INFORMASI

MAKLUMAN

Blog ini adalah hak milik Pintu Ilmu Resources (00159443-D) - PUSAT RAWATAN HOMEOPAYHY- yang beralamat di: Pusat Perubatan Holistik dan Alternatif 4932, Traffic Light Tok Jiring, Jalan Kelantan 21060 Kuala Terengganu, Darul Iman. Untuk lokasi klinik sila klik di sini

Pada 08/11/2015 klinik ditutup kerana doktor bertugas outstation. Harap maklum.

TESTIMONIAL TERKINI i

TAJAAN

Memaparkan catatan dengan label bani abbasiah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bani abbasiah. Papar semua catatan

Selasa, 27 Mac 2012

BIOGRAFI IMAM ALI ZAINAL ABIDIN


       Pada suatu hari yang cerah, di zaman pemerintahan Khalifah Umar bin Khatab, Farsi telah berjaya ditawan. Tentera Islam telah membawa tiga orang tawanan puteri Raja Yazdajird bin Syah Riar beserta harta benda mereka di depan Khalifah Umar bin Khatab. Tujuan mereka ialah untuk ditawarkan kepada sesiapa sahaja yang bersedia membeli seperti yang sudah menjadi kelaziman ketika itu. Orang ramai datang berkumpul untuk menyaksikan kecantikan puteri raja terakhir Qisra tersebut. Khalifah Umar memerintahkan supaya purdah mereka dibuka agar dengan demikian bakal pembeli akan dapat meninggikan harga, namun, puteri tersebut menolak sambil menangis. Khalifah Umar menjadi marah dan hampir-hampir saja memukul mereka. Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib yang hadir ketika itu berkata,

       “Sabar wahai Umar, saya pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda kasihanilah bangsawan suatu kaum yang menjadi hina dan hartawan suatu kaum yang jatuh miskin. Puteri raja tidak sepatutnya diperlakukan seperti wanita biasa.”

       “Jika begitu, apa yang sebaiknya kita lakukan?” Tanya Khalifah Umar.

       “Kita minta seseorang menaksir harga mereka dan berapa pun harganya serahkan puteri tersebut kepada orang yang sanggup memelihara mereka dengan sebaiknya.” Jawab Saidina Ali k.wh.. Setelah ditaksir, Saidina Ali k.wh. membeli ketiga-tiga puteri tersebut. Seorang daripada mereka diserahkan kepada Abdullah bin Umar yang kemudian melahirkan Salim bin Abdullah. Seorang lagi diserahkan kepada Muhammad bin Abu Bakar yang kemudian melahirkan Qasim bin Muhammad dan yang ketiga diserahkan kepada Saidina Husain untuk dinikahkan.

       Saidina Ali k.wh. yang memang memahami bahasa Farsi bertanya kepada puteri yang ingin dinikahkan kepada anak beliau,

       “Siapakah namamu?”

       “Syah Zanan” Jawab puteri tersebut. Syah Zanan bermaksud penghulu para wanita. Dengan berbahasa Farsi Saidina Ali k.wh. berkata lagi,

       “Mulai hari ini saya namakan dirimu dengan nama Syahr Banu.” Shah Zanan menjawab,

       “Itu adalah nama gelaran kakakku.”

       “Memang benar.” Jawab Saidina Ali k.wh. dengan bahasa Farsi. Kemudian beliau menghadap Saidina Husain dan berkata,

       “Jagalah puteri ini sebaik mungkin. Berbuat baiklah terhadapnya kerana puteri ini akan melahirkan seorang anak lelaki yang bila dewasa kelak akan menjadi manusia yang disegani dan pemimpin agung.”

       Saidina Ali k.wh. menggantikan nama Syah Zanan dengan Syahr Banu supaya tidak menyerupai julukan Fatimah az-Zahra’ binti Rasulullah s.a.w. iaitu ‘Saidatun Nisa’ al-Alamin’ (penghulu para wanita). Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepada Fatimah az-Zahra’,

       “Wahai anakku, tidakkah engkau gembira bahawa engkau adalah Saidatun Nisa’ al-Alamin.” Fatimah az-Zahra’ bertanya,

       Jika begitu di manakah kedudukan Maryam?” Rasulullah s.a.w. menjawab,

       “Dia adalah penghulu wanita di zamannya.”

       Sebelum Syahr Banu di tawan oleh tentera Islam, dia tinggal di sebuah istana Qisra milik bapanya iaitu Raja Yazdajird bin Syah Riar, raja terakhir kekuasaan Qisra. Suatu malam Syah Banu telah bermimpi berjumpa dengan Rasulullah s.a.w.. Baginda memasuki istana Syahr Banu bersama cucunda Baginda iaitu Saidina Husain. Kemudian dalam mimpi tersebut Rasulullah s.a.w. berhasrat untuk menikahkan cucunda Raja Syah Riar dengan cucunda Baginda, Saidina Husain. Ketika terjaga dari tidur Syahr Banu agak kehairanan dan sering terbayang wajah bakal suaminya yang bercahaya serta masih belum dikenalinya itu.

       Pada malam berikutnya, sekali lagi puteri Raja Yazdajird telah bermimpi. Kali ini dia telah bertemu dengan Fatimah az-zahra’. Dalam mimpi tersebut dia telah memeluk Islam dan mengucapkan dua kalimah Syahadah di depan puteri Rasulullah s.a.w.. Fatimah az-Zahra’ menghampiri Syahr Banu lalu berkata,

       Tidak lama lagi tentera Islam akan mengalahkan tahta kerajaan Qisra dan anda akan dijadikan tawanan. Ketika itulah anda akan dapat berjumpa dengan Saidina Husain. Memang Allah s.w.t. tidak mahu seseorang berkahwin dengan anda kecuali anda dikhususkan hanya untuk anakku”

       Setelah Syahr Banu menanti dengan sabar, akhirnya, mimpi puteri Raja Yazdajird menjadi kenyataan. Dia yang dikenali di Farsi sebagai penghulu wanita dunia telah pun dinikahkan dengan penghulu para pemuda di syurga. Tidak lama setelah bernikah dengan Saidina Husain akhirnya, Syahr Banu telah mengandung anak sulung. Keluarga Saidina Husain sangat gembira dan apabila saat kelahiran tiba, Syahr Banu telah melahirkan seorang bayi lelaki yang comel. Namun, Syahr Banu telah meninggal dunia setelah melahirkan anak sulungnya. Saidina Husain menerima takdir Ilahi ini dengan penuh sabar dan mendoakan semoga jasad isterinya dicucuri rahmat.

       Saidina Husain membersihkan bayi yang baru lahir, lalu mengazankan di telinga kanan dan mengiqamatkan di telinga kiri. Beliau menamakan bayi yang penuh berkat itu dengan nama Ali sempena mengambil berkat nama bapanya yang terkenal dengan keberanian dan keilmuan yang tinggi.

       Pada hari ketujuh keluarga Saidina Husain telah menjemput penduduk Madinah al-Munawwarah datang ke rumah kerana majlis akikah diadakan. Saidina Husain juga telah mencukur rambut Imam Ali Zainal Abidin dan mengeluarkan sedekah seberat timbangan rambutnya untuk disedekahkan kepada fakir miskin.

       Nama sebenar beliau ialah Imam Ali Zainal Abidin bin Saidina Husain Bin Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib bin Abdul Muthalib bin Hasyim bin Abdul Manaf bin Qushai bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Lu’i bin Ghalib bin Fahr bin Malik bin Nadar bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilias bin Mudhar bin Nizar bin Ma’ad bin Adnan bin ‘Add bin Humaisi’ bin Salamam bin Auz bin Buz bin Qamwal bin Ubai bin ‘Awwam bin Nasyid bin Haza bin Bildas bin Yadlaf bin Tabikh bin Jahim bin Nahisy bin Makhi bin Aid bin ‘Abqar bin ‘Ubaid bin Ad-Da’a bin Hamdan bin Sanbir bin Yathrabi bin Yahzin bin Yalhan bin Ar’awi bin Aid bin Desyan bin Aisar bin Afnad bin Aiham bin Muksar bin Nahits bin Zarih bin Sami bin Wazzi bin ‘Adwa bin Aram bin Haidir bin Nabi Ismail a.s. bin Nabi Ibrahim a.s. bin Azar bin Nahur bin Saru’ bin Ra’u bin Falikh bin Abir bin Syalikh bin Arfakhsyad bin Sam bin Nabi Nuh a.s. bin Lamik bin Matul Syalakh bin Nabi Idris a.s. bin Yarid bin Mahlail bin Qinan bin Anwas bin Syits bin Nabi Adam a.s..

       Imam Ali Zainal Abidin membesar di bawah naungan ilmu bapanya yang memang terkenal kerana kepahlawanan dan keilmuan yang tinggi. Banyak hadis yang meriwayatkan tentang kemulian yang dimiliki olehnya. Antara hadis Nabi yang muktabar adalah seperti Saidina Husain meriwayatkan,

       “Saya masuk menemui datuk saya Rasulullah s.a.w.. Kemudian Baginda mendudukkanku di atas pahanya dan bersabda, “Sesungguhnya Allah s.w.t. akan memilih dari sulbimu wahai Husain, sembilan orang Imam (pemimpin), yang kesembilan dari mereka akan menjadi al-Qaim (penegak) dan kesemuanya mempunyai keutamaan serta kedudukan yang sama di sisi Allah s.w.t..”

       Ibnu Abbas meriwayatkan,

       “Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda,

       “Daku, Ali, Hasan, Husain dan sembilan orang dari keturunan Husain adalah manusia yang disucikan dan ma’shum (terhindar dari dosa).”

       Abdullah bin Ja’far athThaiyar meriwayatkan,

       “Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda,

       “Sesungguhnya daku lebih berhak ke atas diri kaum muslimin daripada diri mereka, kemudian saudaraku Ali lebih berhak ke atas kaum Mukminin daripada diri mereka sendiri. Kemudian cucundaku Husain lebih berhak ke atas diri kaum Mukminin daripada diri mereka sendiri. Apabila dia meninggal maka anaknya, Ali (Zainal Abidin) lebih berhak ke atas diri kaum Mukminin daripada diri mereka sendiri…… dan seterusnya.”


KISAH KEPALA SAIDINA HUSAIN


       Ketika bapa Imam Ali Zainal Abidin iaitu Saidina Husain syahid di Karbala akibat kekejaman Yazid bin Muawiyah, beliau menyaksikan sendiri bagaimana keluarga Ahlul-Bait telah dizalimi dan dibunuh dengan begitu kejam sekali. Pada petang 10 haribulan Muharam tahun 61 Hijrah, kepala Saidina Husain telah dipenggal Syimr. Umar bin Saad selaku komandan pasukan Kuffah memerintahkan supaya kepala beliau segera dibawa ke Kuffah untuk diserahkan kepada Ubaidillah bin Ziyad. Seorang petugas yang bernama Kauli al-Ushbuhi diperintahkan untuk membawa kepala Saidina Husain. Ketika dia sampai di kediaman Ubaidillah bin Ziyad ternyata pintu istana sudah tertutup rapat. Kemudian kepala cucunda Rasulullah s.a.w. dibawa ke rumahnya untuk disimpan semalaman. Baru sahaja dia sampai di pintu rumah, perasaan gembira menjelma dijiwanya lalu memanggil isterinya supaya segera dibukakan pintu.

       “Bukalah pintu, aku pulang membawa buah tangan kekayaan besar. Lihatlah ini.” Ucap Khauli al-Ushbuhi kegembiraan. Dia ingin menerangkan kepada isterinya bahawa buah tangan yang dibawa pasti akan menghasilkan upah yang tinggi dan kedudukan yang akan diterima dari Ubaidillah bin Ziyad atau Yazid bin Muawiyah.

