INFORMASI

MAKLUMAN

Blog ini adalah hak milik Pintu Ilmu Resources (00159443-D) - PUSAT RAWATAN HOMEOPAYHY- yang beralamat di: Pusat Perubatan Holistik dan Alternatif 4932, Traffic Light Tok Jiring, Jalan Kelantan 21060 Kuala Terengganu, Darul Iman. Untuk lokasi klinik sila klik di sini

Pada 08/11/2015 klinik ditutup kerana doktor bertugas outstation. Harap maklum.

TESTIMONIAL TERKINI i

TAJAAN

Selasa, 10 Januari 2012

BIOGRAFI IMAM ALI REDHA


       Pada tanggal 11 haribulan Zulkaedah tahun 153 Hijrah, Kota Madinah al-Munawwarah disinari cahaya dengan lahirnya salah seorang zuriat Rasulullah s.a.w. yang mulia. Bayi lelaki tersebut adalah anak kepada Imam Musa Kazim.

       Imam Musa Kazim lahir lima tahun setelah kewafatan datuknya iaitu Imam Ja’far Shadiq kerana diracun dalam salah sebuah penjara Baghdad di bawah naungan as-Sindi bin Shahiq.

       Nama sebenar beliau ialah Imam Ali Redha bin Imam Musa Kazim bin Imam Ja’far Shadiq bin Imam Muhammad Baqir bin Imam Ali Zainal Abidin bin Saidina Husain Bin Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib bin Abdul Muthalib bin Hasyim bin Abdul Manaf bin Qushai bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Lu’i bin Ghalib bin Fahr bin Malik bin Nadar bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilias bin Mudhar bin Nizar bin Ma’ad bin Adnan bin ‘Add bin Humaisi’ bin Salamam bin Auz bin Buz bin Qamwal bin Ubai bin ‘Awwam bin Nasyid bin Haza bin Bildas bin Yadlaf bin Tabikh bin Jahim bin Nahisy bin Makhi bin Aid bin ‘Abqar bin ‘Ubaid bin Ad-Da’a bin Hamdan bin Sanbir bin Yathrabi bin Yahzin bin Yalhan bin Ar’awi bin Aid bin Desyan bin Aisar bin Afnad bin Aiham bin Muksar bin Nahits bin Zarih bin Sami bin Wazzi bin ‘Adwa bin Aram bin Haidir bin Nabi Ismail a.s. bin Nabi Ibrahim a.s. bin Azar bin Nahur bin Saru’ bin Ra’u bin Falikh bin Abir bin Syalikh bin Arfakhsyad bin Sam bin Nabi Nuh a.s. bin Lamik bin Matul Syalakh bin Nabi Idris a.s. bin Yarid bin Mahlail bin Qinan bin Anwas bin Syits bin Nabi Adam a.s..

       Ibu Imam Ali Redha adalah seorang hamba sahaya yang bernama Taktam, kepunyaan Hamidah al-Mushaffah iaitu ibu kepada Imam Musa Kazim. Hamidah merasa takjub melihat akhlak hamba sahayanya yang sungguh mulia lagi taat kepada agama. Akhirnya, hamba tersebut dikahwinkan dengan anaknya iaitu Imam Musa Kazim. Dia berharap Allah s.w.t. akan menganugerahkannya seorang anak lelaki yang mulia.

Hamidah al-Mushaffah termasuk wanita Bukan Arab yang paling mulia. Dia telah membeli seorang hamba sahaya yang bernama Taktam. Hamba sahaya yang dibelinya termasuk antara wanita yang paling taat agama dan sentiasa memuliakan tuannya. Semenjak menjadi hamba kepada Hamidah al-Mushaffah, dia tidak pernah duduk di depan tuannya kecuali kerana hormat kepadanya. Tidak lama kemudian berkatalah Hamidah kepada puteranya iaitu Imam Musa Kazim,

       “Wahai anakku, sesungguhnya ibu tidak pernah melihat seorang hamba sahaya wanita yang lebih utama daripada Taktam ini dan ibu tidak merasa khuatir Allah s.w.t. akan mengurniakan keturunan yang mulia darinya.”

       Ketika Imam Ali Redha dilahirkan, bapa beliau terasa amat gembira lalu membelai bayi tersebut sambil mengazankan di telinga kanan dan mengiqamatkan di telinga kiri.

       Imam Ali Redha membesar di bawah bimbingan ayahnya iaitu Imam Musa Kazim yang terkenal dengan kealiman dan kewarakan. Semenjak kecil lagi Imam Ali Redha telah melihat pengorbanan dan kesabaran yang dilalui bapanya. Walaupun bapa Imam Ali Redha dipenjarakan namun, beliau tetap bersabar menempuh pelbagai dugaan dan rintangan. Ketika dewasa beliau sangat disanjung tinggi penduduk setempat sehingga beliau telah dilantik untuk memimpin dan mengajar ajaran Islam di kampung halamannya.

Ibrahim bin Abbas ash-Shauli menceritakan tentang Imam Ali Redha dengan berkata,

       “Aku tidak pernah melihat Imam Ali Redha mengucapkan kata yang kasar kepada seseorang pun. Aku juga tidak pernah melihat beliau memotong percakapan orang lain. Beliau tidak pernah menolak permintaan pertolongan seseorang jika beliau mampu memenuhinya. Beliau tidak pernah melunjurkan kaki di depan teman duduk atau menyandarkan punggung di depan orang ramai. Beliau tidak pernah mencaci seorang pun antara pembantu dan hambanya. Aku juga tidak pernah melihat beliau ketawa terbahak. Ketawanya hanyalah sekadar senyum sahaja.”

       Suatu hari ketika Imam Ali Redha dalam perjalanan menuju Khurasan, beliau mengadakan jamuan makanan untuk orang ramai. Dalam jamuan tersebut terpancarlah rasa kasih, rendah hati dan kebaikan budi beliau terhadap orang ramai. Seorang lelaki yang menyertai beliau ketika itu menceritakan,

       “Kami berada bersama Imam Ali Redha dalam perjalanan menuju Khurasan. Maka pada satu hari beliau menyuruh disiapkan makanan. Lalu dipanggillah semua pelayan dari bangsa Sudan dan lainnya. Aku menyarankan kepada beliau, alangkah baiknya jika beliau memisahkan diri daripada mereka itu. Kemudian beliau pun bertanya kembali, mengapa beliau perlu memisahkan diri. Kerana Allah s.w.t. itu Maha Esa. Ibu Umat manusia itu asalnya dari seorang sahaja. Bapa mereka pun asalnya dari seorang. Manakala pembalasan di hari akhirat tergantung kepada amalan perbuatan.”

