INFORMASI

MAKLUMAN

Blog ini adalah hak milik Pintu Ilmu Resources (00159443-D) - PUSAT RAWATAN HOMEOPAYHY- yang beralamat di: Pusat Perubatan Holistik dan Alternatif 4932, Traffic Light Tok Jiring, Jalan Kelantan 21060 Kuala Terengganu, Darul Iman. Untuk lokasi klinik sila klik di sini

Pada 08/11/2015 klinik ditutup kerana doktor bertugas outstation. Harap maklum.

TESTIMONIAL TERKINI i

TAJAAN

Selasa, 27 Disember 2011

BIOGRAFI IMAM MUSA KAZIM


       Imam Musa Kazim bin Imam Ja’far Shadiq adalah mutiara rantai Ahlul Bait yang mulia lagi terhormat. Bapanya iaitu Imam Ja’far Shadiq adalah seorang yang sangat dikenali kaum muslimin sebagai Imam umat Islam, guru para ulama dan fukaha serta junjungan keluarga Rasulullah s.a.w.yang tiada taranya. Ibu Imam Musa Kazim adalah seorang jariah yang bernama Hamidah, seorang wanita berbangsa Sepanyol.
       Imam Musa Kazim dilahirkan di zaman pemerintahan Khalifah Marwan di sebuah tempat yang bernama al-Abwa, 7 batu dari Madinah al-Munawwarah di mana di situ Aminah binti Wahab iaitu ibunda Rasulullah s.a.w. telah disemadikan. Beliau dilahirkan pada hari Ahad 7 haribulan Safar tahun 128 Hijrah.
       Imam Ja’far Shadiq merasa gembira mendengar khabar berita tentang kelahiran anaknya yang ketika itu sedang makan dengan para sahabat. Beliau terus bergegas pulang ke rumah untuk segera menyambut bayi yang baru lahir tersebut dengan penuh gembira dan pancaran cahaya seorang bapa yang mulia. Kemudian beliau mengundang orang ramai serta memberi makan para tetamunya selama tiga hari berturut-turut demi untuk menyampaikan perasaan gembira dengan kelahiran seorang bayi lelaki comel.

       Imam Ja’far Shadiq tidak mampu menyembunyikan rasa gembiranya sehingga beliau berucap,

       “Saya berharap tidak memperolehi putera lain selain dia sehingga tidak ada yang membahagi cintaku kepadanya.”[1]

       Nama sebenar beliau ialah Imam Musa Kazim bin Imam Ja’far Shadiq bin Imam Muhammad Baqir bin Imam Ali Zainal Abidin bin Saidina Husain Bin Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib bin Abdul Muthalib bin Hasyim bin Abdul Manaf bin Qushai bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Lu’i bin Ghalib bin Fahr bin Malik bin Nadar bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilias bin Mudhar bin Nizar bin Ma’ad bin Adnan bin ‘Add bin Humaisi’ bin Salamam bin Auz bin Buz bin Qamwal bin Ubai bin ‘Awwam bin Nasyid bin Haza bin Bildas bin Yadlaf bin Tabikh bin Jahim bin Nahisy bin Makhi bin Aid bin ‘Abqar bin ‘Ubaid bin Ad-Da’a bin Hamdan bin Sanbir bin Yathrabi bin Yahzin bin Yalhan bin Ar’awi bin Aid bin Desyan bin Aisar bin Afnad bin Aiham bin Muksar bin Nahits bin Zarih bin Sami bin Wazzi bin ‘Adwa bin Aram bin Haidir bin Nabi Ismail a.s. bin Nabi Ibrahim a.s. bin Azar bin Nahur bin Saru’ bin Ra’u bin Falikh bin Abir bin Syalikh bin Arfakhsyad bin Sam bin Nabi Nuh a.s. bin Lamik bin Matul Syalakh bin Nabi Idris a.s. bin Yarid bin Mahlail bin Qinan bin Anwas bin Syits bin Nabi Adam a.s..

       Semenjak kecil Imam Musa Kazim hidup dalam asuhan bapanya dan dibesarkan di madrasah ilmiah terkemuka milik bapanya. Beliau mewarisi ilmu daripada bapanya dan menjadi dewasa dengan mewarisi sifat dan keperibadian Imam Ja’far shadiq. Kehidupan beliau di bawah asuhan bapanya merupakan kehidupan yang diisi dengan pendidikan dan penyerapan ilmu. Imam Ja’far Shadiq pernah berkata,

       “Segala puji bagi Allah s.w.t. yang telah menjadikan anda wahai anakku, sebagai pewaris ayah dan datukmu, kegembiraan yang diberikan oleh anak dan pengganti bagi sahabat (yang telah pergi dulu).”

AL-KAZIM
       Kerana ketinggian ilmu, kemuliaan sifat dan kesempurnaan diri sehingga beliau digelar ‘Al-‘Abd as-Shalih’ (Hamba yang soleh), Zain al-Mujtahidin (cahaya para mujtahid) kerana banyak beribadah dan bertahajud, digelar ‘Al-Kazim (besar kemampuannya) kerana kesabarannya memikul penderitaan, menghadapi cacian orang lain dan membalasnya dengan kebaikan serta digelar Bab al-Hawaij (pintu pemberi keperluan) kerana selalu menghadapkan diri kepada Allah s.w.t.. Imam Musa Kazim memiliki kedudukan yang terhormat dan selalu memenuhi permintaan orang lain. Beliau sering melakukan ibadah di siang mahupun di malam hari. Beliau sangat mendalami ilmu Al-Quran, memahami tafsirannya dan menjiwai bacaannya. Beliau juga sering menunaikan haji ke Baitullah dengan berjalan kaki bersama kaum keluarganya. Pada tahun pertama beliau telah berjalan kaki menunaikan fardhu haji selama 26 hari, pada tahun kedua selama 25 hari, pada tahun ketiga selama 24 hari dan pada tahun keempat selama 21 hari. Setiap kali Imam Musa Kazim melakukan solat, air matanya berkaca sebak. Beliau sering beristighfar memohon keampunan dari Allah s.w.t.. Ibrahim bin al-Bilad berkata,
       “Imam Musa Kazim berkata kepadaku, “Sesungguhnya saya memohon ampun kepada Allah s.w.t. lima ribu kali sehari semalam.”