       Isteri Khauli al-Ushbuhi yang melihat suaminya pulang dengan membawa kepala manusia merasa sangat terkejut. Setelah diberitahu bahawa kepala tersebut adalah kepala cucunda Rasulullah s.a.w., isteri Khauli memprotes dan memarahi suaminya dengan berkata,

     “Orang lain pulang membawa emas dan perak, tetapi abang pulang membawa kepala putera Fatimah az-Zahra’. Alangkah jahatnya perbuatan abang. Demi Allah, mulai hari ini aku tidak sudi bersamamu lagi.” Kemudian isteri Khauli terus lari meninggalkannya dan pulang ke rumah orang tuanya. Khauli tidak menyangka sama sekali bahawa isterinya akan bertindak sejauh itu. Keesokan hari, pagi-pagi lagi Khauli sudah menuju ke kediaman Ubaidillah bin Ziyad untuk menyerahkan kepala Saidina Husain. Kedatangannya disambut pengawal dan sebagai orang yang baru pulang dari medan perang dia diberi penghormatan untuk berjumpa terus dengan penguasa tertinggi di daerah Kuffah. Ketika itu Ubaidillah sedang duduk di atas singgahsananya, lalu kepala Saidina Husain diletakkan di depan kaki Ubaidillah bin Ziyad. Dengan perasaan gembira Ubaidillah mengambil tongkatnya lalu mencungkil-cungkil bibir Saidina Husain yang masih berlumuran darah kering.

       Zaid bin Arqam, salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w. yang duduk berhampiran Ubaidillah melihat perbuatan yang keji itu tidak dapat menahan perasaan. Dia bangkit dari tempat duduknya dan menjerit,

       “Angkat tongkatmu dari bibir suci itu! Demi Allah! Aku sering melihat sendiri Rasulullah s.a.w. sering mencium bibir yang engkau permainkan itu.” Kemudian tanpa menghiraukan orang lain Zaid bin Arqam menangis tersedu-sedu. Ubaidillah menjadi marah lalu memandang Zaid bin Arqam seraya berkata,

       “Apa katamu? Jika engkau bukan seorang yang sudah tua bangka, sudah tentu aku akan penggal lehermu.”

       Ketika Umar bin Saad bersama pasukannya membawa kepala Saidina Husain untuk diserahkan kepada Yazid dan ketika mereka berehat seketika dipertengahan jalan, kepala Saidina Husain telah diletakkan di hujung tombak dan didirikan di atas Padang Pasir. Seorang Pendeta Nasrani yang tinggal dalam pertapaannya terkejut apabila melihat sebuah kepala terpacak di atas tombak. Lalu dia menghampiri rombongan Umar bin Saad dan setelah mengetahui bahawa kepala tersebut adalah kepala Saidina Husain anak Fatimah az-Zahra’, dia menjadi marah dan berkata,

       “Alangkah kejinya perbuatan kamu semua.” Kemudian Pendeta tersebut meminta supaya kepala tersebut disemayamkan semalaman di tempat pertapaannya.

       “Aku bersedia membayar 10,000 Dinar.” Kata Pendeta tersebut. Permintaan tersebut diterima baik Umar bin Saad dan rombongannya. Kemudian kepala Saidina Husain segera dibawa ke tempat pertapaannya. Tidak lama kemudian kepala tersebut disuci sebersih-bersih dan diberi wangi-wangian. Pendeta Nasrani memangku kepala Saidina Husain semalaman sambil menangis. Tiba-tiba dia terkejut kerana di pertengahan malam kepala Saidina Husain memancarkan cahaya yang terang benderang menuju ke langit. Keesokan hari dia menyatakan memeluk Agama Islam dan meninggalkan tempat pertapaan dan sehingga akhir hidupnya dia membantu dan mencintai Ahlul-Bait Rasulullah s.a.w..
MENJADI TAWANAN

       Ketika Imam Ali Zainal Abidin berusia sekitar 23 tahun, beliau telah menyertai rombongan Saidina Husain menuju ke Kuffah kerana menyahut panggilan warga Kuffah yang berhasrat untuk menyokongnya. Ketika rombongan Saidina Husain sampai di Karbala, Imam Ali Zainal Abidin telah menyaksikan pencabulan yang dilakukan oleh tentera Yazid. Beliau terlepas dari dibunuh kerana waktu itu beliau jatuh sakit. Ibu saudara beliau yang bernama Zainab telah bermati-matian mempertahankan Imam Ali Zainal Abidin. Beliau juga nyaris-nyaris dibunuh dan dibakar. Dalam keadaan yang sangat dahaga dan tubuh yang longlai, beliau menyaksikan bapa dan kaum kerabatnya dibunuh satu persatu.

       Pada 11 Muharam tahun 61 Hijrah, Imam Ali Zainal Abidin bersama tawanan para wanita yang tidak diberi minum diikat dengan sebuah rantai yang panjang. Dengan arahan yang kasar mereka diperintahkan berjalan mengharungi Padang Pasir yang gersang menuju Kuffah dengan dikawal rapi.

       Ketika rombongan mereka yang berpakaian serba tidak terurus semakin menghampiri Kota Kuffah, semakin ramai penduduk yang datang untuk menyaksikan rombongan yang agak aneh itu. Setibanya di pintu gerbang Kuffah, kelihatan berderet-deret kaum wanita berdiri di sepanjang jalan untuk menyaksikan satu rombongan yang sangat memilukan perasaan. Pada mulanya mereka tidak mengetahui bahawa rombongan yang ditawan tersebut adalah para wanita dan anak-anak keluarga Saidina Husain. Tiba-tiba datang seorang wanita tua bertanyakan orang ramai siapakah mereka itu yang kelihatan sangat memilukan. Ketika mengetahui bahawa mereka itu adalah keluarga Saidina Husain, cucunda Rasulullah s.a.w. dia merasa amat terkejut lalu berlari pulang ke rumah untuk mengambil beberapa pakaian. Dia tidak sampai hati melihat keluarga yang mulia itu ditawan dalam keadaan pakaian yang kusut masai dan compang-camping tanpa bertudung kepala. Tanpa memperdulikan pasukan pengawal, wanita tua tadi mendekati rombongan Imam Ali Zainal Abidin lalu membahagikan pakaian yang dibawa.

       Zainab dan para tawanan wanita yang semenjak meninggalkan Karbala berjalan menundukkan kepala sambil menerima pakaian wanita tua tadi dengan hati yang terharu. Bagi Imam Ali Zainal Abidin, Kota Kuffah merupakan kenangan pahit yang sangat mengguris hati. Luka parah di hati beliau masih belum terubat akibat kehilangan seorang bapa saudara iaitu Saidina Hasan bin Saidina Ali k.wh.. Beliau masih teringat ketika bapa saudara beliau dibaiat menjadi khalifah yang tinggal di istana sebagai pusat pemerintahan. Tetapi malangnya istana tersebut kini sudah didiami seorang penguasa daerah yang telah melakukan kezaliman terhadap dirinya, terhadap ibu saudara dan kesemua kaum kerabat Saidina Husain.

       Imam Ali Zainal Abidin yang masih kelihatan lemah dan dahaga yang amat sangat masih mampu berdepan dengan penduduk Kuffah. Tanpa memperdulikan pasukan pengawal dengan suara lantang beliau berseru,

       “Wahai penduduk Kuffah! Jika antara anda semua ada yang mengenaliku, pasti anda mengetahui siapakah diriku. Tetapi bagi mereka yang tidak mengenaliku, izinkan saya memperkenalkan diri. Saya adalah Ali Zainal Abidin putera Saidina Husain bin Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib. Saya adalah putera seorang yang anda semua telah cemarkan kemuliaannya. Kemudian anda semua tawan anak, saudara-saudara dan ahli keluarganya yang terdiri dari kaum wanita serta kanak-kanak kecil. Saya adalah putera kepada seorang yang telah anda semua penggal lehernya di Karbala, manakala kepala beliau anda jadikan tontonan dan permainan.”

       “Wahai penduduk Kuffah! Demi Allah, anda tentu tahu bahawa anda sendirilah yang telah menulis surat kepada ayahku meminta kedatangannya. Tetapi akhirnya, anda yang menipunya. Anda telah bersumpah dan berjanji akan melindunginya. Tetapi apakah kenyataannya sekarang? Malahan anda sendiri yang mengkhianati dan membunuhnya. Alangkah celaka perbuatan yang telah anda lakukan. Ingatlah di hari akhirat kelak. Anda pasti akan berhadapan dengan Allah s.w.t. dan RasulNya. Baginda pasti bertanya kepada anda mengenai anak cucunda Baginda yang telah anda bunuh, tentang kemuliaan mereka yang anda remehkan dan perbuatan anda yang melampaui batas.”

       Orang ramai yang mendengar ucapan dari lidah Imam Ali Zainal Abidin terpukau dan tersentuh sanubarinya. Tiada seorang pun berani membangkang. Semuanya diam tunduk. Bahkan beberapa orang wanita ada yang sebak mengalirkan air mata.

       Kini tibalah Imam Ali Zainal Abidin di hadapkan ke pangkuan Ubaidillah bin Ziyad, penguasa Kuffah. Bukan main hairan dia melihat seorang jejaka yang berpakaian compang-camping masih hidup. Ketika diberitahu jejaka tersebut bernama Ali Zainal Abidin bin Saidina Husain, dia menjadi semakin marah. Perasaan dengki dan dendamnya kepada Saidina Husain masih membara. Tanpa berfikir panjang dia memerintahkan pengawalnya supaya melenyapkan riwayat Imam Ali Zainal Abidin.

       Mendengar perintah bunuh Ubaidillah bin Ziyad itu, Zainab yang berada di samping anak saudaranya terus memeluk Imam Ali Zainal Abidin seerat yang mungkin sambil berteriak,

        “Wahai Ibnu Ziyad! Belum cukup banyakkah darah yang telah engkau tumpahkan? Tidakkah engkau dapat meninggalkan walaupun seorang yang sedang sakit ini? Jika engkau ingin membunuhnya, bunuhlah kami semua bersama dia.”

       Ubaidillah terpegun melihat keberanian ibu saudara Imam Ali Zainal Abidin yang bertekad untuk mati bersama anak saudaranya. Dia terpaksa berfikir sejenak untuk membatalkan niatnya. Kerana dia tahu dia akan merasa sangat tercemar namanya bila bertindak membunuh seorang wanita. Dia berhenti berfikir dan kemudian tanpa memandang wanita yang sedang memeluk anak saudaranya dia berkata,

       “Apa boleh buat, biarlah dia pergi bersama anggota wanita tersebut.”

       Akhirnya, terhindarlah Imam Ali Zainal Abidin dari maut berkat kegigihan ibu saudaranya. Sebelum para tawanan dihantar ke Damsyiq, Ubaidillah mengarahkan supaya kepala para syuhada yang gugur di Karbala diletakkan di hujung tombak lalu diarak mengelilingi Kota Kuffah.

       Ketika para tawanan dihadapkan di depan Yazid bin Muawiyah, penguasa Kota Damsyiq, Imam Ali Zainal Abidin yang tangannya dibelenggu tidak dapat menahan perasaan lalu memberanikan diri dan berkata,

       “Tidakkah anda dapat bayangkan, bagaimana jika Rasulullah s.a.w. melihat kami dalam keadaan sebegini?” Nampaknya ucapan Imam Ali Zainal Abidin yang ringkas itu menyentuh perasaan Yazid. Lalu dia pun memerintahkan para pengawalnya menanggalkan belenggu yang mengikat tangan Imam Ali Zainal Abidin dan semua anggota rombongan.

       Setelah itu para pengawal yang membawa tawanan dari Kota Kuffah mempersembahkan beberapa kepala yang gugur di Padang Karbala. Manakala kepala Saidina Husain sengaja diletakkan di depan Yazid tepat di depan hujung kakinya. Melihat kepala Saidina Husain yang dipenuhi debu dan berlumuran darah yang kering itu, Zainab tidak dapat mengawal perasaan lalu berteriak,

       “Wahai Husin, kekasih Rasulullah s.a.w., putera terbaik Makkah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawwarah. Putera Fatimah az-Zahra’.” Kemudian disusuli pula suara tangisan yang sangat memilukan semua orang, sehingga ada pula antara mereka yang tidak dapat menahan air mata. Setelah keadaan kembali reda, Yazid pun berkata kepada Imam Ali Zainal Abidin,

       “Wahai putera Husain, ketahuilah ayahmu telah memutuskan hubungan kekeluargaan denganku. Dia menentang kekuasaanku. Sekarang lihatlah apa yang Allah s.w.t. telah lakukan terhadap dirinya?” Imam Ali Zainal Abidin mendengar ucapan Yazid sambil menunduk. Beliau tidak sanggup melihat kepala ayahnya dihina sedemikian rupa. Dengan memusatkan seluruh fikiran dan perasaan, Imam Ali Zainal Abidin tiba-tiba menatap muka Yazid sambil mengungkapkan dua ayat suci Al-Quran:

       “Tiada musibah apa pun yang menimpa di bumi dan tiada musibah yang menimpa dirimu, kecuali yang sudah tertulis di dalam kitab Allah s.w.t. (Luh Mahfuz) sebelum Allah s.w.t. menciptakannya. Hal yang sedemikian itu sungguh mudah bagi Allah s.w.t..”

