INFORMASI

MAKLUMAN

Blog ini adalah hak milik Pintu Ilmu Resources (00159443-D) - PUSAT RAWATAN HOMEOPAYHY- yang beralamat di: Pusat Perubatan Holistik dan Alternatif 4932, Traffic Light Tok Jiring, Jalan Kelantan 21060 Kuala Terengganu, Darul Iman. Untuk lokasi klinik sila klik di sini

Pada 08/11/2015 klinik ditutup kerana doktor bertugas outstation. Harap maklum.

TESTIMONIAL TERKINI i

TAJAAN

Sabtu, 29 Oktober 2011

BIOGRAFI IMAM HASAN ASKARI (BAPA IMAM MAHDI)


       Pada 8 Rabiul Akhir tahun ke 232 Hijrah, telah lahirlah seorang bayi lelaki dari keturunan pohon cahaya Rasulullah s.a.w.. Bayi tersebut dilahirkan di Kota Madinah al-Munawwarah oleh seorang ibu yang bernama Hadisah. Orang ramai di sekitar Kota Madinah al-Munawwarah bergembira kerana kelahiran seorang putera yang sangat comel. Mereka beramai-ramai menziarahi rumah Hadisah untuk melihat wajah bayi tersebut.

Di saat kelahiran bayi tersebut, bapanya iaitu Imam Ali Hadi telah menyambut anak kesayangannya lalu diazankan di telinga kanan dan diiqamatkan di telinga kiri. Beliau sangat gembira di atas kelahiran zuriatnya yang suatu hari kelak akan mewarisi kepimpinannya. Imam Ali Hadi percaya anaknya kelak akan menjadi seorang pemimpin besar yang disegani ramai. Oleh kerana bayi tersebut sungguh comel, maka Imam Ali Hadi menamakan anaknya Hasan. Demi untuk menyatakan kesyukuran ke hadrat Ilahi, Imam Ali Hadi telah mengadakan majlis akikah untuk anak kesayangannya itu. Majlis tersebut diadakan pada hari ketujuh kelahiran Imam Hasan Askari. Pada hari tersebut keluarga Imam Hasan Askari telah menyembelih seekor kambing gurun dan menjemput penduduk Madinah al-Munawwarah menjamu selera. Pada hari tersebut bapa Imam Hasan Askari juga telah mencukur rambut anaknya. Rambut tersebut ditimbang dan diganti dengan harga seberat perak lalu disedekahkan kepada fakir miskin.
.
       Nama sebenar beliau ialah Imam Hasan Askari bin Imam Ali Hadi bin Imam Muhammad Jawad bin Imam Ali Redha bin Imam Musa Kazim bin Imam Ja’far Shadiq bin Imam Muhammad Baqir bin Imam Ali Zainal Abidin bin Saidina Husain Bin Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib bin Abdul Muthalib bin Hasyim bin Abdul Manaf bin Qushai bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Lu’i bin Ghalib bin Fahr bin Malik bin Nadar bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilias bin Mudhar bin Nizar bin Ma’ad bin Adnan bin ‘Add bin Humaisi’ bin Salamam bin Auz bin Buz bin Qamwal bin Ubai bin ‘Awwam bin Nasyid bin Haza bin Bildas bin Yadlaf bin Tabikh bin Jahim bin Nahisy bin Makhi bin Aid bin ‘Abqar bin ‘Ubaid bin Ad-Da’a bin Hamdan bin Sanbir bin Yathrabi bin Yahzin bin Yalhan bin Ar’awi bin Aid bin Desyan bin Aisar bin Afnad bin Aiham bin Muksar bin Nahits bin Zarih bin Sami bin Wazzi bin ‘Adwa bin Aram bin Haidir bin Nabi Ismail a.s. bin Nabi Ibrahim a.s. bin Azar bin Nahur bin Saru’ bin Ra’u bin Falikh bin Abir bin Syalikh bin Arfakhsyad bin Sam bin Nabi Nuh a.s. bin Lamik bin Matul Syalakh bin Nabi Idris a.s. bin Yarid bin Mahlail bin Qinan bin Anwas bin Syits bin Nabi Adam a.s..

         Imam Hasan Askari dibesarkan dan dididik di bawah naungan bapanya yang terkenal dengan ilmu, kezuhudan dan mulia akhlaknya. Semasa Imam Ali Hadi diundang Khalifah al-Mutawakil supaya bermukim di kem tentera Samarra’, Imam Hasan Askari menyertai rombongan bapanya. Sepanjang bersama bapanya, Imam Hasan Askari telah dididik dengan pelbagai ilmu. Bapa beliau ingin memastikan anaknya itu akan mewarisi ilmu, akhlak dan kepimpinan selepas kematiannya kelak.

       Syeikh al- Mufid mengatakan,

       “Abu al-Qasim Ja’far bin Muhammad bin Ya’qub menuturkan kepadaku daripada Ali bin Muhammad daripada Muhammad bin Ahmad al-Nahdi daripada Yahya bin Yasar al-Anbari mengatakan bahawa Imam Ali Hadi telah mewasiatkan kepimpinan kepada puteranya Imam Hasan Askari, empat bulan sebelum beliau meninggal dunia dengan disaksikan Yasar (orang kepercayaan Imam Ali Hadi) dan beberapa pemimpin lain.”