       Imam Ali Redha sangat menghormti pembantunya. Pernah ketua pembantu beliau mengatakan,

     “Apabila salah seorang antara kami sedang makan maka Imam Ali Redha tidak menyuruhnya mengerjakan sesuatu sehingga selesai.” Seorang pembantu beliau yang bernama Yasir bersama seorang ketua pembantu menuturkan sifat beliau yang mulia seperti berikut,
       “Apabila anda menegakkan kepala ketika anda sedang makan, maka janganlah anda berdiri sehingga anda selesai makan.” Apabila beliau memanggil salah seorang dari kami dan dikatakan kepada beliau orang yang dipanggilnya itu sedang makan maka beliau akan mengatakan,

       “Biarkanlah dia makan sehingga selesai.” 

       Imam Ali Redha pernah mengatakan,

       “Saya telah bersumpah untuk membebaskan seorang hamba sahaya dan jika saya bersumpah untuk memerdekakan seorang hamba, saya melaksanakannya dan sesudah itu saya akan membebaskan semua hamba yang saya miliki dengan syarat jika mereka melakukan perkara lebih baik dari ini (dan beliau menunjuk kepada seorang hamba hitam antara pembantu beliau) terhadap kekerabatanku dan keturunan Rasulullah s.a.w..”


AHLI IBADAH

       Para sejarawan telah menceritakan keperibadian Imam Ali Redha yang mana beliau adalah manusia yang sering beribadah di sepanjang kehidupannya, sentiasa dalam keadaan warak lagi bertakwa. Bahkan musuh dan penentangnya turut mengakui perkara tersebut dan tidak boleh menyembunyikan kenyataan yang agung mengenai dirinya itu.

       Imam Ali Redha sangat mendalami makna Al-Quran. Ayat suci Al-Quran bagaikan sudah sebati dalam jiwanya. Bahkan setiap ucapan, jawapan dan perumpamaan yang beliau kemukakan semuanya bersumber dari Al-Quran. Beliau sering menamatkan pembacaan Al-Quran setiap tiga hari. Dalam hal ini beliau berkata,

       “Seandainya saya mahu mengkhatamkannya dalam masa kurang tiga hari, nescaya saya dapat melakukannya, tetapi setiap kali saya bertemu dengan satu ayat, saya selalu memikirkannya tentang kenapa ia diturunkan dan bila diturunkan. Oleh itu saya akan mengkhatamkannya setiap tiga hari.”

       Raja’ bin Abi ad-Dahha’ yang menyertai Imam Ali Redha sepanjang perjalanan beliau dari Madinah al-Munawwarah menuju ke Merva menceritakan ibadah dan ketakwaan beliau sebagai berikut:

      “Aku menyertai beliau dari Madinah al-Munawwarah menuju ke Merva. Demi Allah, aku tidak pernah melihat seorang lelaki yang lebih bertakwa kepada Allah s.w.t. daripada beliau atau yang lebih banyak berzikir kepada Allah s.w.t. dalam setiap masa. Jika waktu Subuh tiba beliau bersembahyang dan setelah mengucapkan salam beliau duduk di tempat solat beliau untuk bertasbih, bertahmid, bertakbir dan bertahlil kepada Allah s.w.t. serta mengucapkan selawat kepada Nabi dan keluarganya sehinggalah matahari terbit. Kemudian beliau bersujud yang agak lama sehingga matahari naik tinggi. Setelah itu beliau menemui orang ramai untuk berbicara dan memberi nasihat kepada mereka sehingga tergelincir matahari (waktu Zuhur)”

       Seorang pengikut Imam Ali Redha iaitu Ibrahim bin al-Abbas as-Sha’ali mengambarkan beliau sebagai berikut:

       “Beliau sedikit sekali tidur di malam hari dan sering bertahajud malam. Beliau juga sering berpuasa tiga hari setiap bulan. Beliau pernah berkata,

       “Puasa tiga hari di setiap bulan itu sama pahalanya dengan puasa sepanjang masa. Beliau sering membuat kebajikan dan bersedekah secara rahsia. Perkara tersebut kebanyakannya beliau lakukan di malam hari yang gelap. Maka barangsiapa yang beranggapan dia pernah melihat orang yang keutamaannya seperti beliau janganlah anda percaya.”

       Allamah al-Majlisi meriwayatkan,

       “Dalam kesempatan yang lain beliau sedang berada di mihrab ibadahnya untuk memohon kepada Allah s.w.t. dan bermunajat di saat semua orang sedang tidur. Maka apabila sepertiga malam yang terakhir telah tiba, beliau bangkit dari tidur dan mengucapkan Tasbih, Tahmid, Takbir, Tahlil dan Istighfar. Kemudian beliau berwuduk dan mengerjakan solat malam. Beliau solat lapan rakaat dan mengucapkan salam di setiap dua rakaat. Pada rakaat yang pertama dari setiap dua rakat itu beliau membaca surah ‘Al-Fatihah’ sekali, ‘Qul Huallahu Ahad’ 30 kali dan beliau melakukan solat seperti solat Ja’far ath-Thayar bin Abi Thalib sebanyak empat rakaat dengan mengucapkan salam di setiap dua rakat dan membaca Qunut pada rakaat yang kedua dari setiap dua rakaat tersebut sebelum rukuk. Sesudah bertasbih, cukuplah itu bagi beliau sebagai solat malam. Seterusnya beliau membaca ‘Al-Fatihah’ dan surah ‘Al-Mulk’. Pada rakaat yang kedua pula beliau membaca surah ‘Al-Fatihah’ dan surah ‘Ad-Dahr’. Setelah itu beliau berdiri dan solat dua rakaat yang disetiap rakaat beliau membaca ‘Al-Fatihah’ sekali, ‘Qul Huallahu Ahad’ tiga kali dan membaca Qunut di rakaat yang kedua. Kemudian beliau berdiri melakukan solat witir satu rakaat dengan membaca surah ‘Al-Fatihah’ dan ‘Qul Huallahu Ahad’ tiga kali, ‘Qul A’udzubirabbil Falaq’ sekali dan ‘Qul A’udzubirabbin Nas’ sekali serta membaca Qunut sebelum rukuk. Dalam Qunut tersebut beliau membaca,
       “Allahumma Shalli ‘Ala Muhammad Wa Ali Muhammad, Allahummahdina Fiman Hadait, Wa ‘Afina Fiman ‘Afait, Watawallana Fiman Tawalait, Wabarik Lana Fiman A’thait, Wa Qina Syarra Ma Qadhait, Fainnaka Taqdhi Wala Yuqdha A’laik, Innahu La Yazillu Man Walait, Wala Yaizzu Man A’dait, Tabarakta Rabbana Wa Ta’alait.”

       (Ya Allah, limpahkanlah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad. Ya Allah, berilah kami petunjuk. Berilah kami kesihatan sebagaimana orang yang telah Engkau berikan kesihatan. Lindungilah kami sebagaimana orang yang telah Engkau lindungi. Berkatilah kami apa yang telah Engkau anugerahkan kepada kami. Jagalah kami dari keburukan apa yang telah engkau tetapkan. Kerana sesungguhnya Engkaulah yang menetapkan kepada kami. Jagalah kami dari keburukan apa yang telah Engkau tetapkan. Kerana sesunguhnya Engkaulah yang menetapkan dan tidak dikenakan ketetapan. Sesungguhnya tidak akan hina orang yang setia kepadaMu dan tidak akan mulia orang yang memusuhiMu. Sesungguhnya Engkau Maha Pemberi Berkat, wahai Tuhan kami dan Maha Tinggi Engkau.)

