebagaimana orang Yahudi sanggup melakukan pelanggaran pada hari Sabtu.”
       Rombongan Saidina Husain mula bergerak dari Makkah al-Mukarramah menuju Kuffah bersama kaum keluarganya. Walaupun umat Islam hampir menunaikan fardu haji, Namun, Saidina Husain tetap dengan pendiriannya untuk ke Kuffah. Apabila ditanya beliau menjawab,
       “Bani Umayyah sedang memburuku untuk membunuhku. Saya khuatir mereka akan menumpahkan darahku di kota yang suci ini. Saya juga khuatir mereka akan melanggar kehormatan Makkah al-Mukarramah dan kehormatan bulan yang suci ini.”
       Saidina Husain meneruskan perjalanan ke kuffah tanpa dipengaruhi oleh sesiapa. Beliau ke Kuffah kerana ingin menegakkan agama suci datuknya, Rasulullah s.a.w.. Di pertengahan jalan, di suatu perhentian yang bernama Shaffah, beliau telah bertemu dengan Farazdaq iaitu seorang penyair yang sangat mencintai Ahlul-Bait. Saidina Husain bertanya kepadanya tentang pengkhabaran dari Kuffah. Farazdaq menjawab,
       “Sesungguhnya hati mereka bersama anda tetapi pedang-pedang mereka bersama Bani Umayyah.” Mendengar penjelasan Farazdaq, Saidina Husain menjawab,
       “Memang benar katamu. Di tangan Allah s.w.t.lah segala urusan. Dia melakukan apa yang dikehendaki dan kepadaNya kita memohon pertolongan.” Kemudian Saidina Husain melanjutkan perjalanan menuju Kuffah. Ketika Ubaidillah bin Ziyad mengetahui tujuan beliau, dia segera mengatur siasat untuk menumpaskan gerakan Saidina Husain dan memadamkan api revolusinya yang suci. Orang ramai dilarang keluar masuk kota. Jalan-jalan diadakan sekatan. Ini dilakukan supaya tiada seorang pun yang dapat bertemu dengan Saidina Husain kelak.
       Rombongan Saidina Husain terus melanjutkan perjalanan sehinggalah mereka sampai ke suatu tempat yang bernama Zabalah. Di sana beliau dikejutkan dengan berita kematian Muslim bin Aqil dan Hani bin Urwah. Oleh itu beliau mengumpulkan pengikut beliau lalu berpidato,
       “Sesungguhnya pengikut kita telah mengkhianati kita. Barangsiapa yang ingin meninggalkan saya dipersilakan. Saya merelakan anda pergi.” Tidak lama kemudian beberapa orang pengikut Saidina Husain telah meninggalkannya. Hanya pengikut yang setia sahaja menyertainya semenjak berangkat bersama dari Makkah al-Mukarramah.
       Ketika rombongan Saidina Husain sampai di satu tempat yang bernama Zu Husam, beliau memerintahkan rombongan berhenti untuk berehat. Khemah didirikan untuk berteduh, terutama bagi rombongan wanita dan kanak-kanak yang sangat penat berjam-jam duduk di atas unta. Beberapa jam kemudian mereka berangkat untuk meneruskan perjalanan. Semua rombongan masih berharap semoga bayang yang dilihat di depan mereka adalah sebuah lembah subur dan pokok yang menghijau. Alangkah terkejut mereka terutama kaum wanita serta kanak-kanak, ketika tinggal beberapa kilometer lagi untuk sampai di Kuffah, tiba-tiba muncullah 1,000 orang pasukan berkuda yang bertombak panjang serta pedang terhunus. Rupanya mereka adalah pasukan berkuda Ubaidillah bin Ziyad yang datang dari Kuffah bertujuan untuk menghalang rombongan Saidina Husain. Pasukan berkuda tersebut diketuai Hur bin Yazid at-Tamini. Melihat pandangan yang menyeramkan itu, Saidina Husain memerintahkan supaya rombongan berhenti. Beliau ingin mengetahui dengan pasti apa yang dimaksudkan pasukan berkuda yang semakin lama semakin dekat.
       Sekarang Hur telah berada di depan Saidina Husain. Mereka berdua dipisahkan dengan jarak beberapa meter sahaja. Suasana tegang meliputi semua anggota rombongan. Hur tetap di atas kuda manakala Saidina Husain berada di atas unta. Hur mengucapkan salam dan dijawab cucunda Rasulullah s.a.w.. Setelah itu Saidina Husain bertanya kepada Hur tentang maksud kedatangan dan tujuan pasukan berkuda yang dipimpinnya. Kemudian dengan tenang Saidina Husain berkata,
       “Wahai saudara-saudara, sesungguhnya saya tidak akan datang ke tempat ini jikalau tidak kerana surat yang kamu kirimkan kepadaku di Makkah al-Mukarramah. Perutusan kamulah yang datang kepadaku dan mendesakku supaya segera datang ke Kuffah. Mereka mengatakan kamu memerlukan seorang pemimpin yang layak dibaiat sebagai khalifah untuk memimpin umat Islam. Saya berharap mudah-mudahan Allah s.w.t. mempersatukan kita semua atas dasar kebenaran dan hidayahNya. Sekarang saya telah datang kepada kamu. Jika anda ingin memberikan kepadaku apa yang kamu janjikan saya akan masuk ke Kota Kuffah. Akan tetapi jika kamu tidak bersedia, maka kami akan kembali ke kota kami semula.” Hur sama sekali tidak menduga Saidina Husain akan setenang itu menghadapi pasukan berkuda yang dipimpinnya. Kemudian dia menjawab,