       “Syeikh al-mufid juga meriwayatkan,

       “Abu al-Qasim Ja’far bin Muhammad meriwayatkan kepadaku daripada Muhammad bin Ya’qub daripada Ali bin Muhammad daripada Ja’far bin Muhammad al-Kufi dari Yasar bin Ahmad al-Bashri daripada Ali bin Amr al-Naufali mengatakan bahawa dia berada bersama-sama Imam Ali Hadi duduk di ruang tengah rumah beliau lalu datanglah seorang anak Imam Ali Hadi yang bernama Muhammad. Ali bin Muhammad pun bertanya kepada beliau, adakah Muhammad yang akan menjadi pemimpin sesudah Imam Ali Hadi kelak?”

       Imam Ali Hadi menjawab, “Bukan dia. Pemimpin sesudahku adalah Hasan Askari.”

       Seterusnya Syeikh al-Mufid meriwayatkan,

       “Abu al-Qasim Ja’far bin Muhammad menyampaikan kepada saya daripada Muhammad bin Ya’qub daripada Ali bin Muhammad daripada Muhammad bin Ahmad al-Qalanisi daripada Ali bin al-Husain bin Amr daripada Ali bin Mahziyar mengatakan bahawa dia pernah bertanya kepada Abu al-Hasan (gelaran Imam Ali Hadi), jika terjadi sesuatu kepada beliau yang saya berlindung dari perkara tersebut, kepada siapakah kepimpinan akan Imam Ali Hadi serahkan?”

       Imam Ali Hadi menjawab, “Saya serahkan kepada putera saya yang paling tua, iaitu Hasan Askari.”

       Semenjak kecil lagi Imam Hasan Askari telah melihat sendiri bagaimana pihak kerajaan memusuhi bapanya. Malahan bapa beliau iaitu Imam Ali Hadi telah dipenjarakan dan akhirnya, telah diracun di zaman pemerintahan Khalifah al-Mu’taz. Semenjak kecil lagi Imam Hasan Askari sudah memahami situasi politik di zaman tersebut. Sebab itulah zaman kanak-kanaknya telah dihabiskan dengan mendalami ilmu Al-Quran dan ilmu ketuhanan. Semasa kanak-kanak lain sibuk bermain, Imam Hasan Askari sibuk membaca Al-Quran dan beribadah kepada Allah s.w.t.. Pernah teman sepermainan mengajak beliau bermain bersama, namun, beliau menolak dengan baik kerana beliau yakin perjuangannya meneruskan perjuangan datuk moyangnya masih belum selesai dan tanggungjawab yang akan dipikul sangat berat sekali. Salah seorang teman permainan Imam Hasan Askari pernah menghampiri beliau dan berkata,

       “Bagaimana jika saya belikan anda barang mainan supaya anda boleh bermain.” Imam Hasan Askari menolak perlawaan temannya dengan berkata,

       “Saya dilahirkan bukan hanya untuk bermain.” Temannya merasa hairan lalu bertanya lagi,

       “Jika begitu untuk apa anda dilahirkan?”

       “Saya dilahirkan untuk mempelajari ilmu dan menyembah Tuhan Yang Maha Esa.” Jawab Imam Hasan Askari.

       “Dari mana anda mengetahui?” Tanya kanak-kanak tersebut. Imam Hasan Askari menjawab,

       “Dari Al-Quran sebagaimana Allah s.w.t. berfirman:

       “Adakah kamu mengira bahawa kamu diciptakan secara sia-sia?”[1] Kanak-kanak tersebut sangat kagum dengan jawapan Imam Hasan Askari lalu berkata,

       “Walaupun anda masih kanak-kanak tetapi anda masih tidak mempunyai dosa.”

       Semakin hari nama Imam Hasan Askari semakin disanjungi masyarakat kerana keilmuan dan akhlaknya yang mulia. Ke mana sahaja beliau pergi pasti orang ramai akan tunduk tanda hormat dan tidak kurang juga yang ingin bertanyakan pelbagai soalan agama. Malahan sehingga musuh Imam Hasan Askari terpaksa akur dengan keilmuan yang dimilikinya. Antara musuh utama Imam Hasan Askari ialah Ahmad bin Abdullah bin Khaqan. Ketika penduduk Qom sedang menyebut-nyebut tentang keperibadian Imam Hasan Askari, namun, Ahmad bin Abdullah bin Khaqan masih membenci dan memusuhi Imam Hasan Askari. Walaupun begitu dia pernah mengatakan,
.
       “Aku belum pernah melihat seorang alim seperti Imam Hasan Askari. Suatu hari beliau telah datang berjumpa ayahku. Ayahku telah memerintahkan para pengawal mempersilakan beliau masuk menghadap. Kemudian ayahku mengajak beliau ke musalla (tempat solat). Mereka berdua berbincang manakala ayahku begitu menghormatinya. Ketika beliau ingin meminta izin untuk pulang, ayahku mengikutinya dari arah belakang. Melihat sikap ayahku tersebut lantas aku pun mempersoalkannya. Namun, ayahku berkata, “Wahai anakku, beliau adalah imam bagi pengikut yang mencintai Ahlul Bait Rasulullah s.a.w.. Sekiranya kekhalifahan ini terjatuh dari tangan Bani Abbas, nescaya tiada orang lain yang lebih berhak mendudukinya selain beliau. Ini kerana beliau memiliki kemuliaan, kezuhudan dan keperibadian yang tinggi. Ayahpun selama ini sering bertanyakan pelbagai masalah kepadanya. Manakala orang ramai sering menyebut bahawa beliau mempunyai keramat.” Kemudian Abdullah bin Khaqan mengatakan,
       “Aku belum pernah melihat orang yang sangat tinggi ilmu, mulia akhlak, cerdas pemikiran dan fasih dalam ucapan kecuali Imam Hasan Askari.
.
ASKARI

