Pada suatu hari yang cerah, di zaman
pemerintahan Khalifah Umar bin Khatab, Farsi telah berjaya ditawan. Tentera
Islam telah membawa tiga orang tawanan puteri Raja Yazdajird bin Syah Riar
beserta harta benda mereka di depan Khalifah Umar bin Khatab. Tujuan mereka
ialah untuk ditawarkan kepada sesiapa sahaja yang bersedia membeli seperti yang
sudah menjadi kelaziman ketika itu. Orang ramai datang berkumpul untuk
menyaksikan kecantikan puteri raja terakhir Qisra tersebut. Khalifah Umar
memerintahkan supaya purdah mereka dibuka agar dengan demikian bakal pembeli
akan dapat meninggikan harga, namun, puteri tersebut menolak sambil menangis.
Khalifah Umar menjadi marah dan hampir-hampir saja memukul mereka. Saidina Ali
k.wh. bin Abi Thalib yang hadir ketika itu berkata,
“Sabar wahai Umar, saya pernah mendengar
Rasulullah s.a.w. bersabda kasihanilah bangsawan suatu kaum yang menjadi hina
dan hartawan suatu kaum yang jatuh miskin. Puteri raja tidak sepatutnya
diperlakukan seperti wanita biasa.”
“Jika
begitu, apa yang sebaiknya kita lakukan?” Tanya Khalifah Umar.
“Kita minta seseorang menaksir harga mereka
dan berapa pun harganya serahkan puteri tersebut kepada orang yang sanggup memelihara
mereka dengan sebaiknya.” Jawab Saidina Ali k.wh.. Setelah ditaksir, Saidina
Ali k.wh. membeli ketiga-tiga puteri tersebut. Seorang daripada mereka
diserahkan kepada Abdullah bin Umar yang kemudian melahirkan Salim bin
Abdullah. Seorang lagi diserahkan kepada Muhammad bin Abu Bakar yang kemudian
melahirkan Qasim bin Muhammad dan yang ketiga diserahkan kepada Saidina Husain
untuk dinikahkan.
Saidina Ali k.wh. yang memang memahami bahasa
Farsi bertanya kepada puteri yang ingin dinikahkan kepada anak beliau,
“Siapakah
namamu?”
“Syah Zanan” Jawab puteri tersebut. Syah
Zanan bermaksud penghulu para wanita. Dengan berbahasa Farsi Saidina Ali k.wh.
berkata lagi,
“Mulai
hari ini saya namakan dirimu dengan nama Syahr Banu.” Shah Zanan menjawab,
“Itu
adalah nama gelaran kakakku.”
“Memang benar.” Jawab Saidina Ali k.wh. dengan
bahasa Farsi. Kemudian beliau menghadap Saidina Husain dan berkata,
“Jagalah
puteri ini sebaik mungkin. Berbuat baiklah terhadapnya kerana puteri ini akan
melahirkan seorang anak lelaki yang bila dewasa kelak akan menjadi manusia yang
disegani dan pemimpin agung.”
Saidina Ali k.wh. menggantikan nama Syah Zanan dengan Syahr Banu supaya
tidak menyerupai julukan Fatimah az-Zahra’ binti Rasulullah s.a.w. iaitu ‘Saidatun Nisa’ al-Alamin’ (penghulu
para wanita). Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepada Fatimah az-Zahra’,
“Wahai anakku, tidakkah engkau gembira bahawa
engkau adalah Saidatun Nisa’ al-Alamin.” Fatimah az-Zahra’ bertanya,
Jika
begitu di manakah kedudukan Maryam?” Rasulullah s.a.w. menjawab,
“Dia adalah penghulu wanita di zamannya.”
Sebelum
Syahr Banu di tawan oleh tentera Islam, dia tinggal di sebuah istana Qisra
milik bapanya iaitu Raja Yazdajird bin Syah Riar, raja terakhir kekuasaan
Qisra. Suatu malam Syah Banu telah bermimpi berjumpa dengan Rasulullah s.a.w.. Baginda
memasuki istana Syahr Banu bersama cucunda Baginda iaitu Saidina Husain.
Kemudian dalam mimpi tersebut Rasulullah s.a.w. berhasrat untuk menikahkan cucunda
Raja Syah Riar dengan cucunda Baginda, Saidina Husain. Ketika terjaga dari
tidur Syahr Banu agak kehairanan dan sering terbayang wajah bakal suaminya yang
bercahaya serta masih belum dikenalinya itu.
Pada
malam berikutnya, sekali lagi puteri Raja Yazdajird telah bermimpi. Kali ini
dia telah bertemu dengan Fatimah az-zahra’. Dalam mimpi tersebut dia telah
memeluk Islam dan mengucapkan dua kalimah Syahadah di depan puteri Rasulullah
s.a.w.. Fatimah az-Zahra’ menghampiri Syahr Banu lalu berkata,
Tidak
lama lagi tentera Islam akan mengalahkan tahta kerajaan Qisra dan anda akan
dijadikan tawanan. Ketika itulah anda akan dapat berjumpa dengan Saidina
Husain. Memang Allah s.w.t. tidak mahu seseorang berkahwin dengan anda kecuali
anda dikhususkan hanya untuk anakku”
Setelah
Syahr Banu menanti dengan sabar, akhirnya, mimpi puteri Raja Yazdajird menjadi
kenyataan. Dia yang dikenali di Farsi sebagai penghulu wanita dunia telah pun
dinikahkan dengan penghulu para pemuda di syurga. Tidak lama setelah bernikah
dengan Saidina Husain akhirnya, Syahr Banu telah mengandung anak sulung.
