Imam Musa Kazim bin Imam Ja’far Shadiq
adalah mutiara rantai Ahlul Bait yang mulia lagi terhormat. Bapanya iaitu Imam
Ja’far Shadiq adalah seorang yang sangat dikenali kaum muslimin sebagai Imam
umat Islam, guru para ulama dan fukaha serta junjungan keluarga Rasulullah
s.a.w.yang tiada taranya. Ibu Imam Musa Kazim adalah seorang jariah yang
bernama Hamidah, seorang wanita berbangsa Sepanyol.
Imam
Musa Kazim dilahirkan di zaman pemerintahan Khalifah Marwan di sebuah tempat
yang bernama al-Abwa, 7 batu dari Madinah al-Munawwarah di mana di situ Aminah
binti Wahab iaitu ibunda Rasulullah s.a.w. telah disemadikan. Beliau dilahirkan
pada hari Ahad 7 haribulan Safar tahun 128 Hijrah.
Imam Ja’far Shadiq merasa gembira mendengar
khabar berita tentang kelahiran anaknya yang ketika itu sedang makan dengan
para sahabat. Beliau terus bergegas pulang ke rumah untuk segera menyambut bayi
yang baru lahir tersebut dengan penuh gembira dan pancaran cahaya seorang bapa
yang mulia. Kemudian beliau mengundang orang ramai serta memberi makan para
tetamunya selama tiga hari berturut-turut demi untuk menyampaikan perasaan
gembira dengan kelahiran seorang bayi lelaki comel.
Imam Ja’far Shadiq tidak mampu menyembunyikan
rasa gembiranya sehingga beliau berucap,
“Saya berharap tidak memperolehi putera lain
selain dia sehingga tidak ada yang membahagi cintaku kepadanya.”[1]
Nama
sebenar beliau ialah Imam Musa Kazim bin Imam Ja’far Shadiq bin Imam Muhammad
Baqir bin Imam Ali Zainal Abidin bin Saidina Husain Bin Saidina Ali k.wh. bin
Abi Thalib bin Abdul Muthalib bin Hasyim bin Abdul Manaf bin Qushai bin Kilab
bin Murrah bin Ka’ab bin Lu’i bin Ghalib bin Fahr bin Malik bin Nadar bin Kinanah
bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilias bin Mudhar bin Nizar bin Ma’ad bin Adnan
bin ‘Add bin Humaisi’ bin Salamam bin Auz bin Buz bin Qamwal bin Ubai bin ‘Awwam
bin Nasyid bin Haza bin Bildas bin Yadlaf bin Tabikh bin Jahim bin Nahisy bin
Makhi bin Aid bin ‘Abqar bin ‘Ubaid bin Ad-Da’a bin Hamdan bin Sanbir bin
Yathrabi bin Yahzin bin Yalhan bin Ar’awi bin Aid bin Desyan bin Aisar bin
Afnad bin Aiham bin Muksar bin Nahits bin Zarih bin Sami bin Wazzi bin ‘Adwa
bin Aram bin Haidir bin Nabi Ismail a.s. bin Nabi Ibrahim a.s. bin Azar bin
Nahur bin Saru’ bin Ra’u bin Falikh bin Abir bin Syalikh bin Arfakhsyad bin Sam
bin Nabi Nuh a.s. bin Lamik bin Matul Syalakh bin Nabi Idris a.s. bin Yarid bin
Mahlail bin Qinan bin Anwas bin Syits bin Nabi Adam a.s..
Semenjak kecil Imam Musa Kazim hidup dalam
asuhan bapanya dan dibesarkan di madrasah ilmiah terkemuka milik bapanya.
Beliau mewarisi ilmu daripada bapanya dan menjadi dewasa dengan mewarisi sifat
dan keperibadian Imam Ja’far shadiq. Kehidupan beliau di bawah asuhan bapanya
merupakan kehidupan yang diisi dengan pendidikan dan penyerapan ilmu. Imam
Ja’far Shadiq pernah berkata,
“Segala puji bagi Allah s.w.t. yang telah menjadikan anda wahai anakku,
sebagai pewaris ayah dan datukmu, kegembiraan yang diberikan oleh anak dan
pengganti bagi sahabat (yang telah pergi dulu).”
AL-KAZIM
Kerana ketinggian ilmu, kemuliaan sifat
dan kesempurnaan diri sehingga beliau digelar ‘Al-‘Abd as-Shalih’ (Hamba yang soleh), Zain al-Mujtahidin (cahaya
para mujtahid) kerana banyak beribadah dan bertahajud, digelar ‘Al-Kazim (besar kemampuannya) kerana
kesabarannya memikul penderitaan, menghadapi cacian orang lain dan membalasnya
dengan kebaikan serta digelar Bab al-Hawaij (pintu pemberi keperluan) kerana
selalu menghadapkan diri kepada Allah s.w.t.. Imam Musa Kazim memiliki
kedudukan yang terhormat dan selalu memenuhi permintaan orang lain. Beliau
sering melakukan ibadah di siang mahupun di malam hari. Beliau sangat mendalami
ilmu Al-Quran, memahami tafsirannya dan menjiwai bacaannya. Beliau juga sering
menunaikan haji ke Baitullah dengan berjalan kaki bersama kaum keluarganya.
Pada tahun pertama beliau telah berjalan kaki menunaikan fardhu haji selama 26
hari, pada tahun kedua selama 25 hari, pada tahun ketiga selama 24 hari dan
pada tahun keempat selama 21 hari. Setiap kali Imam Musa Kazim melakukan solat,
air matanya berkaca sebak. Beliau sering beristighfar memohon keampunan dari
Allah s.w.t.. Ibrahim bin al-Bilad berkata,
“Imam
Musa Kazim berkata kepadaku, “Sesungguhnya saya memohon ampun kepada Allah
s.w.t. lima
ribu kali sehari semalam.”
Hisyam bin Ahmar pula berkata,
“Suatu
hari aku berjalan bersama Imam Musa Kazim di sebatang jalan di Kota Madinah al-Munawwarah.