       Hisyam bin Ahmar pula berkata,

       “Suatu hari aku berjalan bersama Imam Musa Kazim di sebatang jalan di Kota Madinah al-Munawwarah. Tiba-tiba kaki beliau memberhentikan binatang tunggangannya dan beliau lantas sujud kepada Allah s.w.t. dengan agak lama. Kemudian beliau bangkit dan menaiki tunggangannya semula. Aku yang menyaksikan kejadian tersebut lalu bertanya, “Demi pembelaanku kepada Tuan, mengapa anda sujud begitu lama? Imam Musa Kazim menjawab, “Tiba-tiba saya teringat nikmat Allah s.w.t. yang telah dikurniakan kepadaku, maka saya lantas bersyukur kepadaNya.”

       Imam Musa Kazim adalah seorang pemimpin yang sangat kuat beribadah, suci kalbunya dan sentiasa mengesakan Allah s.w.t.. Kalbunya dipenuhi kerinduan dan keesaan Allah s.w.t.. Dalam doanya beliau berkata,

       “Ya Allah s.w.t., sesungguhnya engkau mengetahui aku memohon kepadaMu agar sentiasa berada dalam keadaan beribadah kepadaMu dan aku telah lakukan hal tersebut maka segala puji hanya bagiMu.”[2]

       Imam Musa Kazim tidak pernah merasa gentar terhadap penjara atau takut terhadap kekejaman para penguasa. Beliau adalah seorang alim yang telah mampu mengalahkan kehidupan dunia, tidak pernah mengindar dari penjara. Seluruh perhatiannya semata-mata ditujukan untuk menghadapkan diri kepada Allah s.w.t., menentang para taghut dan membela kebenaran. Sebab itu beliau digelar sebagai pembimbing dan pemimpin (imam). Pembimbing menuju petunjuk Allah s.w.t., pemimpin dalam jihad dan teladan paling baik dalam berpegang pada jalan yang benar dan prinsip kebenaran.

       Imam Musa Kazim memang sangat dikagumi pelbagai kaum. Suatu ketika seorang hamba Negro yang sudah begitu lama terbelenggu rantai kehambaan dan nyaris-nyaris putus asa kerana tidak ada seorang pun yang bersedia memerdekakannya, yang ketika itu mengetahui Imam Musa Kazim seorang pemimpin agung lalu dia menemuinya dengan tujuan memperolehi kemerdekaan. Namun, ketika berhadapan dengannya dia merasa malu untuk menyuarakan hasratnya. Lidahnya kelu dan tidak satu kata pun terkeluar dari lidahnya. Dia hanya mampu memperlihatkan keadaan dirinya di depan Imam Musa Kazim.

       Di masa yang lain Imam Musa Kazim telah bertolak dari Madinah al-Munawwarah bersama para pengiring dan sanak saudaranya menuju Sayah iaitu sebuah desa di daerah pertanian di perbatasan Hijaz. Sebelum tiba di desa tersebut rombongan beliau telah beristirehat di suatu perhentian yang ketika itu cuaca sangat sejuk sekali. Tiba-tiba datang seorang Negro yang sangat peramah, dengan di kepalanya memikul tempayan yang dipenuhi bubur gandum. Dia berdiri di depan para pembantu rumah Imam Musa Kazim lalu berkata kepada mereka,

       “Di mana Tuanmu?”

       “Di sana.” Jawab mereka. Hamba Negro itu pun menghampiri Imam Musa Kazim dan dengan merendahkan diri berkata kepada beliau,

       “Wahai Imam, ini adalah sekadar hadiah dari saya untuk Tuan.” Imam Musa Kazim menerima hadiah tersebut dan meminta hamba Negro tersebut menyerahkannya kepada para pembantunya. Hamba tersebut pun menyerahkannya kepada mereka lalu dia pergi meninggalkan tempat tersebut. Tetapi tidak lama kemudian dia kembali lagi dengan membawa seikat kayu bakar lalu diserahkan kepada Imam Musa Kazim.

      “Wahai Imam, ini adalah seikat kayu bakar sebagai hadiah dari saya untuk Tuan.” katanya. Beliau menerima pemberiannya itu dan meminta kepadanya untuk menyerahkan kepada para pembantunya lalu meminta obor untuk penerang. Hamba Negro itu kemudian pergi meninggalkan tempat tersebut dan tidak berapa lama kemudian dia datang kembali dengan membawa obor.
 Imam Musa Kazim menyuruh seseorang menulis nama hamba Negro itu dan juga nama Tuannya lalu diserahkan kepada salah seorang anak Negro tersebut untuk disimpan dan digunakan ketika perlu. Setelah itu rombongan Imam Musa Kazim pun melanjutkan perjalanan menuju Baitullah untuk melaksanakan Umrah. Setelah selesai, Imam Musa Kazim memerintahkan Shaid untuk mencari tuan hamba Negro tersebut dan berkata,

      “Jika anda tahu tempat tinggalnya sila beritahuku. Saya akan menemuinya sendiri sebab saya malu jika dia kembali ke sini semula padahal sayalah yang memerlukannya.” Lalu Shaid pun segera pergi mencari tuan hamba yang dimaksudkan sehinggalah tidak lama kemudian dia menemuinya. Setelah saling memperkenalkan diri orang tersebut bertanya kepada Shaid maksud kedatangan Imam Musa Kazim ke tempat ini. Namun, Shaid tidak menjelaskan. Oleh itu, orang tersebut pun bertanya tentang kedatangan Shaid. Lalu Shaid menerangkan dia ada beberapa keperluan yang perlu diselesaikan. Jawapan tersebut sama sekali tidak memuaskan orang tersebut. Dia menyangka bahawa Imam Musa Kazim mempunyai maksud tertentu dengan kehadirannya ke Makkah al-Mukarramah. Kemudian Shaid meminta izin untuk pulang. Orang tadi merasa tidak puas hati lalu mengekori Shaid dari belakang tetapi akhirnya, Shaid mengetahui lalu dia bersama-sama Shaid menemui Imam Musa Kazim.
.
       Ketika mereka berdua hadir di depan Imam Musa Kazim lalu beliau pun bertanya kepada Shaid tentang maksud kedatangan lelaki tersebut. Shaid meminta maaf kepada Imam Musa Kazim kerana dia tidak memberitahu terlebih dahulu tentang maksud kedatangan lelaki tersebut. Kemudian Imam Musa Kazim menghampiri lelaki tersebut lalu bertanya,

       “Adakah Negro itu mahu anda jual?” Lelaki tersebut menjawab,
       “Demi diriku sebagai pembela Tuan, hamba tersebut menjadi milik Tuan beserta segala sesuatu yang dimilikinya.”

