INFORMASI

MAKLUMAN

Blog ini adalah hak milik Pintu Ilmu Resources (00159443-D) - PUSAT RAWATAN HOMEOPAYHY- yang beralamat di: Pusat Perubatan Holistik dan Alternatif 4932, Traffic Light Tok Jiring, Jalan Kelantan 21060 Kuala Terengganu, Darul Iman. Untuk lokasi klinik sila klik di sini

Pada 08/11/2015 klinik ditutup kerana doktor bertugas outstation. Harap maklum.

TESTIMONIAL TERKINI i

TAJAAN

Memaparkan catatan dengan label ALI. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ALI. Papar semua catatan

Jumaat, 21 Oktober 2011

BIOGRAFI RASULULLAH


Di Makkah al-Mukarramah, lahirlah bayi yang bernama Muhammad s.a.w. yang menurut sebahagian ulama lahir pada 12 Rabiul Awal dan mengikut setengah pandangan ulama lain pada 17 Rabiul Awal tahun 570 Masihi. Sejak kebelakangan ini ulama mutakhir telah mengambil usaha untuk mewujudkan perpaduan antara dua pandangan tersebut dengan mengisytiharkan tempoh antara kedua-dua tarikh tersebut sebagai minggu perpaduan umat Islam. Ayah Baginda iaitu Abdullah bin Abdul Muthalib telah pun meninggal dunia sebelum Baginda lahir dan ketika berusia 6 tahun Baginda telah kehilangan ibu yang tercinta.

Nama sebenar Baginda ialah Muhammad s.a.w. bin Abdullah bin Abdul Muthalib bin Hasyim bin Abdul Manaf bin Qushai bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Lu’i bin Ghalib bin Fahr bin Malik bin Nadar bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilias bin Mudhar bin Nizar bin Ma’ad bin Adnan bin ‘Add bin Humaisi’ bin Salamam bin Auz bin Buz bin Qamwal bin Ubai bin ‘Awwam bin Nasyid bin Haza bin Bildas bin Yadlaf bin Tabikh bin Jahim bin Nahisy bin Makhi bin Aid bin ‘Abqar bin ‘Ubaid bin Ad-Da’a bin Hamdan bin Sanbir bin Yathrabi bin Yahzin bin Yalhan bin Ar’awi bin Aid bin Desyan bin Aisar bin Afnad bin Aiham bin Muksar bin Nahits bin Zarih bin Sami bin Wazzi bin ‘Adwa bin Aram bin Haidir bin Nabi Ismail a.s. bin Nabi Ibrahim a.s. bin Azar bin Nahur bin Saru’ bin Ra’u bin Falikh bin Abir bin Syalikh bin Arfakhsyad bin Sam bin Nabi Nuh a.s. bin Lamik bin Matul Syalakh bin Nabi Idris a.s. bin Yarid bin Mahlail bin Qinan bin Anwas bin Syits bin Nabi Adam a.s..

ABU MUTHALIB

Datuk Nabi Muhammad s.a.w. yang bernama Abdul Muthalib bin Abdul Manaf telah bertanggungjawab mengambil alih dalam mendidik Nabi Muhammad s.a.w..

Abdul Muthalib adalah ketua suku Bani Hasyim dan juga sebagai penjaga Ka’bah. Tidak lama kemudian ketika Nabi Muhammad s.a.w. berusia 7 tahun Baginda telah kehilangan datuknya yang mulia. Menjelang kematiannya dia telah menunjukkan anaknya iaitu Abu Thalib sebagai penjaga kepada Nabi Muhammad s.a.w..

Oleh kerana Baginda seorang yang ramah, lemah lembut, berakhlak mulia dan tinggi budi pekerti Nabi Muhammad s.a.w. telah ikut serta dalam kafilah dagang Abu Thalib melintasi gurun untuk berniaga.

KHADIJAH

Khadijah binti Khuwailid adalah janda bangsawan yang sangat kaya. Beliau mencari seseorang untuk menguruskan kafilah dagangnya yang mewah dan akhirnya, beliau telah memilih Nabi Muhammad s.a.w. sebagai orang kepercayaannya. Oleh kerana Nabi Muhammad s.a.w. mampu berdagang dengan jujur dan amanah maka perniagaannya berkembang maju. Inilah yang menyebabkan Khadijah binti Khuwailid sangat tertarik sehingga beliau menghantar seseorang untuk melamarnya. Walaupun umur Khadijah binti Khuwailid sudah berusia 40 tahun dan Nabi Muhammad s.a.w. baru berusia 25 tahun namun, pernikahan mereka berdua merupakan pernikahan yang sangat bahagia.

DIANGKAT MENJADI NABI


Sebagai pencinta alam dan ketenangan, Nabi Muhammad s.a.w. sering memencilkan diri di Gua Hirak untuk beribadah. Suatu malam di malam ‘Lailatul Qadar’, ketika Baginda sedang bermunajat di dalam Gua Hirak, ada satu suara yang memerintahkan:
       “Bacalah dengan nama Tuhanmu”[1].

Dengan penuh kegembiraan atas kunjungan utusan Allah s.w.t. yang terasa aneh itu, Nabi Muhammad s.a.w. bergegas pulang menemui isterinya dan memberitahu tentang apa yang terjadi. Khadijah binti Khuwailid mendengar dengan penuh perhatian dan kemudian berkata,
       “Aku naik saksi bahawa anda adalah Rasulullah s.a.w..”

Setelah itu suara dari langit kedengaran menyerunya lagi,
     “Wahai orang yang berselimut, bangunlah, peringatilah dan agungkanlah Tuhanmu”[2].
 
Inilah tanda bagi Baginda untuk mula mengajar kebenaran mutlak iaitu ajaran tentang keesaan Allah s.w.t..

Pada mulanya, Nabi Muhammad s.a.w. hanya mengajak kaum kerabat terdekat sahaja untuk memerima akidah yang mulia ini. Wanita pertama yang memeluk Islam adalah Khadijah binti Khuwailid dan diikuti Saidina Ali k.wh. kemudian diikuti Zaid bin Haritsah menjadi mualaf. Begitu juga Abu Bakar dan Utsman. 