Tiba-tiba kaki beliau memberhentikan binatang tunggangannya dan beliau lantas
sujud kepada Allah s.w.t. dengan agak lama. Kemudian beliau bangkit dan menaiki
tunggangannya semula. Aku yang menyaksikan kejadian tersebut lalu bertanya, “Demi
pembelaanku kepada Tuan, mengapa anda sujud begitu lama? Imam Musa Kazim
menjawab, “Tiba-tiba saya teringat nikmat Allah s.w.t. yang telah dikurniakan
kepadaku, maka saya lantas bersyukur kepadaNya.”
Imam Musa Kazim adalah seorang pemimpin yang
sangat kuat beribadah, suci kalbunya dan sentiasa mengesakan Allah s.w.t..
Kalbunya dipenuhi kerinduan dan keesaan Allah s.w.t.. Dalam doanya beliau
berkata,
“Ya Allah s.w.t., sesungguhnya engkau mengetahui aku memohon kepadaMu
agar sentiasa berada dalam keadaan beribadah kepadaMu dan aku telah lakukan hal
tersebut maka segala puji hanya bagiMu.”[2]
Imam
Musa Kazim tidak pernah merasa gentar terhadap penjara atau takut terhadap
kekejaman para penguasa. Beliau adalah seorang alim yang telah mampu
mengalahkan kehidupan dunia, tidak pernah mengindar dari penjara. Seluruh
perhatiannya semata-mata ditujukan untuk menghadapkan diri kepada Allah s.w.t.,
menentang para taghut dan membela kebenaran. Sebab itu beliau digelar sebagai
pembimbing dan pemimpin (imam). Pembimbing menuju petunjuk Allah s.w.t.,
pemimpin dalam jihad dan teladan paling baik dalam berpegang pada jalan yang
benar dan prinsip kebenaran.
Imam Musa Kazim memang sangat dikagumi
pelbagai kaum. Suatu ketika seorang hamba Negro yang sudah begitu lama
terbelenggu rantai kehambaan dan nyaris-nyaris putus asa kerana tidak ada
seorang pun yang bersedia memerdekakannya, yang ketika itu mengetahui Imam Musa
Kazim seorang pemimpin agung lalu dia menemuinya dengan tujuan memperolehi
kemerdekaan. Namun, ketika berhadapan dengannya dia merasa malu untuk
menyuarakan hasratnya. Lidahnya kelu dan tidak satu kata pun terkeluar dari
lidahnya. Dia hanya mampu memperlihatkan keadaan dirinya di depan Imam Musa
Kazim.
Di masa yang lain Imam Musa Kazim telah
bertolak dari Madinah al-Munawwarah bersama para pengiring dan sanak saudaranya
menuju Sayah iaitu sebuah desa di daerah pertanian di perbatasan Hijaz. Sebelum
tiba di desa tersebut rombongan beliau telah beristirehat di suatu perhentian
yang ketika itu cuaca sangat sejuk sekali. Tiba-tiba datang seorang Negro yang
sangat peramah, dengan di kepalanya memikul tempayan yang dipenuhi bubur
gandum. Dia berdiri di depan para pembantu rumah Imam Musa Kazim lalu berkata
kepada mereka,
“Di mana Tuanmu?”
“Di
sana .” Jawab
mereka. Hamba Negro itu pun menghampiri Imam Musa Kazim dan dengan merendahkan
diri berkata kepada beliau,
“Wahai
Imam, ini adalah sekadar hadiah dari saya untuk Tuan.” Imam Musa Kazim menerima
hadiah tersebut dan meminta hamba Negro tersebut menyerahkannya kepada para
pembantunya. Hamba tersebut pun menyerahkannya kepada mereka lalu dia pergi
meninggalkan tempat tersebut. Tetapi tidak lama kemudian dia kembali lagi
dengan membawa seikat kayu bakar lalu diserahkan kepada Imam Musa Kazim.
“Wahai Imam, ini adalah seikat kayu bakar sebagai
hadiah dari saya untuk Tuan.” katanya. Beliau menerima pemberiannya itu dan
meminta kepadanya untuk menyerahkan kepada para pembantunya lalu meminta obor
untuk penerang. Hamba Negro itu kemudian pergi meninggalkan tempat tersebut dan
tidak berapa lama kemudian dia datang kembali dengan membawa obor.
Imam Musa
Kazim menyuruh seseorang menulis nama hamba Negro itu dan juga nama Tuannya
lalu diserahkan kepada salah seorang anak Negro tersebut untuk disimpan dan
digunakan ketika perlu. Setelah itu rombongan Imam Musa Kazim pun melanjutkan
perjalanan menuju Baitullah untuk melaksanakan Umrah. Setelah selesai, Imam Musa
Kazim memerintahkan Shaid untuk mencari tuan hamba Negro tersebut dan berkata,
“Jika anda tahu tempat tinggalnya sila
beritahuku. Saya akan menemuinya sendiri sebab saya malu jika dia kembali ke
sini semula padahal sayalah yang memerlukannya.” Lalu Shaid pun segera pergi
mencari tuan hamba yang dimaksudkan sehinggalah tidak lama kemudian dia
menemuinya. Setelah saling memperkenalkan diri orang tersebut bertanya kepada
Shaid maksud kedatangan Imam Musa Kazim ke tempat ini. Namun, Shaid tidak
menjelaskan. Oleh itu, orang tersebut pun bertanya tentang kedatangan Shaid.
Lalu Shaid menerangkan dia ada beberapa keperluan yang perlu diselesaikan.
Jawapan tersebut sama sekali tidak memuaskan orang tersebut. Dia menyangka
bahawa Imam Musa Kazim mempunyai maksud tertentu dengan kehadirannya ke Makkah al-Mukarramah.
Kemudian Shaid meminta izin untuk pulang. Orang tadi merasa tidak puas hati
lalu mengekori Shaid dari belakang tetapi akhirnya, Shaid mengetahui lalu dia
bersama-sama Shaid menemui Imam Musa Kazim.
.
.
Ketika mereka berdua hadir di depan Imam Musa
Kazim lalu beliau pun bertanya kepada Shaid tentang maksud kedatangan lelaki
tersebut. Shaid meminta maaf kepada Imam Musa Kazim kerana dia tidak
memberitahu terlebih dahulu tentang maksud kedatangan lelaki tersebut. Kemudian
Imam Musa Kazim menghampiri lelaki tersebut lalu bertanya,
“Adakah Negro itu mahu anda jual?” Lelaki
tersebut menjawab,
“Demi diriku sebagai pembela Tuan, hamba
tersebut menjadi milik Tuan beserta segala sesuatu yang dimilikinya.”