       “Mengenai barang miliknya saya tidak akan mengambilnya.” Jawab beliau. Namun, lelaki tersebut meminta supaya beliau menerima semuanya. Akhirnya, Imam Musa Kazim membeli hamba Negro tersebut beserta barangan miliknya seharga 1,000 Dinar. Kemudian beliau memerdekakan hamba Negro tersebut. Semua itu beliau lakukan untuk membalas kebaikan hamba Negro tersebut dengan kebaikan yang telah dilakukan. Apa yang dilakukan Imam Musa Kazim ternyata menjadi berkat sehingga anak-anak hamba Negro yang telah merdeka tersebut menjadi orang kaya dan ternama di Makkah Mukarramah.[3]

PEMERINTAHAN BANI ABBASIAH

       Pada tahun 136 Hijrah, Abu Ja’far al-Mansur mula menjadi khalifah. Ibnu Astir di dalam kitabnya menulis bahawa Khalifah Abu Ja’far al-Mansur terkenal sebagai seorang yang bakhil.

       Al-Asfahani menceritakan, seorang penyair telah menemui al-Mahdi yang ketika itu menjadi putera mahkota dan telah memujinya dengan beberapa rangkap syair. Al-Mahdi telah memberikannya hadiah sebanyak 20,000 Dirham. Perkara tersebut telah disampaikan kepada Khalifah al-Mansur oleh seorang pegawai perhubungan dan Khalifah al-Mansur pun menulis kepada al-Mahdi mencela perbuatannya itu serta meminta supaya penyair tersebut dihantar menghadapnya. Setelah penyair tersebut berada di depannya Khalifah al-Mansur pun menyuruhnya membacakan syair yang telah diperdengarkan kepada al-Mahdi. Setelah selesai, Khalifah al-Mansur mengucapkan tahniah, namun, Khalifah al-Mansur mengatakan nilai syair yang dibaca itu tidak sampai 20,000 Dirham. Kemudian dia meminta ar-Rabi’ supaya memberi penyair tersebut sejumlah wang 4,000 Dirham sahaja dan mengambil semula 16,000 Dirham dari penyair tersebut.”

       Ketika Khalifah al-Mahdi menjawat jawatan khalifah, penyair tersebut telah datang menemuinya dan menyampaikan aduan mengenai peristiwa yang dialaminya. Khalifah al-Mahdi tersenyum dan terus mengembalikan wang yang diambil oleh al-Mansur malah ditambah lagi sebanyak 4,000 Dirham.[4]

       Di zaman pemerintahan Khalifah al-Mansur, pengikut Imam Musa Kazim mendapat tekanan yang sangat hebat. Ramai antara mereka ditangkap, dipenjara dan dibunuh. Walaupun Imam Musa Kazim mengetahui kedudukannya yang tertekan namun, beliau masih belum bersedia memaklumkan perlawanan dan merahsiakan penentangannya terhadap khalifah Abu Ja’far al-Mansur yang telah merampas harta pengikut beliau atau mengusir mereka dari setiap rumah yang mereka diami. Kebanyakan mereka diseksa dan tidak diberi makanan ketika di dalam penjara. Sehingga satu persatu antara mereka meninggal dunia kerana kelaparan di dalam penjara yang gelap lagi menakutkan. Kekejaman Khalifah al-Mansur berluasa selama 10 tahun sehinggalah dia meninggal dunia pada 3 Zulhijjah tahun 158 Hijrah dan kerusi kekhalifahan diduduki oleh anaknya yang selama ini menjadi putera mahkota iaitu Muhammad al-Mahdi.
Semasa mula memerintah, Khalifah al-Mahdi menjauhkan diri daripada teman-temannya yang meminum arak tetapi hanya selama setahun sahaja. Kemudian dia muncul semula bersama mereka. Diriwayatkan juga dalam tempoh 10 hari sahaja Khalifah al-Mahdi telah membelanjakan wang sebanyak 10,000 Dirham.

       Di zaman pemerintahan Khalifah al-Mahdi, dia telah melantik Ya’kub bin Daud sebagai Perdana Menterinya. Sejak itu Khalifah al-Mahdi menghabiskan masanya dengan bersenang-lenang dan berhibur. Sebahagian rakyat merasa puas hati dengan perlantikan Ya’kub bin Daud manakala sebahagian yang lain pula merasa marah dan kesal terhadap perlantikan tersebut. Semenjak dilantik menjadi perdana menteri, Ya’kub bin Daud telah berusaha merapatkan hubungan di antara Khalifah al-Mahdi dengan keturunan Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib. Sikap baik Khalifah al-Mahdi terhadap golongan keturunan Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib telah menjadi galakan kepada Perdana Menteri Ya’kub bin Daud untuk mengukuhkan lagi hubungannya dengan golongan Alawiyyah atau keturunan Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib, tetapi musuh Perdana Menteri Ya’kub bin Daud telah menjadikan keadaan ini suatu peluang untuk menghasut Khalifah al-Mahdi khususnya apabila Perdana Menteri Ya’kub bin Daud mulai menghubungi keturunan Alawi dan pengikut Imam Musa Kazim yang berada di mana-mana serta melantik mereka sebagai pegawai tadbir. Khalifah al-Mahdi mulai curiga terhadap kesetiaan dan kejujuran Perdana Menteri Ya’kub bin Daud. Dia kian bimbang kerana Perdana Menteri Ya’kub bin Daud ternyata masih setia kepada golongan Alawi. Oleh itu dia merasa perlu mengujinya. Pada suatu hari Khalifah al-Mahdi memanggil Perdana Menteri Ya’kub bin Daud menghadap di sebuah bilik pertemuan yang dipenuhi dengan hamparan permaidani dan bunga-bungaan. Dia sendiri memakai pakaian yang berwarna-warni dengan diiringi oleh dayang-dayang yang amat jelita. Bilik pertemuan itu terletak di tengah sebuah taman yang indah. Kemudian Khalifah al-Mahdi meminta pandangan Perdana Menteri Ya’kub bin Daud tentang tempat pertemuan itu. Perdana Menteri Ya’kub bin Daud telah menjawab bahawa semuanya indah dan menarik. Khalifah al-Mahdi berkata,