       Kemudian beliau mengucapkan, Astaghfirullah Wa Asaluhut Taubah.” (Aku memohon ampun kepada Allah s.w.t. dan aku meminta taubat kepadanya) sebanyak 70 kali. Setelah mengucapkan salam beliau duduk serta melanjutkan zikir sebanyak yang dikehendaki Allah s.w.t.. Apabila fajar tiba beliau bangkit lalu solat fajar dua rakaat dengan membaca di rakaat pertama surah ‘al-Fatihah’ dan ‘Qul Ya Aiyuhal Kafirun’, manakala di rakaat kedua membaca surah ‘al-Fatihah’ dan ‘Qul Huallahu Ahad’. Apabila fajar terbit beliau melaungkan azan dan melakukan solat pagi dua rakaat. Manakala setelah selesai mengucapkan salam, beliau membaca zikir sehingga matahari terbit. Kemudian beliau melakukan sujud dua kali iaitu sujud syukur sehingga matahari naik tinggi.”

       Imam Musa Kazim (bapa Imam Ali Redha) pernah berkata,

       “Inilah saudaramu Ali Redha, ulamanya keluarga Muhammad. Tanyalah kepadanya mengenai urusan agamamu dan peliharalah apa yang dikatakannya kepadamu.”

       Antara sifat Imam Ali Redha adalah memiliki ilmu dan makrifat, ilmu tentang Allah s.w.t., sifat dan perbuatannya dan makrifah tentang akidah tauhid serta apa-apa yang berkaitan dengannya. Imam Ali Redha menjelaskan tentang kepimpinan dan perkara yang harus dimiliki seorang pemimpin di mana beliau berkata,

       “Pemimpin itu menghalalkan apa yang telah dihalalkan oleh Allah s.w.t., menegakkan hukum Allah s.w.t., mempertahankan agama Allah s.w.t., mengajak ke jalan Allah s.w.t. dengan kebijaksanaan dan nasihat yang baik. Seorang pemimpin itu adalah seorang yang berilmu, bukan orang yang bodoh, seorang pegembara dan bukan seorang yang melakukan kejahatan. Seorang pemimpin itu haruslah mempunyai ilmu yang tinggi, sempurna sifat lemah lembut, tegas dalam memerintah, mengetahui tentang politik dan mempunyai hak untuk menjadi pemimpin. Sesungguhnya pemimpin itu haruslah pandai mengendalikan agama dan sistem bagi kaum muslimin. Pemimpin itu laksana akar Islam yang kukuh, manakala rantingnya menjulang tinggi. Dengan adanya pemimpin (imam) solat, zakat, puasa, haji dan jihad akan menjadi lengkap.”

       Imam Musa Kazim telah menunjukkan tentang kedudukan anak beliau sebagai pengganti. Salah seorang sahabat Imam Musa Kazim meriwayatkan,

       “Imam Musa Kazim pernah berkata, “Inilah anakku yang teralim sekali. (Beliau menunjukkan dengan tangan kepada Imam Ali Redha).”[1]

       Ibnu as-Sibagh mengutip dari al-Maliki, telah berkata Ibrahim bin al-Abbas,
       “Aku mendengar al-Abbas berkata, “Tidak pernah Imam Ali Redha ditanya tentang sesuatu kecuali beliau mengetahui jawapannya. Aku juga tidak pernah melihat orang yang lebih mengetahui dari beliau tentang apa yang ada dalam zaman hidupnya.”[2]

       Allamah Sibth bin al-Jauzi mengambarkan keperibadian Imam Ali Redha dengan mengutip daripada al-Waqidi dengan katanya,
       “Beliau adalah seorang yang dipercayai yang memberi fatwa di Masjid Madinah al-Munawwarah ketika usianya baru sahaja mencapai dua puluh tahun.”[3]

       Seterusnya al-Jauzi berkata dengan mengutip dari al-Waqidi,

       “Ketika Imam Ali Redha sampai di Nisyabur (Iran) dalam perjalanan pindah dari Madinah al-Munawwarah ke Khurasan pada tahun 200 Hijrah, maka datanglah ulama kota tersebut seperti Yahya bin Yahya, Ishaq bin Harb dan lain-lain untuk menemui beliau meminta hadis dan riwayat serta mengambil berkat daripadanya.”[4]

       Dalam kurun kedua Hijrah ini telah lahir para pembangun mazhab fikah seperti Imam as-Syafie, Imam Malik bin Anas dan Imam Ahmad bin Hambal. Para fukaha seperti Abu Yusuf al-Qadhi, Sufian at-Tsauri, Za’far, Muhammad bin al-Hasan, as-Syaibani, Syarik al-Qadhi, Abdullah bin al-Mubarak, Yahya bin Aktsam dan lain.

       Di zaman kepimpinan Imam Ali Redha juga terdapat ramai ulama terkenal seperti al-Kisaie, al-Farahidi, al-Mu’tazili an-Nassham Ibrahim al-Mu’tazili, Tabib terkenal Jibrail bin Bakhtasyiu’ dan pelbagai tokoh ilmuan pengetahuan, syariat, mantik dan kemasyarakatan. Madrasah ilmiah, fikah, hadis dan sirah pula berkembang subur sehingga muncul pelbagai mazhab, falfasah serta ilmu kalam.

       Imam Ali Redha merupakan tumpuan untuk bertanya bagi para pemikir dan ahli makrifah. Beliau sering berdiskusi dengan para ulama tafsir, ahli falsafah dan ilmu kalam serta menolak pendapat kaum Zindiq dan Ghulat.

       Muhammad bin Isa al-Yaqthini telah mengumpulkan 15,000 pertanyaan mengenai pelbagai masalah yang telah dijawab Imam Ali Redha. Dalam hal ini Imam Ali Redha sendiri telah mengungkapkan,

       “Saya pernah duduk bersama para ulama di Raudhah (satu tempat di Masjid Nabawi). Maka ketika salah seorang daripada mereka tidak mampu menjawab satu persoalan, mereka lalu menunjukkan ke arahku. Mereka mengajukan pertanyaan kepadaku dan saya pun menjawab kesemua pertanyaan tersebut.” Beliau juga pernah berkata,

       “Orang yang mempunyai kekayaan wajib memberikan kelapangan kepada anggota keluarga yang menjadi tanggungannya.”

       “Ibadah itu bukanlah hanya sering berpuasa dan solat sahaja. Ibadah yang sebenarnya adalah bertafakur tentang urusan Allah s.w.t..”