Umar yang ketika itu merupakan musuh Islam yang paling jahat dan terkenal keburukannya kerana menganiaya kaum muslimin akhirnya, memeluk Islam.

 MEMILIH KHALIFAH (PEMBANTU)


Selama tiga tahun Nabi Muhammad s.a.w. berdakwah secara bersembunyi untuk menghentikan kaumnya daripada menyembah berhala. Selama itu Baginda hanya berjaya mengIslamkan 30 orang sahaja. Seterusnya Nabi Muhammad s.a.w. memutuskan untuk tampil di khalayak ramai terutama kaum Quraisy untuk menghentikan penyembahan terhadap berhala dan menyeru mereka supaya mengesakan Allah s.w.t..
       Nabi Muhammad s.a.w. telah mengundang 40 orang kaum kerabat terdekatnya dalam satu jamuan. Dalam perjumpaan tersebut Baginda mengatakan selama ini Baginda tinggal dan hidup di antara mereka, sehingga kemudian Baginda bersabda,
       “Apakah selama ini kalian pernah mendengar daku berbohong?” Mereka menjawab,
       “Kami tidak pernah mendengar anda berbohong, wahai al-Amin.” Nabi Muhammad s.a.w. bertanya lagi,
       “Adakah kalian akan percaya, bila daku mengatakan musuh sedang berkumpul di sebalik bukit untuk menyerang kalian?” Mereka menjawab,
       “Ya, kami akan percaya.” Nabi Muhammad s.a.w. meneruskan,
       “Adakah kalian akan percaya daku akan mengatakan sesuatu kepada kalian?” secara serentak mereka menjawab,
       “Ya, sudah tentu kami percaya.” Kemudian dengan tegas Nabi Muhammad s.a.w. bersabda,
        “Daku tahu, tiada seorang pun daripada bangsa Arab yang dapat memberikan kepada keluarganya sesuatu yang lebih berharga dari yang daku tawarkan sekarang. Sesungguhnya daku menawarkan kepada kalian kebahagiaan di dunia mahupun kebahagiaan di akhirat. Allah s.w.t. Yang Maha Kuasa telah memerintahkanku supaya mengesakanNya. Oleh itu, siapa di antara kalian yang akan membantuku dalam hal ini dan akan menjadi saudaraku serta khalifahku?”
       Dengan ragu-ragu mereka menolak seruan Nabi Muhammad s.a.w.

 Saidina Ali k.wh. yang berada di situ berdiri seraya mengatakan,
     “Saya bersedia membantu anda.” Nabi Muhammad s.a.w. merasa terharu lalu memeluk Saidina Ali k.wh. dan bersabda,
       “Dia adalah pembantuku, washiku dan khalifahku.”

Orang ramai yang berkumpul di situ tertawa terbahak-bahak sambil mengejek Abu Thalib,
     “Adakah anda bersedia untuk tunduk kepada anak anda sendiri?”

 ISLAM


Nabi Muhammad s.a.w. adalah pengasas agama besar iaitu Islam. Islam bermaksud tunduk  dan berserah diri kepada Allah s.w.t. Ajaran Islam adalah sederhana, mudah, praktikal dan bermanfaat untuk kehidupan seharian. Islam memerintahkan supaya orang Islam beriman kepada Allah s.w.t., melakukan perkara yang baik, menunaikan solat dan zakat.

Agama baru pimpinan Nabi Muhammad s.a.w. telah menggerakkan satu revolusi yang dahsyat yang telah menggoncangkan keyakinan dunia yang sudah berakar. Mereka yang mempunyai kepentingan, para raja, para Pendeta dan mereka yang zalim semuanya menentang serta bersatu untuk menjatuhkan Islam.

Para penjaga Ka’bah dan pemilik berhala menemui Abu Thalib untuk memintanya supaya menghentikan Nabi Muhammad s.a.w. dari menyatakan ‘Lailaha Illallah’.

Bapa saudara Nabi Muhammad s.a.w. menyampaikan permintaan mereka kepada Baginda dan jika Baginda menurut kata mereka, Baginda akan dianugerahkan kekayaan yang melimpah ruah. Malahan Baginda akan dilantik menjadi ketua atau raja. Namun, Nabi Muhammad s.a.w. menolak dengan cara baik.

Akhirnya, kaum Quraisy menjadi marah dan mengancam melakukan boikot serta mengancam untuk membunuh Nabi Muhammad s.a.w.. Abu Thalib yang sebenarnya cenderung dan simpati kepada anak saudaranya bersedia untuk membela Baginda jika ada kemungkinan buruk yang akan berlaku.

Semenjak Nabi Muhammad s.a.w. berdakwah untuk mengajak manusia mengesakan Allah s.w.t., semenjak itu Baginda sering dicaci dan dimaki. Sehingga budak kecil juga mulai melempar Baginda dengan batu. Saidina Ali k.wh. yang sentiasa berasa di sisi Nabi Muhammad s.a.w. telah berusaha untuk menghalang kanak-kanak terus melukakan Nabi Muhammad s.a.w.. 

Gangguan dan penganiayaan yang dilakukan kaum Quraisy terhadap Nabi Muhammad s.a.w. dan beberapa pengikut setia Baginda semakin menjadi-jadi. Beberapa orang yang beriman diseret di atas pasir yang panas, dipenjarakan, dipukul dan tidak diberi makanan namun, mereka tetap berpegang teguh terhadap keyakinan mereka sehingga nafas terakhir.

Umayyah telah mengheret Bilal iaitu hamba sahayanya sendiri di Padang Pasir yang panas dan menindihnya dengan batu besar sambil berkata,
       “Engkau akan tetap dalam keadaan begini sehingga engkau mati.”

Namun, Bilal tetap berkata,
       “Ahad, Ahad, Ahad, Allah Yang Maha Esa.”

Selama 10 tahun Nabi Muhammad s.a.w. bekerja keras dan berdakwah. Walaupun usaha Baginda dipenuhi ranjau dan duri, Baginda hanya dapat menghasilkan pengikut seramai 100 orang sahaja. Nabi Muhammad s.a.w. menganjurkan pengikutnya untuk mencari tempat perlindungan di negeri jiran iaitu Ethiopia. Seramai 80 orang lelaki dan 18 orang perempuan berangkat menuju negeri yang diperintah Raja Negrus. Rombongan tersebut dipimpin Ja’far ath-Thayyar (saudara kandung Saidina Ali k.wh.) juga sepupu Nabi Muhammad s.a.w..