“Mengenai barang miliknya saya tidak akan
mengambilnya.” Jawab beliau. Namun, lelaki tersebut meminta supaya beliau
menerima semuanya. Akhirnya, Imam Musa Kazim membeli hamba Negro tersebut
beserta barangan miliknya seharga 1,000 Dinar. Kemudian beliau memerdekakan
hamba Negro tersebut. Semua itu beliau lakukan untuk membalas kebaikan hamba
Negro tersebut dengan kebaikan yang telah dilakukan. Apa yang dilakukan Imam
Musa Kazim ternyata menjadi berkat sehingga anak-anak hamba Negro yang telah
merdeka tersebut menjadi orang kaya dan ternama di Makkah Mukarramah.[3]
PEMERINTAHAN
BANI ABBASIAH
Pada tahun 136 Hijrah, Abu Ja’far
al-Mansur mula menjadi khalifah. Ibnu Astir di dalam kitabnya menulis bahawa Khalifah Abu Ja’far
al-Mansur terkenal sebagai seorang yang bakhil.
Al-Asfahani
menceritakan, seorang penyair telah menemui al-Mahdi yang ketika itu menjadi putera
mahkota dan telah memujinya dengan beberapa rangkap syair. Al-Mahdi telah
memberikannya hadiah sebanyak 20,000 Dirham. Perkara tersebut telah disampaikan
kepada Khalifah al-Mansur oleh seorang pegawai perhubungan dan Khalifah
al-Mansur pun menulis kepada al-Mahdi mencela perbuatannya itu serta meminta
supaya penyair tersebut dihantar menghadapnya. Setelah penyair tersebut berada
di depannya Khalifah al-Mansur pun menyuruhnya membacakan syair yang telah
diperdengarkan kepada al-Mahdi. Setelah selesai, Khalifah al-Mansur mengucapkan
tahniah, namun, Khalifah al-Mansur mengatakan nilai syair yang dibaca itu tidak
sampai 20,000 Dirham. Kemudian dia meminta ar-Rabi’ supaya memberi penyair
tersebut sejumlah wang 4,000 Dirham sahaja dan mengambil semula 16,000 Dirham
dari penyair tersebut.”
Ketika
Khalifah al-Mahdi menjawat jawatan khalifah, penyair tersebut telah datang
menemuinya dan menyampaikan aduan mengenai peristiwa yang dialaminya. Khalifah
al-Mahdi tersenyum dan terus mengembalikan wang yang diambil oleh al-Mansur
malah ditambah lagi sebanyak 4,000 Dirham.[4]
Di
zaman pemerintahan Khalifah al-Mansur, pengikut Imam Musa Kazim mendapat
tekanan yang sangat hebat. Ramai antara mereka ditangkap, dipenjara dan
dibunuh. Walaupun Imam Musa Kazim mengetahui kedudukannya yang tertekan namun,
beliau masih belum bersedia memaklumkan perlawanan dan merahsiakan
penentangannya terhadap khalifah Abu Ja’far al-Mansur yang telah merampas harta
pengikut beliau atau mengusir mereka dari setiap rumah yang mereka diami.
Kebanyakan mereka diseksa dan tidak diberi makanan ketika di dalam penjara.
Sehingga satu persatu antara mereka meninggal dunia kerana kelaparan di dalam
penjara yang gelap lagi menakutkan. Kekejaman Khalifah al-Mansur berluasa
selama 10 tahun sehinggalah dia meninggal dunia pada 3 Zulhijjah tahun 158
Hijrah dan kerusi kekhalifahan diduduki oleh anaknya yang selama ini menjadi
putera mahkota iaitu Muhammad al-Mahdi.
Semasa mula memerintah, Khalifah
al-Mahdi menjauhkan diri daripada teman-temannya yang meminum arak tetapi hanya
selama setahun sahaja. Kemudian dia muncul semula bersama mereka. Diriwayatkan
juga dalam tempoh 10 hari sahaja Khalifah al-Mahdi telah membelanjakan wang
sebanyak 10,000 Dirham.
Di
zaman pemerintahan Khalifah al-Mahdi, dia telah melantik Ya’kub bin Daud
sebagai Perdana Menterinya. Sejak itu Khalifah al-Mahdi menghabiskan masanya
dengan bersenang-lenang dan berhibur. Sebahagian rakyat merasa puas hati dengan
perlantikan Ya’kub bin Daud manakala sebahagian yang lain pula merasa marah dan
kesal terhadap perlantikan tersebut. Semenjak dilantik menjadi perdana menteri,
Ya’kub bin Daud telah berusaha merapatkan hubungan di antara Khalifah al-Mahdi
dengan keturunan Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib. Sikap baik Khalifah al-Mahdi
terhadap golongan keturunan Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib telah menjadi
galakan kepada Perdana Menteri Ya’kub bin Daud untuk mengukuhkan lagi
hubungannya dengan golongan Alawiyyah atau keturunan Saidina Ali k.wh. bin Abi
Thalib, tetapi musuh Perdana Menteri Ya’kub bin Daud telah menjadikan keadaan
ini suatu peluang untuk menghasut Khalifah al-Mahdi khususnya apabila Perdana
Menteri Ya’kub bin Daud mulai menghubungi keturunan Alawi dan pengikut Imam
Musa Kazim yang berada di mana-mana serta melantik mereka sebagai pegawai tadbir.
Khalifah al-Mahdi mulai curiga terhadap kesetiaan dan kejujuran Perdana Menteri
Ya’kub bin Daud. Dia kian bimbang kerana Perdana Menteri Ya’kub bin Daud
ternyata masih setia kepada golongan Alawi. Oleh itu dia merasa perlu mengujinya.