       “Hal itu kami jelaskan agar anda semua tidak berduka cita terhadap apa yang luput dari anda semua (iaitu apa yang tidak dapat anda perolehi) dan supaya anda semua jangan terlalu gembira dengan apa yang Allah s.w.t. berikan kepada anda semua. Allah s.w.t. tidak menyukai orang yang sombong dan membangga diri.”[1]

       “Wahai anak Muawiyah! Tahukah engkau bahawa dalam peperangan Badar, Uhud dan perang Ahzab bendera Rasulullah s.a.w. berada dalam genggaman datukku, Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib. Beliaulah yang membawa bendera Rasulullah s.a.w. sambil melawan Kaum Musyrikin. Sedangkan ayahmu, Muawiyah dan datukmu, Abu Sufian kedua-duanya membawa bendera Kaum Musyrikin.” Apa yang dikatakan Imam Ali Zainal Abidin memang merupakan fakta sejarah yang tidak dapat disangkal. Ucapan tersebut mengenai lubuk hati orang yang mendengarnya termasuk Yazid. Kerana itu dia terpaku diam. Tidak seorang pun yang dapat menemukan kata-kata untuk menjawab ungkapan beliau, apatah lagi membantah. Imam Ali Zainal Abidin meneruskan,

       “Oleh itu jika engkau menyedari perbuatanmu terhadap ayahku, terhadap saudara-saudaraku dan semua anggota keluargaku, seharusnya engkau merasa takut menghadap di hari pembalasan kelak.” Kata-kata Imam Ali Zainal Abidin menusuk jiwa Yazid. Dia merasa malu terhadap agamanya dan lebih malu lagi terhadap Allah s.w.t. Yang Maha Esa. Akhirnya, dia mengarahkan supaya rombongan Imam Ali Zainal Abidin dihantar pulang ke Madinah al-Munawwarah.”

PERJALANAN PULANG KE MADINAH AL-MUNAWWARAH

       Jiwa Imam Ali Zainal Abidin dan rombongannya agak terhibur bila menyaksikan penduduk Damsyiq berduyun-duyun untuk mengalukan dan mengucapkan selamat tinggal kepada rombongan keluarga Rasulullah s.a.w. itu. Ketika rombongan Imam Ali Zainal Abidin sampai di satu tempat kawasan perkebunan anggur dan gandum, mereka berasa agak gembira kerana kawasan tersebut dikelilingi dengan tumbuh-tumbuhan hijau sejauh mata memandang. Kelihatan juga para petani sedang sibuk bercucuk tanam. Ketika mereka dimaklumkan bahawa rombongan Ali Zainal Abidin lalu di kawasan tersebut, mereka berlari berduyun-duyun meninggalkan kerja masing-masing. Kesemua mereka menghampiri barisan unta, kuda dan keldai untuk mengambil kesempatan yang hanya sekali seumur hidup itu untuk melihat wajah keluarga Rasulullah s.a.w. sambil mengucapkan selamat jalan.

       Akhirnya, setelah mengharungi pelbagai rintangan seperti merentasi gurun Padang Pasir yang hanya ditemani kepanasan terik matahari di siang hari dan kedinginan embun di malam hari, rombongan keluarga Rasulullah s.a.w. pun sampai di Madinah al-Munawwarah. Semenjak berada di Kota Madinah al-Munawwarah dari perjalanan jauh yang begitu memenatkan dan hati yang telah luka, Imam Ali Zainal Abidin lebih suka menyendiri dan memusatkan hidupnya untuk beribadah serta mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. sehingga seluruh anggota keluarga dan pengikut setia Ahlul-Bait Rasulullah s.a.w. merasa khuatir akan kesihatan dan keselamatannya. Mereka melihat betapa beliau seakan-akan melumatkan dirinya dalam solat sehingga kulit dahi beliau menjadi kasar kehitam-hitaman kerana terlalu lama dalam sujud. Manakala kedua belah kakinya menjadi bengkak lantaran terlalu lama berdiri. Oleh sebab itulah beliau mendapat gelaran ‘As-Sajjad’ yang bermaksud yang sangat banyak sujudnya.

       Anak Imam Ali Zainal Abidin yang bernama Imam Muhammad Baqir berkata,

       “Setiap kali beliau teringat atau menyebut sesuatu nikmat Allah s.w.t. beliau akan bersujud syukur. Setiap kali beliau membaca ayat-ayat Al-Quran yang di dalamnya ada sebutan tentang sujud beliau pun bersujud. Setiap kali beliau menyelesaikan solat fardu beliau pasti akan bersujud. Setiap kali beliau berjaya mendamaikan antara dua orang beliau juga akan bersujud. Sebab itulah beliau digelar as-Sajjad. Ketika beliau berdiri dalam solat sebagaimana layaknya seorang hamba yang hina di depan raja yang agung, badan beliau menggigil kerana takut kepada Allah s.w.t.. Manakala sikap beliau dalam solat ibarat sikap solat orang yang menghadapi akhir hayatnya seolah-olah tidak berkesempatan untuk bersolat lagi untuk selama-lamanya.

       Ketika Imam Ali Zainal Abidin mengambil wuduk, wajah beliau akan berubah menjadi pucat. Ketika ditanya mengapa begitu, beliau menjawab,

       “Tidakkah anda tahu siapakah gerangannya yang saya hadap?”

       Beliau biasa mengerjakan solat sunat sebanyak seribu rakaat dalam sehari semalam dan beliau juga tidak pernah meninggalkan solat tahajud di setiap malam, baik ketika berada di rumah mahupun sedang dalam perjalanan jauh.

       Suatu ketika pernah terjadi kebakaran di rumah Imam Ali Zainal Abidin. Ketika itu beliau sedang sujud dalam solat. Orang ramai memanggil-manggil beliau,

       “Wahai putera Rasulullah, api sedang menyemarak membakar rumah anda.” Namun, beliau tetap sujud sehinggalah kebakaran berjaya dipadamkan. Setelah itu apabila ditanya kenapa dia tidak menghiraukan panggilan orang ramai, beliau menjawab,

       “Api yang lebih panas (api neraka) lebih saya takut.”

       Imam Ali Zainal Abidin adalah pewaris kedudukan ayahanda beliau iaitu Saidina Husain bin Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib. Beliau adalah tokoh Ahlul-Bait yang terkemuka dan ahli fatwa di Madinah al-Munawwarah. Di zaman generasi para tabiin, cahaya Ahlul-Bait kembali bersinar setelah sebelumnya ditutup penguasa yang zalim. Perubahan ini disebabkan terjadinya tragedi pembunuhan Saidina Husain bin Saidina Ali k.wh. di Karbala yang telah membuka pekong musuh keluarga Rasulullah s.a.w.. Bencana dahsyat ini telah memaksa kaum muslimin untuk meneliti kembali dan mencari sebab musabab sehingga akhirnya, dapat mengenali akar umbinya. Maka dengan itu bangkitlah para pejuang kebenaran antara kaum muslimin, membela dan memelihara kedudukan mulia Ahlul-Bait. Semenjak itu ramai antara kaum muslimin yang menyatakan diri sebagai pengikut dan pendukung Imam Ali Zainal Abidin.

PEMERINTAHAN BANI UMAYYAH

       Dengan kematian Muawiyah bin Yazid, runtuhlah singgahsana dinasti Abu Sufian. Sebenarnya dia bercita-cita untuk memegang tampuk pemerintahan untuk selama-lamanya. Dia juga mula melantik Yazid sebagai putera mahkota walaupun dia tidak memenuhi pensyaratan dan meskipun mendapat tentangan dari kaum muslimin. Ketika kematian Muawiyah bin Yazid bin Muawiyah bin Abu Sufian, terjadilah kekecohan di kalangan Bani Umayyah dalam menentukan siapa penggantinya. Namun, Marwan bin Hakam dengan kecerdikan dan kelicikannya segera dapat mengalahkan persaingan yang sengit sehingga dapat menduduki singgahsana yang kosong itu. Maka pada tahun 65 Hijrah beralihlah kekuasaan umat ke tangan Dinasti Marwan. Pada tahun 65 Hijrah itu pula timbulah pemberontakan penduduk Kuffah di bawah pimpinan Sulaiman bin Shord al-Khuzhaie. Mereka ini menyebut dirinya sebagai kelompok at-Tawabun iaitu golongan orang yang bertaubat. Kerana dasar perjuangan mereka ialah rasa penyesalan yang mendalam disebabkan mereka tidak ikut serta membela Saidina Husain bin Saidina Ali k.wh. dan membiarkan beliau terbunuh di Karbala. Padahal merekalah yang meminta kedatangan Saidina Husain. Mereka juga mempunyai semboyan,

       “Menebus dosa kerana kematian Saidina Husain dengan membunuh para pembunuh beliau ataupun mati di jalan tersebut.” Mereka telah memasuki Negeri Syam dan melawan pasukan pemerintah sehingga menimbulkan korban yang bukannya sedikit. Akhirnya, sebahagian besar kekuatan mereka dapat dihancurkan pasukan pemerintah yang jumlahnya jauh lima kali lebih ramai.

       Pada tahun 65 Hijrah ini juga Khalifah Marwan bin Hakam meninggal dunia. Dia telah meninggal dunia kerana dibunuh isterinya sendiri iaitu bekas isteri Muawiyah dan ibu kepada Yazid. Dia digantikan Abdul Malik iaitu anaknya dari isteri yang lain.

       Semenjak hari pertama menggantikan ayahnya, Khalifah Abdul Malik bin Marwan mewarisi pula kekacauan dan pemberontakan dalam negeri yang berkecamuk, baik di Kuffah iaitu golongan at-Tawabun mahupun di Makkah Mukarramah di bawah pimpinan Abdullah bin Zubair yang mulai meluaskan pengaruhnya di beberapa kota lain sehingga Iraq dan Mesir. Akhirnya, Khalifah Abdul Malik bin Marwan dapat menumpaskan pemberontak tersebut.