Ketika sampai di perkarangan istana, Ja’far at-Thayyar berkata,
       “Wahai raja, dulunya kami sangat bodoh dan tiada berakhlak. Kami menyembah berhala, melakukan zina, makan bangkai manusia, membicarakan keburukan, tidak mengendahkan rasa kemanusiaan dan kewajipan hidup berjiran.”
       “Dulunya kami tidak tahu hukum kecuali hanya dengan kekerasan dan kezaliman. Kemudian Tuhan memunculkan seseorang di kalangan kami yang mengajak kepada keesaan Tuhan dan mengajarkan kepada kami supaya tidak menyekutukanNya. Dia melarang kami menyembah berhala dan memerintahkan supaya berkata benar, setia kepada keyakinan kami, bermurah hati dan memperhatikan hak jiran tetangga. Dia melarang kami merendahkan kedudukan wanita atau makan harta anak yatim. Dia memberitahu kami untuk membuang sifat buruk dan menjauhkan diri dari melakukan kejahatan, memerintahkan untuk mendirikan solat dan melaksanakan puasa. Lalu kami pun beriman, menerima ajaran dan perintahnya untuk beribadah kepada Allah s.w.t. dan tidak menyekutukanNya.”

“Atas dasar ini, kaum kami bangkit melawan kami, menganiaya kami supaya tidak melakukan ibadah kepada Allah s.w.t. dan kembali menyembah berhala yang dibuat dari kayu dan batu.”

“Mereka menyeksa kami sehingga kami tidak dapat keamanan hidup. Maka kami pun datang ke negeri Tuanku untuk mengharapkan perlindungan dari ancaman mereka.”

Namun, permintaan mereka ditolak dan akhirnya, mereka kembali ke Makkah al-Mukarramah dengan perasaan hampa.

Suatu ketika ketua suku Arab bertemu Abu Thalib dengan berkata,
       “Kami sangat menghormati usia dan kedudukan anda, tetapi kami tidak dapat bersabar terhadap anak saudara anda. Hentikanlah dia atau kami akan memerangi anda.”

Tidak lama kemudian Abu Thalib menemui anak saudaranya dan menyampaikan hasrat kaum Quraisy. Dalam jawapannya Nabi Muhammad s.a.w. bersabda,
       “Wahai bapa saudaraku, seandainya mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku, untuk memaksaku meninggalkan misi dakwah, daku tidak akan berhenti sehingga Allah s.w.t. menunjukkan alasanNya atau daku binasa dalam usaha ini.”

 PERISTIWA SEDIH


 Ketika Nabi Muhammad s.a.w. berjuang untuk menegakkan syiar Islam, Baginda mengalami pelbagai dugaan dan cabaran. Antara dua dugaan yang dialami Nabi Muhammad s.a.w. adalah:

1.     Bapa saudara Nabi Muhammad s.a.w. yang bernama Abu Thalib bin Abdul Manaf selaku pelindung dan penaungnya telah meninggal dunia.
2.     Isteri kesayangan Nabi Muhammad s.a.w. yang bernama Khadijah binti Khuwailid juga telah meninggal dunia. Dia telah meninggalkan seorang puteri yang bernama Fatimah az-Zahra’ yang sekaligus menggantikan tempatnya untuk menguruskan ayahandanya. Semenjak itu Fatimah az-Zahra’ dikenali sebagai Ummu Abiha (Ibu kepada ayahnya).

 HIJRAH


Dengan ketiadaan Abu Thalib sebagai pelindung, para pembesar Makkah al-Mukarramah merancang untuk membunuh Nabi Muhammad s.a.w..

Di bawah bimbingan llah s.w.t. Baginda meminta Saidina Ali k.wh. untuk tidur di katilnya dan Nabi Muhammad s.a.w. meletakkan selimutnya yang berwarna hijau di atas badan Saidina Ali k.wh..

Ketika para pembesar keliru untuk membunuh Nabi Muhammad s.a.w. dan ternyata orang yang berada di atas katil adalah Saidina Ali k.wh., akhirnya, Baginda berjaya berhijrah ke Madinah al-Munawwarah.

Semasa Nabi Muhammad s.a.w. tinggal di Madinah al-Munawwarah, Baginda merupakan tokoh yang paling mulia yang daripadanya bersinar cahaya kerasulan. Kini Nabi Muhammad s.a.w. adalah pemimpin agung bagi manusia semesta alam.

Berbeza dengan orang Arab, Nabi Muhammad s.a.w. tidak pernah menggunakan senjata, namun, semenjak menetap di Madinah al-Munawwarah Baginda terpaksa menggunakan kekuatan senjata untuk membela Islam. Maka bermulalah perang pertama Islam yang dinamakan perang Badar. Walaupun kaum muslimin masih tidak ramai namun, berkat didikan Nabi Muhammad s.a.w. dan semangat juang yang tinggi, kaum muslimin dapat menumpaskan kaum Musyrikin yang jauh lebih ramai.
       Suatu ketika Nabi Muhammad s.a.w. sedang tidur di bawah pokok yang tidak jauh dari khemahnya. Tiba-tiba Baginda dikejutkan musuhnya yang bernama Du’thur bin al-Harits yang menghunuskan pedang ke arahnya.
       “Wahai Muhammad, siapakah yang akan menyelamatkanmu sekarang?” katanya dengan nada mengejek.
       “Allah s.w.t..” Jawab Nabi Muhammad s.a.w. ringkas.

Tiba-tiba orang Badwi tadi menggigil ketakutan sehingga pedang yang dipegangnya jatuh. Kemudian Nabi Muhammad s.a.w. mengambil pedang tersebut lalu bersabda,
       “Sekarang siapakah yang akan menyelamatkanmu?”
       “Tiada siapa” Jawabnya ketakutan.
       “Oleh itu belajarlah daripadaku supaya menjadi orang yang pemaaf.” Sambung Nabi Muhammad s.a.w.. Du’thur bin al-Harits menjadi insaf lalu memeluk agama Islam.