Pada suatu hari Khalifah al-Mahdi memanggil Perdana Menteri Ya’kub bin Daud
menghadap di sebuah bilik pertemuan yang dipenuhi dengan hamparan permaidani
dan bunga-bungaan. Dia sendiri memakai pakaian yang berwarna-warni dengan
diiringi oleh dayang-dayang yang amat jelita. Bilik pertemuan itu terletak di
tengah sebuah taman yang indah. Kemudian Khalifah al-Mahdi meminta pandangan
Perdana Menteri Ya’kub bin Daud tentang tempat pertemuan itu. Perdana Menteri
Ya’kub bin Daud telah menjawab bahawa semuanya indah dan menarik. Khalifah
al-Mahdi berkata,
“Semua yang ada di sini adalah untukmu
termasuklah dayang ini dan juga wang sejumlah 100,000 Dirham.”
Perdana Menteri
Ya’kub bin Daud mengucapkan berbanyak terima kasih. Kemudian Khalifah al-Mahdi
memintanya bersumpah tiga kali untuk melaksanakan permintaannya. Setelah
Perdana Menteri Ya’kub bin Daud bersumpah sebanyak tiga kali untuk melaksanakan
permintaan Khalifah al-Mahdi, lantas dia pun memanggil masuk seorang lelaki yang
dikenali sebagai pengikut Imam Musa Kazim dan meminta Perdana Menteri Ya’kub
bin Daud membunuhnya di atas alasan bimbang lelaki tersebut mungkin akan
menjadi pengkhianat.
Perdana Menteri Ya’kub bin Daud berjanji akan melaksanakan
permintaan itu. Perdana Menteri Ya’kub bin Daud sangat meminati dayang Khalifah
al-Mahdi dan mengharapkan supaya mereka sering berada di sisinya. Tidak lama
kemudian Perdana Menteri Ya’kub bin Daud mengarahkan supaya lelaki daripada
pengikut Imam Musa Kazim itu datang menemuinya. Setelah berbicara dengannya lelaki
tersebut adalah seorang yang baik dan pintar. Lelaki tersebut menyedari tentang
tujuan Perdana Menteri Ya’kub bin Daud terhadapnya lalu berkata kepada Perdana
menteri Ya’kub bin Daud,
“Mengapa anda jadi begini wahai Perdana
Menteri Ya’kub bin Daud. Sanggupkah anda menemui Allah s.w.t. dengan berlumuran
darahku?” Perdana Menteri Ya’kub bin Daud menjawab,
“Tidak, demi Allah, aku tidak akan
membunuhmu. Ambillah wang ini dan selamatkanlah dirimu.”
Peristiwa tersebut telah disaksikan dayang
tadi lalu menghantar orang supaya memberitahu Khalifah al-Mahdi. Mendengar
berita itu Khalifah al-Mahdi pun memerintahkan pengawalnya menangkap lelaki
tadi dan menahannya di sebuah rumah berhampiran tempat istananya. Beberapa hari
kemudian dia meminta Perdana Menteri Ya’kub bin Daud menghadapnya dan
bertanyakan tentang lelaki tersebut. Perdana Menteri Ya’kub bin Daud bersumpah
mengatakan lelaki tersebut telah meninggal dunia. Tetapi Khalifah al-Mansur
memintanya bersumpah dengan meletakkan tangan di kepalanya. Setelah Perdana
Menteri Ya’kub bin Daud berbuat demikian Khalifah al-Mahdi pun memerintahkan
seorang hambanya supaya membawa lelaki yang ditahan di rumah yang berhampiran
istananya tempohari. Sebaik-baik melihat lelaki tersebut, Perdana menteri Ya’kub
bin Daud merasa serba salah dan tidak tentu arah. Dia hanya mampu diam membisu
sahaja. Lalu Khalifah al-Mahdi pun berkata,
“Darahmu kini sudah halal dan aku boleh
menumpahkannya jika aku mahu. Tetapi aku lebih suka engkau dipenjarakan di
dalam bilik gelap di bawah tanah. Akhirnya, Perdana Menteri Ya’kub bin Daud pun
dipenjarakan sebagaimana kehendak Khalifah al-Mahdi. Dia juga memerintahkan
supaya diputuskan sama sekali hubungannya dengan dunia luar. Perdana Menteri
Ya’kub bin Daud telah berada di dalam penjara itu sepanjang zaman pemerintahan
Khalifah al-Mahdi manakala selama lima
tahun dua bulan pula di zaman pemerintahan Khalifah Harun ar-Rasyid. Kemudian
di zaman pemerintahan Khalifah Harun ar-Rasyid, Yahya bin Khalid telah memohon
supaya bekas Perdana Menteri Ya’kub bin Daud dibebaskan. Apabila dibebaskan
dari bilik gelap itu, didapati dia telah pun menjadi buta. Ketika Khalifah Harun
ar-Rasyid bertanya tentang keinginannya, bekas Perdana Menteri Ya’kub bin Daud
menjawab bahawa dia tidak mempunyai sebarang keinginan kecuali untuk terus
hidup di Makkah al-Mukarramah. Akhirnya, dia telah meninggal dunia di Makkah al-Mukarramah
pada tahun 186 Hijrah.
.
.
Ketika tampuk pemerintahan diambil alih
Khalifah al-Hadi, dia menyedari di zaman pemerintahan ayahnya amat kejam dan
zalim. Oleh itu di zaman pemerintahan Khalifah al-Hadi, dia berusaha
meringankan beban rakyat. Di awal pemerintahannya, dia telah membebaskan para
tahanan dan telah mengembalikan harta mereka yang dirampas termasuklah harta
kepunyaan pengikut Imam Musa Kazim.
Di zaman pemerintahan Khalifah al-Mahdi juga
dia telah mengembalikan harta milik Imam Ja’far Shadiq yang kemudian
dikembalikan kepada anaknya iaitu Imam Musa Kazim. Walau bagaimana sekalipun,
Khalifah al-Mahdi tetap tidak boleh membebaskan dirinya dari takut terhadap
Imam Musa Kazim kerana pengaruh kewibawaannya. Oleh itu melalui Gabenornya yang
ada di Madinah al-Munawwarah, dia meminta Imam Musa Kazim untuk ke Baghdad . Tujuan sebenar
Khalifah al-Mahdi ialah untuk menangkap dan memenjarakannya.
Perjalanan dari Madinah al-Munawwarah menuju Baghdad sungguh berat
bagi Imam Musa Kazim. Pemergian beliau diiringi para pengikutnya dengan
perasaan sedih dan khuatir. Namun, Imam Musa Kazim tetap bersabar kerana beliau
yakin Khalifah al-Mahdi tidak akan mengapa-apakannya.