PEMERINTAHAN BANI ABBASIAH


       Di zaman pemerintahan Khalifah Harun ar-Rasyid iaitu pada tahun 170 hingga 193 Hijrah, Negeri Baghdad telah menjadi sebuah kota yang dipenuhi dengan bangunan yang indah dan istana mewah milik pembesar Khalifah Harun ar-Rasyid. Al-jahsyiari meriwayatkan khalifah Harun ar-Rasyid sangat sayang kepada isterinya yang juga sepupunya iaitu Zubaidah.

       Ketika di zaman pemerintahan Khalifah al-Hadi dia telah menawarkan Khalifah Harun ar-Rasyid mentadbir sebuah daerah yang besar dengan syarat dia melucutkan gelaran sebagai putera mahkota. Khalifah Harun ar-Rasyid telah menerima tawaran tersebut dengan berkata,

       “Apabila aku berada di sisi Haniyi dan Mariyi serta berduaan dengan sepupuku itu, tiada apa lagi yang aku mahu.” Demikianlah ternyata kedudukan Zubaidah adalah setanding dengan jawatan khalifah di sisi Khalifah Harun ar-Rasyid. Oleh itu sudah tentu Zubaidah memainkan peranan yang penting dalam perlantikan anaknya, Muhammad al-Amin sebagai putera mahkota.

       Muhammad al-Amin ialah anak lelaki kesayangan Zubaidah. Sebab utama al-Amin dilantik menjadi putera mahkota ialah bapa saudaranya, Isa bin Ja’far bin al-Mansur telah pergi menemui al-Falah bin Yahya bin Khalid dan menanyakan tentang hal tersebut. Al-Fadhil menjawab,

       “Putera Mahkota ialah anakmu dan jawatan khalifah menjadi kepunyaanmu.” Kemudian dia berjanji akan berusaha sehingga rakyat memberikan taat setia kepada al-Amin sebagai Putera Mahkota.[5] Mereka telah menghantar rombongan yang diketuai al-Fadhil bin Yahya menghadap Khalifah Harun ar-Rasyid menggesa supaya melantik Muhammad al-Amin sebagai bakal penggantinya. Khalifah Harun ar-Rasyid telah tunduk kepada permintaan ini dan lantas melantik Muhammad sebagai putera mahkota pada tahun 175 Hijrah dan memberinya gelaran al-Amin.

       Suyuthi di dalam kitabnya Tarikh al-Khulafa’ menulis,

       “Suatu ketika Khalifah Harun ar-Rasyid menghadiahkan Sufian bin Uyainah 100,000 Dinar, memberi seorang penyanyi termasyur bernama Ishaq al-Maushuli 200,000 Dinar untuk sebuah lagu. Suatu ketika Khalid bin Yahya al-Barnaki, seorang yang dipercayai Khalifah Harun ar-Rasyid telah berkata kepadanya,
       “Imam Ali Redha telah mengemukakan dan mendakwa dirinya sebagai orang yang berhak memegang tampuk pemerintahan. Lalu Khalifah Harun ar-Rasyid berkata,
       “Cukuplah bagi kami apa yang telah kami lakukan terhadap bapanya. Apakah engkau mahu kami membunuh mereka semua?”[6]

       Walaupun Imam Ali Redha menjauhkan diri dari perjuangan Kaum Alawiyin melawan penguasa Abbasiah namun, beliau tetap menerima gangguan, dugaan dan penindasan. Khalifah Harun ar-Rasyid telah mengarahkan panglimanya al-Jaludi untuk menghukum keluarga Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib dan membunuh Imam Musa Kazim jika tertangkap. Al-Jaludi melaksanakan perintah Khalifah Harun ar-Rasyid dan menyerbu rumah keluarga Abu Thalib dan Kaum Alawiyin yang mulia. Salah seorang terkemuka yang menjadi mangsa ialah Imam Ali Redha. Al-Jaludi menghampiri pintu rumah Imam Ali Redha dan menendang pintu tersebut sambil menunggang kudanya. Ketika Imam Ali Redha melihat, beliau lalu mengumpulkan kesemua kaum wanita manakala beliau sendiri menjaga pintu. Al-Jaludi berkata,

       “Walau bagaimana sekalipun saya akan masuk dan merampas kesemua wanita sebagaimana perintah Khalifah Harun ar-Rasyid.” Imam Ali Redha menjawab,

       “Sayalah yang akan mengambil kesemua perhiasaan wanita itu untukmu dan saya bersumpah tidak akan tinggalkan mereka sesuatu pun.” Akhirnya, Imam Ali Redha mengambil kesemua perhiasan wanita sehingga tiada sedikit pun yang tinggal.

       Suatu ketika Khalifah Harun ar-Rasyid telah terpaksa pergi sendiri ke Khurasan untuk menumpaskan pemberontakan yang dilancarkan Rafi’ bin Laits. Dia telah melantik al-Amin sebagai penggantinya di Baghdad dan dibantu Yahya bin Sulaim untuk menjalankan urusan pentadbiran. Dalam perjalanan ke Khurasan itu dia telah ditemani anaknya al-Ma’mun, menterinya al-Fadhil bin ar-Rabi’, Ismail bin Sabih, sejumlah besar panglima-panglima tentera dan pasukan tentera yang besar. Tetapi dipertengahan jalan Khalifah Harun ar-Rasyid telah ditimpa penyakit dan terpaksa berhenti bersama rombongannya di suatu tempat yang bernama Thus. Kemudian apabila terasa akan ajalnya, dia lantas berpesan kepada menterinya, al-Fadhil bin ar-Rabi’ supaya mengikuti al-Ma’mun andainya dia meninggal dunia kelak. Tidak lama kemudian Khalifah Harun ar-Rasyid pun menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dia meninggal dunia pada tahun 193 Hijrah ketika berusia lebih kurang 44 tahun.
       Di zaman pemerintahan Khalifah Harun ar-Rasyid, dia telah melantik ketiga orang anaknya iaitu al-Amin, al-Ma’mun dan al-Qasim sebagai putera mahkota. Lebih dari itu dia telah membahagikan pula sempadan kerajaannya di kalangan mereka. Wilayah Khurasan diserahkan kepada al-Ma’mun, al-Jazirah (Semenanjung Arab) diserahkan kepada al-Qasim sementara Iraq kepada al-Amin.
       Setelah Khalifah Harun ar-Rasyid meninggal dunia, al-Amin telah dilantik sebagai khalifah. Ketika Khalifah al-Amin naik takhta, al-Ma’mun telah memberikan baiatnya. Maka mulalah dia mengumpulkan orang ramai dan membeli mereka secara besar-besaran. Mereka ditugaskan untuk menjaganya siang dan malam, menyediakan makanan dan minuman. Malahan ramai para penyair yang menulis syair untuk dirinya. Khalifah al-Amin juga memerintahkan supaya dibina lima buah kapal perang di Sungai Dajlah (Tigris) yang berbentuk singa, burung gagak, burung helang, ular dan kuda. Untuk itu semua dia telah membelanjakan wang yang sangat besar.[7]