[1]  Surah al-‘Alaq ayat: 1.
[2]  Surah al-Mudatstsir ayat: 1-3.

Selasa, 26 April 2011

BIOGRAFI FATIMAH AZ-ZAHRA'


Fatimah az-Zahra’ adalah puteri bongsu Rasulullah s.a.w. yang paling dicintai. Beliau adalah satu-satunya puteri Baginda yang meneruskan zuriat keturunannya. Oleh itu Fatimah telah memperoleh suatu anugerah besar di sisi Allah s.w.t. di mana daripadanya anak keturunan Rasulullah s.a.w. lahir dan dengannya salsilah yang paling mulia yang pernah dikenali bangsa Arab terpelihara.
.
Ketika Khadijah binti Khuwailid menanti saat kelahiran anak bongsunya beliau menceritakan:
“Pada waktu kelahiran Fatimah az-Zahra’, saya meminta bantuan wanita Quraisy yang berjiran dengan saya untuk membantu namun, mereka menolak sambil mengatakan saya telah mengikut ajaran Rasulullah s.a.w.. Saya kebingungan sejenak dan tiba-tiba kelihatan empat orang yang wajahnya bercahaya berada di sisi saya. Ketika mereka melihat saya berada dalam keadaan kecemasan, salah seorang daripada mereka menyapa, mengatakan dia adalah Sarah ibunda Nabi Ishaq a.s.. Manakala tiga orang yang bersamanya adalah maryam binti Imran ibunda Nabi Isa a.s., Asiah puteri Muzahim dan Ummu Kaltsum saudara perempuan Nabi Musa a.s.. Mereka semua diperintahkan Allah s.w.t. untuk membantu saya. Kemudian mereka berada di sekeliling saya dan memberikan pelayanan kebidanan sehingga puteri saya, Fatimah az-Zahra’ lahir.”
.
Fatimah az-Zahra’ lahir pada hari Jumaat bersamaan 20 Jamadil Akhir tahun kelima setelah Nabi Muhammad s.a.w. diutus menjadi Rasul. Beliau dilahirkan ketika orang Quraisy sedang sibuk membina Ka’bah.
.
Lahirnya Fatimah az-Zahra’ membawa khabar gembira dan kedamaian kepada seluruh kaum Quraisy kerana bertepatan dengan kesepakatan mereka untuk membina Ka’bah. Ketika itu setiap kabilah dari suku Quraisy ingin ikut serta membina Ka’bah dengan meletakkan batu mengikut bahagian masing-masing. Ketika bangunan Ka’bah sampai ke aras Hajar Aswad, mereka berselisih faham tentang siapakah yang paling layak untuk meletakanya. Abu Umayyah bin Mughirah pembesar yang sangat disegani mencadangkan agar mereka mengambil jalan tengah untuk meredakan ketegangan yang ada. Orang yang dimaksudkan hendaklah orang pertama yang masuk melalui pintu masjid yang ditentukan. Akhirnya, mereka bersepakat dan ketika sedang menanti kemunculan orang tersebut, tiba-tiba muncullah Rasulullah s.a.w..