Akhirnya, setelah
mengharungi kegersangan Padang Sahara, Imam Musa Kazim tiba di Baghdad ibu negeri pemerintahan Abbasiah.
Setibanya di istana, Khalifah al-Mahdi memerintahkan supaya Imam Musa Kazim
ditahan dan dipenjarakan. Pada malam beliau dipenjarakan terjadi satu peristiwa
luar biasa di mana Khalifah al-Mahdi telah bermimpi berjumpa dengan Saidina Ali
k.wh. bin Abi Thalib yang berkata kepadanya,
.
.
“Wahai
al-Mahdi, apakah bila engkau memperolehi kekuasaan, engkau akan melakukan
kerosakan di muka bumi dan memutuskan tali persaudaraanmu?” Khalifah al-Mahdi
terperanjat dan terjaga dari tidur lalu segera memerintahkan pengawalnya untuk
membebaskan Imam Musa Kazim. Setelah Imam Musa Kazim dibebaskan dari penjara,
beliau kemudiannya kembali ke Madinah al-Munawwarah untuk melanjutkan tugas
sebagai pendakwah bebas.
Setelah
kematian Khalifah al-Mahdi pada tahun 169 Hijrah, Khalifah al-Hadi telah
memegang tampuk pemerintahan. Di zamannya dia menyedari ketika memerintah,
ayahnya amat kejam dan zalim. Oleh itu di zaman pemerintahan Khalifah al-Hadi,
dia berusaha meringankan beban rakyat. Di awal pemerintahannya, dia telah
membebaskan para tahanan dan telah mengembalikan harta mereka yang dirampas
termasuklah harta kepunyaan pengikut Imam Musa Kazim. Namun, di zaman
pemerintahannya juga, Khalifah al Hadi telah membenarkan temannya minum arak di
dalam istana sehingga dia juga telah terjebak ke lembah kehinaan. Ini berlaku
kerana semenjak kecil lagi dia telah diajar minum arak di istana oleh ayahnya.
Antara sifat yang menonjol pada diri Khalifah al-Hadi ialah sifat cemburunya.
Ketika dia menjawat jawatan khalifah, ibunya iaitu Khaizuran telah menjadi
tumpuan para ulama, menteri, para penyair dan mereka yang mempunyai kepentingan.
Ini kerana sebelum Khalifah al-Mahdi menjawat jawatan khalifah, Khairuzan telah
lama menguasai istana sehinggalah jawatan kahalifah diambil alih oleh Khalifah
al-Hadi. Khairuzan telah melampaui batas dan hampir menafikan adanya kekuasaan
Khalifah al-Hadi. Dia sering membuat keputusan dan mengemukakan kepada Khalifah
al-Hadi supaya menandatangani segala dokumen.
Akhirnya, Khalifah al-Hadi
merasakan keadaan ini tidak boleh dibiarkan. Lalu dia memulakan penentangan
dengan menangguhkan semua permintaan Khairuzan dan tidak segera memenuhi
kehendaknya. Suatu ketika Khairuzan meminta Khalifah al-Hadi supaya melantik
Ghatrif, bapa saudara Khalifah al-Hadi menjadi pemimpin di Yaman. Dia telah
berjanji akan melaksanakan permintaan itu. Tidak lama kemudian ibunya menulis surat menanyakan tentang
hal tersebut. Khalifah al-Hadi menghantar utusan kepada ibunya memberitahu
supaya meminta bapa saudaranya memilih sama ada memerintah negeri Yaman dan
Khalifah al-Hadi menceraikan isterinya yang juga anak perempuan Ghatrif atau
tidak menjadi pemimpin Yaman dan anak perempuannya tidak diceraikan. Tetapi
utusan yang disuruh menyampaikan demikian kepada Khairuzan telah tidak
menyampaikannya dengan jujur. Dia hanya menyatakan kepada Khairuzan, Khalifah
al-Hadi meminta Khairuzan supaya Ghatrif pilihlah yang mana wilayah yang sesuai
untuknya memerintah. Lalu dia pun memilih negeri Yaman. Kemudian utusan
tersebut pulang dan memberitahu tentang pilihan Ghatrif. Khalifah al-Hadi
menerima berita itu dengan marah lalu menceraikan sepupunya.
Di waktu yang lain Khairuzan mengemukakan
permintaan yang baru namun, tetap menghadapi kegagalan sehingga menyebabkan
kedengkiannya semakin memuncak. Tiga perkara yang disedari Khalifah al-Hadi
tentang ibunya ialah pertama, ibunya tidak mengharap tetapi memberi jaminan
kepada permintaan pihak yang berhajat itu pasti tercapai. Kedua, ibunya bukan
sahaja mahu bersikap sederhana dalam perkara biasa tetapi juga bersifat mahu
membuat keputusan dalam perkara yang besar. Ketiga, hubungan rapat Khairuzan
bukan sahaja dengan saudaranya, Ghatrif bahkan juga dengan panglima tentera dan
pembesar negara. Ini telah melahirkan rasa cemburu dalam diri Khalifah al-Hadi
serta mendesaknya supaya membuktikan kewibawaannya dan memegang sendiri teraju
pemerintahan. Dengan itu maka timbullah perbalahan antara Khalifah al-Hadi
dengan ibunya.
Pada suatu hari, Khairuzan menemui Khalifah
al-Hadi dan menyampaikan kepadanya satu permohonan yang diminta supaya
diluluskan segera. Tetapi Khalifah al-Hadi telah menangguhkannya. Kemudian,
sekali lagi ibunya mendesak supaya segera diluluskan atas alasan dia telah
memberi jaminan kepada Abdullah bin Malik permintaannya akan di perkenankan.
Khalifah al-Hadi secara berani menjawab tidak akan memperkenankan permintaan
tersebut serta memberi amaran kepada Khairuzan supaya jangan lagi memandai
melayani permintaan panglima dan orang kenamaan atau mengizinkan mereka
mengunjunginya.