       Imam Ali Zainal Abidin yang terkenal kerana zuhud telah menjauhkan diri dari terlibat dalam kekacauan dan pemberontakan yang bergolak di sekitarnya. Sebab beliau sedar jika beliau campur tangan dalam hal ini pasti akan menjadi korban pertama kekejaman para penguasa, dan hal ini sangat membahayakan kesinambungan kepimpinan rohani Ahlul-Bait. Oleh sebab itulah Imam Ali Zainal Abidin berhasrat untuk tinggal di Kota Madinah al-Munawwarah bersama keluarganya sambil menyampaikan ilmu Ahlul-Bait kepada mereka yang setia kepadanya sahaja. Pernah suatu ketika Mukhtar as-Tsaqafi iaitu pemimpin pemberontak di Kuffah menyatakan sokongan terhadap Imam Ali Zainal Abidin sebagai khalifah dengan mengirimkan sejumlah besar wang kepada beliau sambil menyatakan diri bersiap sedia berbaiat untuk beliau bagi mewakili penduduk Iraq. Tetapi Imam Ali Zainal Abidin menolak tawaran itu dan mengembalikan wang yang dikirimkan. Beberapa tahun kemudian ketika Hajjaj bin Yusuf berjaya menumpaskan gerakan Abdullah bin Zubair di Hijaz serta memperlakukan penduduk dengan segala kekejaman dan penyeksaan yang amat keji. Khalifah Abdul Malik bin Marwan mengirimkan sepucuk surat kepada Hajjaj. Antara lain surat tersebut berisi,

       “Jauhkan dirimu dari lumuran darah Bani Abdul Muthalib kerana aku lihat keluarga Abu Sufian, setelah bergelumang dalamnya tidak lagi mampu bertahan kecuali hanya sebentar sahaja…” Surat tersebut ditutupnya dengan gam lalu dikirimkan kepada Hajjaj dengan pesanan supaya merahsiakannya. Namun, perkara tersebut diketahui secara spiritual oleh Imam Ali Zainal Abidin yang kemudian segera menulis surat kepada Khalifah Abdul Malik yang berbunyi,

       “Bismillahirrahmanirrahim. Daripada Ali bin Husain kepada Abdul Malik bin Marwan. Amma Ba’du. Anda telah menulis surat pada hari ‘ini’ dan bulan ‘ini’ kepada Hajjaj mengenai hak (keamanan) kami, Bani Abdul Muthalib. Semoga Allah s.w.t. memberi balasan sebaik-baiknya kepada anda. Wassalam”

       Surat tersebut dikirimkan pada hari itu juga melalui seorang pembantunya yang menaiki unta dari Kota Madinah al-Munawwarah ke Negeri Syam, tempat tinggal Khalifah Abdul Malik. Ketika Khalifah Abdul Malik menerima dan membaca surat tersebut, dia mendapati tarikh pengirimnya sama seperti dengan tarikh suratnya sendiri yang ditulis kepada Hajjaj. Setelah diselidik ternyata pemergian utusan Imam Ali Zainal Abidin dari Kota Madinah al-Munawwarah bertepatan dengan jam dan hari pemergian utusannya sendiri menuju kediaman Hajjaj. Dia amat terpegun dan menyedari kebenaran serta ketulusan Imam Ali Zainal Abidin. Dia juga mengakui Allah s.w.t. telah mengilhamkan peristiwa itu kepadanya. Lalu Hajjaj pun mengirimkan hadiah, pakaian dan wang untuk Imam Ali Zainal Abidin serta sepucuk surat yang meminta supaya beliau mendoakan kesejahteraannya.

       Suatu hari Kadi Abdul Malik bin Umar sedang duduk bersama Khalifah Abdul Malik bin Marwan di dalam sebuah bangunan di kota Kuffah. Sebentar kemudian serombongan tentera Khalifah Abdul Malik bin Marwan yang ditugaskan menumpas Mus’ab bin Umair di Wilayah Iraq pulang dengan membawa sebuah dulang berisi kepala manusia yang ditutup dengan kain.

       “Wahai Khalifah Abdul Malik, inilah kepala Mus’ab bin Umair yang telah berhasil dibunuh.” Kata mereka sambil membuka kain penutup dulang. Khalifah Abdul Malik bin Marwan melihat kepala musuh politiknya itu dengan rasa terharu. Kadi Abdul Malik bin Umar juga tidak dapat mengelak dari menyaksikan kepala Mus’ab bin Umair yang sudah tidak berbadan itu. Tiba-tiba muka Kadi Abdul Malik bin Umar kelihatan pucat seperti orang ketakutan. Fikirannya melayang pada masa-masa lalu ketika sedang berada di bangunan tersebut bersama para pemimpin Islam yang kini sudah tiada.

       “Mengapa engkau tiba-tiba kelihatan takut dan pucat?” Tanya Khalifah Abdul Malik bin Marwan.

       “Aku mohon perlindungan engkau kepada Allah s.w.t., wahai Khalifah Abdul Malik.” Jawab Kadi Abdul Malik bin Umar dengan bibir gementar.

       “Mengapa engkau bercakap demikian?” Tanya Khalifah Abdul Malik bin Marwan.

       “Wahai Khalifah Abdul Malik, suatu masa dahulu aku pernah berada di dalam bangunan ini dan tempat ini juga bersama Ubaidillah bin Ziyad, tiba-tiba datang orang mempersembahkan kepala Saidina Husain bin Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib ke hadapan Ubaidillah bin Ziyad. Beberapa tahun kemudian aku duduk bersama Mukhtar bin Ubaid ats-Tsaqafi di dalam bangunan ini juga dan di tempat ini juga, dan aku melihat orang membawa kepala Ubaidillah bin Ziyad ke hadapan mata Mukhtar bin Ubaid ats-Tsaqafi. Kemudian setelah beberapa masa berlalu, aku duduk bersama Mus’ab bin Umair di dalam bangunan ini dan di tempat ini dan aku lihat kepala Mukhtar ats-Tsaqafi di depan Mus’ab bin Umair.” Kata Kadi Abdul Malik bin Umar yang masih gerun. Kemudian dengan dipaksa dan nada agak berat, dia berkata pula,

       “Sekarang aku berada bersamamu wahai Khalifah Abdul Malik, di dalam bangunan ini, di tempat ini juga, dan ini adalah kepala Mus’ab bin Umair ada di depanmu.”

       Mendengar itu, tiba-tiba nafas Khalifah Abdul Malik terhenti sebentar dan merasa takut. Dia cepat-cepat keluar dan memerintahkan agar bangunan tersebut segera diruntuhkan. Mungkin dia tidak ingin kepalanya mendapat giliran menjadi bahan hadiah di dalam bangunan tersebut.

       Tidak lama kemudian pada tahun 86 Hijrah Khalifah Abdul Malik bin Marwan telah meninggal dunia. Dia telah digantikan anaknya yang bernama Walid bin Abdul Malik. Dia merasa sangat cemas bila melihat kedudukan Imam Ali Zainal Abidin yang semakin hari semakin dicintai rakyat. Dia khuatir perkara ini merupakan ancaman bagi kekuasaannya. Sehinggalah pada tahun 96 Khalifah Walid bin Abdul Malik telah meninggal dunia dan tampuk pemerintahan telah diambil alih Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik. Dia telah menjadi khalifah selama 3 tahun iaitu dari tahun 96 Hijrah sehingga tahun 99 Hijrah.

ASH-SHAHIFAH AS-SAJJADIAH

       Ketika Imam Ali Zainal Abidin tidak diberi peluang untuk berkhutbah dimimbar masjid kaum muslimin, beliau pun berusaha mencari jalan lain demi menghidupkan semula ajaran Islam yang hampir dilupakan kekejaman penguasa ketika itu. Salah satu antaranya ialah dengan penyebaran ilmu dan menyusun doa munajat. Tujuan beliau ialah untuk mengubati penyakit rohani yang bermaharajalela sekaligus menyingkap hikmah dan etika pengabdian kepada Allah s.w.t. yang terdapat dalam setiap solat, puasa, haji dan sebagainya. Imam Ali Zainal Abidin juga mengajar bagaimana sepatutnya sikap seorang Mukmin dalam keadaan yang terhimpit ketika ujian datang menjelma atau ketika manusia merasa perlu menghampirkan diri kepada Allah s.w.t.. Itulah sebabnya maka doa beliau memiliki tujuan yang jelas. Dalam doa tersebut beliau mengajar kepada masyarakat bagaimana untuk mengagungkan Allah s.w.t., bagaimana untuk membuka pintu taubat, bagaimana berinteraksi secara spiritual dengan Rasulullah s.a.w. dan para wali Allah s.w.t..

       Seterusnya Imam Ali Zainal Abidin juga akan menunjukkan jalan kepada orang yang beriman untuk bergaul secara bijaksana dengan masyarakat. Beliau mengajar bagaimana berbakti kepada orang tua, menerangkan hak-hak orang tua terhadap anaknya, hak anak terhadap orang tua dan hak jiran serta kaum muslimin umumnya. Beliau menjelaskan segala kebaikan yang terdapat dalam pelbagai amal dan perbuatan yang mesti dilakukan seorang Muslim. Warisan doa Imam Ali Zainal Abidin yang abadi itu telah dikumpulkan dan diberi tajuk ‘Ash-Shahifah as-Sajjadiah’.

       Kesimpulannya di zaman Imam Ali Zainal Abidin doa menjadi pemangkin untuk memajukan gerakan pembaharuan Islam yang beliau pimpin. Doa tersebut memiliki kandungan makna ibadah yang luhur sebagai wadah yang beliau gunakan untuk berinteraksi dengan Tuhan Yang Maha Suci dan Maha Tinggi.

SYAHID

       Tidak lama kemudian pada tahun 95 Hijrah, dengan perantaraan Sulaiman bin Abdul Malik, dia telah menghantar seseorang untuk mendekati Imam Ali Zainal Abidin dan kemudian meracun beliau secara rahsia.

       Maka berangkatlah roh beliau yang suci ke hadrat Ilahi pada 12 haribulan Muharam tahun 95 Hijrah di dalam usia 57 tahun. Beliau meninggalkan beberapa orang putera dan puteri. Antaranya Imam Muhammad Baqir dan Zaid bin Ali Zainal Abidin. Beliau telah disemadikan di Baqi’ Madinah al-Munawwarah berhampiran makam bapa saudaranya iaitu Saidina Hasan bin  Saidina Ali K.wh bin Abi Thalib.

       Antara karya peninggalan Imam Ali Zainal Abidin yang masih terpelihara sehingga sekarang ialah ‘Risalah al-Huquq’, sebuah risalah tentang kewajipan dan hak-hak manusia dalam hubungannya dengan tuhan sesama makhluk dan ‘Ash-Shahifah as-Sajjadiah’ yang berisi kumpulan munajat serta doanya yang diajarkan kepada murid dan pengikutnya.






[1]  Surah al-Hadid ayat: 22 – 23.

Ahad, 4 Mac 2012

BIOGRAFI IMAM MUHAMMAD BAQIR


Pada 1 haribulan Rejab tahun 57 Hijrah, keluarga Rasulullah s.a.w. memancarkan kegembiraan kerana lahirnya seorang bayi lelaki yang sangat comel sekali. Bayi lelaki tersebut disambut Imam Ali Zainal Abidin lalu diazankan di telinga kanan dan diiqamatkan di telinga kiri. Imam Ali Zainal Abidin bersyukur ke hadrat Ilahi kerana anak beliau telah lahir dengan selamat. Malahan beliau sendiri menyaksikan anak beliau lahir dalam keadaan suci tanpa ada setitik pun darah nifas dan bayi tersebut juga telah pun dikhatankan.

       Imam Ali Zainal Abidin menamakan anak beliau dengan nama Muhammad sempena mengambil berkat nama Rasulullah s.a.w.. Semenjak kecil Imam Muhammad Baqir dididik dengan asuhan Al-Quran dan hadis. Beliau dikenali sebagai ‘Baqir’ kerana sangat mendalam dalam ilmu pengetahuan.

       Nama sebenar beliau ialah Imam Muhammad Baqir bin Imam Ali Zainal Abidin bin Saidina Husain Bin Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib bin Abdul Muthalib bin Hasyim bin Abdul Manaf bin Qushai bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Lu’i bin Ghalib bin Fahr bin Malik bin Nadar bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilias bin Mudhar bin Nizar bin Ma’ad bin Adnan bin ‘Add bin Humaisi’ bin Salamam bin Auz bin Buz bin Qamwal bin Ubai bin ‘Awwam bin Nasyid bin Haza bin Bildas bin Yadlaf bin Tabikh bin Jahim bin Nahisy bin Makhi bin Aid bin ‘Abqar bin ‘Ubaid bin Ad-Da’a bin Hamdan bin Sanbir bin Yathrabi bin Yahzin bin Yalhan bin Ar’awi bin Aid bin Desyan bin Aisar bin Afnad bin Aiham bin Muksar bin Nahits bin Zarih bin Sami bin Wazzi bin ‘Adwa bin Aram bin Haidir bin Nabi Ismail a.s. bin Nabi Ibrahim a.s. bin Azar bin Nahur bin Saru’ bin Ra’u bin Falikh bin Abir bin Syalikh bin Arfakhsyad bin Sam bin Nabi Nuh a.s. bin Lamik bin Matul Syalakh bin Nabi Idris a.s. bin Yarid bin Mahlail bin Qinan bin Anwas bin Syits bin Nabi Adam a.s..

       Semasa di Madinah al-Munawwarah Imam Muhammad Baqir tinggal bersama datuk beliau iaitu Saidina Husain selama tiga tahun. Sepanjang tiga tahun tersebut beliau mempelajari pelbagai ilmu yang belum diajarkan Saidina Husain kepada orang lain.