       “Semua yang ada di sini adalah untukmu termasuklah dayang ini dan juga wang sejumlah 100,000 Dirham.”
Perdana Menteri Ya’kub bin Daud mengucapkan berbanyak terima kasih. Kemudian Khalifah al-Mahdi memintanya bersumpah tiga kali untuk melaksanakan permintaannya. Setelah Perdana Menteri Ya’kub bin Daud bersumpah sebanyak tiga kali untuk melaksanakan permintaan Khalifah al-Mahdi, lantas dia pun memanggil masuk seorang lelaki yang dikenali sebagai pengikut Imam Musa Kazim dan meminta Perdana Menteri Ya’kub bin Daud membunuhnya di atas alasan bimbang lelaki tersebut mungkin akan menjadi pengkhianat.
Perdana Menteri Ya’kub bin Daud berjanji akan melaksanakan permintaan itu. Perdana Menteri Ya’kub bin Daud sangat meminati dayang Khalifah al-Mahdi dan mengharapkan supaya mereka sering berada di sisinya. Tidak lama kemudian Perdana Menteri Ya’kub bin Daud mengarahkan supaya lelaki daripada pengikut Imam Musa Kazim itu datang menemuinya. Setelah berbicara dengannya lelaki tersebut adalah seorang yang baik dan pintar. Lelaki tersebut menyedari tentang tujuan Perdana Menteri Ya’kub bin Daud terhadapnya lalu berkata kepada Perdana menteri Ya’kub bin Daud,

       “Mengapa anda jadi begini wahai Perdana Menteri Ya’kub bin Daud. Sanggupkah anda menemui Allah s.w.t. dengan berlumuran darahku?” Perdana Menteri Ya’kub bin Daud menjawab,

       “Tidak, demi Allah, aku tidak akan membunuhmu. Ambillah wang ini dan selamatkanlah dirimu.”

       Peristiwa tersebut telah disaksikan dayang tadi lalu menghantar orang supaya memberitahu Khalifah al-Mahdi. Mendengar berita itu Khalifah al-Mahdi pun memerintahkan pengawalnya menangkap lelaki tadi dan menahannya di sebuah rumah berhampiran tempat istananya. Beberapa hari kemudian dia meminta Perdana Menteri Ya’kub bin Daud menghadapnya dan bertanyakan tentang lelaki tersebut. Perdana Menteri Ya’kub bin Daud bersumpah mengatakan lelaki tersebut telah meninggal dunia. Tetapi Khalifah al-Mansur memintanya bersumpah dengan meletakkan tangan di kepalanya. Setelah Perdana Menteri Ya’kub bin Daud berbuat demikian Khalifah al-Mahdi pun memerintahkan seorang hambanya supaya membawa lelaki yang ditahan di rumah yang berhampiran istananya tempohari. Sebaik-baik melihat lelaki tersebut, Perdana menteri Ya’kub bin Daud merasa serba salah dan tidak tentu arah. Dia hanya mampu diam membisu sahaja. Lalu Khalifah al-Mahdi pun berkata,

       “Darahmu kini sudah halal dan aku boleh menumpahkannya jika aku mahu. Tetapi aku lebih suka engkau dipenjarakan di dalam bilik gelap di bawah tanah. Akhirnya, Perdana Menteri Ya’kub bin Daud pun dipenjarakan sebagaimana kehendak Khalifah al-Mahdi. Dia juga memerintahkan supaya diputuskan sama sekali hubungannya dengan dunia luar. Perdana Menteri Ya’kub bin Daud telah berada di dalam penjara itu sepanjang zaman pemerintahan Khalifah al-Mahdi manakala selama lima tahun dua bulan pula di zaman pemerintahan Khalifah Harun ar-Rasyid. Kemudian di zaman pemerintahan Khalifah Harun ar-Rasyid, Yahya bin Khalid telah memohon supaya bekas Perdana Menteri Ya’kub bin Daud dibebaskan. Apabila dibebaskan dari bilik gelap itu, didapati dia telah pun menjadi buta. Ketika Khalifah Harun ar-Rasyid bertanya tentang keinginannya, bekas Perdana Menteri Ya’kub bin Daud menjawab bahawa dia tidak mempunyai sebarang keinginan kecuali untuk terus hidup di Makkah al-Mukarramah. Akhirnya, dia telah meninggal dunia di Makkah al-Mukarramah pada tahun 186 Hijrah.
.
      Ketika tampuk pemerintahan diambil alih Khalifah al-Hadi, dia menyedari di zaman pemerintahan ayahnya amat kejam dan zalim. Oleh itu di zaman pemerintahan Khalifah al-Hadi, dia berusaha meringankan beban rakyat. Di awal pemerintahannya, dia telah membebaskan para tahanan dan telah mengembalikan harta mereka yang dirampas termasuklah harta kepunyaan pengikut Imam Musa Kazim.

       Di zaman pemerintahan Khalifah al-Mahdi juga dia telah mengembalikan harta milik Imam Ja’far Shadiq yang kemudian dikembalikan kepada anaknya iaitu Imam Musa Kazim. Walau bagaimana sekalipun, Khalifah al-Mahdi tetap tidak boleh membebaskan dirinya dari takut terhadap Imam Musa Kazim kerana pengaruh kewibawaannya. Oleh itu melalui Gabenornya yang ada di Madinah al-Munawwarah, dia meminta Imam Musa Kazim untuk ke Baghdad. Tujuan sebenar Khalifah al-Mahdi ialah untuk menangkap dan memenjarakannya.