Mendengar jawapan
Khalifah al-Hadi, Khairuzan meninggalkan majlis pertemuan itu tanpa mengeluarkan
sepatah kata pun. Kemudian Khalifah al-Hadi bertanya kepada pembesar yang
berada di sekelilingnya,
“Adakah
kamu lebih suka orang datang kepada kamu dan mengatakan ibu kamu menyuruh
supaya kamu berbuat sesuatu untuknya?” Pembesar tersebut menjawab,
“Sudah tentu kami tidak suka.” Lalu Khalifah
al-Hadi pun berkata lagi,
“Tetapi kenapakah kebanyakan kamu
menemui ibuku untuk meminta sesuatu dan kemudian kamu datang kepadaku
mengatakan ibuku menyuruhku memenuhi hajat kamu itu?” Dan semenjak mereka
mendengar kata tersebut pembesar negara tidak lagi pergi menemui Khairuzan.[5]
Semakin
hari Khalifah al-Hadi semakin marah dengan sikap ibunya dan dia berazam untuk
melakukan sesuatu dengan menghantar makanan beracun kepada ibunya. Sebelum itu
Khairuzan telah mencuba terlebih dahulu makanan tersebut dengan memberikannya kepada seekor
anjing. Setelah diberi makan akhirnya, anjing tersebut tersungkur mati. Apabila
Khalifah al-Hadi menanyakan tentang makanan tersebut, ibunya mengatakan bahawa
makanan tersebut sangat lazat namun, Khalifah al-Hadi mengetahui bahawa ibunya
tidak menyentuh sama sekali makanan tersebut dan berkata,
“Kenapa ibu tidak memakannya. Jika ibu telah makan,
pasti saya tidak akan menyusahkan ibu lagi.”[6]
Akhirnya,
tidak lama kemudian ketika Khalifah al-Hadi jatuh sakit, maka Khairuzan telah
menyuruh beberapa orang dayang duduk di atas muka Khalifah al-Hadi sehingga dia
tidak dapat bernafas dan mati lemas. Kemudian Khairuzan menghantar utusan
kepada Yahya bin Khalid dan memberitahu tentang kematian anaknya itu.[7]
Setelah
kematian Khalifah al-Hadi, maka Harun ar-Rasyid pun dengan rasmi menjadi
khalifah iaitu pada tahun 170 Hijrah. Di zaman pemerintahan Khalifah Harun
ar-Rasyid, ramai yang meminta supaya di istana didirikan taman yang indah, agar
dapat menikmati keindahan dunia. Dengan yang demikian pemerintahan Khalifah
Harun ar-Rasyid adalah dianggap sebagai kemuncak zaman pemerintahan Abbasiah.
Di
Kota Baghdad telah didirikan bangunan yang banyak sehingga angka penduduk
mencapai 1,000,000 orang. Di zaman tersebut terdapat banyak mahligai dengan
dihiasi taman yang indah. Ini berlaku kerana ramai pembesar negara telah
mencontohi gambaran syurga yang diungkapkan di dalam Al-Quran. Dengan demikian
terdapat istana yang diberi nama ‘Jannatu
Khuldi’ sebagaimana yang disebut di dalam surah al-Furqan ayat 15 sehingga
kebanyakan istana di zaman tersebut dibina anak sungai yang mengalir di
bawahnya dan dihiasi dengan bidadari yang cantik.
Istana Khuldi dikelilingi dengan taman yang
indah, kebun yang luas dan aneka bunga berwarna-warni. Antara taman dan kebun
itu pula terdapat terusan dan anak sungai. Manakala di sebelahnya pula sungai
Dajlah yang kelihatan begitu indah dengan dipenuhi sampan. Para
pembesar Khalifah Harun ar-Rasyid telah membina mahligai mereka di sekitar
Istana Khuldi.
Namun, Khalifah Harun ar-Rasyid masih merasa
khuatir melihat pengikut Imam Musa Kazim yang berpegang teguh dengan ajaran
Islam yang sebenar. Malahan dia juga melarang Imam Musa Kazim menyebarluaskan
ilmunya yang diwarisi daripada nenek moyangnya.
Ketika
Harun ar-Rasyid berada di Thus, Khurasan, dia telah memanggil Humaid bin
Qahthabah dan menanyakan tentang ketaatannya kepada kerajaan. Maka Humaid pun
menyatakan kesanggupannya melaksanakan perintah. Kemudian Harun ar-Rasyid
menyuruh seorang hamba sahaya mengambil sebilah pedang dan menyuruh Humaid
pergi ke sebuah rumah yang berkunci dan di tengahnya terdapat tiga bilik yang
kesemuanya juga turut dikunci. Ketika hamba sahaya menghantarnya masuk ke rumah
tersebut, dia membuka salah satu pintu yang terkunci dan rupanya di dalamnya
terdapat 20 orang pengikut Imam Musa Kazim dari keturunan Saidina Ali k.wh. bin
Abi Thalib dan Fatimah az-Zahra’ binti Muhammad. Mereka terdiri daripada
kanak-kanak remaja dan orang tua dengan kaki dan tangan dirantai. Hamba sahaya
menyuruh Humaid untuk membunuh mereka dan memasukkan jasad mereka ke dalam
kolam. Maka Humaid pun melaksanakan tugas tersebut sehingga selesai. Kemudian
pintu kedua pun dibuka dan di dalamnya bilik tersebut terdapat 20 orang tawanan
yang serupa. Humaid pun memenggal kepala mereka lalu dimasukkan ke dalam kolam
yang sama. Seterusnya pintu ketiga pun dibuka. Di situ terdapat tawanan yang
serupa. Manakala Humaid memenggal leher mereka dan jasad mereka juga dimasukkan
ke dalam kolam.
Suatu ketika dalam bulan Ramadhan,
Ubaidillah al-Bazzaz al-Naisaburi telah berkunjung ke rumah Humaid. Ketika itu
Humaid sedang menunggu hidangan untuk dimakan. Setelah hidangan tiba, Humaid pun
mengajak Ubaidillah makan bersama. Ubaidillah menolak kerana dia berpuasa dan
berkata,
“Mungkin seorang pembesar seperti anda telah
diizinkan syarie untuk tidak berpuasa di bulan Ramadan, namun, saya tetap
berpuasa.” Humaid menjawab,
“Tidak, saya tidak mempunyai alasan yang
munasabah sehingga membolehkan saya tidak berpuasa.” Tidak lama kemudian air
mata membasahi pipi Humaid dan dengan nada yang sedih dia berkata,
“Ampunan
apa lagi yang boleh aku harapkan dan puasa apa lagi yang memberi faedah
kepadaku sesudah aku terjerumus ke dalam lembah kejahatan dan membunuh
keturunan Saidina Ali k.wh. dan Fatimah az-Zahra’ tanpa dosa?” Dengan muka
seperti apa aku nanti menemui Allah s.w.t. dan Rasulnya?”[8]
Pada
tahun 177 Hijrah, Khalifah Harun ar-Rasyid berhasrat untuk menunaikan haji.