Keluarga Saidina Husain sangat gembira dan apabila saat kelahiran tiba, Syahr
Banu telah melahirkan seorang bayi lelaki yang comel. Namun, Syahr Banu telah
meninggal dunia setelah melahirkan anak sulungnya. Saidina Husain menerima
takdir Ilahi ini dengan penuh sabar dan mendoakan semoga jasad isterinya
dicucuri rahmat.
Saidina Husain membersihkan bayi yang baru
lahir, lalu mengazankan di telinga kanan dan mengiqamatkan di telinga kiri.
Beliau menamakan bayi yang penuh berkat itu dengan nama Ali sempena mengambil
berkat nama bapanya yang terkenal dengan keberanian dan keilmuan yang tinggi.
Pada
hari ketujuh keluarga Saidina Husain telah menjemput penduduk Madinah al-Munawwarah
datang ke rumah kerana majlis akikah diadakan. Saidina Husain juga telah
mencukur rambut Imam Ali Zainal Abidin dan mengeluarkan sedekah seberat
timbangan rambutnya untuk disedekahkan kepada fakir miskin.
Nama sebenar beliau ialah Imam Ali Zainal
Abidin bin Saidina Husain Bin Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib bin Abdul
Muthalib bin Hasyim bin Abdul Manaf bin Qushai bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab
bin Lu’i bin Ghalib bin Fahr bin Malik bin Nadar bin Kinanah bin Khuzaimah bin
Mudrikah bin Ilias bin Mudhar bin Nizar bin Ma’ad bin Adnan bin ‘Add bin Humaisi’
bin Salamam bin Auz bin Buz bin Qamwal bin Ubai bin ‘Awwam bin Nasyid bin Haza
bin Bildas bin Yadlaf bin Tabikh bin Jahim bin Nahisy bin Makhi bin Aid bin
‘Abqar bin ‘Ubaid bin Ad-Da’a bin Hamdan bin Sanbir bin Yathrabi bin Yahzin bin
Yalhan bin Ar’awi bin Aid bin Desyan bin Aisar bin Afnad bin Aiham bin Muksar
bin Nahits bin Zarih bin Sami bin Wazzi bin ‘Adwa bin Aram bin Haidir bin Nabi
Ismail a.s. bin Nabi Ibrahim a.s. bin Azar bin Nahur bin Saru’ bin Ra’u bin
Falikh bin Abir bin Syalikh bin Arfakhsyad bin Sam bin Nabi Nuh a.s. bin Lamik
bin Matul Syalakh bin Nabi Idris a.s. bin Yarid bin Mahlail bin Qinan bin Anwas
bin Syits bin Nabi Adam a.s..
Imam Ali Zainal Abidin membesar di bawah
naungan ilmu bapanya yang memang terkenal kerana kepahlawanan dan keilmuan yang
tinggi. Banyak hadis yang meriwayatkan tentang kemulian yang dimiliki olehnya.
Antara hadis Nabi yang muktabar adalah seperti Saidina Husain meriwayatkan,
“Saya masuk menemui datuk saya Rasulullah
s.a.w.. Kemudian Baginda mendudukkanku di atas pahanya dan bersabda, “Sesungguhnya
Allah s.w.t. akan memilih dari sulbimu wahai Husain, sembilan orang Imam
(pemimpin), yang kesembilan dari mereka akan menjadi al-Qaim (penegak) dan
kesemuanya mempunyai keutamaan serta kedudukan yang sama di sisi Allah s.w.t..”
Ibnu Abbas meriwayatkan,
“Aku mendengar Rasulullah s.a.w.
bersabda,
“Daku,
Ali, Hasan, Husain dan sembilan orang dari keturunan Husain adalah manusia yang
disucikan dan ma’shum (terhindar dari dosa).”
Abdullah
bin Ja’far athThaiyar meriwayatkan,
“Aku
mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Sesungguhnya
daku lebih berhak ke atas diri kaum muslimin daripada diri mereka, kemudian
saudaraku Ali lebih berhak ke atas kaum Mukminin daripada diri mereka sendiri.
Kemudian cucundaku Husain lebih berhak ke atas diri kaum Mukminin daripada diri
mereka sendiri. Apabila dia meninggal maka anaknya, Ali (Zainal Abidin) lebih
berhak ke atas diri kaum Mukminin daripada diri mereka sendiri…… dan
seterusnya.”
KISAH
KEPALA SAIDINA HUSAIN
Ketika bapa Imam Ali Zainal Abidin iaitu
Saidina Husain syahid di Karbala akibat kekejaman Yazid bin Muawiyah, beliau
menyaksikan sendiri bagaimana keluarga Ahlul-Bait telah dizalimi dan dibunuh
dengan begitu kejam sekali. Pada petang 10 haribulan Muharam tahun 61 Hijrah,
kepala Saidina Husain telah dipenggal Syimr. Umar bin Saad selaku komandan
pasukan Kuffah memerintahkan supaya kepala beliau segera dibawa ke Kuffah untuk
diserahkan kepada Ubaidillah bin Ziyad. Seorang petugas yang bernama Kauli
al-Ushbuhi diperintahkan untuk membawa kepala Saidina Husain. Ketika dia sampai
di kediaman Ubaidillah bin Ziyad ternyata pintu istana sudah tertutup rapat.
Kemudian kepala cucunda Rasulullah s.a.w. dibawa ke rumahnya untuk disimpan
semalaman. Baru sahaja dia sampai di pintu rumah, perasaan gembira menjelma
dijiwanya lalu memanggil isterinya supaya segera dibukakan pintu.
“Bukalah pintu, aku pulang membawa buah
tangan kekayaan besar. Lihatlah ini.” Ucap Khauli al-Ushbuhi kegembiraan. Dia
ingin menerangkan kepada isterinya bahawa buah tangan yang dibawa pasti akan
menghasilkan upah yang tinggi dan kedudukan yang akan diterima dari Ubaidillah
bin Ziyad atau Yazid bin Muawiyah.