Mendengar perselisihan kaum Quraisy, Baginda mencadangkan supaya meletakkan batu Hajar Aswad tersebut di tengah sehelai kain yang besar. Setiap Kabilah mewakilkan seseorang untuk mengangkat batu tersebut sehingga kesemuanya mendapat bahagian untuk meletakkan batu Hajar Aswad di tempatnya. Pada hujung kain pertama diberikan kepada Abdul Manaf Utbah bin Rabi’ah, hujung kain kedua kepada Zum’ah, hujung kain ketiga diberikan kepada Abu Huzaifah bin Mughirah dan hujung kain keempat kepada Qais bin ‘Adi.
.
AZ-ZAHRA’
.
Oleh kerana budi pekerti Fatimah az-Zahra’ sangat mulia lagi luhur, beliau dikenali sebagai ‘Az-Zahra’’ bermaksud bercahaya. Antara lain ialah kerana ketika Fatimah az-Zahra’ berada di mihrabnya (tempat ibadahnya) cahaya memancar menerangi penduduk langit sebagaimana cahaya bintang menerangi penduduk bumi.
.
Dalam riwayat lain disebutkan Fatimah az-Zahra’ dikenali sebagai az-Zahra’ kerana Allah s.w.t. telah menciptakannya dari cahaya keagunganNya.
.
Ketika Khadijah binti Khuwailid melahirkan anak bongsunya muncullah cahaya yang berkilauan di langit yang tidak pernah disaksikan para malaikat di hari sebelumnya. Untuk itulah kemudian beliau digelar az-Zahra’.
.
Fatimah digelar az-Zahra’ kerana beliau tidak pernah haid. Malahan ketika bersalin juga beliau suci dari darah nifas sehingga beliau dapat melaksanakan solat lima waktu dan beribadah sepanjang masa.
.
Antara gelaran Fatimah az-Zahra’ adalah seperti:
  1. Al-Muhaddatsah kerana pernah berbicara dengan malaikat sebagaimana Maryam binti Imran.
  2. Shiddiqah bermaksud jujur.
  3. Mubarakah bermaksud yang diberkati.
  4. Thahirah bermaksud suci dari noda.
  5. Zakiah bermaksud cerdik.
  6. Radhiah bermaksud reda.
  7. Mardhiah bermaksud tenteram.
  8. Ummu Abiha bermaksud ibu kepada bapanya.
.
UMMU ABIHA
.
Semenjak kematian Khadijah binti Khuwailid, Fatimah az-Zahra’ telah mengambil alih tugas ibunya untuk menguruskan rumahtangga Rasulullah s.a.w.. Oleh itu Baginda sangat mencintai Fatimah az-Zahra’ sehingga Rasul akhir zaman sering memanggil puterinya dengan panggilan ‘Ummu Abiha’ bermaksud ibu kepada bapanya.
.
Rasulullah s.a.w. juga telah memperlakukan puterinya bagaikan Baginda memperlakukan ibunya sendiri. Baginda sering mencium tangan puterinya dan menziarahinya setiap kali pulang ke Madinah al-Munawwarah. Baginda juga sangat manja kepada puterinya bagaikan manjanya seorang budak kecil kepada ibunya.
.
Ketika Rasulullah s.a.w. masih kanak-kanak Baginda telah kehilangan ibu yang tercinta, Aminah binti Wahab. Setelah menjadi yatim piatu Baginda beralih kepada Fatimah binti Asad iaitu Ibu Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib. Rasulullah s.a.w. sering memanggilnya ‘Ya Ummi’.
.
Ketika Fatimah binti Asad meninggal dunia, Rasulullah s.a.w. sangat berduka sehingga Baginda bersabda,
“Telah meninggal ibuku.”
.
Setelah itu Allah s.w.t. kemudian menggantikan untuknya Fatimah az-Zahra’ iaitu puterinya sendiri. Setiap kali Baginda melihat puterinya, maka Baginda akan teringat pada Fatimah binti Asad yang telah menjaganya.
.
Rasulullah s.a.w. adalah manusia yang sangat bijaksana sehingga Baginda tidak menggelarkan seseorang secara sia-sia. Disebalik nama atau gelaran yang diberikan pasti mempunyai hikmah yang mendalam. Bagi Rasulullah s.a.w., ianya bagaikan cahaya yang terang benderang dan menjulang tinggi. Ianya tidak ada beza sama ada Fatimah az-Zahra’ sebagai puterinya atau ibunya.
.
Ibnu Abbas meriwayatkan,
“Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, “Sesungguhnya puteriku adalah bidadari syurga, kerana dia tidak pernah haid. Disebut Fatimah az-Zahra’ kerana Allah s.w.t. telah memutuskan (Fathamaha) daripadanya dan daripada pencintanya akan seksaan api neraka.”
.
KEISTIMEWAAN DAN KEUTAMAAN FATIMAH AZ-ZAHRA’
.
Antara keistimewaan dan keutamaan Fatimah az-Zahra’ adalah:
.
1. Fatimah adalah sebahagian nyawa Rasulullah s.a.w..
Baginda pernah bersabda,
“Fatimah az-Zahra’ adalah sebahagian jiwa ragaku. Barangsiapa yang membuatnya marah dia telah membuatku marah.”[1]
“Sesungguhnya Fatimah az-Zahra’ adalah sebahagian jiwaku. Siapa yang mendustakannya bererti dia telah mendustakanku.”[2]
“Fatimah az-Zahra’ adalah sebahagian jiwaku. Menyakitiku sesiapa yang menyakitinya dan memuaskanku sesiapa yang memuaskannya”[3]
.
2. Kemurkaan Fatimah az-Zahra’ adalah kemurkaan Rasulullah s.a.w. dan kemurkaan Allah s.w.t..
Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Wahai Fatimah, Allah s.w.t. murka kerana kemarahanmu dan reda kerana keredaanmu”[4]
.
3. Rasulullah s.a.w. sangat menyayangi Fatimah az-Zahra’.
Abu Tsa’labah al-Kasyani meriwayatkan,
“Ketika Rasulullah s.a.w. kembali dari musafir atau sesuatu peperangan Baginda akan pergi ke masjid terlebih dahulu untuk solat dua rakaat. Kemudian Baginda akan pergi ke rumah Fatimah az-Zahra’ dan seterusnya barulah ke rumah isterinya yang lain.”[5]
.
Ibnu Umar berkata,
“Apabila Rasulullah s.a.w. bermusafir orang terakhir yang ditemuinya adalah Fatimah az-Zahra’. Jika Baginda kembali dari musafir, orang pertama yang ditemui juga adalah Fatimah az-Zahra’. Baginda sangat menyayangi Fatimah az-Zahra’ kerana kerinduannya. Baginda tidak boleh berpisah lama daripadanya. Ketika Fatimah az-Zahra’ meninggalkan rumah Rasulullah s.a.w. setelah bernikah dengan Saidina Ali k.wh., setiap hari Baginda sering menziarahinya. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Daku ingin membawamu kembali kepadaku.” Fatimah az-Zahra’ menjawab, “Beritahulah Haritsah bin an-Nu’man agar saya dapat tinggal di rumahnya.” Rasulullah s.a.w. menjawab, “Haritsah bin an-Nu’man telah menyerahkan rumahnya untuk kita diami. Kerana itu daku merasa malu terhadapnya.”
.
“Perkara tersebut telah sampai kepada Haritsah bin an-Nu’man lalu dia berpindah dari rumahnya. Kemudin dia berjumpa Rasulullah s.a.w. dan berkata, “Wahai Rasulullah, telah sampai berita kepadaku Tuan akan memindahkan Fatimah az-Zahra’ ke rumah Tuan. Ambillah rumah itu. Ia adalah rumah Bani Najjar yang paling lama. Diriku dan hartaku adalah milik Allah s.w.t. dan RasulNya. Demi Allah, hartaku yang Tuan ambil lebih saya suka dari yang Tuan tinggalkan.” Rasulullah s.a.w. kemudian menjawab, “Anda memang benar. Semoga Allah s.w.t. memberkatimu.” 
.
Tidak lama kemudian Baginda memindahkan Fatimah az-Zahra’ ke rumah Haritsah.
Suatu ketika Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib bertanya Rasulullah s.a.w.,
“Siapakah di antara kami yang paling anda cintai, diriku atau Fatimah az-Zahra’? Rasulullah s.a.w. menjawab,
Bagiku anda lebih mulia daripada Fatimah az-Zahra’ dan Fatimah az-Zahra’ lebih daku cintai daripadamu.”
.
4. Fatimah az-Zahra’ adalah wanita yang paling dicintai Rasulullah s.a.w..
Suatu ketika Aisyah telah ditanya tentang orang yang paling dicintai Rasulullah s.a.w.. Aisyah menjawab,
“Fatimah az-Zahra’.” Beliau ditanya lagi,
“Siapakah lelaki yang paling dicintai Rasulullah s.a.w.?” Beliau menjawab,
“Suaminya, kerana Saidina Ali k.wh. adalah orang yang sering berpuasa dan solat malam.”
.
Jami’ Ibnu Umar meriwayatkan,
“Aku bersama ibuku telah menemui Aisyah. Aku mendengar perbualannya disebalik tirai. Ibuku bertanya kepadanya tentang Saidina Ali k.wh.. Aisyah menjawab, “Engkau bertanya kepadaku tentang seorang lelaki? Demi Allah, aku tidak tahu kalau ada lelaki lain yang lebih dicintai Rasulullah s.a.w. selain Saidina Ali k.wh.. Begitu juga di muka bumi ini tiada perempuan yang sangat dicintai Rasulullah s.a.w. kecuali Fatimah az-Zahra’.”[6]
.
5. Fatimah az-Zahra’ adalah orang yang paling fasih dan benar tutur katanya.
Aisyah telah meriwayatkan,
“Aku tidak pernah melihat ada orang yang lebih fasih dan benar tutur katanya daripada Fatimah az-Zahra’, kecuali bapanya Rasulullah s.a.w..”
.
6. Suci dari haid.