Lalu dia mengirimkan utusan ke segenap penjuru yang meminta kepada para ulama,
Fukaha dan para pembesar untuk hadir di Makkah Mukarramah pada musim haji tahun
tersebut dan dia akan melalui jalan Madinah a-Munawwarah. Ketika sampai di Makkah
al-Mukarramah dia telah mengunjungi makam Rasulullah s.a.w. dan berkata di sisi
makam Baginda,
“Wahai Rasulullah, aku memohon maaf kepada anda tentang sesuatu yang
akan segera aku lakukan. Aku berhajat untuk menangkap Imam Musa Kazim sebab dia
berusaha untuk memecah belahkan umat. Sesudah itu Khalifah Harun ar-Rasyid
memerintahkan supaya Imam Musa Kazim ditangkap dan dibelenggu. Kemudian beliau
diikat dan dinaikkan di atas seekor keldai. Beberapa orang pengawal membawa
beliau menuju Bashrah manakala serombongan yang lain menuju Kuffah. Tujuannya
ialah untuk mengelabui mata rakyat tentang ke mana Imam Musa Kazim dibawa.
Sebenarnya
Imam Musa Kazim dibawa rombongan yang menuju ke Bashrah dan Khalifah Harun
ar-Rasyid memerintahkan kepada para pengawalnya supaya menyerahkan beliau
kepada Isa bin Ja’far ibnu al-Mansur yang kemudian menahan Imam Musa Kazim di
Bashrah selama setahun. Kemudian Isa bin Ja’far mengirim surat kepada Harun ar-Rasyid yang mengatakan,
“Hendaknya
Imam Musa Kazim anda ambil dari Bashrah dan anda pindahkan ke tempat lain yang
anda kehendaki. Jika tidak saya akan membebaskannya. Saya sudah beberapa kali
berhujah dengannya tetapi saya tidak mampu menghadapinya sehingga saya menjadi
khuatir kalau dia mendoakan perkara yang buruk untuk saya. Saya tidak mahu dia
berdoa kecuali meminta rahmat dan keampunan Allah s.w.t. hanya untuk dirinya
sendiri.”
Tidak lama kemudian Imam Musa Kazim diserahkan
kepada seorang penerimanya lalu beliau ditahan dalam kekuasaan al-Fadhal ibnu
al-Rabi’ di Baghdad. Di situ beliau dipenjarakan untuk jangka waktu yang lama.
Khalifah Harun ar-Rasyid meminta supaya al-Fadhal melakukan penyeksaan terhadap
Imam Musa Kazim, namun, al-Fadhal tidak sanggup melakukannya. Kemudian Khalifah
Harun ar-Rasyid memerintahkan supaya menyerahkannya kepada al-Fadhal ibnu
Yahya. Harun ar-Rasyid memerintahkan al-Fadhal bin Yahya sebagaimana yang
diperintahkan kepada al-Fadhal bin al-Rabi’ namun, dia juga tidak bersedia.
Perkara tersebut berlaku kerana Imam Musa Kazim telah menjadikan penjara
sebagai tempat ibadah. Beliau kelihatan sering bertasbih, sujud dan beribadah
keada Allah s.w.t.. Sentiasa berpuasa di siang hari dan bersolat di tengah
malam.
Salah seorang yang ditugaskan mengawasi beliau
iaitu Isa bin Ja’far menceritakan dia pernah mendengar Imam Musa Kazim berdoa,
“Allahumma Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha
Mengetahui aku selalu memohon kepadaMu supaya aku boleh sentiasa mengisi
waktuku untuk beribadah kepadaMu. Dan sekarang aku boleh melakukan perkara
tersebut kerana segala puji hanya bagiMu.”[9]
Ahmad
bin Abdullah meriwayatkan daripada ayahnya, dia berkata,
“Saya menemui Fadhal bin Rabi’ yang ketika itu
sedang duduk di ruang atas lalu dia berkata kepadaku: “Sila perhatikan bilik
itu, lalu katakan kepadaku apa yang engkau lihat.”
“Pakaian yang dilonggokkan.” Jawabku.
“Lihatlah betul-betul.” Katanya lagi. Aku
kembali mengamati dan kemudian melihatnya betul-betul. Lalu aku berkata, “Rupanya
orang sedang sujud.”
“Adakah engkau kenal dia?” Tanya Fadhal
kepadaku.
“Dia adalah Imam Musa Kazim. Aku mengawasinya
siang dan malam dan aku tidak pernah melihatnya di setiap waktu kecuali dia
sedang beribadah seperti demikian rupa. Dia solat Fajar lalu disambung dengan
solat lain hingga matahari terbit. Kemudian sujud dengan begitu lama sekali dan
tidak mengangkat kepalanya sehingga matahari tergelincir di ufuk. Di sisinya
disediakan seorang yang memberitahu datangnya waktu solat dan bila diberitahu
waktu solat tiba dia segera melaksanakan solat tanpa memperbaharui wuduknya.
Setelah selesai solat kemudian dia makan lalu memperbaharui wuduknya dan
sesudah itu sujud dan melaksanakan solat tanpa henti di tengah malam sehingga Subuh
tiba.”
Al-Amiri
di dalam kitab ‘Al-Anwar’
menceritakan,
“Harun ar-Rasyid telah menyediakan seorang
hamba sahaya yang cantik untuk melayani Imam Musa Kazim dalam tahanan. Tetapi
beliau menyuruh orang yang menghantar hamba sahaya tersebut supaya mengatakan
kepada Harun ar-Rasyid yang beliau tidak memerlukan pemberian hamba sahaya
tersebut.”