       Abdullah bin Umar pernah menyuruh seseorang bertanya kepada Imam Muhammad Baqir yang ketika itu masih kanak-kanak.

       “Tanyalah kepada budak ini. Aku akan mengikut segala jawapannya.” Perintah Abdullah bin Umar. Lelaki tersebut pun bertanya beberapa soalan kepada Imam Muhammad Baqir. Dengan lancar beliau menjawab segala persoalan tersebut dan setelah selesai Abdullah bin Umar berkata,

       “Beliau adalah orang yang berpengetahuan tinggi yang telah dikurniakan pelbagai ilmu oleh Allah s.w.t..”

       Abu Basyir berkata,

       “Suatu hari aku bersama Imam Muhammad Baqir memasuki Masjid Madinah al-Munawwarah. Ketika itu kelihatan ramai orang keluar masuk. Kemudian beliau berkata,

       “Tanyalah kepada orang ramai, adakah mereka melihat saya masuk ke dalam Masjid Madinah?” Setiap orang yang aku tanya, mereka menjawab tidak. Sedangkan Imam Muhammad Baqir berada di sisiku. Kebetulan ketika itu datang pengikut beliau yang buta bernama Abu Harun. Imam Muhammad Baqir mengarahkan aku supaya bertanya kepadanya.

       “Adakah anda melihat Imam Muhammad Baqir?” Tanyaku. Dengan pantas. Abu Harun berkata,

       “Sudah tentu, beliaukan ada di sebelah anda.”

       “Dari mana anda mengetahui semua ini? Tanyaku. Abu Harun menjawab,

       “Aku mengetahui melalui cahaya nurani yang ada di wajahnya.”
AHLI IBADAH

       Pada suatu hari Imam Muhammad Baqir menunaikan haji bersama pembantunya yang bernama Aflah. Ketika beliau memasuki Masjidil Haram, beliau menatap Baitullah dan kemudian menangis sehingga suara tangisan terdengar kuat. Aflah segera membisikkan sesuatu ke telinga beliau,

       “Wahai Tuan, di sini Tuan menjadi pandangan orang ramai. Seeloknya perlahankanlah sedikit suara tangisan Tuan itu.” Imam Muhammad Baqir menjawab, “Wahai Aflah, mengapa saya tidak boleh menangis. Padahal saya berharap agar Allah s.w.t. melihat saya dengan penuh kasih sayang sehingga saya berasa beruntung bila saya berhadapan denganNya di akhirat kelak.”

       Ibnu al-Imad al-Hambali berkata,

       “Imam Muhammad Baqir adalah salah seorang dari ahli fikah Madinah al-Munawwarah. Beliau disebut Baqir kerana mempunyai ilmu yang mendalam. Beliau adalah pemecah rahsia segala ilmu, sangat mendalami asal-usul ilmu dan luas wawasannya.

       Muhammad bin Talhah al-Syafie pula berkata,

       “Imam Muhammad Baqir adalah penyelam ilmu, penghimpun dan sekaligus orang yang sangat termasyur dari segi ilmu, berkedudukan dan sangat luas wawasan. Beliau berjiwa suci, jernih kalbu, bersih amalan dan berakhlak mulia. Beliau mengisi ke seluruhan waktunya dengan ketaatan kepada Allah s.w.t.. Teguh pendirian dan sangat bertakwa kepada Allah s.w.t.. Dari diri beliau terpancar sifat-sifat terpuji dan perilaku suci. Puji-pujian diberikan kepadanya dan sifat-sifat terpuji sentiasa memancar dari dirinya.

       Suatu hari Jabir bin Abdullah al-Anshari pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w.,

       “Wahai Rasulullah, siapakah Imam yang akan lahir daripada zuriat Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib?” Rasulullah s.a.w. menjawab,

       “Al-Hasan dan al-Husain yang mana mereka berdua adalah junjungan para pemuda ahli syurga. Kemudian junjungan orang yang sabar pada zamannya iaitu Ali (Zainal Abidin) bin Husain, kemudian Muhammad Baqir bin Ali (Zainal Abidin) yang kelak masih anda ketahui kelahirannya. Wahai Jabir, oleh itu bila anda bertemu dengannya sampaikanlah salamku kepadanya.”[1]

       Jabir bin Yazid al-Ja’fi telah mendengar Jabir bin Abdullah al-Anshari berkata,

       “Ketika Allah Azza Wajalla menurunkan wahyu kepada NabiNya yang berbunyi:

       “Wahai orang yang beriman! Taatilah Allah s.w.t., taatilah Rasulullah s.a.w. dan Ulil Amri antara kamu.”

       Maka aku pun bertanya kepada Rasulullah s.a.w.,

       “Wahai Rasulullah, mengenai Allah s.w.t. dan Rasulnya kami sudah jelas mengetahui. Tetapi siapakah yang dimaksudkan dengan Ulil Amri yang diwajibkan mentaati mereka sebagaimana sejajar dengan ketaatan kepada Tuan?” Rasulullah s.a.w. menjawab,

       “Mereka itu adalah para khalifahku wahai Jabir, yang juga Imam bagi kaum muslimin sesudahku. Orang yang pertama adalah Ali bin Abi Thalib, kemudian Hasan dan Husain, seterusnya Ali bin Husain, kemudian Muhammad bin Ali.”[2]

       Imam Ja’far Shadiq meriwayatkan daripada ayahnya iaitu Imam Muhammad Baqir berkata,

       “Saya menemui Jabir bin Abdullah dengan menyampaikan salam kepadanya dan dia membalas salamku. Dia bertanya, “Siapakah anda?” Dia bertanya begitu kerana kedua matanya telah buta.

       “Muhammad Baqir bin Imam Ali Zainal Abidin bin Saidina Husain.” Jawabku.

       “Wahai anakku, marilah ke sini.” Katanya pula. Saya pun menghampirinya dan kemudian dia pun mencium tanganku lalu berkata,

       “Rasulullah s.a.w. telah menyampaikan salam kepadamu.”

       “Semoga salam dan sejahtera dilimpahkan juga kepada Baginda. Bagaimana perkara ini boleh terjadi wahai Jabir?” Tanyaku pula. Jabir berkata, “Suatu hari aku bersama Rasulullah s.a.w., kemudian Baginda bersabda kepadaku, “Wahai Jabir, barangkali engkau kelak masih hidup ketika lahir keturunanku yang bernama Muhammad Baqir bin Imam Ali Zainal Abidin bin Saidina Husain. Allah s.w.t. melimpahkan nur dan hikmah kepadanya. Oleh itu sampaikan salamku kepadanya.”[3]

DERMAWAN

       Suatu hari Husain bin Katsir berkata,

       “Aku mengadukan keperluan beberapa orang kawan kepada Imam Muhammad Baqir bin Ali. Lalu beliau berkata, “Seburuk-buruk manusia adalah orang yang bersamamu ketika engkau berharta dan meninggalkanmu ketika engkau miskin. Kemudian beliau memerintahkan pembantu beliau mengambil satu pundi wang berjumlah 700 Dirham seraya berkata, “Belanjakanlah wang ini dan kalau sudah habis beritahulah saya.”[4]

       Seorang hamba sahaya Imam Muhammad Baqir yang bernama Salma berkata,

       “Setiap kali kawan beliau datang ke rumah, maka beliau tidak membenarkan mereka pergi sebelum mereka makan makanan yang lazat, menghadiahkan pakaian yang baik dan memberikan mereka sejumlah wang. Melihat keadaan tersebut aku pun menyarankan supaya beliau jangan terlalu banyak mengeluarkan hadiah. Namun, beliau berkata kepadaku, “Wahai Salma, apa yang disebut kebaikan dunia itu tidak lain hanyalah menghubungkan tali persaudaraan dengan teman kita dan melakukan amar makruf.” Beliau sering mengeluarkan hadiah sebanyak 500 hingga 600 Dirham. Beliau tidak pernah meninggalkan kawannya dari sesuatu majlis.

LAKSANA AL-QURAN YANG BERKATA

       Dari segi penafsiran Al-Quran, Imam Muhammad Baqir memang terkenal dan sangat mendalam ilmunya. Beliau juga laksana sebuah Al-Quran Yang berkata-kata.

       Amru bin Abid, salah seorang pemikir dan ulama Mu’tazilah telah menghadap Imam Muhammad Baqir untuk menguji beliau dengan beberapa pertanyaan. Amru bertanya kepada beliau,

       “Dalam firman Allah s.w.t. yang berbunyi:

       “Tidakkah orang kafir itu melihat langit dan bumi itu pada mulanya adalah sesuatu yang padu. Kemudian kami pisahkan keduanya.”[5]

       “Apakah yang dimaksudkan dengan padu dan pisah tersebut?” Imam Muhammad Baqir menjawab,

       “Yang dimaksudkan dengan langit itu padu adalah tidak menurunkan hujan dan bumi itu terpisah adalah yang tidak mengeluarkan tanam-tanaman. Kemudian Allah s.w.t. membelah langit dengan hujan dan membelah bumi dengan munculnya tanam-tanaman.” Setelah mendapat jawapan tersebut, Amru bin Abid terdiam dan tidak memberikan komentar apa pun. Pada hari yang lain Amru bin Abid datang lagi dan bertanya,

       “Sila terangkan kepada saya tentang maksud firman Allah s.w.t. yang berbunyi:

       “Dan barangsiapa ditimpa kemurkaanku, maka binasalah dia.”[6]

       “Yang dimaksudkan adalah azab wahai Amru, sebab Allah s.w.t. murka kepada makhluknya dengan mendatangkan sesuatu yang menimpanya, lalu sesuatu itu mengubah dari kedudukannya semula dengan kedudukan yang lain. Barangsiapa menganggap Allah s.w.t. boleh berubah kerana marah ataupun suka dan berpendapat seperti itu bererti dia telah memberikan sifat kepada Allah s.w.t. dengan sifat makhluk.”[7]

       Muhammad bin al-Munkadar, seorang tokoh sufi berkata,

       “Aku tidak pernah melihat orang seperti Imam Ali Zainal Abidin bin Saidina Husain itu boleh mengatakan beliau telah meninggalkan seseorang yang menyerupai dirinya dalam hal keutamaannya, sehinggalah kemudian aku melihat anaknya Imam Muhammad Baqir bin Imam Ali Zainal Abidin. Oleh itu satu hari aku menasihati beliau tetapi malahan beliau telah menasihatiku pula. Para sahabat Muhammad bin al-Munkadar bertanya kepadanya, “Nasihat apa yang beliau berikan kepadamu?” Muhammad al-Munkadar menceritakan, “Pada suatu hari yang sangat panas aku menuju salah satu sudut Kota Madinah al-Munawwarah. Di situ aku bertemu dengan Imam Muhammad Baqir. Beliau adalah orang yang berbadan besar dan ketika itu sedang dipapah dua orang pembantunya. Lalu aku berkata dalam hati, rupanya inilah salah seorang tokoh Quraisy masa kini yang keadaannya sudah seburuk ini kerana memburu kekayaan. Demi Allah, aku mesti menasihatinya. Lalu aku pun menghampirinya dan mengucapkan salam yang beliau jawab dengan ringkas. Ketika itu beliau dalam keadaan berpeluh. Lantas aku mengatakan, semoga Allah s.w.t. memelihara kesihatannya. Rupanya tokoh terkemuka Quraisy masa kini sudah sedemikian keadaannya kerana memburu harta. Jika nanti maut mengundang yang beliau dalam keadaan seperti ini, apa yang beliau boleh katakan.? Imam Muhammad Baqir melepaskan pegangan daripada kedua pembantu beliau lalu bersandar ke dinding dan mengatakan jika sekiranya maut menjemputnya dalam keadaan seperti ini, maka demi Allah s.w.t., beliau tetap berada dalam ketaatan kepada Allah s.w.t.. Beliau mengatakan bahawa beliau tidak pernah menggangguku dan mengganggu orang lain. Yang beliau takutkan adalah bila beliau meninggal kelak beliau berada dalam keadaan maksiat kepada Allah s.w.t.. Mendengar jawapan itu, aku lalu berdoa, semoga Allah s.w.t. merahmatinya. Aku bermaksud ingin menasihatinya, tetapi beliau pula yang menasihatkan aku.”[8]

       Suatu hari seorang Nasrani telah mengeluarkan kata kesat dan mengejek Imam Muhammad Baqir. Beliau tetap sabar malah mendoakan supaya orang tersebut diampuni Allah s.w.t. serta diberi petunjuk. Melihat akhlak Imam Muhammad Baqir yang sangat mulia itu dan menyedari beliau adalah seorang yang berkeperibadian tinggi, maka dia terus meminta maaf dan memeluk Agama Islam di hadapannya.