Isteri Khauli al-Ushbuhi yang melihat suaminya
pulang dengan membawa kepala manusia merasa sangat terkejut. Setelah diberitahu
bahawa kepala tersebut adalah kepala cucunda Rasulullah s.a.w., isteri Khauli
memprotes dan memarahi suaminya dengan berkata,
“Orang
lain pulang membawa emas dan perak, tetapi abang pulang membawa kepala putera
Fatimah az-Zahra’. Alangkah jahatnya perbuatan abang. Demi Allah, mulai hari
ini aku tidak sudi bersamamu lagi.” Kemudian isteri Khauli terus lari
meninggalkannya dan pulang ke rumah orang tuanya. Khauli tidak menyangka sama
sekali bahawa isterinya akan bertindak sejauh itu. Keesokan hari, pagi-pagi
lagi Khauli sudah menuju ke kediaman Ubaidillah bin Ziyad untuk menyerahkan
kepala Saidina Husain. Kedatangannya disambut pengawal dan sebagai orang yang
baru pulang dari medan perang dia diberi penghormatan untuk berjumpa terus
dengan penguasa tertinggi di daerah Kuffah. Ketika itu Ubaidillah sedang duduk
di atas singgahsananya, lalu kepala Saidina Husain diletakkan di depan kaki
Ubaidillah bin Ziyad. Dengan perasaan gembira Ubaidillah mengambil tongkatnya
lalu mencungkil-cungkil bibir Saidina Husain yang masih berlumuran darah
kering.
Zaid bin Arqam, salah seorang sahabat
Rasulullah s.a.w. yang duduk berhampiran Ubaidillah melihat perbuatan yang keji
itu tidak dapat menahan perasaan. Dia bangkit dari tempat duduknya dan menjerit,
“Angkat tongkatmu dari bibir suci itu! Demi
Allah! Aku sering melihat sendiri Rasulullah s.a.w. sering mencium bibir yang
engkau permainkan itu.” Kemudian tanpa menghiraukan orang lain Zaid bin Arqam
menangis tersedu-sedu. Ubaidillah menjadi marah lalu memandang Zaid bin Arqam
seraya berkata,
“Apa katamu? Jika engkau bukan seorang yang
sudah tua bangka, sudah tentu aku akan penggal lehermu.”
Ketika
Umar bin Saad bersama pasukannya membawa kepala Saidina Husain untuk diserahkan
kepada Yazid dan ketika mereka berehat seketika dipertengahan jalan, kepala
Saidina Husain telah diletakkan di hujung tombak dan didirikan di atas Padang Pasir.
Seorang Pendeta Nasrani yang tinggal dalam pertapaannya terkejut apabila
melihat sebuah kepala terpacak di atas tombak. Lalu dia menghampiri rombongan
Umar bin Saad dan setelah mengetahui bahawa kepala tersebut adalah kepala
Saidina Husain anak Fatimah az-Zahra’, dia menjadi marah dan berkata,
“Alangkah kejinya perbuatan kamu semua.”
Kemudian Pendeta tersebut meminta supaya kepala tersebut disemayamkan semalaman
di tempat pertapaannya.
“Aku bersedia membayar 10,000 Dinar.” Kata Pendeta
tersebut. Permintaan tersebut diterima baik Umar bin Saad dan rombongannya.
Kemudian kepala Saidina Husain segera dibawa ke tempat pertapaannya. Tidak lama
kemudian kepala tersebut disuci sebersih-bersih dan diberi wangi-wangian.
Pendeta Nasrani memangku kepala Saidina Husain semalaman sambil menangis.
Tiba-tiba dia terkejut kerana di pertengahan malam kepala Saidina Husain
memancarkan cahaya yang terang benderang menuju ke langit. Keesokan hari dia
menyatakan memeluk Agama Islam dan meninggalkan tempat pertapaan dan sehingga
akhir hidupnya dia membantu dan mencintai Ahlul-Bait Rasulullah s.a.w..
MENJADI
TAWANAN
Ketika Imam Ali Zainal Abidin berusia
sekitar 23 tahun, beliau telah menyertai rombongan Saidina Husain menuju ke Kuffah
kerana menyahut panggilan warga Kuffah yang berhasrat untuk menyokongnya.
Ketika rombongan Saidina Husain sampai di Karbala ,
Imam Ali Zainal Abidin telah menyaksikan pencabulan yang dilakukan oleh tentera
Yazid. Beliau terlepas dari dibunuh kerana waktu itu beliau jatuh sakit. Ibu
saudara beliau yang bernama Zainab telah bermati-matian mempertahankan Imam Ali
Zainal Abidin. Beliau juga nyaris-nyaris dibunuh dan dibakar. Dalam keadaan
yang sangat dahaga dan tubuh yang longlai, beliau menyaksikan bapa dan kaum
kerabatnya dibunuh satu persatu.
Pada 11 Muharam tahun 61 Hijrah, Imam Ali
Zainal Abidin bersama tawanan para wanita yang tidak diberi minum diikat dengan
sebuah rantai yang panjang. Dengan arahan yang kasar mereka diperintahkan
berjalan mengharungi Padang Pasir yang gersang menuju Kuffah dengan dikawal
rapi.
Ketika
rombongan mereka yang berpakaian serba tidak terurus semakin menghampiri Kota
Kuffah, semakin ramai penduduk yang datang untuk menyaksikan rombongan yang
agak aneh itu. Setibanya di pintu gerbang Kuffah, kelihatan berderet-deret kaum
wanita berdiri di sepanjang jalan untuk menyaksikan satu rombongan yang sangat
memilukan perasaan. Pada mulanya mereka tidak mengetahui bahawa rombongan yang
ditawan tersebut adalah para wanita dan anak-anak keluarga Saidina Husain.
