INFORMASI

MAKLUMAN

Blog ini adalah hak milik Pintu Ilmu Resources (00159443-D) - PUSAT RAWATAN HOMEOPAYHY- yang beralamat di: Pusat Perubatan Holistik dan Alternatif 4932, Traffic Light Tok Jiring, Jalan Kelantan 21060 Kuala Terengganu, Darul Iman. Untuk lokasi klinik sila klik di sini

Pada 08/11/2015 klinik ditutup kerana doktor bertugas outstation. Harap maklum.

TESTIMONIAL TERKINI i

TAJAAN

Rabu, 24 November 2010

HAJI WIDA' DAN KEWAFATAN RASULULLAH S.A.W.

Menjelang kewafatan Rasulullah s.a.w. dan atas bimbingan wahyu daripada Allah s.w.t., Baginda telah bersiap sedia untuk melaksanakan haji wida’ (haji perpisahan) di Makkah al-Mukarramah.

Pada 11 Hijrah sebelum menyelesaikan seluruh upacara ibadah haji, Rasulullah s.a.w. telah berdiri di puncak bukit Arafah yang ketika itu orang sangat ramai dan kemudian bersabda,
.
“Wahai Manusia, dengarlah sabdaku ini. Kerana daku tidak tahu apakah di tahun yang lain daku diizinkan berada di antara kalian di tempat ini. Jiwa dan harta kalian suci dan tidak dapat diganggu gugat satu sama lain sehingga berkumpul di hadapan Allah s.w.t. sebagaimana hari dan bulan ini adalah suci bagi semua.”

“Ingatlah, kalian mesti menghadap Allah s.w.t. yang mana Dia akan meminta kalian bertanggungjawab ke atas segala perbuatan kalian.”

“Wahai Manusia, kalian mempunyai hak ke atas isteri dan isteri juga mempunyai hak ke atas kalian. Perlakukanlah isteri kalian dengan baik dan kasih sayang. Sesungguhnya kalian telah mengambil mereka atas jaminan Allah s.w.t. dan menjadikan mereka sah bagi kalian. Peliharalah kepercayaan yang diberikan kepada kalian dan hindarilah dosa. Kalian dilarang melakukan riba. Orang yang berhutang kembalikanlah hutang hanya hutang asalnya sahaja.”

“Mulai sekarang, membalas dendam dengan darah yang diamalkan di zaman Jahiliah adalah dilarang.”

“Mengenai hamba sahaya kalian, perhatikanlah. Hendaknya kalian benar-benar memberi mereka makan sebagaimana kalian makan dan berilah mereka pakaian sebagaimana kalian berpakaian. Jika mereka melakukan kesalahan maafkanlah. Kerana mereka juga adalah hamba Allah s.w.t. dan tidak boleh diperlakukan dengan kasar.”

“Wahai Manusia, dengarlah sabdaku ini. Ketahuilah semua orang Muslim adalah saudara bagi Muslim yang lain. Sesuatu yang menjadi milik seseorang tidak halal bagi orang lain kecuali jika diberikan sebagai hadiah atau kebajikan. Periharalah diri kalian dari melakukan kezaliman. Bagi mereka yang hadir hendaklah memberitahu perkara ini kepada yang tidak hadir. Beruntunglah mereka yang mengingatkannya dan itu lebih baik dari orang yang mendengarnya.”

HADIS AL-GHADIR

Setelah selesai melaksanakan ibadah haji Rasulullah s.a.w. mula bergerak menuju Madinah al-Munawwarah. Di tengah perjalanan, iaitu di satu kawasan telaga bernama ‘Ghadir Khum’ wahyu dari langit telah turun yang menyeru:

“Wahai Rasul, sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu (hal kepimpinan) daripada Tuhanmu. Jika engkau tidak melaksanakan, nescaya engkau belum menyampaikan risalahNya. Sesungguhnya Allah s.w.t. akan menjaga kamu dari manusia (kaum kafir.)”[1]

Maka Rasulullah s.a.w. lantas memerintahkan Bilal supaya memanggil kembali kaum Muslimin yang berada di barisan depan, di belakang dan yang sedang berjalan pulang ke rumah di persimpangan jalan agar kembali berkumpul. Kemudian Baginda menaiki tempat tinggi di 'Ghadir Khum' dan berkhutbah dengan panjang lebar. Setelah itu Baginda memegang tangan Saidina Ali k.wh. dan bersabda,

“Barang siapa yang menjadikan daku sebagai pemimpinnya, maka Ali adalah pemimpinnya. Ya Allah, cintailah orang yang mencintainya dan musuhilah orang yang memusuhinya. Bantulah orang yang membantunya dan hinakanlah orang yang menghinanya.”[2]

Setelah Rasulullah s.a.w. menyampaikan apa yang diperintahkan Allah s.w.t., orang ramai berduyun-duyun mengucapkan tahniah kepada sepupu Baginda. Begitu juga Abu Bakar dan Umar juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada Saidina Ali k.wh. dengan katanya,

“Tahniah, wahai putera Abu Thalib. Hari ini anda menjadi pemimpinku dan pemimpin kepada orang Muslim sama ada lelaki mahu pun perempuan.”[3]

Tidak lama kemudian turunlah ayat Al-Quran yang berbunyi:
“Pada hari ini Aku sempurnakan bagimu agamamu, Aku cukupkan nikmatKu untukmu dan Aku reda Islam menjadi agamamu.”[4]

WAFAT

Kehidupan Rasulullah s.a.w. dan Saidina Ali k.wh. laksana isi dan kulit. Di mana ada Rasulullah s.a.w. di situ ada Saidina Ali k.wh..