       Pada suatu ketika Khalifah al-Amin memerintahkan supaya di tamannya dibentangkan permaidani. Maka dibentangkanlah permaidani yang menarik. Khalifah al-Amin juga dilayan dengan bekas minuman yang diperbuat daripada emas dan perak. Ketua dayang pula diperintahkan untuk menyediakan 100 orang hamba abdi wanita yang mahir dalam kesenian. Mereka menari dalam barisan sepuluh-sepuluh orang dengan memetik dawai dan menyanyi dengan serentak.[8]

       Pada tahun 198 Hijrah, tentera al-Ma’mun telah mara dari Khurasan menuju Baghdad di bawah pimpinan Tahir bin al-Husain dan Hartsamah bin A’yan. Ketika mereka sampai di luar tembok Kota Baghdad dan mula bertindak untuk meruntuhkan gerbangnya, lalu kebanyakan pengikut Khalifah al-Amin pun mula meninggalkannya. Khalifah al-Amin sendiri cuba menyerah diri kepada Hartsamah tetapi beberapa orang askar telah menerkam dan membunuhnya. Dengan itu berakhirlah zaman pemerintahan Khalifah al-Amin. Akhirnya, al-Ma’mun naik menyandang jawatan khalifah iaitu pada tahun 198 Hijrah. Khalifah al-Ma’mun telah memperolehi kemenangan dan menjadi khalifah yang baru, tetapi pusaka peninggalan yang diterimanya adalah amat berat, penuh pelbagai ragam, kesulitan dan peristiwa. Kemenangan Khalifah al-Ma’mun dengan menggunakan senjata Orang Farsi telah merangsang kemarahan Orang Arab. Pemindahannya dari Khurasan ke Baghdad pula telah merangsang kemarahan Orang Farsi. Begitulah betapa hebatnya pelbagai gerakan di depan Khalifah al-Ma’mun yang memerlukannya untuk berhempas pulas dengan seberapa daya di sepanjang pemerintahannya untuk mengatasi semua ini. Antara peristiwa yang menggugat zaman pemerintahan Khalifah al-Ma’mun ialah:

1.     Pemberontakan Abu as-Saraya;

2.     Pemberontakan Nasr bin Syabats;
3.     Pemberontakan Baghdad;
4.     Pemberontakan Zatti dan
5.     Pemberontakan Orang Mesir.


       Ketika Khalifah al-Ma’mun ingin melantik Imam Ali Redha sebagai putera mahkota, dia telah menjemput ahli keluarga Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib ke istananya termasuklah Imam Ali Redha. Kemudian Khalifah al-Ma’mun memerintahkan pasukan mengawal mereka di sepanjang jalan menuju Bashrah sehinggalah rombongan tersebut sampai ke istana Khalifah al-Ma’mun. Orang yang bertindak mengetahui pengiring tersebut dikenali dengan nama al-Jaludi yang berasal dari Khurasan.

       Ketika sampai di Khurasan, Khalifah al-Ma’mun menempatkan mereka di sebuah rumah manakala Imam Ali Redha ditempatkan di sebuah rumah yang berasingan. Kemudian dia memanggil Perdana Menteri Fadhil bin Sahl dan memberitahunya dia bermaksud ingin melantik Imam Ali Redha sebagai putera mahkota. Dia telah memerintahkan Perdana Menteri Fadhil bin Sahl supaya bermesyuarat dengan saudaranya Hasan bin Sahl. Kemudian mereka berdua pun bermesyuarat di depan Khalifah al-Ma’mun. Tetapi Hasan sangat keberatan di atas rencana Khalifah al-Ma’mun dan mengingatkannya akan kerugian mengalihkan kekuasaan dari keluarganya sendiri kepada Imam Ali Redha. Khalifah al-Ma’mun berkata,
       “Sesungguhnya aku telah berjanji kepada Allah s.w.t. akan mengalihkan kedudukan kekhalifahan kepada orang yang paling utama dalam keluarga Abu Thalib jika aku menang ke atas al-Amin dan aku tidak melihat ada orang yang lebih utama dari beliau.” Kemudian keduanya sepakat di atas nazarnya itu. Khalifah al-Ma’mun kemudiannya mengutuskan keduanya kepada Imam Ali Redha untuk menyampaikan maksudnya itu namun, Imam Ali Redha menolak. Namun keduanya terus mendesak dan beliau juga terus menolak sehingga salah seorang antara mereka berkata,

       “Anda terima sajalah, jika tidak kami akan melakukan sesuatu untuk anda.” Mereka berdua mengancam beliau dan salah seorang antaranya berkata,

       “Demi Allah, Khalifah al-Ma’mun telah memerintahkan kepadaku untuk memenggal kepala anda jika anda menentang kehendaknya.” Imam Ali Redha terpaksa menerima tawaran Khalifah al-Ma’mun dan ketika beliau menyatakan kesediaannya menerima jawatan putera mahkota secara simbolik dengan syarat yang beliau telah ajukan sendiri maka Khalifah al-Ma’mun pun mengumumkan berita besar tersebut dan menyebarluaskannya ke seluruh penjuru negeri.

AR-REDHA

       Suatu ketika, pada hari Khamis Perdana Menteri Fadhil bin Sahl telah mengumumkan kepada rakyat mengenai ketetapannya itu dan pandangannya terhadap Imam Ali Redha serta niatnya untuk mengangkat beliau sebagai putera mahkota yang akan menggantikan Khalifah al-Ma’mun sepeninggalannya dan sehingga dia telah menggelar beliau sebagai ‘Ar-Redha’ iaitu kerelaan. Khalifah al-Ma’mun juga memerintahkan Perdana Menteri Fadhil bin Sahl supaya mengumumkan kepada rakyat bahawa dia telah menggantikan lambang daulat Abbasiah yang berwarna hitam kepada warna hijau. Di hari kesempatan tersebut Khalifah al-Ma’mun telah pun berpakaian serba hijau. Selain itu dia juga mengumumkan bahawa dalam kesempatan itu juga dia akan membahagikan gaji untuk setahun penuh. Kemudian dia meminta orang ramai untuk kembali ke istana pada Hari Khamis yang akan datang untuk memberikan baiat kepada Imam Ali Redha.

       Pada Hari Khamis yang telah ditentukan, duduklah Khalifah al-Ma’mun berhampiran dengan Imam Ali Redha. Kemudian menghadaplah semua panglima, pegawai dan kadi dengan mengenakan pakaian serba hijau. Khalifah al-Ma’mun lalu memerintahkan puteranya, al-Abbas untuk menjadi orang pertama yang memberikan baiat. Maka berdirilah al-Abbas dan memberikan baiatnya kepada Imam Ali Redha sebagai putera mahkota. Kemudian Imam Ali Redha pun mengangkat tangan. Telapak tangan beliau dihadapkan ke arah orang ramai. Khalifah al-Ma’mun berkata,

       “Bentangkanlah tangan anda semua untuk menerima baiat.”