       Ketika Imam Hasan Askari dipaksa tinggal dalam kem tentera di Samarra’ beliau sentiasa diawasi dari masa ke semasa. Setiap minggu beliau terpaksa melaporkan diri di pejabat pemerintah manakala setiap hari Isnin dan hari Khamis, beliau akan menghadap Khalifah. Pergerakan Imam Hasan Askari ketika itu sangat terhad. Beliau tidak dibenarkan untuk bertemu dengan pengikutnya apatah lagi berdakwah mahupun mengajar. Sebab itulah beliau digelar ‘Askari’ kerana askari dalam Bahasa Arab bermaksud tentera.

       Kehadiran beliau ke istana sering menarik perhatian orang ramai. Setiap jalan ke istana dipenuhi dengan orang ramai, keldai, unta, kuda dan binatang tunggangan yang lain. Ketika Imam Hasan Askar melalui tempat tersebut suara orang ramai yang riuh rendah terus menjadi sunyi sepi. Suara binatang juga tidak kedengaran. Binatang tunggangan yang memenuhi jalan tiba-tiba ke tepi memberi laluan. Begitulah juga ketika Imam Hasan Askari meminta izin untuk pulang dari istana dan ketika para pengawal mengumumkan kepulangan beliau, orang ramai akan mengerumuni unta yang ditunggangi Imam Hasan Askari manakala binatang tunggangan yang memenuhi jalan memberi ruang kepada beliau sehingga beliau pulang dengan selamat. Melihat keadaan tersebut, khalifah menjadi marah lalu mengarahkan supaya menangkap sesiapa sahaja yang memberi penghormatan kepada Imam Hasan Askari. Semenjak kejadian tersebut ramai pengikut Imam Hasan Askari telah ditangkap dan dipenjarakan. Setelah itu Imam Hasan Askari telah menasihatkan pengikutnya supaya tidak lagi menghormatinya sebagaimana sebelum ini. Beliau meminta mereka bersabar dan sentiasa berdoa semoga Allah s.w.t. memberkati dan memberi balasan yang baik ke atas pengikutnya yang setia.

       Salah seorang pengikut Imam Hasan Askari yang bernama Ja’far bin Halabi menceritakan,

       “Suatu hari semasa Imam Hasan Askari ingin mengadap ke Istana Khalifah, kami beramai-ramai menanti beliau di sepanjang jalan. Namun, Imam Hasan Askari berkata, hendaknya tiada seorang pun antara kamu yang secara terang terangan menghormati saya. Tidak pula ada yang memberi isyarat tangan tanda hormat, kerana anda semua tidak akan rasa tenteram ke atas perbuatan anda tersebut.”

       Imam Hasan Askari adalah seorang pemimpin yang berakhlak mulia lagi dihormati. Cahaya keimanan dan ketakwaan terserlah di wajah beliau sehingga orang ramai memandangnya dengan penuh harapan. Penduduk setempat mengetahui kedudukan dan kemuliaan yang dimiliki Imam Hasan Askari. Beliau telah mencapai darjat kemuliaan yang tiada tolok bandingnya. Kerana itu mereka berlumba-lumba untuk mendekatinya dan bersalaman dengannya. Imam Hasan Askari juga mempunyai sifat yang sangat terpuji. Setiap kali beliau memulakan ucapan, para pendengar akan merasa kagum. Perkataan beliau sungguh bersastera dan jelas. Keputusan beliau sungguh adil. Ilmu sentiasa memancar dari setiap sisi. Hikmah sentiasa meluncur dari segenap arah. Beliau telah membebaskan diri dari kemewahan dan keduniaan. Beliau sering beribadah di malam hari sambil menangis, sering bertafakur dan sangat dermawan. Walaupun beliau mempunyai kedudukan yang tinggi namun, beliau bersifat sederhana. Penduduk setempat merasa aman apabila berdamping dengan Imam Hasan Askari. Beliau kelihatan sering tersenyum yang menampakkan gigi laksana untaian mutiara. Beliau sangat memuliakan ahli agama dan sering berdamping dengan orang miskin. Sehinggakan orang yang gagah sekalipun gerun dengan ketegasannya manakala orang yang lemah tidak akan berputus asa terhadap keadilan yang beliau miliki. Kemuliaan Imam Hasan Askari bertepatan dengan namanya yang bermaksud baik dan elok. Bapa beliau menamakan Hasan bertepatan dengan nama cucunda Rasulullah s.a.w. iaitu Saidina Hasan bin Saidina Ali k.wh., penghulu para pemuda syurga.