       Perjalanan dari Madinah al-Munawwarah menuju Baghdad sungguh berat bagi Imam Musa Kazim. Pemergian beliau diiringi para pengikutnya dengan perasaan sedih dan khuatir. Namun, Imam Musa Kazim tetap bersabar kerana beliau yakin Khalifah al-Mahdi tidak akan mengapa-apakannya.
Akhirnya, setelah mengharungi kegersangan Padang Sahara, Imam Musa Kazim tiba di Baghdad ibu negeri pemerintahan Abbasiah. Setibanya di istana, Khalifah al-Mahdi memerintahkan supaya Imam Musa Kazim ditahan dan dipenjarakan. Pada malam beliau dipenjarakan terjadi satu peristiwa luar biasa di mana Khalifah al-Mahdi telah bermimpi berjumpa dengan Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib yang berkata kepadanya,
.
       “Wahai al-Mahdi, apakah bila engkau memperolehi kekuasaan, engkau akan melakukan kerosakan di muka bumi dan memutuskan tali persaudaraanmu?” Khalifah al-Mahdi terperanjat dan terjaga dari tidur lalu segera memerintahkan pengawalnya untuk membebaskan Imam Musa Kazim. Setelah Imam Musa Kazim dibebaskan dari penjara, beliau kemudiannya kembali ke Madinah al-Munawwarah untuk melanjutkan tugas sebagai pendakwah bebas.


       Setelah kematian Khalifah al-Mahdi pada tahun 169 Hijrah, Khalifah al-Hadi telah memegang tampuk pemerintahan. Di zamannya dia menyedari ketika memerintah, ayahnya amat kejam dan zalim. Oleh itu di zaman pemerintahan Khalifah al-Hadi, dia berusaha meringankan beban rakyat. Di awal pemerintahannya, dia telah membebaskan para tahanan dan telah mengembalikan harta mereka yang dirampas termasuklah harta kepunyaan pengikut Imam Musa Kazim. Namun, di zaman pemerintahannya juga, Khalifah al Hadi telah membenarkan temannya minum arak di dalam istana sehingga dia juga telah terjebak ke lembah kehinaan. Ini berlaku kerana semenjak kecil lagi dia telah diajar minum arak di istana oleh ayahnya. Antara sifat yang menonjol pada diri Khalifah al-Hadi ialah sifat cemburunya. Ketika dia menjawat jawatan khalifah, ibunya iaitu Khaizuran telah menjadi tumpuan para ulama, menteri, para penyair dan mereka yang mempunyai kepentingan. Ini kerana sebelum Khalifah al-Mahdi menjawat jawatan khalifah, Khairuzan telah lama menguasai istana sehinggalah jawatan kahalifah diambil alih oleh Khalifah al-Hadi. Khairuzan telah melampaui batas dan hampir menafikan adanya kekuasaan Khalifah al-Hadi. Dia sering membuat keputusan dan mengemukakan kepada Khalifah al-Hadi supaya menandatangani segala dokumen.
Akhirnya, Khalifah al-Hadi merasakan keadaan ini tidak boleh dibiarkan. Lalu dia memulakan penentangan dengan menangguhkan semua permintaan Khairuzan dan tidak segera memenuhi kehendaknya. Suatu ketika Khairuzan meminta Khalifah al-Hadi supaya melantik Ghatrif, bapa saudara Khalifah al-Hadi menjadi pemimpin di Yaman. Dia telah berjanji akan melaksanakan permintaan itu. Tidak lama kemudian ibunya menulis surat menanyakan tentang hal tersebut. Khalifah al-Hadi menghantar utusan kepada ibunya memberitahu supaya meminta bapa saudaranya memilih sama ada memerintah negeri Yaman dan Khalifah al-Hadi menceraikan isterinya yang juga anak perempuan Ghatrif atau tidak menjadi pemimpin Yaman dan anak perempuannya tidak diceraikan. Tetapi utusan yang disuruh menyampaikan demikian kepada Khairuzan telah tidak menyampaikannya dengan jujur. Dia hanya menyatakan kepada Khairuzan, Khalifah al-Hadi meminta Khairuzan supaya Ghatrif pilihlah yang mana wilayah yang sesuai untuknya memerintah. Lalu dia pun memilih negeri Yaman. Kemudian utusan tersebut pulang dan memberitahu tentang pilihan Ghatrif. Khalifah al-Hadi menerima berita itu dengan marah lalu menceraikan sepupunya.

       Di waktu yang lain Khairuzan mengemukakan permintaan yang baru namun, tetap menghadapi kegagalan sehingga menyebabkan kedengkiannya semakin memuncak. Tiga perkara yang disedari Khalifah al-Hadi tentang ibunya ialah pertama, ibunya tidak mengharap tetapi memberi jaminan kepada permintaan pihak yang berhajat itu pasti tercapai. Kedua, ibunya bukan sahaja mahu bersikap sederhana dalam perkara biasa tetapi juga bersifat mahu membuat keputusan dalam perkara yang besar. Ketiga, hubungan rapat Khairuzan bukan sahaja dengan saudaranya, Ghatrif bahkan juga dengan panglima tentera dan pembesar negara. Ini telah melahirkan rasa cemburu dalam diri Khalifah al-Hadi serta mendesaknya supaya membuktikan kewibawaannya dan memegang sendiri teraju pemerintahan. Dengan itu maka timbullah perbalahan antara Khalifah al-Hadi dengan ibunya.

      Pada suatu hari, Khairuzan menemui Khalifah al-Hadi dan menyampaikan kepadanya satu permohonan yang diminta supaya diluluskan segera. Tetapi Khalifah al-Hadi telah menangguhkannya. Kemudian, sekali lagi ibunya mendesak supaya segera diluluskan atas alasan dia telah memberi jaminan kepada Abdullah bin Malik permintaannya akan di perkenankan. Khalifah al-Hadi secara berani menjawab tidak akan memperkenankan permintaan tersebut serta memberi amaran kepada Khairuzan supaya jangan lagi memandai melayani permintaan panglima dan orang kenamaan atau mengizinkan mereka mengunjunginya.