 Beliau menjawab,
       “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. menerima baiat dari orang ramai dengan cara begini.”
       Khalifah al-Ma’mun juga telah menulis nas baiat untuk Imam Ali Redha dengan tulisan tangannya sendiri dan Imam Ali Redha juga menulis di belakang surat baiat tersebut dengan tangan beliau sendiri yang mengatakan beliau menerima penabalan dirinya sebagai putera mahkota. Antara tulisan Khalifah al-Ma’mun adalah seperti berikut:

       “Amma Ba’du. Sesungguhnya Allah s.w.t. telah memilih Islam sebagai agama dan memilih antara hamba-hambaNya, RasulNya yang menunjukkan manusia kepada agamaNya itu. Rasul yang terdahulu menyampaikan khabar gembira mengenai Rasul yang berikutnya dan Rasul yang kemudian membenarkan Rasul yang terdahulu hingga kenabian yang terakhir iaitu Muhammad s.a.w.. Maka Allah s.w.t. lalu menutup rangkaian Nabi tersebut dan menjadikannya sebagai saksi dan pengawas ke atas mereka. Diturunkan kepadanya al-Kitab yang agung yang tidak akan datang kepadanya kebatilan baik dari depan mahupun belakang. Maka ketika kenabian telah terlaksana dan Allah s.w.t. telah menutupnya dengan Nabi Muhammad s.a.w. dengan risalah.”

       “Semenjak Amirul Mukminin memangku jawatan Khalifah dan merasakan suka duka sehingga kini dia tidak boleh memejamkan mata. Badannya lemah dan fikirannya sentiasa ditumpukan kepada masalah bagaimana untuk menegakkan agama dan menundukkan orang kafir, menyatupadukan pandangan, menyebarkan keadilan dan menegakkan Al-Quran dan Sunnah. Semua itu membuat beliau tidak sempat menikmati kesenangan dan menikmati keamanan hidup. Harapannya adalah Allah s.w.t. menganugerahkan kepadanya seorang yang akan menasihatinya dalam bidang agama dan ibadah. Seorang yang akan dipilih untuk memangku kedudukan putera mahkotanya dan memimpin umat setelah wafatnya seorang yang paling utama yang ditakdirkan baginya dalam bidang agama, sifat warak, berilmu dan berhasrat untuk menegakkan perintah Allah s.w.t.. Untuk itu beliau telah bermunajat kepada Allah s.w.t., beristikharah meminta kepadaNya supaya dilimpahkan keredaan dan ketaatan kepadanya sama ada di tengah malam mahupun siang. Menggunakan fikiran dan pandangannya untuk mencari di kalangan keluarganya dari keturunan Abdullah bin Abbas dan Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib dengan membataskannya pada orang yang diketahui dalam hal-ehwal dan mazhabnya antara mereka berdasarkan pengetahuannya.”
       “Khalifah telah bersusah payah mencari orang dan setelah beristikharah kepada Allah s.w.t. sambil berusaha sendiri bersungguh-sungguh melaksanakan haknya terhadap rakyat, maka jatuhlah pilihannya kepada Imam Ali Redha bin Imam Musa Kazim bin Imam Ja’far Shadiq bin Imam Muhammad Baqir bin Imam Ali Zainal Abidin bin Saidina Husain bin Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib. Disebabkan apa yang dilihatnya mengenai keutamaannya yang banyak, ilmu yang luas, sifat yang warak, zuhud yang ikhlas, mengosongkan diri dari dunia dan keistimewaannya antara manusia, telah jelas baginya apa yang disepakati, telah tersebar luas khabar mengenai keutamaannya di waktu muda mahu pun dewasa. Oleh itu Khalifah patut menetapkan kedudukan putera mahkota dan kekhalifahan sepeninggalannya dengan mempercayai pilihan Allah s.w.t. dalam hal ini kerana Allah s.w.t. mengetahui bahawa dia melakukan perkara tersebut kerana mementingkan Allah s.w.t. dan agama, mementingkan Islam dan mencari keselamatan pada hari di mana manusia berdiri menghadap Rabbul ‘Alamin. Kemudian Khalifah pun memanggil putera dan keluarganya, orang terdekat, para panglima dan khadamnya. Mereka lalu membaiat (menyokong) beliau dengan taat. Dengan perasaan gembira kerana mengetahui khalifah telah mementingkan ketaatan kepada Allah s.w.t. daripada keinginannya sendiri. Selanjutnya Khalifah memberi gelaran ar-Redha (kerelaan) kepada Imam Ali Redha. Beliau adalah orang yang diredai Allah s.w.t. dan dihormati manusia. Khalifah telah mementingkan ketaatan kepada Allah s.w.t. dan pertimbangan demi kebaikannya sendiri dan kaum muslimin. Walhamdulillahi Rabbil Alamin.”

       Nas penabalan Imam Ali Redha sebagai putera mahkota ini ditulis dengan tangan Khalifah al-Ma’mun sendiri pada hari isnin 7 haribulan Ramadan tahun 201 Hijrah.[9]

       Kemudian Imam Ali Redha pula menulis surat di belakang surat penabalan putera tersebut yang berbunyi,