Tiba-tiba datang seorang wanita tua bertanyakan orang ramai siapakah mereka itu
yang kelihatan sangat memilukan. Ketika mengetahui bahawa mereka itu adalah
keluarga Saidina Husain, cucunda Rasulullah s.a.w. dia merasa amat terkejut
lalu berlari pulang ke rumah untuk mengambil beberapa pakaian. Dia tidak sampai
hati melihat keluarga yang mulia itu ditawan dalam keadaan pakaian yang kusut
masai dan compang-camping tanpa bertudung kepala. Tanpa memperdulikan pasukan
pengawal, wanita tua tadi mendekati rombongan Imam Ali Zainal Abidin lalu
membahagikan pakaian yang dibawa.
Zainab dan para tawanan wanita yang semenjak
meninggalkan Karbala berjalan menundukkan kepala sambil menerima pakaian wanita
tua tadi dengan hati yang terharu. Bagi Imam Ali Zainal Abidin, Kota Kuffah
merupakan kenangan pahit yang sangat mengguris hati. Luka parah di hati beliau
masih belum terubat akibat kehilangan seorang bapa saudara iaitu Saidina Hasan
bin Saidina Ali k.wh.. Beliau masih teringat ketika bapa saudara beliau dibaiat
menjadi khalifah yang tinggal di istana sebagai pusat pemerintahan. Tetapi
malangnya istana tersebut kini sudah didiami seorang penguasa daerah yang telah
melakukan kezaliman terhadap dirinya, terhadap ibu saudara dan kesemua kaum
kerabat Saidina Husain.
Imam
Ali Zainal Abidin yang masih kelihatan lemah dan dahaga yang amat sangat masih
mampu berdepan dengan penduduk Kuffah. Tanpa memperdulikan pasukan pengawal
dengan suara lantang beliau berseru,
“Wahai penduduk Kuffah! Jika antara anda semua
ada yang mengenaliku, pasti anda mengetahui siapakah diriku. Tetapi bagi mereka
yang tidak mengenaliku, izinkan saya memperkenalkan diri. Saya adalah Ali
Zainal Abidin putera Saidina Husain bin Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib. Saya adalah
putera seorang yang anda semua telah cemarkan kemuliaannya. Kemudian anda semua
tawan anak, saudara-saudara dan ahli keluarganya yang terdiri dari kaum wanita
serta kanak-kanak kecil. Saya adalah putera kepada seorang yang telah anda
semua penggal lehernya di Karbala, manakala kepala beliau anda jadikan tontonan
dan permainan.”
“Wahai penduduk Kuffah! Demi Allah, anda tentu
tahu bahawa anda sendirilah yang telah menulis surat kepada ayahku meminta
kedatangannya. Tetapi akhirnya, anda yang menipunya. Anda telah bersumpah dan
berjanji akan melindunginya. Tetapi apakah kenyataannya sekarang? Malahan anda
sendiri yang mengkhianati dan membunuhnya. Alangkah celaka perbuatan yang telah
anda lakukan. Ingatlah di hari akhirat kelak. Anda pasti akan berhadapan dengan
Allah s.w.t. dan RasulNya. Baginda pasti bertanya kepada anda mengenai anak
cucunda Baginda yang telah anda bunuh, tentang kemuliaan mereka yang anda
remehkan dan perbuatan anda yang melampaui batas.”
Orang
ramai yang mendengar ucapan dari lidah Imam Ali Zainal Abidin terpukau dan
tersentuh sanubarinya. Tiada seorang pun berani membangkang. Semuanya diam
tunduk. Bahkan beberapa orang wanita ada yang sebak mengalirkan air mata.
Kini
tibalah Imam Ali Zainal Abidin di hadapkan ke pangkuan Ubaidillah bin Ziyad,
penguasa Kuffah. Bukan main hairan dia melihat seorang jejaka yang berpakaian
compang-camping masih hidup. Ketika diberitahu jejaka tersebut bernama Ali
Zainal Abidin bin Saidina Husain, dia menjadi semakin marah. Perasaan dengki
dan dendamnya kepada Saidina Husain masih membara. Tanpa berfikir panjang dia
memerintahkan pengawalnya supaya melenyapkan riwayat Imam Ali Zainal Abidin.
Mendengar
perintah bunuh Ubaidillah bin Ziyad itu, Zainab yang berada di samping anak
saudaranya terus memeluk Imam Ali Zainal Abidin seerat yang mungkin sambil
berteriak,
“Wahai Ibnu Ziyad! Belum cukup banyakkah darah
yang telah engkau tumpahkan? Tidakkah engkau dapat meninggalkan walaupun
seorang yang sedang sakit ini? Jika engkau ingin membunuhnya, bunuhlah kami
semua bersama dia.”
Ubaidillah terpegun melihat keberanian ibu
saudara Imam Ali Zainal Abidin yang bertekad untuk mati bersama anak
saudaranya. Dia terpaksa berfikir sejenak untuk membatalkan niatnya. Kerana dia
tahu dia akan merasa sangat tercemar namanya bila bertindak membunuh seorang
wanita. Dia berhenti berfikir dan kemudian tanpa memandang wanita yang sedang
memeluk anak saudaranya dia berkata,
“Apa boleh buat, biarlah dia pergi bersama
anggota wanita tersebut.”
Akhirnya,
terhindarlah Imam Ali Zainal Abidin dari maut berkat kegigihan ibu saudaranya.
Sebelum para tawanan dihantar ke Damsyiq, Ubaidillah mengarahkan supaya kepala
para syuhada yang gugur di Karbala diletakkan di hujung tombak lalu diarak
mengelilingi Kota Kuffah.