       Suatu ketika Imam Muhammad Baqir berkata,

       “Tidak ada sesuatu yang boleh diungkapkan secara tepat dengan sesuatu yang lain kecuali kesabaran dan ilmu.”

       “Ada tiga perkara yang akan mendapat kemuliaan dunia dan akhirat. Pertama, memaafkan orang yang berbuat zalim kepadamu. Kedua, menghubungkan tali persaudaraan antara dua orang yang bertelagah. Ketiga, bersikap sabar terhadap orang yang bertindak bodoh terhadapmu.”

       “Seseorang itu belum boleh disebut alim kecuali dia tidak lagi dengki kepada orang yang melebihi dirinya dari apa segi pun serta tidak merendah-rendahkan orang yang lebih rendah daripadanya.”

       Kalimah dan pesanan beliau itu sering dijadikan pedoman dan iktibar kerana kalimah tersebut mempunyai ikatan kuat yang mengalir daripada permikiran ilmiah Imam Muhammad Baqir yang beliau sendiri adalah pewaris keturunan Rasulullah s.a.w. yang telah disucikan dari nista dan dosa sebagaimana fiman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran:

       “Sesungguhnya Allah s.w.t. ingin menghilangkan dosa kamu Ahlul-Bait (Keluarga Rasulullah s.a.w.) dan mensucikan kamu sesuci-sucinya.”[9]

       Bapa Imam Muhammad Baqir iaitu Imam Ali Zainal Abidin telah meninggal dunia pada 12 haribulan Muharam tahun 95 Hijrah. Beliau syahid akibat diracun pemerintah Bani Umayyah. Semenjak bapa Imam Muhammad Baqir meninggal dunia, beliaulah yang menggantikan bapanya menjalankan tugas harian seperti mengajar masyarakat setempat, menjadi Imam masjid dan sebagainya. Semenjak beliau menerajui bidang pendakwah, Kota Madinah al-Munawwarah mulai menjadi tumpuan serta menjadi pusat pelbagai ilmu. Murid beliau datang dari segenap penjuru.

PEMERINTAHAN BANI UMAYYAH

       Di zaman pemerintahan Khalifah Walid bin Abdul Malik, dia seorang khalifah yang lebih cenderung kepada keduniaan yang suka mendirikan gudang besar dan bangunan sehinga menjadi buah mulut orang sebagai seorang yang amat cenderung kepada wanita dan makanan yang lazat.[10]

       Dua tahun kemudian iaitu pada tahun 96 Hijrah tampuk pemerintahan telah diambil alih oleh Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik. Dia amat berhati-hati ketika menjadi khalifah kerana dia sangat khuatir kekuasaannya direbut Imam Muhammad Baqir. Sebab sebelum ini pun dia telah melakukan kekejaman terhadap bapa Imam Muhammad Baqir iaitu Imam Ali Zainal Abidin. Ketika menjadi penguasa dia sibuk memecat seluruh panglima sebelumnya yang telah diberi kepercayaan Khalifah Walid bin Abdul Malik. Dia juga sangat membenci keluarga al-Hajjaj. Kebenciannya berpunca dari persoalan peribadi. Suatu penganiayaan yang lebih kejam lagi yang dilakukan Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik ialah terhadap panglima besar Musa bin Nusair. Dengan penganiayaan itu bukan kerana masalah putera mahkota tetapi semata-mata timbul dari ketamakan Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik sendiri dan kecintaannya yang berlebih-lebihan terhadap dunia.[11] Menurut riwayat, Musa bin Nusair datang dari Andalus membawa hadiah dan barang bungkusan untuk diserahkan kepada Khalifah Walid bin Abdul Malik. Ketika dalam perjalanan, Khalifah Walid bin Abdul Malik sedang jatuh sakit di Damsyiq. Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik ingin sekali supaya Khalifah Walid bin Abdul Malik meninggal dunia dan kesemua hadiah serta barang bungkusan dari Andalus itu jatuh ke tangannya. Maka Sulaiman bin Abdul Malik menulis surat kepada Musa bin Nusair supaya dia berjalan secara perlahan dalam perjalanannya sehingga Khalifah Walid bin Abdul Malik meninggal dunia. Sebab itu Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik menaruh dendam terhadap Musa bin Nusair. Ketika Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik menjadi ketua pemerintah, maka Musa bin Nusair ditangkap, diseksa dan dipenjarakan, kemudian disita semua harta benda serta dipaksa membayar denda yang besar jumlahnya sehingga Musa bin Nusair terpaksa meminta pertolongan Bangsa Arab untuk membayar denda tersebut.[12]

       Semasa pemerintahannya dia telah tenggelam dalam kemewahan, wanita dan makanan yang lazat. Istananya juga telah dibesarkan dan dihiasi dengan barang yang bernilai dan permaidani yang mahal. Sikapnya yang boros serta menyalahgunakan kuasa dan harta kerajaan menyebabkan berlaku penentangan ke atasnya. Rakyat tidak lagi menyokongnya sebaliknya mereka mahukan pemerintahan yang berwibawa dan berakhlak mulia. Akhirnya, pada tahun 96 Hijrah kekuasaan Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik jatuh ke tangan Umar bin Abdul Aziz. Semasa pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz terjadilah perubahan besar kepada Agama Islam. Walaupun dia hanya memerintah selama dua tahun sahaja namun, sikapnya terhadap keturunan Rasulullah s.a.w. banyak berubah. Dia berusaha menghalang serangan, menghapuskan sebahagian daripada kezaliman dan menghapuskan kata nista terhadap Imam Muhammad Baqir dan keturunannya.

       Hisyam bin Muaz berkata,

       “Suatu hari aku bersama Khalifah Umar bin Abdul Aziz pergi ke Majlis yang diadakan untuk meraikannya ketika dia menziarahi Madinah al-Munawwarah. Kemudian dia menyuruh petugasnya mengumumkan sesiapa yang mempunyai tuntutan terhadap penguasa atau berasa dizalimi digesa supaya menemui Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Tidak lama kemudian Imam Muhammad Baqir pun menghadap dan ketika beliau sampai di istana Khalifah Umar bin Abdul Aziz beliau, melihat khalifah sedang mengesat air matanya. Imam Muhammad Baqir kehairanan dan berkata,

       “Apa yang menyebabkan anda menangis wahai Khalifah?” Kemudian Hisyam bin Muaz yang berada di situ pun menjawab bagi pihak Khalifah Umar bin Abdul Aziz,

       “Dia menangis kerana mengenangkan kezaliman dan penghinaan yang dilakukan ke atasmu oleh pemerintah terdahulu, wahai waris Rasulullah.” Maka Imam Muhammad Baqir pun menjawab,

       “Wahai Khalifah, dunia ini memang tidak ubah seperti sebuah pasar. Darinya terdapat orang yang keluar membawa barang yang bermanfaat dan ada pula yang membawa barang yang memudaratkan. Ramai yang terpedaya oleh perkara yang selama ini kita lihat hinggalah maut menjemput mereka. Mereka melakukan sesuka hati mereka bila memerlukan sesuatu lalu keluar dengan cara hina sehingga tidak membawa bekal untuk menjadi saksi di akhirat kelak. Takutlah kepada Allah s.w.t. wahai Khalifah, bukalah pintu istana supaya mudah orang ramai menghadap Tuan dan mengemukakan masalah. Bantulah orang yang dizalimi. Pulangkanlah harta mereka yang dirampas.” Akhirnya, Khalifah Umar bin Abdul Aziz menjadi insaf dan semenjak itu dia sering mengutamakan Imam Muhammad Baqir. Ketika melihat kelakuan Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang semakin cenderung terhadap Imam Muhammad Baqir, keluarganya datang dan berkata,

       “Sesungguhnya Bani Umayyah tidak senang melihat anda mengutamakan keturunan Fatimah az-Zahra’ binti Muhammad dan Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib.” Khalifah Umar bin Abdul Aziz menjawab,

       “Saya mengutamakan beliau kerana saya pernah mendengar sabda Rasulullah s.a.w. yang berbunyi, “Sesungguhnya Fatimah az-Zahra’ adalah sebahagian daripadaku. Gembiralah daku jika dia gembira dan sedihlah daku jika dia bersedih. Saya hanya berharap Rasulullah s.a.w. bergembira dan menghindari kesedihannya.”

       Sayangnya pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz hanya dapat bertahan selama dua tahun sahaja. Dia meninggal dunia akibat diracun oleh keluarganya sendiri. Mereka tidak senang melihat Khalifah Umar bin Abdul Aziz memecat beberapa orang ahli keluarganya yang berkedudukan tinggi. Sehingalah pada tahun 101 Hijrah pemerintahan negara diambil alih pula oleh Yazid bin Abdul Malik. Dia pula telah dididik dengan hidup yang penuh kemewahan, selalu berfoya-foya serta banyak menghabiskan harta kerajaan demi kepentingan peribadi.

       Khalifah Yazid bin Abdul Malik sangat suka berfoya-foya dengan wanita. Dia juga telah jatuh cinta dengan dua hamba sahayanya yang bernama Sallamah dan Hubabah. Dia sering menghabiskan waktunya dengan kedua wanita tersebut. Ketika Hubabah jatuh sakit, Khalifah Yazid bin Abdul Malik sangat sedih dan dukacita dan setelah Hubabah meninggal dunia Yazid menjadi sangat kecewa dan hampir-hampir menjadi gila.[13]

       Ramai pengikut Imam Muhammad Baqir syahid akibat kekejaman Khalifah Yazid bin Abdul Malik. Dia juga merancang untuk membunuh Imam Muhammad Baqir. Pemerintahannya tidak ubah seperti pemerintahan Yazid bin Muawiyah yang sebelum ini memerintah dengan zalim. Akhirnya, kekuasaan dan pemerintahan Khalifah Yazid bin Abdul Malik telah dirampas Hisyam bin Abdul Malik iaitu pada tahun 105 Hijrah. Di zaman pemerintahannya dia telah mengarahkan pengawalnya supaya membunuh Jabir bin Yazid, seorang pengikut terkemuka Imam Muhammad Baqir. Oleh kerana kebijaksanaan Imam Muhammad Baqir, beliau berhasil menggagalkan rancangan mereka untuk membunuh anak murid setianya. Cara yang dilakukan Imam Muhammad Baqir ialah dengan memerintahkan Jabir bin Yazid supaya berpura-pura menjadi orang gila. Tanpa berlengah lagi Jabir pun berpura-pura mengheret kayu dan mengalungkan tulang binatang ke lehernya sehingga membuatkan kanak-kanak yang melihat mentertawa dan mengejek-ejeknya. Orang ramai yang melihat Jabir berkeadaan demikian berkata,

       “Kesian, Jabir sudah gila.”

       Apabila Khalifah Hisyam bin Abdul Malik memerintahkan penguasa supaya membunuhnya, maka para pembesar berkata,

       “Sesungguhnya Allah s.w.t. telah memberikan kebaikan kepada Jabir. Dia adalah seorang yang baik dan berilmu. Namun, sayang sekali dia kini sudah gila.”