       “Bismillahirrahmanirrahim. Segala puji bagi Allah Yang Maha Berkuasa melaksanakan kehendakNya kepada Nabi Muhammad penutup para Nabi dan keluarganya yang suci. Saya memperkenalkan diri bahawa saya adalah Ali Redha bin Musa Kazim bin Ja’far Shadiq bin Muhammad Baqir bin Ali Zainal Abidin bin Husain bin Ali K.Wh bin Abi Thalib. Semoga Khalifah mengetahui hak kami yang tidak diketahui orang lain.”
       “Kemudian beliau menghubungkan silaturrahim yang telah diputuskan dan telah ditenteramkan hati yang goncang. Bahkan beliau telah menghidupkan kembali setelah memberikan keamanan kepada orang yang takut. Diberikan mereka kekayaan setelah kemiskinan. Dengan itu semuanya ingin mencari keredaan Allah s.w.t.. Tidak mengharapkan balasan kepada orang yang bersyukur dan tidak akan mensia-siakan ganjaran orang yang berbuat baik. Khalifah telah melantik saya sebagai putera mahkota dan hak kekuasaan yang terbesar jika saya masih hidup setelah peninggalan beliau.”
       “Saya berjanji kepada Allah s.w.t. jika Dia melimpahkan kepadaku kekuasaan di atas urusan kaum muslimin dan kekhalifahan ke atas mereka umumnya dan Bani Abbas bin Abdul Muthalib khususnya. Saya akan memperlakukan mereka dengan dasar ketaatan kepada Allah s.w.t., ketaatan kepada Rasul dan saya tidak akan menumpahkan darah dengan cara yang haram, tidak akan menghalalkan kehormatan wanita ataupun harta kecuali darah yang boleh ditumpahkan berdasarkan hukum dan ketetapan Allah s.w.t.. Bahawa saya akan mencurahkan segenap kemampuan dan kesungguhanku. Dan jika saya mengadakan sesuatu yang baru maka saya berhak dihukum. Saya berlindung kepada Allah s.w.t. dari kemurkaanNya dan kepadaNya saya berharap taufik untuk mentaatiNya, dijauhkan dari membuat maksiat. Sesungguhnya kekuasaan itu hanyalah untuk Allah s.w.t.. Akan tetapi saya akan menurut perintah khalifah, mengutamakan kerelaannya dan semoga Allah s.w.t. menjaga saya serta beliau.
       “Saya tulis dengan tangan saya sendiri di depan Khalifah semoga Allah s.w.t. memanjangkan umurnya dan para hadirin yang terdiri daripada mereka yang telah dianugerahkan pelbagai gelaran, iaitu Perdana Menteri Fadhil bin Sahl dan Sahl bin Fadhil, Kadi Yahya bin Aktsam, Abdullah bin Zhahir, Tsumamah bin Asy’as, Bisy bin al-Mu’tamir, Hammad bin Nu’man dan ini terjadi pada bulan Ramadan tahun 201 Hijrah.”[10]
       Setelah pengambilan baiat selesai dan dipenuhi segala pensyaratan yang telah ditentukan, Khalifah al-Ma’mun memerintahkan untuk membacakan naskah surat perutusan penabalan putera mahkota dan perjanjian zahir dan batin ini di tempat pemerintahan Rasulullah s.a.w. antara Raudhah dan Mimbar (di Masjid Madinah al-Munawwarah) di depan saksi dan didengar oleh tokoh Bani Hashim, kesemua gabenor serta tokoh masyarakat sehingga tertegaklah hujah terhadap ke seluruhan kaum muslimin dan hilanglah semua keraguan yang ada pada mereka yang jahil.

       Setelah baiat selesai dan diumumkan kepada orang ramai yang hadir di majlis Khalifah al-Ma’mun yang penuh sesak itu, kemudian dia meminta kepada Imam Ali Redha supaya berkhutbah di depan orang ramai. Maka berdirilah Imam Ali Redha dan berbicara dengan kata yang singkat yang mengambarkan sifat kedudukan beliau di mana beliau tidak ikut serta dalam menjalankan pemerintahan. Setelah memuji Allah s.w.t. beliau berkata,

       “Kami mempunyai hak ke atas anda semua melalui Rasulullah s.a.w. dan anda juga mempunyai hak ke atas kami. Maka jika anda semua memberikan hak kami ke atas anda, wajiblah bagi kami memberikan hak anda.”[11]

       Tidak lama kemudian Khalifah al-Ma’mun memerintahkan supaya memuatkan nama Imam Ali Redha di atas mata wang yang digunakan. Beliau juga memerintahkan ke seluruh negeri supaya nama beliau disebut dalam khutbah disetiap penjuru masjid.

       Untuk mengeratkan lagi tali persaudaraan, Khalifah al-Ma’mun telah menikahkan puterinya iaitu Ummul Fadhil binti al-Ma’mun dengan Imam Muhammad Jawad bin Imam Ali Redha. Maka tidak lama kemudian disemua wilayah, orang ramai telah mengucapkan tahniah kepada Imam Ali Redha. Beliau menerima kedudukan sebagai putera mahkota dengan syarat tersebut. Imam Ali Redha meminta supaya beliau tinggal di Merva dan menerima jawatan tersebut dengan syarat beliau tidak ikut serta sedikit pun dalam urusan pemerintahan. Beliau mengetahui yang diberikan itu hanyalah suatu perkara yang tidak akan sempurna hingga kekhalifahan benar-benar beralih kepada Ahlul-Bait sepeninggalan Khalifah al-Ma’mun. Di waktu yang tepat barulah beliau boleh menjalankan peranan sebagai Imam dan khalifah yang sah menurut syariat bagi kaum muslimin. Beliau juga yakin dan tahu bahawa beliaulah yang berhak ke atas kepimpinan dan kekhalifahan. Hanya sahaja keyakinan ini tidak menghalang beliau untuk menerima kekuasaan dan menjalankan politik yang semestinya beliau jalankan sesuai dengan Kitabullah dan Sunnah Nabi, sebagaimana yang beliau isyaratkan dalam nas penerimaan beliau terhadap kedudukan putera mahkota itu. Dengan menolak untuk bekerjasama dengan Khalifah al-Ma’mun beliau masih akan boleh menentang sebahagian kezaliman yang ada dan merealisasikan sebahagian dahwahnya. Kedudukan beliau memang merupakan kedudukan politik yang sesuai untuk melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar.
       Syeikh Shaduq menceritakan,

       “Ketika tiba Hari Raya Aidilfitri, Khalifah al-Ma’mun mengirimkan utusan kepada Imam Ali Redha supaya meminta beliau menaiki kenderaan untuk menghadiri solat Hari Raya Aidilfitri dan berkhutbah untuk menenangkan hati masyarakat agar mereka mengetahui keutamaan beliau sehingga dengan demikian mereka akan merasa rela terhadap pemerintah. Imam Ali Redha membalas utusan Khalifah al-Ma’mun itu dengan mengatakan yang Khalifah al-Ma’mun telah mengetahui syarat yang ada di antara mereka berdua berkenaan keterlibatannya dalam masalah seperti ini. Dalam jawapanya, Khalifah al-Ma’mun mengatakan, dia hanya menginginkan supaya rakyat merasa tenteram dan para pegawai menerima kedudukan Imam Ali Redha sehingga hati mereka menjadi tenteram dan mereka menyaksikan keutamaan yang telah dianugerahkan Allah s.w.t. kepada beliau. Berulang kali Khalifah al-Ma’mun dan Imam Ali Redha saling bertelagah, yang seorang mendesak dan yang seorang lagi menolak. Maka ketika Khalifah al-Ma’mun asyik mendesak, Imam Ali Redha mengatakan, jika Khalifah al-Ma’mun membenarkannya supaya tidak melakukannya, maka itu lebih beliau sukai. Tetapi jika Khalifah al-Ma’mun memaksa juga maka beliau akan menuju ke masjid sebagaimana yang dilakukan Rasulullah s.a.w.. dan Amirul Mukminin Ali k.wh. bin Abi Thalib. Khalifah al-Ma’mun membenarkan saranan Imam Ali Redha. Lalu dia memerintahkan para panglima dan orang ramai untuk lebih awal menunggu di depan pintu rumah Imam Ali Redha. Tidak lama kemudian orang ramai pun menanti beliau di sepanjang jalan dan di atas bumbung rumah sama ada lelaki mahupun perempuan. Para panglima tentera pula telah menunggu di depan pintu rumah beliau. Ketika matahari mulai terbit, maka Imam Ali Redha pun bersiap sedia untuk mandi dan setelah itu beliau memakai serban. Kemudian beliau menghadap pembantu beliau lalu menyuruhnya melakukan sebagaimana yang beliau lakukan. Setelah itu beliau mengambil tongkat dan mulai keluar dari rumah sementara para pengawal berada di depan beliau.