Asma’ berkata,
“Ketika Fatimah az-Zahra’ melahirkan Saidina Hasan tidak kelihatan beliau mengeluarkan darah. Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w. kenapa Fatimah az-Zahra’ tidak mengeluarkan darah haid dan nifas?’ Rasulullah s.a.w. menjawab,
“Tidakkah engkau tahu wahai Asma, puteriku Fatimah az-Zahra’ adalah wanita suci dan disucikan Allah s.w.t. Kerana itu dia tidak mengeluarkan darah haid dan nifas.”
.
7. Keturunan Fatimah az-Zahra’ masuk syurga.
Abdullah meriwayatkan, Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Sesungguhnya Allah s.w.t. telah menciptakan rahim Fatimah az-Zahra’ dalam keadaan suci. Sebab itulah Allah s.w.t. haramkan anak keturunannya masuk ke dalam neraka.”
.
8. Fatimah az-Zahra’ mulia di sisi Allah s.w.t..
Fatimah az-Zahra’ adalah orang yang paling mulia buat bapanya dan kedudukannya sama seperti kedudukan Maryam binti Imran.
.
Abu Said al-Khudri meriwayatkan,
“Suatu hari Saidina Ali k.wh. pernah bertanya kepada Fatimah az-Zahra’, apakah beliau menyimpan makanan untuknya. Fatimah az-Zahra’ menjawab, “Demi yang telah memuliakan bapaku dengan kenabian. Hari ini saya tidak memiliki sebarang makanan yang boleh dijamah. Bahkan sudah dua hari kita tidak memiliki apa-apa untuk mengalas perutku dan perut kedua anakku ini.” Saidina Ali k.wh. menjawab, “Wahai Fatimah, mengapa anda tidak memberitahu perkara ini kepadaku sehingga saya boleh mencari makanan untukmu.” Fatimah menjawab, “Saya malu kepada Allah s.w.t., jika menyusahkanmu dengan sesuatu yang tidak sanggup anda laksanakan.”
.
Kemudian Saidina Ali k.wh. pergi dengan satu keyakinan kepada Allah s.w.t. dan berbaik sangka kepadaNya. Beliau telah meminjam wang daripada temannya sebanyak satu Dinar. Ketika beliau ingin membeli makanan untuk keluarganya, tiba-tiba beliau bertembung dengan Miqdad sedang berjalan di bawah terik mentari. Saidina Ali k.wh. bertanya, “Wahai Miqdad, apa yang membuatmu gelisah sehingga anda keluar rumah pada hari yang panas terik ini?” Miqdad menjawab, “Wahai Abu Hasan (gelaran Saidina Ali k.wh.), biarkanlah saya sendirian dan janganlah halang perjalanan saya. Janganlah anda tanya tentang keluarga saya yang saya tinggalkan di rumah.” Saidina Ali k.wh. berkata, “Tidak baik anda sembunyikan keadaanmu daripadaku.” Miqdad menjawab, “Demi Allah s.w.t. yang telah memuliakan Muhammad s.a.w. dengan kenabian. Tidak ada yang membuatkan saya gelisah seperti sekarang ini kecuali kemiskinan saya. Ketika saya mendengar tangisan anak saya, seolah-olah bumi ini akan bergegar. Itulah kenapa saya pergi meninggalkan mereka di rumah.”
.
Mendengar jawapan Miqdad, air mata Saidina Ali k.wh. sebak dan berlinangan sehingga membasahi janggutnya. Kemudian beliau berkata,
“Wahai Miqdad, saya bersumpah dengan nama Allah s.w.t.. Saya juga mengalami perkara yang sama seperti keadaan dirimu. Saya baru sahaja meminjam wang satu Dinar untuk pembelanjaan keluarga saya. Tetapi anda nampaknya lebih memerlukan. Ambillah wang ini. Saya mesti mengutamakan diri anda daripada diri saya sendiri.”
.
Saidina Ali k.wh. memberikan wang tersebut kepada Miqdad dan beliau pulang dengan tangan kosong. Kemudian beliau solat Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak bersama Rasulullah s.a.w.. Selesai solat, Rasulullah s.a.w. berjalan di depan Saidina Ali k.wh. yang berada di saf depan. Baginda memberi isyarat kepada Saidina Ali k.wh. lalu beliau pun mengikuti Baginda sehingga mereka bertemu di pintu masjid. Di sana Rasulullah s.a.w. bertanya kepada Saidina Ali k.wh. adakah beliau mempunyai sesuatu untuk dimakan bersama pada malam itu. Saidina Ali k.wh. hanya terdiam tanpa memberikan sebarang jawapan. Beliau benar-benar malu kepada Rasulullah s.a.w. yang telah mengetahui mengapa beliau keluar dari rumahnya. 
.
“Wahai Ali, jika benar anda tidak memiliki makanan yang boleh dimakan bersama, nescaya daku akan pulang. Namun, jika anda memiliki sesuatu, daku akan ke rumahmu bersama.”
.
Akhirnya, Rasulullah s.a.w. sendiri mengajak Saidina Ali k.wh. untuk pergi ke rumah Fatimah az-Zahra’.
.
Setelah sampai di rumah Fatimah az-Zahra’, Rasulullah s.a.w. mengucapkan salam kepada puterinya. Mendengar suara salam ayahnya yang mulia, Fatimah az-Zahra’ bergegas menjawab dan segera bertemu Baginda.
.
“Bagaimana keadaanmu malam ini?” Tanya Rasulullah s.a.w..
“Hidangkanlah sedikit makanan untuk kita pada malam ini. Semoga Allah s.w.t. mengampunimu.” Sambung Baginda.
.
Fatimah az-Zahra’ mengambil makanan yang sudah tersedia di dalam mangkuk besar yang ada di dapur. Beliau meletakkannya di depan Rasulullah s.a.w..
.
Rasulullah s.a.w. melihat dan mencium makanan yang terhidang itu dengan penuh kehairanan sambil berkali-kali memandang wajah puterinya.
.
“Maha Suci Allah s.w.t.. Apakah saya telah melakukan dosa sehingga layak mendapat murka?” Tanya Fatimah az-Zahra’ kepada bapanya. 
.
Kemudian puteri Rasulullah s.a.w. menadah tangan ke langit seraya berkata,
“Tuhanku Maha Mengetahui apa yang ada di langit dan Maha Mengetahui pula apa yang ada di bumi. Saya tidak berkata kecuali hanya yang benar sahaja.” 
.
Rasulullah s.a.w. bertanya,
“Dari mana anda perolehi makanan yang tidak pernah daku lihat dan tidak pernah daku rasa sesedap ini?"
 .
Rasulullah s.a.w. kemudiannya meletakkan tangannya yang penuh berkat di antara kedua bahu Saidina Ali k.wh. sambil menggerakkannya lalu bersabda,
“Wahai Ali, inilah pahala atas wang satu Dinar itu. Inilah kurniaan yang datang dari sisi Allah s.w.t. yang dikurniakannya kepada siapa sahaja yang dikehendaki tanpa perkiraan.”
.
Kemudian dalam keadaan sebak Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Segala puji bagi Allah s.w.t. yang telah memuliakan kalian di atas muka bumi ini. Wahai Ali, Allah s.w.t. telah memberimu kemuliaan seperti yang pernah diberikannya kepada Nabi Zakaria a.s. dan anda wahai Fatimah, telah diberikan kemuliaan seperti yang pernah Allah s.w.t. berikan kepada Maryam binti Imran. Setiap kali Nabi Zakaria a.s. menemuinya di mihrab (tempat ibadah) dia melihat ada rezeki Allah s.w.t. di situ. Lalu Zakaria bertanya, “Wahai Maryam, dari mana anda perolehi semua ini.”
.
WASIAT FATIMAH AZ-ZAHRA’
.
Suatu ketika Fatimah az-Zahra’ memanggil Ummu Aiman, Asma dan Suaminya Saidina Ali k.wh. Kemudian beliau memandang kepada suaminya dan berkata:
.
“Wahai suamiku, saya telah merasakan ajal saya akan tiba. Saya tidak tahu apa yang akan terjadi pada diriku selain akan mengikut jejak langkah bapa saya tidak lama lagi. Saya ingin mewasiatkan kepadamu apa yang selama ini terpendam di dalam jiwaku.” Dengan perasaan terharu Saidina Ali k.wh. menjawab,
.
“Wasiatkanlah kepadaku apa yang anda inginkan wahai puteri Rasulullah.” Saidina Ali k.wh. duduk berhampiran kepala Fatimah az-Zahra’ sementara orang lain yang berada di situ diminta keluar. Kemudian Fatimah az-Zahra’ menyambung,
.
“Wahai suamiku, sejak saya berkahwin denganmu, adakah anda pernah medengar saya berbohong dan tidak menurut perintahmu?” Saidina Ali k.wh. berkata,
.
“Saya berlindung daripada Allah s.w.t., anda lebih mengenal Allah s.w.t., lebih banyak melakukan kebaikan, lebih bertakwa, lebih mulia dan lebih takut kepada Allah s.w.t.. Sukar bagi saya untuk berpisah denganmu dan saya merasa sedih atas kehilanganmu. Namun, perkara ini merupakan ketentuan Allah s.w.t.. Demi Allah, musibah atas kewafatan Rasulullah s.a.w. telah anda timpakan ke atasku. Sesungguhnya kita milik Allah s.w.t. dan kepadaNya kita kembali.”[7]
.
Kemudian kedua suami isteri yang mulia itu menangis seketika. Saidina Ali k.wh. lalu mengusap kepala Fatimah az-Zahra’ dan menyandarkan ke dadanya seraya berkata,
“Wasiatkanlah kepadaku apa yang ingin anda wasiatkan.”
.
Fatimah az-Zahra’ pun mewasiatkan tiga perkara kepada Saidina Ali k.wh. sebagai berikut:

.
  1. Supaya Saidina Ali k.wh. berkahwin dengan Umamah puteri saudara perempuan Fatimah iaitu Zainab setelah wafatnya.[8]
Mengenai Umamah, Fatimah az-Zahra’ berkata,
“Dia sangat menyayangi anakku seperti saya menyayangi mereka.”

.
  1. Supaya Saidina Ali k.wh. menggunakan keranda yang telah disebutkan cirinya.
Ali bin Husain meriwayatkan hadis daripada Ibnu Abbas yang berkata,
“Fatimah az-Zahra’ ketika jatuh sakit, beliau berkata kepada Asma binti Umais, “Tidakkah anda perhatikan apa yang kita ketahui. Saya akan diusung di dalam keranda yang terbuka.” Asma binti Umais menjawab, “Tidak, demi Allah. Melainkan saya akan buatkan keranda untuk anda seperti yang pernah saya lihat di Habsyah.” Fatimah az-Zahra’ berkata, “Buatkanlah untukku.” Lalu Asma binti Umais membawa pelepah kurma basah dan membuat keranda di atas bangku panjang. Itulah keranda pertama. Asma binti Umais berkata, “Fatimah az-Zahra’ tersenyum padahal saya belum pernah melihatnya tersenyum setelah bapanya wafat.”[9]
  1. Supaya tidak seorang pun di antara orang yang pernah membuatnya marah melihat jenazahnya dan supaya beliau dikebumikan di malam hari.
.
WAFAT
.
Ketika Rasulullah s.a.w. jatuh sakit, Baginda melihat Fatimah az-Zahra’ lalu mengatakan Fatimah az-Zahra’ adalah anggota Ahlul Baitnya yang terlebih dahulu akan mengikutinya.
.
Semenjak wafatnya Rasulullah s.a.w., Fatimah az-Zahra’ kelihatan sering sakit. Beliau sering mengasingkan diri untuk bermunajat. Saidina Ali k.wh. telah membina sebuah rumah kecil yang diberi nama ‘Bait al-Huzni’ iaitu rumah kedukaan. Di situlah beliau menghabiskan masa berduka dan menangisi pemergian bapanya buat selama-lamanya.
.
Fatimah az-Zahra’ menceritakan,
“Ketika saya sedang tidur, tiba-tiba saya bermimpi berjumpa dengan bapa saya. Ketika saya melihatnya saya merasa sebak lalu memanggilnya dan mengatakan kepadanya, sesungguhnya berita langit telah terputus dari saya. Dalam keadaan seperti itu tiba-tiba datang para malaikat dalam beberapa barisan yang dipimpin oleh dua malaikat. Lalu kedua malaikat itu menarik saya dan membawa saya naik ke langit. Kemudian saya mengangkat kepala. Tiba-tiba kelihatan istana, taman dan anak sungai. Istana demi istana dan taman demi taman berderetan. Dari istana tersebut keluarlah para bidadari seakan boneka yang gembira tersenyum kepada saya. Mereka menyambut saya dan mengatakan, selamat datang wahai makhluk yang untuknya diciptakan syurga dan kerananya mereka diciptakan.
.
Kemudian para Malaikat membawa saya naik sehingga membawa saya masuk ke sebuah tempat yang dipenuhi istana. Di dalam setiap istana terdapat rumah yang dipenuhi perabot yang tidak pernah dilihat mata, tidak pernah didengar telinga dan tidak pernah terdetik dalam hati manusia. Di dalamnya juga terdapat kain sutera nipis dan kain sutera tebal. Di atas perabot tersebut terdapat selimut dari sutera dengan pelbagai warna dan gelas yang diperbuat dari emas serta perak yang menarik pandangan. Di atas meja pula terhidang pelbagai jenis makanan. Di tamannya terdapat sungai yang warnanya lebih putih dari susu, rasanya lebih manis dari madu dan wanginya lebih harum dari kasturi. Lalu saya bertanya, untuk siapakah istana dan sungai ini? Mereka lantas menjawab, bahawa tempat ini adalah Firdaus yang tertinggi yang tidak ada lagi syurga di atasnya. Ia adalah tempat ayah saya, para Nabi, para ‘Syuhada’ dan para ‘Shiddiqun’ yang dicintai Allah s.w.t.. Manakala sungai itu adalah ‘Al-Kausar’ yang Allah s.w.t. janjikan kepada ayah saya. Kemudian Saya bertanya mengenai di manakah ayah saya. Mereka menjawab, sebentar lagi Baginda akan menemui saya.
.
Tidak lama kemudian kelihatan istana yang sangat putih dan di dalamnya ada tilam yang sangat indah. Tiba-tiba saya berada di atas tilam tersebut yang terbentang di atas katil. Lalu kelihatan ayah saya sedang duduk di atas tilam tersebut bersama beberapa orang. Baginda menarik, mendakap dan mencium saya seraya mengucapkan selamat datang kepada saya. Setelah itu, Baginda memangku saya di atas pangkuannya. Seterusnya Baginda bertanya kepada saya, tidakkah saya melihat apa yang telah dijanjikan Allah s.w.t. kepada saya dan apa yang saya perolehi.