       Imam Hasan Askari mempunyai pelbagai gelaran.Antaranya:

  1. Khalish, bermaksud orang yang sentiasa mengikhlaskan diri;
  2. Hadi, bermaksud pemberi petunjuk ke jalan yang lurus;
  3. Askari, kerana ditempatkan di kem tentera;
  4. Zaki, kerana kepintaran dan kecerdikan yang dimiliki;
  5. Siraj, kerana bermaksud sinaran cahaya yang menerangi alam; dan
  6. Taqi, bermaksud amat takwa kepada Allah s.w.t..
DERMAWAN

       Salah satu sifat Imam Hasan Askari yang diketahui ramai ialah beliau seorang yang sangat dermawan. Beliau sentiasa membantu fakir miskin dan membahagikan harta kepada mereka. Muhammad bin Ali bin Ibrahim bin Imam Musa Kazim bin Ja’far Shadiq meriwayatkan,
       “Suatu ketika keluargaku kehabisan wang, manakala pekerjaan sangat sukar untuk diperolehi. Lalu bapaku berkata, “Apakata jika kita berjumpa orang yang bernama Imam Hasan Askari dan kita meminta bantuan daripadanya.”

       “Adakah anda mengenalinya?” Tanyaku. Bapaku menjawab, “Tidak, aku belum mengenalinya dan belum pernah berjumpa dengannya.” Kemudian kami pun bersiap sedia untuk bertemu dengan Imam Hasan Askari. Di pertengahan jalan bapaku berkata, “Alangkah baiknya jika beliau memberiku 500 Dirham. Yang mana 200 Dirham boleh digunakan untuk membeli pakaian dan 200 Dirham lagi boleh digunakan untuk membeli makanan. Selebihnya boleh digunakan untuk membeli keperluan harian.” Aku pula berkata, “Alangkah baiknya jika beliau memberiku 300 Dirham. Yang mana 100 Dirham boleh aku beli seekor keldai 100 Dirham lagi boleh aku gunakan untuk membeli keperluan seharian. 100 Dirham lagi boleh aku membeli pakaian untuk ke Baghdad.” Ketika kami sampai di rumah Imam Hasan Askari, pembantu beliau menghampiri kami dan berkata, “Dipersilakan Ali bin Ibrahim serta anaknya Muhammad masuk ke dalam.”
.
       Ketika kami berjumpa Imam Hasan Askari dan setelah memberi salam beliau berkata kepada bapaku, “Wahai Ali, kenapa dari dulu lagi anda tidak datang ke sini?” Bapaku menjawab, “Sebenarnya kami merasa malu untuk bertemu Tuan.”
       Setelah menyatakan hasrat, kami pun meminta izin untuk pulang. Ketika itu pembantu beliau menghampiri kami dan berkata, “Ambillah wang ini sebanyak 500 Dirham. 200 Dirham untuk membeli pakaian. 200 Dirham untuk membeli makanan dan manakala 100 Dirham lagi untuk keperluan harian. Kemudian pembantu tersebut menghampiriku sambil berkata, “Ambillah wang sebanyak 300 Dirham ini. 100 Dirham untuk membeli seekor keldai. 100 Dirham untuk membeli pakaian manakala 100 Dirham lagi untuk keperluan harian. Kemudian setelah itu pergilah ke Baghdad.” Aku dan bapaku melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Imam Hasan Askari dan tidak lama kemudian aku pun menuju ke Baghdad dan di sana aku telah mendapat pekerjaan yang baik.”
.
RAHSIA YANG SUNGGUH LUAR BIASA
.
       Syeikh Thusi dengan sanad yang muktabar meriwayatkan daripada Basyir bin Sulaiman, seorang penjual hamba abdi yang berketurunan Abu Ayub Ansari dan seorang pengikut kepercayaan Imam Ali Hadi serta Imam Hasan Askari. Semasa Imam Hasan Askari tinggal di Samarra’ Basyir bin Sulaiman berkata,