       Setelah Khalifah Hisyam bin Malik menyaksikan keadaan Jabir benar-benar gila, barulah dia dilepaskan begitu sahaja dan dia tidak jadi membunuhnya. Semenjak Jabir terselamat daripada ancaman bunuh oleh penguasa Bani Umayyah, dia telah mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Imam Muhammad Baqir. Walaupun di waktu siang dia berpura-pura menjadi gila, namun, di sepanjang malam dia akan mengikuti pengajian yang dianjurkan Imam Muhammad Baqir. Antara wasiat Imam Muhammad Baqir kepada Jabir bin Yazid adalah,

       “Saya berpesan kepadamu tentang lima perkara. Pertama, jika anda dizalimi janganlah anda berlaku zalim. Kedua, jika anda dikhianati janganlah anda berkhianat. Ketiga, jika anda didustakan janganlah marah. Keempat, jika anda dipuji janganlah bergembira dan kelima, jika anda dicela janganlah mengeluh. Fikirkanlah apa yang dikatakan orang mengenai dirimu. Jika anda tahu bahawa dirimu memang seperti yang dikatakan orang maka jatuhlah air mukamu di sisi Allah Azza Wajalla. Ketika anda marah menghadapi kebenaran yang dikatakan kepadamu, adalah bencana yang jauh lebih hebat dibanding kekhuatiranmu tentang kejatuhanmu di mata manusia. Tetapi bila anda memang tidak seperti yang dikatakan itu, maka anda akan memperolehi pahala tanpa bersusah payah.”

       “Ketahuilah, anda tidak berhak menyebut kami sebagai perlindungmu, sebelum orang di daerahmu sepakat mengenal dirimu dan mengatakan bahawa anda adalah lelaki yang jahat, lalu anda tidak berkecil hati kerana itu. Dan seandainya mereka mengatakan anda orang yang soleh, lalu anda tidak bergembira kerana itu. Tetapi mantapkanlah dirimu dengan Kitabullah. Bila anda benar-benar berjalan di atas jalannya dengan kezuhudan seperti diajarkan, menyukai sesuatu yang dianjurkan, takut terhadap apa yang diancam, maka percayalah pada diri sendiri dan bergembiralah, sebab apa yang dikatakan orang tentang dirimu tidak akan membahayakanmu walaupun sedikit. Bila anda benar-benar boleh menemukan penjelasan Al-Quran, maka tidak akan ada sesuatu pun dari perkataan orang yang akan memperdayakanmu. Seorang Mukmin akan memperolehi bantuan dengan usahanya menakluk diri dalam mengalahkan hawa nafsu. Sesekali dia akan berpihak kepada kemahuannya dan menentang hawa nafsu dalam mencintai Allah s.w.t.. Dan di hari yang lain dirinya dikalahkan hawa nafsu dan dia mengikuti hawa nafsu tersebut. Kemudian dia memohon perlindungan kepada Allah s.w.t. dan dia melindunginya lalu meringankan bebannya sehingga dia ingat kepada Allah s.w.t. dan bergegas untuk bertaubat serta merasa takut kepada seksaanNya. Dengan demikian pengetahuan dan pemahamannya semakin meningkat dengan takut kepada Allah s.w.t.. Yang demikian itu disebabkan kerana Allah s.w.t. telah berfirman:

       “Sesungguhnya orang yang bertakwa bila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah s.w.t., maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan mereka.”[14]

       “Wahai Jabir, perbanyakkanlah reda kepada Allah s.w.t. dalam mencari rezeki dan ikhlaskanlah diri dalam bersyukur. Sedikitkanlah menurut hawa nafsu dirimu dengan cara sering taat kepada Allah s.w.t., merenungi diri dan memohon ampun kepadaNya. Ketika menghadapi kejahatan doronglah dirimu dengan ilmu dan laksanakanlah ilmu dengan amalan yang ikhlas. Pertahankanlah amalan yang ikhlas dari ancaman kelalaian dengan cara membangkitkan kesedaran dan gunakanlah kesedaranmu dengan takut yang sebenar-benarnya. Hindarilah berpoya-poya diri dengan menghadirkan kehidupan dan berlindunglah dari serangan hawa nafsu dengan mengikut bimbingan akal. Bertahanlah terhadap tekanan hawa nafsu dengan petunjuk ilmu. Cahayakanlah amalan ikhlas untuk menyusul di hari pembalasan serta terjunlah ke medan Qanaah (berpuas hati dengan apa yang ada) dengan menghindari ketamakan.”[15]

       Ketika musim haji tiba, Khalifah Hisyam bin Abdul Malik telah ke Makkah Mukarramah untuk bersama-sama menunaikan fardu haji. Imam Muhammad Baqir dan anak beliau, Imam Ja’far Shadiq turut ke Makkah Mukarramah seperti tahun sebelumnya untuk bersama jamaah haji menunaikan fardu haji. Suatu ketika Imam Ja’far Shadiq telah berkhutbah di khalayak ramai,

       “Sesungguhnya Allah s.w.t. telah mengutuskan Muhammad s.a.w. itu sebagai pesuruhNya. Kemudian Allah s.w.t. juga telah melantik kami untuk menjadi pemimpin selepas peninggalan Baginda. Bergembiralah sesiapa yang mengangkat kami sebagai pemimpin selepas Allah s.w.t. dan celakalah sesiapa yang memusuhi kami.”

       Seterusnya Imam Ja’far Shadiq menceritakan,

       “Khutbah saya di khalayak ramai, telah disampaikan kepada Khalifah Hisyam bin Abdul Malik, tetapi dia hanya berdiam diri. Namun, setelah selesai musim haji dan dia kembali ke Damsyiq. Khalifah Hisyam bin Abdul Malik telah memerintahkan gabenor Madinah al-Munawwarah supaya mengarahkan Imam Muhammad Baqir dan Imam Ja’far Shadiq datang menghadap ke istana Damsyiq. Lalu mereka berdua pun dibawa ke istana Damsyiq dan di sana selama tiga hari mereka tidak diberi makan dan minum. Pada hari keempat, mereka dihadapkan di depan Khalifah Hisyam bin Abdul Malik yang ketika itu sedang duduk di atas singgahsananya dan dikelilingi beberapa ahli pemanah yang sedang sibuk berlatih memanah. Khalifah Hisyam bin Malik memanggil bapa saya lalu dipersilakan bermain panah dengan pembesar-pembesar. Dalam jawapannya, bapa saya mengatakan bahawa dia sudah uzur dan tua. Bermain panah sudah berlalu buatnya. Beliau juga meminta supaya dirinya dikecualikan. Bagaimanapun, Khalifah Hisyam bin Abdul Malik tetap mengarahkan bapa saya memanah untuk menguji kecekapannya. Khalifah Hisyam bin Abdul Malik memanggil seorang tua dari Bani Umayyah lalu menyuruhnya memberikan baur dan anak panah kepadanya. Bapa saya pun mengambil baur dan anak panah yang diberikan lalu mula untuk memanah. Dengan izin Allah s.w.t. anak panah pertama telah mengenai sasarannya. Kemudian sekali lagi bapa saya menarik anak panah dari baurnya lalu dilepaskan. Kali ini anak panah yang kedua telah mengenai anak panah yang pertama sehingga patah dan anak panah yang kedua juga terpacak di sasarannya. Apabila anak panah ketiga dilepaskan, ianya telah mengenai anak panah kedua lalu patah dan anak panah ketiga juga terpacak di sasarannya. Begitulah seterusnya, sehinggalah anak panah kelapan. Para hadirin menjadi kagum dengan kepintaran bapa saya memanah, lalu mereka berdiri dan mengucapkan tahniah. Khalifah Hisyam bin Abdul Malik yang berada di situ turut merasa kagum lalu mengucapkan tahniah kerana bapa saya adalah seorang ahli pemanah yang handal. Khalifah Hisyam bin Abdul Malik merasa hairan, mengapa bapa saya mengatakan yang beliau sudah lupa memanah. Sedangkan beliau adalah seorang yang handal memanah jika dibandingkan Orang Arab dan yang Bukan Arab.

       Khalifah Hisyam bin Abdul Malik menundukkan kepala dan berfikir bagaimana untuk menamatkan riwayat hidup bapa saya. Dia berfikir begitu lama sehingga bapa saya menjadi marah. Beliau memandang ke langit sehingga menampakkan kemarahannya. Khalifah Hisyam bin Abdul Malik yang mengetahui tentang kemarahan bapa saya turun dari singgahsananya lalu mengajak bapa saya duduk di sebelah kanannya seraya memuji bapa saya kerana beliau sungguh bertuah berketurunan Quraisy yang semulia-mulia kaum jika dibandingkan Orang Arab dan orang Bukan Arab. Khalifah Hisyam bin Abdul Malik juga mengucapkan tahniah dan bertanya dari manakah beliau belajar memanah dan berapa lama beliau mempelajarinya. Bapa saya mengatakan bahawa penduduk Madinah memang terkenal kerana cekap memanah. Beliau mempelajarinya semenjak beliau masih remaja lagi. Kemudian dalam jangka masa yang lama beliau telah tinggalkan, sehinggalah Khalifah Hisyam bin Abdul Malik memaksanya memanah.

       Khalifah Hisyam bin Abdul Malik mengatakan bahawa beliau belum pernah melihat orang yang handal memanah seperti bapa saya dan dia juga bertanya adakah saya juga pandai memanah sebagaimana bapa saya. Dalam jawapan, bapa saya mengatakan bahawa kami mewarisi ilmu kami dari datuk moyang kami sebagaimana firman Allah s.w.t.:

       “Pada hari aku telah sempurnakan bagimu agamamu dan aku sempurnakan nikmatku untukmu dan aku meredai Islam itu menjadi agamamu.”[16]

       Khalifah Hisyam bin Abdul Malik tunduk mendengar ayat suci yang dibacakan dan kemudian bertanya, adakah dirinya dari keturunan yang sama iaitu dari keturunan keluarga Abdul Manaf? Dalam jawapannya, bapa saya mengatakan, memang benar, tetapi Allah s.w.t. telah memberikan keistimewaan ke atas kami yang tidak diberikan kepada sesiapa. Khalifah Hisyam bin Abdul Malik bertanya lagi, bukankah Rasulullah s.a.w. itu diutuskan untuk semua umat tidak kira berkulit hitam mahupun putih? Dari mana bapa saya mengetahui bahawa Rasulullah s.a.w. mewariskan pemimpin, sedangkan selepas Baginda tiada lagi Nabi. Bapa saya mengatakan, Allah s.w.t. telah berfirman kepada Rasulullah s.a.w. yang berbunyi:

       “Janganlah engkau (wahai Muhammad) menggerakkan lidahmu dengan Al-Quran supaya bersegera membacanya (ketika dibacakan Jibrail kepada engkau)”[17]

       Rasulullah s.a.w. telah mendengar dan membaca ayat ini dengan jelas. Baginda telah memberi keistimewaan ke atas kami yang tidak diberikan selain keturunan kami. Baginda juga telah mewasiatkan beberapa rahsia kepada Saidina Ali k.wh. yang tidak diwasiatkan kepada sahabat yang lain. Dalam hal ini Allah s.w.t. telah berfirman:

       “…Dan didengar telinga yang mahu mendengar.”[18]

       Kepada Saidina Ali k.wh., Rasulullah s.a.w. telah mengatakan bahawa Baginda telah  meminta kepada Allah s.w.t. supaya telinga yang dimaksudkan itu adalah telinga Saidina Ali k.wh.”

       Ketika Saidina Ali k.wh. berada di Kuffah, beliau telah berkhutbah bahawa Rasulullah s.a.w. telah mengajarnya seribu ilmu yang mana di setiap satu ilmu mengandungi seribu bab. Baginda juga mengatakan bahawa Baginda adalah kota ilmu dan Ali adalah pintunya. Sesiapa yang ingin memperolehi ilmu maka datanglah ke pintunya.[19]

       Khalifah Hisyam bin Abdul Malik mengatakan bahawa Saidina Ali k.wh. mendakwa yang beliau mengetahui ilmu ghaib. Sedangkan hanya Allah s.w.t. sahaja yang mengetahui ilmu ghaib. Dalam jawapan, bapa sya mengatakan sesungguhnya Allah s.w.t. telah menurunkan Al-Quran kepada Rasulnya yang mana di dalamnya terkandung pelbagai ilmu yang telah lalu mahu pun yang mendatang. Di dalam Al-Quran Allah s.w.t. berfirman:

       “Kami turunkan kepada engkau kitab (Al-Quran) untuk menerangkan setiap sesuatu.[20] Tiap-tiap sesuatu kami perhitungkan di dalam kitab (Al-Quran) yang terang.[21] Kami tidak tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab (Al-Quran)”[22]

       Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah mengajar kepada Saidina Ali k.wh. tentang rahsia Al-Quran. Baginda mengatakan, sesungguhnya Saidina Ali k.wh. adalah antara orang yang paling alim di kalangan para sahabat. Akhirnya, Khalifah Hisyam bin Abdul Malik terdiam dan mengarahkan supaya bapa saya beredar. Kemudian setelah meminta diri, kami pun beredar.