Mendengar jawapan Khalifah al-Hadi, Khairuzan meninggalkan majlis pertemuan itu tanpa mengeluarkan sepatah kata pun. Kemudian Khalifah al-Hadi bertanya kepada pembesar yang berada di sekelilingnya,

       “Adakah kamu lebih suka orang datang kepada kamu dan mengatakan ibu kamu menyuruh supaya kamu berbuat sesuatu untuknya?” Pembesar tersebut menjawab,

       “Sudah tentu kami tidak suka.” Lalu Khalifah al-Hadi pun berkata lagi,

       “Tetapi kenapakah kebanyakan kamu menemui ibuku untuk meminta sesuatu dan kemudian kamu datang kepadaku mengatakan ibuku menyuruhku memenuhi hajat kamu itu?” Dan semenjak mereka mendengar kata tersebut pembesar negara tidak lagi pergi menemui Khairuzan.[5]

       Semakin hari Khalifah al-Hadi semakin marah dengan sikap ibunya dan dia berazam untuk melakukan sesuatu dengan menghantar makanan beracun kepada ibunya. Sebelum itu Khairuzan telah mencuba terlebih dahulu makanan tersebut dengan memberikannya kepada seekor anjing. Setelah diberi makan akhirnya, anjing tersebut tersungkur mati. Apabila Khalifah al-Hadi menanyakan tentang makanan tersebut, ibunya mengatakan bahawa makanan tersebut sangat lazat namun, Khalifah al-Hadi mengetahui bahawa ibunya tidak menyentuh sama sekali makanan tersebut dan berkata,

       “Kenapa ibu tidak memakannya. Jika ibu telah makan, pasti saya tidak akan menyusahkan ibu lagi.”[6]

       Akhirnya, tidak lama kemudian ketika Khalifah al-Hadi jatuh sakit, maka Khairuzan telah menyuruh beberapa orang dayang duduk di atas muka Khalifah al-Hadi sehingga dia tidak dapat bernafas dan mati lemas. Kemudian Khairuzan menghantar utusan kepada Yahya bin Khalid dan memberitahu tentang kematian anaknya itu.[7]

       Setelah kematian Khalifah al-Hadi, maka Harun ar-Rasyid pun dengan rasmi menjadi khalifah iaitu pada tahun 170 Hijrah. Di zaman pemerintahan Khalifah Harun ar-Rasyid, ramai yang meminta supaya di istana didirikan taman yang indah, agar dapat menikmati keindahan dunia. Dengan yang demikian pemerintahan Khalifah Harun ar-Rasyid adalah dianggap sebagai kemuncak zaman pemerintahan Abbasiah.

       Di Kota Baghdad telah didirikan bangunan yang banyak sehingga angka penduduk mencapai 1,000,000 orang. Di zaman tersebut terdapat banyak mahligai dengan dihiasi taman yang indah. Ini berlaku kerana ramai pembesar negara telah mencontohi gambaran syurga yang diungkapkan di dalam Al-Quran. Dengan demikian terdapat istana yang diberi nama ‘Jannatu Khuldi’ sebagaimana yang disebut di dalam surah al-Furqan ayat 15 sehingga kebanyakan istana di zaman tersebut dibina anak sungai yang mengalir di bawahnya dan dihiasi dengan bidadari yang cantik.

       Istana Khuldi dikelilingi dengan taman yang indah, kebun yang luas dan aneka bunga berwarna-warni. Antara taman dan kebun itu pula terdapat terusan dan anak sungai. Manakala di sebelahnya pula sungai Dajlah yang kelihatan begitu indah dengan dipenuhi sampan. Para pembesar Khalifah Harun ar-Rasyid telah membina mahligai mereka di sekitar Istana Khuldi.

       Namun, Khalifah Harun ar-Rasyid masih merasa khuatir melihat pengikut Imam Musa Kazim yang berpegang teguh dengan ajaran Islam yang sebenar. Malahan dia juga melarang Imam Musa Kazim menyebarluaskan ilmunya yang diwarisi daripada nenek moyangnya.

       Ketika Harun ar-Rasyid berada di Thus, Khurasan, dia telah memanggil Humaid bin Qahthabah dan menanyakan tentang ketaatannya kepada kerajaan. Maka Humaid pun menyatakan kesanggupannya melaksanakan perintah. Kemudian Harun ar-Rasyid menyuruh seorang hamba sahaya mengambil sebilah pedang dan menyuruh Humaid pergi ke sebuah rumah yang berkunci dan di tengahnya terdapat tiga bilik yang kesemuanya juga turut dikunci. Ketika hamba sahaya menghantarnya masuk ke rumah tersebut, dia membuka salah satu pintu yang terkunci dan rupanya di dalamnya terdapat 20 orang pengikut Imam Musa Kazim dari keturunan Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib dan Fatimah az-Zahra’ binti Muhammad. Mereka terdiri daripada kanak-kanak remaja dan orang tua dengan kaki dan tangan dirantai. Hamba sahaya menyuruh Humaid untuk membunuh mereka dan memasukkan jasad mereka ke dalam kolam. Maka Humaid pun melaksanakan tugas tersebut sehingga selesai. Kemudian pintu kedua pun dibuka dan di dalamnya bilik tersebut terdapat 20 orang tawanan yang serupa. Humaid pun memenggal kepala mereka lalu dimasukkan ke dalam kolam yang sama. Seterusnya pintu ketiga pun dibuka. Di situ terdapat tawanan yang serupa. Manakala Humaid memenggal leher mereka dan jasad mereka juga dimasukkan ke dalam kolam.