       “Suatu ketika pembantu Imam Hasan Askari telah datang ke rumahku dan menyatakan Imam Hasan Askari ingin menemuiku. Ketika aku sampai di rumah Imam Hasan Askari, beliau berkata, “Wahai Basyir bin Sulaiman, anda adalah daripada keturunan Abu Ayub Ansari. Kecintaan keluargamu terhadap kami Ahlul Bait tidak pernah pudar semenjak zaman Rasulullah s.a.w. sehinggalah ke hari ini. Pada hari ini saya memilih dirimu kerana kecintaanmu terhadapku. Saya akan membukakan satu rahsia yang sungguh luar biasa dan saya ingin menyuruhmu membeli seorang tebusan.” Imam Hasan Askari mengambil sehelai kertas lalu ditulis dengan Bahasa Rom yang dicop dengan mohornya dan sebuah pundi wang yang berisi 220 keping emas lalu diberikan kepadaku seraya berkata, “Ambillah kertas dan wang ini. Pergilah ke Sungai Baghdad. Di kala petang pergilah ke sebuah jambatan di Sungai Baghdad kerana ketika itu ada sebuah kapal akan berlabuh di situ. Anda akan dapati terdapat ramai orang tawanan perang akan dijual. Beberapa pembesar dari kalangan Abbasiah dan beberapa pemuda Arab akan berkumpul di situ untuk membeli orang tawanan perang tersebut. Nama penjual orang tawanan tersebut ialah Amru bin Yazid. Di sana kelak anda akan lihat seorang wanita tawanan perang yang memakai pakaian sutera manakala mukanya sentiasa ditutup. Kemudian anda akan mendengar dia berbicara dalam Bahasa Rom. Suatu ketika seorang pembeli cuba untuk membeli wanita tersebut dengan katanya, “Saya ingin membeli wanita ini dengan harga 300 keping emas.” Kemudian wanita tersebut berkata, “Jika kambing milik Nabi Sulaiman a.s. bin Nabi Daud a.s. dan kerajaan beliau anda bawa di depanku sekalipun aku tidak akan menyerahkan diriku untukmu. Janganlah anda membazirkan wang anda.” Kemudian penjual tawanan perang akan berkata, “Saya tidak tahu apa yang harus saya lakukan kepadamu. Setiap kali orang ingin membelimu, engkau menolak. Namun, jika tiada lagi tawanan perang, engkau terpaksa aku jual.” Wanita tersebut lantas menjawab, “Usahlah tergesa-gesa untuk menjualku. Aku sedang menanti seseorang yang akan membeliku yang mana jiwaku serasi dengan pembeli tersebut.”
       “Wahai Basyir, ketika itu pergilah berjumpa penjual tawanan perang dan beritahu penjual tersebut dirimu membawa sepucuk surat daripada seorang keturunan bangsawan yang di tulis dalam Bahasa Rom. Oleh itu silalah berikan surat ini kepada wanita tawanan perang tersebut. Jika wanita itu bersetuju, katakanlah dirimu adalah wakil dari Tuanmu yang bersedia untuk membeli tawanan wanita.” Tidak lama kemudian Basyir pun menurut perintah Imam Hasan Askari dan setelah berjumpa tawanan wanita tersebut dia pun menyerahkan surat yang dibawanya. Setelah wanita tersebut membaca isi kandungan surat Imam Hasan Askari, air matanya berkaca sebak. Kemudian dia berkata kepada Amru bin Yazid, “Juallah aku kepada pembawa surat ini. Aku bersumpah jika anda tidak menjualku kepada pembawa surat ini, nescaya aku sanggup membunuh diri.”

       Akhirnya, Amru bin Yazid menjual wanita tahanan perang tersebut dengan harga yang telah ditetapkan. Setelah membayar wang sebanyak yang diberikan Imam Hasan Askari, maka Basyir bin Sulaiman pun membawa wanita tersebut ke Baghdad dan tinggal sementara di sebuah bilik yang disewa. Sesampainya di bilik tersebut wanita tawanan perang tadi membuka surat Imam Hasan Askari lalu dicium surat tersebut beberapa kali.”
Basyir bin Sulaiman melanjutkan,