Mengenai keperibadian Rasulullah s.a.w. Saidina Ali k.wh. berkata,

“Saya bersaksi tiada Tuhan selain Allah s.w.t. dan saya bersaksi Muhammad s.a.w. adalah pesuruh Allah s.w.t. yang diutuskan bersama keimanan dan ketakwaan. Disertakan kepadanya kitab yang di dalamnya tertulis dengan perintah dan larangan yang keras untuk menghilangkan keraguan serta memberikan alasan yang kukuh.”

“Baginda diutus agar manusia takut dan patuh kepada Allah s.w.t.. Allah s.w.t. telah memberi anugerah yang sangat besar kepada kita dengan mengutuskan Rasul seperti Baginda sehingga manusia boleh menjadikannya contoh teladan.”

“Allah s.w.t. mengutuskan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai seorang saksi, pemberi khabar gembira dan peringatan. Baginda adalah manusia yang tersuci semenjak lahir, yang sangat berakhlak mulia dalam tingkah laku dan orang yang sangat dermawan di antara mereka yang dermawan.”

“Jiwa orang yang saleh dan orang yang baik sentiasa menuju ke arahnya. Bagindalah yang mewujudkan persaudaraan. Sabdanya adalah wahyu Allah s.w.t.. Baginda menyampaikan wahyu kepada manusia tanpa mengurangi mahupun menambahkannya. Baginda memberikan perhatian kepada mereka yang bersungguh memerlukan bimbingan dan mengajarkan kitab suci Al-Quran. Baginda adalah sumber pelbagai ilmu dan cahayanya memancar ke seluruh dunia.”

“Rasulullah s.a.w. adalah seorang tabib agung. Pengetahuannya tentang cara penyembuhan sangat efektif. Semoga Allah s.w.t. meninggikan darjat dan kedudukannya serta memberi kesempurnaan cahaya keimanan.”

“Terimalah wahai Tuhan kesaksian dan jadikanlah ucapannya dipatuhi kerana setiap ucapannya adalah berhemah dan keputusannya adalah tegas. Semoga Allah s.w.t. menempatkan kita dan Baginda dalam kesenangan hidup, kurniaan yang tidak terputus, kepuasan, kenikmatan, ketenteraman hidup, kedamaian dan kehormatan.”

“Rasulullah s.a.w. adalah wakil kalian dan Baginda mengetahui segala rahsia kalian yang Baginda akan saksikannya di Hari Kiamat kelak. Rahmatilah Baginda dengan rahmat yang banyak. Jadikanlah Baginda sebagai wasilah (perantaraan) bagi pengikutnya. Kerana Baginda adalah seorang Nabi yang adil dan dapat membezakan antara yang baik mahupun yang buruk.”

“Rasulullah s.a.w. adalah Nabi yang terakhir dari sekelian para Nabi. Wahyu akan berakhir dengan kewafatannya. Keturunan Rasulullah s.a.w. adalah keturunan yang terbaik dan Ahlul Baitnya adalah Ahlul Bait yang terbaik. Ikutilah para Imam keturunan Rasulullah s.a.w..”

Akhirnya, pada 28 Shafar tahun ke-11 Hijrah Rasulullah s.a.w. telah menghembuskan nafas terakhir. Sebahagian para sahabat menerima takdir Tuhan ini dengan hati yang sabar dan sebahagiannya pula ada yang murtad.

Saidina Ali k.wh. selaku Ahlul Bait yang terdekat bertungkus lumus bersama Fatimah az-Zahra’, Saidina Hasan dan Saidina Husain memandi, mengkafan dan mengebumikan jasad Rasulullah s.a.w. di dalam rumah Baginda sendiri di Madinah al-Munawwarah.

[1] Surah al-Maidah ayat:67
[2] Sila lihat:
· At-Tafsir al-Kabir oleh Fakhrudin ar-Razi jilid xii muka surat 49-50.
· Kitab Riyadh ash-Shalihin. Hadis yang bersumber daripada Zaid bin Arqam.
· Shahih Muslim jilid ii muka surat 362.
· Mustadrak al-Hakim jilid iii muka surat 109
· Musnad Ahmad bin Hambal juzuk iv muka surat 281.
· Tarikh ath-Thabari jilid ii muka surat 319.
· Tarikh Ibnu Atsir jilid ii muka surat 62
· Tarikh Ibnu ‘Asakir jilid i muka surat 85.
· An-Nasa’i di dalam al-Khashaishul Alawiyyah muka surat 21.
[3] Sila rujuk:
· At-Tafsir al-Kabir oleh Fakhrudin ar-Razi dalam menafsirkan surah al-Maidah ayat: 67.
· Kanzul Ummal jilid vi muka surat 169.
· Musnad Ahmad bin Hambal jilid iv muka surat 241.
· Tarikh Ibnu ‘Asakir jilid ii muka surat 50.
· As-Sirah al-Halabiah jilid i muka surat 311.
· Syiar al-‘Alamin oleh Imam Ghazali muka surat 12.
[4] Surah al-Maidah ayat: 3.
ALLAHUMMA SHALLI 'ALA MUHAMMAD WA ALI MUHAMMAD