       Suatu ketika dalam bulan Ramadhan, Ubaidillah al-Bazzaz al-Naisaburi telah berkunjung ke rumah Humaid. Ketika itu Humaid sedang menunggu hidangan untuk dimakan. Setelah hidangan tiba, Humaid pun mengajak Ubaidillah makan bersama. Ubaidillah menolak kerana dia berpuasa dan berkata,

       “Mungkin seorang pembesar seperti anda telah diizinkan syarie untuk tidak berpuasa di bulan Ramadan, namun, saya tetap berpuasa.” Humaid menjawab,

       “Tidak, saya tidak mempunyai alasan yang munasabah sehingga membolehkan saya tidak berpuasa.” Tidak lama kemudian air mata membasahi pipi Humaid dan dengan nada yang sedih dia berkata,

       “Ampunan apa lagi yang boleh aku harapkan dan puasa apa lagi yang memberi faedah kepadaku sesudah aku terjerumus ke dalam lembah kejahatan dan membunuh keturunan Saidina Ali k.wh. dan Fatimah az-Zahra’ tanpa dosa?” Dengan muka seperti apa aku nanti menemui Allah s.w.t. dan Rasulnya?”[8]

       Pada tahun 177 Hijrah, Khalifah Harun ar-Rasyid berhasrat untuk menunaikan haji. Lalu dia mengirimkan utusan ke segenap penjuru yang meminta kepada para ulama, Fukaha dan para pembesar untuk hadir di Makkah Mukarramah pada musim haji tahun tersebut dan dia akan melalui jalan Madinah a-Munawwarah. Ketika sampai di Makkah al-Mukarramah dia telah mengunjungi makam Rasulullah s.a.w. dan berkata di sisi makam Baginda,

       “Wahai Rasulullah, aku memohon maaf kepada anda tentang sesuatu yang akan segera aku lakukan. Aku berhajat untuk menangkap Imam Musa Kazim sebab dia berusaha untuk memecah belahkan umat. Sesudah itu Khalifah Harun ar-Rasyid memerintahkan supaya Imam Musa Kazim ditangkap dan dibelenggu. Kemudian beliau diikat dan dinaikkan di atas seekor keldai. Beberapa orang pengawal membawa beliau menuju Bashrah manakala serombongan yang lain menuju Kuffah. Tujuannya ialah untuk mengelabui mata rakyat tentang ke mana Imam Musa Kazim dibawa.

       Sebenarnya Imam Musa Kazim dibawa rombongan yang menuju ke Bashrah dan Khalifah Harun ar-Rasyid memerintahkan kepada para pengawalnya supaya menyerahkan beliau kepada Isa bin Ja’far ibnu al-Mansur yang kemudian menahan Imam Musa Kazim di Bashrah selama setahun. Kemudian Isa bin Ja’far mengirim surat kepada Harun ar-Rasyid yang mengatakan,

       “Hendaknya Imam Musa Kazim anda ambil dari Bashrah dan anda pindahkan ke tempat lain yang anda kehendaki. Jika tidak saya akan membebaskannya. Saya sudah beberapa kali berhujah dengannya tetapi saya tidak mampu menghadapinya sehingga saya menjadi khuatir kalau dia mendoakan perkara yang buruk untuk saya. Saya tidak mahu dia berdoa kecuali meminta rahmat dan keampunan Allah s.w.t. hanya untuk dirinya sendiri.”

       Tidak lama kemudian Imam Musa Kazim diserahkan kepada seorang penerimanya lalu beliau ditahan dalam kekuasaan al-Fadhal ibnu al-Rabi’ di Baghdad. Di situ beliau dipenjarakan untuk jangka waktu yang lama. Khalifah Harun ar-Rasyid meminta supaya al-Fadhal melakukan penyeksaan terhadap Imam Musa Kazim, namun, al-Fadhal tidak sanggup melakukannya. Kemudian Khalifah Harun ar-Rasyid memerintahkan supaya menyerahkannya kepada al-Fadhal ibnu Yahya. Harun ar-Rasyid memerintahkan al-Fadhal bin Yahya sebagaimana yang diperintahkan kepada al-Fadhal bin al-Rabi’ namun, dia juga tidak bersedia. Perkara tersebut berlaku kerana Imam Musa Kazim telah menjadikan penjara sebagai tempat ibadah. Beliau kelihatan sering bertasbih, sujud dan beribadah keada Allah s.w.t.. Sentiasa berpuasa di siang hari dan bersolat di tengah malam.

       Salah seorang yang ditugaskan mengawasi beliau iaitu Isa bin Ja’far menceritakan dia pernah mendengar Imam Musa Kazim berdoa,

       “Allahumma Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui aku selalu memohon kepadaMu supaya aku boleh sentiasa mengisi waktuku untuk beribadah kepadaMu. Dan sekarang aku boleh melakukan perkara tersebut kerana segala puji hanya bagiMu.”[9]

       Ahmad bin Abdullah meriwayatkan daripada ayahnya, dia berkata,

       “Saya menemui Fadhal bin Rabi’ yang ketika itu sedang duduk di ruang atas lalu dia berkata kepadaku: “Sila perhatikan bilik itu, lalu katakan kepadaku apa yang engkau lihat.”

       “Pakaian yang dilonggokkan.” Jawabku.

       “Lihatlah betul-betul.” Katanya lagi. Aku kembali mengamati dan kemudian melihatnya betul-betul. Lalu aku berkata, “Rupanya orang sedang sujud.”

       “Adakah engkau kenal dia?” Tanya Fadhal kepadaku.

       “Dia adalah Imam Musa Kazim. Aku mengawasinya siang dan malam dan aku tidak pernah melihatnya di setiap waktu kecuali dia sedang beribadah seperti demikian rupa. Dia solat Fajar lalu disambung dengan solat lain hingga matahari terbit. Kemudian sujud dengan begitu lama sekali dan tidak mengangkat kepalanya sehingga matahari tergelincir di ufuk. Di sisinya disediakan seorang yang memberitahu datangnya waktu solat dan bila diberitahu waktu solat tiba dia segera melaksanakan solat tanpa memperbaharui wuduknya. Setelah selesai solat kemudian dia makan lalu memperbaharui wuduknya dan sesudah itu sujud dan melaksanakan solat tanpa henti di tengah malam sehingga Subuh tiba.”

       Al-Amiri di dalam kitab ‘Al-Anwar’ menceritakan,

       “Harun ar-Rasyid telah menyediakan seorang hamba sahaya yang cantik untuk melayani Imam Musa Kazim dalam tahanan. Tetapi beliau menyuruh orang yang menghantar hamba sahaya tersebut supaya mengatakan kepada Harun ar-Rasyid yang beliau tidak memerlukan pemberian hamba sahaya tersebut.”