       “Ketika itu aku merasa hairan lalu aku pun bertanya, “Kenapa anda mencium surat yang anda masih belum mengenali orang yang menulis surat tersebut?” Wanita bekas tahanan berkata, “Wahai pemuda yang masih belum mengetahui betapa dia adalah keturunan Rasulullah s.a.w. dan pemimpin dari keturunan Baginda. Ketahuilah olehmu diriku sebenarnya adalah puteri kepada Yasyuq iaitu anak lelaki Raja Rom. Ibuku pula adalah puteri kepada Syamun bin Hamun bin Shafa iaitu wakil dan orang kepercayaan selepas Nabi Isa a.s.. Izinkan aku menceritakan kepadamu sesuatu peristiwa yang begitu luar biasa. Sesungguhnya datukku iaitu Raja Rom berhajat untuk mengkahwinkan aku dengan anak saudaranya yang ketika itu aku baru berusia tiga belas tahun. Untuk menjayakan majlis tersebut datukku telah memanggil para paderi yang agung dan menjemput para ulama dari kaum Nasrani yang berjumlah 300 orang. Daripada kalangan para pembesar negara berjumlah 700 orang. Para pegawai tentera berjumlah 4,000 orang. Kemudian sebuah singgahsana telah didirikan yang dihiasi dengan permata yang mahal. Singgahsana tersebut didirikan di atas 40 tiang yang kukuh. Segala berhala dan salib ditempatkan disudut yang tinggi manakala anak saudara datukku pun didudukkan di atas singgahsana yang telah dibina. Setelah semua tersedia, beberapa Pendeta Kristian pun membaca beberapa perenggan kitab Injil. Tiba-tiba kesemua berhala dan salib yang dibina runtuh dan jatuh ke bumi. Singgahsana yang begitu kukuh juga runtuh dan anak saudara datukku tersungkur ke bumi. Melihat kejadian tersebut para Pendeta Kristian merasa cemas lalu berkata kepada datukku, “Wahai Raja Rom, ketahuilah ini adalah petanda Agama Kristian yang kita anuti selama ini akan musnah.” Kemudian datukku menganggap ini adalah takdir yang tidak baik dan mengarahkan kepada para Pendeta dan para Ulama Nasrani supaya mendirikan singgahsana semula dan segala patung berhala serta salib ditempatkan ditempat asal. Kemudian datukku mengarahkan supaya anak saudara lelakinya yang lain pula dikahwinkan denganku. Setelah semuanya selesai dan setelah anak saudara datukku duduk disinggahsana lalu upacara perkahwinan pun dijalankan. Ketika Pendeta Kristian mula membaca beberapa perenggan kitab Injil tiba-tiba istana datukku bergegar dan segala bahala serta salib rebah ke bumi. Singgahsana yang dibina kukuh juga turut runtuh bahkan kali ini lebih teruk dari sebelumnya. Datukku menjadi marah dan malu lalu majlis perkahwinanku pun ditunda. Di sebelah malamnya pula aku telah bermimpi berjumpa dengan Nabi Isa a.s., Syamun bin Hamun iaitu bapa ibuku dan beberapa ‘Hawariyyun’ (wakil setelah Nabi Isa a.s.) di istana datukku. Mimbar di istana datukku ketika itu dipenuhi dengan cahaya yang memancar sehingga menuju ke kaki langit. Kemudian datang pula Nabi Muhammad s.a.w. bersama orang kepercayaannya iaitu Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib dan beberapa para Imam dari keturunan Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib yang menerangi istana dengan cahaya yang bergemerlapan. Kemudian Nabi Isa a.s. pun menyambut kedatangan Nabi Akhir Zaman tersebut dengan penuh hormat. Nabi Muhammad s.a.w. mengatakan kedatangannya adalah untuk menikahkan puteri dari keturunan Syamun dengan putera dari keturunan Nabi Muhammad s.a.w. iaitu Imam Hasan Askari. Kemudian Nabi Muhammad s.a.w. mengatakan kepada Syamun, dunia akan menjadi mulia dengan terjalinnya dua keturunan yang agung bersatu. Kemudian Nabi Muhammad s.a.w. menaiki singgahsana istana membaca khutbah dan seterusnya menikahkan aku dengan Imam Hasan Askari yang telah disaksikan para ‘Hawariyyun’ dan para Imam dari keturunan Rasulullah s.a.w..

       Ketika terjaga dari tidur, aku menjadi amat terkejut dan aku tidak memberitahu kepada sesiapa walaupun kepada bapa dan datukku. Namun, kerinduanku terhadap Imam Hasan Askari semakin hari semakin mendalam. Jiwaku meronta-ronta sehingga aku tidak lalu untuk makan dan minum. Dari hari ke hari badanku menjadi kurus dan akhirnya, aku jatuh sakit. Telah ramai para tabib datang untuk merawatku namun, penyakitku tidak juga sembuh. Melihat keadaan tersebut, datukku menghampiriku dan bertanya, jika ada apa-apa permintaan daripadaku, akan perkenankan semoga penyakitku akan sembuh seperti sediakala. Aku mengatakan kepada datukku bahawa aku berharap agar dia dapat membebaskan kesemua tahanan orang Islam yang merengkuk bertahun-tahun dalam penjara di bawah kekuasaannya. Aku berharap semoga dengan perbuatan tersebut, Nabi Isa a.s. dan ibunya Maryam dapat memberi syafaat untuk kesembuhan diriku. Setelah datukku melakukan apa yang aku suruh akhirnya, penyakitku semakin beransur pulih dan seleraku semakin bertambah.

       Pada malam keempat belas aku telah bermimpi berjumpa dengan wanita yang paling mulia iaitu Fatimah az-Zahra’ binti Muhammad dan Maryam binti Imran yang diiringi dengan seribu bidadari syurga. Kemudian Maryam binti Imran menghampiriku dan memperkenalkan Fatimah az-Zahra’ kepadaku sehingga aku mengetahui beliau adalah semulia-mulia wanita dan daripadanya lahirlah Imam Hasan Askari. Lalu aku pun memeluk beliau sambil menangis dan menyatakan tentang rinduku terhadap Imam Hasan Askari. Kemudian Fatimah az-Zahra’mengatakan kepadaku bahawa bagaimana mungkin aku boleh bertemu dengan Imam Hasan Askari, sedangkan diriku masih syirik kepada Allah s.w.t.. Maryam binti Imran juga merasa jijik dengan agama yang aku anuti. Akhirnya, beliau mengajak aku beriman kepada Allah s.w.t.. Fatimah az-Zahra’ menyatakan, jika aku beriman, Maryam binti Imran pasti gembira dan Imam Hasan Askari pasti akan datang menemuiku. Oleh itu beliau menyuruhku mengucapkan, ‘Asyhadu Allailaha Illallah Wa Asyhaduanna Muhammada Rasulullah.’ Lalu aku pun mengucapkan dua kalimah Syahadah sebagaimana yang dikehendaki dan selepas itu Fatimah az-Zahra’ mendakapku dan berkata, mulai saat ini bersedialah untuk bertemu dengan keturunan zuriatnya, Imam Hasan Askari.
       Pada malam berikutnya aku bermimpi bertemu dengan Imam Hasan Askari yang wajahnya penuh dengan cahaya kemuliaan. Dalam mimpi tersebut aku menyatakan kerinduanku terhadapnya. Imam Hasan Askari mengatakan kelewatan kehadirannya kerana disebabkan sebelum ini diriku masih syirik kepada Allah s.w.t.. Oleh kerana kini aku sudah menjadi seorang Islam, mulai saat ini dia akan menemuiku setiap malam sehinggalah Allah s.w.t. akan menemukan kami di alam nyata. Semenjak dari itu, pada setiap malam pasti aku bermimpi bertemu dengan Imam Hasan Askari.”