Ketika para tawanan dihadapkan di depan Yazid
bin Muawiyah, penguasa Kota Damsyiq, Imam Ali Zainal Abidin yang tangannya
dibelenggu tidak dapat menahan perasaan lalu memberanikan diri dan berkata,
“Tidakkah anda dapat bayangkan, bagaimana jika
Rasulullah s.a.w. melihat kami dalam keadaan sebegini?” Nampaknya ucapan Imam
Ali Zainal Abidin yang ringkas itu menyentuh perasaan Yazid. Lalu dia pun
memerintahkan para pengawalnya menanggalkan belenggu yang mengikat tangan Imam
Ali Zainal Abidin dan semua anggota rombongan.
Setelah
itu para pengawal yang membawa tawanan dari Kota Kuffah mempersembahkan
beberapa kepala yang gugur di Padang Karbala. Manakala kepala Saidina Husain
sengaja diletakkan di depan Yazid tepat di depan hujung kakinya. Melihat kepala
Saidina Husain yang dipenuhi debu dan berlumuran darah yang kering itu, Zainab
tidak dapat mengawal perasaan lalu berteriak,
“Wahai Husin, kekasih Rasulullah s.a.w., putera
terbaik Makkah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawwarah. Putera Fatimah
az-Zahra’.” Kemudian disusuli pula suara tangisan yang sangat memilukan semua
orang, sehingga ada pula antara mereka yang tidak dapat menahan air mata.
Setelah keadaan kembali reda, Yazid pun berkata kepada Imam Ali Zainal Abidin,
“Wahai putera Husain, ketahuilah ayahmu
telah memutuskan hubungan kekeluargaan denganku. Dia menentang kekuasaanku.
Sekarang lihatlah apa yang Allah s.w.t. telah lakukan terhadap dirinya?” Imam
Ali Zainal Abidin mendengar ucapan Yazid sambil menunduk. Beliau tidak sanggup
melihat kepala ayahnya dihina sedemikian rupa. Dengan memusatkan seluruh
fikiran dan perasaan, Imam Ali Zainal Abidin tiba-tiba menatap muka Yazid
sambil mengungkapkan dua ayat suci Al-Quran:
“Tiada musibah apa pun yang menimpa di bumi
dan tiada musibah yang menimpa dirimu, kecuali yang sudah tertulis di dalam
kitab Allah s.w.t. (Luh Mahfuz) sebelum Allah s.w.t. menciptakannya. Hal yang
sedemikian itu sungguh mudah bagi Allah s.w.t..”
“Hal itu kami jelaskan agar anda semua
tidak berduka cita terhadap apa yang luput dari anda semua (iaitu apa yang
tidak dapat anda perolehi) dan supaya anda semua jangan terlalu gembira dengan apa
yang Allah s.w.t. berikan kepada anda semua. Allah s.w.t. tidak menyukai orang
yang sombong dan membangga diri.”[1]
“Wahai anak Muawiyah! Tahukah engkau
bahawa dalam peperangan Badar, Uhud dan perang Ahzab bendera Rasulullah s.a.w. berada
dalam genggaman datukku, Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib. Beliaulah yang membawa
bendera Rasulullah s.a.w. sambil melawan Kaum Musyrikin. Sedangkan ayahmu,
Muawiyah dan datukmu, Abu Sufian kedua-duanya membawa bendera Kaum Musyrikin.”
Apa yang dikatakan Imam Ali Zainal Abidin memang merupakan fakta sejarah yang
tidak dapat disangkal. Ucapan tersebut mengenai lubuk hati orang yang
mendengarnya termasuk Yazid. Kerana itu dia terpaku diam. Tidak seorang pun
yang dapat menemukan kata-kata untuk menjawab ungkapan beliau, apatah lagi
membantah. Imam Ali Zainal Abidin meneruskan,
“Oleh itu jika engkau menyedari perbuatanmu
terhadap ayahku, terhadap saudara-saudaraku dan semua anggota keluargaku,
seharusnya engkau merasa takut menghadap di hari pembalasan kelak.” Kata-kata
Imam Ali Zainal Abidin menusuk jiwa Yazid. Dia merasa malu terhadap agamanya
dan lebih malu lagi terhadap Allah s.w.t. Yang Maha Esa. Akhirnya, dia
mengarahkan supaya rombongan Imam Ali Zainal Abidin dihantar pulang ke Madinah al-Munawwarah.”
PERJALANAN
PULANG KE MADINAH AL-MUNAWWARAH
Jiwa Imam Ali Zainal Abidin dan
rombongannya agak terhibur bila menyaksikan penduduk Damsyiq berduyun-duyun
untuk mengalukan dan mengucapkan selamat tinggal kepada rombongan keluarga
Rasulullah s.a.w. itu. Ketika rombongan Imam Ali Zainal Abidin sampai di satu
tempat kawasan perkebunan anggur dan gandum, mereka berasa agak gembira kerana
kawasan tersebut dikelilingi dengan tumbuh-tumbuhan hijau sejauh mata
memandang. Kelihatan juga para petani sedang sibuk bercucuk tanam. Ketika mereka
dimaklumkan bahawa rombongan Ali Zainal Abidin lalu di kawasan tersebut, mereka
berlari berduyun-duyun meninggalkan kerja masing-masing. Kesemua mereka
menghampiri barisan unta, kuda dan keldai untuk mengambil kesempatan yang hanya
sekali seumur hidup itu untuk melihat wajah keluarga Rasulullah s.a.w. sambil
mengucapkan selamat jalan.
Akhirnya,
setelah mengharungi pelbagai rintangan seperti merentasi gurun Padang Pasir
yang hanya ditemani kepanasan terik matahari di siang hari dan kedinginan embun
di malam hari, rombongan keluarga Rasulullah s.a.w. pun sampai di Madinah al-Munawwarah.
