INFORMASI

MAKLUMAN

Blog ini adalah hak milik Pintu Ilmu Resources (00159443-D) - PUSAT RAWATAN HOMEOPAYHY- yang beralamat di: Pusat Perubatan Holistik dan Alternatif 4932, Traffic Light Tok Jiring, Jalan Kelantan 21060 Kuala Terengganu, Darul Iman. Untuk lokasi klinik sila klik di sini

Pada 08/11/2015 klinik ditutup kerana doktor bertugas outstation. Harap maklum.

TESTIMONIAL TERKINI i

TAJAAN

Rabu, 24 September 2014

KENALI RADIKAL BEBAS

ANTIOKSIDAN merupakan istilah yang tidak asing bagi kebanyakan orang. Golongan wanita selalunya  menitikberatkan penjagaan kesihatan dan mengambil serta menggunakan bahan berantioksidan.

Sebahagian besar doktor yang biasa mempreskripsikan ubat-ubatan sebagai bahan rawatan berpandangan antioksidan memang penting kepada kesihatan tubuh. Penulis percaya ramai pembaca mengetahui kepentingan mengambil makanan yang mengandungi antioksidan dalam kehidupan seharian.

Sesungguhnya antioksidan merupakan bahan yang amat penting kepada tubuh manusia kerana ia dipercayai membantu menentukan kadar penuaan yang dialami seseorang. Ia menghalang radikal bebas daripada merosakkan molekul-molekul yang menjadi komponen sel dan enzim.

Manusia dikatakan memiliki umur yang panjang secara relatif berbanding dengan umur pelbagai jenis haiwan. Ramai pakar percaya ia berpunca daripada pengambilan makanan berantioksidan. Pada masa sama dibantu oleh antioksidan yang dibina dalam tubuh dalam bentuk antioksidan berenzim (enzymatic antioxidant).

Penulis akan memulakan penerangan mengenai radikal bebas sebelum menerangkan secara mendalam mengenai antioksidan kerana kewujudan radikal bebaslah yang menyebabkan antioksidan amat penting dan diperlukan dalam kehidupan seharian manusia.

Produk metabolisme

Proses metabolisme yang berlaku dalam tubuh manusia secara berterusan adalah satu daripada punca kehadiran radikal bebas dalam tubuh. Antara sumber utama radikal bebas ialah proses pembinaan tenaga dalam mitokondria ialah kilang pembinaan tenaga yang terdapat dalam sel-sel tubuh.

Hati pula merupakan organ utama yang terdedah kepada molekul-molekul radikal bebas kerana ia berperanan menjalankan proses detoksifikasi terhadap pelbagai jenis bahan kimia yang masuk ke dalam tubuh sama ada daripada makanan atau pelbagai sumber lain.

Jadi, secara umum radikal bebas merupakan molekul yang terhasil hasil tindakan biologi semula jadi tubuh terhadap bahan kimia yang terdapat dalam bahan bertoksin daripada alam sekitar, asap rokok, cahaya matahari, radiasi kosmik, radiasi buatan manusia (sinar-X: mesin imbasan mamografi, sinar-X dan CT scan) dan ubat-ubatan moden.

Beberapa jenis radikal bebas wujud secara semula jadi dalam arteri misalnya yang utama ialah superoxide dan nitric oxide. Sungguhpun nitric oxide adalah molekul radikal bebas namun ia diperlukan pada kadar yang sesuai agar ia dapat meneutralkan superoxide.

Kekurangan nitric oxide dalam arteri berpunca daripada faktor gaya hidup dan usia dikaitkan dengan pembentukan artheroskleosis (pembentukan plak berlemak dalam arteri terutama arteri jantung).
Radikal bebas superoxide juga dilepaskan oleh phagocyte (sejenis sel darah putih) ketika jentera imun sistem melawan mikroorganisma yang menyerang tubuh seperti virus atau bakteria.

Inflamasi iaitu proses keradangan yang berlaku ketika misalnya tubuh sedang mengalami demam panas, batuk, demam selesema, kegemukan, membaik pulih luka dan artritis juga menyebabkan tubuh membina paras radikal bebas yang lebih tinggi daripada biasa.