       Ketika beliau berdiri dan kami berjalan di depannya, Imam Ali Redha kemudian mengangkat kepala ke langit dan bertakbir empat kali. Kami merasai seolah-olah berada di angkasa ketika menyambut takbirnya. Orang ramai dan para panglima pula telah menunggu di pintu. Mereka semua berpakaian serba cantik sambil menyarungkan pedang. Ketika kami sampai berhampiran mereka, maka Imam Ali Redha pun membaca doa,
       “Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar Ala Mahadana, Allahu Akbar Ala Ma Razaqana Min Bahimatil An’am. Walhamdulillah Ala Mabtalana.”

       (Allah Maha Besar. Allah Maha Besar. Allah Maha Besar ke atas hidayah yang telah diberikanNya kepada kita. Maha Besar Allah di atas ujian yang diberikanNya kepada kita.)

       Imam Ali Redha membaca doa tersebut dengan begitu lantang sekali dan kami pun mengikutnya bersama. Beliau membaca doa tersebut sebanyak tiga kali. Ketika para panglima melihat penampilan Imam Ali Redha, maka mereka pun turun dari kuda masing-masing menyertai perarakan tersebut. Seluruh Kota Merva menjadi bising dengan riuh rendah disertai doa orang ramai dan tidak kurang ada yang sebak, mengalirkan air mata tanda kesyukuran yang tidak terhingga. Setiap kali sepuluh langkah berjalan, Imam Ali Redha berhenti dan bertakbir sebanyak empat kali. Ketika itu kami merasai seolah-olah segala bukit bukau menyahut takbirnya. Situasi ini telah diketahui Khalifah al-Ma’mun, maka Perdana Menteri Fadhil bin Sahl lalu menyarankan Khalifah al-Ma’mun supaya menegah perbuatan Imam Ali Redha datang ke tempat solat dengan cara begitu kerana perbuatannya akan mempengaruhi masyarakat supaya bersimpati kepadanya. Oleh itu Perdana Menteri meminta Khalifah al-Ma’mun memerintahkan Imam Ali Redha kembali ke rumah. Lalu Khalifah al-Ma’mun pun menghantar utusan kepada Imam Ali Redha dan meminta beliau pulang. Maka Imam Ali Redha pun pulang tanpa membantah.”


DIRACUN
       Antara sebab Khalifah al-Ma’mun mengangkat Imam Ali Redha sebagai putera mahkota adalah kerana situasi politik ketika itu yang sudah sangat kacau bilau. Antaranya juga terjadi pemberontakan berdarah di antara bekas Khalifah al-Amin dan Khalifah al-Ma’mun, timbulnya pemberontakan kaum Alawiyin di segenap penjuru kerajaan menentang kekuasaan Bani Abbas, sikap anti rakyat terhadap pemerintah dan kecintaan mereka kepada Ahlul Bait Rasul. Sebenarnya Imam Ali Redha menolak tawaran Khalifah al-Ma’mun itu, namun, beliau tetap dipaksa untuk menerima jawatan tersebut.

       Tidak lama kemudian Khalifah al-Ma’mun telah memasukkan racun dalam makanan Imam Ali Redha iaitu di dalam buah anggur sehinggalah menyebabkan beliau meninggal dunia. Khalifah al-Ma’mun merasa takut untuk menanggung risiko setelah kematian Imam Ali Redha. Dia khuatir kaum Alawiyin dan rakyatnya akan bangkit memberontak dengan menuduhnya menyebabkan kematian Imam Ali Redha. Oleh itu Khalifah al-Ma’mun pun menyembunyikan berita kematian Imam Ali Redha selama satu hari satu malam. Setelah itu beliau memanggil Muhammad bin Imam Ja’far Shadiq bin Imam Muhammad Baqir iaitu bapa saudara Imam Ali Redha bersama beberapa orang dari keluarga Abu Thalib. Setelah mereka datang, Khalifah al-Ma’mun menunjukkan mereka jasad Imam Ali Redha sambil menyakinkan mereka beliau telah meninggal dunia dengan cara yang wajar. Buktinya jasad beliau masih elok sahaja dan tiada berlaku tanda penganiayaan.

       Orang ramai masih mengatakan Khalifah al-Ma’mun telah membunuh pemimpin mereka. Orang ramai pun berhimpun di luar rumah tempat jasad Imam Ali Redha disemayamkan sambil menangis terisak-isak. Khalifah al-Ma’mun menjadi khuatir dengan situasi ini lalu mengarahkan pakcik Imam Ali Redha iaitu Muhammad bin Imam Ja’far Shadiq untuk mengarahkan orang ramai bersurai. Kemudian Muhammad bin Imam Jafar Shadiq menyeru kepada orang ramai,

       “Wahai saudara-saudara, bersurailah. Kerana jenazah Imam Ali Redha tidak akan dibawa keluar hari ini.” Akhirnya, orang ramai pun bersurai dan di malam harinya barulah jenazah Imam Ali Redha dimandikan, dikapankan dan dimakamkan.

       Imam Ali Redha meninggal dunia pada hari terakhir bulan Safar tahun 203 Hijrah di Kota Thus dan dimakamkan di situ juga, di rumah Humaid bin Qathabah berhampiran kubur Harun ar-Rasyid ke arah kiblat. Sehingga kini makam beliau sering dikunjungi jutaan penziarah dari pelbagai pelusuk dunia. Kini Thus lebih dikenali sebagai Kota Masyhad. Ia merupakan kota terindah di Republik Islam Iran dan letaknya disebelah utara timur dekat perbatasan dengan Rusia dan Afghanistan.



[1]  Ibnu as-Shibagh al-Maliki.
[2]  Ibnu as-Shibagh al-Maliki.
[3]  Sibth al-Jauzi di dalam Tazkirah al-Khawash muka surat 251.
[4]  Sibth al-Jauzi di dalam Tazkirah al-Khawash.
[5]  Al-Kamil Fi at-Tarikh jilid vi muka surat 40
[6]  Ibnu as-Shibagh al-Maliki di dalam Fushul al Muhimmah fi Ma’rifati Ahwal al-Aimmah.
[7]  Ibnu Atsir di dalam al-Kamil Fi at-Tarikh jilid vi muka surat 493–495.
[8]  Ibnu Atsir di dalam al-Kamil Fi at-Tarikh jilid vi muka surat 495.
[9]  Ibnu as-Shibagh al-Maliki di dalam Fushul al-Muhimmah Fi Ma’rifati Ahwal al-Aimmah muka surat  257 – 258.
[10]  Syed Muhsain al-Amin di dalam Fi Rihab Ahlul Bait jilid ii muka surat 25.
[11]  Syed Mohsain al Amin di dalam Fi Rihab Ahlul Bait jilid ii muka surat 25.