       Sampai di situ Basyir bin Sulaiman bertanya,

       “Bagaimana pula anda boleh menjadi tawanan perang?” Puteri Raja menjawab,
       “Aku telah bermimpi berjumpa Imam Hasan Askari dan beliau memberitahu suatu hari kelak datukku akan menghantar askarnya untuk berperang dengan kaum muslimin. Ketika itu aku akan ikut serta dalam peperangan tersebut. Tentera datukku akan mengalami kekalahan sehinggalah aku ditawan. Namun, mereka tidak mengetahui aku adalah cucunda kepada Raja Rom selain hanya dirimu. Ketika seorang tua yang cuba membeliku sebelum ini telah menanyakan namaku. Aku menjawab, “Namaku Narjis.” Orang tua tersebut bertanya lagi, “Anda adalah orang Rom, tetapi anda boleh berbahasa Arab?” Aku menjelaskan, “Datukku menyuruhku mempelajari pelbagai bahasa dan kebudayaan asing. Oleh itu seorang wanita Rom yang pandai berbahasa Arab telah datang ke istana setiap pagi dan malam untuk mengajarku Bahasa Arab sehinggalah aku boleh berbicara Bahasa Arab dengan baik.”
.
       Sampai di situ Basyir bin Sulaiman menceritakan,
       “Lalu aku membawa Narjis ke Kota Samarra’ untuk menemui Imam Hasan Askari. Ketika Narjis sampai di Samarra’, Imam Hasan Askari menyambutnya dan bertanya kepada Narjis, bagaimana perasaannya setelah memeluk Agama Islam dan meninggalkan ajaran Kristian. Narjis mengatakan dia terlalu gembira dan tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.

       Imam Hasan Askari meraikan kehadiran Narjis dengan menyuruhnya memilih antara dua, sama ada menerima 10,000 keping emas ataupun Imam Hasan Askari menyampaikan khabar gembira untuknya. Narjis menyatakan yang dia tidak memerlukan harta. Dia hanya ingin mengetahui khabar gembira yang akan disampaikan oleh Imam Hasan Askari.

       Imam Hasan Askari memberi khabar gembira dengan berkata, Narjis akan melahirkan seorang bayi lelaki yang akan menjadi pemimpin dunia. Dia yang dimaksudkan adalah Imam Muhammad Mahdi yang akan memerintah dunia dengan penuh keadilan. Narjis bertanya, siapakah yang memberitahu Imam Hasan Askari tentang anaknya itu. Imam Hasan Askari menjawab, Rasulullah s.a.w. yang memberitahu tentang keistimewaan anak Narjis ketika Baginda menikahkannya.

      Setelah itu Imam Hasan Askari bertanya kepada Narjis, kerana apakah Nabi Isa a.s. dan orang kepercayaannya, Syamun menikahkannya. Dalam jawapannya, Narjis mengatakan kerana untuk mendapat zuriat daripada Imam Hasan Askari. Kemudian Imam Hasan Askari memanggil pembantunya yang bernama Kafur dan memintanya memanggil adiknya yang bernama Hakimah. Setelah dipanggil, Imam Hasan Askari memperkenalkan Narjis kepada adik perempuannya. Kemudian Hakimah mendakap Narjis dengan rasa gembira dan riang.
Imam Hasan Askari berpaling kepada Hakimah dan menyuruhnya membawa Narjis ke rumahnya. Beliau juga meminta adiknya supaya mengajar Narjis tentang kewajipan seorang Muslimah sejati.”