       Di pertengahan jalan, ketika sampai di kawasan lapang kami melihat ramai orang sedang berkumpul. Bapa saya bertanya, siapakah mereka semua itu? Seorang pembesar Khalifah Hisyam bin Abdul Malik menjawab bahawa mereka adalah pengikut dan ahli ibadah Kaum Nasrani. Mereka berkumpul di sini kerana di bukit ini ada seorang Pendakwah Nasrani yang sangat alim. Setiap tahun mereka akan datang ke sini untuk menanyakan pelbagai masalah. Kebetulan hari ini hari mereka berkumpul.

       Lalu bapa saya pun menghampiri mereka dan berkumpul bersama mereka. Bapa saya sengaja menutup kepala agar tidak dikenali dan bersama Kaum Nasrani mendaki bukit tersebut. Mereka mendirikan sebuah pangkin dan mempersilakan Pendakwah Nasrani tersebut duduk di atasnya. Pendakwah tersebut sangat tua dan dimaklumkan dia pernah berjumpa beberapa wakil Nabi Isa yang dipanggil ‘Hawariyyun’. Manakala pandangannya pula sangat tajam. Bagaikan seekor ular tedung dia melihat satu persatu wajah pengikutnya. Kini tibalah masanya dia merenung tajam wajah bapaku. Kemudian dia bertanya kepada bapa saya adakah bapa saya pengikut Nasrani atau Muhammad. Bapa saya menjawab bahawa beliau adalah pengikut Muhammad.

       Pendakwah Nasrani bertanya lagi kepada bapa saya, adakah bapa saya seorang ulama Umat Muhammad atau pengikutnya yang jahil. Dalam jawapannya, bapa saya mengatakan bahawa beliau bukan daripada pengikutnya yang jahil. Ketika mendengar jawapan bapa saya, Pendakwah Nasrani agak menggeletar lalu bertanya adakah dia perlu menyoal bapa saya ataupun bapa saya sahaja yang bertanya. Bapa saya mengatakan, biarlah dia sahaja yang mengajukan pertanyaan. Pendakwah Nasrani lalu mengatakan bahawa jarang sekali Umat Muhammad memintanya bertanya sesuatu. Oleh itu dia meminta izin untuk bertanya beberapa soalan. Dalam soalannya Pendakwah Nasrani bertanya tentang satu keadaan yang bukan dinamakan malam ataupun siang. Bapa saya lalu menjawab, iaitu ketika waktu  Subuh sehingga sebelum terbit matahari. Pendakwah Nasrani bertanya lagi, bilakah ianya akan berlaku? Dalam jawapannya, bapa saya mengatakan ketika berada di dalam syurga. Di mana, ketika itu (ketika waktu Subuh sehingga sebelum terbit matahari) orang yang sakit akan merasa sihat walafiat. Kesakitan akan hilang. Sesiapa yang tidak tidur dan beramal ketika itu (ketika Subuh sehingga sebelum terbit matahari), dia akan mendapat kesenangan di hari akhirat kelak. Manakala orang yang tidak beramal ketika itu (ketika Subuh sehingga sebelum terbit matahari) akan mendapat balasan di hari akhirat kelak.

       Pendakwah Nasrani membenarkan jawapan bapa saya. Kemudian dia bertanya kepada bapa saya yang mendakwa bahawa penghuni syurga makan dan minum tetapi tidak membuang air kecil dan besar. Dia juga bertanyakan adakah perumpamaannya di dunia ini.

       Bapa saya mengatakan perumpamaannya adalah seperti seorang bayi yang berada di dalam kandungan ibunya. Dia makan dan minum sebagaimana ibunya makan dan minum. Tetapi dia tidak membuang air kecil dan besar.

       Pendakwah Nasrani bertanya lagi tentang dakwaan bapa saya yang mengatakan bahawa buah-buahan di syurga tidak akan rosak walaupun dimakan beberapa kali. Dia bertanyakan adakah perumpamaannya di dunia ini.

       Bapa saya mengatakan perumpamaannya adalah seperti lampu yang jika seratus ribu buah lampu dinyalakan, walaupun ada sebuah dua yang rosak cahayanya tidak akan berkurangan.

       Pendakwah Nasrani sangat kagum dengan kepintaran bapa saya. Pada malam berikutnya, Pendakwah Nasrani tersebut telah berjumpa dengan bapa saya dan menyatakan keislamannya. Khalifah Hisyam bin Abdul Malik telah mengetahui tentang perbincangan di antara bapa saya dengan Pendakwah Nasrani. Kemudian dia mengirimkan beberapa hadiah dan mengarahkan beliau bersegera ke Madinah al-Munawwarah.

       Sebelum itu Khalifah Hisyam bin Abdul Malik telah menghantar seorang utusan supaya mengarahkan orang ramai memaki hamun kami berdua. Sesiapa yang menyambut atau memberi salam kepada kami berdua akan diancam bunuh. Begitulah yang berlaku ketika kami sampai di daerah Madyan. Ketika kami sampai di daerah tersebut orang ramai memaki hamun kami dan melaknat keturunan Saidina Ali k.wh bin Abi Thalib. Apabila kami sampai di pintu gerbang daerah Madyan, bapa saya telah berkhutbah di khalayak ramai dan menyeru penduduk Madyan supaya takut kepada Allah s.w.t.. Bapa saya juga menyangkal sangkaan mereka dan bapa saya mengatakan, jika kami seperti apa yang mereka sangkakan, ibarat mereka telah berjual-beli dengan Yahudi dan Nasrani. Mengapa mereka tidak mahu membaiat (menyokong) kami? Dalam jawapan mereka, penduduk Madyan mengatakan kami semua lebih jahat daripada orang Yahudi dan Nasrani. Mereka menyangka Orang Yahudi dan Nasrani masih membayar jizyah kepada pemerintahan sedangkan kami semua tidak.

       Walaupun bapa saya mengajak mereka ke arah kebaikan dan menasihati mereka, namun, ianya hanya sia-sia sahaja. Kemudian bapa saya berjalan menuju ke sebuah bukit lalu mendaki dan menghadap ke arah Kaum Madyan sambil menadah tangan seraya berdoa sebagaimana Nabi Syuib menaiki sebuah bukit dan berdoa meminta supaya Allah s.w.t. menurunkan azab ke atas umatnya yang ingkar, sebagaimana Allah s.w.t. berfirman:

       “(Rezeki Allah s.w.t.) yang tinggal adalah lebih baik bagimu jika kamu orang beriman.”[23]

       Tidak lama kemudian langit mulai hitam dan rebut taufan pun melanda daerah Madyan yang bunyinya sangat menakutkan. Ketika seorang lelaki tua menyaksikan hal tersebut dia pun berteriak kepada kaum Madyan, supaya takut kepada Allah s.w.t.. Dia juga bersumpah jika mereka tidak mendengar nasihat bapa saya nescaya azab Tuhan akan turun sebagaimana diturunkan ke atas pengikut Nabi Syuib.

       Tidak lama kemudian penduduk Madyan merasa takut dan menjemput kami masuk ke rumah mereka sambil menghidangkan kami dengan makanan. Kami juga dibenarkan menginap di situ buat beberapa waktu.

       Pemimpin Madyan yang menyaksikan kejadian tersebut telah menulis surat kepada Khalifah Hisyam bin Abdul Malik dan memerintahkan supaya lelaki tua tersebut dihukum bunuh.”

       Walaupun Imam Muhammad Baqir baru tiba di Kota Madinah al-Munawwarah, Khalifah Hisyam bin Abdul Malik telah memerintahkan supaya beliau ditangkap. Tidak lama kemudian Imam Muhammad Baqir telah dibawa ke Damsyiq dan dipenjarakan. Ketika di dalam penjara beliau tetap menyampaikan nasihat dan ilmu kepada pengikutnya, sehingga beberapa pengawal penjara telah menjadi akrab kepada beliau. Melihat kejadian itu seorang pengawal penjara telah menyampaikan berita tersebut kepada Khalifah Hisyam bin Abdul Malik bahawa Imam Muhammad Baqir masih menyebarkan Agama Islam dan mempunyai pengaruh yang kuat.

SYAHID

       Akhirnya, Khalifah Hisyam bin Abdul Malik memerintahkan supaya Imam Muhammad Baqir di hantar pulang ke tempat asalnya. Ketika sampai di Kota Madinah al-Munawwarah, pengikut beliau menyambutnya dengan perasaan gembira dan keesokan harinya beliau memulakan pengajian seperti biasa. Dari hari ke hari ramai orang mengikut pengajian Imam Muhammad Baqir. Pengikut beliau bukanlah hanya terdiri daripada penduduk setempat sahaja malahan penduduk dari daerah luar pun turut hadir. Melihat kejadian tersebut Khalifah Hisyam bin Abdul Malik memerintahkan pembesarnya supaya menangkapnya.

       “Tangkaplah Imam Muhammad Baqir. Aku mahu kamu bunuh sahaja dia.” Perintah Khalifah Hisyam bin Abdul Malik. Sekali lagi Imam Muhammad Baqir ditangkap dan dipenjarakan. Ketika di dalam penjara beliau telah diracun. Tidak lama kemudian beliau dibebaskan tetapi beliau telah menderita sakit akibat keracunan. Akhirnya, pada 7 haribulan Zulhijjah tahun 114 Hijrah beliau telah kembali kerahmatullah. Jasad beliau disemadikan diperkuburan Baqi’ di Madinah al-Munawwarah. Pengikut Imam Muhammad Baqir merasa sedih di atas kematiannya dan mereka telah berkabung selama empat puluh hari sambil mendoakan semoga roh pemimpin mereka dicucuri rahmat.


[1]  Syeikh Shaduq di dalam Ikmaluddin Wa Itmamunni’mah – 252.
[2]  Ilzamunnashib di dalam Yanabi’ al-Mawaddah dan Ikmaluddin Wa Itmamunni’mah.
[3]  Syeikh Mufid di dalam al-Irsyad muka surat 294 dalam bab fi Zikri Imam Muhammad Baqir.
[4]  Syeikh Mufid di dalam al-Irsyad.
[5]  Surah al-Anbiya’ ayat: 30.
[6]  Surah Thaha ayat: 81.
[7]  Al-Ihtijaj jilid ii, bab al-Baqir.
[8]  Syeikh al-Mufid di dalam al-Irsyad, bab fi Fadhail al-Baqir.
[9]  Surah al-Ahzab ayat: 33.
[10]  Sejarah dan Kebudayaan Islam, oleh Prof. Ahmad Shalabi, muka surat 6.
[11]  Hasan Ibrahim Hasan di dalam Tarikh al-Islam jilid i muka surat 330 – 331.
[12]  Ibnu Qutaibah di dalam al-Imamah Wa as-Siasah muka surat 79 – 80.
[13]  Tarikh al-Umam Wa al-Muluk jilid 5 muka surat 374 – 375, al-Aghani jilid 13 muka surat 157 – 158, Al-Kamil fi at-Tarikh jilid 4 muka surat 66 dan al-Fakhri fi al-Adabi as-Sulthaniah muka surat 112.
[14]  Surah al-A’raf ayat: 201.
[15]  Tuhaf al-Uqul, bab Ma Rawa Min Abi Ja’far.
[16]  Surah al-Maidah ayat: 3.
[17]  Surah al-Qiamah ayat: 16.
[18]  Surah al-Haqqah ayat: 12.
[19] Al-Mustadrak oleh al-Hakim, jilid iii muka surat 126.
[20]  Surah al-Nahl ayat: 89.
[21]  Surah Yasin ayat: 12.
[22]  Surah al-An’am ayat: 38.
[23]  Surah al-Hud ayat: 86.