Khalifah
Harun ar-Rasyid menjadi marah dan berkata kepada petugasnya,
“Kembalilah dan katakan kepadanya bukan untuk
memperolehi keredaanmu aku menahanmu dan bukan pula untuk mencari keredaanmu
aku menghukummu. Tinggalkan hamba sahaya tersebut bersamanya dan kembalilah
engkau ke sini.” Petugas tersebut kemudian pergi ke tempat tahanan Imam Musa
Kazim dan kembali. Tidak lama kemudian Khalifah Harun ar-Rasyid berdiri dan menyuruh
khadamnya untuk melihat apa yang sedang dilakukan oleh hamba sahaya tersebut.
Ternyata hamba sahaya tersebut sedang sujud kepada Tuhan dengan agak lama
seraya mengucapkan,
“Maha Suci Engkau, Maha Suci Engkau.” Setelah
menerima laporan tersebut, Khalifah Harun ar-Rasyid berkata,
“Demi Allah, sesungguhnya Imam Musa Kazim telah menyihirnya.” Akhirnya,
Khalifah Harun ar-Rasyid mengambil keputusan untuk membunuh Imam Musa Kazim.
Namun, dia tidak menemukan seorang pun antara pembantunya yang bersedia melaksanakan
perintah tersebut.
SYAHID
Al-Sanadi bin Syahik yang sememangnya
seorang yang kejam telah menerima Imam Musa Kazim sebagai tahanan penjara lalu
beliau dibelenggu dan diperlakukan dengan kejam. Menteri Harun ar-Rasyid yang
bernama Yahya bin Khalid diarahkan untuk membunuh Imam Musa Kazim. Setelah
mengadakan mesyuarat dengan Harun ar-Rasyid, dia pun bersegera ke Baghdad .
.
Khalifah Harun
ar-Rasyid merasa gembira melihat menterinya yang taat ini. Ketika Yahya bin
Khalid sampai di Baghdad
dia segera bergabung dengan al-Sanadi bin Syahik. Tidak lama kemudian racun pun
diletakkan di dalam bubur gandum yang diberikan untuk Imam Musa Kazim. Maka
beliau pun menyantap makanan yang beracun tersebut. Beliau berasa adanya racun
yang mengalir ke seluruh darahnya yang suci dan berusaha mengatasi racunnya
selama 3 hari, namun, tidak berhasil. Akhirnya, beliau menghembuskan nafas
terakhir pada hari yang ketiga sejak racun itu mengalir ke dalam darahnya di
penjara al-Sanadi bin Shahik. Beliau syahid pada 25 Rejab tahun 183 Hijrah.
Al-Sanadi merasakan adanya ancaman bahaya dan dia pun mencari alasan untuk melepaskan
diri. Dia tidak menemui cara lain kecuali mengatakan,
“Imam Musa Kazim meninggal kerana membunuh
diri. Dia sudah berputus asa dan bukan kami yang membunuhnya.” Untuk itu dia
telah memanggil para fuqaha, mereka-reka bukti dan membuka jenazah beliau untuk
memperlihatkannya kepada para saksi yang beliau benar-benar bunuh diri dan
tidak dibunuh oleh sesiapa. Mereka telah meninggalkan jenazah Imam Musa Kazim
terbujur begitu sahaja selama tiga hari di dalam penjara, lalu jenazah beliau
diletakkan di jambatan al-Karkh, di Kota Baghdad supaya boleh berkata-kata
kepada khalayak ramai. Jenazah Imam Musa Kazim terletak begitu sahaja di
jambatan Baghdad ,
sementara para pengawal al-Sanadi bin Syahik bersuara lantang memaki hamunnya
semasa orang ramai lalu lalang ke tempat tersebut.
Berita tersebut telah sampai ke pangkuan bapa
saudara Harun al Rasyid, Sulaiman bin Ja’far al-Mansur menyebabkan dia merasa
terguris kesedihan dan simpati. Dia telah menyuruh para pembantunya untuk
mengambil jenazah dari tangan anak buah al-Sanadi. Dia mengusung mundar-mandir
mayat tersebut ke tepi sebelah barat untuk dipertontonkan kepada orang ramai.
Kemudian membawanya lagi ke sebelah timur dan demikianlah seterusnya. Ketika
mereka tiba di sebelah timur, para pembantu Sulaiman bin Ja’far menunggu mereka
di sebelah barat. Para pembantu Sulaiman
melakukan penyerangan lalu merebut jenazah Imam Musa Kazim. Kemudian membawanya
ke pangkuan Sulaiman bin Ja’far dan mereka menyirami dengan minyak wangi,
mengkafankan, menyembahyangkannya dan akhirnya, mengusung jenazah tersebut
menuju ke pemakaman Kazhimin.
Warga
Baghdad, para pembesar dan orang ramai berduyun-duyun datang ke rumah Sulaiman
untuk mengucapkan takziah. Ketika jenazah Imam Musa Kazim dihantar ke pemakaman
Kazhimin, jenazah tersebut diiringi para pembesar dan orang ternama. Kota
Baghdad belum pernah menyaksikan lautan manusia seperti itu ketika penghantaran
jenazah dan Kota Baghdad belum pernah pula mengalami kesedihan seperti
kesedihan yang dialaminya ketika itu.
[1] Baqir Syarif al-Qurasyi di dalam Hayat
al-Imam Musa bin Ja’far jilid I muka surat
46
[2] Baqir Syarif al-Qurasyi di dalam Hayat
al-Imam Musa Kazim.
[3] Tarikh Baghdad jilid xiii muka surat 29 – 30 dan Suyuthi di dalam al-Bidayah jilid x muka
surat 183.
[4] Al-Baihaqi di dalam al-Mahasin Wa al-Masawi
muka surat
270-271.
[5] Al-Mas’udi di dalam Muruj az-Zahab muka surat 257 – 258.
[6] Ibnu Astir di dalam al-Kamil fi at Tarikh
jilid vi muka surat
34
[7] Ibnu Khaldun jilid iii muka surat 217.
[8] Syeikh Shaduq di dalam ‘Uyun Akhbar ar-Redha
jilid I muka surat
88.
[9] Syeikh Shaduq di dalam ‘Uyun Akhbar ar-Redha.