Bersenam dan menjalankan tugasan harian yang melibatkan aktiviti fizikal meningkatkan paras radikal bebas. Aktiviti fizikal secara agresif dan keterlaluan dikatakan meningkatkan paras radikal bebas. Penghidap diabetes yang tidak mengubah gaya hidup dan menjalani rawatan yang sewajarnya dikatakan terdedah kepada kehadiran paras radikal bebas yang sangat tinggi.

Molekul radikal bebas merupakan molekul yang kekurangan satu elektron. Kekurangan elektron ini menyebabkan ia menyerang molekul-molekul lain yang terdapat dalam tubuh. Namun begitu, setiap kali ia menyerang, ia menghasilkan molekul bebas baru yang seterusnya akan menyerang molekul-molekul tubuh. Tindakan ini berlaku pada masa yang amat pantas dan hanya boleh dihentikan oleh antioksidan.

Punca penyakit degeneratif

Sesungguhnya molekul-molekul radikal bebas menyerang molekul karbohidrat, lemak dan protein. Paras radikal bebas yang tinggi dalam tubuh misalnya seperti yang biasa berlaku pada penghidap diabetes dikatakan meningkatkan proses glycation. Proses glycation berlaku apabila molekul glukos bergabung dengan protein dan membentuk produk yang dikenali sebagai advanced glycation end products (AGEs).

AGEs dipercayai merupakan bahan yang menimbulkan penyakit atau memburukkan keadaan penyakit degeneratif yang sedang dialami. Penyakit degeneratif ialah penyakit yang menyebabkan kerosakan struktur atau gangguan fungsi sesuatu organ atau sistem tubuh. Penyakit degeneratif yang dipercayai berpunca daripada AGEs ialah atherosklerosis, diabetes, kegagalan buah pinggang kronik dan penyakit Alzheimer.

Di sini penulis ingin membawa contoh tindakan radikal bebas dalam pembentukan atherosklerosis. Kedua-dua radikal bebas superoxide dan nitric oxide dibina dan diterbitkan secara semula jadi dalam arteri dan vena (pembuluh). Walaupun nitric oxide adalah molekul radikal bebas namun ia bertindak ke atas superoxide dengan meneutralkannya.

Antara fungsi utama nitric oxide yang utama ialah merehatkan arteri iaitu fungsi yang membantu mengawal tekanan darah. Kajian sains mendapati kawasan arteri yang berselekoh didapati mengurangkan pengeluaran nitric oxide.

Kekurangan nitric oxide di kawasan terbabit dipercayai menyebabkan superoxide yang tidak dineutralkan oleh nitric oxide menyerang sel-sel endothelia arteri. Keadaan ini dipercayai menyebabkan pembentukan atherosklerosis di kawasan arteri yang berselekoh.

Seperti dinyatakan di atas AGEs juga dipercayai terlibat dalam pembentukan atherosklerosis. Tidak seperti kekurangan pembinaan nitric oxide di kawasan arteri berselekoh, AGEs dipercayai menyerang sel-sel endothelia arteri pada keseluruhan kawasan iaitu kawasan arteri yang lurus atau yang berselekoh.

Stres fizikal keterlaluan, stress emosi kronik, makan secara berlebihan, asap rokok (serta bahan pencemar lain), kerap makan ubat-ubatan moden (terutama jenis kemoterapi), bahan/rawatan radiasi, detoksifikasi tidak lancar dan paras glukos sentiasa tinggi dalam tubuh dipercayai sebagai faktor peningkatan paras AGEs.

Serangan radikal bebas sebenarnya berlaku pada setiap komponen sel termasuk molekul-molekul pada membran sel serta molekul yang terdapat dalam cytoplasm serta nukleus. Protein yang menjadi bahan utama struktur pintu/laluan bahan kimia keluar masuk sel dan lemak tidak tepu yang terdapat pada membran sel merupakan molekul yang mudah diserang radikal bebas. Begitu juga dengan molekul-molekul protein yang terdapat dalam cytoplasm dan asid nukleik dalam DNA.

Artikel asal: sinarharian.com.my

Untuk membuat rawatan secara online berkaitan saraf dan DNA sila klik di sini