DIRACUN
.
       Pada tahun 260 Hijrah, Khalifah al-Mu’tamid telah mengarahkan supaya Imam Hasan Askari diracun agar pemerintahannya kekal dan tidak diganggu gugat Imam Hasan Askari. Menjelang kewafatan Imam Hasan Askari, Abu al-Adyan telah dipanggil untuk menghantar beberapa surat ke beberapa daerah. Ketika itu Imam Hasan Askari sedang sakit tenat akibat diracun Khalifah al-Mu’tamid. Imam Hasan Askari berkata,
       “Selepas 15 hari segeralah pulang, kerana ketika itu Kota Samarra’ akan diselubungi kesedihan. Ketika itu bersedialah untuk menguruskan jenazahku.” Abu al-Adyan berkata,
       “Wahai Tuan, setelah ketiadaanmu, siapakah yang akan memimpin dan menggantikan tempat tuan?” Imam Hasan Askari menjawab,
       “Seseorang yang meminta jawapan daripada suratku itu maka dialah Imam sesudahku.”
       “Adakah ada tanda lain?” Tanya Abu al-Adyan lagi.
       “Seseorang yang mengimamkan sembahyang jenazahku, dialah bakal penggantiku.”
       “Adakah tanda lain?” Tanya Abu al-Adyan lagi.
       “Seseorang yang memberitahu jumlah wang yang ada dalam pundi wang milik seseorang, dialah Imam selepasku.” Lalu Abu al-Adyan pun menuju ke Madain untuk menyampaikan surat yang dibawa dan meminta jawapan daripada surat tersebut. Seterusnya pada hari ke15 iaitu pada 3 Rejab tahun 260 Hijrah, Abu al-Adyan pun kembali ke Samarra’. Ketika sampai di rumah Imam Hasan Askari, kelihatan orang ramai berpusu-pusu dalam keadaan kesedihan. Mereka mengatakan bahawa Imam Hasan Askari telah meninggal dunia. Abu al-Adyan melihat adik Imam Hasan Askari yang bernama Ja’far bin Imam Ali Hadi duduk di sebelah jenazahnya. Ja’far bin Imam Ali Hadi yang tidak digemari orang ramai kerana sifatnya yang sering berfoya-foya dan berakhlak buruk juga kelihatan dalam keadaan sedih. Abu al-Adyan berkata dalam hati,
       “Jika dia yang dimaksudkan sebagai pengganti Imam, sudah pasti Agama Islam akan menjadi bentuk lain, kerana setahuku dia adalah seorang yang pemabuk dan sukakan hiburan.” Lalu Abu al-Adyan pun mengucapkan takziah kepadanya namun, dia tidak meminta sesuatu pun. Kemudian pembantu Imam Hasan Askari datang dan berkata kepada Ja’far,
       “Abangmu sudah pun dikafankan. Marilah kita sembahyang jenazah.” Kemudian Ja’far pun berdiri dan orang ramai ikut dari belakang. Kini jenazah Imam Hasan Askari diletakkan di tengah kawasan lapang dan Ja’far pun bersiap sedia untuk mengimamkan sembahyang jenazah. Ketika baru sahaja Ja’far ingin mengangkat takbiratul-ihram, tiba-tiba seorang budak lelaki berusia lima tahun yang bercahaya mukanya serta putih giginya laksana untaian mutiara menarik jubah Ja’far dan menegur,
       “Wahai bapa saudaraku, nanti dulu. Sayalah yang layak mengimamkan jenazah bapaku.” Ja’far berubah wajah dan terpaksa memberi laluan dan anak Imam Hasan Askari lalu mengimamkan jenazah bapanya. Setelah selesai, anak Imam Hasan Askari berpaling kepada Abu al-Adyan dan berkata,
       “Berikanlah kepadaku surat jawapan yang ada padamu.” Maka Abu al-Adyan pun memberi surat tersebut. Dua petunjuk anak Imam Hasan Askari bakal mewarisi bapanya sudah diketahui Abu al-Adyan. Dia masih menanti satu lagi tanda sebagaimana yang diberitahu Imam Hasan Askari menjelang kewafatannya.
       Orang ramai menjadi bingung dengan kejadian yang baru disaksikan. Mereka bertanya kepada Ja’far,
       “Siapakah budak tersebut?” Ja’far menjawab,
       “Demi Allah, aku tidak mengenalinya dan aku belum pernah melihatnya.” Tidak lama kemudian beberapa jamaah dari Bandar Qom telah datang dan bertanyakan tentang Imam Hasan Askari. Setelah mereka mengetahui beliau telah meninggal dunia lalu mereka bertanya,
       “Siapakah Imam selepas beliau?” Maka orang ramai menunjukkan kepada Ja’far. Jamaah dari Qom menghampiri Ja’far dan mengucapkan takziah sambil berkata,
       “Di sini kami ada beberapa pucuk surat dan pundi yang berisi wang. Sila beritahu kami dari manakah surat tersebut dan berapakah jumlah wang dalam pundi ini. Kemudian barulah kami mengaku anda adalah imam selepas Imam Hasan Askari.” Ja’far berkata,
       “Mereka bertanyaku tentang ilmu ghaib.” Tiba-tiba pembantu anak Imam Hasan Askari muncul dan berkata,
       “Kamu semua membawa surat dari Fulan bin Fulan dan pundi wang yang dalamnya berjumlah 1,000 keping wang emas.” Jemaah dari Qom merasa gembira lalu menyerahkan surat dan wang tersebut dan berkata,
       “Orang yang menyuruh anda mengambil surat dan pundi wang ini, maka beliau adalah Imam di zaman ini.” Maka pembantu tadi memperkenalkan Tuannya yang bernama Imam Muhammad Mahdi bin Imam Hasan Askari yang akan mewarisi kepimpinan bapanya.
       Akhirnya,  pada 8 Rabiul Awal tahun 260 Imam Hasan Askari wafat dan jenazah beliau disemadikan bersebelahan makam bapanya di Samarra’. Orang ramai berpusu-pusu mengiringi jenazah beliau. Pasar menjadi lengang pada hari itu. Keluarga Bani Hasyim, para panglima perang, para pembesar dan para ulama berbaris menjadi lautan manusia mengiringi jenazah Imam Hasan Askari untuk disemadikan.

[1]  Surah al-Mukminun ayat: 115.