Semenjak berada di Kota Madinah al-Munawwarah dari perjalanan jauh yang begitu
memenatkan dan hati yang telah luka, Imam Ali Zainal Abidin lebih suka
menyendiri dan memusatkan hidupnya untuk beribadah serta mendekatkan diri
kepada Allah s.w.t. sehingga seluruh anggota keluarga dan pengikut setia
Ahlul-Bait Rasulullah s.a.w. merasa khuatir akan kesihatan dan keselamatannya.
Mereka melihat betapa beliau seakan-akan melumatkan dirinya dalam solat
sehingga kulit dahi beliau menjadi kasar kehitam-hitaman kerana terlalu lama
dalam sujud. Manakala kedua belah kakinya menjadi bengkak lantaran terlalu lama
berdiri. Oleh sebab itulah beliau mendapat gelaran ‘As-Sajjad’ yang bermaksud yang sangat banyak sujudnya.
Anak
Imam Ali Zainal Abidin yang bernama Imam Muhammad Baqir berkata,
“Setiap kali beliau teringat atau menyebut
sesuatu nikmat Allah s.w.t. beliau akan bersujud syukur. Setiap kali beliau
membaca ayat-ayat Al-Quran yang di dalamnya ada sebutan tentang sujud beliau
pun bersujud. Setiap kali beliau menyelesaikan solat fardu beliau pasti akan
bersujud. Setiap kali beliau berjaya mendamaikan antara dua orang beliau juga
akan bersujud. Sebab itulah beliau digelar as-Sajjad. Ketika beliau berdiri
dalam solat sebagaimana layaknya seorang hamba yang hina di depan raja yang
agung, badan beliau menggigil kerana takut kepada Allah s.w.t.. Manakala sikap
beliau dalam solat ibarat sikap solat orang yang menghadapi akhir hayatnya
seolah-olah tidak berkesempatan untuk bersolat lagi untuk selama-lamanya.
Ketika Imam Ali Zainal Abidin mengambil wuduk,
wajah beliau akan berubah menjadi pucat. Ketika ditanya mengapa begitu, beliau
menjawab,
“Tidakkah anda tahu siapakah gerangannya yang saya
hadap?”
Beliau
biasa mengerjakan solat sunat sebanyak seribu rakaat dalam sehari semalam dan
beliau juga tidak pernah meninggalkan solat tahajud di setiap malam, baik
ketika berada di rumah mahupun sedang dalam perjalanan jauh.
Suatu
ketika pernah terjadi kebakaran di rumah Imam Ali Zainal Abidin. Ketika itu
beliau sedang sujud dalam solat. Orang ramai memanggil-manggil beliau,
“Wahai putera Rasulullah, api sedang menyemarak membakar rumah anda.”
Namun, beliau tetap sujud sehinggalah kebakaran berjaya dipadamkan. Setelah itu
apabila ditanya kenapa dia tidak menghiraukan panggilan orang ramai, beliau
menjawab,
“Api
yang lebih panas (api neraka) lebih saya takut.”
Imam Ali Zainal Abidin adalah pewaris
kedudukan ayahanda beliau iaitu Saidina Husain bin Saidina Ali k.wh. bin Abi
Thalib. Beliau adalah tokoh Ahlul-Bait yang terkemuka dan ahli fatwa di Madinah
al-Munawwarah. Di zaman generasi para tabiin, cahaya Ahlul-Bait kembali
bersinar setelah sebelumnya ditutup penguasa yang zalim. Perubahan ini
disebabkan terjadinya tragedi pembunuhan Saidina Husain bin Saidina Ali k.wh.
di Karbala yang telah membuka pekong musuh keluarga Rasulullah s.a.w.. Bencana dahsyat
ini telah memaksa kaum muslimin untuk meneliti kembali dan mencari sebab
musabab sehingga akhirnya, dapat mengenali akar umbinya. Maka dengan itu
bangkitlah para pejuang kebenaran antara kaum muslimin, membela dan memelihara
kedudukan mulia Ahlul-Bait. Semenjak itu ramai antara kaum muslimin yang
menyatakan diri sebagai pengikut dan pendukung Imam Ali Zainal Abidin.
PEMERINTAHAN
BANI UMAYYAH
Dengan kematian Muawiyah bin Yazid,
runtuhlah singgahsana dinasti Abu Sufian. Sebenarnya dia bercita-cita untuk
memegang tampuk pemerintahan untuk selama-lamanya. Dia juga mula melantik Yazid
sebagai putera mahkota walaupun dia tidak memenuhi pensyaratan dan meskipun
mendapat tentangan dari kaum muslimin. Ketika kematian Muawiyah bin Yazid bin
Muawiyah bin Abu Sufian, terjadilah kekecohan di kalangan Bani Umayyah dalam
menentukan siapa penggantinya. Namun, Marwan bin Hakam dengan kecerdikan dan kelicikannya
segera dapat mengalahkan persaingan yang sengit sehingga dapat menduduki
singgahsana yang kosong itu. Maka pada tahun 65 Hijrah beralihlah kekuasaan
umat ke tangan Dinasti Marwan. Pada tahun 65 Hijrah itu pula timbulah
pemberontakan penduduk Kuffah di bawah pimpinan Sulaiman bin Shord al-Khuzhaie.
Mereka ini menyebut dirinya sebagai kelompok at-Tawabun iaitu golongan orang
yang bertaubat. Kerana dasar perjuangan mereka ialah rasa penyesalan yang
mendalam disebabkan mereka tidak ikut serta membela Saidina Husain bin Saidina
Ali k.wh. dan membiarkan beliau terbunuh di Karbala. Padahal merekalah yang
meminta kedatangan Saidina Husain. Mereka juga mempunyai semboyan,
“Menebus
dosa kerana kematian Saidina Husain dengan membunuh para pembunuh beliau ataupun
mati di jalan tersebut.” Mereka telah memasuki Negeri Syam dan melawan pasukan
pemerintah sehingga menimbulkan korban yang bukannya sedikit. Akhirnya,
sebahagian besar kekuatan mereka dapat dihancurkan pasukan pemerintah yang
jumlahnya jauh lima kali lebih ramai.