       “Demi Allah, aku tidak pernah mengetahui semua ini. Aku sama sekali tidak tahu menahu tentang surat dan perutusan yang pernah datang kepada anda. Aku hanya menerima perintah dari Abdullah bin Ziyad supaya menghalang anda bersama rombongan. Aku juga diperintahkan supaya menawan anda. Sesungguhnya aku telah menyatakan sumpah setia kepada penguasa Bani Umayyah.”
       Mendengar jawapan Hur, Saidina Husain memerintahkan salah seorang sahabat dalam rombongannya iaitu Uqbah bin Sam’an supaya mengeluarkan beberapa pucuk surat yang dahulu dikirimkan para pembesar masyarakat Kuffah kepadanya di Makkah al-Mukarramah. Surat tersebut kemudiannnya diberikan kepada Hur dan dipersilakan untuk membacanya sendiri. Akan tetapi setelah membaca beberapa pucuk surat tersebut, Hur menjawab sambil mengembalikan surat yang ada di tangannya,
       “Aku tidak termasuk orang yang menulis surat kepada anda. Aku hanya melaksanakan perintah untuk menawan anda serta membawa anda masuk ke Kuffah.”
       Suasana menjadi bertambah tegang ketika Saidina Husain mendengar jawapan dari mulut Hur yang beliau akan ditawan dan dibawa masuk ke Kuffah atas perintah Ubaidillah bin Ziyad. Saidina Husain datang ke Kuffah bukan atas kemahuannya sendiri, melainkan atas permintaan para pembesar masyarakat kota itu yang hendak membaiat (menyokong) nya sebagai khalifah. Jika Yazid merasa akan ditandingi kekuasaannya, itu adalah urusan Yazid. Jika waktu itu beliau melawan Hur pun beliau tidak menyesal kerana jika Saidina Husain diheret ke depan Ubaidillah bin Ziyad, bererti kepala beliau akan dipancung.
       “Lebih baik saya mati daripada anda seret saya sebagai tawanan.” Jawab Saidina Husain tegas. Menghadapi ketegasan Saidina Husain itu Hur pun berkata,
       “Aku tidak diperintahkan untuk memerangi anda, tetapi hanya diperintah mengawal anda masuk ke Kuffah. Jadi jika anda tidak mahu masuk ke Kuffah, pergilah menempuh jalan lain yang tidak menuju ke Kuffah dan tidak pula pulang ke Madinah al-Munawwarah. Jika anda telah meninggalkan tempat ini kami akan sampaikan laporan kepada Ubaidillah bin Ziyad sambil menunggu arahan selanjutnya.” Saidina Husain menjawab,
       “Anda tentu telah mengetahui atau mendengar Rasulullah s.a.w. telah menegaskan bila ada seorang penguasa yang zalim yang tidak mengendahkan ketentuan Allah s.w.t. dan Rasulnya kemudian orang yang melihat tidak berusaha mencegahnya dengan lisan ataupun dengan perbuatan maka orang yang membiarkannya itu sama zalim dengan peguasa tersebut.” Ucapan Saidina Husain didengari dengan begitu serius oleh rombongan beliau dan rombongan Hur sendiri. Mereka semua terdiam. Sehinggalah cucunda Rasulullah s.a.w. melanjutkan,
       “Sebenarnya semua orang telah mengetahui para peguasa yang menjalankan perintah Yazid bin Muawiyah adalah menjalankan perintah syaitan dan berpaling dari ajaran Allah s.w.t.. Mereka secara serakah melanggar hak Allah s.w.t. dan kaum muslimin. Mereka menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal menurut hawa nafsu mereka sendiri. Tiada alasan sama sekali untuk menyatakan Yazid bin Muawiyah mempunyai hak untuk memimpin umat Islam. Sedangkan mengenai diriku semua orang sudah tahu saya adalah anak Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib, anak Fatimah az-Zahra’ binti Rasulullah s.a.w. yang dimuliakan dan disanjungi oleh kaum muslimin. Kamu wahai penduduk Kuffah! Bukankah kamu sendiri yang mengatakan sumpah setia kepadaku? Tetapi jika sekarang ini kamu mengingkari dan mengkhianati janji, perbuatan kamu yang seperti itu sebenarnya tidak menghairankan, kerana bukan sahaja kamu telah berbuat seperti itu terhadap ayahku, Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib malahan juga terhadap abangku, Saidina Hasan. Nampaknya kamu masih belum puas untuk berbuat jahat dan kejam terhadap sepupuku Muslim bin Aqil.” Mendengar ucapan Saidina Husain, Hur pun menyahut,
       “Aku hanya mengingatkan anda. Ketahuilah, anda tidak akan hidup lama jika berani melawan kami.” Saidina Husain menjawab,
       “Apakah anda ingin menakut-nakutkan saya dengan ancaman maut? Ancamanmu itu saya jawab sebagaimana Aus menjawab kepada bapa saudaranya yang ketika itu menakut-nakutkannya dengan maut jika Aus masih bertekad untuk membela Rasulullah s.a.w.. Tahukah anda apa yang dikatakan Aus kepada bapa saudaranya?”
       Lalu Saidina Husain pun memulakan syair,

       “Aku bertekad terus maju ke depan
Walau maut menghalang di jalanan
Mati bukanlah noda yang mencernakan
Bagi seorang berdarah pahlawan
Bila disertai niat ikhlas berkorban
Untuk berjuang membela kebenaran

       Ku serahkan segenap jiwa dan raga
Dalam perang suci membela agama
Lebih baik mati daripada hidup hina
Jika masih hidup aku tidak kecewa
Dan jika mati aku tidak akan tercela
Alangkah hina hidup di bawah kaki penderhaka.”


[1]  Surah al-A’raf ayat: 199 – 201.
[2]  Surah at-Taubah ayat: 34.
[3]  Surah an-Nisa’ ayat: 8.