       Khalifah Harun ar-Rasyid menjadi marah dan berkata kepada petugasnya,

       “Kembalilah dan katakan kepadanya bukan untuk memperolehi keredaanmu aku menahanmu dan bukan pula untuk mencari keredaanmu aku menghukummu. Tinggalkan hamba sahaya tersebut bersamanya dan kembalilah engkau ke sini.” Petugas tersebut kemudian pergi ke tempat tahanan Imam Musa Kazim dan kembali. Tidak lama kemudian Khalifah Harun ar-Rasyid berdiri dan menyuruh khadamnya untuk melihat apa yang sedang dilakukan oleh hamba sahaya tersebut. Ternyata hamba sahaya tersebut sedang sujud kepada Tuhan dengan agak lama seraya mengucapkan,

       “Maha Suci Engkau, Maha Suci Engkau.” Setelah menerima laporan tersebut, Khalifah Harun ar-Rasyid berkata,

       “Demi Allah, sesungguhnya Imam Musa Kazim telah menyihirnya.” Akhirnya, Khalifah Harun ar-Rasyid mengambil keputusan untuk membunuh Imam Musa Kazim. Namun, dia tidak menemukan seorang pun antara pembantunya yang bersedia melaksanakan perintah tersebut.
SYAHID

       Al-Sanadi bin Syahik yang sememangnya seorang yang kejam telah menerima Imam Musa Kazim sebagai tahanan penjara lalu beliau dibelenggu dan diperlakukan dengan kejam. Menteri Harun ar-Rasyid yang bernama Yahya bin Khalid diarahkan untuk membunuh Imam Musa Kazim. Setelah mengadakan mesyuarat dengan Harun ar-Rasyid, dia pun bersegera ke Baghdad.
.
Khalifah Harun ar-Rasyid merasa gembira melihat menterinya yang taat ini. Ketika Yahya bin Khalid sampai di Baghdad dia segera bergabung dengan al-Sanadi bin Syahik. Tidak lama kemudian racun pun diletakkan di dalam bubur gandum yang diberikan untuk Imam Musa Kazim. Maka beliau pun menyantap makanan yang beracun tersebut. Beliau berasa adanya racun yang mengalir ke seluruh darahnya yang suci dan berusaha mengatasi racunnya selama 3 hari, namun, tidak berhasil. Akhirnya, beliau menghembuskan nafas terakhir pada hari yang ketiga sejak racun itu mengalir ke dalam darahnya di penjara al-Sanadi bin Shahik. Beliau syahid pada 25 Rejab tahun 183 Hijrah. Al-Sanadi merasakan adanya ancaman bahaya dan dia pun mencari alasan untuk melepaskan diri. Dia tidak menemui cara lain kecuali mengatakan,

       “Imam Musa Kazim meninggal kerana membunuh diri. Dia sudah berputus asa dan bukan kami yang membunuhnya.” Untuk itu dia telah memanggil para fuqaha, mereka-reka bukti dan membuka jenazah beliau untuk memperlihatkannya kepada para saksi yang beliau benar-benar bunuh diri dan tidak dibunuh oleh sesiapa. Mereka telah meninggalkan jenazah Imam Musa Kazim terbujur begitu sahaja selama tiga hari di dalam penjara, lalu jenazah beliau diletakkan di jambatan al-Karkh, di Kota Baghdad supaya boleh berkata-kata kepada khalayak ramai. Jenazah Imam Musa Kazim terletak begitu sahaja di jambatan Baghdad, sementara para pengawal al-Sanadi bin Syahik bersuara lantang memaki hamunnya semasa orang ramai lalu lalang ke tempat tersebut.

       Berita tersebut telah sampai ke pangkuan bapa saudara Harun al Rasyid, Sulaiman bin Ja’far al-Mansur menyebabkan dia merasa terguris kesedihan dan simpati. Dia telah menyuruh para pembantunya untuk mengambil jenazah dari tangan anak buah al-Sanadi. Dia mengusung mundar-mandir mayat tersebut ke tepi sebelah barat untuk dipertontonkan kepada orang ramai. Kemudian membawanya lagi ke sebelah timur dan demikianlah seterusnya. Ketika mereka tiba di sebelah timur, para pembantu Sulaiman bin Ja’far menunggu mereka di sebelah barat. Para pembantu Sulaiman melakukan penyerangan lalu merebut jenazah Imam Musa Kazim. Kemudian membawanya ke pangkuan Sulaiman bin Ja’far dan mereka menyirami dengan minyak wangi, mengkafankan, menyembahyangkannya dan akhirnya, mengusung jenazah tersebut menuju ke pemakaman Kazhimin.

       Warga Baghdad, para pembesar dan orang ramai berduyun-duyun datang ke rumah Sulaiman untuk mengucapkan takziah. Ketika jenazah Imam Musa Kazim dihantar ke pemakaman Kazhimin, jenazah tersebut diiringi para pembesar dan orang ternama. Kota Baghdad belum pernah menyaksikan lautan manusia seperti itu ketika penghantaran jenazah dan Kota Baghdad belum pernah pula mengalami kesedihan seperti kesedihan yang dialaminya ketika itu.



[1]  Baqir Syarif al-Qurasyi di dalam Hayat al-Imam Musa bin Ja’far jilid I muka surat 46
[2]  Baqir Syarif al-Qurasyi di dalam Hayat al-Imam Musa Kazim.
[3]  Tarikh Baghdad jilid xiii muka surat 29 – 30 dan Suyuthi di dalam al-Bidayah jilid x muka surat 183.
[4]  Al-Baihaqi di dalam al-Mahasin Wa al-Masawi muka surat 270-271.
[5]  Al-Mas’udi di dalam Muruj az-Zahab muka surat 257 – 258.
[6]  Ibnu Astir di dalam al-Kamil fi at Tarikh jilid vi muka surat 34
[7]  Ibnu Khaldun jilid iii muka surat 217.
[8]  Syeikh Shaduq di dalam ‘Uyun Akhbar ar-Redha jilid I muka surat 88.
[9]  Syeikh Shaduq di dalam ‘Uyun Akhbar ar-Redha.