Pada tahun 65 Hijrah ini juga Khalifah Marwan
bin Hakam meninggal dunia. Dia telah meninggal dunia kerana dibunuh isterinya
sendiri iaitu bekas isteri Muawiyah dan ibu kepada Yazid. Dia digantikan Abdul
Malik iaitu anaknya dari isteri yang lain.
Semenjak hari pertama menggantikan ayahnya,
Khalifah Abdul Malik bin Marwan mewarisi pula kekacauan dan pemberontakan dalam
negeri yang berkecamuk, baik di Kuffah iaitu golongan at-Tawabun mahupun di Makkah
Mukarramah di bawah pimpinan Abdullah bin Zubair yang mulai meluaskan
pengaruhnya di beberapa kota lain sehingga Iraq dan Mesir. Akhirnya, Khalifah
Abdul Malik bin Marwan dapat menumpaskan pemberontak tersebut.
Imam Ali Zainal Abidin yang terkenal kerana
zuhud telah menjauhkan diri dari terlibat dalam kekacauan dan pemberontakan
yang bergolak di sekitarnya. Sebab beliau sedar jika beliau campur tangan dalam
hal ini pasti akan menjadi korban pertama kekejaman para penguasa, dan hal ini
sangat membahayakan kesinambungan kepimpinan rohani Ahlul-Bait. Oleh sebab
itulah Imam Ali Zainal Abidin berhasrat untuk tinggal di Kota Madinah al-Munawwarah
bersama keluarganya sambil menyampaikan ilmu Ahlul-Bait kepada mereka yang
setia kepadanya sahaja. Pernah suatu ketika Mukhtar as-Tsaqafi iaitu pemimpin
pemberontak di Kuffah menyatakan sokongan terhadap Imam Ali Zainal Abidin
sebagai khalifah dengan mengirimkan sejumlah besar wang kepada beliau sambil
menyatakan diri bersiap sedia berbaiat untuk beliau bagi mewakili penduduk
Iraq. Tetapi Imam Ali Zainal Abidin menolak tawaran itu dan mengembalikan wang
yang dikirimkan. Beberapa tahun kemudian ketika Hajjaj bin Yusuf berjaya
menumpaskan gerakan Abdullah bin Zubair di Hijaz serta memperlakukan penduduk dengan
segala kekejaman dan penyeksaan yang amat keji. Khalifah Abdul Malik bin Marwan
mengirimkan sepucuk surat kepada Hajjaj. Antara lain surat tersebut berisi,
“Jauhkan
dirimu dari lumuran darah Bani Abdul Muthalib kerana aku lihat keluarga Abu
Sufian, setelah bergelumang dalamnya tidak lagi mampu bertahan kecuali hanya
sebentar sahaja…” Surat tersebut ditutupnya dengan gam lalu dikirimkan kepada
Hajjaj dengan pesanan supaya merahsiakannya. Namun, perkara tersebut diketahui
secara spiritual oleh Imam Ali Zainal Abidin yang kemudian segera menulis surat
kepada Khalifah Abdul Malik yang berbunyi,
“Bismillahirrahmanirrahim.
Daripada Ali bin Husain kepada Abdul Malik bin Marwan. Amma Ba’du. Anda telah
menulis surat pada hari ‘ini’ dan bulan ‘ini’ kepada Hajjaj mengenai hak
(keamanan) kami, Bani Abdul Muthalib. Semoga Allah s.w.t. memberi balasan
sebaik-baiknya kepada anda. Wassalam”
Suatu hari Kadi Abdul Malik bin Umar sedang
duduk bersama Khalifah Abdul Malik bin Marwan di dalam sebuah bangunan di kota Kuffah. Sebentar
kemudian serombongan tentera Khalifah Abdul Malik bin Marwan yang ditugaskan menumpas
Mus’ab bin Umair di Wilayah Iraq
pulang dengan membawa sebuah dulang berisi kepala manusia yang ditutup dengan
kain.
“Wahai Khalifah Abdul Malik, inilah kepala
Mus’ab bin Umair yang telah berhasil dibunuh.” Kata mereka sambil membuka kain
penutup dulang. Khalifah Abdul Malik bin Marwan melihat kepala musuh politiknya
itu dengan rasa terharu. Kadi Abdul Malik bin Umar juga tidak dapat mengelak
dari menyaksikan kepala Mus’ab bin Umair yang sudah tidak berbadan itu.
Tiba-tiba muka Kadi Abdul Malik bin Umar kelihatan pucat seperti orang
ketakutan. Fikirannya melayang pada masa-masa lalu ketika sedang berada di
bangunan tersebut bersama para pemimpin Islam yang kini sudah tiada.
“Mengapa engkau tiba-tiba kelihatan takut dan
pucat?” Tanya Khalifah Abdul Malik bin Marwan.
“Aku mohon perlindungan engkau kepada Allah
s.w.t., wahai Khalifah Abdul Malik.” Jawab Kadi Abdul Malik bin Umar dengan
bibir gementar.
“Mengapa engkau bercakap demikian?” Tanya
Khalifah Abdul Malik bin Marwan.
“Wahai Khalifah Abdul Malik, suatu masa
dahulu aku pernah berada di dalam bangunan ini dan tempat ini juga bersama
Ubaidillah bin Ziyad, tiba-tiba datang orang mempersembahkan kepala Saidina
Husain bin Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib ke hadapan Ubaidillah bin Ziyad.