Rasulullah s.a.w. memperlihatkan kepada saya istana yang dipenuhi dengan pelbagai hiasan perabot. Baginda mengatakan bahawa ini adalah tempat tinggal saya, tempat tinggal suami saya, kedua anak saya, orang yang mencintai saya dan mencintai mereka (Ahlul Bait). Maka bergembiralah. Kerana saya akan menemuinya tidak beberapa lama lagi.”
.
Seterusnya Fatimah az-Zahra’ melanjutkan,
“Maka gembiralah hati saya dan bertambah kerinduan saya kepadanya. lalu saya terjaga dari tidur dalam keadaan ketakutan.”[10]
.
Menjelang kewafatan Fatimah az-Zahra’, beliau tidak merasakan sakit dan tidak mengadu sakit kepala.
.
Akhirnya, pada malam selasa bersamaan 3 Ramadan tahun 11 Hijrah, Fatimah az-Zahra’ wafat dalam usia 28 tahun.

[1] Hadis riwayat Bukhari di dalam Shahihnya
[2] Hadis riwayat Muslim di dalam Shahihnya.
[3] Sila rujuk al-Ishabah Hadis yang diriwayatkan daripada al-Musauwir bin Mukharramah.
[4] Sila lihat di dalam kitab Syarf an-Nubuwah, Hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Sa’ad daripada Saidina Ali k.wh..
[5] Hadis riwayat al-Hakim di dalam al-Mustadraknya.
[6] Hadis riwayat al-Hakim di dalam Mustadraknya.
[7] Sila rujuk kitab Raudhah al-Waizin.
[8] Umamah adalah puteri Abul Ash bin Rabi’. Dia telah meriwayatkan,
“Rasulullah s.a.w. pernah mendukungnya ketika Baginda sedang solat. Apabila Baginda sujud Umamah yang masih kecil itu di turunkan. Jika Baginda berdiri Umamah didukung kembali.”
Aisyah pula meriwayatkan,
“Suatu ketika Rasulullah s.a.w. telah diberi hadiah berupa kalung dari mutiara. Baginda mengatakan supaya kalung tersebut diberikan kepada keluarganya yang paling Baginda cintai. Salah seorang perempuan berkata, “Aku membawa kalung tersebut kepada puteri Abu Quhafah (Aisyah).” Tetapi Rasulullah s.a.w. memanggil Umamah lalu mengalungkan kalung tersebut ke lehernya. Begitu juga ketika Raja Najasyi menghadiahkan perhiasan berupa cincin emas kepada Rasulullah s.a.w.. Kemudian Baginda memberikannya kepada Umamah.
[9] Hadis riwayat al-Hakim di dalam al-Mustadraknya.
[10] Fatimah az-Zahra’ oleh Dr. Taufiq Abu ‘Alam al-Mishri terbitan Darul Ma’arif, Mesir.