Beberapa tahun kemudian aku duduk bersama Mukhtar bin Ubaid ats-Tsaqafi di
dalam bangunan ini juga dan di tempat ini juga, dan aku melihat orang membawa
kepala Ubaidillah bin Ziyad ke hadapan mata Mukhtar bin Ubaid ats-Tsaqafi.
Kemudian setelah beberapa masa berlalu, aku duduk bersama Mus’ab bin Umair di
dalam bangunan ini dan di tempat ini dan aku lihat kepala Mukhtar ats-Tsaqafi
di depan Mus’ab bin Umair.” Kata Kadi Abdul Malik bin Umar yang masih gerun.
Kemudian dengan dipaksa dan nada agak berat, dia berkata pula,
“Sekarang
aku berada bersamamu wahai Khalifah Abdul Malik, di dalam bangunan ini, di
tempat ini juga, dan ini adalah kepala Mus’ab bin Umair ada di depanmu.”
Mendengar itu, tiba-tiba nafas Khalifah Abdul
Malik terhenti sebentar dan merasa takut. Dia cepat-cepat keluar dan
memerintahkan agar bangunan tersebut segera diruntuhkan. Mungkin dia tidak
ingin kepalanya mendapat giliran menjadi bahan hadiah di dalam bangunan
tersebut.
Tidak lama kemudian pada tahun 86 Hijrah
Khalifah Abdul Malik bin Marwan telah meninggal dunia. Dia telah digantikan
anaknya yang bernama Walid bin Abdul Malik. Dia merasa sangat cemas bila
melihat kedudukan Imam Ali Zainal Abidin yang semakin hari semakin dicintai
rakyat. Dia khuatir perkara ini merupakan ancaman bagi kekuasaannya.
Sehinggalah pada tahun 96 Khalifah Walid bin Abdul Malik telah meninggal dunia
dan tampuk pemerintahan telah diambil alih Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik.
Dia telah menjadi khalifah selama 3 tahun iaitu dari tahun 96 Hijrah sehingga
tahun 99 Hijrah.
ASH-SHAHIFAH
AS-SAJJADIAH
Ketika Imam Ali Zainal Abidin tidak
diberi peluang untuk berkhutbah dimimbar masjid kaum muslimin, beliau pun
berusaha mencari jalan lain demi menghidupkan semula ajaran Islam yang hampir
dilupakan kekejaman penguasa ketika itu. Salah satu antaranya ialah dengan
penyebaran ilmu dan menyusun doa munajat. Tujuan beliau ialah untuk mengubati
penyakit rohani yang bermaharajalela sekaligus menyingkap hikmah dan etika
pengabdian kepada Allah s.w.t. yang terdapat dalam setiap solat, puasa, haji
dan sebagainya. Imam Ali Zainal Abidin juga mengajar bagaimana sepatutnya sikap
seorang Mukmin dalam keadaan yang terhimpit ketika ujian datang menjelma atau
ketika manusia merasa perlu menghampirkan diri kepada Allah s.w.t.. Itulah
sebabnya maka doa beliau memiliki tujuan yang jelas. Dalam doa tersebut beliau
mengajar kepada masyarakat bagaimana untuk mengagungkan Allah s.w.t., bagaimana
untuk membuka pintu taubat, bagaimana berinteraksi secara spiritual dengan
Rasulullah s.a.w. dan para wali Allah s.w.t..
Seterusnya Imam Ali Zainal Abidin juga akan
menunjukkan jalan kepada orang yang beriman untuk bergaul secara bijaksana
dengan masyarakat. Beliau mengajar bagaimana berbakti kepada orang tua,
menerangkan hak-hak orang tua terhadap anaknya, hak anak terhadap orang tua dan
hak jiran serta kaum muslimin umumnya. Beliau menjelaskan segala kebaikan yang
terdapat dalam pelbagai amal dan perbuatan yang mesti dilakukan seorang Muslim.
Warisan doa Imam Ali Zainal Abidin yang abadi itu telah dikumpulkan dan diberi
tajuk ‘Ash-Shahifah as-Sajjadiah’.
Kesimpulannya di zaman Imam Ali Zainal Abidin
doa menjadi pemangkin untuk memajukan gerakan pembaharuan Islam yang beliau
pimpin. Doa tersebut memiliki kandungan makna ibadah yang luhur sebagai wadah
yang beliau gunakan untuk berinteraksi dengan Tuhan Yang Maha Suci dan Maha
Tinggi.
SYAHID
Tidak lama kemudian pada tahun 95
Hijrah, dengan perantaraan Sulaiman bin Abdul Malik, dia telah menghantar
seseorang untuk mendekati Imam Ali Zainal Abidin dan kemudian meracun beliau
secara rahsia.
Maka berangkatlah roh beliau yang suci ke
hadrat Ilahi pada 12 haribulan Muharam tahun 95 Hijrah di dalam usia 57 tahun.
Beliau meninggalkan beberapa orang putera dan puteri. Antaranya Imam Muhammad
Baqir dan Zaid bin Ali Zainal Abidin. Beliau telah disemadikan di Baqi’ Madinah
al-Munawwarah berhampiran makam bapa saudaranya iaitu Saidina Hasan bin Saidina Ali K.wh bin Abi Thalib.
Antara
karya peninggalan Imam Ali Zainal Abidin yang masih terpelihara sehingga
sekarang ialah ‘Risalah al-Huquq’,
sebuah risalah tentang kewajipan dan hak-hak manusia dalam hubungannya dengan
tuhan sesama makhluk dan ‘Ash-Shahifah
as-Sajjadiah’ yang berisi kumpulan munajat serta doanya yang diajarkan
kepada murid dan pengikutnya.